Showing posts with label Ahmad Idham. Show all posts
Showing posts with label Ahmad Idham. Show all posts

11 June 2013

Lari(2013): KJ Jahat dlm Filem ni

Oh, inilah dia filem tu yang masuk "pasaran" Cannes bersama-sama dengan KIL dan Vikingdom tempoh bulan lepas. Whoah, tepuk tangan buat Ahmad Idham! Aku boleh cakap satu hal lah, mamat Idham ni memang ada telur ah, ada balls orang puteh kata. Camni, cam siot mana pun kau buat, dengan berani kau kata filem ni mutu internasional. Yang itu mesti aku puji.

Dalam banyak-banyak benda yang Idham buat, semangat tak mengalah dan mengaku filem dia boleh jual pasaran antarabangsa, ahh, ini memang korang yang buat filem mesti ada dalam jiwa. Kalau tak, sampai 2020lah filem kita "wajah" kita je yang layan.

OK, filem ni bertih jagung. Aku sebenarnya MALAS nak kupas dan komen dalam-dalam, sebab sebanyak mana aku cakap pun, Idham akan ada cara dia, standard dia, dan telur dia nak ukur macam mana dia bikin filem dia. Jadi aku cakap jelah hal-hal yang aku tak suka (yang macam dia peduli kan?):

1. Runut bunyi dia malas nak mampus. Macam lagu mamat India main serunai keluar ular tedung, lepas tu, tiba-tiba mamat tu Metal petik gitar elektrik bagai. Ya Tuhan. Hancur. Sangat hancur.

2. Aku kesiankan Idham. Dia serius rasa penontonnya memang tak faham. Aku pun rasa penonton kita tak faham jadi sebab tu dalam beberapa hal, dia terpaksa melepaskan beberapa babak dialog "menerangkan"  (babak baca surat contohnya) dan babak-babak kalau dah jahat kan, macam Erry Putra tibai bini dia untuk tunjuk "Eh, aku jahatlah!" Yang ni, Hans Isaac boleh dihormatilah fasal ubah cara dalam Langgar.

3. Banyak sangat imbas kembali. Whoah, Idham dah pandai! Tapi serius aku tak peduli. Pergerakan dan skripnya takde masalah, tapi CARA ia dilakukan, suara khas, runut bunyi dan semangat melodrama. Oh, ini rujukan balik pada KL Gangster yang memang guna gaya ni.

4. Filem ni hancur tempo. Mood. Semangat "lari" tu tak buat kita betul-betul nak "lari". Ini, hanya yang profesional yang faham nak ikat babak pada babak dengan aksi yang akan faham.


Apa-apa pun, filem ni filem jaguh kampung genre aksi yang seronok. Kalau aku makan bertih jagung, siap boleh habislah, tahap wayang pacaknya memang menghiburkan untuk penonton kampung macam aku (kalau kau perasan duduk Paris berkepit minah salleh, kau mungkin tak suka).

Tapi yang lebih menariknya, ada satu babak ni yang buat aku terkikik-kikik seronok. Wah, Idham sekarang dah pandai main subteks. Ambik kau Hassan Muthalib!

Khaliff (nama kelas gila, rasa pelakon porno A+ sangat, oh ya, pelakonnya Adam Mukriz kita, Aaron Aziz) ni cari adik dia (macam Bintang Malam tu) yang kena "jual" oleh sindiket. Khaliff ni tentera (Lahad Datu ok!). Ayah dia tiba-tiba mati. Liam Neeson dapat pusing satu Eropah. Khaliff dapat ke Siam. OKlah tu.

OK, kita dah kenal yang Erry Putra (habislah abangnya, mamat ni boleh tahan celaka jahatnya) si penjahat, yang memang jahat bernama KJ(!), sampai kawen awek si hero Khaliff lakonan Dira (aku suka mata dia, stim membakar), yang buat ayah Khaliff terbunuh (sebab dia mamat orang tengah sindiket jual orang Malaysia-Thailand) dan sama-sama colek adik Khaliff nak jadikan dia ayam. Serius, jahat tahap gaban ni. Tapi nak tambahkan lagi jahatnya, jeng jeng jeng, KJ ni ada "kawanan samseng" yang ikut cakap dia (ehem!) dan dan, bakal nanti Ketua Pemuda kampung tu! Haaaa, amik kau orang politik!!!

Ada satu babak ni, masa tu Khaliff dah tau, si celakanya ialah KJ (sebab dua anak buahnya dah kena pukul kaw-kaw punya). KJ masa tu sedang BERMESYUARAT dalam bilik gerakan untuk AJK pemuda kampung supaya memilihnya sebagai KETUA. Ah, indahnya ironi ni! Sindiket kotor dan politik bertemu! Kemudian, apa yang jadi, Khaliff tendang pintu macam Rambo (ok, macam Laksamana Bentan), bawak dua penyangak tu depan semua orang (biar semua orang sedar kejahatan KJ) lalu cakap depan-depan, "Mana adik aku?" Ah, ini bahagian tersedap. Kita ingat, akan adalah satu babak lawan dialog orang-orang keliling KJ berkenaan "Oh, betapa sucinya KJ" ala mana-mana himpunan politik baik BN ataupun PR. Namun apa yang berlaku ialah: Dengan mata mengarah KJ, orang-orang yang pasif dan nampak baik tu tiba-tiba bangun angkat tangan dan serbu Khaliff, bantai dan pukul berleluasa dalam bilik gerakan!

Whoah!

Ini Idham sangat beranilah! Sangat-sangat berani! Dan nak tambahkan perisa ironi "kuasa celaka" ni, sebelum tu, KJ siap kata, "Saya akan tambahkan insentif tuan-tuan jika tuan-tuan memilih saya!" Hah, itu dia politik wang! Ambik kau!

Satu lagi:

Ada dua perempuan dalam filem ni. Dira (bekas awek Khaliff yang kena kahwin dengan KJ) dan adik Khaliff.

Seakan-akan Idham memaparkan dalam dunia Melayu, ada dua jenis lambang wanita. Kedua-duanya terhimpit dalam dunia patriaki lelaki. Namun, Dira ni lain sikit, sebab dia awek Khaliff, dia ada sedikit "semangat" walaupun terikat dengan sistem lelaki Melayu. Dia dipaksa untuk kahwin dengan KJ atas permintaan ayahnya, namun dalam diam, dia tahu dia nak apa. Adik Khaliff faham hal tu. Kod-kod wanita ini menarik, sifat penindasan mereka, walaupun tertindas secara senyap, mereka menyalurkan sifat feminisme mereka dalam acuan sistem itu. Yang ini, orangt Barat akan buta sikitlah sebab mereka takkan faham feminisme ala Timur, dan Idham dan penulis skrip ni faham. Syabas! Malah pendirian ini lebih berkuasa apabila kita lihat, penindasan bisu terhadap wanita Melayu ini dicengkam pada taham yang lebih sakit, yakni membuatkan mereka bahan jualan, yakni menimbulkan makna "simbol seks" dan hal inilah yang dilawan oleh Khaliff dan Dira (Ah, ini suratan menarik!) Khaliff menolak penindasan maha zalim ini (menutup sekali gus suara wanita itu bersuara. Jika wanita itu pelacur, suaranya ditutup langsung, dan masih ditindas oleh sistem  materi lelaki) walaupun perjuangannya satu perjuangan peribadi. 



Aksi dalam filem ini bagi tahun ini, agak menarik. Aku suka, walaupun susah nak ikut sebab runut bunyi yang hancur. Namun terdapat beberapa aksi yang kita tak rasa "tumbukannya", namun aksi dan gerakan aksinya menarik. Dari segi kareografi, sudah mula ada perubahan. Ada satu babak lari yang panjang sewaktu Khaliff di Kuala Lumpur, ah, yang ini menarik. Kita dapat lihat sisi KL yang marhaen dan kecil, dilalui Khaliff dan samseng. Hal ini amat menarik dan lebih menarik jika ia dijaga betul-betul, sudah mendekati profesionalisme filem aksi Thai.

Aaron Aziz OKlah dalam filem ni. Yang best dalam filem ni ialah Hazama, sidekick satu dimensi dan tukang lawak tiba-tiba Khaliff. Keseluruhan para pelakon tidak menghampakan.

Klasifikasi Lari: ?, Ada babak berdarah yang real dan aksi ganas dan realiti sosial yang tidak sesuai bagi penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Mid Valley.

12 July 2012

8 Jam(2012): Durasi Filem Ini

Aku dapat merasakan selepas menonton filem ini, Ahmad Idham tak dapat pergi jauh (dalam seni pengarahan). Filem ini, contohnya (dengan skrip Tommy CT Loh[?]) sememangnya memerlukan kata indah sinema untuk menggerakkannya (filem ini berkenaan "8 jam" yang diberikan kepada seorang banduan disabitkan dengan hukuman gantung, lalu menyampaikan cerita atau justifikasi jika benar dia patut dihukyum atau dilepaskan), perlu gaya (pernah tonton The Raid: Redemption?) dalam mengimbangkan genre aksi-melodrama (yeap!)- noir yang kelihatan cuba digarap. Malah "noir" yang (secara tidak sengaja, adakah Idham sedar akan ini?) digarap sesuai dengan klimaks antiklimaksnya dengan (spoiler!) femme fatalenya dibunuh, hanya berlingkar dengan asap-asap dalam babak yang entah apa-apa tanpa penggunaannya yang betul (asap kabus-kabus ala feeling feeling itu hanya digunakan pada sisi lorong gelap, waktu malam dan penjara, yeap, penjara! Apa maknanya semua ni?)

Ada empat filem "anak gelendangan" tahun ni, setiap satunya mempunyai kekuatan (atau kelemahan) serta bauran genre, memulakan satu "tema" baharu mungkin, yang mana Songlap paling kuat, kemudian ada Chow Kit dan Jiwa Taiko lalu kemudiannya filem ini (ada lagi yang aku terlepas?) dan kemungkinan filem ini yang paling lemah antara empat walaupun idea untuk filem ini "decent", sepertimana yang aku pernah merasainya dalam In Cold Blood (1967) dan A Short Film About Killing (1988) yang sudah tentu filem-filem itu jauh lebih berhasil menyatakan estetik dan persoalan moral dan sosialnya, dan menjawab persoalan "mengapa mereka membunuh" dalam jawapan (atau teka-teki) mereka tersendiri, yang mana filem ini "cuba" lakukan tetapi terbabas kerana ketidakhaslikan Idham memahami estatik, imbangan dan pemerhatian genre.

Salah satu masalah Idham adalah menganggap filem ini sebuah filem "komersial". Ini LANGSUNG tak salah, tetapi CARA dilakukan itu, lebih-lebih lagi dalam pengimbangan Idham dalam saat penjara-drama, perhubungan-melodrama dan pergaduhan-aksi, perlu Idham tahu bahawa "aksi" merupakan ruang dan emosi tersendiri yang harus difahami, menaikkan adrenalin. Merantau merupakan sebuah filem yang faham imbangan melodrama-aksi, yang mana, mengetahui bila mahu menyampaikan "drama emosi" dan bila memberikan "aksi". Masalah utama filem ini adalah susunan aksinya, yang kelihatan besar-besar-besar dan tidak mahu kalah antaranya, sedangkan perlu disusun, pertamanya, aksi yang "kecil" (yang filem ini lakukan dengan baik dengan pergaduhan di pasar, kemudian di sekolah) kemudian pergaduhan konflik, kemudiannya mungkin pergaduhan "turning point" dan akhirnya pergaduhan "big boss" yang menyelesaikan klimaks. Tetapi tak. Ada unsur melodrama yang disusun menyebabkan keterujaan hilang, emosi aksi bungkam malah terbenam kerana inti romantik suam-suam kukunya serta ton gelapnya ingin disampaikan. Hal itu sudah tentu SESUAI bagi sebuah filem serius eksperimental ala bebas (indie) dan bukan filem komersial formulaik yang mana teknik filem ini digerakkan.

Shaheizy Sam mempunyai watak menarik dan kiranya "bolehlah" membawa watak anak gelendangan ini (tetapi cuba bandingkan dengan yang dibuatnya dalam Songlap). Aku amat suka dengan cara Idham dan kareograf aksi memberi ruang "vulnerability" dalam aksi Sam yang mana Sam dipukul dan dipukul balik tetapi dia "menahan" lalu bertindak ganas terus, dia seperti kura-kura yang dihentak cengkerangnya tetapi tidak mahu mengalah. Suatu perwatakan menarik, hanya ada satu babak, tak silap aku aksi parkour yang mana melanggar hukum hakam graviti aku dah mati-mati ingatkan lelaki itu (yang dikejar Sam) akan mengajar Sam silat "parkour" (untuk meneruskan perjalanan pukul memukulnya). Ah, seeloknya Idham ambil sahaja pelakon aksi parkour itu untuk watak Sam, mungkin filem ini akan menjadi lebih menarik (mungkin).

Ada sesuatu yang buruk berkenaan penataan suara filem ini, tenggelam beberapa suara jerit wanita di flat contohnya, atau dialog tidak selari dengan mulut, dan dengusan dan nafas era 80-an. Pengarahan seninya mungkin sudah "fungsional" dan kareograf aksinya "menarik", hanya tangkapan sudut dan suntingannya memerlukan susunan dan keselarian yang lebih utuh dan organik. Ah, inilah mengapa Idham masih tidak boleh pergi jauh. 

Klasifikasi: 18, moral dan perilaku watak utama yang gelap mungkin memerlukan tingkatan 18, tetapi boleh diperbincangkan bersama kanak-kanak, walaupun tidak sesuai bagi mereka.

07 June 2012

Gerimis Mengundang(2012): Oh Tuhan

Aku menonton filem ini kerana Sinar Harian memberi filem ini 4 bintang. Jelaslah, aku tertipu.

Ulasan ini aku buat PENDEK (tapi aku tersedar telah ditulis panjang) supaya aku tak lah meleter panjang betapa menyakitkan, apa yang telah dilakukan oleh filem ini terhadap tontonan aku. Aku lagi terkesima bahawa penulis skrip filem ini merupakan Azwan Anuar yang aku kenal. Oh ya, siapa tak kenal Azwan, dialah budak gempal yang dipeluk Kak Limah (dah cult huh?!) malah merupakan "comic relief" kredit awal filem, serta beberapa tempat, selaku pak pacak profesional yang "just being there people will laugh".

Kehadiran Azwan dalam filem ini samalah seperti metafora keseluruhan filem ini, penampilan yang menjanjikan sesuatu yang tidak tiba-tiba sampai ke akhir.

Adakah itu maksud sebenar mereka berkenaan "Gerimis Mengundang", lagu nyanyian Zamani SLAM ciptaan Shaari Amri? Serius, lagu itu sebenar-benarnya satu keajaiban dalam persada muzik tempatan, antara lagu-lagu malar hijau kita. Amatlah mendukacitakan apabila lagu setulus dan seindah itu dirungkaikan dalam sebuah plot, cerita dan keadaan filem yang hancur, tidak boleh dipercayai dan mengundang kesesalan.

Oh ya, antara yang "terbaik" dalam filem ini adalah percubaan runut bunyinya yang kedengaran "okestra" dengan pelbagai rendisi kepada lagu Shaari Amri tersebut, yang walaupun tidak kena dengan imejan yang dipaparkan di skrin, amat indah didengari. Hal "ingatan manis" ini sahaja yang aku boleh ingati dari perhubungan "jarak jauh" aku dengan filem ini.

Pertamanya, apa yang Ahmad Idham "wants to prove" apabila menyatukan dua negara (yang pernah dibuat sebelum ini)? Serius, Indonesia jika dibandingkan filem-filem romantiknya, jauh lebih berkesan dan sofistikated (khusus filem-filem romantik moden mereka yang mereka sanggupi genre urban dan chic flick), mungkin ini tidak adil, tetapi jika dibandingkan filem ini dengan Ombak Rindu, Ombak Rindu kelihatan Gone With The Wind terhadap kelecehan filem ini ibarat novel Mills dan Boon yang tidak laku di pasaran. Yeap, inilah contoh sebuah filem kelihatan novel cinta-tragedi yang memakan segala lara dan gundahnya tanpa memahami apa yang hendak ia terangkan. Babak awal lagi kita sudah menyoal, apa ke halnya si wanita (yang mendekati mirip awek Kamal Adli sendiri, Intan Ladyana) lakonan Olivia Jensen tergatal-gatal mengacau Kamal Adli yang dalam 10 minit awal filem ini asyik mengerut menahan berak dan asyik mengeluh dan menjerit apabila melihat Olivia menampilkan wajahnya ke Kamal. Aku tak tipu, wajah aku pun berkerut tak tahan nak berak dalam dua jam yang menyakitkan menunggu "cinta tak sampai" filem ini "sampai" ke penyudahannya.

Ketidakpercayaan "cinta" Kamal-Olivia ini turut DIKALAHKAN oleh tulus sejoli Joey Exist dan Julie Zegler dalam Toyol Nakal. Serius! Tetiba je Kamal yang marah-marah (marah-marah seksual lah katakan) ni berubah nak bercengkerama dengan Olivia dalam satu babak yang langsung lemah dan tiada upaya. Kemudian, bercinta lantas selepas itu, berlakulah pengkhianatan. Banyak hal yang tidak ditampilkan, banyak maksud yang masih tersirat (mengapa Kamal terlalu pesimis terhadap kehidupan? Apakah sikap marahnya selari dengan sifat manja atau kehilangan ibu bapanya?), dan semua ini masih mengiyakan bahawa Kamal dan Olivia benar-benar bercinta?

Ada sebuah lagu Indonesia yang indah, "Manusia Biasa" yang juga tenggelam dengan babak entah apa-apa yang berlaku dalam filem ini, yang turut mengangkat beberapa lokasi pelancongan Sabah dan Jakarta, serius mengambil sikap "tangkap muat" zaman 80-an sebagai "filem pemasaran pelancong".

Kemudian, apa perlunya monolog panjang-panjang si Kamal itu terhadap jalinan panjang filem ini? Di mana maksud dan fungsi sebenarnya? Hanya kerana ia kedengaran "lunak melankolik" ia dimasukkan? Aku rasa, Sembilu jauh lebih matang daripada membuat kesilapan sebegini.

Sebuah contoh filem "cinta" yang tidak harus diikuti oleh para pembikin, malah boleh dijadikan buku rujukan, 100 kesilapan pembikinan filem genre cinta yang anda tidak harus ikut sebagai sutradara. Antara filem gagal Ahmad Idham.

Klasifikasi: U, hanya ada paha putih Olivia Jensen yang mungkin mengancam fitrah akil baligh remaja-remaja persekolahan.

20 April 2011

Senjakala(2011): Siksanya Menanti Senja


Aku merasakan, atas sebab Ahmad Idham ni sudah tahap prolifik, dia bolehlah buat filem sesuka hatinya dengan kepakaran dan pengetahuan yang dia ada. Dalam filem ini sahaja, babak-babak kamera terbang (kalau terbang masuk dalam rumah terus lagi menarik) terisi banyak dalam filem ini. Tetapi berbaloikah untuk dia bermain-main dengan teknologi dan teknik jika dia ada sesuatu untuk diceritakan?

Kalau Gus Van Sant dah meletup, dia buat filem apa, dia pegi buat bikinan semula Psycho (yang hancur). Kalau Ahmad Idham? Dia buat Senjakala.

Aku merasakan, sampai sekarang, filem seram Malaysia agak susah hendak mencapai pencapaian yang memberangsangkan dari segi keseraman. Sudah berkali-kali genre yang mula mengalami kitar semula ini diputarkan dengan hal yang sama. Sebenarnya, hal yang diputarkan boleh sahaja menarik (rujuk kepelbagaian filem francais Dracula milik Bela Lugosi zaman keemasan Hollywood) jika susunan elemen dan penceritaan yang betul, tetapi ini tidak berlaku khususnya terhadap filem-filem seram Ahmad Idham. Aku rasa, ini percubaan kali kelimanya mungkin, masih terikat dengan unsur saka - bomoh - rumah berhantu - nenek hantu - rasuk. Aku lagi tergamam bila ada yang menyatakan kepada aku, bahawa "latar besar" filem ini (kononnya, inilah twistnya) merupakan kisah percintaan Zahiril Adzim dan Liyana Jasmay. Tetapi bagaimanakah kita MAHU mempercayai mereka bercinta apabila pengarah hanya memberi kesempatan kita melihat satu babak MTV jelingan mata Liyana dan Zahiril seakan Dracula bertemu Mina, dan kemudian satu babak melodrama tiba-tiba di tengah-tengah ribut dan hujan dengan dialog, "Saya sangat sayangkan awak" tanpa apa-apa sebab yang munasabah!

Keutuhan iman, tuan-tuan dan puan-puan, terhadap kebenaran jalan cerita filem ini amat-amat dipersoalankan.

Malah ceritanya amat mudah, dan kiranya pernah dibikin (yang sebenarnya boleh membuak banyak persoalan seks dan feminisme yang menarik), malah amat dekat dengan konsep Chermin, sebuah filem yang jauh lebih baik dari segi pemahaman kuasa wanitanya dalam dunia patriaki lelaki.

Di sini, kaulihat pembukaan filem ni. Ia bermula dengan mimpi dalam mimpi, yang aku kira menarik, dan sengaja dibikin pada awal untuk menyesatkan kita memasuki dimensi surreal Idham. Aku serius, merasakan konon mungkin, Idham sudah mula "keluar kotak". Babak awal itu (kujur mayat - Liyana), kemudian babak kemalangan kereta, memberi pandangan "kematian seks" Liyana (Liyana tidak sanggup keluar-keluar rumah, tidak mahu ketemu orang, anti sosial). Liyana tidak ada arah TUJUAN. Kita dibawa pula babak Liyana bertemu Faezah Elai di tengah tasik Titiwangsa (berlatar tasik yang luas, simbol kesuburan wanita. Rujuk hal ini apabila ada satu babak "positif" memperlihatkan perhubungan Zahiril dan Liyana mula "baik" berlatarkan tasik, latar yang serupa pada waktu tunang Zahiril ditarik hantu air) dan suatu TUJUAN tercipta (walaupun kita persoalkan, untuk apa). Apa yang kita lihat secara tidak sedar, si gadis (Liyana) yang hilang kuasa hidupnya (kerana trauma kematian kekasih) ingin mendapatkan kembali dengan mencari balik rumpunnya, dan secara tidak sengaja bertemu dengan figura kuat, iaitu opahnya, Opah Maimun (lakonan Ruminah Sidek) yang secara tidak sengaja adalah perempuan.

Serius, jika Ahmad Idham benar-benar memahami "getaran seks", perbalahan kuasa antara jantina dan intrig politik yang boleh berlaku antara watak-watak ini, kita akan nampak suatu jalur keindahan gothik ala Melayu berkenaan kemunculan seorang wanita moden di tengah-tengah sistem kuasa konvensional dunia lelaki (rujuk pemahaman ini dengan filem berkesan, Tsu Feh Sofiah yang pergi lebih jauh daripada itu). Tetapi hal yang aku ingatkan, seperti yang berlaku dalam Chermin tidak menjadi. Lebih teruk dari itu, aku tidak tahu jika watak Liyana itu sepatutnya 20-an atau belasan tahun (walaupun dia sudah boleh memandu). Jika dia 20-an tahun, kenapa pendiriannya cukup rapuh seakan gadis bawah umur yang begitu naif? Terlalu banyak lubang yang disengajakan dan ini amat mencacatkan pergerakan cerita. Aku menunggu untuk babak-babak yang dapat, sekurang-kurangnya memberi gula-gula, kerana "ciptaan" latar, dengan sikap kehadiran Liyana ke kampungnya menjadi buah mulut orang, dan wujud seperti dunia Twin Peaks terhadap kepelikan rakyat kampungnya agak menarik sebenarnya. Malah, dengan pendedahan "gadis muda sudah kahwin muda" (simbol dunia anak gadis kampung itu terikat dengan sistem patriaki lelaki yang utuh. Rujuk juga babak bekas tunang Zahiril yang berani melanggar perintah ayahnya, sebagai memaparkan penentangan terhadap kuasa lelaki, dibalas dengan jawapan didaktik), mengiyakan lagi sikap kontra Liyana untuk berasimilasi dengan penduduk kampung.

Tetapi, OHHHH, hanya kerana ada babak-babak Zahiril Adzim membuka bajunya dengan memaparkan keseksian tubuh keringnya, kita diberikan satu kepercayaan "palsu" bahawa Liyana yang berpendirian kota ini akan "ditundukkan" oleh kuasa seorang lelaki kampung, dengan hanya kata-kata "Kerana aku sangat menyayangi kamu!" Duh!

Serius, datar dan mendatarlah yang memenuhi 50 minit filem ini seterusnya apabila Liyana dan Zahiril bertentang mata pertama kali (kerana Zahiril sibuk menarik telinga kirinya, dan kalau tak pun, menjerit terpekik kepada Liyana). Ke manakah intrig seksualnya, ke manakah manis-manisan debar melihat, ke manakah rasa racau tidak keruan bila berada di sebelah "dia"? Takde romantik langsung.

Ada dua perkara yang amat boleh dipuji dalam filem ini, dan dua ini sahaja. Pertama, penggunaan suntingan suara dan efek khas suara dari studio Finas memaparkan, studio kita pun setaraf dengan studio antarabangsa, walaupun beberapa kesan suara tidak dikaji dengan bersungguh oleh kru filem ini untuk penggunaan posproduksi. Kedua, penggunaan runut bunyi dengan alat muzik tradisional, rebab umpamanya, dalam menaikkan latar emosi filem. Walaupun ianya satu "eksperimen" yang aku kira gagal (kerana emosinya agak susah untuk disampaikan dengan mainan muzik yang terlalu bercelaru), ianya satu percubaan yang menarik.

Akhirnya, filem ini memaparkan sekali lagi, tidak ada seramnya dalam filem bikinan Malaysia.


05 February 2010

Ilusi dan Realiti 2 Filem Ahmad Idham

Niyang Rapik(2010) dan Adnan Semp-it(2010)


Akhirnya, akhirnya, dalam hidup aku, dapat juga aku dijemput oleh MIG untuk menonton sebuah filemnya (well, bukan filem mereka tetapi filem edaran mereka, filem terbitan syarikat Ahmad Idham). Memang, perangai dan sikap kurang ajar yang selalu David Teoh buat dalam pratonton filem terbitan/edaran kawan-kawannya (baca: bercakap sewaktu filem ditayangkan) tidak berlaku pada hari pratonton Niyang Rapik. Malah, hebatnya PA pak cik tu, semua orang dia siap salam sewaktu mereka nak balik, siap mengucap terima kasih kerana menyokong. Hebat!

OKlah, ini bukan cerita tentang David Teoh atau MIG atau makanan Mango tetapi tentang Ahmad Idham, manusia yang habis-habisan bantai Mansor Puteh kerana gatal buat filem dengan semangat sendiri. Untuk makluman, apabila aku menonton Niyang Rapik, aku merasakan, adalah beberapa babak yang menarik, jauhlah daripada sebuah filem seram. Tetapi, ada beberapa babak "ngeri", satu-satunya adalah babak dalam rumah Nasir Bilal Khan sewaktu Zek Zaidi dan Shaheizy Sam masuk untuk siasat. Malah, terus-terang, babak pertengahan filem ini (sewaktu Awal Ashaari muntah darah) sampai ke resolusi filem, ianya amat-amat menarik, mengujakan untuk ditonton (walaupun buat peminat filem seram, awal-awal lagi kita sudah tahu siapa yang terbunuh dan siapa yang jahat).

Babak awal filem paling menjengkelkan, dan ini aku tak salahkan Idham tetapi Siti Jasmina Ibrahim selaku penulis skrip. Babak awal semuanya bercakap-cakap gaduh yang amat-amat panjang dan tidak perlu (tidak ada apa-apa yang ditunggu, tidak ada pembukaan rahsia, tidak ada perkembangan watak). Langsung tak menarik dan lewah, ini bukan drama radio ya Siti Jasmina, ini filem. Ada juga beberapa babak dalam filem itu melemaskan, beberapa babak hantu masih tidak ada efek menakutkan, malah pengakhiran dengan tangan melambai-lambai amat-amat tidak perlu. Ini bukan Carrie, Idham!

Yang lebih menarik lagi ialah, bagaimana Siti Jasmina dan Ahmad Idham bermain dengan ruang ilusi dan realiti. Ini yang menarik. Kita diberikan satu pemahaman realiti yang sebenarnya ilusi (watak Liyana Jasmay) dan ilusi yang akhirnya realiti (Nasir Bilal Khan menyimpan rahsianya). 3 budak yang kembali untuk menghantar kerambit keramat itu dibuka dengan kekeliruan ini. Selepas memahami segala rahsia ilusi, dan realiti terpampang, adakah dia yang bersalah boleh mendepani realitinya, atau masih terkurung dalam ilusinya? Ini yang menarik pada akhir filem (walaupun klise) apabila yang bersalah hanya lihat "ilusi" hantu itu sehingga ke akhir hayatnya sedang kawan-kawannya sudah "terpecah" daripada ilusi yang memerangkap mereka.

Hal ilusi dan realiti ini lebih tampak menarik dipermainkan oleh Ahmad Idham dalam Adnan Semp-it, ya filem komedi ini, mengejutkan, menyeronokkan untuk ditonton! Kalau bukan kerana Kekure memaksa aku menonton filem ini, sambil menyatakan "orang tak suka filem Melayu pun suka tengok filem ni" boleh buat aku gi tonton filem ni. Gezetnya ya Rabbi, sangat menyesatkan (rasa macam tonton filem B rendah) kerana filem sebenar lebih seronok dan kelakar dan terikat cantik dalam logiknya, malah kalau aku sedikit tidak betul, inilah filem Ali Setan untuk dekad kita setakat ini.

Sebenarnya, ini adalah daripada kekuatan Shaheizy Sam, seorang pelawak baharu yang mempunyai potensi yang mengujakan. Lihat sahaja babak selambanya makan stik dengan tangan sewaktu ditegur oleh Melayu eksi Eropah. Aku tak boleh tahan ketawa waktu tu. Dan bagaimana pula dengan dialog rojak "don't banana fruit two time" dan "disposable".. that was just awesome! Malah aku suka dengan persoalan "proposal" Intan Ladyana atau Zack tidak diselesaikan (tidak dimaklumkan pada akhir filem), di sini, yang penting ialah perhubungan Intan dan Shaheizy, bukan hal-hal lain.

Di manakah genius Ahmad Idham dalam filem ini? Sila lihat perkara ini: Boboy dan Mimi diberikan satu perhubungan cinta yang lebih menarik daripada Adnan(Shaheizy) dan Nadia(Intan) sebenarnya. Malah, kita tahu, perhubungan ini dijadikan perbandingan dengan perhubungan "ilusi/palsu" Adnan-Nadia. Perhubungan ini juga diadakan sebagai eskapisme (sama seperti Adnan-Nadia), sebagai satu alat pemerhatian pengelasan sosial (yang sama seperti West Side Story, Slumdog Millionaire, Bobby). Kita tahu bahawa dunia korporat-kaya Nadia tidak akan bertembung dengan kelas tiga-mat rempit Adnan. Malah, Mimi menyatakan hal ini dengan terus-terang dengan Boboy, "kalau kereta ada bumbung, ikut kau buat apa, takde bumbung", lantas tas tangan Mimi direntap (bandingkan ini dengan tujuan laptop Nadia direntap) oleh mat motor secara tiba-tiba, lalu Boboy dan Mimi mengejar mat motor yang curi tas tangan Mimi. Apa yang berlaku? Satu lagi hak luar jangkaan, mat motor itu mati, kepalanya tercabut. Maka Mimi dan Boboy "jatuh cinta" serta diselubungi mimpi kepala mat motor itu kembali seperti hantu, mengacau mereka. Ini kita tahu adalah "ilusi" kerana ia berlaku dalam mimpi. Malah, dengan wit, Boboy terbangun daripada mimpi ngeri hantu mat motor (sebenarnya Adnan) mengacaunya, malah dia baru lepas melancap!

Kemudian, dalam satu babak, kita sudah tahu Mimi dan Boboy akan "bersama selama-lamanya" apabila Mimi sudah mahu menerima tawaran Boboy melamarnya. Mereka melakukan sesuatu yang "fantasi" di realiti kita tetapi "realiti" untuk mereka, mereka bernyanyi semacam cerita hindustan, satu lagu yang panjang! Selesai nyanyi, buah kelapa tiba-tiba jatuh. Kita dipaparkan buah kelapa itu. Ia bukan buah kelapa, tetapi KEPALA mat motor yang hilang tempoh hari! Mimi dan Boboy terganggu!

Secara sindir dan subtle, inilah kekuatan Ahmad Idham. Secara realiti, Idham menyatakan "kengerian" atau "frightening reality" yang Mimi akan lalui jika dia mengahwini Boboy. Ini dibuat dengan amat lembut dan berkias sekali, malah hal inilah yang dibawa ke hadapan untuk Nadia. Adakah Nadia sanggup melalui hal "menyusur dunia mat rempit" yang Nadia sendiri tahu akan menyusahkannya? Ada ton positif yang diberi oleh Ahmad Idham, malah Idham menyatakannya dengan open ended (terpulang penonton, yang kemudiannya mendepani realiti sebenar untuk menyahut ilusi yang diberi Idham atau menolaknya). Dan ini sesuatu yang amat-amat dibanggakan untuk datang daripadanya.

21 April 2008

Congkak(2008) Bongak


Beberapa perkara menarik tentang Congkak dahulu:


1. Congkak ada Nanu Baharudin. Aku suka Nanu. Nanu adalah antara pelakon hebat Malaysia yang ramai produser bodoh tak nak guna sebagai pelakon utama. Ya, Nanu pernah memang anugerah pelakon harapan(?) di FFM. Jadi aku suka Congkak sebab ambik Nanu.

2. Di dalam Congkak, ada beberapa perkara fotografi yang dibikin Indera Che Muda memaparkan kematangan. Beberapa tangkapan awal, beberapa tangkapan 'feel' dalam rumah, babak-babak suspens, kesemuanya menaikkan semangat "wooohhh.."

3. Ada beberapa babak yang memang sengaja dimanipulasi Pierre Andre dan Ahmad Idham supaya "shock"nya melampaui Jangan Pandang Belakang, dan memang pun, ia berjaya. Yang biasa adalah sewaktu Nanu sedar 'bunyi' mainan congkak lalu dia menegur seseorang di ruang tamu. Satu lagi sewaktu Erynne Erynna melihat jendela di luar (ingat Amytaville Horror yang lama, bukan baru). Babak SERAM paling kuat berlaku sewaktu Nanu pengsan lalu Riezman turun ke bawah kerana terdengar bunyi pelik di bawah. Lalu Erynne Erynna (lakonan baik budak ni) pun turun kerana 'dipanggil' opah. Kejadian selepas itu adalah 'highlight' kuasa seram dalam Congkak.

4. Dalam filem ni, aku dan adik aku tak habis-habis ketawa bila watak Nur'Arina bernama Ely disahut. Ya, itu nama timangan aku. Dan Nur'Arina sangat menjengkelkan. Dia patut belajar banyak dari Erynne. Tapi, ya, lakonan dia kena rasuk sangat REAL! Orang pernah kena rasuk tak elok tengok filem ni.

Jadi, Congkak berbaloi?


Tak. Congkak lemah. Serius. Tak ada benda baru dalam Congkak selain perkara-perkara di atas. Sedih, sebab Pierre sebenarnya boleh membawa lagi jauh cerita filem ini kerana premis dan plotnya menonjolkan ada sesuatu yang menarik akan berlaku. Aku suka dengan pembukaan dewa kayangan yang meminta akan permainan ini dibuat (tak tahu jika mitos ini betul atau tidak), dan konsekuen mainan ini terhadap manusia. Tetapi perkara ini tidak dihuraikan lagi dan mati di situ sahaja (siapa Mak Mah dalam filem ni?).

Satu lagi, watak perempuan yang dijumpai sedang menunggu anaknya di perhentian bas. Kita faham simbolisme syaitan menyesatkan, tetapi apakah fungsinya terhadap cerita? Kalau Pierre mengaitkan lagi dengan cerita dan kisah rumah itu (barulah gothik) dan bukan memberi kita 'false hope' dengan terlalu banyak manipulasi pembawaan cerita (penonton tertanya-tanya tapi rasa ditipu pada akhir filem), lantas memberi satu pengakhiran yang TERLALU SENANG (dalam Jangan Pandang Belakang, ada beberapa orang yang menolong mengeluarkan hantu dalam Pierre), filem ini terus melingkup dalam satu mumbo jumbo yang tidak masuk akal, kering dan entah apa-apa. Kita yang dahulunya rasa 'keseriusan' menonton filem ini, menunggu untuk sesuatu, rasa dipermain-mainkan di akhir cerita. Ya, filem seram sebenarnya 'main-main', bermain-main dengan emosi takut kita dan terhadap apa yang kita tidak nampak. Itulah manipulasi seram dalam filem-filem seram. Tetapi filem ini hanya cuba membuak perasaan seram itu, melupakan judul dan semangat congkak, lalu membuang logik, jadilah filem sebegini. Gaya ini sama seperti I Still Know What You Did Last Summer, bila produsernya sudah kaya, lalu mahu buat duit lagi, buat sebuah filem yang senang yang penuh dengan kejutan tapi sifar dalam kepandaian.

Memang filem ini cuba 'mengajar' sesuatu. Lebih-lebih lagi tentang keluarga, dan kerapuhan figura bapa dalam menyatukan keluarga. Tetapi tema ini pun tidak dihuraikan dan digunakan dengan betul-betul, membuat filem ini begitu rapuh.

Congkak mungkin boleh mengaut keuntungan buat penonton yang mahu 'cheap thrills', tetapi langsung tidak berjaya menarik keinginan penonton untuk masuk lebih dalam ke dalam kemisteriusannya.