Aku tonton filem ini dengan Lyn dan Reza, kalangan kawan peminat seram tegar aku. B***. Masa dalam tayangan, hanya aku terjerit-jerit, tutup mata, tutup telinga. Lyn dan Reza tonton dengan kool aje. B*** betul! Hahaha.
Ya, aku dah lama tak menjerit menonton filem seram Hollywood. Paling akhir, Sinister (2012) kalau tak silap. Ya, Evil Dead (terkini) atau Cabin in the Woods pun aku tak menjerit. Ah lantaklah, vektor takut kalian punya tahap masing-masing. Yang penting, adakah The Conjuring bagus?
The Conjuring mempunyai satu tujuan penting. Filem ini dibikin oleh seorang pembikin yang percaya dan sayang pada filem seram. Dia juga, James Wan, percaya pada dunia tahyul. Maka dia mengambil filem ini dengan serius (bandingkan dengan Mamat Khalid yang tidak percaya tahyul). Dia mengambil serius (walaupun kita diberikan ruang untuk berintepretasi) dengan pasangan Warren menyiasat sesebuah kes seram. Ed dan Loraine Warren benar-benar wujud. Francais Amytaville tidak akan ada jika mereka tidak ada (dan kerana itu juga dianggap kontroversi dan mereka dituduh menipu kerana penduduk rumah itu sekarang menyatakan tidak ada hantu), filem bodoh The Haunting of Conneticut tidak akan ada (buku yang didasari oleh filem itu lebih menakutkan, serius), serta Poltergeist yang Zelda Rubinstein merupakan watak "medium" (pembicara: bomoh) yang berdasarkan kepada Lorraine Warren. Mereka demologis, pengkaji dunia tahyul dan hantu syaitan.
Filem ini terpecah kepada dua, kita akan mengikuti keluarga Warren dan Perron (rujuk memoir House of Darkness House of Light) yang tipikal dalam mana-mana filem rumah berhantu. Konsep yang digunakan ialah gaya 1970-an, jadi mereka yang biasa dengan Repulsion, Rosemary's Baby, dan The Exorcist seakan-akan berasa dibawa kembali rasa itu, khususnya dalam sorotan kamera ke hadapan dan belakang (sebenarnya, Ti West sudah jauh ke hadapan dengan sikap menghomaj filem seram era ini dengan filem klasiknya, The House of the Devil yang sangat baik). Kemudian, James dan John Leonetti membawa suatu lagi hal menarik dalam syot apabila menggunakan gaya tunjang terbalik dalam beberapa bahagian syot, seakan-akan, bukan sahaja perspektif kepala kita mendongak terbalik (ingat Pee Mak, Pontianak Harum Sundal Malam?) memerhatikan perspektif yang melanggar bilazim (hal ini menarik kerana James seakan-akan mengutip semangat Nusantara-Asia Tenggara melihat "hantu" bilamana kita perlu mendongak untuk melihat "hantu") terhadap realiti hidup yang dipaparkan, juga menjadi kefahaman tersirat mengenai alam hantu/setan yang melanggar konvensional pegangan Warren (mereka Kristian Katolik).
Filem ini juga digerakkan dengan semangat "main sorok-sorok" dan "tepuk". Bahagian ini penting. Filem ini bukan sahaja menggerakkan cerita dengan mainan kanak-kanak (yang menakutkan) ini sebagai plot (untuk menjumpai sesuatu) tetapi menjalar pada jalinan teknik "menyorok" dan "tepuk" yang akan digunakan sekali lagi dan sekali lagi sebagai bahan pengajian "untuk menakutkan penonton" dan juga tersirat sebagai naratif besar filem berkenaan "pencarian" dan "sorok". Manusia "mencari" sedangkan hantu/setan "menyorok". Wan mahu kita sama-sama "bermain sorok-sorok" dengannya, sama-sama menjadi "pencari" seperti Ed dan Lorraine Warren mencari "sorokan" hantu, yang juga akhirnya akan sampai pada tahap "sorok jiwa", segalanya menjelaskan kefahaman yang makin lama makin besar jalinannya. Malah, klimaks filem ini turut menampilkan hal ini secara fizikal dan juga "spiritual", memberikan suatu peleraian yang begitu kompleks susunannya dan puas akhirnya.
Sorok ini juga terikat dengan "barang simpanan" dalam rumah Warren sebagai "muzium puaka" mereka "menyimpan segalanya yang berpuaka". Hal yang sekecil dan biasa-biasa ini akhirnya menyampaikan suatu yang besar juga jika diteliti: Warren, walaupun mereka pelik dan melakukan kerja pelik, mereka melakukan kerja mereka mengikut penentuan sekular, dunia "puaka" disorokkan (apabila penjelasan sorokan berkenaannya selesai) daripada anak mereka (dia tidak perlu tahu) dan sepatutnya disimpan begitu. Mereka hidup dalam keadaan "normal". Hantu-hantu tidak disebut, menjadi "barang" tersimpan dan "dilupakan".
Segala ini terikat cantik sebagai sebuah filem "hantu" dan "berhantu". Memang, terletak pada penghakiman
penonton untuk mempercayainya, dan tidak salah jika mereka masih tidak terbuka daripada sorokan seram itu.
Aku tidak berapa dengan gaya runut bunyi filem ini, walaupun terdapat momen-momen magik yang mengikut perut kita dengan drama takutnya, ia terlalu merebak pada setiap babak, seakan-akan kita menonton sebuah melodrama seram (dan sememangnya pun!). Terdapat satu babak akhir mana, dengan bantunan muziknya, meningkatkan emosi "sedih", satu-satunya yang berlaku dalam filem seram, dan hal ini menarik berlaku dalam sebuah filem seram. Para pelakonnya juga hebat. Aku mengagumi Vera Faminga dan Lili Taylor dalam filem ini, menampilkan peranan mereka sebaiknya sebagai si "pencari" dan si "penyorok" yang menarik. Terdapat beberapa homaj tinggi terhadap beberapa filem rumah hantu, namun jelas, Wan juga tidak melupakan tanda tangan patung puakanya pada beberapa bahagian penting filem.
Manusia dalam filem ini penting, dan kemanusiaan yang diberikan oleh penulis skrip Chad dan Carey Hayes cukup memikat, mengikat para pelaku dalam filem sebagai manusia biasa yang dikejutkan dengan sesuatu yang mereka tidak dapat fahami. Mereka hanya ada "kasih-sayang" dan ini unsur penting, seperti yang disampaikan dalam Poltergeist. Kesemua pelakon kanak-kanaknya terbaik, dan takut dan sedih, celoteh mereka jujur. Mereka menjadikan penonton turut takut dan bersimpati, sekali lagi, mengikat diri dengan The Exorcist.
Filem ini ada semuanya, humor, seram, drama dan suspens. Memang ia tidak dapatlah menyampaikan makna falsafah tinggi seperti The Exorcist, namun dengan penelitian teknik dan jiwa berkenaan makna rumah berhantu, menghantui dan ditakutkan dalam kotak, bilik, dan almari, ia menyampaikan jiwa seram yang terpencil namun jelas: setiap ruang dan objek mempunyai jiwa, kita, manusia membinanya.
Wan seorang ahli silap mata yang juga tidak takut untuk menonjolkan arnab sebalik topi, tetapi memberi makna kenapa arnab dikeluarkan dan kenapa disorokkan dalam topi.
Antara filem seram terbaik tahun ini dan dijangka menjadi klasik.
7 comments:
ooh yeah...yg paling akhir tengok tu, Sinister tengok ngan sapa yeee?
aku pun dah lupa, kau eh?
tak sabar tunggu sekuelnya dan Insidious 2 tayang September ini yeay!
aku agak baru ngan James Wan... cite baru Insidious yg aku dah tgk. Mlm ni nak layan Dead Silence sebelom tgk The Conjuring esok. Nasib baik bulan puasa... hantu kena rantai.. heheh
Tengok trailer dia pun jantung aku dah macam lari maraton, belum lagi tengok keseluruhan filem.
Review pendek dalam empat perkataan :
Tepuk,
Tarik,
Rasuk,
Tubik!
:)
Review Panjang -
Mencabar & Menalar Kepercayaan
Di sini :
http://zaimterbang.blogspot.com/2013/08/review-conjuring-mencabar-menalar.html
:)
Terima Kasih Abg Fadh sebab cadang! Enjoyed! :)
Awesome!
Post a Comment