Rama bertemu Sitanya, bolehkah mereka bersatu selama-lamanya?
nota: Ulasan ini buat Edd yang sudi menghantar filem ini buat aku yang berpeluang menontonnya sebelum Oscar, terima kasih Edd!
Jamal, hero (filem ini tiada protagonis) di dalam filem ini, apabila ditanya oleh inspektor polis yang menyiasat tuduhan penipuannya dalam rancangan kuiz Who Wants To Be A Millionaire versi India, apa tujuan Jamal memasuki rancangan kuiz itu, Jamal (lakonan baik Dev Patel) menjawab, "Kerana saya tahu "dia" akan menonton."
Sungguh romantisnya, sungguh jujurnya. Hal semacam itu hanya akan keluar daripada mulut seorang manusia lurus dan penuh harapan dan cinta seperti Jamal, setaraf seorang wali Allah atau setaraf mana-mana perwira yang pergi berperang dengan naga untuk menyelamatkan puterinya. Tetapi lihat, sebelum Jamal menjawab soalan polis itu, kita diberi satu tayangan aksi yang panjang tentang sedutan riwayat Jamal (sebab dan akibat kenapa), termasuk bagaimana dia ditangkap polis lalu dihumban ke dalam penjara. Ia sedikit "bermain" dengan klise emosi tetapi kerana permintaan "jujur" Jamal, kita pun menepuk tangan dan menangis lalu menyokong di belakang Jamal apabila Jamal berkata, "Kerana saya tahu dia akan menonton."
Inilah keajaiban Slumdog Millionaire, sebuah filem yang kita tahu dan "penah lihat" saduran dan saluran emosinya tetapi kita tetap menurutinya kerana semangatnya yang "penuh harapan untuk mencapai tujuan hidup" (kita faham di sini, tujuan hidup Jamal ialah bersama dengan Latika, walau apa pun terjadi, Latika ialah simbol salinan ibunya yang mati dalam rusuhan). Malah kisah riwayat Jamal ini pun dibuka dengan kupasan demi kupasan yang memerlukan flashback, sebuah gaya yang pernah dibikin dalam The Last Emperor(1987) ataupun The English Patient(1997) dalam membuka riwayat seorang watak dalam sebuah filem.
Apa yang menyebabkan gaya "pernah cuba" ini menarik (kalau tak segar) di dalam filem ini? Ini adalah kerana pergerakan filem ini yang laju dan bertenaga. Kelajuan detik filem ini (lihat pergerakan lari para pelakon, pergerakan keretapi, pergerakan kereta di celah lorong) dikaitkan dengan lajunya bandar Mumbai itu juga berubah - penggayaan ini pernah dibikin dengan lebih baik lagi dalam The City of God(2002). Ia juga kerana, buat pertama kali, penonton barat dapat melihat seorang watak yang hitam-putih, penuh "wide eyed innocence", penuh suci (simbolisme romantisme tinggi ala Goethe) dengan keinginan romantisnya, mengejar dan mengejar apa yang diperlukannya, di balik latar hina dina dan kebobrokan India (hal yang menyebabkan kontreversi di India seperti yang berlaku dengan Salaam Bombay!(1988) dan City of Joy(1992). Ini hal biasa, hal kebangsaan sombong orang India. Sepertimana jika para pengarah barat ingin mengarah sebuah filem 13 Mei di Malaysia. Oleh sebab itu, kita dahulu yang perlu berani merakam dan mengarah sebuah filem 13 Mei sebelum para Hollywood melakukannya). Semangat ini yang jarang ada dalam filem Hollywood (lihat bagaimana kompleks dan pesimisnya Batman atau sayu dan tercalarnya Harvey Milk kalau dibandingkan dengan romantis juang Jamal yang tidak pernah putus asa - semacam Wall-E!) dan sudah terbiasa ada dalam filem-filem hindustan. Para pembikin memahami idealisme "lahir semula" Krishna/Rama ini lalu mengangkat idealisme ini dengan sebaik mungkin, dan ia sememangnya berjaya.
Apa yang lagi baik ialah, Danny Boyle dan penulis skrip Simon Beafoy tidak melupakan asam garam filem ini dengan mogul filem hindustan. Rujukannya ada. Paling kuat kemungkinan filem Mehboob Khan (Mother India mempunyai epik pasangan adik-beradik yang mana seorang abang menjadi jahat, dan seorang lagi baik), Ram Gopal Varma (filem Satya(1998) arahan Varma merupakan filem yang sememangnya berpengaruh terhadap filem ini. Malah Saurabh Shukla yang berlakon dalam Satya turut berlakon dalam filem ini sebagai polis. Satya adalah sebuah filem neo-hindustan, filem yang berani menggunakan dialog realisme, kekasaran para gangster serta latar kotor dan miskin kota Mumbai, menolak sepenuhnya warna kemilau kebiasaan filem hindustan) dan kemungkinan Kamal Hassan. Aku katakan kemungkinan kerana dalam tali arus filem hindustan, bebeberapa unsur diambil dan digunakan sekali lagi (malah, filem hindustan jauh meninggalkan filem Hollywood dalam perujukan, parodi dan pascamoden) dan sekali lagi tanpa malu, malah ada yang mencedok daripada filem Hollywood. Hal ini juga berlaku dalam Slumdog, tetapi perujukannya sangat terjaga. Buat unsur-unsur ini, para pembikin pula menyalutkan satu "semangat" yang kuat dalam diri Jamal sebagai "pusat" terhadpa unsur-unsur ini. Buruk atau kotornya dia, kita tidak akan tersinggung, kerana kita mahukan dia "menang". Ini boleh dilihat dalam satu babak di mana Jamal terpaksa masuk dalam lubang tahi lalu keluar busuk untuk mengambil autograf Amitabh Bachan, malah berjaya (unsur fairy tale bersalut realiti slum tertinggi di sini). Di sini, kita sudah faham ke mana arah tuju filem ini dan buat apa filem ini diteruskan. Dan ini boleh kita lihat, satu India nanti akan "di belakang" Jamal, si budak yang pernah mengharungi parit tahi untuk tanda tangan bintang besar India. Dan inilah semangat yang tidak putus-putus digerakkan oleh para pembikin, menyeronokkan sekali gus mengisi keinginan fantasi kita untuk melihat "kemenangan" - Boyle sebenarnya mencipta hindustan, dan dia melakukannya dengan baik.
Kesemua plot dan pergerakan cerita berhubung dengan semangat ini. Tidak pernah sekali pun terlintas di dalam jiwa kita bahawa Jamal ini "penipu" atau ada "hitam". Malah Anil Kapoor (lakonan tanpa lapisan apa-apa pun) yang menjadi hos rancangan itu lebih "nakal" daripada Jamal. Ini perlu kerana pergerakan/pembangunan watak abang Jamal pula, Salim bergerak ke arah kiri. Maka ini membuka satu persoalan besar: mengapa Salim akhirnya melepaskan kesemuanya (di sini, simbolnya duit) untuk kebahagiaan Jamal. Takkan senaif begitu? Hal ini tidak diberi jawapan, malah menjadi satu plot yang merimaskan buat penonton kritis. Tetapi, oleh sebab kita sudah termahsyuk dengan Jamal, Lalita dan segala yang mereka telah lalui, kita hanya mahukan ini: agar mereka hidup aman damai selama-lamanya. Boyle tidak menghampakan kita.
Runut bunyi oleh A. R. Rahman antara yang mengujakan yang pernah beliau cipta, malah gaya campuran moden dan tradisi masih kuat dalam projek lagu filem ini. Penggambaran banyak menggunapakai gaya realisme Satya dan City of God, dengan sedikit dinamisme filem-filem Hollywood, tetapi ianya bukan yang terbaik. Ada satu shot menunjukkan (sebagai bukti) bagaimana susahnya untuk merakam bandar Mumbai apabila seorang pegawai di tepi jalan tiba-tiba menyahut, "No camera!" membanting filem ini untuk "keluar" daripada fantasinya untuk seketika (bahawa apa yang kita lihat itu tipu). Para pelakonnya baik, malah yang lebih menyesakkan adalah para pelakon anak-anaknya, lebih-lebih lagi para pengemis dalam filem ini. India menunjukkan, mereka mempunyai kumpulan pelakon kanak-kanak terbaik di dunia.
Slumdog Millionaire sememangnya sebuah filem kecil yang ada pincangnya. Tetapi dengan perubahan semangat Boyle berkiblatkan India (Boyle sebenarnya merupakan antara pengarah British yang cuba sedaya upaya meruntuhkan beberapa genre, seperti yang dibuatnya dalam genre dadah, zombi dan jenayah), dan kupasan jujur filem ini tentang kehidupan realiti golongan miskin Mumbai serta rasa fantasi-romantisme ala hindustan yang terjaga, ia antara filem terbaik tahun 2008.
Ya, pada kredit akhir, kita terasa seakan mahu menari bersama! Satu tayangan merayakan kehidupan setentunya!
ps: Buat komentar yang mengatakan filem ini lebih hebat daripada filem-filem kecil Yasmin Ahmad, buat saya filem ini lebih berbajet tinggi daripada filem Yasmin, maka ia tidak boleh disamakan.
Oh ya, buat penulis skrip/produser tempatan, malu korang. Lihat filem ini, sebuah lagi CONTOH filem yang diadaptasi daripada buku. Ini menunjukkan produser dan penulis skrip tempatan tidak membaca hasil karya tempatan, sedang banyak novel sedang tunggu untuk diadaptasi!