01 March 2016

Munafik(2016)


Shamsul (kini Syamsul) Yusof kembali dengan filem seram keduanya selepas Khurafat (2010). Pada awal lagi, seperti biasa, dengan kaedah yang kita sudah kenal dengan "filem-filem" Shamsul, suara seriau tersusun DTS dan mood gelap akan menyelubungi pembukaan filem ini, membuka suatu plot "kitar semula" yang diambil daripada The Exorcist dan The Sign, bukan dengan niat dan usaha buruk, tetapi kreatif dan segar, tentang seorang ustaz "rukyah" yang dalam dilema kerana kematian isteri di tengah kemalangan jalan raya. Ustaz itu, Adam (lakonan baik Shamsul sendiri) melalui suatu konflik psikologi yang juga mengganggu-gugat keimanannya. Penceritaannya di sini sedikit lembap, malah rentaknya sedikit lembap untuk terbina pada "maksud" sebenar plot filem, yakni Adam akan menghadapi Maria yang sedikit demi sedikit mula terperangkap dalam bisikan dan rasukan syaitan, lalu yang dirasuk akan berhadapan dengan seorang ustaz yang jiwanya terganggu.

Menarik untuk melihat Shamsul berani membina suatu perwatakan ustaz yang "bulat", yang juga manusia dan melalui konflik-konflik yang gelap (hal ini ada berkenaan dengan menghadapi kematian isterinya). Sisi psikologinya terbina baik dalam hal ini. Namun, dialog sepatah demi sepatah yang lurus bendul dan terus-terang, dicedok daripada gaya soap opera biasa drama Melayu, khususnya gaya dialog filem Yusof Haslam, melemahkan gerak penerusan kita untuk mengekalkan stamina minat untuk mendalami perwatakan Adam. Maria, yang dilakonkan oleh Nabila Huda juga baik, juga mengalami "depresi psikologi" yang menarik tetapi ditenggelamkan dengan dialog yang terlalu berterus-terang, seperti menonton kartun Anime pada waktu petang. Cerita, sebenarnya, betul-betul jadi menarik apabila Adam mula berhadapan dengan Maria yang dirasuk. Dalam ributan itu, terselip beberapa red herring untuk membuat penonton (termasuk satu babak mimpi yang panjang) meneka siapa yang "baik" dan siapakah yang "jahat" dalam cerita ini.

Sekurang-kurangnya, Shamsul dan Nabila tampak begitu bersungguh-sungguh, menenggelamkan kebendulan skrip dengan menyampaikan emosi yang betul dan jujur, meyakinkan kita bahawa mereka bukan sahaja dirundang oleh kekacauan rohani, tetapi kekacauan jiwa. Nabila yang sekejap manusia sekejap jembalang memang menarik dan mencuba sesuatu yang dapat kita geruni dan simpati pada masa yang sama. Nabila, sememangnya antara pelakon wanita kita yang berkaliber, yang menunggu untuk sebuah skrip yang meyakinkan jatuh ke tangannya untuk dibawanya dengan berjaya. Apabila diteliti beberapa dialog Adam/Shamsul yang jelas-jelas melepaskan kekecewaannya terhadap kematian (kegagalan) isterinya, kita dapat berbau suatu hal peribadi atau jiwa Shamsul hendak sampaikan. Jika kita teliti betul-betul, kita dapat baca rasa kesal dan dendam Shamsul terhadap apa yang berlaku dengan KL Gangster 2, "isteri"nya yang dilanggar lari (dicetak rompak). Kesengsaraan inilah yang ingin Shamsul ingin kita rasai dan harungi sebagai sepakan kepada kita yang membeli dan menonton DVD haram karyanya tanpa rasa bersalah.


Maka filem ini juga dibikin sebagai suatu terapi kendiri Shamsul untuk "menerima" qada dan qadar dan "meredai" urusan yang Tuhan sudah tetapkan untuknya, yang dirumuskan, dengan baik sekali dengan doa akhir Shamsul, sambil melihat ke atas (langit) secara syot panjang dari atas, yang secara tidak langsung, melihat kita (dalam dunai filem ini kita panggil syot takdir). Ini jiwa dan diri Shamsul yang sebenar-benarnya, berkomunikasi dengan penontonnya, terus. Dan, untuk membuatnya, secara literal, banyak air mata, darah, dan efek khas yang dihabiskan.

Apabila Shamsul nak beri, dia beri betul-betul. Menolak skrip, efek bunyi yang mengada-ngada dan runut lagu, ada beberapa keseraman yang berjaya dijelmakan, walaupun buat peminat filem seram, separuhnya lagi adalah cheap thrills, tidak lebih daripada itu. Beberapa siri gangguan rasuk-membuang Jin yang dibuat sangat kreatif, dan banyak menenggelamkan pelbagai babak jenis sama yang pernah dibikin oleh pengarah lain sebelum ini. Ada satu babak di dalam bilik mayat yang disusun-gerak dengan teliti sekali, membina saspensnya sedikit demi sedikit pada satu klimaks yang baik, suatu oeuvre pada filem ini. Sebuah lagi ialah babak tuk imam di dalam kereta yang sangat efektif. 

Suntingan filem ini baik, dan seperti biasa, Shamsul sudah tampak matang dalam menguruskan kraf seninya. Sinematografinya juga cukup, tidak terlalu beria-ia, dan tidak terlalu tampak murah dan drama televisyen. 

Berbaloikah filem ini? Agak, jika kita sudah sedikit bosan melihat watak ustaz yang saves the day in the end yang klise, yang membawa kembali watak tipikal Father Damien Karras yang kita rindui (sekurang-kurangnya ini dalam perspektif tempatan, aku dah naik muak dalam perspektif filem Hollywood yang mengguna hal sama setiap kali). Sebagai seorang penonton biasa, memang aku sudah dapat bau "pengakhiran filem" tetapi itu tidak bermakna ia tidak bagus dan tetap dapat mencuit penontonnya. Pengkahirannya juga (tentang siapa setan sebenar manusia, jeng jeng jeng!) seperti suatu homaj filem-filem setan bikinan Hammer Films, yang menarik dan berkait dengan persoalan iblis menyesatkan manusia pada akhir zaman. Deus ex machine secara literal dalam filem ini mungkin "aprropriate" untuk penonton Islam, tetapi sangat-sangat janggal buat penonton bukan Islam dan penonton yang mencari suatu kesudahan yang lebih asli.

Bermanfaat sebagai sebuah alat pengajaran buat mereka yang suka sangat bersihir dan tak sedar melakukan syirik dengan Allah.

No comments: