30 July 2013

The Conjuring(2013): Begini Kalau Nak Buat Filem Hantu

James Wan, anak kelahiran Malaysia yang sudah jadi pembikin filem di Amerika mengamuk lagi.

Aku tonton filem ini dengan Lyn dan Reza, kalangan kawan peminat seram tegar aku. B***. Masa dalam tayangan, hanya aku terjerit-jerit, tutup mata, tutup telinga. Lyn dan Reza tonton dengan kool aje. B*** betul! Hahaha.

Ya, aku dah lama tak menjerit menonton filem seram Hollywood. Paling akhir, Sinister (2012) kalau tak silap. Ya, Evil Dead (terkini) atau Cabin in the Woods pun aku tak menjerit. Ah lantaklah, vektor takut kalian punya tahap masing-masing. Yang penting, adakah The Conjuring bagus?

The Conjuring mempunyai satu tujuan penting. Filem ini dibikin oleh seorang pembikin yang percaya dan sayang pada filem seram. Dia juga, James Wan, percaya pada dunia tahyul. Maka dia mengambil filem ini dengan serius (bandingkan dengan Mamat Khalid yang tidak percaya tahyul). Dia mengambil serius (walaupun kita diberikan ruang untuk berintepretasi) dengan pasangan Warren menyiasat sesebuah kes seram. Ed dan Loraine Warren benar-benar wujud. Francais Amytaville tidak akan ada jika mereka tidak ada (dan kerana itu juga dianggap kontroversi dan mereka dituduh menipu kerana penduduk rumah itu sekarang menyatakan tidak ada hantu), filem bodoh The Haunting of Conneticut tidak akan ada (buku yang didasari oleh filem itu lebih menakutkan, serius), serta Poltergeist yang Zelda Rubinstein merupakan watak "medium" (pembicara: bomoh) yang berdasarkan kepada Lorraine Warren. Mereka demologis, pengkaji dunia tahyul dan hantu syaitan.

Filem ini terpecah kepada dua, kita akan mengikuti keluarga Warren dan Perron (rujuk memoir House of Darkness House of Light) yang tipikal dalam mana-mana filem rumah berhantu. Konsep yang digunakan  ialah gaya 1970-an, jadi mereka yang biasa dengan Repulsion, Rosemary's Baby, dan The Exorcist seakan-akan berasa dibawa kembali rasa itu, khususnya dalam sorotan kamera ke hadapan dan belakang (sebenarnya, Ti West sudah jauh ke hadapan dengan sikap menghomaj filem seram era ini dengan filem klasiknya, The House of the Devil yang sangat baik). Kemudian, James dan John Leonetti membawa suatu lagi hal menarik dalam syot apabila menggunakan gaya tunjang terbalik dalam beberapa bahagian syot, seakan-akan, bukan sahaja perspektif kepala kita mendongak terbalik (ingat Pee Mak, Pontianak Harum Sundal Malam?) memerhatikan perspektif yang melanggar bilazim (hal ini menarik kerana James seakan-akan mengutip semangat Nusantara-Asia Tenggara melihat "hantu" bilamana kita perlu mendongak untuk melihat "hantu") terhadap realiti hidup yang dipaparkan, juga menjadi kefahaman tersirat mengenai alam hantu/setan yang melanggar konvensional pegangan Warren (mereka Kristian Katolik).

Hal ini diikatkan lagi dengan objek yang sengaja memainkan corak "pusingan". Di sini, James Wan, mungkin masih belum dapat mencipta sesuatu yang asli, namun berjaya menampakkan, setelah Jacques Tourneur, Alfred Hitchcock, Robert Wise, Mario Bava, Alejandro Amenabar, dia juga tahu bermain "silap mata" dalam mainan bayangan, gerak syot, detik untuk kejutan, tempo dan pembinaan suspens yang adipakar. Semua ini dimainkan dengan cantuman imej-suara-suntingan yang persis dan setajam pisau. Menariknya, kresendo ngerinya terbina dan terbina, makin lama menghimpit dan menyesakkan, tidak memberi penontonnya masa untuk menghela nafas sehingga akhir, mahupun pada detik kredit akhir hendak dimainkan. Memang, kita tidak akan tertakut dalam beberapa babak jika sudah biasa dengan filem seram. Aku khususnya dalam bahagian "pengacauan" detik tiga pagi apabila pintu terbuka dan lain-lain. Namun, setelah segala "ketakutan" yang diberikan oleh pengarah, kini, dalam satu babak apabila si polis hendak mengambil air di dapur, kita diperlihatkan dengan syot si polis mendepani tingkap kosong yang di hadapannya hanya hitam. Cue lagu mengacau. Kita sudah mula resah di tempat duduk. Ini babak seram yang seram tanpa perlu melibatkan kejutan, hantu, ataupun pembunuh berpisau.

Filem ini juga digerakkan dengan semangat "main sorok-sorok" dan "tepuk". Bahagian ini penting. Filem ini bukan sahaja menggerakkan cerita dengan mainan kanak-kanak (yang menakutkan) ini sebagai plot (untuk menjumpai sesuatu) tetapi menjalar pada jalinan teknik "menyorok" dan "tepuk" yang akan digunakan sekali lagi dan sekali lagi sebagai bahan pengajian "untuk menakutkan penonton" dan juga tersirat sebagai naratif besar filem berkenaan "pencarian" dan "sorok". Manusia "mencari" sedangkan hantu/setan "menyorok". Wan mahu kita sama-sama "bermain sorok-sorok" dengannya, sama-sama menjadi "pencari" seperti Ed dan Lorraine Warren mencari "sorokan" hantu, yang juga akhirnya akan sampai pada tahap "sorok jiwa", segalanya menjelaskan kefahaman yang makin lama makin besar jalinannya. Malah, klimaks filem ini turut menampilkan hal ini secara fizikal dan juga "spiritual", memberikan suatu peleraian yang begitu kompleks susunannya dan puas akhirnya.

Sorok ini juga terikat dengan "barang simpanan" dalam rumah Warren sebagai "muzium puaka" mereka "menyimpan segalanya yang berpuaka". Hal yang sekecil dan biasa-biasa ini akhirnya menyampaikan suatu yang besar juga jika diteliti: Warren, walaupun mereka pelik dan melakukan kerja pelik, mereka melakukan kerja mereka mengikut penentuan sekular, dunia "puaka" disorokkan (apabila penjelasan sorokan berkenaannya selesai) daripada anak mereka (dia tidak perlu tahu) dan sepatutnya disimpan begitu. Mereka hidup dalam keadaan "normal". Hantu-hantu tidak disebut, menjadi "barang" tersimpan dan "dilupakan".

Segala ini terikat cantik sebagai sebuah filem "hantu" dan "berhantu". Memang, terletak pada penghakiman
penonton untuk mempercayainya, dan tidak salah jika mereka masih tidak terbuka daripada sorokan seram itu.

Aku tidak berapa dengan gaya runut bunyi filem ini, walaupun terdapat momen-momen magik yang mengikut perut kita dengan drama takutnya, ia terlalu merebak pada setiap babak, seakan-akan kita menonton sebuah melodrama seram (dan sememangnya pun!). Terdapat satu babak akhir mana, dengan bantunan muziknya, meningkatkan emosi "sedih", satu-satunya yang berlaku dalam filem seram, dan hal ini menarik berlaku dalam sebuah filem seram. Para pelakonnya juga hebat. Aku mengagumi Vera Faminga dan Lili Taylor dalam filem ini, menampilkan peranan mereka sebaiknya sebagai si "pencari" dan si "penyorok" yang menarik. Terdapat beberapa homaj tinggi terhadap beberapa filem rumah hantu, namun jelas, Wan juga tidak melupakan tanda tangan patung puakanya pada beberapa bahagian penting filem.

Manusia dalam filem ini penting, dan kemanusiaan yang diberikan oleh penulis skrip Chad dan Carey Hayes cukup memikat, mengikat para pelaku dalam filem sebagai manusia biasa yang dikejutkan dengan sesuatu yang mereka tidak dapat fahami. Mereka hanya ada "kasih-sayang" dan ini unsur penting, seperti yang disampaikan dalam Poltergeist. Kesemua pelakon kanak-kanaknya terbaik, dan takut dan sedih, celoteh mereka jujur. Mereka menjadikan penonton turut takut dan bersimpati, sekali lagi, mengikat diri dengan The Exorcist.

Filem ini ada semuanya, humor, seram, drama dan suspens. Memang ia tidak dapatlah menyampaikan makna falsafah tinggi seperti The Exorcist, namun dengan penelitian teknik dan jiwa berkenaan makna rumah berhantu, menghantui dan ditakutkan dalam kotak, bilik, dan almari, ia menyampaikan jiwa seram yang terpencil namun jelas: setiap ruang dan objek mempunyai jiwa, kita, manusia membinanya. 

Wan seorang ahli silap mata yang juga tidak takut untuk menonjolkan arnab sebalik topi, tetapi memberi makna kenapa arnab dikeluarkan dan kenapa disorokkan dalam topi.

Antara filem seram terbaik tahun ini dan dijangka menjadi klasik.

Misteri Bisikan Pontianak(2013): Mak Nyah Pontianak

M. Subash datang lagi.

Kau kenal pengarah Pensil ni?

Aku sekarang sudah memahami "dunia" Subash. Subash mengutip ceritanya daripada golongan marhaen, golongan marginal, golongan terbuang. Kisah-kisahnya kisah "benar" yang berlaku, lalu dia titipkan dan sampaikan dalam bentuk filem. Alam ini penting untuknya, seperti mana alam white trash begitu penting buat John Waters pada dunia awalnya.

Namun, kadang-kadang Subash terlalu bertelus dalam bercerita. Pensil merupakan kerja baiknya yang boleh dirujuk. Terdapat "kepandaian"nya bermain dengan puisi filem, meletakkan apa yang perlu di hadapan dan belakang dan mencuit emosi penonton. Kekuatan Subash sememangnya dalam emosi, bermaksud, dia layak mengerjakan filem-filem bergenre melodrama.

Seperti filem "seram" ini. Tujuannya amat menarik: Golongan mak nyah juga mempunyai hak dalam hidup. Hal ini amat berisiko tetapi disentuh oleh Subash dengan begitu jujur. Kalian perlu menontonnya sebelum mengelar dan menuduh Subash bukan-bukan kerana Subash mengambil pendirian wasatiyah, kesederhanaan, jauh sekali hendak menyamai Bukak Api yang lebih risque.

Filemnya senang: seorang lelaki dikacau "pontianak", dan kisah ini dijusktaposisi dengan kisah "imbas kembali" yang panjang, yakni Ruminah Sidek yang kehilangan cucu dan "imbas kembali" lagi berkenaan mak nyah lakonan Zakri Rozaini. Penonton akan cepat terkesan bahawa pontianak yang selalu mengganggu lelaki itu berkenaan dengan kematian mak nyah itu. Hal ini membuka pekungan persoalan menarik tentang makna pontianak. Kita sudah sedia faham bahawa pontianak merupakan aspek simbolisme dalam sedar para wanita yang "keluar mencari dendam" terhadap sistem patriaki lelaki yang menindas. Di sini, dengan "berani"nya para pembikin seakan-akan "menyetujui" kewujudan watak Zakri Rozaini ialah "perempuan" yang ditindas. Hal ini menarik tetapi terdapat satu penyimpangan (twist) yang dilakukan ala Scooby Doo bagi menjawab beberapa persoalan. Menonton ini membayangkan aku pada Jack Water yang menerima hidayah suci Islam (dan aku bayangkan arwah Divine sebagai terajunya, bertudung segala).

Beberapa bahagian melodrama, khusus pada babak klimaks amat menjadi. Ada satu babak Mislina Mustafa yang amat kuat emosinya tanpa perlu mengeluarkan air mata. Aku terkejut, berlaku dalam filem sekecil ini.

Namun begitu, keseluruhan teknik dan pembawaan filem ini lemah, walaupun mungkin pengarah akan menyatakan alasan rawness, namun jiwa yang hendak disampaikan tidak sampai dengan pengolahan yang dilakukan, khususnya dengan babak-babak kejutan (ada satu kejutan yang menarik berlaku dalam tandas) apabila bayangan "bisikan" pontianak itu mengganggu lelaki itu. Lelaki itu ialah Haqim, lelaki yang dikacau, dan lakonannya amat amatur, walaupun aku puji Subash kerana "mengutip" kalangan pelakon tidak profesional sebagai pelakonnya. Runut bunyi, pencahayaan, gerakan, suntingan, semuanya punya masalahnya yang tersendiri untuk menimbulkan satu "karangan" yang lengkap.

Akhirnya, filem ini terikat dengan tujuan moralis, sesuatu yang filem "balas dendam" seram tidak dapat lari. Namun tidaklah ia dapat memberi suara atau satu puitis seperti yang kita dapat makan dalam Pensil. Namun terdapat beberapa gambaran syot yang menarik, khususnya dnegan tradisi Subash menangkap alam setinggan dan rumah buruk di tepi kota yang cukup membawa nafasnya tersendiri, golongan-golongan yang ingin berkata-kata tetapi tidak dipedulikan. Menunjukkan jiwa dan semangat mereka seadanya.

Aku sebenarnya kasihankan Subash. Aku mohon sangat dia mendapat dana yang lebih tinggi kerana jelas, dia punya kreativiti untuk membuat sesuatu dengan dunia yang disenanginya ini (rujuk zaman kegemilangan John Waters disunting oleh pihak studio, lalu lihat apa filem yang dia buat! Menarik bukan?). Dan aku harap dia dapat memberikan satu drama-melodrama kuat selepas ini, dengan jalur plot yang lebih mendalam dan kompleks untuk menyampaikan satu lagi filem kisah orang gelandangan dan marhaen yang punya jiwa dan penyampaian yang lebih teratur dan profesional.

Klasifikasi Misteri Bisikan Pontiana: PG-13, terdapat beberapa adegan kata kesat, buruk akhlak dan percubaan rogol yang tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, memerlukan kawalan penjaga.
DITONTON DI GSC MId Valley.

27 July 2013

Bola Kampung(2013): Antara Filem Animasi Tempatan Menarik Tahun Ini

"Peepo Peepo" - Pee Poo/Makhluk Ganjil

"Oh, awak nak bagi daun special edition!" - Sabok

Aku rasa menyesal tak tonton filem animasi tempatan ini sewaktu di pawagam Mac lalu. Entah, masa tu
sibuk menyiapkan majalah ataupun waktu tu terlalu banyak filem nak ditonton (Oh oh), almaklum waktu tu cuti sekolah.

Dan kepada mak bapak pula, shame on you tak bawak mereka tonton filem ni masa tu.

Selepas Geng Pengembaraan Bermula, filem animasi ini merupakan filem terbaik tempatan yang pernah dibikin setakat ini. Filem ini turut mengambil acuan yang mendekati francais Upin & Ipin yakni "dunia berlainan" dan di sini mainan komputer (memang tak dapat disangkal gaya ini diambil apabila penulis skripnya tiga orang jantan Malaya, Fairul Nizam Ablah, Chu Chong Tee, dan Ah Loong) diangkat sebagai ruang eskapis anak-anak ini bermain.

Sebenarnya agak susah hendak menyukai tema "bola" dalam geng Bola Kampung. Secara harfiahnya, seperti yang dinyatakan oleh penerbit eksekutifnya, francais ini membawa semangat muhibah-persahabatan-gila bola. Aku bukan peminat bola jadi aku tidak berapa, namun dua tema awal itu sudah melingkungi kartun Kampung Boy dan Usop Santorian. Silap aku, Bola Kampung yang mungkin tidak asli, mempunyai sesuatu. Bagi aku, memang idea asal Lat dan Ujang sudah pada tahap klasik, namun budak-budak gila dan suka main bola ini mempunyai metafora menarik: padang merupakan tempat mainan yang menyatu dan menyampaikan kejuaran tersendiri.

Mungkin ini masalahnya kerana "bola" itu merupakan satu ruang yang terikat dengan satu persekitaran tertentu. Bandingkan dengan Upin & Ipin, filemnya (the movie, boleh tak kalian dapatkan nama yang lebih sesuai untuk bahasa kebangsaan?) bergerak dengan advencer, maka senang untuk kita sama-sama bergerak. Bagi aku, percubaan penulis skrip dan pengarahnya (Ah Loong dan Chong Tee, juga menulis skrip) bolehlah tahan.

Pada 10 minit awal, kita dapat feel sebuah filem, kerana keadaannya stagnant, seakan-akan kita menonton animasi televisyen ini di layar luas. Hanya apabila plot Puteri Amanda yang dijumpai dalam tandas(! - yeap, there's a toilet joke in a kid's movie!) dan hanya apabila "raksaksa robot gila" itu datang mencari Puteri, filem ini mula bergerak dan bergerak ia dengan pelbagai gila-gila yang menarik.

Sememangnya, ini filem budak-budak. Budak-budak lelaki khususnya boleh layan sangat filem ini. Tiga tema besar yang tampak, yakni kawan untuk selama-lamanya (friends are forever), mengambil semangat muhibah dan perpaduan yang dinyatakan, dan dari titik ini, banyak plot, sebab-akibat dan penerusan babak digerak. Dengan "kawna-kawan"lah filem ini hidup dan dipercayai. Jadi filem ini "berkumpulan" suatu hal yang agak susah hendak difokus (menariknya, lihat perkembangan watak menarik dalam Geng). Setiap wataknya mempunyai peranan dan peranannya penting. Hanya jika sekurang-kurangnya Fairul dna kawan-kawan menarik satu watak dan berikan suatu kelangsungan awal-tengah-akhir yang baik untuk seorang penonton "root for" mungkin lebih menarik, dan hal ini biasa dalam mana-mana animasi Disney ataupun Pixar. Ini tidak, kita dikenalkan dengan tiga sahabat baik, ketiga-tiganya teraju utama (walaupun Iwan dikenali sebagai ketua pasukan) Iwan-Sabok-Zul yang tampak dinamis dan realisme perwatakan sebagai kawan-kawan, hanya amat-amat memerlukan seorang watak untuk diperkembangkan dengan baik.

Dengan kekuatan kawan-kawan ini, suatu lagi tema diangkat, yakni "pertolongan". Pertolongan ini menarik kerana terdapat beberapa detik "kelabu" kerana kita menyedari pertolongan juga bermakna "tipu" (cheat code, contohnya "menolong" kita dalam mainan) dan kronisme. Namun semangat nilai murni ini dipaparkan dengan baik apabila Iwan-Sabok-Zul dan kawan-kawan lain sanggup menolong Amanda, walaupun pertolongan itu melangkaui logik (hal ini dimaafkan kerana ini animasi, berapa jauh kau memberi logik terhadap latar itu penting dan filem ini, walaupun pada awalnya dipersoalkan, mula menampakkan makna dan jawapan pada pertengahan filem). Pertolongan ini juga menjadikan Iwan-Sabok-Zul kawan-kawan yang setia, walaupun mereka kadang-kadang tidak berpendirian sama. Hal ini dengan jelas ditampakkan dalam babak Sabok membantu Iwan-Zul dalam dunia permainan Kingdom Hill, yang mana kita menyedari merupakan nilai yang mereka akan gunakan dalam bermain bola dengan sang jahat Lord Vilus (suara Aznil Nawawi yang mengagumkan).

Ha, di sini aku terhenti sebentar. Mesti kalian bertanya, apa benda ni, Lord Vilus? Kingdom Hill? Apa kena-mengena dunia "permainan" ini dalam latar "realiti" budak-budak kampung itu? Ini kerana filem ini mendekati semangat The Last Strafighter, yakni seorang manusia biasa yang juara main satu permainan arked, dipilih oleh makhluk asing sebagai "perwira terakhir" untuk melawan sang jahat. Kemudian, kita juga dikenalikan dengan dunia Tron Kingdom Hill, yang mana kod dalam permainan boleh masuk ke alam kita, dan sebaliknya!

Jangan tak percaya!

Konsep fiksyen sains ini menarik (diambil dengan penyimpangan plot si Penggodam/Hacker) kerana ia juga berkaitan dengan makna diri budak-budak sebaya Iwan-Sabok-Zul dan juga makna "main bola". Di sini suatu falsafah tercipta dan agak subversif: kanak-kanak bermain kerana mereka bermain. Usah dikacau kanak-kanak bermain kerana main mereka dapat "membantu" orang lain dan "menyelamatkan negara". Main di sini menjadi seakan jawapan eskapis tinggi penciptanya dalam menyatakan "Its ok to play games, video games for that matter." Kerana bermain juga membuat kita "berkawan" dan saling mengenal dunia/orang lain.

Hal ini dengan tidak sengaja berkaitan juga dengan makna permainan bola. Sukan itu sudah diberikan "makna" yang melangkau daripada padang dan dua gol. Menariknya, ada satu lagi "mainan subversif" yang aku rasa biasa dilakukan dalam francais ini. Suatu "pertaruhan" dilakukan dan keputusannya di buat di atas padang bola antara kalangan belia dan kanak-kanak ini. Bayangkan kanak-kanak bertaruh? Tetapi jangan cepat meloncat, idea ini menarik kerana pembikin hendak menampilkan, bagaimana kanak-kanak juga menjadi seseorang di padang bola, kadang-kadang juga juara, dan kadang-kadang dapat menakluk dunia.

Semangat inilah yang cuba dibawa oleh para pembikinnya. Bagi aku, ada bahagian yang berjaya, namun ada juga bahagian yang bagi aku terlalu panjang dan kelihatan melewah. Namun hal itu dimaafkan kerana percubaan gerakan cerita dan syot cerita yang amat menarik dan asli buat sesebuah filem tempatan.

Aku amat menyukai perwatakan Sabok yang dijayakan suaranya oleh Afdlin Shauki. Detik komiknya menarik dan banyak dialog-dialog spontan(?) yang membuat aku ketawa. Wataknya juga ada makna berkenaan anak-anak kampung yang melangkaui stereotaip yang kita tahu. Sememangnya watak ini diadakan untuk penonton dewasa, malah watak inilah yang paling menyeluruh dan menyerronokkan untuk diikuti.

Teknologi animasi ini TIP TOP dan sungguh di luar dugaan. Aku bangga dengan pencapaiannya, baik suara, terutamanya kemahiran motion caputre, ekspresi, efek 3D, pencahayan, dan lain-lain. Ada bahagian "potongan" yakni pertandingan mainan yang perlu dilalui Iwan-Sabok-Zul. Kalaulah babak itu dimasukkan, tentu lebih menarik.

Ada beberapa bahagian yang buat aku mengangkat kening, khusus dalam sisipan produk (product placement) yang dilakukan yang aku faham merupakan percubaan "menggerakkan" filem ini, namun ia tidaklah begitu mengacau bagi penonton antarabangsa. 

Sari kata bahasa Inggeris DVD ini bermasalah pada pertengahan, ada tulisan "BUT!" sampai mengambil 20 minit filem. Aku amat menyanjung penggunana bahasa Melayu dalam DVD ini, baik dalam dan luar.

Filem yang menyeronokkan, sempoi, dan elok buat kanak-kanak yang suka dan kenal mainan.

Klasifikasi Bola Kampung The Movie: U, sesuai bagi semua penonton.
DITONTON DI DVD asli.

09 July 2013

Kabin di Tepi Tasik(2013): Noir Menarik

Kadang-kadang bila kau dah hiba menonton wayang dan melihat tahap prestasinya, kau akan cari TV. Memang betul, kadang-kadang TV akan memberi kau sesuatu. Aku selalu menunggu, dan paling mengejutkan selalunya dengan siaran yang orang lain dah malas menonton, yakni RTM. Kau tunggu-tunggulah dan kau akan terkejut, pengisiannya jauh lebih baik daripada Cerekarama TV3.

Astro juga antara sebuah "lapangan seni" yang memberi peluang itu. Dan telefilem ini aku tonton kerana genre noir yang ditampilkan, walaupun sedikit meniru kebaratan (itu hal biasa).

Telefilem ini diarahkan oleh Raja Mukriz, antara pengarah muda yang seperti Bade Hj. Azmi, bermula dengan mengarah sinematografi. Dah banyak imej-imej cantik yang mamat ni dah buat. Antara yang aku paling ingati ialah Kala Malam Bulan Mengambangnya, namun dia ni dah duduk lama, sejak Bade tengah naik dan sejak Osman Ali buat Bukak Api

Ellyna Ahmad merupakan penulis skripnya, dan aku lega, kerana Ellyna berjaya menangkap semangat noir yang tipikal dalam dunia Hollywood, femme fatale, keterasingan, diri dibuang, syak wasangka tinggi, monolog panjang, semuanya ada. Hanya kerana aku sudah biasa menonton noir, separuh dalam filem ini aku sudah agak siapa bunuh siapa dan siapa yang "hantu" dalam filem ni.

Telefilem bermula dengan imej radio di atas meja, lagu Tamil lama, dua orang pengawal keselamatan sedang "makan tengah hari", lalu tiba-tiba frekuensi radio rosak. Si pegawai bising, "Suruh tuan kita ubah TVlah!" Kemudian bunyi tembakan. Mereka bergerak "ke tepi tasik".

Imejan pertama selalu memberi kita klu terkuat.

Ada beberapa tanggapan yang keluar: filem ini sememangnya bukan berkenaan golongan marhaen. Golongan ini dibayangkan dengan dua pegawai tersebut (yang kemudiannya kita tidak jumpa sampai habis). Radio ini menarik: ini menggunakan gaya lama. Ya. Lagunya mendayu, romantik. Ada kisah romantik dalam "tragedi" ini. Ia rosak tiba-tiba. Ada halangan. Secara lalu, kita memahami bahawa kritis sosial (yang biasa dalam noir)  yang berlaku dalam filem ini berkenaan perminan dan rakus kuasa kalangan orang berkuasa/kaya, yang mana orang marhaen hanya "menonton" atau "mendengar" (mengikut). Namun tanda ini tidak begitu menyerlah kerana sememangnya "mainan para orang atasan" yang kelihatan dimainkan dalam filem ini, khusus dengan standard noir yang berpunca daripada seorang watak yang dilakonkan oleh Zul Ariffin.

Zul Ariffin ini mengejutkan. Strata emosinya pelbagai, dan mimik mukanya punya ikonik menarik. Dia antara pelakon baharu yang "dilahirkan" untuk memadu asmara di layar. Dia protagonis, antihero filem ini, bergerak kerana mendapat mimpi-mimpi aneh berkenaan ayahnya. Dia kembali ke rumah ayah namun disambut hambar oleh ahli keluarga. Syak tersembul. Dia mencari jawapan dalam samar-samar, walaupun dengan "hantu" dan mimpi. Ini menarik dan membuka dimensi satu lagi, walaupun noir.

Telefilem ini boleh jadi top notch jika hanya ada syot-syot yang lebih menarik (rujuk syot tidak logik Zul
ambil masa buka tombol pintu kabin). Paling aku sakit hati ialah penggunaan efek suara untuk "mengimbas kembali", ugh!! Kerana jelas, cara yang ditulis lebih terikat dengan gaya Lynch "membuka pintu" walaupun tidak sekompleks auteur itu. Filem-filem noir lama juga tidak menggunakan efek sebegitu. Kemudian ada runut bunyi entah apa-apa, hah, ada orang nyanyi??? Aku rasa elok lagi jika bajet nyanyi dan lagu itu diberikan kepada seorang penulis muzik yang berhak atau penyadur lagu Barat yang pandai macam anak-anak Yusof Haslam, mungkin lebih menarik, walaupun ada beberapa bahagian lagu saduran itu menjadi menarik dengan imej telefilem.

Dan pengakhiran telefilem ini, aku betul-betul suka. Berani dan amat pesimistik melihat golongan orang atasan yang tidak tahu menyelesaikan masalah (rujuk kembali berkenaan radio rosak pada awal filem). Sebuah telefilem menarik mengikut corak noir.

20 June 2013

Mengapa Men of Steel Perlu Diberi Peluang Kedua

Ulasan perca:
Man of Steel(2013): Dengan skrip David Goyer dan bantuan Nolan, Snyder yang kita kenal suka sangat mendedahkan dada pelakon jantannya di sini memberi satu intepretasi epik yang ada momen-momen klasik, serius, namun bercelaru pada bahagian akhir. OK, aku tak suka versi Bryan Singer, namun versi ni, sebagai peminat besar versi Christopher Reeve tidaklah menghampakan, lebih-lebih lagi dengan sifat Jeneral Zed yang "bukan jahat" dalam buku moralnya, serta terdapat banyak unsur Nietzsche dalam pemaknaan "patriotik" Amerikana sebagai "kuasa dunia", oh di situlah makna "Ubermensch" tercipta kan? Kau peduli apa kan? Apa-apa pun aku suka dengan mitos kepada makna "Dewa turun dari kayangan" filem ini, walaupun, hey, afasal macam Hancock dan Chronicles lagi boleh ingat?"

Aku tonton filem ini kali kedua, hanya kerana aku nak tonton Diane Lane sekali lagi. Oh ya, aku ni peminat  besar Diane Lane.

Jangan terkejut kalau aku kata, walaupun Star Trek: Into The Darkness bagus, aku menguap dan tertidur di tengah-tengah pada tontonan kedua (nak merasa Imaxnya).

Aku tonton filem Superman versi baharu ini (versi 2D, sebelumnya versi biasa) dan aku, aku sebenarnya teruja.

Aku baru sedar apa yang aku terlepas.

Memang, masa awal-awal aku tonton (rujuk ulasan perca di atas), aku tak berapa layan dan malah terasa cold terhadap gaya aksi pukul-pukul Battlestar Galaticca bahagian kedua filem ni. Itu yang aku terbayang, "Eh Transformers ketemu Hancock dan Chronicles?" Aku gerenti, ramai skeptik pun akan mengatakan mereka terasa "banyaknya aksi, tumpat sangat".

Apabila menonton kali kedua, barulah aku dapat susun (OK, ya, aku lambat pick up gaya-gaya baharu ni! Cikai betul!) emosi dan aksi yang berlaku dan terasa dengan "Bibicle impact" yang ingin disampaikan. Walaupun Superman tak buat dua perkara, tiup angin biar api padam (sebab dia baru belajar kan?) dan tolong masyarakat "Help me Superman!" secara ramai ala-ala terbang dan bawak mereka ke tempat selamat. Dan ya, kali ni Superman mengerang dan meraung, alahai, yang itu aku tak boleh tahan (Ye lah, yelah, dah lama simpan sexual repression tu kot, janji dapat cium Lois Lane tu pun dah berahi kan? Aku rasa janggal juga babak Superman tiba-tiba batuk, serius iklan Strepsils terpampang dalam khayalan aku).

Aku suka Superman ni sebab kita seakan-akan sama-sama "membesar" melihat dia membangun diri, mempelajari cara dia mengawal kuasanya secara hakiki dan rohani (Waaaaaahhh), malah dia pun kadnag-kadang tersasul dan tersalah kira, dia nampak lebih "manusia" walaupun dia kurang charming daripada Christopher Reeves. Aku tarik balik kutuk Henry Cavill kayu sangat. Henry boleh tahan bagus. Come on. Dia macam Rusell Crowe cakap, "Dia akan jadi Tuhan untuk mereka." Dewa turun dari kayangan yang ingin menggunakan kuasanya, ingin melakukan yang baik-baik, ditahan, dan bila diberi ruang, belajar sedikit demi sedikit untuk menggunakannya untuk kebaikan. Dan seperti seorang outsider geek, dapat kepercayaan seorang Lois Lane pun dah cukup baik. Kejanggalan yang aku rasa Superman bercium dengan Lois jadi tak janggal kali keduanya.

Aku teringat singkapan Nazim Masnawi dalam Peripeteia Tragedi Yunani tentang Endhiran (aku masih larger than life, eskapis realiti yang diperlukan sekali-sekala. Aku menyedari itu kerana apabila kita menonton Man Of Steel, filem ini bukan sahaja cuba melihat gerak falsafah dan psikologi Superman dekad ini dengan pelbagai sinikal dan analisa, melihat falsafah Nietzsche, pragmatik Amerikana, pancaroba pengganas, dan "mendewakan" (ini paparan paling menarik untuk David S. Goyer bangunkan selepas ini) Superman dengan meletakkan Superman sebelah motif Jesus Christ, Superman melepas tangan ala-ala salib, dan Superman apabila membantu seorang askar dari jatuh, runut bunyi nyanyian koir gereja melambung (baca: saviour) dan seorang Kristian dari Kansas akan menyedari, "Oh anak tuhan sudah datang! Amen!"
tak suka filem tu), tentang semangat filem-filem

Filem ini juga digerakkan secara operatik. Emosi dalam filem ini amat menayangkan semangat opera (ya, yang nyanyi-nyanyi panjang tu), segalanya tersusun seperti sebuah opera (angkasa) yang agung. Emosi disingkapkan dengan setiap detik besar yang berlaku, setiap tragedi, setiap pilihan yang dilakukan. Dialognya susunan kata "besar-besar". Laungan jadi balada panjang menghibakan, menyampaikan suara hati terdalam tentang takdir dan qada qadar, tema-tema biasa dalam opera. Kerana itu Superman melaung akhirnya di dalam muzium (bayangkan, kalau sang soprano di situ), "menyanyikan" sugul dia untuk memahamkan bangsanya tentang keindahan kemanusiaan dan pilihan dia memilih kemanusiaan, dan ini juga disampaikan dengan kefahaman filem larger than life Kollywood di atas. Dan ini bagi aku, menjadi.

Memanglah hal begini merupakan citarasa masing-masing (a matter of taste). Tetapi bagi aku, David, Nolan dan Snyder sudah faham sangat dengan konsep dan sebab akibat. Seperti yang Umyra Awani nyatakan, ya benar, filem ini memang amat padat, setiap satu imejannya tidak ada yang terlewah. Kerana itu dalam babak-babak dramanya, kita memahaminya cepat, dan dalam babak-babak aksinya, "logika" yang ditanamkan begitu cukup, kita boleh terlepas jika kita leka tanpa memberi tumpuan.

Kali ini juga, aku rasa penghormatan benar-benar diberikan pada sayap Superman. Sayapnya membawa makna yang amat kukuh (rujuk apa yang berlaku dengan sayap Jeneral Zod pada akhirnya) tentang pendirian dan maruah, yang juga merujuk gaya pemakaian pegawai tinggi dunia Rom. Kita bercakap fasal dewa-dewa Yunani yang turun dari kayangan berperang di bumi, yang juga wujud dalam hikayat lama kita. Rujuk teater bangsawan kita bagaimana dewa-dewa dibayangkan. Ini sebelum kedatangan filem lagi. Kau akan terkejut.

Kali kedua menontonnya, aku juga jatuh cinta dengan lagu Hans Zimmernya. Ingatkan aku cari CDnya nanti. 

Ini jawapan terkini Amerika melawan "kejahatan dunia" yang nampaknya boleh dikongsi oleh masyarakat dunia, walaupun dia tak sunat, tinggal di Kansas, dan bercakap bahasa Inggeris.


19 June 2013

Pecah(2013): Pecah Telinga Pecah Jiwa

Baru-baru ini kita kedengaran dengan isu kehadiran gerombolan pembikin anak muda dikecam oleh beberapa pengarah lama. Aku memang tidak berapa setuju dengan beberapa poin yang dikemukakan. Paling merbahaya, pengarah tersebut menilai "kesempurnaan" sesebuah filem tempatan melalui jumlah jualan kutipan tiket (bermakna, jika filem itu tidak laku, filem itu buruk atas tidak mengikut selera masyarakat "umum"). Hal ini amat merbahaya kerana kebagusan sesebuah filem tidak boleh dinilai atas dasar "komersial", "art-house", atau "pujaan ramai". Filem itu "bagus" atau "tidak bagus", itu sahaja, sama ada mengikuti penakrifan bahasa filem tahun-bertahun (seperti Azharul Azmir nyatakan, "80 tahun Sinema Malaysia-Melayu!") atau "melawan" takrif lazim bahasa filem tersebut. Terpulang, dan hal ini pun menarik untuk dikupas/nilai/ulas/kritik.

Namun begitu, aku juga terjengkel sementara apabila ada sesebuah filem sebegini datang ke pawagam kita.

Serius, jiwa aku, tidur dan hidup, ingin melihat wayang tempatan kita berjaya. Aku "langgar" semua jenis filem kita, (OK, aku tak seteruna dahulu, aku memilih sekarang), aku bayar tiket semahu-mahunya "membantu" filem kita sekurang-kurangnya dapat RM5 daripada sumbangan aku. Apa aku dapat, serius, apa aku dapat?

Serius, para pembikin, tolong, tolonglah hormati penonton kalian. Dua hal yang aku selalu bingit dengar. Kalau masalah masa, tolonglah para penerbit, berikan para pembikin MASA untuk membikin dan membaiki kraf mereka. Serius, give them time! Jangan gatal nak kejar masa saja sampai mutu terabai! Serius cukup-cukuplah dengan idealisme "tangkat muat" - janji cepat siap nanti tunggu tayangan. Kejadah? Tu Mi Maggi je boleh bagi. Kau ingat orang macam Asrulhisyam Ahmad tu kelip-kelip dalam 30 hari boleh jadi macam Robert Rodriguez mengarah El Maricahi?

Kedua, tolong-tolonglah tambah perbelanjaan, WALAUPUN KAU TAHU FILEM KAU akan lingkup di pasaran. Aku tonton Pee Mak dari Thailand, dan serius aku serius malulah dengan kelompok filem kotemporari kita tahun ini. Dah lah dengan tidak pernah berlakunya usahasama kuat (rujuk mana-mana filem Hindustan, Korea Selatan dan Thailand, berapa gerabak syarikat penerbit yang bikin satu-satu filem), persatuan bergerak entah apa-apa, isu royalti sampai kiamat tak selesai, persatuan takde sepakat. Serius, kalau aku dah serik dan cakap "Pergi mampuslah filem Malaysia" dan mogok tonton filem luar je, siaplah, serius siaplah.

Aku tonton filem ni (dengan pujukan manja dan rayu) dengan dua kawan sastera aku. Mereka sanggup tonton ini pun kerana ada ulasan "baik" dalam Internet dan ini buku adaptasi Fixi. Serius teruja. Kami tergamam apabila dalam pawagam, hanya ada enam orang. Serius sedih. 

Apabila tayangan bermula, perkara pertama yang kami sedar, suara audio filemnya macam dinaikkan tahap maksimum! Aha! Adakah ini hanya berlaku di pawagam KLCC kami tonton atau di pawagam lain? Serius, sepanjang filem berlangsung, aku terpaksa tutup sikit cuping aku nak tahan arus desibel yang memekak ke telinga aku. Eh, Pecah, ni filem ke disko/konsert? Awal-awal lagi, hal teknikal ini, aku percaya telah "merogol" telinga para penonton untuk menonton dengan "selesa". Malah aku percaya, ada dua penonton yang keluar tengah-tengah tayangan, mungkin tidak tahan dengan suara yang memekak ke gegendang mereka.

Dah lah suara galak bukan main, runut bunyinya, ya Allah, dari Plutokah?? Imejnya papar lain, lagunya entah ikut gaya filem Aziz M. Osman lama yang sekurang-kurangnya menangkap emosi (walaupun aku benci). Serius menyakitkan jiwa! Emosi penonton jadi tunggang-langgang!

Filem ini ditangani tiga orang, pengarahnya (serius Asyrul, kau tak usahlah pakai lagi nama-nama pena macam Black entah apa, cukup nama aje, bina nama kau dengan kuat, tak usah berhitam bagai!) Azril Hamzah, dan Sha Hanim Ramli adatasi novel Khairulnizam Bakeri. OK, percubaan angkat semangat rompakan (heist) itu ada. APA yang filem ini perlukan ialah GAYA (style). 

Kebanyakan pengarah kita tak ada gaya. Serius tak ada gaya. Buat cukup muat, satu syot, satu take, dah, cukup, wrap-up, jom adegan lain. Filem ini merupakan citra dosa itu. Bentuknya macam menonton drama TV 80-an dengan cetusan parodi Gerak-gerak Khas sikit di sini sana. Apa poin pecah-pecah kotak imejan itu kalau kau tak dapat jaga tempo, teruja, dan takjub? Aku bayangkan, Jins Shamsuddin yang aku menyampah tu sekurang-kurangnya dapat bikin babak heist bank (dekat Ampang Park) yang nampak bergerak dalam Esok Masih Ada, dan ini 80-an wei, 80-an! Takkanlah kau tak nak upkan gayanya Asyrul oi. Kata tonton Ocean 11! Lepas tu, pemilihan pelakon dan cara syot dibikin. Entah mengapa janggal demi kejanggalan yang berlaku di layar. Siapa yang main doktor tu, serius budak dari longkang mana korang dapat? Paling jengkel, si Don ala-ala buat suara Achapan kepit lakonan Buzen Hashim, nominasi aku untuk Raspberry Malaysia kalau ada, dari awal sampai akhir, rimas nak mati! Aku faham pemilih pelakon memilihnya atas dasar "dia ni memang akan mencelakan kau", tapi serius pilihan cara lakonnya yang berjaya mencelakakan susun gerak dan feel dramatik filem ini.

Dan, Fizz Fairuz? Apa perlu kau jerit-jerit semangat ala polis dari Itali bagai ambik semangat Gerak Khas? Lame babi!

Dua sahaja pelakon yang "cuba" tapi bagi aku amat mencuba, Soffi Jikan dan Tony Eusoff, yang amat tidak dibantu oleh para pelakon yang mengelilingi mereka dan pengarahan yang terlalu lemah.

Tengok, aku tak sentuh pun lagi "cerita" filem ni. Aku baru sentuh teknik pembikinan aje ni! 

Cerita. Hah! OK, "cerita" dah ada, yang tidak berapa nak adanya ialah pembangunan watak. Apa hal tiba-tiba Tony Eusoff menjerit depan cermin? Apa? Masuk-masuk tiba-tiba tibai bini, "Aku ceraikan kau!" lepas tu bagi tumbuk yang kartun dekat audiens? Walaupun (aku agak) aku tahu penzina bersama bininya ialah Ako Mustafa, mana story arc mereka? Apa ni? Apa kaitan tiba-tiba Izreen Azmida gesek-gesek bahu ala feeling-feeling dengan Tony Eusoff tiba-tiba? Serius hal ini menghampakan. Banyak lagi tapi aku dah malas nak sebut. Serius secara holistik, kau dah dapat tangkap semangat kritis sosialis, semangat kaya mintak tolong marhaen (Soffi dan kawan-kawan, dan lebih cantik bukan kalau adegan ini diperkembangkan dan bukan main muat naik satu MTV panjang bercakap dalam stor?) untuk membantai si kaya. Mainan kuasa dalam wit sepatutnya berlaku, ini kritikan politik yang sepatutnya kuat (kita, masyarakat dipermainkan oleh orang berduit dan berkuasa), namun caca merba entah apa-apa. Ada dialog macam, "Dia dah takde Dr?" bila kau seorang jururawat dan dah lama jaga orang tua. Semua ni menyakitkan, sangat menyakitkan. Bikin filem masih di kotak sifar.

Serius, para pembikin kita perlu muhasabah diri kembali. Korang buat filem untuk duit kan? Demi dapat pulangan balik kan? Boleh tak korang jangan membontot penonton yang nak bayar untuk tengok cerita korang dengan sikap dan cara pembikinan ala-ala setengah masak korang? Serius. Hal khayalan yang pengarah tua cakap tu tiba-tiba jadi kebenaran, ya, pengarah muda macam Syafiq Yusof tahu susunan montaj dan gerakan mis-en-scene, Shamsul Yusof tahu susun imej dan sudut syot untuk gerakkan teruja emosi. Belajarlah daripada mereka kalau tak boleh belajar daripada Rodriguez. Ini amaran terakhir, sebelum aku betul-betul tutup mata untuk tonton sebuah lagi filem kita. 

Klasifikasi Pecah: PG-13, Ada babak kasar, bayangan seks, dan aksi ganas yang mungkin tidak sesuai bagi penonton bawah umur 13.
DITONTON DI TGV, KLCC.

17 June 2013

Kak Nab Nak Darah Muda Bukan Orang Tua

Kak Nab muntah-muntah semalam. Resah juga kalau-kalau buatan suami Kak Nab tempoh hari (Tapi, Oh, tak usahlah kita cerita nikmatnya). Tapi Kak Nab baru sedar bahawa Kak Nab tak dapat tahan melihat poster-poster cantik filem yang Kak Nab pernah tonton bersebelahan dengan hidung Mat London, oh oh,  (Kak Nab terpaksa ke toilet sekali lagi ... maaf, cantuman dua imej ni terlalu memualkan). Hari tu baru je Kak Nab tonton Sembilu di TV3. Kak Nab macam tak percaya, "Sundels, inilah filem zaman tu aku berkepit dengan soon-to-be-husben aku ala-ala berlinang mata siap pegang rapat-rapat bahu abang aku  dengan tangan dan pahaku sekali semata-mata nak dia pujuk-pujuk dan ajak makan ais krim nanti kat medan selera Pertama, Oh tidak!" Kak Nab tak dapat percaya dengan kata-kata Awie (Awie: Wati, kau tahukan lagu ini dibuat untuk siapa Wati?), kata-kata Wati (Wati: Tapi Awie tu budak baik, mak!) dan Ziana (tapi Ziana tetap KELAS ok!). Oh, oh, rakusnya filem ni, serakus serakah hidung Mat London, oh Kak Nab nak pitam! 

Kak Nab dah move on, Mat London.

Kak Nab tak perlu lagi dialog-dialog panjang baku Erra-Alice Voon. Darah muda tentulah membawa benda-benda yang lebih bergetah, yang lebih mengikut zaman. Zaman kita sudah berlalu Mat London, sebesar hidungmu itu, begitulah orang akan ingat zaman-zaman itu, hanya sebatang hidung yang besar. Superman pun dah tak nak pakai cawat kat luar, Kak Nab terima aje (Oh, dan Henry Cavill memang merakuskan walaupun berlakon macam batang, buat Kak Nab tergelek-gelek memuat turun semua jpeg badan sasanya yang ada dalam Google Image), James Bond pun dah blonde. Dunia dah berubah, filem dah berubah. Masalahnya, ramai lagi yang tak mahu lagi.

Kak Nab rasa, benda yang Mat London cakap ni, termasuklah Yusof Selam ni ada yang tak betulnya. Apa tu objektif sebenar filem? Hello! Filem ditayangkan untuk direnungkan oleh penontonnya. Mereka bukan budak-budak sekolah. Pengajaran hanya berlaku jika kita renungkan apa yang pengarah nak bagi dalam filem tu. Kak Nab sebenarnya tak mahu pun guna perkataan "ajar" sebab "mengajar" salah dalam filem. Pelakon merokok Kak Nab tak rasa Kak Nab akan merokok (walaupun ada penyelidik kata boleh jadi). Kak Nab dapat "rokok" yang lebih baik daripada itu apa! Kak Nab nak dicabar, dan anak-anak muda yang bergetah ni pandai mencabar Kak Nab. Kak Nab suka tu! Itulah rokok yang Kak Nab hisap!

Masalahnya sekarang, orang macam Mat London inilah yang mengajar pula anak-anak kita macam mana bikin filem, dengan memaklumkan hanya segelintir pula "pengarah muda" yang harus diikuti (hanya kerana pecah panggung??) Kak Nab ingat, bukankah Farid dan Syamsul pakar bikin filem rempit dan samseng, adakah itu hendak dimegah-megahkan sebagai "jati diri" dan "filem kita wajah kita"? Kak Nab rasa, macam Mat London sendiri pun tak tahu apa yang dia cakaplah, dan ini menyedihkan Kak Nab. Kalau nak bandingkan KIL, KIL tu seratus kali lebih baik daripada KL Gangster (yang meng"ajar" anak muda kurang "ajar" dengan orang tua, kalau nak sangat cerita fasal pengajaran!)

Kak Nab bayangkan ini aje: filem pecah panggung bukan bermakna filem itu bagus. Ambil contoh, Anugerah Blokbuster. Satu lagi festival yang menakutkan Kak Nab. Hah, siapa pengarah "muda" yang menang? Apa? Harun Adik Manja 2 tu?? Dan filem-filem yang menang. Kak Nab macam, eh ye ke, ni aje hidangan "terbaik".

Apa nak jadi dengan Malaysia ni? Tunggang terbalik! Yang baik dicanaikan, yang sampah diutamakan. Kak Nab serius dah serik. Kak Nab dah dapat rasakan, kesian dekat anak-anak muda yang mahu mencuba sesuatu, dipotong bukan sahaja oleh penontonnya yang tak ambil peduli dengan perubahan mereka, tetapi dengan tenaga pengajar dan orang tua yang tak tahu nak bandingkan berlian dengan kaca, SAMPAI SEKARANG PUN.

Sedih hati Kak Nab!

14 June 2013

Gangs of Wasseypur (2012): Hindustan Baharu

Kini, aku percaya, filem Hindustan merupakan suatu kuasa yang tidak boleh dipersendakan lagi.

Filem ini menaburkan buktinya.

Aku mengaku, aku bukan peminat Hindustan. Sewaktu era Shah Rukh Khan berkuasa dengan filem entah apa-apanya, dengan sekejap bakar mayat bini lepas tu anak siap baca Quran, dan selepas itu berorgi mak ayah adik tiri awek dengan air mata, zaman tu aku serius tak ambil pusing.

Aku "mengambil" penghormatan bersama-sama kawan aku, Gaia, dan kadang-kadang bersama Kekure kerana kegilaan kami menonton apa-apa wayang, malah Cap Square merupakan Mumbai kecil yang memberi kami ruang itu. Era itu, aku suka selongkar filem-filem Tamil yang aku jauh lebih terpegun dan suka daripada Bollywood.

Lalu, filem ini datang, Gaia membelinya, yang mula-mulanya aku ambil dengan "kritis" dahulu. Yeap. Filem ini garuda terhadap kehadirannya dalam filem Hindustan (atau antihindustan, aku akan ke situ). Filem ini panjang, kurang sikit daripada Voyna i mir Bondarchuk sampai penerbitnya terpaksa potong dua bahagian sebab, orang India ni tak suka tonton panjang-panjang (walaupun filem lazim Hindustan tiga jam, mesti mereka siap sembahyang dalam wayang), tengoklah, hanya di panggung sana saja yang masih kekal jeda selingan (intermission) selepas sejam lebih sebuah filem (waktu tu kau boleh minum, makan, kencing, lepak luar, hisap rokok, solat dan kongkek).

Filem ini ada "empat generasi" mengalahkan The Godfather (filem Cappola tu tiga generasi), menyampaikan dalam cangkuman utama filem tentang konflik "peperangan" dua puak terbesar yang tinggal di daerah Wasseypur antara Qureyshi dan Khan.

Filem bermula dengan satu babak yang aku boleh katakan, merupakan babak paling penting dalam sejarah filem Hindustan pada mana-mana era. Kita lihat, sebuah TV menayangkan "drama" (ingat filem ke TV!) Hindustan yang "komersial", terhimpunan satu "keluarga" menontonnya (klasifikasi U?) lalu tiba-tiba TV itu meletup (rujuk Twin Peaks: Fire Walk With Me) ditembak oleh kumpulan gampang Qureyshi (waktu itu, kita tidak tahu lagi). Ah, satu penanda, ini anti-Hindustan?! Semua orang dipaksa "tutup kedai". Ini kawasan "Khan"! Secara sinis, Kasyap sedang "menutup" TV ataupun filem Hindustan yang "klise" kita kenal, kita tahu ini bukan filem main-main. Kedua, rujuk lagu dalam kredit awal drama itu, drama tentang keluarga yang sedang mengajak penonton "mengenali" dan bermesra dengan mereka. Ini "jemputan" Kasyap kepada penonton Hindustan amnya yang "tidak mahu berubah", yang juga memberi tanda bahawa ini sebuah filem "keluarga" dari erti kata "keluarga mafia Khan", dan akhirnya kita sedar, kita akan "bermesra" merasai "sedikit" rasa ranggoli tersebut (yang tidak pernah disampaikan begitu).

Aku tidak berapa suka dengan Bahagian 1 filem ini, panjang, dan terlalu berleka-leka merenung suatu imej (image drooling). Terdapat rujukan demi rujukan filem Hindustan era 50-an hingga 80-an. Dan keluarga Khan, khususnya Faizal Khan (lakonan paling mencengkam dan menakutkan daripada Nawazuddin Sidiqqui, beliau seharusnya dimasukkan dalam kanun pelakon samseng terbaik) menjadi "perujuk" (walaupun ayahnya turut menggunakan eskapis tersebut) pada alam eskapis berserta "bakal isteri"nya. Beberapa filem Hindustan terkenal disentuh, khusus era "Hang Jebat" Amitabh Bachan.

Begini. Ada satu dialog penting yang diutarakan oleh Ramadhir Singh, si politikus kepada Shamsad Alam (seorang lelaki baharu yang masuk ke dalam sindiket, orang bawahan Khan yang kemudiannya berpaling tadah kepada Qureyshi) yang menyebabkan segala peperangan "sunyi" tiga segi Singh-Khan-Qureyshi. Beliau "mengajar" Shamsad bahawa kalangan Khan akan "mati" sebab mereka "terleka-leka" dengan filem Hindustan, terpesona dengan idola wayang gambar dan ingin menjadi/menyalin lambang idola mereka (idola di sini bermakna dewa, juga "glamor") sedangkan dunia realisme tidak begitu (kita manusia, bukan dewa). Ini suntikan paling tajam terhadap eskapisme Bollywood. Kita sekarang secara tidak langsung "faham" mengapa dalam Bahagian 1, Kasyap terlalu "berleka-leka" dengan dadah Faizal, wayang dan rujukan tarian dan nyanyian Bollywood dalam dunia Khan. Begini, jika kita teliti, walaupun Bahagian 1 itu semacam tragedi (yang kita akan fahami akan berlaku berterusan seperti kitaran roda), ia dibikin dengan romantis (rujuk walaupun kompleks perhubungan Sardar Khan dengan dua isterinya, Nagma (Islam) dan Durga (Hindu), ia tetap menyampaikan khalayan denyaran Bollywood di mata Sardar terhadap, khususnya Durga yang meragut nafsunya). Kita juga dapat mengenali bagaimana kisah berkenaan orang-orang kecil semacam pejuang/lanun Robin Hood negara, menggerakkan semangat (rujuk kembali: romantisme) membalas dendam (rujuk, ini tipikal semangat Bollywood, rujuk filem-filem Bachan era awal) yang akhirnya menjadi "samar-samar" kerana kompleksiti "kuasa". Kuasa menjerat matlamat awal Khan. Dengan kuasa, dalam politik, Khan menjadi "lumpur" dan seperti Ramadhir katakan: "Terkhayal".

Kononnya, hanya Ramadhir yang "tidak khayal", si patriakh yang mengawal segala ekuilibrium kuasa politik wilayah tempatnya (dengan bantuan kuasa bawah dua puak tersebut). Dia langsung menyatakan dalam Bahagian 2: "Akulah godfather sebenar!" Bang! Kita akan menyedari bukan sahaja ini menampar Micheal Corleone tetapi menyatakan dengan berani (lebih berani daripada Rajneeti) siapa "bapak" penyangak sebenarnya di tanah India (mahupun dunia!)

Kerana itulah, seakan-akan Bahagian 2 "menebus dosa" Bahagian 1 yang "berleka-leka". Gaya pun berlainan. Bahagian 2 bergerak laju, intrig dan penuh muslihat. Sedikit demi sedikit, pesonaan Hindustani tersebut menjadi kurang dan gelap dan gelap, langsung pada babak penyerbuan puak Qureyshi terhadap rumah Khan yang kita sedari berlaku dalam Bahagian 1. Pada beberapa tahap ini, kita yang terleka dengan perwatakan setiap keluarga Khan, yang samseng dan matriach, mula meletak "simpati" terhadap bahu Faizal Khan. Malah, Faizal yang kita "takut" sebelum ini, kita rangkul (ingat drama TV tadi?) untuk "membantu" dia menyelesaikan khayalan/harapan Bollywoodnya ala Bachan. Ya, kini, setelah seakan-akan filem ini menyindir Bollywood, ia memberi kita sokongan untuk sang anti-wira Bollywood itu melangsaikan hutangnya yang kita tunggu-tunggu dalam Bahagian 1. Lalu terjadilah suatu Woo bertemu Tarantino yang sejati pada klimaks (yang aku tidak akan nyatakan). Malah bagi aku, terlalu genius, aku terlopong akhirnya.

Filem ini digerakkan dengan naratif Nasir, pak cik Faizal (pembantu Shahid dan Sardar Khan) yang pada mulanya, kita rasa canggung kerana filem ini bergerak dengan "penceritaan" ala Wayang Kulit yang kadang-kadang tampak melewah pada dialog. Namun kita menyedari, pada akhirnya, ini merupakan "doa taubat" panjang si Nasir memohon cucu seterusnya dalam keluarga Khan "keluar" daripada sumpah dunia samseng Wasseypur (namun jika kita pegang semangat realistik Singh, hal itu tidak akan terjadi). Hal ini kerana Nasir telah melakukan suatu "dosa" yang menjadi "mimpi ngeri" seluruh hidupnya. Kengerian inilah disampaikan kisha panjang ini, seakan-akan melanggar "mimpi manis" yang diberikan oleh Bollywood sebelum ini (dan masalahnya, mimpi ngeri ini tidak kunjung selesai walaupun Nasir sudah mengucapkan "taubat"nya pada akhir filem)!

Filem ini bukan sahaja patut ditonton atas nama filem "gangster" dan sememangnya bagus dalam genre ini, tetapi berkenaan keinginan filem Bollywood itu sendiri berubah namun menyedari tempat dan makna dirinya, juga kritikan politik paling tajam berkenaan strata politik secara luas, dan paling mengejutkan, kerana filem ini seakan-akan melakukan homaj terhadap sejarah filem Hindustan, ia juga melakukan penghormatan kepada makna sejarah: Sejarah akan sentiasa berulang-ulang sehinggalah mereka menyedarinya. Inilah titik sebenarnya doa Nasir kepada Allah (lantas sudah tentu buat anak Faizal, lantas sudah tentu kepada generasi muda) yang disampaikan untuk penonton India BANGKIT dan SEDAR akan KELEKAAN mimpi/eskapisme Bollywood/ mainan mimpi para politiknya / kesakitan yang dihadapi India kerana sejarah karmanya yang panjang. Bangkit ini merupakan keberanian yang sebenar dan menyentak sulbi makna filem dan kefahaman pengalaman "berwayang". 

Lakonan filem ini pada tahap tinggi yang tidak pernah kita akan tonton dalam sesebuah filem Bollywood. Aku serius suka beberapa, namun Sidiqqui menjadi teraju utama yang aku hormati. Manoj Bajpai yang menghidupkan semangat Sonny Corleone juga menarik dan berkuasa, merupakan teraju utama filem pertama. Pelakon wanitanya turut diberikan suara dan ini sesuatu yang hebat dalam sebuah filem yang selalunya lelaki. Khusus Nagma sebagai penanda "Mother India-Khan" terhadap pelbagai simbol seks lain yang hanya menjadi tempat "bergaul" golongan lelakinya. Nagma yang ditengah-tengah seakan-akan ruang mengisi segala sakit keluarga tersebut (yang dia sendiri deritai kerana dimadukan), mengimbangi baik-jahatnya kerana Nagma sememangnya seorang pejuang, niat menolak cara. Aku juga terkejut dengan keberanian Kasyap menyampaikan satu "subtle image" golongan homoseksual yang dibawa oleh Shamsad Alam. Ya, rujuklah babak tarian bersama mak nyah tersebut dan bagaimana Shamsad tidak kahwin-kahwin dan dipermain-mainkan kejantanannya.

Lagu-lagunya panjang dan sengaja mengada-ngada pada Bahagian 1 dan kemudian menjadi lebih tampak pada Bahagian 2, dan memberi ruang senyap pada bahagian-bahagian betul dalam beberapa babak penting. Sinematografinya hebat, khususnya pada Bahagian 2 yang khusus pada bahagian tembak-menembak dan pelarian Faizal yang panjang. Suntingannya memang sudah disengajakan begitu, leka dan kemudian mengejut dan kemudian pesona. Pengarahan seninya berkuasa. Dan paling aku suka, latar suaranya, yang jelas mencapai tahap profesional tinggi. Malaysia perlu belajar menyunting dan mengadun suara seperti ini.

Filem ini dengan beraninya melanggar kebiasaan bahasa standard Hindi dengan beberapa slanga serta beberapa bahasa lancang dan kotor dalam India.

Sebuah filem "Hindustan" wajib tonton.

12 June 2013

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman(2013): Sastera ke Layar Mencuba

"Radio ada ke radio takde ke, Pak Hassan akan terus dengan cerita-ceritanya."
-Ramli


Sebelum Bermula Segala
Pertama. Berapa orang yang mau melihat layar kita berubah sempat menonton telefilem ini? Berapa?
Berapa yang peduli?
Kehadiran telefilem ini aku boleh mengaku sedang membuka ruang dan peluang yang sibuk-sibuk diperkatakan oleh Salbiah Ani hari tu. Namun jika tiada "pengikut" yang wajar, termasuklah daripada pengsimpati dan pengikut sastera, idea semurni ini akan ranap. Titik.

Fatalisme
Dahulu, hal inilah yang aku secara terus-terang membenci sastera Melayu (namun selepas ketemu S. Othman Kelantan, aku tak sedar betapa indah juga sastera Melayu sebenarnya). Dalam kebanyakan novel 60-70-an, novel menang besar Anwar Ridhwan ini adalah antaranya. Hal ini merumitkan, kerana bukan sahaja menyakitkan untuk membaca kisah fatalis, untuk menonton suatu fatalisme tanpa daya dekaden (kerana ini kononnya semangat Barat) membuatkan orang berfikir dua kali.

Aku menonton telefilem ini bersama-sama kembar aku, Lyn yang tak endah langsung tentang dunia sastera kita. (maknanya, dia penonton luar yang aku pujuk menonton "sastera" kita). Menonton filem ini, dia boleh berkata hal ini: "Lesunya! Penatnya!"

Aku tidak menyalahkannya.

Tanggungjawab ini keseluruhannya dalam tangan Sabri Yunus, sang sutradara baharu yang memberi kita kehebatan Sanggul Beracun.

Perlu Imejan Berkuasa
Sewaktu aku membaca novel derita perang-tragedi sastera lisan ini, aku membayangkan dua imejan kuat yang tampak memang indah untuk disaluti dalam dunia yang didepani oleh Pak Hassan (Wan Hanafi Su) dalam "detik terakhir"nya: kehadiran radio dan kehadiran tentera Jepun. Lihat subteksnya. Radio berbentuk ancaman fizikal berbentuk teknologi yang akan "menggantikan" fungsi Pak Hassan (yang kini, sudha lebih pelbagai, rujuk Dewan Sastera Mei 2013). Kemudian imejan tentera Jepun, dengan mula-mulanya diperkenalkan dalam novel itu dengan bunyi gempita kapal terbang Jepun lalu kemudian kehadiran askarnya. Kedua-duanya "barang luar" yang mengancam. Tradisi Pak Hassan dan orang kampung (Melayu) akan diancam (walaupun sudah terancam dengan pelbagai penjajahan). Ini yang menggertak Pak Hassan dan orang kampung tanpa disedari.

Lalu bagaimanakah imejan ini dilancarkan?

Dalam telefilem ini, Sabri mengambil pendekatan "lisan" dan minimalis, tidak pernah fungsional perlambangan pada cerita. Lisan kerana terdapat dialog keterangan "Jepun akan datang" dan "si orang tu dah ada radio". Semua ini cantik dalam "teks", tapi jaga-jaga, filem mementingkan imejan. Kita dengar Jepun datang daripada Zul Huzaimy bercakap kepada kekasihnya Mardiana Alwi (secara pelik dalam babak itu, si Mardiana boleh "tersengih" apabila mendengar Jepun nak datang, walaupun hal ini menarik secara sexual tension, namun janggal kerana Mardiana boleh tersenyum dengan keterangan itu). Dan apabila Jepun datang, ia dilakukan dengan syot panning yang amat mudah, budak-budak lari, kamera gerak kiri, Pak Hassan ditegur budak-budak, kamera gerak kanan, askar Jepun berdepan Pak Hassan. Serius malas, serius tiada intrig! Radio lagilah. Kita hanya lihat radio tersebut apabila Mat Junuh datang suatu pagi (itupun dah diletakkan Mat Junuh tepi tangga) selepas entah berapa watak yang sudah berbual-bual fasal kehadiran radio dalam kampung mereka.

Sila lihat jika imejan ini lebih berkuasa:
Bayangkan tiga babak dengan kepentingan syot "pintu" sebagai ruang lambang "perhimpunan/perjumpaan". Kita lihat Pak Hassan bercerita di "serambi" rumah di luar "pintu depan" ruamhnya. Orang ramai (idea massa menghampiri penanda zaman) mengelilingi pintu depan dan serambi. Kemudian, dengan bunyi jet Jepun, kaki orang kampung berlari, kaos, di "pintu shelter" kita lihat orang berhimpun. Imejan jelas, "zaman" sedang berubah dan mengubah gerak laku massa. Imejan ini dimainkan lagi dengan perkenalan "radio" depan rumah si tukang radio (aku lupa nama watak) bila orang, sepertimana yang ramai ke rumah Pak Hassan berkerumun ke rumah si dia, kita nampak pintu depan rumah tu dengan suara radio di dalam, orang berasak-asak, mungkin pertama kali mendengar berkenaan kehadiran Jepun di Kelantan. Kita boleh juga masukkan imej Mat Junuh yang "terpesona", sedikit demi sedikit mendekati dan "melalui" pintu depan rumah itu untuk melihat "radio", suatu "tikaman imej" pada harapan Pak Hassan kepada anaknya.

Bukankah begitu lebih baik?

Intepretasi Sabri Yunus
Aku takkan salahkan Sabri sepenuhnya. Ini mungkin percubaan Sabri mengambil teks skrip teater adaptasi novel ini dan cuba bertungkus-lumus mencari penyesuaian dengan teks filem. Salinan begini akan terlepas pandang.

Filem ini mempunyai tema serius berat, kalau Sabri pandai bermain dengannya. Tema luas filem ini ialah berkenaan kehadiran "kiamat" terhadap suatu zaman. Zaman di sini diwakili Pak Hassan dengan ceritanya. Bolehkah cerita Pak Hassan "melepasi zaman baharu" yang sedang menhadapi kiamat itu?

Aku tergamam bahawa pandangan ini juga suatu ramalan simbolisme "kiamat" terhadap sastera kita, Dewan Bahasa dan Pustaka (sang pejuang gergasi itu yang orang Melayu sendiri sudah tidak mempedulikannya, contoh, hendak digerakkan sekolah aliran Inggeris?! Kalau Za'ba dan Keris Mas keluar kubur, mereka pasti mengamuk hantu) dan dunia feudalis lama Melayu. Dan betapa menakutkan, ramalan ini sedang berlaku SEKARANG!

Inilah fatalis agung telefilem ini!

Segala yang "ideal" dan dipegang secara romantis oleh Pak Hassan akan "hilang", "dirosakkan oleh orang kita sendiri..." Anaknya terencat (anak generasi sekarang terencat!), namun Pak Hassan tetap humanis, berharap dalam bayang-bayang, sampai ke tahap surrealis (imejan ini tidak berjaya ditangkap oleh Sabri), dan hal ini akan "memakan" dirinya. Tragedi akan berlaku dan ini akan menyakitkan!

Oh, lihatlah, betapa orang tua kita sudahpun menghancurkan dunia kita sendiri. Anak-anak sekarang boleh menggelek Psy daripada mengenali Zapin. Perdana Menteri boleh bercakap Inggeris dengan bangga di depan bangsanya sendiri, slogan kerajaan heboh dengan bahasa Inggeris, Merong Mahawangsa sendiri berkelok cakap Inggeris dari layar filem bajet rendah Hollywood! (dan menang FFM!) Oh, tuhan, hancurnya dunia kita sekarang!

Namun semua ini nampak lebih "mati" dengan gaya lembap dan terlalu statik Sabri merakamkan kampung tempat Pak Hassan. Inilah yang membuatkan keterujaan kawan aku mati tengah jalan. Ini dosa pembikinnya, kerana seakan-akan mendidaktikkan, "Oh, beginilah caranya kalau nak adaptasi sastera.." Jangan! Kalau nak cakap fasal "penglibatan penonton" Punggok Rindukan Bulan Azharr Rudin lebih "mengikat" walaupun filem itu "panjang" dan "seni" (dan juga bercakap tentang kiamat dan pergerakan orang Melayu ke zaman baharu).

Serius Sabri terlalu selesa dengan bentuk teater dalam mengangkat telefilem ini, dengan gerakan syot yang banyak bermain syot luas dan deep  focus. Hal ini memperlihatkan dunia yang statik (walaupun rasa ini menarik, seakan-akan dunia Pak Hassan itu statik terhadap peredaran masa), seakan-akan dipentaskan dan terasa ruang persekitaran yang tertahan-tahan dan sesak, yang kadang-kadang menjauhkan penonton kalau tidak dibuat dengan gaya betul. Dialognya terasa panjang-panjang dan kadang-kadang menerangkan cerita. Sabri tetap memegang "melodrama" dan ini suatu yang menyakitkan. Runut bunyi telefilem ini yang "cuba" memberi emosi melodrama yang betul menjadi huru-hara, entah apa-apa. Tidak meyakinkan.

Satu lagi yang Sabri tidak cuba ialah penggunaan simbolisme alam dalam menggerakkan realisme-surrealisme  Pak Hassan. Alam yang dilambangi bulan-hujan-matari-pokok bakau-pokok beringin tidak digunakan secara "motaj". Rujuk bagaimana berwibawanya Before Night Falls menggunakannya (Oh, orang akan kutuk akulah ambil contoh Barat), atau tak pun, Bunohan. Ini penting kerana bulan punya kuasa mengangkat filem ini (ada percubaan pada klimaks tapi tidak diberikan kesinambungan montaj). 

Ada satu babak monolog (Oh, banyaknya monolog dalam filem ni, oh tuhan, aku dah kata, jangan buat filem macam drama radio, jangan!) Pak Hassan berkenaan dia mahu jadi seperti pokok bakau. Ini amat menarik tapi hilang dalam kata-kata tanpa imej kuat. Bayangkan jika Sabri ambil gaya montaj (rajinlah sikit!) apabila dibayangkan Pak Hassan kemudian pokok bakau kemudian ombak memukuk pokok itu, lalu pokok itu tumbang (dan imej ini berkenaan dengan imej pohon beringin yang tumbang nanti) lalu pohon bakau baru lalu susuk Mat Junuh lalu kelam. Hanya mainan imejan yang diperlukan.

Pelakon Yang Dahsyat
Hal semua ini sayang sekali berlaku, kerana himpunan para pelakonnya bagus (aku terkejut, En. Ghapar DBP jadi Sarjen Jepun, ha ha!). Dua orang amat aku sanjungi. Wan Hanafi Su sebagai Pak Hassan pada tahap kematangan yang amat tinggi. Dia "hidup" dan "hirup" Pak Hassan. Dia gergasi yang akan ditarik rakus oleh zaman baharu, namun dia tetap berdiri walaupun sedang hilang akalnya sendiri. Gerak, suara, nafas Wan Hanafi menakutkan. Kedua, Amirul Affendi. Secara "pemilihan pelakon" (casting) sahaja pembikin sudah menang. Amirul sebagai Mat Junuh memberi suatu imejan lurus bendul-simpati yang amat berjaya. Humanismenya jelas dan hidup. Dia tidak mahu begitu tetapi dia begitu, ah, ini suatu keindahan dalam lakonan dan berjaya diangkat baik oley Amirul.

Suara telefilem ini terasa seperti drama televisyen biasa, tatariasnya baik dalam paparan kampung yang daif. Warnanya sudah bagus hanya gerakan kameranya memilukan. Suntingan tidak berapa jitu dan mantap.

Suatu angan-angan yang perlu disokong walaupun mengecewakan.

DITONTON DI Astro 952.

11 June 2013

Lari(2013): KJ Jahat dlm Filem ni

Oh, inilah dia filem tu yang masuk "pasaran" Cannes bersama-sama dengan KIL dan Vikingdom tempoh bulan lepas. Whoah, tepuk tangan buat Ahmad Idham! Aku boleh cakap satu hal lah, mamat Idham ni memang ada telur ah, ada balls orang puteh kata. Camni, cam siot mana pun kau buat, dengan berani kau kata filem ni mutu internasional. Yang itu mesti aku puji.

Dalam banyak-banyak benda yang Idham buat, semangat tak mengalah dan mengaku filem dia boleh jual pasaran antarabangsa, ahh, ini memang korang yang buat filem mesti ada dalam jiwa. Kalau tak, sampai 2020lah filem kita "wajah" kita je yang layan.

OK, filem ni bertih jagung. Aku sebenarnya MALAS nak kupas dan komen dalam-dalam, sebab sebanyak mana aku cakap pun, Idham akan ada cara dia, standard dia, dan telur dia nak ukur macam mana dia bikin filem dia. Jadi aku cakap jelah hal-hal yang aku tak suka (yang macam dia peduli kan?):

1. Runut bunyi dia malas nak mampus. Macam lagu mamat India main serunai keluar ular tedung, lepas tu, tiba-tiba mamat tu Metal petik gitar elektrik bagai. Ya Tuhan. Hancur. Sangat hancur.

2. Aku kesiankan Idham. Dia serius rasa penontonnya memang tak faham. Aku pun rasa penonton kita tak faham jadi sebab tu dalam beberapa hal, dia terpaksa melepaskan beberapa babak dialog "menerangkan"  (babak baca surat contohnya) dan babak-babak kalau dah jahat kan, macam Erry Putra tibai bini dia untuk tunjuk "Eh, aku jahatlah!" Yang ni, Hans Isaac boleh dihormatilah fasal ubah cara dalam Langgar.

3. Banyak sangat imbas kembali. Whoah, Idham dah pandai! Tapi serius aku tak peduli. Pergerakan dan skripnya takde masalah, tapi CARA ia dilakukan, suara khas, runut bunyi dan semangat melodrama. Oh, ini rujukan balik pada KL Gangster yang memang guna gaya ni.

4. Filem ni hancur tempo. Mood. Semangat "lari" tu tak buat kita betul-betul nak "lari". Ini, hanya yang profesional yang faham nak ikat babak pada babak dengan aksi yang akan faham.


Apa-apa pun, filem ni filem jaguh kampung genre aksi yang seronok. Kalau aku makan bertih jagung, siap boleh habislah, tahap wayang pacaknya memang menghiburkan untuk penonton kampung macam aku (kalau kau perasan duduk Paris berkepit minah salleh, kau mungkin tak suka).

Tapi yang lebih menariknya, ada satu babak ni yang buat aku terkikik-kikik seronok. Wah, Idham sekarang dah pandai main subteks. Ambik kau Hassan Muthalib!

Khaliff (nama kelas gila, rasa pelakon porno A+ sangat, oh ya, pelakonnya Adam Mukriz kita, Aaron Aziz) ni cari adik dia (macam Bintang Malam tu) yang kena "jual" oleh sindiket. Khaliff ni tentera (Lahad Datu ok!). Ayah dia tiba-tiba mati. Liam Neeson dapat pusing satu Eropah. Khaliff dapat ke Siam. OKlah tu.

OK, kita dah kenal yang Erry Putra (habislah abangnya, mamat ni boleh tahan celaka jahatnya) si penjahat, yang memang jahat bernama KJ(!), sampai kawen awek si hero Khaliff lakonan Dira (aku suka mata dia, stim membakar), yang buat ayah Khaliff terbunuh (sebab dia mamat orang tengah sindiket jual orang Malaysia-Thailand) dan sama-sama colek adik Khaliff nak jadikan dia ayam. Serius, jahat tahap gaban ni. Tapi nak tambahkan lagi jahatnya, jeng jeng jeng, KJ ni ada "kawanan samseng" yang ikut cakap dia (ehem!) dan dan, bakal nanti Ketua Pemuda kampung tu! Haaaa, amik kau orang politik!!!

Ada satu babak ni, masa tu Khaliff dah tau, si celakanya ialah KJ (sebab dua anak buahnya dah kena pukul kaw-kaw punya). KJ masa tu sedang BERMESYUARAT dalam bilik gerakan untuk AJK pemuda kampung supaya memilihnya sebagai KETUA. Ah, indahnya ironi ni! Sindiket kotor dan politik bertemu! Kemudian, apa yang jadi, Khaliff tendang pintu macam Rambo (ok, macam Laksamana Bentan), bawak dua penyangak tu depan semua orang (biar semua orang sedar kejahatan KJ) lalu cakap depan-depan, "Mana adik aku?" Ah, ini bahagian tersedap. Kita ingat, akan adalah satu babak lawan dialog orang-orang keliling KJ berkenaan "Oh, betapa sucinya KJ" ala mana-mana himpunan politik baik BN ataupun PR. Namun apa yang berlaku ialah: Dengan mata mengarah KJ, orang-orang yang pasif dan nampak baik tu tiba-tiba bangun angkat tangan dan serbu Khaliff, bantai dan pukul berleluasa dalam bilik gerakan!

Whoah!

Ini Idham sangat beranilah! Sangat-sangat berani! Dan nak tambahkan perisa ironi "kuasa celaka" ni, sebelum tu, KJ siap kata, "Saya akan tambahkan insentif tuan-tuan jika tuan-tuan memilih saya!" Hah, itu dia politik wang! Ambik kau!

Satu lagi:

Ada dua perempuan dalam filem ni. Dira (bekas awek Khaliff yang kena kahwin dengan KJ) dan adik Khaliff.

Seakan-akan Idham memaparkan dalam dunia Melayu, ada dua jenis lambang wanita. Kedua-duanya terhimpit dalam dunia patriaki lelaki. Namun, Dira ni lain sikit, sebab dia awek Khaliff, dia ada sedikit "semangat" walaupun terikat dengan sistem lelaki Melayu. Dia dipaksa untuk kahwin dengan KJ atas permintaan ayahnya, namun dalam diam, dia tahu dia nak apa. Adik Khaliff faham hal tu. Kod-kod wanita ini menarik, sifat penindasan mereka, walaupun tertindas secara senyap, mereka menyalurkan sifat feminisme mereka dalam acuan sistem itu. Yang ini, orangt Barat akan buta sikitlah sebab mereka takkan faham feminisme ala Timur, dan Idham dan penulis skrip ni faham. Syabas! Malah pendirian ini lebih berkuasa apabila kita lihat, penindasan bisu terhadap wanita Melayu ini dicengkam pada taham yang lebih sakit, yakni membuatkan mereka bahan jualan, yakni menimbulkan makna "simbol seks" dan hal inilah yang dilawan oleh Khaliff dan Dira (Ah, ini suratan menarik!) Khaliff menolak penindasan maha zalim ini (menutup sekali gus suara wanita itu bersuara. Jika wanita itu pelacur, suaranya ditutup langsung, dan masih ditindas oleh sistem  materi lelaki) walaupun perjuangannya satu perjuangan peribadi. 



Aksi dalam filem ini bagi tahun ini, agak menarik. Aku suka, walaupun susah nak ikut sebab runut bunyi yang hancur. Namun terdapat beberapa aksi yang kita tak rasa "tumbukannya", namun aksi dan gerakan aksinya menarik. Dari segi kareografi, sudah mula ada perubahan. Ada satu babak lari yang panjang sewaktu Khaliff di Kuala Lumpur, ah, yang ini menarik. Kita dapat lihat sisi KL yang marhaen dan kecil, dilalui Khaliff dan samseng. Hal ini amat menarik dan lebih menarik jika ia dijaga betul-betul, sudah mendekati profesionalisme filem aksi Thai.

Aaron Aziz OKlah dalam filem ni. Yang best dalam filem ni ialah Hazama, sidekick satu dimensi dan tukang lawak tiba-tiba Khaliff. Keseluruhan para pelakon tidak menghampakan.

Klasifikasi Lari: ?, Ada babak berdarah yang real dan aksi ganas dan realiti sosial yang tidak sesuai bagi penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Mid Valley.