Kau kenal pengarah Pensil ni?
Aku sekarang sudah memahami "dunia" Subash. Subash mengutip ceritanya daripada golongan marhaen, golongan marginal, golongan terbuang. Kisah-kisahnya kisah "benar" yang berlaku, lalu dia titipkan dan sampaikan dalam bentuk filem. Alam ini penting untuknya, seperti mana alam white trash begitu penting buat John Waters pada dunia awalnya.
Namun, kadang-kadang Subash terlalu bertelus dalam bercerita. Pensil merupakan kerja baiknya yang boleh dirujuk. Terdapat "kepandaian"nya bermain dengan puisi filem, meletakkan apa yang perlu di hadapan dan belakang dan mencuit emosi penonton. Kekuatan Subash sememangnya dalam emosi, bermaksud, dia layak mengerjakan filem-filem bergenre melodrama.
Seperti filem "seram" ini. Tujuannya amat menarik: Golongan mak nyah juga mempunyai hak dalam hidup. Hal ini amat berisiko tetapi disentuh oleh Subash dengan begitu jujur. Kalian perlu menontonnya sebelum mengelar dan menuduh Subash bukan-bukan kerana Subash mengambil pendirian wasatiyah, kesederhanaan, jauh sekali hendak menyamai Bukak Api yang lebih risque.
Filemnya senang: seorang lelaki dikacau "pontianak", dan kisah ini dijusktaposisi dengan kisah "imbas kembali" yang panjang, yakni Ruminah Sidek yang kehilangan cucu dan "imbas kembali" lagi berkenaan mak nyah lakonan Zakri Rozaini. Penonton akan cepat terkesan bahawa pontianak yang selalu mengganggu lelaki itu berkenaan dengan kematian mak nyah itu. Hal ini membuka pekungan persoalan menarik tentang makna pontianak. Kita sudah sedia faham bahawa pontianak merupakan aspek simbolisme dalam sedar para wanita yang "keluar mencari dendam" terhadap sistem patriaki lelaki yang menindas. Di sini, dengan "berani"nya para pembikin seakan-akan "menyetujui" kewujudan watak Zakri Rozaini ialah "perempuan" yang ditindas. Hal ini menarik tetapi terdapat satu penyimpangan (twist) yang dilakukan ala Scooby Doo bagi menjawab beberapa persoalan. Menonton ini membayangkan aku pada Jack Water yang menerima hidayah suci Islam (dan aku bayangkan arwah Divine sebagai terajunya, bertudung segala).
Beberapa bahagian melodrama, khusus pada babak klimaks amat menjadi. Ada satu babak Mislina Mustafa yang amat kuat emosinya tanpa perlu mengeluarkan air mata. Aku terkejut, berlaku dalam filem sekecil ini.
Namun begitu, keseluruhan teknik dan pembawaan filem ini lemah, walaupun mungkin pengarah akan menyatakan alasan rawness, namun jiwa yang hendak disampaikan tidak sampai dengan pengolahan yang dilakukan, khususnya dengan babak-babak kejutan (ada satu kejutan yang menarik berlaku dalam tandas) apabila bayangan "bisikan" pontianak itu mengganggu lelaki itu. Lelaki itu ialah Haqim, lelaki yang dikacau, dan lakonannya amat amatur, walaupun aku puji Subash kerana "mengutip" kalangan pelakon tidak profesional sebagai pelakonnya. Runut bunyi, pencahayaan, gerakan, suntingan, semuanya punya masalahnya yang tersendiri untuk menimbulkan satu "karangan" yang lengkap.
Akhirnya, filem ini terikat dengan tujuan moralis, sesuatu yang filem "balas dendam" seram tidak dapat lari. Namun tidaklah ia dapat memberi suara atau satu puitis seperti yang kita dapat makan dalam Pensil. Namun terdapat beberapa gambaran syot yang menarik, khususnya dnegan tradisi Subash menangkap alam setinggan dan rumah buruk di tepi kota yang cukup membawa nafasnya tersendiri, golongan-golongan yang ingin berkata-kata tetapi tidak dipedulikan. Menunjukkan jiwa dan semangat mereka seadanya.
Aku sebenarnya kasihankan Subash. Aku mohon sangat dia mendapat dana yang lebih tinggi kerana jelas, dia punya kreativiti untuk membuat sesuatu dengan dunia yang disenanginya ini (rujuk zaman kegemilangan John Waters disunting oleh pihak studio, lalu lihat apa filem yang dia buat! Menarik bukan?). Dan aku harap dia dapat memberikan satu drama-melodrama kuat selepas ini, dengan jalur plot yang lebih mendalam dan kompleks untuk menyampaikan satu lagi filem kisah orang gelandangan dan marhaen yang punya jiwa dan penyampaian yang lebih teratur dan profesional.
Klasifikasi Misteri Bisikan Pontiana: PG-13, terdapat beberapa adegan kata kesat, buruk akhlak dan percubaan rogol yang tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, memerlukan kawalan penjaga.
DITONTON DI GSC MId Valley.
8 comments:
Sound OK ke? kalo sound bingit sangat mcm Karma Reborn aku tak mampu bertahan lebih 10 minit
bunyi cam menarik.confirm best? worth my rm10-12?
Reza, i dont think u will like it. Dont watch.
GAIA, suara dia tak sebingit Karma Reborn. tapi masih kualiti teruk.
i really like to watch this movie....i mean expecting quite alot...so how bro?
hi,,,im really expecting quite alot from this movie..wana watch it tomorrow...so how bro?
hi,im really expecting quite alot from this movie.wana watch it tomorrow..so how bro?
I don't think u could stomach it devaraj, unless use ok with those typical neo-realist pinky style of filmmaking.
As,salam pengkritik.Saya Haqim Omar..maaf kalau lakonan saya tidak deliver dengan hebat..antara sebab2 nya adalah saya terpaksa mengikut cara M.Subash menyuruh saya rasa takut ( reaksi ) dengan cara M.Subash..Ikutkan reaksi yang M.Subash beri sesuai dengannya tetapi cara saya mengexpresskan ketakutan saya berbeza sebabkan rupa saya dan personality saya beza dengan cara M.Subash.Tambahan saya pelakon baru..hanya baru lakonkan 2 watak utama,satu ialah filem ini dan Drama mencari identiti ( Budak Baru ) director Jet Lee.Harap Maaf jikalau silap
Post a Comment