Showing posts with label Amanda Nell Eu. Show all posts
Showing posts with label Amanda Nell Eu. Show all posts

23 October 2023

Tiger Stripes (2023) dan Menemui Suara Rimba Jiwa



Ulasan ini sedikit compang atas pemotongan yang dihadapi oleh filem ini. Selalunya aku (atau kita, yang sudah biasa dengan filem yang dipotong-potong oleh LPF, separuh dekad lamanya) menulis juga dengan memberikan penilaian sepenuhnya. Tetapi untuk Tiger Stripes, khususnya pada babak paling penting untuk aku fahami, "hilang" pada bahagian peleraian/akhir filem ini. Ia timbul seperti beberapa syot, seperti syot disambung-sambung dalam filem Persona (1966) Bergman pada muqadimah filem tersebut. Jadi agak susah untuk aku mengatakan aku "mengalami" filem ini sepenuhnya, atau "puas" menontonnya, jadi filem ini ditulis dengan sangkaan dan soalan-soalan yang tidak berjawab.

Premisnya sebenarnya mudah, malah seperti yang dinyatakan oleh Syed Zulkifli dalam pos Facebooknya, Tiger Stripes mempunyai semangat harimau (malah ini mengingatkan kita dengan semangat harimau jadian dalam filem Apichatpong Weerasethakul yang lebih jelas, Tropical Malady) yang diikat cantik dengan latar hijau gelap dan lebat hutan (latar filem ini di pedalaman, mendekati hutan). Sah-sah, semangat ini menampilkan maksud kebebasan jiwa atau "suara rimba jiwa" yang ada dalam setiap id diri kita (dalam hal ini, diri perempuan) yang mahu menguasai tahap sedar ego kita. Kebebasan ini (atau memilih istilah yang paling berdosa zaman ini, liberal), mengikat dengan pemberontakan angst anak muda terhadap konvensi sosial, dan paling jelas terhadap plot transformasi bentuk badan dan tindak balas subjeknya dengan hutan, dan suasana hutan itu tersendiri, jauh daripada komuniti kampung manusia yang dipaparkan. Hal ini juga boleh dikiaskan sebagai penemuan diri sendiri (dengan jalannya sendiri), yang sudah tentu, terikat pula dengan pencarian makna diri untuk berekspresi. 

Maka, kisah perjalanan mencari diri sendiri ini (yang sebenarnya, mencari makna diri yang tidak diperangkap atau dipengaruhi oleh tekanan sosial persekitaran, dalam hal ini, tekanan budaya kampung orang Melayu) menjadi kisah yang terikat antara pejalanan kedewasaan (coming-of-age) si anak perempuan mendatangi haid ("Kau dah kotor," kata sang ibu kepada anaknya), yang kita pernah temui dalam Carrie dan Ginger Snaps, dengan kisah body horror, kisah berlakunya transformasi fizikal tubuh badan, yang biasa kita tonton dalam filem-filem Croenberg. Tapi pengarah dan penulis filem ini, Amanda Nell Eu, mengambil (atau merujuk secara intertekstual) citra yang jauh lebih tradisi atau lama, khusus dalam budaya purba orang Melayu, khususnya dalam hal magis dan mistik, iaitu harimau jadian (yang amat terkenal dalam bangsa Minang dan Rejang). 

Mengapakah kita terasa macam kisah lama ini, yang sebenarnya pernah dibuat dengan murahan dalam filem lama kita, Si Tora Harimau Jadian (1964) atau secara cult dalam Kala Malam Bulan Mengambang (2007) tabu apabila disentuh pada watak seorang perempuan?

Inilah menariknya Tiger Stripes, apabila semangat alamiah, berontak, emosi, jiwa, dan ekspresi perempuan, dalam hal ini, seorang anak 12 tahun(?) Zaffan (Zafreen Zairizal) yang didatangi haid, akil baligh (kedewasaan orang Islam ditandai dengan fenomena ini), mula merubah, bukan sahaja secara emosionalnya (tidak ada sudut spiritual langsung, jadi hal tauhid usah dikhuatiri), seksualnya, tetapi fizikalnya. Di sini mungkin, bagi penonton yang mahukan "jawapan" akan terasa teraba-raba. Tidak dinyatakan (kerana jika kita tonton mana-mana filem seram Melayu, pasti kisah asal usul muasal suatu "hinggapan/gangguan" diceritakan) dari manakah Zaffan mendapat semangat harimau jadian tersebut, adakah daripada keturunannya, lepak-lepak lamanya di hutan, atau terkena kelibat Ina, sang penunggu-harimau jadian yang selalu menengok-nengok orang di dalam hutan. Ketidakketahuan ini menimbulkan suatu persoalan yang absurd terhadap Zaffan, yang menambahkan lagi ketidakharuan masyarakat (juga penonton) dengan suara-suara waswas yang makin membingit, dan mula menuduh-nuduh, menghakimi, seperti watak kawan baik Zaffan, Farah (Deena Ezral) secara mikro dan kemudian Dr. Rahim (Saheizy Sam) secara makro. Lalu, berlakulah hal chaos, dari sekolah ke orang kampung, hal yang sama ditemui dalam ruang filem Lelaki Harapan Dunia (2014) dan Waris Jari Hantu (2007).



Hal ini kerana, subjek yang melalui hal ini ialah seorang anak gadis, seorang perempuan remaja (yang memberontak). Apatah lagi, banyak hal-hal pengalaman haid ini, pertama kali dilihat oleh penonton kita secara cukup teliti, reaksi persekitarannya, rakan-rakan sebayanya, sekolahnya, keluarganya, sosialnya, dipaparkan sepenuhnya dan sejujurnya kepada penonton, fasa demi fasa. Aku yang kurang mengenal dan memahami alam ini (adakah benar si anak perempuan itu diejek "busuk", dipulaukan?) aku bertanya kepada sahabat perempuanku, Dr. Hani Salwah Yaakup yang juga ahli dalam budaya Melayu yang dihubung kait dengan filem. Beliau menyatakan, paparan yang ditampilkan memang benar, mengikut kesesuaian umur, peringkat, latar belakang keremajaan Zaffan yang ditampilkan. 

Jika benar, maka hal ini menarik untuk meneliti sisi prejudis sosial dan emosional yang dikenakan terhadap seorang Zaffan, anak perempuan sekolah yang "pertama" dapat haid di sekolahnya. Hal ini terikat pula dengan fenomena buli kalangan rakan sebaya yang dipamerkan terhadapnya, yang menjawab: mana-mana usia dan golongan, perkara yang mereka tak dapat faham dan berubah di hadapan mereka, mereka akan momokkan dan menyerang, seperti kalangan cybertroopers terhadap suatu isu politik.

Oleh sebab banyak perkara yang tersekat-sekat dan disjointed, aku mungkin tak mampu melihat naratif filem ini secara penuh. Tapi aku masih dapat meneliti beberapa perkara penting, seperti lakonan, yang aku kira, teraju utamanya, Zafreen Zairizal dapat sampaikan dengan penuh bulat dan cukup cantik, termasuk sisi-sisi komedinya. Ya, ini sebenarnya filem komedi gelap campur fantasi, seakan-akan realisme magis kita yang tersendiri. Dan Zafreen amat dinamik dan tampil menyerlah, dibantu dengan natural oleh Deena Ezral (wataknya merupakan watak ekstrem anak Rozie Rashid dalam Mukhsin tu) dan Piqa sebagai Mariam. Kita juga tercuit dengan Saheizy Sam, si "penunggang agama" taraf narsisisme yang cuba mengubat histeria yang berlaku di sekolah Zaffan (histeria menurut filem ini merupakan suatu "aksi" pemberontakan sosial sang wanita, yang terikat kuat dengan suara rimba jiwa wanita Zaffan yang baru ditemuinya, yang ingin mengekspresikan diri atas selama ini ditekan oleh institusi sosial atau tekanan patriarki). Aku juga suka dengan skor lagu Gabber Modus Operandi yang cukup menyampaikan suara memberontak ini, di latar hutan, sekolah mahupun rumah. Sinematografi pegun tapi cukup bergerak dengan transformasi Zaffan oleh Jimmy Gimferrer cukup memikat (namun susah hendak melawan atmosferik latar filem Roh), dengan beberapa babak malam yang cukup menyampaikan misteri dan keindahan (babak-babak malamnya mengingatkan aku pada babak malam dalam filem Dendam dari Pusara). Aku tidak berapa gemar dengan efek stop-motion dan solekan yang sedikit murahan, mengunjur kepada semangat filem-B, tetapi hal ini mengungkit homaj pada filem-filem seram lama kita yang memang buruk efek khasnya, seperti Gergasi (1958) dan Anak Pontianak (1958).

Antara filem wanita campuran pelbagai genre yang menarik untuk ditonton.

Klasifikasi 16 - Babak-babak ganas (kepala terpotong) dan hal keperempuanan yang mungkin sesuai untuk penonton matang.

08 August 2017

Filpen Malaysia Masuk Festival Filem Antarabangsa Venice ke-74


Korang tau tak ada filpen (filem pendek) Malaysia masuk Festival Filem Antarabangsa Venice tahun ni?

Korang mesti kenal Venice, kalau korang ingatlah apabila filem Puteri Gunung Ledang (2004) berjaya diundang untuk tayangan khas di sana. Akhir-akhir ini FINAS hanya buat-buat sibuk dengan Oscar saje sedangkan ada tiga festival filem antarabangsa yang terbesar menjadi pusat tumpuan pengkritik, pengedar, penggemar dan pembikin filem - Berlin, Cannes dan Venice. Venice merupakan festival filem antarabangsa yang tertua dan masih berprestij. Dan untuk Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu, sebuah filem (dalam hal ini filpen) Malaysia untuk masuk serta, itu kira satu kebanggaan juga.

Lagi-lagi apabila ini kali pertama sebuah filpen Malaysia yang terpilih (antara beratus yang nak masuk) untuk menyertainya, dicalonkan dalam seksyen Orizzonti (Horzion) di bawah pencalonan untuk Anugerah Filpen Terbaik. Menarik lagi apabila inilah filpen pertama Malaysia yang ditunjangi oleh kru pembikin yang 95 peratusnya adalah wanita! Clever Girl mak ai! Malah, ketiga-tiga teraju utamanya ialah wanita; pengarah dan penulis lakon layar, Amanda Nell Eu, penerbit, Gan Hui Yee dan para pelakon Sharifah Aryana (Yep, pelakon Mukhsin itu!) dan Sofia Sabri.



Filem terbitan Astro Shaw berdurasi 17 minit lebih ini menceritakan persahabatan "pelik" antara seorang gadis kampung (Sharifah Aryana) dengan seorang pontianak (Sofia Sabri). Ini kira dah berbunyi-bunyi macam Let the Right One In (2008) versi all girls di ceruk sebuah kampung Melayu, walaupun mungkin pontianak itu bukan vampiro namun mungkin suka makan nasi lemak, selain darah anak-anak yang balik dari mengaji.



Filpen Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu juga merupakan hasil karya skrip yang terpilih daripada bengkel Shortcuts Short Film untuk menerima bantuan produksi RM40 ribu. Hanya tiga skrip terbaik daripada bengkel tersebut yang berpeluang menerima ganjaran ini. Filpen ini akan ditayang dan bertanding pada 30 Ogos - 9 September 2017 nanti di Venice. Semoga filem ini selamat bertandang dan disukai oleh para penonton antarabangsa, serta selamat memasuki pelukan benua pusat Euro Horror dengan Argento dan Bava serta kumpulan peminat filem seram dan cenderung fantastikalnya, kita doa-doakan yang terbaik buatnya!