"Kau tak layak pegang parang ayah aku!" - Hassan
Adrian Teh yang kita kenal dengan Paskal (2018) nampaknya melangkah garang sebagai antara pengarah aksi kita yang mula diikuti dengan minat. Filem ketujuh Adrian ini (dan "siri kedua" dalam sarwasinema aksi perajuritnya - rujuk babak kredit akhir filem ini - MCU sangat kan?) juga tidak mengecewakan; meneruskan persoalan tema "melindungi ibu pertiwi" tetapi dengan cerita dan ruang cakupan yang sedikit berbeza: bertahan diri dan berjuang untuk kelangsungan hidup famili sendiri.
Kali ini, Adrian dengan bantuan (sekali lagi) tulisan lakon layar Anwari Ashraf kali ini membawa Hairul Azreen (hero utama Paskal, yang kali ini diberikan watak berbeza, Leftenan Hassan, komando dari Kem Machang) kembali ke rumahnya di sebuah pekan pinggiran bandar di mana adik perempuannya, Zain (Fify Azmi) dan ayahnya Munas (Hilal Azman) tinggal di sebuah perumahan flat yang daif. Zain baru-baru itu bergocoh di gelanggang (di panggil Tapak) tempat bekas abangnya pernah berlawan, atas taruhan dan persoalan maruah, dia kalah. Keluarganya yang berantakan itu pula sedang berhutang dengan Raja (Dain Said), ketua penjaga Tapak, tauke kilang kondom pekan itu serta pemaju flat perumahan tempat tinggal Munas dan keluarganya. Kembalinya Hassan kali ini adalah untuk memujuk ayahnya dan adik perempuannya untuk meninggalkan tempat itu, tetapi dia dipaksa untuk melangsaikan hutang adik dan ayahnya dengan Raja, yang pernah menjadi bos serta ayah angkatnya satu masa dahulu.
Wira menarik nafas dan mengangkat adrenalin kita dengan beberapa babak aksi yang disusun secara dramatik oleh Adrian, dengan nasihat kareografi oleh bintang silat Indonesia, Yayan Ruhian (yang turut berlakon dalam filem ini sebagai orang suruhan kanan Raja bernama Ifrit). Sebagai penonton yang hanya mahu terhibur menonton aksi, mereka tidak akan dikecewakan. Ada kebijaksanaan yang dilakukan oleh Adrian dan Yayan kali ini. Filem ini yang aku kira berklasifikasi P13, harus meminimakan keganasannya pada bentuk yang sederhana, dengan kurang menggunakan percikan darah seperti yang kita kenal dalam filem-filem aksi era alaf Indonesia. Pada satu babak, Hairul menggunakan parang tumpul ayahnya sebagai senjata. Ia tidaklah digunakan untuk membunuh, hanya mempertahankan diri serta senjata yang memberikannya alat kelengkapan untuk bertarung (apatah lagi semangat - simbol maruah ayahnya). Lalu Hairul mengalun dan menyucuk dengan penuh bergaya, tangkas dalam set piece yang sebenarnya kompleks - kerana dia perlu bergerak pada satu ruang ke satu ruang sambil dikejar ala cat and mouse. Semuanya dilakukan tanpa ada percikan darah (gore) satu pun. Memang susah untuk menampilkan babak darah, tetapi lebih susah untuk sebuah filem aksi menggerakkan cerita, menggerakkan rasa aksi yang ligat dengan menurunkan tahap keganasannya. Dan hal ini kiranya dijayakan oleh Adiran dan Yayan dengan bergaya sekali. Adrian, dengan bantuan suntingan Lee Pai Seang dan sinematografi fungsional Yong Choon Lin, menangkap pada bila perlu syot-syot dekat, dengan syot-syot sederhana termasuk luas, dengan beberapa sudut, diikat pula dengan syot-syot pukulan dan hentakan yang kadangkala berada di luar ruang tangkapan (walaupun kekok, inilah yang cuba dikawal oleh pembikin akan tahap ganasnya). Bagi aku, babak aksi di flat merupakan antara babak aksi paling kompleks pernah dibikin dalam filem Malaysia.
Terdapat satu lagi babak yang amat melampau tahap adrenalinnya, iaitu babak pertarungan puncak. Aku kira, filem ini memang dibuat untuk penampilan babak ini: dan setiap keringat, darah dan hela nafas yang dikeluarkan - berbaloi.
Anwari Ashraf dan Adiran juga membina satu dinamisme strata kuasa pada ruang tempat kerja-rumah yang menarik.
Pada babak awal, kita melihat Fify Azmi dan seterunya bergocoh di gelanggang Tapak. Babak ini agak animasitik, tidak realistik (Adrian sengaja melajukan babak aksi awal ini - ia terasa pelik). Yang menariknya, dua wanita ini bertarung. Penonton-penonton lelaki di luar gelanggang bersorak sakan. Terdapat imejan wanita diobjektifikasi, kalau secara klise sebagai bahan seks, tapi dalam hal ini, secara mengganggu (walaupun seksualnya ada) dalam limpahan keganasan - mengambil nikmat daripada aksi keganasan dua orang wanita. Terdapat kemudian pintasan imej si wanita seksi menjual barang jaja, berjalan tanpa dipeduli oleh lelaki-lelaki itu. Ganas sudah diambil alih oleh seks. Ini sebuah dunia menindas dan eksplotasi yang menakutkan.
Babak bertukar dengan montaj bangunan-bangunan pencakar langit (dalam hal ini, kita sudah faham duduk letak tempat ini di pinggir bandar) pada kredit awal, simbol phallus (kuasa) dan keberadaan kapitalisme. Kemudian kita dipaparkan sebuah kilang kondom sedang beroperasi. Alusi ini menarik. Sang pengilang (Raja) menghasilkan phallus-phallus kosong. Ia bukan sahaja menjelmakan "kuasa sebenar" Raja tetapi hakikat eksistensi komuniti Munas, manusia-manusia yang sudah terikat secara mekanikal (yang turut bekerja di kilang itu) pada kuasa kapitalisme Raja, kalangan mereka yang sudah "hilang" anunya, tertindas tetapi tidak sedar. Anu yang tinggal hanya ada pada Munas (dengan simbol parang yang masih ada), yang cukup berkeras untuk hak dan keadilan diri dan keluarganya, pekerja dan komunitinya; tapi kali itu, setelah isterinya meninggal dunia, parangnya hanya terbenam mati dalam pasu pokok isterinya. Tertanam sama; impian, cinta dan kerinduan.
Puitis!
Dalam keadaan penuh serius ini, seperit biasa juga, dialog Anwari tidak lepas untuk berceloteh. Hal ini memberikan warna dan tempo reda pada keadaan begitu tertekan dan gelap yang dihadapi oleh Hassan dan keluarganya. Hanya mungkin atas dasar filem aksi, terasa beberapa bahagian filem ini meleret panjang kerana beberapa penyampaian dialog yang tidak putus-putus (dan dialog balas ala Darth Vedar pada babak puncak tu aku rasa agak corny jugalah). Terdapat juga kawalan logik dan rasa yang sedikit terganggu pada bahagian-bahagian tertentu, khususnya dalam jalan cerita siasatan dadah di kilang Raja. Malah, terdapat beberapa syot yang terasa janggal dan out of place (babak terima telefon ramai-ramai contohnya), kadangkala mengganggu alunan saspens, drama dan aksi yang sedang beralun gerak.
Namun semua ini dimaafkan kerana kerja aksi dan lakonan para penerajunya. Hairul Azreen kali ini, sudah begitu matang, sudah begitu natural dalam diri dan pembawaannya. Bukan sahaja dia menjalankan tugas sebagai bintang aksi (syukur kita sudah ada hero aksi kita yang boleh dibanggakan sekarang) yang cukup bergaya, juga mempunyai pesona lakonan yang cukup terkawal dan sampai. Lirikan matanya, nuansa keruh wajahnya cukup komunikatif. Kita dapat merasakan beban dan resah dirinya apabila perlu kembali ke kancah kampung asalnya, juga pendiriannya yang cuba tidak berkonfrontasi dengan Raja dan konco-konconya. Aku amat suka dengan pembawaan dan mood emosi Hilal Azman sebagai ayah Hairul. Masa penampilannya agak pendek dalam filem ini, tetapi membuah. Gerak geri, suara dan renungannya cukup terasa beratnya. Begitu juga dengan Dain Said, yang mengejutkan kita, boleh berlakon (walaupun kita terasa beliau cuba meniru Don Corleone) rupanya orang tua ini. Sebagai tipa watak sehala, dia menggunakan sebaik-baiknya untuk memaparkan kejahatan wataknya. Aku juga suka dengan Fify Azmi sebagai adik Hairul, dia tangkas, bertenaga dan penuh citra seorang wanita yang berdikari. Walaupun mungkin kekuatan pesona dramatiknya belum begitu terkawal dan sedikit kaku, tetapi Fify, sepertimana Feiyna Tajudin, menampilkan watak wanita yang amat positif dan ditunggu-tunggu (malah, dalam ruang cerita filem ini, logik) beraksi dalam filem kita. Fify, sepertimana Feiyna sudah tentu akan menjadi bahan wacana masa depan filem kita dalam perkembangan feminisme. Lakonan watak sampingan lain, seperti Ismi Melinda, Yayan Ruhian (khususnya bagi aksi pertarungannya), Henley Hii dan Josiah Hogan juga cukup berfungsi dan kehadiran mereka memikat. Zizan Razak dan Jack Lim pula ditempatkan dalam filem ini sebagai gula-gula lelucon untuk menenangkan tahap tegang yang berlaku di skrin.
Sebuah filem aksi kita yang mampu memberikan sesuatu, selain papar aksi yang tangkas lagi menghiburkan.
Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas, samseng dan kasar yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI GSC, Mid Valley.
No comments:
Post a Comment