Showing posts with label Jaume Balagueró. Show all posts
Showing posts with label Jaume Balagueró. Show all posts

23 November 2008

[Rec] (2007) Filem Seram Terbaik 2007?


Ada sesuatu yang cantik dengan Rec, ada sesuatu yang hodoh dengan Rec.

Rec ialah sebuah filem seram baru mengambil ideal rakaman ‘pandangan pertama’ yang direvolusikan (atau dipertingkatkan lebih-lebih lagi buat genre seram, oleh sebab gaya ini pernah dibikin buat filem-filem drama [cth: My Life(1993)], apatah lagi dokumentari/mokumentari) oleh Blair Witch Project(1999) dan pernah diteruskan dengan filem ngeri-fiksyen sains, Cloverfield(2008). Rec mengambil semangat zombi George A. Romero dicampur dengan anti-katolik serba kedatangan kiamat Fulci (dalam semua filem ‘pembukaan pintu neraka’ dan ‘kiamat berlaku apabila si mati hidup kembali’ Fulci, Fulci mencerca pihak Katolik sebagai ‘penyimpan rahsia yang menyebabkan kejahatan menang’ – malah filem City of Living Dead(1980), Fulci terang-terang memaparkan seorang paderi menggantung diri di luar gereja menyebabkan kiamat berlaku), satu kebiasan buat penggiat filem seram Eropah, terutamanya Itali dan Sepanyol.


Filem bermula dengan seorang gadis si pengacara TV “Sewaktu Anda Sedang Tidur” bersama jurukamera lelakinya (yang kita tidak akan dapat melihat wajahnya sehingga habis tayangan/rakaman) merakam hidup dan kelaziman yang berlaku di dalam sebuah balai bomba di tengah bandar Sepanyol. Eksekusi ini bijak, secara sindir, ini sebuah filem ‘lewat malam’ yang ‘tidak ada sesiapa yang mahu menonton’ – mundaness ini terserlah dengan bosan bercampur harapan si pengacara mencari ‘cerita’ di balik dewan dan ruang balai bomba yang kering. Di sini, ekspetasi para penonton juga bermain dalam kepala (buat penonton wanita, mereka tentu teringinkan melihat jika pengacara itu mengusik masuk ruang tempat mandi para bomba, klise yang ditandakan dengan ahli bomba). Ini adalah kekuatan rakaman terus-menerus ‘pandangan pertama’ – secara visera, penonton di’paksa’ untuk mengikut, mengalami pengalaman ini secara terus-menerus tanpa pembabitan perspektif yang lain. Mata penonton bergantung kepada tangkapan kamera si jurukamera lelaki. Suara, jalan dan cahaya kamera si lelaki itu adalah penonton, tanpa komrimi lagi. Ini adalah tingkatan voyeur yang tertinggi dalam sinema.

Oleh sebab penonton diberi (atau di sini, memang dipaksa – efek ini yang menyebabkan kegiatan filem sebegini efektif, kita merasa seakan-akan ia benar) voyeur ini, sudah tentu ia perlu dengan sebuah kesedaran yang benar-benar penting, kerana perilaku rakaman sebegini boleh jadi dangkal (anda pernah cuba menonton 5 jam siaran realiti COPS?) jika kelesuan balai bomba terus-menerus dirakam. Di sini plot bermula, apabila si gadis dan jurukamera diberi peluang menaiki kereta bomba untuk ke tempat kejadian seorang perempuan yang jatuh ke lantai aras bawah pangsapurinya.


Di sini (apabila mereka sampai ke pangsapuri), efek roller coaster dilakukan dengan tanpa henti lagi. Malah, motif pergerakan filem ini mula kelihatan dibuat oleh sebab pemaparan aksi-aksi ‘apa yang akan berlaku’ di pangsapuri. Ya, semahu-mahunya aku ingin mengatakan filem ini mempunyai nilai ‘subtle’, tetapi secara objektifnya filem ini sebuah filem teknikal – filem yang dibuat untuk menakutkan kamu, dan menakutkan pun.

Secara bijaksananya, filem ini berjaya memaparkan banyak hal teknikal, juga genius dalam seram (walaupun sudah banyak yang dilakukan atau kitar semula) dalam bajet yang boleh dikira lebih rendah daripada Cloverfield, tetapi berjaya mengimpakkan satu keseraman yang menggetirkan. Kekuatan teknikal ‘seram’ ini berlaku oleh sebab perancangan yang jitu oleh para pengarahnya menggerakkan chaos demi chaos yang berlaku (tetapi, buat penggemar filem seram, antisipasinya sudah dapat diagak 5 minit sebelum aksi berlaku). Ini perlu dalam menaikkan antisipasi dan perasaan tidak senang duduk penonton. Secara efektif, kegilaan ini benar-benar terasa dalam sepuluh minit terakhir filem, lebih-lebih lagi dengan jawapan fiksyen sains dan anti agama pada klimaks filem (secara seloroh, pihak pembikin filem menyatakan kesekularisme yang ekstrem, agama dan sains tidak boleh berbaur).


Ya, kegilaan ini menyeronokkan dan bukan membuat penonton menyampah. Tetapi ada satu daya ‘benar’ yang filem ini tidak dapat melangkaui, malah, dalam ‘real’nya filem ini, lebih real daripada Cloverfield, terdapat keabsurdan yang disengajakan. Dan ini membuat filem ini hodoh. Ini dapat kita baca dalam beberapa babak teknikal gagal yang disengajakan. Malah, buat penonton bijak, ini menyedarkan kita bahawa ‘ia hanya sebuah filem’. Satu babak memaparkan bagaimana si gadis meminta jurukamera ‘mengulang kembali rakaman’ lalu ia betul-betul berlaku. Atau bagaimana dalam satu rakaman, seorang penghuni pangsapuri diwawancara tetapi suara-imej rakaman disunting kemas, seakan-akan ada dua shot berlainan (dua kamera) atau rakaman ‘mentah’ yang kita ikuti tadi terperasan bahawa ianya sudah berlaku pascaproduksi. Ini membawa kepada tanggapan bahawa apa yang kita tonton itu sudah ‘dirancang’. Atau mungkin saja: apa yang kita tonton itu semuanya tipu belaka. Ini memang diminta oleh pembikin filem. Ini sebuah mokumentari seram sebenarnya, bukan dokumentari. Apa yang real dan bukan real tidak perlu. Yang perlu ialah melihat kita takut.

Ini kita tahu ‘benar’ oleh sebab beberapa perkara lagi. Pertama, cara semua ‘bukti’ yang disusun dalam filem ini berlaku secara kebetulan (yang tidak mencacatkan sangat kelogikan filem), malah episodik. Dengan lebih dalam kita menelusuri cerita filem ini, lebih banyak perkara terbongkar, sehingga kita mencapai satu ‘point of no return’ dan tahu takdir si gadis dan jurukamera (secara sindirannya, kita!). Kedua yang paling tampak ialah, sepertimana ketidakrasionalnya para watak Cloverfield mengangkat kamera ke sana sini sewaktu raksasa sedang mengamuk, ketidakrasional ini juga berlaku dalam Rec. Idea dan ideal ‘kita perlu merakam ini untuk orang tahu’ dipersoalkan. Adakah para wartawan benar-benar ‘pencari kebenaran’? Adakah mereka benar-benar penyiasat yang berani merisikokan nyawa mereka atas kebenaran? Kalau begitu, filem ini menyatakan bahawa para pencari berita adalah golongan voyeur yang paling ekstrem sekali (maka para penonton juga begitu kerana kita ‘membayar’ untuk menonton – kita membuat segala ini untuk mengisi kehendak psikologi kita). Jikalau saja ada satu babak di mana si jurukamera mengayun kameranya, memukul kepala zombi yang mengamuk dek tindakan refleks untuk ‘selamat’, mungkin filem ini masih terserlah ‘real’. Ini adalah kerana, kita tahu, perkara si jurukamera memegang kameranya sampai mati tidak akan dan tidak boleh berlaku. Kefanatikan jurukamera berita di medan perang pun mempunyai ‘safe resort’ mereka tersendiri jika hal-hal kecelakaan berlaku. Perkara ini tidak berlaku dalam Rec, dan ini merunsingkan.


Dalam hal Blair With Project, kerasionalan ini tampak ‘benar’ kerana hal dan aktiviti yang dirakam bukan sehari, malah seramnya mengambil masa untuk meresap di dalam kulit kita. Pada akhir babak Blair Witch, sewaktu si perempuan perakam berlari bersama kamera itu ke dalam rumah kosong, kita rasa perlu kerana dalam dunia serba hitam dan mistikal Blair Witch, logik kesiuman dan ‘adanya’ dunia luar para watak terletak pada kamera itu sendiri. Kamera itu ‘security blanket’ para watak bahawa mereka masih manusia dan mereka masih siuman. Di dalam Rec, perkara ini tidak berlaku.

Rec memang menyeronokkan, malah memberi kita gangguan selepas menontonnya. Beberapa babak tangkapannya kuat, malah banyak yang boleh diingati (paling efektif buat aku ialah sewaktu semuanya chaos di tengah cerita). Tetapi Rec ialah sebuah eksperimentasi teknikal yang menyahut satu perkara, walaupun ia cuba sedaya upaya membawa masuk perkara politikal dan hak bersuara, tidak ada sesuatu yang baharu tentang Rec.