25 January 2009

Amblin(1968) Emosi dan Pergerakan Yang Cantik



Aku sudah mula berjinak-jinak dengan You Tube. Dan agak terkejut dengan filem-filem yang kau jumpa di dalamnya. Dan buat aku, sudah tentu aku cari yang "rare" (seperti filem-filem awal Lynch). Paling mengejutkan (dan menyeronokkan) aku terjumpa filem Firelight, antara filem pendek awal zaman remaja Steven Spielberg. Aku juga terjumpa dengan filem pendek 25 minit ini, Amblin', filem yang menyebabkan Spielberg diterima (filem ini dibeli oleh Universal) dalam para pembikin filem di Universal.


Awal filem kau akan sedar tanda tangan Spielberg dengan bulan yang menyinar cantik di balik langit malam biru (kemudiannya logo Amblin Entertainment dengan ET), beberapa suntingan baik dan puitis, mengambil maksud dan ruang yang baik serta (walaupun pencahayaannya sudah sedikit luntur) pergerakan kamera yang hidup. Malah dua watak (walaupun bisu) yang "carefree" membawa idealisme remaja muda zaman itu (dengan hisap marijuananya) dan cita-cita mereka (pelakon lelaki tampak sangat Spielberg bukan? Semacam pemuda Yahudi yang sudah lazim dengan Amerikana). Lihat dan dengar bagaimana dengan comel dan tersusunnya Spielberg menjaga pergerakan shot dan suara (runut bunyi - kedengaran seperti runut bunyi Perempuan Melayu Terakhir!).
Malah filem awal ini memaparkan kerajinan Spielberg yang banyak bergerak (maka di sini kita lihat kenapa filem-filem Spielberg banyak bermain dengan track shot). Lihat sahaja satu babak genius di mana si pemuda sudah sampai ke tanda jalan STOP lalu wajah pemuda riang sedang si gadis diam tapi tersenyum (persoalan si gadis: bolehkah dia bersama lelaki itu untuk hidup selamanya) lalu di depan mereka tanda arah jalan. Pergerakan "tidak terhenti lagi" itu memberi harapan. Dan saat itu kita dibuka dengan misteri bekas gitar yang tidak mahu dibuka oleh pemuda itu (dibuka oleh si gadis), dan sebab itu si gadis "kenal" dengan pemuda itu. Pemuda itu bukan lagi misteri yang perlu disingkap, malah (buat gadis itu) seorang budak yang baru mengenal hidup. Garapan ini baik sekali, memaparkan (pemuda ialah Spielberg semahunya, di dalamnya masih kebudak-budakan mencari hidup yang menyegarkan) semangat tanpa prejudis akan generasi muda Amerika zaman 60-an. Si wanita yang boleh berdiri sendiri sama lelaki, memilih dan menentukan hidupnya, seperti mana lelaki yang mula mencari-cari "jalan" (simbolisme jalan banyak dimainkan di sini).
Di sini kita lihat perjalanan yang akan ditempuh oleh Speilberg, dan amat mencuitkan, kita dapat lihat kekuatan Spielberg yang sebenarnya: manusia-manusianya penuh optimis dan terus bergerak dalam gundahnya (lihat babak pemuda dan gadis berjalan di tengah jalan, gambaran sama dengan Band of Brothers), suatu kebiasaan yang sama dengan Truffaut. Semangat ini yang tidak dilepaskan oleh Spielberg, walaupun dalam filem-filem sekarangnya.

2 comments:

Edd Vedder said...

..ko perasan tak, your last 4 entry semuanya diembed Youtube?

sangat obvious yg kau dh mula rasa apa yg aku rasa ketika mula2 berjinak2 dgn YouTube. Dan trust me, selepas ni, tiap2 hari kau akan type alamat youtube.com di browser kau walaupun untuk 2 minit.

no turning back after this bro..

fadz said...

Edd, dah lama dah, tapi aku baru dapat cara nak paste you tube dlm blog, haha, ya aku buta IT..