10 October 2019

Geran (2019)



"Tanah itu usul-asalnya manusia" - Isteri Pak Nayan

Mungkin ada "lawak belakang tabir" apabila disebut tentang "geran" bagi pembikin filem tempatan, namun bagi anak muda Areel Abu Bakar, geran mempunyai konotasi serius dan besar, lalu menjadi pokok cerita filem aksi sulungnya.

Ceritanya sebenarnya mudah, sangat mudah sehinggakan filem berdurasi sejam lebih ini boleh sahaja dipadatkan pada 30 minit. Awal 30 minitnya sahaja kita disampaikan dengan terlalu banyak eksposisi, kalau tak tentang tanah, Mat Arip (lakonan Fad Anuar, anak buah Eman Manan), anak bongsu Pak Nayan (Nam Ron) yang "taik judi", kita dipaksa mengimbau suara isteri Pak Nayan (suara Fatimah Abu Bakar), ibu kepada Mat Arip serta kakak Fatimah dan abangnya Ali, juga Haji Daud yang "lintah darat", yang berterusan mencari jalan untuk merampas tanah pusaka Pak Nayan anak-beranak. Plot betul-betul bergerak pada suatu hari apabila Mat Arip dan adik-beradiknya diserang orang-orang Haji Daud di Alor Setaq, dan waktu itu baru kita faham untuk apa Areel bikin filem ini.

Areel yang kelihatan agak bersungguh, malah ambitious (keberanian Areel mentiadakan susuk isteri Pak Nayan dan hanya menyampaikan suaranya adalah suatu pilihan yang amat berani) mungkin tersadung beberapa kali dari segi penceritaan (lakon layarnya, berserta dengan Hafiz ??) dan syot penggambaran (Areel sendiri adalah pengarah sinematografi filem ini) yang kebanyakannya memakai teknik kamera goyang (hand held camera), dengan suntingan yang cuba-cuba, tetapi semangat (dalam hal ini, untuk menyatakan seni dan adab ilmu persilatan Melayu) dan kekentalan Areel menyampaikan setakat yang dimampunya dipuji (Areel memanggil filem ini "karya kerdil"nya). Ya, kita akan dibosankan dengan falsafah panjang tanah pada awal filem (kau hengat bikin filem ni macam bikin esei ke?), yang ada baik buruknya, menyimpul jelas filem ini pada ikatan moral didaktik, dengan kata-kata didik mahaguru Ali pada satu babak, tentang yang hak dan yang batil, tetapi, walaupun syot dan pelaksanaan tangkapan ini biasa, niat dan letaknya memberi makna yang besar. Benda yang mengajar ini akhirnya aku terima, selain bahasa dialog yang disampaikan itu baik. Malah, bagi aku, penonton antarabangsa tentu dapat "belajar sesuatu" dari situ.

Filem aksi ini tidaklah grand, kalau hendak dibandingkan dengan struktur naratif, drama dan kejituan teknikal, kita sudah ada beberapa yang boleh dibanggakan. Tapi atas kedaifan amaturnya teknik dan garapan pembikinan filem ini juga memberikan ramuan cult pada filem ini, memberinya rasa raw, gritty dan semangat yang berselera untuk sesiapa yang mencari sebuah filem aksi silat Melayu. Awal-awal lagi kita akan terpaku dengan lakonan dan aksi silat Feiyna Tajudin sebagai Fatimah, gadis bertudung hitam ayu yang kemudian bertukar garang, tangkas dan padu, menjatuhkan empat lima lelaki di ibu rumah kemudian anjung rumahnya. Laluan Feiyna untuk sinema aksi Malaysia cerah, lebih-lebih lagi bagi pembikin yang tahu menggunakannya. Kemudian, kita diperkenalkan dengan Ali, lakonan Koharullah Majid (jaguh silat negara). Mungkin kekurangan Koharullah ialah lakonan (mula-mula kita mengenali lakonan Tony Jaa dan Iko Uwais pun kaku), tetapi apabila Koharullah mula membalut selempangnya di dadanya, kehadirannya terus menjadi ditunggu-tunggu, orang kata, bring the house down, dengan hentakan demi hentakan tanpa hentinya hingga klimaks. Babak-babak kunci dan paku Koharullah ialah tumpuan utama filem ini. Imejnya yang bersilat dalam ruang pusat hiburan dan disko mengimbau memori kita akan imej-imej anak Melayu amuk di disko dalam filem-filem Rahim Razali (rujuk Pemburu dan Puteri). Jika Rahim memberi kita imej asal ini secara selitan, Areel merealisasikan tarian dan pertarungan yang panjang, semacma satu simfoni, dengan peluh dan bedilan tangan dan kaki. Imej ini menjadi cantik lagi apabila kefahaman falsafah pada awal tadi menyatu dalam hal ini. Kelibat dan perjuangan Koharullah bukan sahaja berfungsi secara plot (mencari adiknya yang dicolek) tetapi menguatkan maksud "yang hak dan yang batil" dan sekali gus citra adab silat yang dipegang dengan benar dan beradab oleh Koharullah (diam bila perlu, bertindak bila disangkal/dizalimi). Malah, terdapat beberapa aksi ngeri yang boleh menjadi "pembuka mata" betapa jauh filem ini boleh pergi. Atas keberanian ini, Areel yang amatur amat dipuji sekali.

Fad Anuar, yang sememangnya juga hebat dalam silat juga tidak menghampakan. Lakonan dan aksinya cukup sebagai adik yang memulakan jarum muslihat jahat Haji Daud terhadap tanah dan keluarga Pak Nayan.

Skor lagu cukup membantu pada beberapa detik, khususnya dalam tempo menyemarakkan semangat aksi. Ada beberapa syot babak yang gelap, mengingatkan kita pada wayang-wayang Melayu 80-an, menambahkan lagi semangat cult filem ini, walaupun pada awalnya ia mengganggu. Walaupun terdapat kekurangan dan kenaifan cara bikinan, filem sulung Areel ini menghiburkan, punya rasa dan membuka satu subgenre yang menarik dalam dunia perfileman aksi kita. Dan bagi itu, sinema silat kontemporari kita yang pertama, ini suatu langkah kanan yang patut diraikan.

Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas, kata kesat dan perangai tidak senonoh yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

DITONTON DI GSC, Mid Valley.

No comments: