31 March 2011

Kak Nab Suka Dengan Bangkok Traffic Love Story

Aku nak tulis fasal sebuah filem ni tapi aku tak nak terlalu mendalam, sebab filemnya santai, tapi santai-santainya, ia merupakan antara filem gem romantik yang dah lama aku tak jumpa. Dulu, aku pernah jumpa filem seindah ini, macam Next Stop, Wonderland, Amelie atau Romancing The Stone yang tak perlu banyak kata-kata untuk menyatakan keterujaan sinemanya khusus filem yang mendekatkan dua hati.

Jadi, aku nak ubah perangai sedikit dalam tulisan ni, mengikut mak cik-mak cik (atau penulis lelaki macho yang mengaku perempuan macam Siti Jarum) kolumnis dalam media hiburan utama, lagipun mereka tulis kan sempoi dan senang dijamah pembaca kita yang sampai hari ni tak faham mengapa lagu masa pengantin Anu dalam Botol perlu kasar dan "bilazim", aku cuba eh:

Kak Nab baru-baru ni sukalah tengok apa yang sedang berlaku dalam industri perfileman kita. Iyelah, takkanlah kita nak harapkan kepada Upin dan Ipin sahaja buat filem yang bagus. Lagipun dua watak tu masih kecik lagi, khusus untuk anak-anak Kak Nab yang baru je masuk tadika. Itu yang Kak Nab seronok sangat bila Yusry KRU dan abangnya sanggup buang duit berbilion-bilion duit syarikat dan Kerajaan untuk tunjukkan pada Kak Nab bahawa dalam sejarah Kedah, raja-raja kita rupanya berketurunan Mat Saleh. Kak Nab tengok bisep dan perut ketul-ketul Stephen Rahman Hughes pun Kak Nab dah teruja. Kita rupanya dah ada pelakon Hollywood yang boleh cakap bahasa Melayu, kira bahasa Melayu dah antarabangsa lah kan? Lepas ni, bolehlah kita ajak Brad Pitt jadi Hang Tuah dan Natalie Portman jadi Dang Anum. Tapi Kak Nab boleh bayangkan mereka bercawat dan bercoli, aduh, sesuai sangat, tentu penonton kita dan penonton luar negara akan suka.

Lepas tu Kak Nab dipanggil oleh Raja Azmi untuk tonton filem terbarunya, ... dalam Botol. Kak Nab pun tak faham, apa yang ... tu, macam ... filem kontroversi U-Wei pula. Tapi itu yang merimaskan Kak Nab, sebab ... dalam filem U-Wei tu kisah seorang perempuan, tapi ... dalam filem Raja Azmi tu fasal seorang perempuan palsu. Runsing Kak Nab. Dah lah gambar filem tu satu take saja, lepas tu bergoncang sana bergoncang sini, macam camera man tak cukup makanlah, kesian betul. Kak Nab tak fahamlah apa yang Raja Azmi buat. Tapi Raja Azmi bilang kat Kak Nab, ini filem Khir Rahman. Kak Nab lagi jadi keliru, bila pula Raja Azmi tukar nama lelaki? Nasib baik filem tu ada Ogy Ahmad Daud, terubat rindu hati Kak Nab nak tengok dia berlakon lagi. Nak harap Arja Lee tak boleh sebab bagi Kak Nab dia kurus sangat. Wan Raja pulak boroi, tak macam Stephen Hughes ...

Lepas tu, Osman Ali pula bawak Kak Nab tonton filem dia, Cun! Kak Nab suka betul dengan filem Osman kali ni. Awal-awal lagi Kak Nab boleh ketawa tengok Ning Baizura bermulut becok kenakan Maya Karin. Kak Nab pun setuju sangatlah Maya Karin bercerai dengan suaminya, sebab Maya Karin memang sesuai sangat dengan Ramy Ishak. Kalau tak percaya, tontonlah filem ni. Kak Nab restu sangat mereka berdua, kira macam Erra dan Awie zaman Sembilulah. Lagipun, ada satu adegan Remy Ishak berkubang di parit. Kak Nab dapat rasa sangat, Remy dah setaraf dengan pelakon Hollywood, tengok saja badan dia yang berketul-ketul tu, kalah Brad Pitt.

Lepas tu, Kak Nab tontonlah filem Thai ni pula, judulnya, Bangkok Traffic Love Story. Ini sebuah lagi filem Kak Nab suka. Memang korang takkan rugi tonton filem ni. Kisah dia pun tak meleret-leret macam Sayang Salmah, tak keliru macam ... dalam Botol. Pelakon lelaki dia, walaupun tak sesasa Stephen Hughes atau Remy, Kak Nab tetap boleh jatuh cinta dengan dia.

Filemnya banyak berlaku di stesen LRT di Bangkok. Memang kreatiflah pengarah dia, buat filem atas LRT dan stesen LRT, Kak Nab terfikir-fikir juga, kenapalah pengarah kita tak buat filem berdasarkan LRT kita? Dah lah kita dah ada 2 LRT. MRT pun sudah nak diperkenalkan oleh Kerajaan. Prasarana beginilah boleh digunakan sebagai latar yang tentu menarik di layar, dan dalam masa yang sama, menarik para pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Barulah orang akan kenal dengan filem kita.

Oh ya, Kak Nab lupa nak ceritakan cerita filem ni. Filemnya tentang seorang wanita biasa yang jatuh cinta dengan seorang pemuda kacak yang bekerja sebagai jurutera penyelenggara LRT. Semua yang wanita tu buat salah, tetapi pemuda tu sabar dan tenang sahaja dengan kerenah wanita itu. Wanita itu juga mendapatkan tips-tips untuk mengorat lelaki itu daripada drama televisyen kita yang serupa seperti Samarinda. Lihat, siapa kata TV tidak perlu memberi mesej yang berguna. Orang Thai pun faham, drama TV perlu mengajar nilai-nilai positif agar memberi kebaikan kepada penonton. Kalau wanita itu tidak menonton drama TV, tak dapatlah dia mengikat pemuda kacak itu sebagai kekasihnya.

Kak Nab suka filem ini sebab filem ini panjang, dan bukan pendek-pendek macam Cinta, tiba-tiba saja orang dah boleh bercinta. Lepas tu, semua perasaan, suka, benci, kelakar, semuanya ada dalam filem ni, macam novel-novel cinta yang Kak Nab selalu baca. Lagipun, pelakon-pelakon Thai memang kacak-kacak dan Kak Nab rasa terhibur dengan lakonan mereka.

Nanti, jangan lupa ya tonton filem ni. Kak Nab gerenti korang akan ketawa semahu-mahunya, menangis semahu-mahunya!

tulus ikhlas,
Kak NAB

ps: OK, aku tahu ia lebih sarkastik, tapi serius, filem ni memang worth the watch (aku akan tonton sekali lagi lepas ni). Memang ada bahagian2 bodohnya yang kita teringat kartun Dik Cerdas, yang aku setuju pengarah sengaja ambil ideal perangai Jepun (untuk memahami latar budaya Siam yang terikat kuat dengan budaya pop Jepun-Korea atau Sino, ini sebuah filem yang menarik untuk dimasuki), tetapi lawak-lawaknya menjadi dan aku asyik ketawa. Dan semakin lama aku masuk dalam filem ni, semakin serius, semakin benar pertunjukan "cinta" si wanita dan lelaki. Waktu itu, babaknya mula menghampiri indah dan sesak orang bercinta. Yep, akhir babak itu, walaupun aku tak menangis, tapi rasa "hangat"nya boleh dirasai membara di ulu hati aku. Untuk orang yang pernah dan sedang bercinta. Filem ini merupakan antara filem yang indah dan boleh dijadikan simpanan memori yang indah untuk pasangan.

soalan kuiz: Namakan filem Malaysia yang dibikin atas LRT Kuala Lumpur.


23 March 2011

Peraduan CUN! Senang Nak Menang!

PERADUAN DIALOG PALING KELAKAR TAK HENGAT!


JOM CUBA UJI KREATIVITI ANDA!










Hadiah-hadiah menanti anda:





Pemenang Pertama: RM500 x 2 tiket tonton Cun!


Pemenang Kedua: RM300 x 2 tiket tonton Cun!


Pemenang Ketiga: RM200 x 2 tiket tonton Cun!


10 Pemenang Sagu hati: 2 tiket tonton Cun!





Pemenang akan dikira melalui jumlah undian "LIKE" @ "SUKA" paling banyak dalam FB Cun!





Cara-cara:


1. Muat turun gambar di atas


2. Isikan belon dialog di dalam gambar atau isi dalam teks:


Remy sebagai Atan "________________________"


Maya sebagai Luan "________________________"





3. Pos jawapan/gambar terisi dalam wall/dinding FB Cun!


4. Paksa semua orang undi dialog anda lah,a ap lagi!





Tarikh TUTUP: 31/3/2011





nota pendek: Aku tak sempat nak ulas filem ni, tapi aku nak bagitau, pengawalan filem ni yang sengaja dibuat semacam kita terperangkap dalam filem Razak Mohideen akan terubat dengan babak-babak kampung yang langsung hilang superfisialnya dengan watak-watak berwarna, khusus Luna Maya dan Remy Ishak. Kekuatan tema berkenaan keluarga yang dimainkan amat menjadi. Aku suka budak yang retard dalam filem ni, dia "jiwa" filem ni. Dan cinta lakonan Remy dan Luna amat menjadi dan bulat, malah merupakan bibit cinta yang sudah lama kita tidak tonton selepas Sepet, Azura, Ali Setan dan kumpulan-kumpulan filem Melayu yang setaraf dengannya (romance, I mean). Memang tahap klasik! Yeap, aku suka, malah aku suka kritikan Osman Ali terhadap media dan caranya on your face itu. Paling tidak lupa, perjuangan Osman terhadap the meek, the weak, the forgotten diangkat sekali lagi (dengan paparan kampung) sungguh menyeronokkan! Filem komersial Osman yang paling menyeronokkan setakat ini.

16 March 2011

Hujan Panas(2011): Filpen Peribadi Indah



Semalam, aku dapat peluang menonton filpen 20 minit terbaru Nadiah Hamzah (pengarah filem Sub Rossa). Aku menyukainya, kisah anak Malaysia Melayu yang meninggalkan tunangnya untuk menyambung belajarnya di New York. Ada tiga baris dalam filem itu yang indah, pertama, "di sini, kau boleh jadi apa-apa yang kau nak jadi", kedua, "semua orang mempunyai rahsia", dan ketiga, "kalau kaududuk di sini, kau takkan boleh keluar lagi."

Nadiah mungkin mengambil idea judul filem ini daripada pantun;

Hujan panas pagi hari,
Ayam putih masuk reban;
Hilang emas boleh dicari,
Hilang kekasih guna teraban.


Ajami menyatakan, filem ini ada penggunaan cerita atau tema yang sama dengan Sub Rossa, yang aku rasa, mana-mana pembikin juga begitu (dan kadang-kala itulah tandatangan mereka). Aku melihat hal yang lain, yang aku suka, paling penting, iaitu rasa dan pengalaman menontonnya. Ini terletak kepada watak Beto Kusyairi sebagai sang Melayu yang baru tiba di kota New York. Aku bayangkan, filem ini meletakkan watak Beto ke dalam sanubari kita, khusus golongan konvensional. Dan kemudian, golongan ini, atas kaki Beto, bergerak dalam latar dan ruang yang kita sedari, biasa diperkatakan oleh U-Wei sebagai "terasing" (dan hal inilah yang digali dan digali semula oleh U-Wei). Pengalaman ini dinaik tarafkan dengan satu lagi interaksi buat kita, perkaitan Bento dengan alam baru itu dalam bentuk seorang wanita Indonesia. Secara kelakar (yang Amir Muhammad bayangkan sebagai ulang semula Hujan Panas si naif P. Ramlee kepada si jahat Siput Serawak), kita diberi "peluang" merasai perasaan Beto mendepani hal-hal yang "calar" akhlak buat kita di sini, tetapi tampak semula jadi di kota seperti New York, dengan satu babak yang aku kira menyeronokkan apabila Beto menerima weed/pot daripada wanita Indonesia itu (babak sebegini tidak boleh dan tidak akan berlaku dalam filem Melayu tanpa adegan hukuman moralis - oleh sebab itu ramai juga penonton pada malam itu mahu "lagi" kerana aku kira, tak puas). Babak ini dan saat inilah, kita, penonton diberikan peluang merasai, sebagai penonton Malaysia, "sedikit keAmerikaan" yang kita impikan selama-lama ini berlaku terhadap kita. Hanya pada kali ini sahaja kita rasakan, enaknya detik ini, dan detik ini tidak salah malah indah untuk dirasai sama. Secara seloroh, Nadiah juga sengaja memaparkan bagaimana kerana melepak dengan wanita itu, Beto terlepas solat Subuh dua kali (sekali waktu hisap weed, satu lagi sewaktu lepas solat Isyak). Akhirnya, walaupun ada perasaan "terlepas" dan "hilang", sebenarnya Beto memiliki sesuatu yang lebih berharga daripada wanita itu, Beto memiliki "kebebasan" dan "pemahaman diri yang lebih nyata", dan ini dibayangkan (secara pilu jika kita boleh kaitkan basikal tersebut dengan wanita itu) dengan Beto menunggang basikal milik wanita itu dengan laju dan tersenyum. Ini merupakan poskad selamat tinggal yang terindah buat Nadiah kepada tanah Amerika yang berbakti pengalaman kepadanya. Dan pengalaman ini, dapat kita kongsi bersama.

Nuansa-nuansa, yang aku kira, hanya seorang wanita sahaja yang memahami dan boleh nyatakan dengan baik di layar. Dan ini bukan komen yang seksis.

Aku menyukainya, dan aku suka lagi, jika Nadiah diberi lagi kesempatan, walaupun dikatakannya, ini merupakan filem peribadinya yang mungkin terakhir selepas meninggalkan Amerika. Aku harap tidak, dan Nadiah diberi peluang untuk merakam ruang "terasing tapi sangat dikenali" dengan watak Malaysia dan cerita-cerita baru yang berkaitan. Nadiah mempunyai jalan yang sungguh nyata dan luas untuk ini.

Tentang Nadiah dan filpen terbarunya.



11 March 2011

BUNOHAN - Mungkin Lebih Baik Daripada Merong Mahawangsa



Alfie meletakkan satu gezet filem baru, Bunohan dalam entri ulasan Hikayat Merong Mahawangsa aku. Bila aku tonton, IMPRESIF ...

Aku baru teringat dengan nama ni, Dain Said. Aku asyik dengar dari beberapa mulut pembikin filem yang aku kenal yang menyebut-nyebut bagaimana Dain Said ni macam nafas segar untuk industri, selalunya telefilem-telefilemnya menarik, warna dan lanskap filemnya menarik. Aku manalah tahu banyak drama sebab akhir-akhir ni aku hanya melayan Adik-Adikku Musim Kedua di TV1 dengan nenek aku je (entertaining gila babi siot, aku serius!).

Malah aku teringat dengan Dukun yang merupakan filem arahannya yang tak pernah boleh melihat pagi tanahair kerana seorang bitch yang mahu tunjuk kuasa. Bitch!

NI, tengoklah sendiri .. aku rasa gembira sedikit, tahun ni, dah ada beberapa filem Malaysia yang tampaknya dah berani menyatakan, "Hey, kita lain, dan tak menyesal kalau layan kita":



Laman filem ni.

AKAN DITAYANGKAN 8 MAC 2012

08 March 2011

Hikayat Merong Mahawangsa(2011): Antara jerat epik dan harapan bangsa

"1"

Ok, ego check!

Semalam aku mendapat peluang (aku tidak dijemput) menghadiri Press Preview filem yang dinanti-nantikan ini. Yeap, banyak kawan aku yang bengang gila aku dapat gi. Aku faham, antisipasi untuk menonton filem ini begitu tinggi, dan aku berharap, atas dasar cinta terhadap filem Malaysia, aku utuskan di sini agar kawan-kawan aku tu pegilah tonton filem ni. Hah, see, free marketing lagi!

Ok, tujuan entri "1" ini adalah kerana, sewaktu aku beratur di luar (dengan banyak kali dihalau oleh PR KRU yang profesional sebab aku pariah buat mereka), aku nampak lah kelibat para pelakon, artis kita melalui karpet merah memasuki dewan pawagam, di sinilah pemerhatian aku:

Craig Fong - Pendek
Anuar Zain - Pendek
Norman KRU - Pendek
Yusry KRU - Pendek
Syahir AF - Pendek
Stephen Rahman Hughes - Pendek(!)

Kesimpulannya, bolehlah aku berbangga dengan darah Arab-Acheh-Bugis-Patani aku bahawa sekurang-kurangnya aku lebih tinggi daripada kebanyakan artis Malaysia yang aku selalu nampak gah dan tinggi di dalam majalah hiburan (yep, aku baca juga kadang-kadang, aww), filem serta Melodi itew. (Optical Illusion beb!)

Pengajarannya ya anak-anak, anda tidak perlu ketinggian yang tinggi untuk menjadi artis Malaysia.

"2"

Aku sudah meroyan bahawa aku tidak dijemput. Kiranya aku macam wedding crasherlah (aku dapat rasa sangat, awek Yanie malam tu rasa aku janggal untuk berada di situ, tapi dia betul-betul bersikap profesional dan memberi juga aku tiket), ha ha, muka tak malu. Lagipun Syazwan GalaTV membantu aku (memaklumkan tarikh). Kiranya, aku macam terkedu jugaklah, depan kaunter tiket, meminta macam minta sedekah untuk tiket, walaupun ada kaunter BLOGGER di situ (aku sepatutnya masuk bawah Media). Boleh tahan jugalah PR dan protokol KRU ni, kiranya, kalau kau rasa kau bukan groupie mereka, kau akan rasa terbiar. Tapi aku rasa, pak cik ni lebih teruk daripada aku, sebab, aku walaupun tak dijemput, aku redah aje kerana berbangga untuk menonton filem yang Malaysia tunggu-tunggu ini (semuanya atas kerana filem, dan bukan lain), tetapi pak cik diva ni, menyatakan pendiriannya yang tidak dijemput bagaikan ratu yang dihalang memasuki parti terpenting tahun itu. Hebatkan Harian Metro?

Aku pun sedar aku ni siapa. Blogger yang tiada apa-apa selain hebat mencarut. Bila Syazwan tanya kenapa aku tak masuk pawagam lagi, aku jawab, "Aku tahu, aku ni pariah." Serius, ini pertama kalilah dan kali terakhirlah aku "cuba" datang menghadiri pratonton filem-filem KRU, aku faham tahap dan penghormatan aku buat kalian, terima kasih kerana beri aku peluang.

"3"

OK, now the review of the film.

Korang sedar atau tak, aku campur-aduk bahasa dalam entri kali ni,? Yeap, sebab itulah semangat filem ini, yang Bissme nyatakan sebagai "1 Malaysia". Syazwan menyatakan filem ini "commendable", dengan skrip yang begitu ketat. Kawan yang aku bawa dari ofis menyatakan filem ini MANTAP dan tidak rasa bosan, malah mengujakannya dari awal hingga akhir.

Bagi aku?

Ini verdict aku selepas menontonnya:

Agak menghiburkan dalam beberapa momen, kejantanan yang bermain dalam dunia plastik (same goes to 300 what!), talky, kelam-kabut dan tidak terkawal. Secara keseluruhan, perasaan aku berbaur, tetapi tidak bermakna filem KRU kali ini gagal, malah buat aku, setakat ini, inilah filem KRU yang paling memahami cerita dan garapan, malah melebihi Magika, dan untuk itu, inilah filem KRU yang paling berjaya setakat ini.

Hal "kelam-kabut" dan "tiada kawalan" yang dinyatakan di atas sebenarnya subjektif, kerana Yusry selaku pengarah filem ini ingin menyatakan sikap "rojak", dan bagai aku, kiranya, dia berhasil dari segi itu.

Jika kalian dari kumpulan sejarah ini, kalian akan rasa tersinggung dengan filem ini kerana ini merupakan intepretasi Amir Hafizi dan Yusry KRU menelusuri sejarah lama orang Kedah. Sebagai konsep, aku begitu teruja dan mengucapkan tahniah kepada Amir dan Yusry atas kerana mengintepretasikan suatu pemahaman sejarah yang segar akan hikayatnya. Garuda yang dibayangkan merupakan kumpulan lanun berkuasa sihir, Jentayu merupakan kapal Merong Mahawangsa, kata kiasan dalam ucapan orang Melayu menyatakan bahasanya perlu dibaca berulang kali kerana intinya kaya dengan simbolisme, Langkasuka datang daripada nama ibu Merong, Lang (lakonan mantap walaupun pendek Umi Aida, walaupun hal ini tidak dinyatakan dalam filem), ideal kenapa kisah "bersejarah" ini tidak dimasukkan dalam senarai data sejarah orang Rom mahupun Cina dinyatakan dengan bersahaja - bagaimana dua negara ini "malu" ditundukkan kebijaksanaan dan kehebatan mereka oleh seorang Melayu campur, ideal dunia Melayu yang sudah lama berlayar sungguh indah, serta pembinaan sebuah negara kota yang dahulunya tanah kampung mempunyai makna yang tersendiri.

Malah ada satu bahagian, yang kiranya, Amir dan Yusry telah memberi tempat yang begitu indah buat pantun Melayu, pertamanya, pantun yang diingati oleh Merong Mahawangsa daripada ibunya, telah dijadikan suatu mutiara kata yang tidak jelas tetapi menimbulkan pancawarna; ia merupakan kata bidalan cinta dua orang yang tidak pernah bertemu, prophecy kedatangan seorang raja bagi orang Melayu, dan akhirnya, satu puisi yang tragis tetapi berkesan. Penggunaan pantun di sini, kiranya berjaya dari segi pengisian cerita, penciptaan misteri, dan sekali gus memaparkan lapisan demi lapisan yang ia boleh pergi. Aku mengaku, bahagian akhir sewaktu Merong Mahawangsa "memahami" pantun ibunya itu apabila berlawan dengan Taji, lantas melakukan apa yang dia telah lakukan, membuatkan bulu roma aku berdiri. Malah aku nyaris-nyaris menangis atas kuasa pilu (poignant) yang berjaya disemarakkan dalam babak akhir itu.

Yeap, aku menyukai babak akhir filem ini. Kali itulah, aku mengaku, aku dapat menjumpai makna "epik" bagi filem ini. Hanya dengan babak itu sahaja, aku memaafkan Yusry yang pada awalnya, aku menunggu kemunculan sikap epik.

Ini adalah kerana, epik merupakan genre filem yang paling susah hendak dibikin kerana belanjanya tetapi paling disanjungi oleh mana-mana negara pembikin filem. Secara tuntas, Amir dan Yusry menyatakan dengan jujur, janganlah pandang filem ini sebagai filem serius sepertimana Puteri Gunung Ledang, Suryothai, atau Naresuan, tetapi lebih kepada bertih jagung seangkatan Queen Langkasuka. Nilai komersial itu tidak merunsingkan aku, malah, aku menyedari Yusry banyak membuak semangat Pirates of the Caribbean, contohnya apabila babak Putera Rom cuba mendapatkan Merong di pasar Goa. Malah dialog demi dialog (buat aku, ianya membosankan) antara Putera Rom dan Merong mengingatkan aku kepada dialog-dialog kena-mengenakan Keira Knightly-Orlando Bloom-Johnny Depp.

Ada beberapa hal lagi yang mencuitkan yang mungkin akan dibikin spekulasi, sepertimana pemahaman "penyatuan dua kampung", aku merasakan, secara sinikal, KRU sengaja mahu mempamerkan filem ini tepat pada masanya sebelum PRU kita atas makna "tersirat" penyatuan. Kalian mungkin akan berspekulasi bahawa Geruda itu PAS kerana simbol-simbol "purnama mengambang" yang jelas, dan kemudian Merong dan Langkasuka itu UMNO kerana simbol kerisnya (yang datang dari atas angin). Hal ini mungkin lebih mencuitkan jika anda tonton pengkahiran filem ini serta makna pantun yang dinyatakan.

Satu lagi yang aku jumpa, aku sedar, kepala hotak Amir Hafizi ni boleh tahan lucahnya. Dari Jin Notti, Magika hingga projek KRU sekarang, aku tersedar Amir ni suka dengan lawak-lawak lucah, yang kadang-kala membingitkan. Bagi aku, lawak-lawak lucah ini (yang ingin menyerupai Pirates of the Caribbean) sesuai buat mentaliti orang Malaysia tetapi mungkin kelihatan "murah" buat penonton luar. Satu contoh merupakan babak Merong menegur Putera Rom memakai skirt, yang bagi aku agak corny, lebih-lebih lagi dituturkan dalam bahasa Inggeris.

Mungkin kerana itu, dengan projek lunak yang tinggi kos ini, terlalu besar buat bahu Yusry. Secara serius, Yusry mempunyai impian yang maha ikhlas dan suci, tetapi impiannya itu, masih dicalarkan dengan beberapa masalah atas kerana, aku tampak dengan jelas, kepakaran teknikal kita yang masih belum setaraf, walaupun Indonesia dan Thailand. Ya, kebanyakan babak filem ini "betul" tetapi tampak "janggal" atas kerana beberapa hal. Aku tidak suka dengan mainan warna sephia yang sengaja untuk memaparkan kelam dan malam. Aku memahami ini disengajakan untuk membandingkan "masa" perantaraan kisah ini diceritakan dan kisah Merong tersebut, tetapi Ya Rabbi, buruknya! Kadang-kadang kelihatan "pasir-pasir putih" yang berkeliaran di atas layar. Kemudian runut lagunya, walaupun aku teruja, tidak memberi impak yang sepatutnya terhadap imej di layar. Aku juga tidak menyukai suntingan yang tidak begitu terkawal serta sudut tangkapan kamera yang begitu bermain-main (kejap-kejap terbang, kejap-kejap ke darat), inilah kelemahan Yusry dan pengarah penggambarannya dalam memahami bila syot fokus dan bila syot luas dilakukan. Ini menyebabkan kuasa sinematik filem ini merundum dan tidak dapat dipegang dengan erat.

Aku begitu teruja dengan kesan CGI dan seni pengarahannya sekurang-kurangnya, yang bagi aku, bolehlah dikatakan impressive bagi sebuah filem tempatan, dan bagi aku berjaya mengatasi Puteri Gunung Ledang. Lakonan pula, aku bangga dengan lakonan Rahim Razali walaupun kemunculan awalnya membuak ramai penonton menjerit "GANDALF!" (ada satu babak ni yang aku terkekeh sorang melihat Rahim isap "rokok" yang membayangkan yang dia tengah "high", aku tahu babak ni disengajakan), Umi Nazeera yang bagi aku sempurna, malah merupakan antara pelakon yang akan menggegarkan industri kita. Setiap gerak-gerinya, kata-katanya cukup dimakan, dirasai, kita seakan bercium dengannya. Malah Stephen Rahman Hughes pun kalah dengan ucapan Braveheartnya terhadap kata-kata akhir Umi tentang "panah", "parut" dan "jiwa". Umi merupakan bintang bersinar dan suatu yang ditunggu-tunggu dalam filem ini.

Pelakon-pelakon lain agak sederhana. Aku menyukai Gavin, tetapi atas kerana kekurangan kuasa imej, Gavin tidak diberi peluang drama yang sebenar, yang kadang-kala kamera cuba lari dari Gavin. Walaupun begitu, aku nampak Gavin ada potensi. Mano Maniam buat aku pula terlalu OTT. Craig Fong terlalu kayu, termasuk si puteri dan inangnya yang terjerat dalam filem yang salah. Tiba-tiba sahaja aku terbayang French & Saunders di tengah-tengah filem. Stephen Rahman Hughes? Tuhan, kita rupanya mempunyai our own Arnold Schwazeneger. Serius, filem ini memerlukan seorang Merong yang bukan sahaja tangkas, action hero ala-ala Hollywood, tetapi juga seorang thinking actor (mengikut kedalaman skripnya), dan tanggungjawab ini kelihatan susah dipikul oleh Stephen Rahman. Satu babak sahaja memaparkannya, bila Stephen bertanya, "Does it hurt?" pada seorang soldadu yang rebah ditikam ("hello, tentulah sakit?!"). Hanya seorang pelakon yang ada karisma dan wit boleh menyampaikan babak selamba itu dengan berkesan, dan bukan dengan wajah satu dimensi yang kosong.

Percubaan kareografi lawan dan aksi juga kurang menyengat, yang aku sedar, hal ini berlaku dalam mana-mana filem tempatan kita. Beberapa plot turut dipersoalkan seperti bagaimana Puteri Cina tiba-tiba dapat melepaskan diri dengan inangnya di pulau Garuda. Tetapi hal-hal ini, kiranya, aku lihat tidak akan mendatangkan masalah buat penonton kita, memandangkan ada banyak hal hiburan yang terisi yang boleh diikuti oleh mereka. Tetapi bagaimana pula dengan penonton luar?

Inilah persoalan yang paling susah dan subjektif yang ditangani oleh Yusry dan kumpulannya. Filem ini dibuka (dan ditutup) dengan penulisan hikayat (yang kita tonton, di sini, kita memahami, pembikin filem cuba "menulis kembali sejarah", satu semangat pascamoden yang enak). Hal ini agak "besar" dan penting buat kita penonton Malaysia, khususnya Melayu, kerana di sini, kita diperlihatkan bagaimana dengan kedatangan Islam, penulisan itu diperturunkan (secara fakta, hal ini agak salah kerana sebelum itu lagi, orang Melayu sudah ada sistem penulisannya, Pali) dan bagaimana bermulanya tamadun dengan penulisan dan penceritaan. Tetapi buat penonton luar, aku risau mereka "care less" berkenaan hal ini. Jika kalian rujuk mana-mana filem epik, Cleopatra, The Ten Commandments, Spartacus, Braveheart, Gladiator, Troy, Naresuan, Suryothai, kalian akan sedar, filem mereka digerakkan dengan satu watak sebagai "pemegang naratif". Pemegang naratif ini merupakan "tingkap" kepada penonton, dan dia tidak semestinya watak utama filem.
Rujuk filem Alexander dan bagaimana filem itu "kucar-kacir" apabila pemegang naratifnya ialah Anthony Hopkins (sekarang kalian faham kenapa Oliver Stone memerlukan seorang pelakon hebat seperti Anthony untuk membuka Alexander?) Filem Oliver Stone itu berlainan sedikit kerana "fakta" yang diceritakan dipersoalkan oleh si penulis, berlaku retorik dan hal ini mengundang konflik menarik. Di dalam filem Yusry ini, penulisan "naratif" (kita fahami, teks cerita ini) ditulis secara "satu hala", menyatakan apa yang kalian tonton ini, walaupun tampak "unreal" merupakan hal yang "real" berlaku. Aku tahu, Alexander versi Director's Cut lebih baik (adakah ini bermakna kita dapat menonton extended version filem ini?) apabila dikaitkan dengan gaya ini tetapi meletakkan seorang pencerita sebagai pembuka memang berisiko, walaupun hal itu merupakan hal yang amat mengikut semangat abad ke-21.

Aku merasakan, filem ini sepatutnya digerakkan oleh Putera Rom, si orang luar yang baru hendak mengenali hidup, kekasaran, kebebasan dan kemuliaan dunia Merong Mahawangsa (Melayu). Rujuk Pirates of the Carribean dan anda akan sedari filem itu pun bermula dengan Orlando Bloom sebagai penggerak naratif, dan bukan Johnny Depp, walaupun filem itu milik bintang itu. Apabila filem ini dimulakan dengan "mengejut" secara naratif, antara Putera Rom dan Puteri Cina yang agak pendek dengan montaj-montaj, kita tidak sempat untuk mengenali Putera Rom tersebut. Malah pembangunan watak hanya berlaku waktu dialog antara Merong dan Putera Rom di atas Jentayu, yang bagi aku, agak kelam-kabut, kerana kita perlu mencari pengakaran, to whom should we root for. Malah sejarah dan perkembangan kisah Merong juga "dimulakan" dengan mimpi. Banyak enigma yang tidak dinyatakan (adakah kerana Merong campuran orang asing, orang Melayu membencinya?) dan ini membuat kita menjerit, wehhh nak extended version!! Jika mungkin, kita dipaparkan satu arch yang indah berkenaan Putera Rom yang dahulunya pandang rendah terhadap bangsa asing, kemudian berubah rupa bila bertemu Merong, mungkin ada sesuatu yang boleh diakarkan di sini. Kerana, semua penceritaan seakan-akan laju dan kelam-kabut untuk menuju ke barisan penamat.

Di sinilah aku tampak sedikit kerosakan filem gah ini, yang aku risau tidak dapat diterima oleh pihak luar. Tetapi aku berharap, dengan filem ini, filem Malaysia boleh juga menjelajah ke serata dunia, walaupun ada cacat-celanya, untuk diperkenalkan bahawa Malaysia mengambil cabaran untuk membikin filem yang lebih baik dan menunggu untuk diletakkan di peta dunia perfileman.

04 March 2011

Filem/Drama Melayu - BEWARE

Adakah kita mencapai budaya kultus yang terserlah atau tipikal klise yang tidak mahu berubah? Apa-apa pun, hasil kerja anak-anak muda ini amat menghiburkan:


01 March 2011

Maaf Sebab Sunyi

... Ya, bukan apa, aku tiba-tiba dalam beberapa minggu ni terpaksa berbengkel kerana aku dah tukar bahagian (boleh tahan kerja tempat aku ni, macam syarikat swasta, tup tap tup tukar bahagian, boleh lemha jantung dibuatnya) ... serius aku cakap, aku tak suka bahagian baru ni sebab ia memandulkan aku menulis, lagi-lagi untuk blog ni kan?
Jadi baiklah aku titipkan kat bawah ni, beberapa penulisan aku setakat ni yang pernah keluar dalam sebuah projek yang aku gerakkan, sekurang-kurangnya korang yang rindu tulisan aku, terubatlah rindu (AS IF, hahahaha):
Ha ha ha, banyak juga tu kan? Itulah, tapi aku khuatir aku boleh menulis sebegitu lagi dalam bahagian ni.. serius, aku rasa, kadnag2, organisasi aku ni tak pernah ingin memahami aku walaupun aku sudah jelek ingin memahami perangai ketua-ketua tertingginya (lihat, ni tak masuk memahami misi yang mereka canangkan lagi ...)
Oh ya, SEMALAM aku sempat lepak ngan Syazwan (pengacara Gala TV Awani) dalam pesta Academy Awards. Jangan jeles, aku bersegel bahu ngan Maya Karin (yey, aku lagi tinggi) dan Nicholas Saputra (his sooo bloody tall, no wonder his a model) eh! Aku rasa wawancara pendek aku permintaan Syazwan ada disiarkan semalam dalam Gala TV (siapalah aku, hahahaha). Tapi serius, aku tersinggung bila The King's Speech menang Filem Terbaik semalam. Filem itu nampak sangat filem "berlaku hanya sekali" dengan kehebatan strategi Weinstein. Takpelah, Weinstein pun dah lama tak menang (sejak zaman kegemilangannya pada 90-an) dan filem ini memberi ruang untuk filem British gah (walaupun dalam sudut hati aku, aku takkan pilih filem ini sebagai filem terbaik Brisith abad ke-21) setelah banyak kali dielak daripada memenangi Filem Terbaik. Pilihan aku tetap untuk The Social Network dan Inception, yang mana dengan mengejutkan, tetap membawa pulangan yang mengujakan. Acara semalam bolehlah meriah sedikit (kau letak orang muda macam mana pun, anak muda takkan tonton Academy Awards kecuali yang meminati filem) walaupun takde siapa boleh mengambil tempat Billy Crystal buat aku. Oh ya, aku suka seni pengarahannya, cantik bebenor semalam.
Tetapi serius, semalam merupakan acara paling sangat dapat dijangka dan masih menandakan, Hollywood masih setia dengan bintang dan gemerlapannya.

07 February 2011

10 Pencalonan Filem Terbaik 2011: Pilihan Aku

Yep, Academy Awards datang lagi, kali ini aku dapat juga menonton kebanyakan filem yang dicalonkan. Kebanyakan pengkritik di Amerika sudah memilih The King's Speech akan menang besar, tetapi, sepertimana malam Oscar, tak mungkin pengumuman itu dapat diramalkan.

Seperti tahun lepas, aku menyukai filem bekas isteri James Cameron mencincang Avatar, tetapi selepas menonton filem itu (selepas Oscar), walaupun merasakan ianya dibikin dengan baik, merupakan antara filem yang membuat aku dungu sebentar. Memanglah, aku tak mahu Avatar menang kerana filem kartun yang terlalu senang itu seakan memberi ruang kepada filem-filem senang untuk menjajah intelektual penonton. Tetapi The Hurt Locker yang walaupun berkeyakinan dan memahami subjeknya, ianya terlalu kecil untuk diperingati, dan ada sesuatu yang membuatnya tidak melampaui suatu resonans yang biasa aku ingini apabila menonton sebuah "filem terbaik". Ya, filem Braveheart, Titanic atau Gladiator, walaupun filem-filem komersial yang sehala dan menghibrukan, merupakan filem yang mempunyai sesuatu yang menyelam jiwa. Aku tak jumpa dalam The Hurt Locker, dan peliknya, dengan dua tiga filem terbaik beberapa tahun lepas selepas kemenangan LOTR. Memang, aku tahu peduli apa dengan perasaan aku kan, tetapi aku selalu percaya, dengan sentuhan betul, filem itu akan selalu dikenang-kenang orang untuk bertahun-tahun lamanya, inilah pemilihan yang aku buat:

127 Hours
Danny Boyle dan penulis skrip Simon Beaufoy sudah membuktikan bahawa cerita dan skop yang kecil, dengan dinamis drama manusia yang betul, boleh melakukan kejutan. Kemenangan Slumdog Millionaire, walaupun sebuah filem kecil merupakan sebuah kemenangan yang manis buat aku, kerana filem itu berjaya melangkah melampaui mileu filemnya sebagai filem dan memberi tempat (walaupun salah) kepada dunia Hindustan di tempat yang betul. 127 Hours pula merupakan filem berkenaan ujian kesabaran, iaitu para penonton untuk bersabar dengan seorang pelakon (ini pernah dilakukan dengan filem pencalonan terbaik, Cast Away, yang bagi aku lebih memberi kepuasan dan keindahan) yang terperangkap, lantas perlu bermunasabah dengan alam yang memerangkapnya. Filem tertutup/terperangkap/klaustofobia (contoh: Buried, Bug, Saw) selalunya kuat dalam psikologi, dan memahami mainan "episodik" untuk "menceria"kan penonton. Keduanya, pelakonnya perlu melalui tempoh fizikal yang menyakitkan (Tom Hanks jadi kurus untuk Cast Away). Lost bernasib baik kerana mediumnya mengandungi pelbagai watak, seorang lebih susah untuk ditahan dalam fregmen 60 minit. Satu perkara, kekuatan Danny Boyle ialah memaparkan imej-imej imaginatif dalam menyampaikan cerita, tidak lokek sudut dan mengenali emosi penonton (serta durasi kebosanan mereka). Menonton filem ini membuat aku tidak rasa bosan walaupun terperangkap di satu tempat. James Franco tidak perlu bercakap banyak, hanya menghela nafas dan mengorek. Filem bermula dan berakhir di ngarai, dengan bantuan syot POV James Franco terhadap imbasan-imbasan hidupnya. Adakah kita peduli? Ya dan tidak. Kuasa survival manusia dalam filem ini enak, tetapi ia berhenti di situ sahaja, walaupun aku mengharapkan lebih daripada babak-babak komuniti dan orang ramai yang dipaparkan pada awal filem ini (rupanya hanya untuk memaparkan perbezaan dunia Franco dan orang lain yang "sama" setiap hari, atau drama yang dipilih untuk dipamerkan daripada beribu manusia di bumi). Adakah ia akan mengubah kita, ya dan tak? Kreativiti Boyle memang mengkagumkan untuk filem-filem kecil, tetapi ini bukan jawapan sebuah filem terbaik, malah aku merasakan tentu ada filem asing atau filem Amerika lain yang patut di sini.

Black Swan
Darren Aronofsky merupakan antara pembikin filem muda yang selalu sahaja memberi ciptaan-ciptaan yang imaginatif dan menyampai maksud yang relevan terhadap generasi muda, walaupun betapa lama atau ketinggalan zaman budaya itu. Mengimbau filem ini mengingatkan aku kepada zaman keemasan Roman Polanski dengan seram urbannya, perkongsian tema dan sifatnya sangat sama - ciri-ciri curiga terhadap alam dan orang sekeliling yang akut (Rosemary's Baby, The Tenant, Repulsion, Macbeth). Malah aku menepuk tangan buat Aronofsky kerana berjaya mencipta "seni terindah" daripada kandungan pop-ngeri-seram ini, membawa filem seram/ngeri ke tahap yang boleh dibanggakan, sepertimana yang pernah dilakukan Polanski. Tetapi filem ini juga mengingatkan aku kepada The Red Shoes. Ini satu petanda yang buruk, kerana sesuatu yang "disalin" atau kuatnya "rujukan" selalunya tidak boleh memenangi filem terbaik. Secara peribadi, filem ini merupakan antara filem terbaik tahun ini, tetapi sebagai pemenang, ia agak jauh untuk merangkulnya, hanya, ia sudah tentu menjadi mesin kemenangan untuk Natalie Portman (satu lagi klu bahawa filem ini tak mungkin menang, memandangkan kebanyakan filem Oscar beberapa tahun tidak memenangkan pelakon dan filem sekali).

The Fighter

Aku agak prejudis terhadap filem ini, malah langsung tidak mahu menontonnya kerana aku terimbau Rocky dan Raging Bull. Walaubagaimana anda mahu memusing, ia tetap bergerak ke ruang dan pemahaman sama, melainkan anda membawa suatu cerita baru, seperti Million Dollar Baby.

Inception
Ok, untuk filem ini, aku mempunyai sikap prejudis, kerana dalam senarai Academy Awards, filem ini merupakan filem peribadi yang paling aku gemari. Filem ini walaupun bergerak dengan cerita yang baik, ia bergerak lebih jauh lagi dengan sikap sinemanya yang tidak mahu berhenti memberi pengamatan baharu kepada penonton, malah memiliki kuasa merasuki penonton agar bergerak melampaui ruang panggung dan mengganggu mereka. Imej melampaui dialog dan watak, imej adalah segala-galanya, malah imej, melampau pergi dan mengetuk ketidaksedaran kita dalam satu-satu masa. Hal ini pernah terjadi untuk The Exorcist tetapi hal itu lama dahulu dan ianya sudah menjadi kebiasaan (walaupun tetap memasuki buku sebagai filem bersejarah). Rujuk filem The Purple Rose of Cairo sebagai pemahaman "melampaui ruang panggung" yang mana, pengalaman filem ini menjadi lebih hiper-realiti daripada "realiti" eskapisme filem Woody Allen berikut (filem pendek Cigarette Burns arahan John Carpenter mempunyai kuasa yang sama). Sebuah pencapaian sinema yang unggul tahun ini. Bagi aku, hal itu sahaja sudah memberi aku persetujuan, filem ini kehadapan dan akan diingati sampai bila-bila. Sekurang-kurangnya buat aku.

The Kids Are All Right
Tak ramai yang menyukai filem ini, mungkin kerana mereka melihat keluarga yang terlalu normal bagi sebuah pasangan lesbian anak dua. Ini merupakan filem yang seronok, simpatatik dan memahami watak dan perwatakannya dengan betul. Kita merasakan "fantasi" dunia lesbian berkeluarga "wujud", kita tidak ragu-ragu lagi, dan agendanya melontarkan seorang watak hetero untuk menggoncang dunia "normal" mereka bagi aku sungguh memikat (hal ini tidak disukai ramai orang), yang bagi aku menjadi ruang untuk penonton berpolemik (bagi aku, hal ini bagus untuk filem dibicarakan). Ini merupakan antara pilihan filem terbaik aku, dengan watak-watak utama yang kuat, khususnya Annette Bening. Calar dan emosinya baharu (walaupun taklah sebaru mana jika kita pernah menonton filem-filem LBGT). Filem ini bolehlah dirujuk (dan bagaimana sudah lama berubah) dengan filem moralis lesbian, The Children's Hour. Filem lakonan Audrey Hepburn itu menyatakan segala yang seram dan kecam terhadap percintaan sejenis, sedang filem ini meliberalkan konsep itu dan pergi selangkah (dunia keluarga lesbian seperti dunia keluarga mana-mana keluarga biasa juga), dan sebab itu, filem ini penting.

The King's Speech
Aku baru menontonnya semalam. Aku tidak nafikan kekuatan Colin Firth sebagai Raja England sewaktu Perang Dunia kedua. Semua pelakonnya turut memberi yang terbaik. Tetapi sesungguhnya, filem ini filem yang kecil, berkenaan seorang raja yang gagap dan bagaimana dia cuba membaiki gagapnya. Hal ini comel, tetapi tidaklah impresif buat aku. Ya, aku tak peduli kata-kata pengkritik yang mengatakan filem ini hebat dan meletup dan kisah unggul tentang interaksi dan entah apa-apa lagi kerana bagi aku, filem ini jauh penting daripada Gandhi atau Patton, yang tampak seharusnya diperingati. Ya, tahap emosi, lawak dan dramanya utuh, terima kasih buat pelakon Inggeris, tetapi sebagai sebuah material yang melampaui keinginan resonans, ia tidak berapa memberi. Percayalah.

The Social Network
Menontonnya sekali lagi, aku tahu, filem inilah yang akan menang filem terbaik pada malam Oscar Februari ini. Aku jumpa dengan jiwa dan suara yang indah, daripada segala interaksi dan anti-interaksi serta percubaan interaksi yang ingin dipertonjolkan. Malah aku tidak merasa "cold" sepertimana pertama kali menontonnya, malah merasai gundah dan tenang malah simpati terhadap watak "jahat" si pencipta Facebook. Hanya, jika diperhatikan betul-betul, cara kerja Aaron Sorkin tak boleh lari daripada perbicaraan, dan sememangnya kuasanya terletak dalam cerita-cerita perbicaraannya. Tetapi untuk filem ini, sekurang-kurangnya Sorkin pergi lebih jauh dari itu untuk memaparkan satu pembangunan watak kompleks (Jesse Eisenberg) yang cukup rencam dan sempurna dalam keadaan yang memperlekeh orang-orang sekelilingnya. Malah temanya cukup relevan (buat masa ini!) dan sudah tentu menjadi lebih diamati daripada beberapa genre yang pernah dibuat di dalam senarai pencalonan ini. Ini merupakan undi aku sebagai filem terbaik.

Toy Story 3
Memang bagus dan sempurna garapannya tetapi untuk filem animasi ini mememangi filem terbaik, dekad ini masih belum tampak harapannya.

True Grit
Belum tonton dan mungkin ditonton. Tetapi aku amat membenci The Assasination of Jesse James. Aku harap filem "genre lapuk" ini tidak akan terperangkap seperti filem itu.

Winter's Bone
Akan tonton tapi memang tak mungkin menang. Filem kecil sebegini yang tidak ada orang mendengar tentangnya hanya terperap dalam senarai sebagai pembakar semanagt untuk dihadapkan kepada penonton awam tentang kewujudan filem ini.

Filem-filem yang ingin ditonton: I Am Love, Biutiful, Winter's Bone, Haevnen

27 January 2011

Sini Ada Hantu(2011): Optimisme James Lee Terhadap 1Malaysia

Dalam satu babak yang samar-samar gelap, si pemuda sedang menunggu dengan penuh sabar untuk kemunculan seekor hantu yang dikatakan cantik montok. Tiba-tiba kedengaran ada orang yang masuk ke dalam biliknya. Si pemuda membuka pintu, dan terpana gembira apabila melihat kelibat Fasha Sandha dengan kebaya ketat menunggu di bucu katil untuk digomol olehnya!

Yeah folks, itulah Sini Ada Hantu, sebuah filem terbaru James Lee yang menurut main-main pastiche dengan komentar moral/sosial, berserta in-jokenya yang tersendiri (orang yang kenal lakonan Fasha Sandha, serta kaitkan hal ini dengan role-play Fasha Sandha dalam drama TV3 Chinta akan memahami lawak ini) yang ada babaknya memang memikat dan ada pula babak yang tidak memberi apa-apa impak yang memuaskan.


Tapi tak apalah, ia taklah seteruk mana, malah filem ini mengambil ideal mesin penayangan 3-5 filem pendek seram dalam sebuah filem perdana (ingat Twilight Zone: The Movie? Struktur cerita latarnya juga ada kena-mengena dengan dua lelaki di tengah-tengah jalan cuba bercerita kisah seram/tak masuk akal), yang mana formula old Hollywood ini sudah diguna berkali-kali, ianya akan nampak kusam jika tidak dikendalikan dengan betul (rujuk Momok: The Movie, Body Bags) tetapi jadi indah jika dijalin dengan baik (rujuk It, The Company of Wolves, 4Bia 2). Ideanya ialah, seperti 1001 Malam, kisah-kisah yang tidak berkaitan tampak “disatukan” dalam sebuah tema, dan selalunya, filem-filem ini menampilkan kehebatan pengarah menggemblengkan kekuatan teknik mereka memberi “seram”, malah, kebanyakan filem sebegini menjadi ruang medan para pengarah untuk menunjukkan kemahiran mereka mengarah sesebuah segmen filem (pokoknya, agar kita tidak bosan).


Aku boleh katakan, filem James Lee ini, walaupun banyak “main-main”nya jika dibanding dengan Histeria, bolehlah dikatakan sebuah filem seram-komedi menghiburkan yang mengikut trend Creepshow I dan II, yang sedikit-sebanyak juga berlingkar dengan hal moral dan sosial masyarakatnya.


Kalau kau tengok nanti, kau lihatlah sendiri mainan moral (semua filem sebegini berlingkar tentang hal moral, baik dan buruk serta hukum alam, atau “ghaib”) yang berlaku dalam filem segmen satu, Hantu Pokok Pisang (berkenaan tidak mengikut kata orang-orang tua, zina, dan dengki), segmen dua, Hantu Nombor Ekor (menggunakan kawan untuk kepentingan diri, membunuh), dan segmen ketiga, Hantu Jepun (ketiadaan adab dan sopan-santun dalam anak muda). Aku tidak berapa suka segmen ketiga (walaupun lakonan anak-anak mudanya paling menyeronokkan), dan segmen pertama dan kedua amat “mengikut formula” (kesemua kesudahan dan klimaks segmen tidak mengujakan aku sangat) filem-filem sebegini. Tetapi jika dilihat secara teliti, setiap segmen filem ini memaparkan pengisahan “cerita” oleh seseorang yang dewasa. Cerita ini mungkin memaparkan kod-kod dasar atau kisah-kisah yang dilupakan, yang mana memberi pemahaman dan penekanan baharu terhadap generasi muda (ini namanya penurunan tradisi, atau proses penerusan tradisi), menariknya, kod-kod cerita ini seakan-akan menurunkan kod moral dari generasi tua kepada generasi muda, dan dengan begini sahaja, masyarakat itu boleh memanggil masyarakat itu masyarakat beridentiti.


Inilah yang cuba disampaikan oleh James Lee sebenarnya, cuba menulis definisi identiti budaya masyarakat kita, mengikut kod, dasar dan perlakuan tatacara yang tertentu. Secara sinikal, James Lee menyatakan, sebagaimana mana-mana pengarah filem seram sebelumnya, mereka “yang tidak mengikut” tatacara yang ditentukan ini dinyatakan dalam filem ini sebagai “mendapat balasan yang setimpal” dengan pelakuan bimoral/bisosial yang mereka lakukan (sekarang kau akan faham, kenapa budak keras dalam segmen ketiga tu tak mati).


Aku agak menyukai “semangat” ini walaupun formulaik dan MURAH garapannya, kerana sejujurnya, James Lee ingin mengatakan, “Kitalah kita!” Hal ini dinyatakan dengan baik, dan bagi aku merupakan kekuatan sebenar filem ini, dalam cerita latar Alvin Wong dan Baki Zainal. Mula-mulanya, cerita ini terperangkap dalam ungkapan klise “filem 1 Malaysia” yang aku risau benar jika ia merundum ke arah banality. Malah pelaksanaannya membosankan. Kisah ini mula menarik apabila selesai segmen pertama, apabila Alvin dan Baki mula bertekak “hantu yang mana lagi hebat”. Secara menyindir, Alvin (Cina) dan Baki (Melayu) sedang membanding-bandingkan identiti dan ciri-ciri “filem” bikinan mereka (cerita ialah FILEM!), sampai Baki menyampuk cerita ketiga yang “ada hantu luar yang lagi hebat dari hantu kita”, yang kita fahami di sini sebagai “filem-filem luar” (menariknya, segmen inilah yang paling membosankan buat aku). Selepas semua ini berlaku, Alvin dan Baki akan melalui satu drama seram-komedi yang mengasyikkan, berkenaan dengan “keranda” yang mereka bawa (mungkin simbol kita, penonton). Kita akan lihat berlakunya konflik antara Baki dan Alvin, membuakkan tema keterasingan, kefahaman, was-was dan nilai persahabatan (secara individu atau antara kaum; aku tak tahu, kenapa babak bahagian ini mengingatkan aku kepada segmen "In the End" dalam 4Bia 2). Kita pula terperangkap dalam mainan James Lee. James Lee manyatakan, hal-hal itulah yang “mengidentitikan” Malaysia, lantas, kita akur.


Walaupun begitu, kebanyakan babak filem ini tidaklah menampilkan penceritaan imej yang impresif atau suntingan yang mantap, malah suara latar filem ini HANCUR bagi aku, dengan runut bunyi Shamsul Cairel yang begitu memekakkan telinga, seperti beberapa filem seram MIG, aku tonton filem seram ini dengan menutup telinga bukan kerana takut tetapi tak tahan dengan kesan suaranya dan lagunya yang memekakkan.


Sebuah mesin seram yang Oklah untuk James Lee, macam Temple of Doom kepada Raiders of the Lost Ark lah.



15 January 2011

Khurafat(2010): Hanya Satu Percubaan Dakwah, Macam Biasa

"Apa yang terjadi tadi tu Tok Imam?" - Shamsul Yusof, soalan pertamanya setelah melihat "exorcism" Melayu paling ekstravagansa.

Ada SPOILER besar!

OK, aku setujulah dengan kemenangan Shamsul Yusof merangkul anugerah Pengarah Terbaik, sebab mungkin, anugerah yang dia dapat pada FFM tahun lepas merupakan anugerah yang diberikan terkehadapan untuk filem ini (bijak juga ahli panel FFM ni). Yeap, filem ini lebih tampak ciri-ciri yang punya "mutu", dari segi beberapa teknik dan pemahaman kandungan, malah, Shamsul bolehlah memahami sebuah filem "seram".

Dialog di atas, yang naif, berlaku selepas satu perlakuan mengeluarkan Jin dari badan seorang lelaki (A. Galak) yang membela benda-benda sebagai khadam mereka (aku peliklah orang Melayu, deme ni suka tonton filem macam ni tapi tetap simpan dan buat benda khurafat sebegini, nyatalah filem gagal untuk berdakwah sebenarnya). Babak "halau hantu" itu jelas merupakan babak exorcism yang paling berjaya aku tonton dalam filem Melayu, walaupun, ya, babak terbang-terbang tu (rujuk Mantra) tipikal The Exorcist. Tetapi kiranya, sebagai penggemar filem sebegini, babak ini merupakan babak paling efektif daripada semua Suhaimi Baba, Azhari Zain dan Ahmad Idham yang pernah aku tonton. Ia mengimbau gaya Mario Bava dan Dario Argento yang banyak bermain dengan impakan gaya, gerakan kamera dan susunan dramatik berlagu, malah aku merasakan Bava atau Argento akan membuat penggayaan yang sama jika babak ini jatuh ke tangan mereka.

Malah, ada sebuah babak sewaktu Shamsul di pokok, bersandar, membuakkan semangat Sigourney Weaver dalam Alien3. Imejnya amatlah sama!

OK, Nizam Zakaria jujur menyukai filem ini. Ajami Hashim pun SMS aku setelah habis tonton dan membuat aku pergi menonton filem ini keesokannya.

Dalam filem ini, dengan "pandai"nya, Shamsul menghubungkan ceritanya dengan babak awal "2 Alam" iaitu jenazah diangkat ke kubur. Babak yang samar-samar ini dijawab pada akhirnya apabila ditimbulkan syot Shamsul sudah mati "rupanya". Hal ini jadi "lebih menarik" apabila Shamsul sebenar-benarnya tidak mati (lagi) tetapi dalam keadaan nazak. Persoalan ini menarik: adakah 100 minit yang kita tonton itu sebenarnya imaginasi atau alam mimpi Shamsul untuk dia bertaubat dan menyedari kesalahannya? Adakah Shamsul mengharap "kasihan terakhir" Tuhan maka dengan itu, suatu "imbas kembali panjang" berlaku terhadap Shamsul ala Christmas Carol agar Shamsul menyesal?

Pegangan iman kalian terhadap filem ini jadi kuat, sepertimana Ajami dan Nizam jika kalian menyetujui gaya Shamsul ini, yang bagi aku, agak pandailah dibikin oleh Shamsul. Tetapi pegangan ini juga, aku persoalkan (dan hal inilah ia dimaafkan kerana berlandaskan semua yang berlaku itu mungkin dalam ruang imaginasi Shamsul, not!) dengan persoalan yang amat meragukan, jika Shamsul, yang sudah melakukan hal kurafat itu (ambil sumpah dengan ilmu hitam yang dituntut), kenapa dia menyatakan kepada Tok Imam secara naif terhadap "sebab-akibat" mereka yang mengambil ilmu. Bagi aku, hal krisis inilah dimenangi oleh Ahmad Idham dalam Damping Malam, apabila Amy Mastura digambarkan cuba untuk mematikan ilmu yang diambilnya, tetapi terikat dalam kerisauan apabila bomoh yang memberinya ilmu itu meninggal dunia.

Aku lebih meyakini Shamsul, jika diadakan dalam satu babak solat, yang mana berkaitan dengan babak Shamsul "dibangunkan" dengan hal kekacauan itu (ingat, Shamsul sudah dengar satu dakwah berkenaan memohon bantuan "jin" selain Allah pada awal cerita) dengan kaitan klimaks cerita (imbas kembali di babak hutan). Kalau Shamsul RAJIN SEDIKIT, Shamsul boleh masukkan sebuah babak, di mana, kita lihat, Shamsul di sejadah, baru lepas solat, dan menakup mukanya, berdoa, menangis. Penonton akan menyedari pada detik itu, bahawa Syamsul "sedih" dengan keadaan yang sedang berlaku terhadap isterinya dan dia, dikacau, maka dia solat hajat, memohon Tuhan amat-amat untuk bantuan. Hanya apabila penonton melihat KES SEBENAR tentang Shamsul, baru kita akan FAHAM bahawa Shamsul duduk di sejadah solat taubat, atas kerana MENYESAL dan memohon Tuhan supaya dirinya diampunkan kerana ambil benda kurafat. Hal ini lebih memberi kekuatan dan kesinambungan, menjawab persoalan kenapa Shamsul tidak datang ke Tok Imam (agar membuang ilmu yang dia ambil) yang mana, kita faham di sini, kerana Shamsul SEGAN nak maklum perbuatan mungkarnya kepada Tok Imam dan berfikir, hanya Tuhan yang dapat memaafkan perbuatan terkutuknya, malah babak ini juga menjadi babak "samar" yang pandai mengkaburi mata penonton (penonton ingatkan Shamsul warak dan bersimpati kerana Shamsul yang baik pun dikacau hantu). Tak mungkin Shamsul "slow" sangat untuk memahami bahawa semua yang berlaku itu tiada kaitannya dengannya, betul tak?

Jadi, sebenarnya, filem ini merupakan sebuah mesin efisyen yang cuba menakut-nakutkan penonton, itu tujuan utamanya. Kedua, hal dakwah itu, yang mana, jika kita cedok dan cedok dasarnya, kita akan menjumpai cacat-celanya, seperti di atas.

OKlah, paling penting, filem seram ini tidak bosan, dan memang, aku mengaku, buat pertama kali dalam mana-mana filem seram Melayu sepanjang dekad, filem ini sahaja yang berjaya mengimbau perasaan takut. Yeap, walaupun beberapa hantu Ju-On dan Ringu digunakan untuk menaikkan bulu roma (alah, filem seram Indonesia apatah lagi!), ada beberapa kesan takut yang genuine, yang aku kira Shamsul berjaya mengimpaknya, khusus sewaktu dalam rumah, dalam bilik mayat (tangkapan latar dan keadaannya sangat efektif dalam babak ini) dan babak klimaks di hutan. Sebuah babak efektif untuk memeranjatkan penonton ialah babak Liyana Jasmay, watak isteri solehah Shamsul masuk kereta, yang mana, hantu yang mengikutinya memeranjatkan Liyana dengan cara yang memang tidak dapat aku fikirkan. Ya, aku menjerit buat pertama kali dalam sejarah filem seram Melayu.

Satu lagi yang aku suka akan Shamsul ialah, suntingannya. Sekurang-kurangnya, Shamsul tidak "malas" dan suka kepada syot-syot yang banyak. Kefahaman suntingan ini digunakan dengan baik sekali oleh Shamsul dalam satu babak antara selingan dalam surau dan disko, di mana babak Shamsul mendengar ceramah (berkenaan haramnya menyekutu Tuhan dengan pelakuan ilmu hitam, seperti yang aku nyatakan di atas) kepada babak Sabrina Ali, bekas teman Shamsul yang kemaruk mabuk di disko. Babak ini menarik apabila Shamsul menggunakan pendekatan jukstaposisi terhadap suasana dakwah/bersih ceramah di surau dengan lagu kuat/kotor di disko. Babak ini diperkuatkan lagi dengan sedutan ayat Al-Quran yang membicarakan "suatu yang kotor (Jin/rakan jahat) akan mendampingi kita dan menyusahkan hidup kita" yang berkait dengan Sabrina Ali yang kemarukkan bekasnya, Shamsul. Hal ini menarik, kerana, suatu pengimbauan saka/pendamping berlaku, di mana, pendamping yang bersama tuannya, seakan-akan seorang bekas teman wanita kita yang jahat yang tidak mahu melepaskan kita pergi walau sampai mati. Kaitan Sabrina Ali-Shamsul Yusof-hantu pendamping ini amat menarik dan mengikut konteks dan pemahaman filem ini, bagaimana Shamsul SUSAH untuk melepaskan kedegilan dan kealpaan Sabrina terhadapnya walaupun dia sudah berkahwin, dengan SUSAHnya Shamsul untuk membuang dampingan yang terikat utuh antara Sabrina dan dia (the clinging of women, the clinging of the dark).

Segala yang mulus-mulus di atas tu, alas, dicacat celakan lagi dengan beberapa hal yang biasa wujud dalam filem produksi Skop Production. Lip synching filem ni fail, sampai hari ini, aku tak faham kenapa Skop Production tetap melakukan kesalahan yang sama. Kedua, dialog-dialohnya tipikal Yusof Haslam, menyatakan satu-satu hal dengan tersurat tanpa kias atau mainan fizikal atau psikologikal. Kalau Shamsul tak suka, Shamsul kata tak suka bulat-bulat dalam dialog, kalau Sabrina benci dan rindu, Sabrina benci dan rindu bulat-bulat. That is still, sooo lame walaupun filem ini hanyalah sebuah filem. Dosa ketiga Shamsul ialah, seperti biasa mencuri dan menyunting semula lagu-lagu filem Hollywood dan disusun, dalam filem ini, secara yang amat berkesan. Tetapi tolonglah Shamsul, telinga aku ni kuat dengar kau curi runut bunyi Hans Zimmer, khusus The Last Samurai dan Inception! You bad bad boy!

Serius, Shamsul, lepas ni, tolonglah pegi upah Filharmonik Malaysia untuk buat lagu, OK?

Hal yang seterusnya aku nak maklum, ada satu babak berkenaan masuk rumah/bilik semena-menanya. Aku boleh maafkan babak Shamsul Yusof gi terjah rumah pangsapuri Sabrina yang takde orang, kerana kita faham dari sudut, Shamsul tentu pernah berzina dengan Sabrina sebelum dia berkahwin kerana Shamsul memiliki kunci rumahnya. Tetapi untuk babak Sabrina dna rakannya untuk tiba-tiba terpacak depan rumah Shamsul, aku macam tergamam, helo, takkanlah pintu pagar tu tak berkunci? Kalau ya pun, takkanlah ruang peribadi Shamsul-Liyana dimasuk begitu senang sekali oleh Sabrina tanpa kenyataan logik?

Satu lagi apabila dalam satu babak yang tidak ada kaitan apa langsung, kita diperlihatkan Mariani naik tangga rumah sebuah rumah kampung. Hello? Untuk apa babak ni? Babak "red herring" ni (yang bagi aku lemah tapi tidak mengapa, sebab sebenarnya, Shamsul memerlukan lebih banyak mainan suspens dan mimik muka yang betul untuk menambahkan semangat whodunit yang kecelaruan tak tentu sebab titik garisan tengah filem ini sudah mula memasuki garisan noir yang memerlukan perasaan risau dan tidak menentu ini dipancarkan) sebenarnya tidak memerlukan babak pendek itu, yang sebenarnya sudah jelas apabila Shamsul mencari-cari Mariani di hospital.

Inilah beberapa perkara yang mencacatkan Khurafat.