21 November 2019

Ulasan: Wira (2019)


"Kau tak layak pegang parang ayah aku!" - Hassan

Adrian Teh yang kita kenal dengan Paskal (2018) nampaknya melangkah garang sebagai antara pengarah aksi kita yang mula diikuti dengan minat. Filem ketujuh Adrian ini (dan "siri kedua" dalam sarwasinema aksi perajuritnya - rujuk babak kredit akhir filem ini - MCU sangat kan?) juga tidak mengecewakan; meneruskan persoalan tema "melindungi ibu pertiwi" tetapi dengan cerita dan ruang cakupan yang sedikit berbeza: bertahan diri dan berjuang untuk kelangsungan hidup famili sendiri.

Kali ini, Adrian dengan bantuan (sekali lagi) tulisan lakon layar Anwari Ashraf kali ini membawa Hairul Azreen (hero utama Paskal, yang kali ini diberikan watak berbeza, Leftenan Hassan, komando dari Kem Machang) kembali ke rumahnya di sebuah pekan pinggiran bandar di mana adik perempuannya, Zain (Fify Azmi) dan ayahnya Munas (Hilal Azman) tinggal di sebuah perumahan flat yang daif. Zain baru-baru itu bergocoh di gelanggang (di panggil Tapak) tempat bekas abangnya pernah berlawan, atas taruhan dan persoalan maruah, dia kalah. Keluarganya yang berantakan itu pula sedang berhutang dengan Raja (Dain Said), ketua penjaga Tapak, tauke kilang kondom pekan itu serta pemaju flat perumahan tempat tinggal Munas dan keluarganya. Kembalinya Hassan kali ini adalah untuk memujuk ayahnya dan adik perempuannya untuk meninggalkan tempat itu, tetapi dia dipaksa untuk melangsaikan hutang adik dan ayahnya dengan Raja, yang pernah menjadi bos serta ayah angkatnya satu masa dahulu.

Wira menarik nafas dan mengangkat adrenalin kita dengan beberapa babak aksi yang disusun secara dramatik oleh Adrian, dengan nasihat kareografi oleh bintang silat Indonesia, Yayan Ruhian (yang turut berlakon dalam filem ini sebagai orang suruhan kanan Raja bernama Ifrit). Sebagai penonton yang hanya mahu terhibur menonton aksi, mereka tidak akan dikecewakan. Ada kebijaksanaan yang dilakukan oleh Adrian dan Yayan kali ini. Filem ini yang aku kira berklasifikasi P13, harus meminimakan keganasannya pada bentuk yang sederhana, dengan kurang menggunakan percikan darah seperti yang kita kenal dalam filem-filem aksi era alaf Indonesia. Pada satu babak, Hairul menggunakan parang tumpul ayahnya sebagai senjata. Ia tidaklah digunakan untuk membunuh, hanya mempertahankan diri serta senjata yang memberikannya alat kelengkapan untuk bertarung (apatah lagi semangat - simbol maruah ayahnya). Lalu Hairul mengalun dan menyucuk dengan penuh bergaya, tangkas dalam set piece yang sebenarnya kompleks - kerana dia perlu bergerak pada satu ruang ke satu ruang sambil dikejar ala cat and mouse. Semuanya dilakukan tanpa ada percikan darah (gore) satu pun. Memang susah untuk menampilkan babak darah, tetapi lebih susah untuk sebuah filem aksi menggerakkan cerita, menggerakkan rasa aksi yang ligat dengan menurunkan tahap keganasannya. Dan hal ini kiranya dijayakan oleh Adiran dan Yayan dengan bergaya sekali. Adrian, dengan bantuan suntingan Lee Pai Seang dan sinematografi fungsional Yong Choon Lin, menangkap pada bila perlu syot-syot dekat, dengan syot-syot sederhana termasuk luas, dengan beberapa sudut, diikat pula dengan syot-syot pukulan dan hentakan yang kadangkala berada di luar ruang tangkapan (walaupun kekok, inilah yang cuba dikawal oleh pembikin akan tahap ganasnya). Bagi aku, babak aksi di flat merupakan antara babak aksi paling kompleks pernah dibikin dalam filem Malaysia.

Terdapat satu lagi babak yang amat melampau tahap adrenalinnya, iaitu babak pertarungan puncak. Aku kira, filem ini memang dibuat untuk penampilan babak ini: dan setiap keringat, darah dan hela nafas yang dikeluarkan - berbaloi.

Anwari Ashraf dan Adiran juga membina satu dinamisme strata kuasa pada ruang tempat kerja-rumah yang menarik.

Pada babak awal, kita melihat Fify Azmi dan seterunya bergocoh di gelanggang Tapak. Babak ini agak animasitik, tidak realistik (Adrian sengaja melajukan babak aksi awal ini - ia terasa pelik). Yang menariknya, dua wanita ini bertarung. Penonton-penonton lelaki di luar gelanggang bersorak sakan. Terdapat imejan wanita diobjektifikasi, kalau secara klise sebagai bahan seks, tapi dalam hal ini, secara mengganggu (walaupun seksualnya ada) dalam limpahan keganasan - mengambil nikmat daripada aksi keganasan dua orang wanita. Terdapat kemudian pintasan imej si wanita seksi menjual barang jaja, berjalan tanpa dipeduli oleh lelaki-lelaki itu. Ganas sudah diambil alih oleh seks. Ini sebuah dunia menindas dan eksplotasi yang menakutkan.



Babak bertukar dengan montaj bangunan-bangunan pencakar langit (dalam hal ini, kita sudah faham duduk letak tempat ini di pinggir bandar) pada kredit awal, simbol phallus (kuasa) dan keberadaan kapitalisme. Kemudian kita dipaparkan sebuah kilang kondom sedang beroperasi. Alusi ini menarik. Sang pengilang (Raja) menghasilkan phallus-phallus kosong. Ia bukan sahaja menjelmakan "kuasa sebenar" Raja tetapi hakikat eksistensi komuniti Munas, manusia-manusia yang sudah terikat secara mekanikal (yang turut bekerja di kilang itu) pada kuasa kapitalisme Raja, kalangan mereka yang sudah "hilang" anunya, tertindas tetapi tidak sedar. Anu yang tinggal hanya ada pada Munas (dengan simbol parang yang masih ada), yang cukup berkeras untuk hak dan keadilan diri dan keluarganya, pekerja dan komunitinya; tapi kali itu, setelah isterinya meninggal dunia, parangnya hanya terbenam mati dalam pasu pokok isterinya. Tertanam sama; impian, cinta dan kerinduan.

Puitis!

Dalam keadaan penuh serius ini, seperit biasa juga, dialog Anwari tidak lepas untuk berceloteh. Hal ini memberikan warna dan tempo reda pada keadaan begitu tertekan dan gelap yang dihadapi oleh Hassan dan keluarganya. Hanya mungkin atas dasar filem aksi, terasa beberapa bahagian filem ini meleret panjang kerana beberapa penyampaian dialog yang tidak putus-putus (dan dialog balas ala Darth Vedar pada babak puncak tu aku rasa agak corny jugalah). Terdapat juga kawalan logik dan rasa yang sedikit terganggu pada bahagian-bahagian tertentu, khususnya dalam jalan cerita siasatan dadah di kilang Raja. Malah, terdapat beberapa syot yang terasa janggal dan out of place (babak terima telefon ramai-ramai contohnya), kadangkala mengganggu alunan saspens, drama dan aksi yang sedang beralun gerak.

Namun semua ini dimaafkan kerana kerja aksi dan lakonan para penerajunya. Hairul Azreen kali ini, sudah begitu matang, sudah begitu natural dalam diri dan pembawaannya. Bukan sahaja dia menjalankan tugas sebagai bintang aksi (syukur kita sudah ada hero aksi kita yang boleh dibanggakan sekarang) yang cukup bergaya, juga mempunyai pesona lakonan yang cukup terkawal dan sampai. Lirikan matanya, nuansa keruh wajahnya cukup komunikatif. Kita dapat merasakan beban dan resah dirinya apabila perlu kembali ke kancah kampung asalnya, juga pendiriannya yang cuba tidak berkonfrontasi dengan Raja dan konco-konconya. Aku amat suka dengan pembawaan dan mood emosi Hilal Azman sebagai ayah Hairul. Masa penampilannya agak pendek dalam filem ini, tetapi membuah. Gerak geri, suara dan renungannya cukup terasa beratnya. Begitu juga dengan Dain Said, yang mengejutkan kita, boleh berlakon (walaupun kita terasa beliau cuba meniru Don Corleone) rupanya orang tua ini. Sebagai tipa watak sehala, dia menggunakan sebaik-baiknya untuk memaparkan kejahatan wataknya. Aku juga suka dengan Fify Azmi sebagai adik Hairul, dia tangkas, bertenaga dan penuh citra seorang wanita yang berdikari. Walaupun mungkin kekuatan pesona dramatiknya belum begitu terkawal dan sedikit kaku, tetapi Fify, sepertimana Feiyna Tajudin, menampilkan watak wanita yang amat positif dan ditunggu-tunggu (malah, dalam ruang cerita filem ini, logik) beraksi dalam filem kita. Fify, sepertimana Feiyna sudah tentu akan menjadi bahan wacana masa depan filem kita dalam perkembangan feminisme. Lakonan watak sampingan lain, seperti Ismi Melinda, Yayan Ruhian (khususnya bagi aksi pertarungannya), Henley Hii dan Josiah Hogan juga cukup berfungsi dan kehadiran mereka memikat. Zizan Razak dan Jack Lim pula ditempatkan dalam filem ini sebagai gula-gula lelucon untuk menenangkan tahap tegang yang berlaku di skrin.

Sebuah filem aksi kita yang mampu memberikan sesuatu, selain papar aksi yang tangkas lagi menghiburkan.

Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas, samseng dan kasar yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

DITONTON DI GSC, Mid Valley.

05 November 2019

Ulasan: Filem Halloween Kita 2019

Anak Perjanjian Syaitan (2019)



Filem kedua Mohd. Helmi Yusof (Helmi ialah pengarah filem Bo-peng dan penerbit eksekutif One Two Jaga) ini mengembalikan rasa dan seriau filem-filem seram dukun dan mistik Indonesia yang pernah kita kenali pada era 1980-an. Malah, penulisan cerita filem ini mendekati kisah-kisah Tok Awang Ngah atau Tamar Jalis yang pernah popular era 1980-an, termasuk Othman Wok dan Tunku Halim dalam bahasa Inggeris. Secara mudahnya, filem ini ialah drama Tanah Kubur yang difilemkan (bagi menunjukkan filem ni gempak, banyaklah syot luas dari atas ala guna dron yang dipraktikkan). Terdapat sihir, hantu yang ada tapi tak tahu nak buang, hal saka, hal santau, bomoh, ustaz kena tuduh bomoh bela jin, jin, jembalang, setan (dan berterusan dan berterusan). Apa aku ambik pusing dengan semua ni? Tak, sebab dua perkara: (1) sejak Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa yang sangat tidak sesuai jadi cikgu. Sideburn dan fesyen rambu-rambu rambut jauh lebih selekeh daripada budak-budak sekolah yang diajarnya, perbandingan cikgu besar/disiplin(?) yang mengalukannya menjadi ironi jelas) dan Azlinda (Chacha Maembong) masuk ke rumah warisan Zaidy, hanya asap dan asap dan asap kelihatan di seluruh rumah. Ini efek yang sangat murahan, betapa ia ingin kita kembali pada era 80-an itu (siapa suruh?) atau cuba memaparkan efek ekspresionis seram. Piiirah! (2) Jump scare murahan: semuanya disimpulkan dengan babak "cikgu" Zaidy, duduk belakang katil, dan meloncat keluar secara literal menakutkan bininya. Selepas babak "takut-takut" itu, kita sudah tidak peduli dengan mimpi hantu, kelibat hantu, manusia hantu yang tiba-tiba muncul dengan runut bunyi full blast dan mengikuti metod seram MiG, baik dari segi dialog, gerak sunting cerita dan rasa.

Ada tiga perkara yang membuatkan filem ini jadi bertih jagung seronok malam Halloween kita: Jasmin Hamid sebagai ibu Zaidy (yang merancakkan stereotaip mak mertua benci bini dengan beberapa tarian twistnya yang tersendiri), efek gore (ya, filem ni penuh darah memikat dan memancut) dan CGI hantu pada babak klimaks filem (yeap, hantu dalam filem ni kool). Yang lain membuatkan kita dah lupa dan baik tonton Dukun Lintah dan Cincin Berdarah sekali lagi.

Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas, seram dan berdarah yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

DITONTON DI GSC, MyTown.



Pusaka (2019)

Aku menonton dua kali filem ini. Untuk ton seronok jagung bertih Halloween bagai, ini filem untuk kamu. Berseronoklah dan menjeritlah sesuka hati kamu dalam filem ini.

Secara serius pula, terdapat pendirian yang positif dibuat oleh Razaisyam Rashid dengan bantuan skrip oleh Alfie Palermo (penulis Sembunyi) dan Anwari Ashraf (penulis Paskal dan Aliff dalam 7 Dimensi), iaitu, orang biasa pun boleh mendepani syaitan mereka sendiri atau syaitan yang datang, dan melawannya sendiri (dengan apa-apa keimanan yang ada). Pendirian ini moden dan bernilai, menolak klise garapan lama "kalau bermasalah pergi cari ustaz/bomoh halau hantu" filem tahayul kita. Apakah ilmu sebenar yang diperlukan untuk mendepani hal-hal ini: diri sendiri. Intrig dan teka-teki hantu (daripada puaka kepada saka), penemuan jamu hantu, mentera, pendinding (yang watak Hafidz Roshidi asyik sebut "Ini syirik" macam budak tadika nampak abjad) telah membawa watak inspektor dari bandar si Syafiq Kyle membuka "sejarah lama" sebuah keluarga orang kaya lama berketurunan Megat. Pertentangan-penyiasatan Syqfiq dengan keluarga "penuh misteri dan berpenyakit" ini memberi gambaran yang menarik tentang golongan muda (yang bodoh, bermasalah moral, lurus tetapi hati nurani mereka bersih) melawan golongan tua (korup: aku dapat tahu jika diikuti dialog Melayu hal ini tidak terasa sangat, tapi jika diikuti sari kata yang brilliant, kita akan sedar subteks ini), dan secara tidak sengaja, bagaimana orang muda TIDAK PERLU mewarisi/mengikut gerak langkah salah/penuh korup golongan tua. 

Hal ini ditambah pula dengan mainan kembar (dalam filem ini ada kembar seiras dan kembar tidak seiras) yang biasanya kita temui dalam filem Lynch (yang lebih mendekati doopleganger) dan Croenberg. Walaupun pelaksanaannya diluted, ia jauh lebih memuaskan daripada filem Taiwan yang menggunakan hal kembar dengan menerobos hal tahayul (secara sejarah, dua filem Asia seram tentang kembar yang baik ialah Alone dan A Tale of Two Sisters) dan mistik, lebih-lebih lagi dalam persoalan dua alam: alam nyata dan alam ghaib. Mengapa hal ini brilliant? Kerana Anwari-Alfie-Razaisyam sedang bercakap fasal "pertalian" dan peribahasa "air yang dicincang takkan putus". Syafiq Kyle dan Mimi Lana (kedua-dua melakonkan watak yang sedaya upaya lari daripada kebiasaan mereka) ialah kembar yang mempunyai pertalian. Satu lagi pasangan kembar mempunyai pertalian, dan satu lagi pertalian berkaitan rapat dengan syaitan-jin "Inilah saja harta peninggalan yang kami ada". Secara didaktik, memang jelas, Razaisyam dan penulis menyatakan "tidak ada gunanya berkembar dengan dunia satu lagi" (baca: saka) dengan kembar yang nyata; walau sefucked up mana pun perhubungannya.

Keelokan tema dan pendirian ini dirosakkan oleh hal-hal yang tidak sepatutnya: (1) filem ini langsung tak seram, malah aku anggap ianya sebuah supernatural thriller, seperti Double Vision. Pengarah (yang juga menyunting) Razaisyam mungkin kurang memahami tempo, rima dan gerak dalam sesebuah filem seram, maka jump scare yang diberi kelihatan berulang-ulang dan murah (kita malah dapat tangkap satu babak merujuk habis babak jump scare Insidious). Masa senyap dan gerun tidak berlaku (walaupun Maliq Hussein sebagai pengarah seni sudah menjelmakan sehabis baik latar dan prop, yang bagi aku sangat cemerlang) atau diabaikan, dan Razaisyam cukup gelojoh untuk menggerakkan naratifnya. Adunan bunyi Mohsin Othman juga tidak membantu kerana "mengeja" dengan jelas jump scare tanpa finese pada raut imej. Sinematografi Madnoor Kassim mungkin bijak dalam dua-tiga syot berserta jump shot dan syot hadang tapi pemilihan warna dan aura biru gelapnya hanya mengembalikan kita pada imej-imej dalam filem Magika, tanpa cubaan-cubaan yang lebih berani dan menakutkan. Skor lagu Ricky Lionardi banyak membantu memberikan feel yang terasing dan curiga, serta sentimental pada tempat yang betul.

Aku juga menyedari penggunaan naratif "bersyaitan sendiri" mungkin jauh lebih efektif dalam adikarya drama siri Razaisyam-Alfie, Mandatori, dengan susunan sebab-akibat dan citra watak yang lebih jelas dari awal. Malah filem ini sedikit "terasa" seperti ingin menjadi antitesis terhadap Munafik (2016). Soalan: jika ia ingin menjadi pertentangan terhadap Munafik, mengapa dibiarkan pada klimaks akhir turut menyimpan deus ex machina, yang jelas-jelas di sini tidak menjadi jika dibandingkan apa yang disusun-bikin oleh Syamsul Yusof?

Watak "ustaz polis" pemberi maklumat (info feeder) yang tipikal dalam tulisan Anwari jauh lebih jelas dalam watak Ustat dan Misi dalam Paskal, malah lebih believable. Tidak ada percubaan untuk memberi sekurang-kurangnya depth dan sebab-akibat yang lebih jelas akan watak Hafidz apabila bertemu awal dengan Syafiq. Aura terbaik wujud dalam lakonan Fauziah Ahmad Daud yang cemerlang sebagai pewaris tua keluarga Megat yang penuh misteri, bermaruah, bijak dan manipulatif. Walaupun Syafiq, Mimi, Hafidz, dan Farhanna Qismina Sweet menampilkan lakonan yang juga terfokus dan terbaik setakat ini dalam kerjaya mereka, mereka masih belum dapat menandingi tiga-empat lapis luahan dan tenaga yang ada dalam Fauziah Ahmad Daud. Lakonan komedi sekali-sekala untuk babak keras (sebab itu ini sesuai untuk Halloween!) oleh Aloy Paradoks cukup mencuit dan memberikan warna dalam biru kelam dan hitam percubaan terkini Razaisyam Rashid.

Apa-apa pun, aku terhibur dengan filem ini. Tidaklah seram (bolehlah meloncat, tapi itu mengelat). Yang aku suka ialah terdapat misteri dalam misteri, dan mainan twist yang membuat kita tertanya-tanya pada awalnya, cukup sesuai dengan genre budaya pop yang dibawanya. Berbaloi sebagai bahan seronok-seronok mengisi malam Halloween kita.

Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas, hantu, kejutan hantu, darah membuak dan perkara tahayul yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

DITONTON DI TGV, KLCC.