Showing posts with label Kak Nab. Show all posts
Showing posts with label Kak Nab. Show all posts

17 June 2013

Kak Nab Nak Darah Muda Bukan Orang Tua

Kak Nab muntah-muntah semalam. Resah juga kalau-kalau buatan suami Kak Nab tempoh hari (Tapi, Oh, tak usahlah kita cerita nikmatnya). Tapi Kak Nab baru sedar bahawa Kak Nab tak dapat tahan melihat poster-poster cantik filem yang Kak Nab pernah tonton bersebelahan dengan hidung Mat London, oh oh,  (Kak Nab terpaksa ke toilet sekali lagi ... maaf, cantuman dua imej ni terlalu memualkan). Hari tu baru je Kak Nab tonton Sembilu di TV3. Kak Nab macam tak percaya, "Sundels, inilah filem zaman tu aku berkepit dengan soon-to-be-husben aku ala-ala berlinang mata siap pegang rapat-rapat bahu abang aku  dengan tangan dan pahaku sekali semata-mata nak dia pujuk-pujuk dan ajak makan ais krim nanti kat medan selera Pertama, Oh tidak!" Kak Nab tak dapat percaya dengan kata-kata Awie (Awie: Wati, kau tahukan lagu ini dibuat untuk siapa Wati?), kata-kata Wati (Wati: Tapi Awie tu budak baik, mak!) dan Ziana (tapi Ziana tetap KELAS ok!). Oh, oh, rakusnya filem ni, serakus serakah hidung Mat London, oh Kak Nab nak pitam! 

Kak Nab dah move on, Mat London.

Kak Nab tak perlu lagi dialog-dialog panjang baku Erra-Alice Voon. Darah muda tentulah membawa benda-benda yang lebih bergetah, yang lebih mengikut zaman. Zaman kita sudah berlalu Mat London, sebesar hidungmu itu, begitulah orang akan ingat zaman-zaman itu, hanya sebatang hidung yang besar. Superman pun dah tak nak pakai cawat kat luar, Kak Nab terima aje (Oh, dan Henry Cavill memang merakuskan walaupun berlakon macam batang, buat Kak Nab tergelek-gelek memuat turun semua jpeg badan sasanya yang ada dalam Google Image), James Bond pun dah blonde. Dunia dah berubah, filem dah berubah. Masalahnya, ramai lagi yang tak mahu lagi.

Kak Nab rasa, benda yang Mat London cakap ni, termasuklah Yusof Selam ni ada yang tak betulnya. Apa tu objektif sebenar filem? Hello! Filem ditayangkan untuk direnungkan oleh penontonnya. Mereka bukan budak-budak sekolah. Pengajaran hanya berlaku jika kita renungkan apa yang pengarah nak bagi dalam filem tu. Kak Nab sebenarnya tak mahu pun guna perkataan "ajar" sebab "mengajar" salah dalam filem. Pelakon merokok Kak Nab tak rasa Kak Nab akan merokok (walaupun ada penyelidik kata boleh jadi). Kak Nab dapat "rokok" yang lebih baik daripada itu apa! Kak Nab nak dicabar, dan anak-anak muda yang bergetah ni pandai mencabar Kak Nab. Kak Nab suka tu! Itulah rokok yang Kak Nab hisap!

Masalahnya sekarang, orang macam Mat London inilah yang mengajar pula anak-anak kita macam mana bikin filem, dengan memaklumkan hanya segelintir pula "pengarah muda" yang harus diikuti (hanya kerana pecah panggung??) Kak Nab ingat, bukankah Farid dan Syamsul pakar bikin filem rempit dan samseng, adakah itu hendak dimegah-megahkan sebagai "jati diri" dan "filem kita wajah kita"? Kak Nab rasa, macam Mat London sendiri pun tak tahu apa yang dia cakaplah, dan ini menyedihkan Kak Nab. Kalau nak bandingkan KIL, KIL tu seratus kali lebih baik daripada KL Gangster (yang meng"ajar" anak muda kurang "ajar" dengan orang tua, kalau nak sangat cerita fasal pengajaran!)

Kak Nab bayangkan ini aje: filem pecah panggung bukan bermakna filem itu bagus. Ambil contoh, Anugerah Blokbuster. Satu lagi festival yang menakutkan Kak Nab. Hah, siapa pengarah "muda" yang menang? Apa? Harun Adik Manja 2 tu?? Dan filem-filem yang menang. Kak Nab macam, eh ye ke, ni aje hidangan "terbaik".

Apa nak jadi dengan Malaysia ni? Tunggang terbalik! Yang baik dicanaikan, yang sampah diutamakan. Kak Nab serius dah serik. Kak Nab dah dapat rasakan, kesian dekat anak-anak muda yang mahu mencuba sesuatu, dipotong bukan sahaja oleh penontonnya yang tak ambil peduli dengan perubahan mereka, tetapi dengan tenaga pengajar dan orang tua yang tak tahu nak bandingkan berlian dengan kaca, SAMPAI SEKARANG PUN.

Sedih hati Kak Nab!

26 March 2012

Kak Nab Jumpa Pensyarah Media Syok Sendiri

Assalamualaikum semua,

Tadi Kak Nab sedang minum kopi sambil belek Antologi KOPI yang Kak Nab dapatkan di CM Annexe (Kak Nab rasa muda sikit bila jalan-jalan dekat situ). Suami Kak Nab, yang sengaja nak buat hati Kak Nab lusuh pagi-pagi gembira ni letak Sinar Harian dengan cerita kecaman seorang pensyarah kanan tak habis "Dr."nya berkaca-mata katak terhadap sebuah filem "seni". Terus tersembur kopi pekat Kak Nab kat muka pensyarah tu yang dulu Kak Nab "feeling feeling" juga sebab dia suka benar pakai baju ketat (Kak Nab selalu paksa suami Kak Nab pakai baju kerja ketat dan merah jambu, tapi suami Kak Nab ni tak sporting, terpaksalah Kak Nab tunggu dia berlengging dengan pelekat tanpa cawat untuk naikkan syahwat malam Kak Nab).

Kak Nab rasa nak nagis tau.

Kak Nab ni bukanlah pandai sangat, bukan macam Fadz tu yang nerdy (maaf Fadz), semalam pun teruk Fadz tersasul nak mengulas Hunger Games di Awani, tetapi Kak Nab ni bolehlah layan filem yang nampak mi segera (macam Hantu Bonceng) dan yang dimasak secukup rasa (macam Bunohan ataupun KL Gangster, Kak Nab masih terngiang-ngiang dada ketul Ady Putra). Mi segera maknanya filem tu sedap (boleh tonton), bajet ciput dan dibuat laju. Kak Nab takde masalah dengan tu. Tapi bila Dr. Spek Katak tu hina habis-habisan filem Bunohan, Kak Nab rasa macam nak menangis, sebab Kak Nab pun suka filem tu. Adakah Kak Nab ni tergolong dalam kalangan minoriti hanya kerana Dr. Spek tu kata filem tu caca-merba? Adakah Kak Nab akan tergolong dalam kumpulan GLBT yang tiap-tiap hari dibantai oleh Utusan? Habislah hidup Kak Nab. Mana suami Kak Nab yang cepat hilang ni, mana Kak Nab nak luahkan perasaan dan basahkan dada baju Raoulnya dengan air mata Kak Nab yang mula berderai-derai ni.

Kak Nab suka Bunohan. Kak Nab memang tak lah dapat tangkap sangat, mengapa ada model berekor buaya, siap buat catwalk keluar kolam, kenapa model tu pose depan piramid, kenapa Faisal Hussein (yang seksinya, Tuhan je tahu dalam filem ni) dikelilingi burung. Tetapi filem tu buat Kak Nab nak tengok sekali lagi dan sekali lagi, alah, macam filem-filem Iran yang Kak Nab tak faham tu lah, atau yang Fadz selalu pujuk Kak Nab tonton macam Mullholland Drive dan The Tree of Life. Fadz ajar Kak Nab, "Filem-filem ni tak puas tonton sekali je, kena tonton berkali-kali, dan setiap kali menontonnya akan dapat pengalaman yang berbeza." Macam itulah yang Kak Nab dapat daripada Bunohan. Kak Nab dah tonton tiga kali, jangan jeles!

Kak Nab sangat rasa, Dr. Spek Katak tu hanya tonton Bunohan sekali, dengan rasa marah-marah sambil mengoyakkan baju sendatnya macam Hulk keluar pawagam.

Tak boleh macam tu Dr., bersabarlah. Lagipun bila Kak Nab tonton sekali lagi, Kak Nab dapat tengok ada jantan Siam yang badannya kekar berbenjolan bantai Zahiril, Tuhan, nikmatnya. Dah lah tak aurad! Mmmmm...! Atau awe kelate kulit putih yang kiut-miut dibantai oleh Zahiril. Ya Allah, memang nikmat betul, pandailah abang Dain pilih pelakon. Itulah nilai mata orang kata di layar serba putih.

Jadi Kak Nab rasa canggung sangat bila Dr. Spek Katak cakap macam tu kat Bunohan, bagilah peluang Dr. untuk menilai filem tu. Macam "dramaturgi" yang Dr. tu kata caca-merba dalam filem tu. Kak Nab pelik, Kak Nab ni bukanlah pandai mana, tapi Kak Nab tahulah juga nak sesuaikan dramaturgi Bakar yang sangat ligat bermuka-muka, bertopeng-topeng, menyalut dirinya dengan pelbagai bentuk wajah, depan ayahnya dia lain, baik bebenor kata orang Perak, depan adik luar nikahnya lain, kurang ajaq kata orang Kedah, depan mangsa-mangsanya dia nate boyo kata orang Kelantan. Depan Datuk Politik nak projek dia terkedu-kedu macam anjing. Itu bukan DRAMATURGI ke wahai Dr. Spek Katak? Kak Nab rasalah, Dr. Spek Katak ni sengaja guna istilah-istilah besar macam antropologi dan dramaturgi, hanya untuk tunjuk lagak yang kata-katanya hebat dan tak terlawan. Dr., sekarang kita dah ada Wikipedia tau, semua kita boleh "check".

Lepas tu, yang paling menyakitkan jiwa Kak Nab ialah, ada kah, dia bagitau yang "Azura yang juga teks berat"(!) HELLO!!! Dr., filem tu budak darjah tiga pun boleh faham, Kak Nab pun tahu filem tu ringan (tapi best tengok Kak Ogy dalam filem tu, memang primadona). Azura yang terbaru tu orang tak pegi tonton sebab nampak "old school", klise, nampak "lembab" macam filem-filem 90-an lamalah Dr. Sahlah, FFM tahun ni, Azura akan banyak dapat nominasi, Kak Nab berani kerat jari!

Lepas tu Dr. tu menyatakan "berat"nya Dil Tu Pagal Hai dan "ringan"nya Kuch Kuch Kota Hai. Masa tu, Kak Nab dah tak tahan dah. Ini dah tahap hasutan, tahap fitnah bagi Kak Nab. Memang, Kak Nab tak suka banding wujudnya filem komersial, dan wujud pula filem yang kononnya "art house cinema". Filem adalah filem, bagaimanapun yang kita mampu dan mahu tonton. Pengalaman kita menontonlah yang menentukan citarasa kita. Macam Kak Nablah, dah tonton Kongsi dan ketawa dengan Hantu Bonceng, sekali-sekala Kak Nab nak juga tonton Bunohan atau The Tree of Life, Kak Nab dapat juga sesuatu. Kak Nab sedih sangat, sebab kalau di Amerika, nama pengarah macam David Lynch, yang buat filem yang separuh orang di Amerika pun tak faham kisahnya, tetapi mereka angkat dan kobarkan namanya kerana keunikan karyanya. Macam Terrence Malick juga. Kak Nab sedih juga, sebab kalau Bunohan dibuat di Indonesia, atau di Thailand, Kak Nab dapat rasakan bagaimana orang-orangnya akan angkat filem ini, dan sekurang-kurangnya ambil tahu. Macam filem-filem Garin yang juga cantik-cantik, atau Nia Dinata. Orang Indonesia, mereka tahu nak julang para pengarahnya, yang boleh laku di bioskop atau yang mungkin "berat sedikit" untuk penonton massanya. Yang penting, "asyik ditonton". Dr., berhentilah jadi pensyarah, usah teruskan hasutan mereka-reka kebencian orang untuk mengenali dunia wayang tiada sempadan ni. Kak Nab sangat-sangat rasa tertipu dengan artikel dalam Sinar Harian ni.

Lepas ni, Kak Nab nak boikot Dr. Spek Katak, kalau nampak je dia kat TV, Kak Nab tutup. Kalau masuk mimpi, Kak Nab jerit bangun, "nightmare!" Kak Nab hilang hormat Kak Nab kat dia. Sedih betul. Nak hilangkan candu artikel hazab ni, Kak Nab terpaksalah pegi tonton Bunohan kali keempat malam ni di TGV KLCC. Siapa-siapa yang terluang tu, jom ikut Kak Nab, macam Huzz selalu cakap: Filem ni memang best sangat! Jom kita tonton ramai-ramai bawak mak cik dan orang tersayang! Kalau tak, rugi you!

ps: Kak Nab nak promo, filem ni masih tayang di TGV KLCC sampai Rabu ni, jom!

26 January 2012

Kak Nab Mimpi Aaron dan Oscar

Assalamualaikum semua,

Semalam Kak Nab mimpi sedap sangat. Itu yang Kak Nab terus nak feeling-feeling tulis bak Nur Fazura naik kapal dalam Pisau Cukur. Kalian nak tahu? Ya, Kak Nab berjaya mimpikan Aaron Aziz berdua-duaan sahaja dengan Kak Nab tanpa inter-frame suami Kak Nab dalam mimpi kat tepi pantai Carribean. Eh, jangan main tau, Aaron Aziz tu kekar. Tolonglah, Kak Nab tahu, banyak kaum-kaum hawa yang ikut pergi tengok filem KL Gangster tu sebab nak tengok kalau-kalau Aaron nanti ada babak bukak baju. Itu yang filem tu sampai 11 juta tu. Ombak Rindu pun, air mata, Maya dan telor Lisa bukannya main attraction filem tu, taaak. Aaron Azizlah jawapannya kenapa kita kaum hawa berduyun-duyun pegi tengok, walaupun Aaron jantan tak
malu, rogol anak dara, Aaron jugaklah yang kita tunggu-tunggu masuk kamar tidur, bilik air dan kolam (tapi ramai yang geram sebab yang terjun sungai pelakon lain). Ada seorang kawan lelaki Kak Nab ni, Ya Allah tuhan, Kak Nab tak bohong berkat hari Jumaat ya, dia kata dia tonton Ombak Rindu semata-mata kerana Aaron, dia kata mula-mula dia nampak Maya Karin, tapi bila Aaron keluar, terus patah selera dengan Maya!

Kak Nab tak nak lah tanya lagi jika kawan Kak Nab ni boleh masuk ujian sukarelawan Skala Kinsey. Tetapi kita kaum hawa pun memang terpukul kiri kanan melihat pandangan mata seksi Aaron yang bulat-bulat kartun Simpson, hidung mancung dan dada bidangnya. Ya Allah, jangan nak tipulah, cubalah uji demografik di KL saja, berapa ramai kaum perempuan macam dalam filem Sepet, simpan gambar lelaki di balik pintu almarinya. Itu kalau wanita kilang bujang ya. Yang dah berkahwin, geladahlah beg tangan mereka, purse mereka, Blackberry mereka dan Galaxy Tab mereka, kalian akan jumpa gambar Aaron terselit kat celah-celah mana. Kawan Kak Nab sorang ni, Maezah lagi daring, dia simpan semua gambar zaman-zaman awal Aaron masih muda dan berlakon di Singapura (orang Singapura berani-berani OK), Aaron tak ada seurat benang, hanya otot dada, paha dan tangannya yang terketar ditutup cawat putih, tersengih. Ni semua bini dan mak orang ni! Memang masa tayangan Ombak Rindu tu, sebab Kak Nab tahu Maezah ni gila sangat dengan Aaron, Kak Nab bawaklah dia, belanja. Masa Aaron keluar saja, mulalah dia mengeluh, resah, "Eronn, Eronn, Eronn ..." Sumpah Kak Nab tak bawak dia menonton lepas tu.

Itulah dia penangan Aaron, yang orang-orang Hollywood dulu dah kaji yang menatang namanya, mesin seks atau ikon seks ke apa tu (sedari zaman Rudy Valentino lagi). Orang puteh memang, tang celah kangkang pun nak dikajinya. Tapi benar pun, tak boleh lari, kita Yusni ke Mashitah ke, mahu tak mahu jiwa kita tetap meruntum bila tengok sesuatu yang kita mahu tapi malu. Tetapi itulah, takat itu sajalah wayang kita berjaya setakat ini, tak adalah yang boleh dikata-kata lagi.

Sebab itulah Kak Nab dan suami Kak Nab (syyy, korang yang kenal Kak Nab, jangan bagitau suami Kak Nab fasal mimpi Kak Nab tu, merajuk dia nanti, dahlah katil ni baru aje tukar ikut reka hias katil Maya dan Aaron dalam Ombak Rindu tu) tengah seronok tunggu Academy Awards dekat Astro Movies. Suami Kak Nab yang tak langgan Astro Movies pun teruslah langgan sebulan semata-mata Oscar. Kak Nab fikir kadang-kadang pelik juga suami Kak Nab ni, iyelah, jarang sangatlah lelaki sejati yang Kak Nab tahu melayan Oscar ni. Kak Nab sendiri banyak kawan-kawan lembut yang memang peminat Oscar ni saban tahun. Lepas tu tak habis-habis nakkan Meryl Streep menang, Meryl Meryl Meryl macam dah tak ada pelakon wanita lain.
Itulah kalau jenis adik-adik tak kenal kultur filem tapi berlagak tahu, dalam era-era mana pun, memang biasalah, akan ada satu "diva" yang mereka julung sampai kiamat. Dulu adik-adik menangkan Bette Davis, lepas tu Joan Crowford, Elizabeth Taylor, dan zaman ni, zaman Meryl lah.

Tetapi fanatik macam ni kiranya dah biasalah dengan Oscar. Macam Kak Nab sendiri, Kak Nab suka sangat tunggu pemberian anugerah untuk skrip adaptasi dan skrip asal terbaik, bagi Kak Nablah, itulah sahaja kemenangan yang betul-betul "laku" dan berharga yang keluar dari Oscar.

Tak, Kak Nab taklah sindir Oscar. Kak Nab suka benar dengan persembahan malam Oscar, babak menyanyinya, babak persembahan filem-filem lamanya, itulah yang Kak Nab paling suka. Paling seronok dah tentu tengok reaksi para pelakon yang naik pentas. Macam yang hos Golden Globe katalah, Golden Globe tu Kim Kardashian, Oscar tu Kate Middleton.

Tapi ada kawan Kak Nab ni tak berapa nak tengok Oscar pun. Kak Nab pernah bertekak-tekak manja dengannya, menyatakan pengundian Academy Awardslah yang terbaik seantero dunia kerana setiap kategori itu dipilih oleh mereka yang duduk di tempatnya. Di sini kawan Kak Nab kata Kak Nab salah. Dulu kawan Kak Nab ni pernah dating dengan Omar Shariff (ha-ah, taraf Aaron Mesir lah tu). Masa dia dok disuap-suap dengan roti Arab oleh Omar, dia tanyalah, siapa yang cik Omar undi untuk Academy masa tu. Cik Omar tu selamba saje kata "sipolan-sipolan", bila kawan Kak Nab tenung dan kata, "Kenapa dia?" Cik Omar boleh jawab, "Sebab dia sorang saja yang saya kawan dan kenal dalam senarai tu, yang lain-lain tu saya tak tahu siapa." Tergolek biji mata Kak Nab dengar tu. Maknanya, entah cik peon ke, cik lijah ke, cek muib ke, kalau dia ramai kawan, lagi senanglah dia nak menang. Fasal itulah Academy Awards, dari dulu lagi sangat-sangat bergerak dengan kaedah "melobi", alah, macam dunia politik lobi Yahudi Amerika di Kongres jugalah (bukan Yahudinya, tapi strategi dan kaedah lobi tu, kalian jangan tiba-tiba meloncat jihad pula). Sebab itu kawan Kak Nab kata, kaedah penjurian masihlah yang terbaik. Patutlah Abang Hassan Muthalib pernah cerita kat Kak Nab suruh Kak Nab jangan tonton Oscar. Alah, Kak Nab nak tengok juga bang Hassan, nak tengok macam mana Brad Pitt pegang dan pimpin Angelina dan apa Michelle Williams pakai kali ni. Kak Nab dah sedia iphone dah nak catit, macam tahun lepas, mesti beli/tiru: subang Penelope Cruz, rantai Madonna, gaun Natalie Portman, kasut Jessica Parker. Oh, mimpi-mimpi indah!

yang ikhlas,
Kak Nab

18 November 2011

Kak Nab Sayang Kak Mi

Assalamualaikum semua,

Dah lama Kak Nab tak masuk, apa taknye, tiap-tiap minggu sekarang ni Kak Nab ke pawagam, sinema Malaysia dah rancak katanya, apa taknye, tiap-tiap minggu mesti ada filem baharu Malaysia, tak kiralah, bahasa Melayu ke, bahasa Cina ke (Cina tu banyak sangat dialeknya), bahasa Tamil ke.. Tapi itulah yang Kak Nab kadang-kadang tak tahan, filem masuk tu satu, tapi filem yang entah apa-apa pun satu hal...

Itulah mungkin kawan Kak Nab yang satu ni, Kak Mi yang meroyan (tapi bertentu fasalnya) baru-baru ni di FFM24. Apa taknye, filem dia yang hangat panas tu, dalam botol, dah kena liwat dek juri-juri FFM yang entah siapa-siapa. Ya Tuhan, kau bayangkan je lah, iyelah Kak Nab ni bukan suka sangat filem-filem dua lelaki berlawan pedang, tapi kalau Kak Nab nak nilai taraf visceral (cewah, hebat tak Kak Nab spekeng Londonns?) dalam botol dengan nenek libas, macam langit dan bumi tarafnya! Abang bangla tepi jalan yang Kak Nab ajak hari tu tonton libas free pun dia lari, kau bayangkan anak-anak oiii!

Jadi, bila Muhyiddin TPM kita tu pun siap dengar Kak Mi kita tu menyalak, "I cant understand, I just cant understand (wahhh, lirik bridge lagu End of the World kau!) this festival! Kelakarlah!" bila pengarah libas menang, Kak Nab bagi standing ovation kepada Kak Mi kita yang berani menunjukkan kepada menteri, kepada rakyat, kepada dunia, betapa busuk dan jijiknya FFM kita yang sudah terlanjur ke lorong durjana setaraf lorong pelacur di Chow Kit. Tapi pelacur tepi jalan pun tahu makna sebenar MARUAH dan KEMALUAN. Korang yang bersongkol dengan persatuan-persatuan filem tu, yang sibuk menjahanamkan festival nasional yang korang ada kepentingan tu, korang ada MARUAH dan KEMALUAN tak?? Aduh. Seksanya jadi orang seni di negara ini yang benar-benar mencari kualiti.. Kalau macam tu, Kak Nab pun nak buatlah filem Harimau Malaya main bola (semalam Kak Nab tengok adik-adik kita lawan Indonesia, Ya Rabbi, macam gula-gula mata je!), takde skrip, tapi CGI hebat, angkat pelakon kuat-kuat, suruh mereka buat dialog sendiri dan berlakon aje, dan tangkaplah macam mana pun!

Ya, Kak Nab amat bersimpati kepada Kak Mi. Tetapi Kak Nab juga berbangga kerana masih ada orang seni yang telus dan jujur dan mahu membawa sinema kita ke arah yang lebih baik. Lantaklah rambut Kak Mi lagi pendek dari Kak Nab, dan pinggul Kak Mi dah hilang allignmentnya, tapi Kak Mi tetap seksi dan berahi apabila mendepani jantan-jantan tak guna malam tu, yang duduk tersengih melihat kejatuhan filem Malaysia di tangan mereka! Jantan-jantan tak guna tu, kalau Kak Nab jadi ketua FINAS, habis Kak Nab tembak dengan senapang gajah sekor-sekor, buat habis boreh rakyat aje!

Buat Kak Mi, bersabarlah, Kak Mi, teruslah berjuang. Maklumlah dunia perfilemn kita ni banyak sangat duri dan ranjang. Banyak sangat orang bersongkol tak tentu hala mengabaikan hasil seni yang sepatutnya. Tetapi Kak Nab percaya, orang seperti Kak Mi lah, dengan perjuangan yang dia cuba bawa, akan diingati oleh anak cucu seterusnya, daripada jantan-jantan tak malu yang tak akan disebut lagi oleh sejarah masa depan. Kak Nab salute dan doakan supaya perjuangan Kak Mi akan lebih dikenali dan dihayati serta supaya Kak Mi panjangkan sikit rambut tu, dah macam nama filem anak Yusof Haslam pulak.

Yang ikhlas
Kak Nab

25 July 2011

Kak Nab Tak Suka Pembikin Filem Tak Jejak Bumi

Assalamualaikum dan Salam Satu Bantal Kak Nab ucapkan kepada semua. Kenapa Kak Nab malam ini bercakap fasal bantal? Sebab Kak Nab sekarang sedang sedap-sedap berguling atas katil sambil melihat suami Kak Nab menghabiskan wiridnya selepas solat fardu. Iyelah, selalunya suami Kak Nab ni gelojoh, selepas solat terus nak buat. Mujurlah siri televisyen kita sekarang sibuk tayang drama bekas-bekas artis masuk kelab disko tiba-tiba berpurdah dan bertudung hitam dan bercinta sambil jenguk padang pasir. Alhamdulillah, suami Kak Nab pun ikut terleka dengan propa makruf ni lalu sekarang mengetip tasbihnya dengan sabar. Dapatlah Kak Nab meneruskan senaman cakar rimau Zambia tanpa halangan. Kak Nab perlulah berterima kasih kepada Erma Fatima dan rakan-rakan seperjuangan.

Kali ni Kak Nab bercerita sedikit tentang berita yang Kak Nab dengar. Iyelah, ini bukan mengumpat bila cerita ni Kak Nab dengar first hand dan sumbernya insya-Allah non-fitnah compliant. Adalah, kawan Kak Nab ni yang bekerja di sebuah syarikat percetakan yang orang Bersih mual sangatkan tu tapi selalu mereka sibuk nak telaah untuk saman. Kawan Kak Nab tu kira diberi mandatlah untuk mengulas filem, dan selalunya filem-filem tempatanlah yang dia pilih untuk mengulas. Bagi Kak Nab, ulasan filem kawan Kak Nab tu OKlah, adil dan saksama bila mengulas, tak macam Kak Nab. Kalau Kak Nab tak suka filem tu, Kak Nab kata sampah, jamban, jijik tahap sebilik dengan chimpanzee kalau Kak Nab tak suka. Dia pula OK, siap bagi nasihat-nasihat yang bernas dan teguran-terguran ala-ala muluk bunyinya. Tetapi, adalah seorang pengarah ni, buat filem hantu tak laku, alah, separa kaki dah jejak plot filem seram Hollywood yang Kak Nab dah serik nak menontonnya. Kawan Kak Nab ni pun ulaslah filem tu, apa yang betulnya, apa yang salahnya filem tu. Kalian tahu? Pengarahnya, yang tak reti malu, pegi telefon kawan Kak Nab tu, sampai ugut-ugut nak pukul, nak bunuh, siap kata dia kena minta permisi dahulu untuk mengulas filemnya, kena tanya dia dulu sebelum menulis. Eh, Kak Nab keliru, bila pulak dalam dunia mengkritik filem ni, perlukan keizinan "wajib siar" daripada pembikin filem? Mereka ni tahu ke makna apresisasi filem, perbincangan filem? Kak Nab yang tak belajar penuh pun tahu hak Kak Nab untuk menyukai dan membenci satu-satu filem, kenapa pula penerbit dan pengarah tu nak mengamuk tak tentu fasal?

Geli dan kelakarlah Kak Nab dengar cerita tu. Macam gangster pula pengarah tu, tak profesional langsung. Macam zaman sekolah kecik-kecik dululah. Kawan keji lukisan kita, hah, kita pun sibuk nak mengadu mak ayah supaya mak ayah kita ugut kawan kita tu. Kak Nab tengok, sindrom "takut dikritik" ni bukan baru, dah sampai tahap budaya nasional pun, malah macam hal biasa dalam kalangan ahli politik kita. Tak mengaku pula tu kalau buruk, salah, hodoh, itu yang Kak Nab tak faham tu. Buat dek aje. Kalau Rosmah beli cincin 24 juta, mengaku ajelah beli, tak usahlah diam-diam, malulah kat orang, lagi dikeji buat tak peduli. Iyelah, dah nama lubuk rezeki pun PERMATA. Samalah dengan Che Nuar yang tak tahu zaman senjanya. Nak lagi tebuk depan dan belakang. Tak tahunya, orang dah naik muak. Sanggup lagi dia tunjuk muka dan ulang melodrama yang sama. Tu yang Kak Nab heran tu.

Haykh, kalau dah pemimpin dan pemimpin wanabe kita pun macam tu, Kak Nab tak khuatirlah kalau pembikin filem kita ala takat buat filem salinan fotokopi nak berubah pe'elnya. Lalu, kawan Kak Nab yang jujur mahu tengok industri kita berubahlah mangsanya. Sampai berapa lama kita nak hidup dalam kepura-puraan dan jahil pasif?

Soalan terakhir tu, Kak Nab biarkan kau orang yang jawab ya. Suami Kak Nab dah menunggu di bucu katil ni.

Yang Ikhlas
Kak Nab

31 March 2011

Kak Nab Suka Dengan Bangkok Traffic Love Story

Aku nak tulis fasal sebuah filem ni tapi aku tak nak terlalu mendalam, sebab filemnya santai, tapi santai-santainya, ia merupakan antara filem gem romantik yang dah lama aku tak jumpa. Dulu, aku pernah jumpa filem seindah ini, macam Next Stop, Wonderland, Amelie atau Romancing The Stone yang tak perlu banyak kata-kata untuk menyatakan keterujaan sinemanya khusus filem yang mendekatkan dua hati.

Jadi, aku nak ubah perangai sedikit dalam tulisan ni, mengikut mak cik-mak cik (atau penulis lelaki macho yang mengaku perempuan macam Siti Jarum) kolumnis dalam media hiburan utama, lagipun mereka tulis kan sempoi dan senang dijamah pembaca kita yang sampai hari ni tak faham mengapa lagu masa pengantin Anu dalam Botol perlu kasar dan "bilazim", aku cuba eh:

Kak Nab baru-baru ni sukalah tengok apa yang sedang berlaku dalam industri perfileman kita. Iyelah, takkanlah kita nak harapkan kepada Upin dan Ipin sahaja buat filem yang bagus. Lagipun dua watak tu masih kecik lagi, khusus untuk anak-anak Kak Nab yang baru je masuk tadika. Itu yang Kak Nab seronok sangat bila Yusry KRU dan abangnya sanggup buang duit berbilion-bilion duit syarikat dan Kerajaan untuk tunjukkan pada Kak Nab bahawa dalam sejarah Kedah, raja-raja kita rupanya berketurunan Mat Saleh. Kak Nab tengok bisep dan perut ketul-ketul Stephen Rahman Hughes pun Kak Nab dah teruja. Kita rupanya dah ada pelakon Hollywood yang boleh cakap bahasa Melayu, kira bahasa Melayu dah antarabangsa lah kan? Lepas ni, bolehlah kita ajak Brad Pitt jadi Hang Tuah dan Natalie Portman jadi Dang Anum. Tapi Kak Nab boleh bayangkan mereka bercawat dan bercoli, aduh, sesuai sangat, tentu penonton kita dan penonton luar negara akan suka.

Lepas tu Kak Nab dipanggil oleh Raja Azmi untuk tonton filem terbarunya, ... dalam Botol. Kak Nab pun tak faham, apa yang ... tu, macam ... filem kontroversi U-Wei pula. Tapi itu yang merimaskan Kak Nab, sebab ... dalam filem U-Wei tu kisah seorang perempuan, tapi ... dalam filem Raja Azmi tu fasal seorang perempuan palsu. Runsing Kak Nab. Dah lah gambar filem tu satu take saja, lepas tu bergoncang sana bergoncang sini, macam camera man tak cukup makanlah, kesian betul. Kak Nab tak fahamlah apa yang Raja Azmi buat. Tapi Raja Azmi bilang kat Kak Nab, ini filem Khir Rahman. Kak Nab lagi jadi keliru, bila pula Raja Azmi tukar nama lelaki? Nasib baik filem tu ada Ogy Ahmad Daud, terubat rindu hati Kak Nab nak tengok dia berlakon lagi. Nak harap Arja Lee tak boleh sebab bagi Kak Nab dia kurus sangat. Wan Raja pulak boroi, tak macam Stephen Hughes ...

Lepas tu, Osman Ali pula bawak Kak Nab tonton filem dia, Cun! Kak Nab suka betul dengan filem Osman kali ni. Awal-awal lagi Kak Nab boleh ketawa tengok Ning Baizura bermulut becok kenakan Maya Karin. Kak Nab pun setuju sangatlah Maya Karin bercerai dengan suaminya, sebab Maya Karin memang sesuai sangat dengan Ramy Ishak. Kalau tak percaya, tontonlah filem ni. Kak Nab restu sangat mereka berdua, kira macam Erra dan Awie zaman Sembilulah. Lagipun, ada satu adegan Remy Ishak berkubang di parit. Kak Nab dapat rasa sangat, Remy dah setaraf dengan pelakon Hollywood, tengok saja badan dia yang berketul-ketul tu, kalah Brad Pitt.

Lepas tu, Kak Nab tontonlah filem Thai ni pula, judulnya, Bangkok Traffic Love Story. Ini sebuah lagi filem Kak Nab suka. Memang korang takkan rugi tonton filem ni. Kisah dia pun tak meleret-leret macam Sayang Salmah, tak keliru macam ... dalam Botol. Pelakon lelaki dia, walaupun tak sesasa Stephen Hughes atau Remy, Kak Nab tetap boleh jatuh cinta dengan dia.

Filemnya banyak berlaku di stesen LRT di Bangkok. Memang kreatiflah pengarah dia, buat filem atas LRT dan stesen LRT, Kak Nab terfikir-fikir juga, kenapalah pengarah kita tak buat filem berdasarkan LRT kita? Dah lah kita dah ada 2 LRT. MRT pun sudah nak diperkenalkan oleh Kerajaan. Prasarana beginilah boleh digunakan sebagai latar yang tentu menarik di layar, dan dalam masa yang sama, menarik para pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Barulah orang akan kenal dengan filem kita.

Oh ya, Kak Nab lupa nak ceritakan cerita filem ni. Filemnya tentang seorang wanita biasa yang jatuh cinta dengan seorang pemuda kacak yang bekerja sebagai jurutera penyelenggara LRT. Semua yang wanita tu buat salah, tetapi pemuda tu sabar dan tenang sahaja dengan kerenah wanita itu. Wanita itu juga mendapatkan tips-tips untuk mengorat lelaki itu daripada drama televisyen kita yang serupa seperti Samarinda. Lihat, siapa kata TV tidak perlu memberi mesej yang berguna. Orang Thai pun faham, drama TV perlu mengajar nilai-nilai positif agar memberi kebaikan kepada penonton. Kalau wanita itu tidak menonton drama TV, tak dapatlah dia mengikat pemuda kacak itu sebagai kekasihnya.

Kak Nab suka filem ini sebab filem ini panjang, dan bukan pendek-pendek macam Cinta, tiba-tiba saja orang dah boleh bercinta. Lepas tu, semua perasaan, suka, benci, kelakar, semuanya ada dalam filem ni, macam novel-novel cinta yang Kak Nab selalu baca. Lagipun, pelakon-pelakon Thai memang kacak-kacak dan Kak Nab rasa terhibur dengan lakonan mereka.

Nanti, jangan lupa ya tonton filem ni. Kak Nab gerenti korang akan ketawa semahu-mahunya, menangis semahu-mahunya!

tulus ikhlas,
Kak NAB

ps: OK, aku tahu ia lebih sarkastik, tapi serius, filem ni memang worth the watch (aku akan tonton sekali lagi lepas ni). Memang ada bahagian2 bodohnya yang kita teringat kartun Dik Cerdas, yang aku setuju pengarah sengaja ambil ideal perangai Jepun (untuk memahami latar budaya Siam yang terikat kuat dengan budaya pop Jepun-Korea atau Sino, ini sebuah filem yang menarik untuk dimasuki), tetapi lawak-lawaknya menjadi dan aku asyik ketawa. Dan semakin lama aku masuk dalam filem ni, semakin serius, semakin benar pertunjukan "cinta" si wanita dan lelaki. Waktu itu, babaknya mula menghampiri indah dan sesak orang bercinta. Yep, akhir babak itu, walaupun aku tak menangis, tapi rasa "hangat"nya boleh dirasai membara di ulu hati aku. Untuk orang yang pernah dan sedang bercinta. Filem ini merupakan antara filem yang indah dan boleh dijadikan simpanan memori yang indah untuk pasangan.

soalan kuiz: Namakan filem Malaysia yang dibikin atas LRT Kuala Lumpur.