The Assassination of Jesse James by the Coward Robert Ford (2007)
Australia (2008)
Kekure mengatakan filem ini filem terbaik 2007 (oleh sebab Brad Pitt berlakon di dalamnya), aku menyokongnya sedikit, tetapi aku boleh katakan "antara yang terbaik" dan bukan "yang terbaik". Paling baik tentang filem ini ialah cara ia menangkap Amerika (buat zaman filem ini, didasari elemen "western") dengan ketelitiannya terhadap alam melebihi orangnya (walaupun penangkapan wataknya sangat baik, terutamanya terhadap intrig-perhubungan Jesse James lakonan berpadu Brad Pitt dan Robert Ford, lakonan berkuasa Casey Affleck yang "meek" tetapi penuh jiwa dan keinginan berjaya). Kita memahami juga, Dominik banyak mengaplikasi pengambilan masa alam yang "bersatu" dengan manusia dalam kebiasaan filem-filem Terence Malick. Lihat sahaja babak-babak panjang Casey Affleck beredar dari satu kumpulan ke satu individu di dalam hutan. Atau dalam kegelapan bagaimana kedatangan keretapi melalui pokok-pokok oak dengan abunya dan manusia-manusia yang melihatnya dengan obor-obor api. Kesemua ini memaparkan advencer, pantulan kepada inisiatif hidup Jesse James (dipaparkan sebagai "penjejak advencer" daripada seorang penjenayah, walaupun, separuh plot nanti kita mengikut sisi Robert Ford yang melihat Jesse James sebagai seorang "ketua jenayah berparanoid"). Sebenarnya, apa yang lebih penting ialah bagaimana alam (atau manusia itu sendiri) menjadi keliru terhadap elemen-elemen di sekelilingnya, di sini dengan penuh kompleksiti, perhubungan Jesse James terhadap anak-anak buahnya. Analoginya khusus jiwa seorang "selebriti", kemungkinan selebriti pertama dalam dunia Amerika tandus. Robert Ford "tersilap langkah" kerana mengganggu "idola" atau "dewa" ciptaan Amerika itu, membawa maksud, walaubagaimana benarnya tujuan kita atau benar satu kejadian moral, mitos atau pembikinan legenda lebih kuat daripada kebenaran atau fakta, menandingi moral. Kepekaan ini dapat kita fahami dalam kuasa para politik menggunakan "propaganda" mencipta "imej" - "mitos" supaya dibela/puja oleh massa. Penelitian kajian ini dalam filem ini yang terbaik, melihat pada sisi yang "tersisih". Ini menyebabkan filem ini bernilai estetika tinggi, sebuah filem "sastera" yang tinggi.
Australia (2008)
Filem ini dikatakan filem terburuk Luhrmann. Sebenarnya tidak begitu, begitupun bukanlah hasil yang benar-benar mengubah tanda tempat filem-filem epik, seperti mana yang Luhrmann lakukan terhadap muzikal (Moulin Rogue! (2001)) dan pop-drama tragedi-romantik remaja (Romeo + Juliet (1996) ). Tetapi cukuplah dikatakan filem ini tidak membosankan (mana ada filem Luhrmann yang bosan) walaupun mempunyai unsur-unsur realisme magis yang agak terlalu buat penonton yang mengira logik. Tetapi serapan mistik-magis itu sesuai dengan latar Australias dengan misteri Abroginie, walaupun kita tidak faham, berapa jauh kuasa "dewa-dewa" itu menandingi rasional Orang Puteh. Terdapat beberapa unsur hindustan yang pekat (pengabadian watak utama di skrin adalah kebiasaan hindustan dan filem-filem epik Hollywood), malah filem ini kemungkinan menolak ramai penonton ke luar oleh sebab ini. Tetapi jika perkara itu dipandang enteng, Australia kemungkinan menjadi antara filem terbaik anda tahun ini, kerana sentuhan romantis dan melodramanya seangkatan Titanic(1997), malah keterlaluan jika kita lihat, kelihatan sebuah epik buatan Disney. Hanya improvisi dunia yang luas, yang dibawa dari satu benua (Britain) ke satu benua (Australia) lalu merangkap ke sempadan-sempadan mikro menjadikan filem "epik" ini menarik (kebiasaan Luhrmann sebenarnya, membentuk filemnya semacam satu keretapi laju yang membuak segala sinopsis cerita pada awal filem) walaupun sedikit mengelirukan bagi mereka yang masih tidak memahami gaya Luhrmann. Australia sememangnya semacam sebuah novel pulpa epikal yang tebal yang penuh rencah emosi yang justeru pop dan superfisial (para lelaki dan wanitanya perlu sempurna contohnya), buku biasa yang kita dapat baca dalam sebuah novel popular. Kemungkinan ini masalahnya, kerana kebanyakan epik yang dibikin, walaupun ia dibumbui estetika pop (Gladiator(2000), Troy(2004) ), ia merelakan gayanya untuk "to be taken seriously". Australia masih tidak kesampaian ke situ walaupun ia amat menghiburkan dan mesej kemanusiaannya masih relevan.
Penarek Becha(1956)
Filem arahan pertama P. Ramlee ini walaupun mungkin bukan filem terbaiknya, adalah sebuah contoh filem baik yang segar dan sangat berlainan. Malah, permulaan filem ini kelihatan mengikut gaya neo-realisme yang biasa kita tontoni dalam filem Itali. Malah, kemungkinan juga, ada unsur sosialisme yang kuat yang ingin disampaikan oleh P. Ramlee (kemungkinan berikutan persahabatan beliau dengan golongan sasterawan "seni untuk masyarakat" pada waktu itu). Filem berlatar Singapura ini boleh sahaja terpesong memekarkan "fantasi" para proletariat membalas dendam terhadap golongan brojuis/atasan (sebuah babak memaparkan itu dengan si penarik beca bergaduh dengan "Haji Bakhil"), atau mungkin sahaja sebuah neo-realis yang sejati dengan paparan detik demi detik seharian pemuda Penarik Beca (lakonan P. Ramlee) yang kemungkinan statik hidupnya (aku bayangkan ia berakhir dengan P. Ramlee duduk termangu di tepi pantai, sekaligus memberi riak penelahan kondisi golongan Melayu Singapura sekarang) atau terjerumus ke kematian (tragis). Tetapi tidak, filem ini buat "khalayak" yang biasa dengan teater bangsawan, roman 1001 Malam dan hikayat asyik mahsyuk. Maka elemen "hindustan" atau pembawaan emosi yang terlalu dengan penggunaan melodrama itu perlu dalam penceritaan dan pembawakan cerita. Ini kelihatan "mengganggu" pada pertengahan plot filem apabila Salleh Kamil melihat P. Ramlee membawa Saadiah ke rumahnya. Kelaziman dialog "hina" dan stereotapi kaya-miskin dimainkan dengan setinggi-tingginya. Pun begitu, elemen-elemen ini dijaga dengan tersusun dan baik sekali oleh P. Ramlee, malah melangkau lazim kemahiran guru-gurunya, para pengarah dari India kerana gambar tulus dan teliti P. Ramlee terhadap kota Singapura dan zamannya. Paling mengejutkan, lakonan Udo Omar yang berlapis-lapis melangkau lakonan selapis "hero roman" P. Ramlee sebagai orang kaya bakhil, yang mana lakonan berkesannya ini diparodikannya sendiri dalam filem Labu & Labi dan Nasib Labu & Labi.
Radit & Jani(2008)
Menonton filem kedua Upi, aku sudah mula memahami "dunia"nya, dan aku tak berapa suka. Upi, seperti dalam filem sulungnya, Realita, cinta & rock n roll(2006) melempiaskan dua genre: satu yang berkondisi memberontak: rock, semangat seksual remaja, anti kerajaan, subversif, kesenian, gelendengan, melawan arus. Keduanya: mengambil idealisme sinetron Indonesia:- elemen superfisial emosi dan melodrama. Di dalam Radit & Jani, ini tidak terkecuali. Aku mati-mati ingatkan Radit & Jani ini satu cubaan pembikin filem Indonesia melakarkan sebuah Sid and Nancy(1986) sebuah filem rock yang unggul dan kasar. Mungkin tema "penderitaan" itu sahaja yang sama (serta hidup hedonis mereka yang real dan kuat), tetapi separuh daripada filem ini (apabila Radit menyedari Jani hamil) menjerumus ke elemen melodrama dengan pembuakan "hidup perlukan wang" dan segala yang membuatkan golongan punk akan membakar filem ini (atau kemungkinan tidak perlu kerana kelesuannya, tak nonton sudah cukup). Pun begitu, memang lakonan kedua-dua peneraju utama memberangsangkan, lebih-lebih lagi dalam "chemistry" mereka serta gila-gila mereka untuk mencari wang dan sesuap makanan.
Ungu Violet(2005)
Filem Rako Prijanto ini sebuah filem yang dekat-dekat sempurna. Hanya kerana ia terjerumus kepada sentimentaliti (walaupun tidak dipaparkan secara luas seperti filem di atas) dan klise drama (orang sakit, langgar kereta), ia sedikit "terganggu". Walaupun begitu, Ungu Violet sebuah filem yang cantik, menyentuh dan sekaligus memahami dunia warna-tanpa warnanya. Filem ini sebenarnya filem tentang satu pencarian kecantikan. Bolehkah kecantikan itu kita miliki? Ia lebih menarik apabila digerakkan oleh seorang protagonis yang bekerja sebagai jurufoto sebuah syarikat majalah. Jurufoto ini (selepas kehilangan cewek oleh sebab satu rahsia yang ceweknya ketahui dan tak dapat menerimanya) adalah lambang voyeurisme kita, bagaimana kita mencari "kecantikan dunia". 20 minit awal filem ini sebuah paparan yang klasik, bagaimana semua warna dan rasa ini di"lihat" oleh jurufoto yang memahaminya sebagai "kehidupan". Voyeurisme membawa kepada obsesi. Si jurufoto menjumpai "bayang-bayang cantik" di dalam bas sewaktu di menangkap wajah-wajah Jakarta secara rawak. Dan "bayang-bayang" ini yang dicarinya, semacam "impian yang tidak tercapai" di mana dalam fantasi filem ini, ia diberi ruang untuk sang voyeur mengenali subjeknya. Dalam filem ini pemandangan mengambil aspek yang paling penting, apa yang dilihat dan tidak dapat dilihat itu tanda dan penanda dalam filem ini (sudah tentu akan ada rahsia). Kalaulah sahaja perjalanan itu tidak terlalu dibawa ke sentimentaliti, ia tentunya sebuah hasil yang sangat sempurna. Oh ya, filem ini diperan oleh Dian Sastrawodoyo, orang kedua yang aku sangat gilai selepas Luna Maya.
Quickie Express(2007)
Kini filem Indonesia bukan sahaja ditonton oleh sebab pengarahnya (tapi buat korang, tentu pelakonnya saja) tetapi penulis skenarionya (penulis lakon layar). Filem ini ditulis oleh pengarah/penulis/pengkritik Joko Anwar yang tidak pernah memberi sesuatu yang membosankan. Joko, kali ini menulis (sebuah lagi, Fiksi, sangat ditunggu-tunggu peminat Hitchcock) dan orang lain mengarah. Quickie Express sebuah filem tentang jejaka bandar Jakarta yang diberi peluang menjadi gigolo buat golongan menengah-atas, para wanita yang dahagakan sentuhan lelaki gagah/jenis yang disukai mereka, dijaga oleh seorang tauke keturunan Syed yang homoseksual. Filem ini "segar" dan "seronok", malah berani menempelak beberapa diskusi tentang seks yang dikira tabu dalam masyarakat kotemporari Indonesia (seperti mana Arisan!) walaupun biasa buat filem barat. Beberapa "cuteness" seperti mesin memberi kerja sesuai pria, mainan twist yang berlanjut dengan unsur mafia dan melodrama homoseksual(! - mungkin menempelak Brokeback Mountain), kedai pizza yang sebenarnya sarang pelacur lelaki lima bintang yang semacam kilang Fed Ex sangat-sangat menarik. Warna, ton dan seni latar filem juga mengungguli perasaan psychedelic yang ingin dikeutarakan, malah simpul susah yang dilalui protagonis (lakonan mengancam Tora Sudiro) diikat dengan baik, atas ide dan kekuatan skrip Joko Anwar dan kemantapan kru filem. Hanya, skrip Joko ini benar-benar filem "bergerak". Keperluan imej bermain dengan suntingan laju, kamera gerak dan shot-shot laju beraksi diperlukan. Dimas sekali pengarah lebih mengutamakan shot cantik yang luas dan penuh "keseimbangan" dan perspektif, menyebabkan pergerakan aksi agak terganggu. Ini dapat dilihat berlaku dalam beberapa babak yang memerlukan aksi yang bergerak, seperti klimaks filem, di mana babak pergaduhan agak hambar. Ini kekurangan Dimas walaupun babak-babak awal sebagai narator filem dibuat dengan baik sekali sebagai pembuka filem.
Secangkir Kopi Pahit(1986)
Ini ialah filem pertama Teguh Karya yang aku tonton. Aku amat terkejut dan bertuah untuk menemui seorang "penggegar" filem Indonesia. Mungkin buat para penonton Indonesia, Teguh Karya, seperti U-Wei atau Rahim Razali di Malaysia, adalah para pengarah yang terlalu mementingkan kerjanya lalu ia melarikan diri daripada khalayak yang mencari hiburan. Itu kesalahan para penonton Indonesia jika menolak dan tidak menonton filem-filem Teguh Karya kerana seperti filem ini, ianya sangat penting dalam khazanah filem Indonesia, setaraf mana-mana filem masyarakat/kemanusiaan yang baik yang pernah dibikin oleh penggerak "auteur" Hollywood pada awal 70-an. Seperti filem ini, ianya sebenarnya sebuah filem yang melemparkan koleksi-koleksi konfesi seorang "individu yang mempersoal sistem/membenci sistem", Togar (lakonan memberangsangkan oleh Alex Komang) yang baru kematian isterinya. Persoalan: kenapa Togar ditangkap, apakah kematian isteri Togar itu buatan sistem kerajaan, apakah Togar "mangsa" sistem kerajaan? Persoalan-persoalan berat ini yang ingin dibongkar Teguh Karya, membawa penonton bersama-sama melihat jika Togar "mangsa keadaan" dalam sistem sosial yang terbina menghimpitnya atau Togar yang bersalah (kerana bersikap anti-sistem). Kita dibawa menyelami jiwa anak muda Togar yang penuh idealisme. Bersama-sama kawannya. Lalu detik demi detik kita sedar dinamisme dan idealisme Togar dikecam kiri dan kanan oleh sebab keadaan hidup dan kemalaratan. Soalan-soalan sosial ini benar-benar berani dalam arus zaman "Orde Baru" Presiden Suharto yang menolak sosialisme. Ini dikira kerana para kerajaan sendiri tidak terlihat "simpanan-simpanan" mesej yang dilakukan Teguh, yang lebih kelihatan seakan sebuah biografi atau semangat individualistik Togar. Sebuah filem yang jauh ke hadapan dan kuat, sememangnya satu filem contoh yang menjadi "war-war" buat wartawan di Malaysia oleh sebab temanya yang serius. Kalau filem 80-an kita mempunyai kekuatan naratif, pergerakan dan sebab akibat yang kemas, filem-filem Indonesia memaparkan mereka mempunyai isi yang dalam dan masih boleh diperkatakan walaupun sekarang.
15 comments:
spesial buat penggemar berat unggu violet. klip video nya!
http://www.youtube.com/watch?v=9fv-JhtQymQ
ohh.. quickie express aku suka! Tora Sudiro dgn mulletnya! haha..
Tapi si 'Bob Marley' tu yg paling kelakar. Scene stealer...
aku tak kira..brad pitt tetap best ngehehe..tak sabar nak tengok benjamin button..
kekure dgn bradd pittnya, uwek! nasib baik mickey rourke menang, hahaha
Bro...ada lagi satu yang u wajib tgk...3 hari untuk selamanya...lambat, but itu satu film yang menunjukkan kejujuran budaya jakarta zaman sekarang...hanya saja...jangan laa marah Nicholas Saputra...
aku tak kisah brad pitt kalah ngan mickey rourke..dia memang org tua yg vogue dan lakonan dia mantap..kerjayanya ibarat seekor dugong tua yang sesat dan akhirnya diselamatkan oleh bot nelayan malaysia..
aiman..3 hari selamanya best kan?kan?kan?
p/s:dah tengok pesantren ke?
Benjamin Button memang best giler eli!! ko kene tgk!! but so weird and strange...but its a dime man...a dime movie!! Benjamin: seorang lelaki yang bernasib malang, tapi sabar, wise, serta selalu menerima...
Cam menarik je secangkir kopi ni..
Ada gaya2 Daun Atas Bantal ke? film favrit aku hehe
"Benjamin: seorang lelaki yang bernasib malang, tapi sabar, wise, serta selalu menerima..."
Itu yang boring nak mampus tu!
adim,worth watching,teguhkarya mmg smtg..
nazim, iyeke?
fadz...speechless...perca2 filem bulan ni semuanya bercakap hasil karya pengarah2 faveret gue..hehehe.
Joko sangat genius, luhrmann sangat emosi...hurm, emosi barangkali perkataan yg sesuai...hehehe. casey aflect dalam jesse james tu memang strong sangat, australia sbnrnya mengecewakan aku gak la...menyesal expect tinggi2. hehehe.
Upi x besT? hurm, to me Upi sangat rebelious. dan filem2 dia ada cerminan kehidupan bahawa dunia yg x biasa dilihat adalah dunia yg biasa juga.
ungu violet...falsafahnya barangkali adalah kekuatan. teguh dan p ramlee memang legend...hehehe.
Amer, setuju dgn lho, luhrmann emosi. Upi, entah lah, dah tgk Radit, halfway true very strong, very free, other half of it, terrible sinetron..
ungu violet. cerita perlahan tapi aku suka masa babak dian di kubur. so 'touchable'...
ungu violet. cerita perlahan tapi aku suka masa babak dian di kubur. so 'touchable'...
Post a Comment