Showing posts with label david lynch. Show all posts
Showing posts with label david lynch. Show all posts

02 May 2009

Inland Empire(2008) Masih Berkuasa Walaupun Panjang

"Why instigate the need to suffer?"
Dialog watak dalam INLAND EMPIRE

"I love Hollywood!"
David Lynch tentang pembikinan INLAND EMPIRE


Buat kali ini, filem Lynch yang terbaru agak panjang, tiga jam, walaupun lanskap dan imej-imejnya menarik (lebih-lebih lagi apabila Nikki/Susan/Wanita Sesat Itu) dan masih membuat mata anda bergegar, ia agak panjang walaupun buat aku. Dalam tempoh aku ambil untuk menonton filem ini (yang dihantar oleh Spiral yang baik hati), aku tertidur tiga kali dan mengambil masa tiga malam (campur pagi Jumaat hari cuti sebelum kawan rumah sewa bangun, ya mereka tak suka tengok aku tengok filem-filem "mengarut" macam ni) untuk menghabiskannya. Tetapi memang apabila menghabiskannya, anda seakan merasakan anda baharu mencapai satu klimaks seks yang paling seronok (dengan sesiapa, janji cantik) di katil anda lalu mencari rokok yang terletak tepi meja lalu menghisapnya dengan puas. Ya, begitulah yang aku rasa apabila selesai menonton filem yang panjang jadah ni.

Buat mereka yang menginginkan aku membuka kod-kod dan menterjemahkan setiap simpang-siur plot tak ikut hukum garis lurus (tapi buat aku, ia lebih senang diikuti daripada yang paling haram jadah iaitu Lost Highway) dalam filem ini, maaflah aku takkan buang masa korang untuk semua tu. Silalah buka dan baca http://www.imdb.com/ di Discussion Board di mana perbalahan dan perbincangan tentang plot dan subplot dan setiap ikatan simbol dalam filem itu disampaikan dengan teliti dan baik sekali (tetapi perlu juga sedikit ilmu tentang filem-filem Lynch yang terdahulu terutamanya Twin Peaks: Fire Walk With Me dan Mulholland Dr) dan terjemahlah filem ini sendiri. Buat aku, yang penting buat aku sekarang (ya lah, macam dah hebat lah tu) ialah menyelusur dan merasa sahaja filem-filem Lynch, seperti mana yang Lynch aku tahu sebenarnya mahu, untuk kita tersinggung/ suka/ gentar/sentak dan seronok dengan campuran visual-suaranya.
Seperti mana pada akhir filem Mulholland Dr, si penyanyi mengucapkan "Silencio". Pada awal filem ini pula, ditampakkan dengan perkataan "Absurda". Sememangnya Lynch semahu-mahu mengatakan, kegelapan dan cahaya yang anda akan tonton ini sebuah absurd. Beliau tidak pernah selurus itu. Ya, ramai para pengkritik mengatakan ini ialah 8 1/2 atau Persona Lynch. Kemungkinan itu ada. Apa yang lebih menarik ialah keinginan Lynch menyentuh spiritual (bukan secara literal, tetapi sekurang-kurangnya terhadap sinema dan pembikinan sinema) tentang sinema atau filem dan segala yang tersingkap tentangnya - paling utuh, filem dan pembikinannya terhadap seorang pembikin (pembikin di sini bermakna para produser, pengarah, pelakon dan kru) dan komunikasinya terhadap penonton.

Malah dalam filem ini, Lynch benar-benar mengatakan beliau "tuhan" (secara faktanya tidak, oleh sebab pembikinan filem ini berlaku secara rawak, dengan pembikinan skrip yang dicipta tiba-tiba mengikut mood Lynch, ini adalah pembikinan Lynch yang paling prasedar - semahunya menyeluruhi idealisme surrealnya) apabila memberi "cahaya" dan "lagu" kepada kita dalam gelap kredit awal. Kita diberi perkataan "INLAND EMPIRE" - empayar dalaman (nama lain buat Hollywood/Carlifornia). Filem ini semahu-mahunya menangkap prasedar Hollywood.
Apa yang Hollywood berikan kepada kita? Cerita. Paling penting cerita itu mesti mengkagumkan (walaupun realitinya tidak logik) dan akhirnya mesti membawa kelonjakan rasa tenang. Itu hukum klise Hollywood. Lynch memberi satu lagi klu, mainan piring hitam di mana jarum sedang "memainkan" cerita (cerita yang kita sedang tonton). Di sini Lynch menjadi "ahli falsafah". Hollywood menyampaikan cerita, cerita yang pelbagai tetapi sudah ditetapkan (rekod). Kadang-kadang cerita diambil daripada realiti/idea/sains. Lynch menyatakan ceritanya diambil daripada mimpi.. Mimpi yang sebenarnya menyampaikan cerita sebenar Hollywood oleh sebab semua mimpi akan ditemui di filem (kita sebenarnya tidur di dalam pawagam). Cerita Lynch ini sedikit menarik kerana, dalam watak dan ceritanya, ia harus "pernah berlaku" terhadap semua orang kerana semua orang akan "merasa" emosi yang akan disampaikan. Ini didaktik Lynch.

"Pernah berlaku" ini penting untuk ditafsir kerana, jika kita lihat perkembangan "doopleganger" atau transportasi perubahan watak (seorang watak A tiba-tiba jadi watak B, dan seterusnya) dalam filem-filem Lynch (sebenarnya, ada perkembangan lakonan transportasi watak secara eksperimen yang berlaku dalam filem Lynch, sila lihat perubahannya sedari Eraserhead, kemudian Blue Velvet, Wild At Heart, Lost Highway, Twin Peaks dan paling akhir Mulholland Dr), dalam filem ini, ia tampak secara sedar bahawa ide utama Lynch bahawa jika watak seorang wanita yang tersiksa batin boleh terjadi dan di"paksa" lakon oleh A atau B atau C, ia juga boleh "dilakon"kan secara prasedar oleh KITA SENDIRI (caps untuk mewujudkan kaitan dengan INLAND EMPIRE - empayar intradiri. Itu tujuan Lynch dalma hal ini, dan INLAND EMPIRE menyatakannya tanpa malu-malu lagi.

Berjaya atau tidak cerita dan emosi yang ingin Lynch sampaikan itu subjektif. Yang penting, idealismenya disampaikan (ini menyebabkan ada yang mengatakan filem terbarunya buat kali ini sangat pretentious kerana ada peranan memaksa). Dan kalau kita langkau satu lapisan lagi (berkenaan komunikasi pembikin dengan penonton), Lynch ingin menyatakan bahawa ada dua jenis cerita, satu adalah cerita sebagai cerita, ia disajikan hanya sebagai cerita, tak lebih daripada itu. Majoriti pembikinan filem memiliki idealisme ini (rujuk Nuovo Cinema Paradiso). Kemudian, ada sebuah lagi cerita yang "diceritakan" (dalam filem ini ada tiga simbolisme "cerita" sebagai budaya penyampaian manusia: piring hitam, tukang cerita dan filem) untuk mencapai satu "kepuasan spiritual" - memberi karma (point Lynch adalah tuhan) dan penyelesaian terhadap kekasutan (yang boleh jadi dalam realiti) atau kecelaruan, seakan dengan pembikinan INLAND EMPIRE, Lynch memberi "roh" baharu buat "imej yang tersiksa" dalam realiti (kita). Dalam filem ini, cerita berperanan melebihi konteks cerita sebagai cerita tetapi cerita yang melangkau tujuan fizikal kepada metafizikal. Di dalam filem, para hantu yang sesat boleh kembali ke cahaya Tuhan (imej terakhir filem, baik buat Wanita Sesat yang kembali kepada Suami dan Anak Dalam Kandungannya serta buat Nikki/Susan). Sebenarnya bukan idea Lynch ini bukan yang pertama, tetapi sebenarnya pernah digunakan dalam New Nightmare, The Adventure of Baron Manchausen, The Neverending Story dan Cigarette Burns.
Klu untuk ini boleh dikesan daripada penceritaan "sumpahan" dalam filem ini. Kita tahu, Lynch menolak "tahyul" (ya, beliau tidak percaya kepada Tuhan), malah tahyul ialah suatu alat plot (plot device) buat Lynch dalam filem-filemnya (point Lynch bahawa manusia tidak boleh lari daripada mengekspresikan simbol lalu simbol itu "dipercayai" fungsi/ertinya lalu dianuti). Simbol-simbol cult/agama dalam filem Lynch sebenarnya satu penanda psikoanalisis serta surreal tentang dinamisme cetusan perangai kita yang tidak menentu. Iblis dalam filem Lynch melangkau bilazim moral manusia (rujuk Bob-Leland-Laura Palmer dalam Twin Peaks). Lynch tidak mempersalahkan manusia ataupun tuhan dengan kebobrokan yang diadakan oleh manusia kerana manusia memang manusia, ketidaktentuan yang dilakukan menunjukkan mereka manusia, lalu dengan simbol yang dicipta dalam prasedar manusia disampaikan untuk memahami ketidaktentuan ini.

Ketidaktentuan dan alat plot yang digunakan dalam INLAND EMPIRE ialah sumpahan itu. SUMPAHAN itu yang menyebabkan Nikki dipaksa menjadi SUSAN yang sebenarnya adalah WATAK yang dimainkan oleh seorang wanita Polish (filem itu tidak siap kerana tiba-tiba dua pelakon utamanya mati). Sumpahan itu sememangnya dijadikan alasan untuk Nikki memasuki dunia ketidaktentuan (yang digerakkan oleh tanda AXXoNN). Yang memaksa semua ini sudah tentu Lynch, dan kali ini, Lynch ingin menyatakan hal ini hanya boleh "mengubati" roh Wanita Sesat itu dengan melalui (baik untuk Lynch sendiri, para pembikin filem yang diterajui oleh Laura Dern, serta watak Wanita Sesat yang diadakan) pembikinan dan kemudian tontonan filem ini (Nikki akan menonton dirinya).

Kuasa filem ini terletak semahu-mahunya pada Laura Dern yang (dipaksa) melakonkan watak Nikki/Susan/Wanita Sesat serta beberapa watak yang akan kita ketahui bila menonton filem ini. Ya, Laura Dern terpaksa membawa pelbagai watak dalam satu masa! Dan paling susah ialah, dalam satu babak, Laura yang kemungkinan Nikki, kemungkinan Susan, kemungkinan Wanita Sesat, kemungkinan FILEM INI SENDIRI. Tidak pernah aku tonton satu lakonan yang amat susah sebegitu dan Laura Dern berjaya menangkap dan menyampaikan dinamisme pelbagai watak dalam satu babak(!) itu dengan sangat-sangat baik. Sepatutnya, anugerah akademi buat 2008 jatuh ke ribanya.

Susunan runut bunyi dalam filem ini amat hipnotik. Kesemua lagu memberi kuasa gelisah dan seronok yang benar terhadap imej yang dipaparkan. Lagu terakhir Nina Simone menandakan perayaan pada jiwa yang puas dan menikmati hidup (sila lihat siapa di akhir filem, dan ingat Black Lodge Twin Peaks serta Pentas Blues Mulholland Dr: kita fahami ini bukan akhirat tetapi lebih kepada satu imej-suara imbuhan kelegaan dan cetusan kepuasan/keseronokan selepas ribut dalam filem Lynch. Ini aku dapati bila menonton Twin Peaks banyak kali. Black Lodge sebenarnya satu platform buat Lynch menyimpan plot baru atau merehatkan para pelakon/penonton/Lynch - to chill out, to have fun, to ponder) setelah apa yang kita lalui sama-sama dengan Lynch dan Laura Dern.

Penggunaan kamera digital oleh Lynch sangat revolusioner walaupun pernah dibikin oleh orang lain, tetapi suram dan ketidaktentuan di dalam tangan Lynch yang membuatnya menarik, pun begitu aku tetap meminati filem-filem yang menggunakan kamera filem yang betul oleh beliau. Lakonan para pelakon lain juga baik, dan amat seronok melihat Grace Zabirskie sebagai watak Tukang Tilik dalam filem ini, juga kemunculan Laura Harring di akhir cerita. Si Wanita Tanpa Kaki serta Monyet juga mencuitkan hati (menjawab persoalan jika anda mahu jadi detektif cerita, bahawa tempat di akhir cerita itu alam barzakh, tetapi aku tetap tidak menyetujuinya) dan memberi cerita ini satu kesimpulan yang menyeluruh. Dan, oh, hebatnya babak Rabbit itu!

Sememangnya filem ini, jika ditonton dengan enteng, kita akan memburukkan Lynch bahawa beliau kemungkinan main tangkap cerita dan tangkap apa sahaja yang beliau nak, dan ambil para pelacur dan model wanita lalu tangkap lagi suka-suka lalu buat suntingan dan jadilah sebuah filem. Tetapi jika anda "rajin", tanpa perlu jadi detektif cerita, anda akan mengalami sesuatu yang mengasyikkan dan tidak dapat anda lupa selepas menonton filem ini.

INLAND EMPIRE merupakan antara filem terbaik 2008 buat aku.



25 January 2009

Aku Seorang Peminat Twin Peaks(1990-91) Besar

"My daughter's dead..."
Leland Palmer, hiba.



Babak di atas merumuskan sepenuhnya dunia fizikal Twin Peaks, antara babak awal drama siri itu (yang dimulakan dengan sebuah telefilem di Amerika Syarikat, sebuah siri tajaan Dunhill di Malaysia waktu itu). Ia meyanggupi melodrama yang disertakan dengan emosi benar (dialog dan aksi tidak terancang), ia kelihatan "kecil" (di dalam sebuah pekan) maka sebutan orang-orangnya semememangnya orang pekan kecil (mengambil rujukan filem/siri televisyen Amerika 50-an) yang sungguh sopan dan penuh intimasi. Kita sedar, semua orang kenal semua orang (Sheriff Truman sampai, lalu Leland [serta isterinya] sedar sesuatu yang tidak elok) dan tentu masing-masing mengenal anak orang lain. Di dalam babak ini, Leland sedar apabila Sheriff menghampirinya, lalu dia menangis (Laura tak pernah hilang dari rumah). Isterinya turut menangis, malah meracau dan hesterikal. Leland memeluk erat Truman sedang tuannya, Benjamin Horne mencari Leland. Di akhir corong telefon (zaman 70-an), isteri Leland, Sarah Palmer menjerit dan menjerit.

Warna, persekitaran luar dan dalam, serta cahaya Twin Peaks semacam berwarna kilat, sejuk, tenang dan terlalu supersifial sempurna (sekali lagi, merujuk filem Amerika 50-an). Semua ini "dirosakkan" dengan berita Homecoming Queen mereka (simbol kesempurnaan Twin Peaks) dibunuh. Lalu yang melaung paling kuat adalah si ibu ratu, Sarah Palmer. Sarah Palmer tidak sahaja menjerit, dia menjerit satu jeritan menyesal, satu jeritan neurotik, dia membenci dirinya, dia membunuh dirinya sendiri. Kita dapat lihat hal ini dengan luahannya. Dia tahu anaknya akan dibunuh tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa maka dia hanya boleh menjerit. Ini prasedar yang kita sedar berlaku (ingat catan The Scream oleh Edvard Munch) terhadap Sarah Palmer. Maka jeritan ini membuka pada suatu lagi pintu prasedar - apa yang Sarah Palmer tahu sebenarnya. Ini membuka dunia gelap Twin Peaks, membuka misteri Twin Peaks.
Siri drama TV ini satu fenomena pada suatu masa dahulu (sekurang-kurangnya buat aku). Malah, aku antara eksentrik yang benar-benar mengikuti episod ini keseluruhannya kecuali episod terakhirnya (aku dipaksa buat kerja pada waktu itu, sangat sadis). Seorang rakan aku membencinya kerana "langsung mengelirukan pengakhirannya, anti klimaks!" Siri ini yang mula membuka perjalanan aku mengenali Lynch (walaupun sebelum itu aku sudah menonton The Elephant Man dan DUNE), malah siri inilah yang menyebabkan aku menelaah genre seram dengan serius (di mana aku mengenali sebuah lagi genre, surrealis).

Maka kembali pada pekan Twin Peaks sangat intim buat aku. Seperti warna dan imej poskad pekannya, ia membawa "nostalgia prasedar" kepada aku. Twin Peaks sememangnya dilupai. Pertama, siri ini yang utamanya mengubah lanskap dan ekonomi pembikinan siri televisyen, membawa keparakan produksi bikinan filem ke sebuah siri tv (siri ini sememangnya sebuah tele filem, yang menjadi hangat lalu diminta disambung) lebih-lebih lagi dalam ketelitian penggambarannya. Kedua, siri tv ini berani membawa gaya "aneh" atau eksentrik menjadi hal yang perdana (zaman ini juga adalah arus keemasan pembikin filem eksentrik seperti Tim Burton dan David Croenberg), malah sebelum kedatangan X-Files (yang dipengaruhi dengan penggunaan produksi filem dalam siri tv seperti siri drama ini), siri ini sudah dahulunya menampilkan seorang agen FBI dengan sedekat mungkin, menyambung siri-siri yang menggunapakai watak agen kerajaan dengan intimasi (CSI, 24, X-Files, dll.). Paling menarik, dunia sureal Lynch (dan Frost) diterima ramai waktu itu.
Dunia ini juga boleh dikatakan sebuah dunia "khayalan" atau hiper fantasi Lynch terhadap Amerika. Ini ditandai oleh beberapa watak, James Hurley yang mencari kebaikan (dia sedar pada akhirnya, tidak ada dunia pari-pari atau manusia yang sejatinya baik) dalam Amerika (simbol lama hero Amerika - romantis), Donna kawan baik Laura yang terheret antara kebaikan dan keburukan (sebenarnya simbol penonton, seperti Dale Cooper) dan Audrey Horne yang kenal dengan keburukan dunia tetapi cuba berbuat sesuatu (yang kadang-kadang gagal ditahannya). Mereka ialah "suara generasi muda" Amerika, memberontak, mula mengenal kesamaran etika dan moral serta berharapan tinggi untuk hidup sempurna (rujukan Rebel Without A Cause). Watak-watak orang tua mereka semuanya "berahsia". "Semua orang bersalah di Twin Peaks" kata cogannya. Apabila bekas cowok Laura, Bobby Briggs menyatakan di majlis kebumi Laura, "Kau semua yang bunuh Laura!", Bobby mungkin benar. Dunia yang kita kenal ini sebenarnya sebuah neo-noir. Semua kecelakaan/kesempurnaan fantasi Amerika ini disalut dengan spiritual Red Indians (White/Black Lodge), menyatakan bahawa mitos Amerika berkait dengan kewujudan dunia di bawah tangan pribuminya. Sebenarnya Lodge (tempat hentian) ini adalah imej pantulan kecantikan/keburukan Twin Peaks/Amerika. Malah Frost dan Lynch banyak menggunakan idea surreal Lodge ini untuk menggerakkan plot episod, semacam satu oracle dan kod-kod rahsia sekali gus (hal ini menjadi trademark Lynch untuk filem-filem seterusnya).
Idea Lynch ialah, setiap baik-jahat itu tersimpan dalam jiwa manusia (di sini Lynch mencipta puisi, dalam kejahatan tampak sensualnya dan berahinya, dalam cantik nampak kelesuannya - ini adalah idealisme seni buat Lynch). Setiap pokok yang hijau mempunyai bayang gelapnya. Setiap lampu hijau ada merahnya (kondisi dualisme manusia yang mana manusia kadang-kadang tidak ada kuasa untuk menahan dirinya mengikut). Setiap yang manis ada yang busuk masam, yang ranum, ada yang mereput bangkai, membusuk. Idea ini bersambung daripada gaya cool Lynch dalam Blue Velvet(1986) (setiap pekan yang kecil mempunyai rahsia yang besar - siri tv Desperate Housewives mengikut plot ini). Dengan kesanggupan Mark Frost, Lynch dan Frost telah mencipta sebuah dunia di mana ia bergerak dan "dibuka/bedah" apabila seseorang mati di pekan itu. Frost dan Lynch sebenarnya sudah memaklumkan, kematian Laura Palmer sebenarnya satu McGuffin (satu peristiwa yang membawa pembaca/penonton ke arah naratif yang palsu), kerana idea sebenar Twin Peaks ialah cerita-cerita "rahsia" penduduk pekannya yang sebenarnya perlu dikupas oleh Agen FBI Dale Cooper, dan bukan pembunuh Laura Palmer (dikatakan, ini penyebab utama siri tv ini tidak diminati selepas pengetahuan pembunuh Laura Palmer). Ya, drama tv ini juga mempunyai kelemahan-kelemahan yang tampak, lebih-lebih lagi pada musim kedua (walaupun buat aku, ini disenangi). Tetapi sub-plot yang berputar pada Bobby Briggs dan aweknya, Leo Johnson, Benjamin Horne, Josie Packard merupakan dunia-dunia gelap yang sebenar yang ingin dikupas oleh pembikinnya. Ini kerana kesemua desakan "gelap" penduduk ini yang entah bagaimana, menyebabkan Laura terbunuh (ini diikat dengan klu dadah, seks dan sistem keluarga yang sempurna).

Kesemua lakonan di dalam siri ini adalah yang terbaik, daripada Makcik Log hingga ke suami Norma Jennings. Aku menyukai dua watak dalam siri ini, Grace Zabriskie sebagai ibu Laura (dia tidak perlu banyak bersuara, hanya wajahnya sudah banyak membantu menyampaikan emosinya) serta Sheryll Fenn sebagai Audrey Horne (sebab aku suka dia, haha!). Runut bunyi Angelo Baldamenti adalah sebuah klasik dan akan diingati sampai bilai-bila. Selepas menonton siri tv ini, anda akan kecandu seperti aku, meminati donut dengan celup kopi (lebih awal dari Simpsons) dan mencari pai ceri yang tersedap di dunia.

19 October 2007

Haloween 2007 Menjelma


Tahun ni macam takde filem yang boleh ditunggu untuk dibikin marathon. Mungkin aku perlu bukak balik dvd filem Fulci, Raimi, Argento, Carpenter dan Romero aku dan tengok yang mana aku nak tengok dulu (aku tengah cari balik filem-filem Barker, mana nak jumpa ahhh?). Apa-apa pun, aku nak kongsi laman gila ni dengan korang, namanya The Black Lodge: A Tribute to David Lynch. Korang mesti dah lupa akan Twin Peaks. Aku ingat lagi masa aku kecik, bagaimana aku tergila-gilakan siri tv tu. Ramai kawan aku tak layan sebab bagi diorang "its too weird and depressing". Oh ya, peminat-peminat Faisal Tehrani sudah tentu labelkan siri tv ni 'melawan aqidah'. Tetapi Twin Peaks lah yang mengenalkan aku pada David Lynch, pada penyiasatan FBI (yang kemudiannya diikuti Silence of the Lambs dan kemudian itu X-Files), pada lampu malap (Se7en), pada siri penyiasatan dan dunia sureal yang gila-gila (sekali lagi, Faisal termuntah mengucap nauzubillah). Serius, inilah tv siri kegemaran aku sampai sekarang. Bagaimana ia berjaya menaikkan 'par' produksi drama siri tv dengan menggunakan shot-shot seperti filem, bagaimana ia membentuk dunia 'cult'nya yang tersendiri (aku masih teringin nak makan pai epal Diner Norma tu. Sampai sekarang aku mencari pai epal terbaik dan aku hanya melahap pai epal kalori tinggi McDonalds) dan bagaimana aku jatuh cinta dengan Audrey Horne (Sherilyn Fenn zaman tu.... aduhhh). Sewaktu LD (zaman tu takde vcd) Fire Walk With Me keluar, aku terhenjut-henjut ke kedai video nak pinjam. Menontonnya, aduh, secara serius, David Lynch adalah raja seram sureal yang tiada tolok bandingan. Sebenarnya, meletakkan Lynch dalam acuan 'seram' agak tidak kena, kerana apa yang Lynch mahu luahkan ialah 'kebenaran masyarakat dalam imaginasi tak tercapai'. Jadi pseudo-seram atau senang, surreal memang gaya Lynch, yang aku terikut kadang-kadang bila mengelamun. Laman yang aku nak tunjuk ni sebuah laman gila-gila 'scary' dan menggetarkan dalam membayangkan visi dan imaginasi dunia David Lynch, terutamanya Twin Peaks. Di dalamnya, kau seperti sudah tidak mahu keluar dari sebuah lamunan yang seronok dan tiba-tiba ngeri tetapi kau mahu saja mengikut kaki engkau dibawa entah ke mana-mana lalu terperangkap di dalam keputusan kau sendiri, kau berjalan dengan api.



lihat: