Showing posts with label Shamsul Yusof. Show all posts
Showing posts with label Shamsul Yusof. Show all posts

03 September 2018

Munafik 2 (2018)


Kupasan ini ada spoiler.

Ada dua imej yang menarik dibawa dalam sambungan filem pecah panggung karya Syamsul Yusof kali ini.

Pertama ialah pilihan set "yang disengajakan" oleh Syamsul, mengembalikan koda ekspresionisme Argento (menurut Argento: filem adalah suatu catan yang mementingkan ekspresi-rasa-emosi pembikinnya daripada logik dan plot cerita). Jika kita teliti betul-betul, semua babak "tempat tinggal hantu", bermula babak awal filem (berakhir babak puncak Munafik asal) ini, hingga ke akhir, semuanya rumah tinggal tidak berpenghuni dengan bumbung langit dan tingkap kosong, ATAU di dalam hutan/paya (bila hantu itu timbul mengacau Syamsul di dalam perahu, aku memanggil hantu itu "hantu bibik"). Imej ini menarik kerana ruang, selain gelap dan bayang dimainkan, tiada usaha penutupan dari lantai ke bilik, hanya ruang-ruang ini berongga. Syamsul bijak dalam hal ini kerana dua perkara. Selain (1) memberi pedoman terhadap siri filem pertamanya, yakni mengapa set rumah tinggal itu dipilih (mitosnya, semua ruang ini tempat tinggal syaitan/jin/hantu, yang mana hantu bibik itu menepek bersama Syamsul/Ustaz Adam hingga ke rumahnya), (2) menguatkan teknik efek seram dalam perbandingan yang disengajakan, yakni ruang berongga (tempat "asal" hantu) lawan ruang tertutup (rumah berpenghuni, di sini, rumah Sakinah/Maya Karin dan rumah Adam):

Ada dua rumah yang berlaku pengacauan. Pertama rumah Adam dan kedua rumah Sakinah. Dari segi susun efek seram, babak seram di dalam rumah Sakinah, khususnya sewaktu ayah Sakinah "bangun" sangat efektif (babak ini efektif, tetapi runut efek bunyi yang terlalu melampau digunakan oleh Syamsul telah melemahkan mood seram filem ini, aku kurang tutup telinga untuk Munafik 2 kali ini jika dibandingkan dengan yang pertama). Lihat, dengan menarik, bukan sahaja Syamsul bermain dengan kegelapan, bayang-bayang dan ruang lohong yang gelap, Syamsul "memerangkap" wataknya sehingga watak yang diganggu itu dipaksa untuk berundur ke sudut ruang rumah itu, atau menyorok (anak Sakinah menyorok di bawah selimut). Perangkap ialah kata kuncinya.

Kemudian, sebagai pertentangan imej ruang, pada satu babak, Ustaz Adam diperangkapkan dalam sebuah keranda kayu, di dalam sebuah rumah tinggal di mana Abuja (Nasir Bilal Khan) menyimpan hantu-hantu dan mayat korbannya. Babak Adam di dalam keranda itu sangat-sangat efektif. Selain menjadi metafora besar filem ini (perangkap maut/syaitan terhadap keimanan manusia yang berjuang untuk mengenali Allah), ia juga menjadi imej yang berkesan dari segi sebab-akibat watak Adam, yang menjadi perbandingan besar terhadap Abuja. Di sini, kita lihat keranda kayu itu, yang tertutup, tertinggal di sebuah ruang rumah tinggal yang kosong, berongga lohong: terdapat perasaan serba sunyi, pathetik dan merusuh di sini, jejak jiwa psikologi seseorang yang murung, sendiri, tertutup, dan tiada sejalur rasa pun adanya Tuhan sebegai cahaya penolong. Inilah dia rumah jiwa syaitan. Imej keranda di rumah tinggal ini juga berfungsi sebagai penunjuk peranan syaitan/iblis adalah untuk memerangkap dan mereka beredar di merata-rata tanpa sekatan (dan sesiapa yang sudah terperangkap/munafik/hilang iman menjadi keranda tidak bergerak lagi, kaku). 

Sebagai perlawanan imej itu, manusia yang bertamadun dan mempunyai tatacara, mengadakan rumah; meletakkan ruang dengan penutupnya, yang tetap dapat diselinap masuk oleh entiti yang sentiasa datang menyelinap untuk meruntuhkan tamadun jiwanya. Membuang logos, rumah (yang sengaja dikelamkan) Adam ialah jiwa Adam sebenarnya, walaupun tampak "beriman", tetapi terganggu, dan sedang digoda-kacau oleh entiti yang menemuinya sedari kematian Nabila Huda daripada filem pertama. Rumah Sakinah ialah jiwa Sakinah pula, yang penuh kecamuk iman dan gelut rasa mencari dan meraba-raba hidayah, yang juga telah diperangkap oleh syaitan.

Hal ini amat menarik dalam sekuel Syamsul kali ini, tetapi diruntuhkan tiba-tiba, atas kedegilan Syamsul menggunakan satu lagi ruang set: gua.

Gua ialah kecundang filem ini.

Aku faham bahawa gua merupakan set homaj Syamsul (yang juga mungkin menyindir para orang Melayu yang duduk beruzlah di gua-gua untuk menguatkan iman) terhadap filem lama kita seperti Perjanjian Syaitan atau Ahmad Albab yang memaparkan hantu/jin tinggal di situ, tetapi ia juga menjadi set "ketiga" dalam efek seram filem ini, semacam transisi dari rumah berpenghuni ke rumah tinggal. Gua sememangnya kita tahu, bukan sahaja ruang berongga (seperti rumah tinggal) tetapi ruang tempat manusia dahulu tinggal sebelum menemui tamadun (dan berjaya membina rumah). Namun ruang itu sangat berisiko jika tidak digunakan dengan betul. Dalam satu babak, Sakinah meninggalkan rumahnya (rumahnya sudah diduduki iblis) bersama anaknya lalu tinggal di gua. Ini semacam memberi lambang kekolotan dan kedunguan Sakinah yang cuba lari dari iblis Abuja dan orang Abuja. Tapi efeknya begitu mengarut untuk melihat ada estetika makna terhadapnya. Malah, imejnya langsung runtuh kerana tidak ada lagi makna betul terhadapnya, baik dari konteks ekspresionisme atau dari konteks cerita-plot. Ini adalah kerana ia melanggar kedua-dua set yang telah disusun dengan syarat dan makna seramnya tadi: gua terbuka untuk hantu tiba/Abuja tiba, gua mudah untuk memerangkap sesiapa, gua ialah ruang tanpa pedoman.

Kehilangan pedoman ini yang disesalkan timbul dalam filem sekuel Abuya ini. Walaupun ini sebuah filem yang mementingkan ekspresionisme, namun kita tidak dapat lari daripada menjerit: Wei, kau dah tahu ada ajaran sesat, afasal kau tak telefon JAKIM? Malah pada satu babak yang sungguh membingitkan, aku terpaksa mengaku ia mencapai tahap kebiolan kelas pertama: apabila Mawi memberitahu "ramai orang kena bunuh oleh Abuja", aku terus meloncat dari kerusi pawagam aku apabila watak-watak dalam filem lepas diberikan kenyataan itu, masih lagi selamba merenung sungai tanpa rasa bersalah. Aku bayangkan, tentu kampung tempat duduk Abuja (yang orang kampungnya hanya dalam 20 orang) ini terlalu terpencil sehingga menjadi sarang komunis dulu-dulu menyorok dari polis dan tentera. Efektifnya tempat ini sampai berbulan-bulan ada mayat bertompok-tompok (missing person you olls!) pun sedara, sepupu sepapat, nenek, kawan sekolah dan jiran sebelah rumah tak pergi cari. Syamsul sayang, orang kampung Melayu tak macam orang Melayu di bandar tau. Tahukan ada peribahasa "Telur sebiji riuh sekampung"? Pergilah baca mana-mana karya Shahnon Ahmad dan Syamsul akan faham betapa terikatnya komuniti kampung sesama sendiri, sehingga cerita "kampung sebelah" pun mereka tahu apa jadi semalam. Kalau tak percaya, tanyalah Mamat Khalid. 

Tak selesai kebiolan itu, timbul lagi satu babak "Haa?" apabila setelah Ustaz Adam selesai "membuang" hantu daripada ayah Sakinah, ditinggalkannya Sakinah, anaknya, BERSENDIRIAN di rumah sorang-sorang dengan mayat ayah Sakinah dan balik naik bot! Setelah segala yang diberikan kepada kita pada babak sebelumnya?! Serius, aku baru nak puji Syamsul, lebih-lebih lagi babak ayah Sakinah mengacau itu merupakan babak "impian" yang aku ingin lihat setelah membaca novel seram saka Suangi HM Tuah Iskandar dan siri-siri Bercakap Dengan Jin Tamar Jalis dahulu. Realisasinya berjaya diungkapkan dalam imej, suatu seram Melayu yang tulen. Tapi, setelah itu, Sakinah dibiarkan sebatang kara menunggu mayat ayahnya di rumah? Mana kawan-kawan Mawi yang turut membaca Quran pada awal-awal cerita? Serius, menangis kecewalah pembikin filem seram Cathay Keris bila menonton babak ini.

Watak Sakinah ni satu hal lagi. Ramai orang yang tidak faham mengapa Sakinah ni tinggal terperuk (dekat) kampung Abuja membuat kerja sesatnya. It is fine jika Sakinah mengaku "Kita takde duit nak bawa ayah ke mana-mana, tunggulah ayah sihat nanti". Tetapi bayangkan bila babak anak Sakinah bertanya kepada ibunya, "Kenapa kita tinggal di sini mak, jauh dari orang?" (jadi ini bukan rumah ASAL mereka??) Sakinah jawab selamba, "Sabarlah, nak. Ada sesuatu yang akan tiba untuk kita." Aku mati-mati ingatkan Sakinah ini akan (1) menerima rezeki berkepok-kepok kerana menunggu, atau (2) menerima keramat Allah kerana itu kemudian dia tidak lari dari tempat itu dan masuk ke gua. Rupa-rupanya lebih muslihat daripada itu yakni, dia menunggu-nunggu untuk nikmat tongkat Abuja dan para pengikutnya! Astaghfirullah!

Filem bersalur misogini (ada dua wanita dalam filem ini ditusuk dengan kejamnya ... kejamnya kamu wahai Syamsul! Kejam, kau sungguh kejam! Oh!) ini juga menaburkan ayat-ayat al-Quran dan tengking-tengking dakwah yang kita pernah tonton dan gagal menambat hati aku seperti dalam telefilem Faisal Tehrani, drama siri dakwah Erma Fatima dan rancangan-rancangan Persembahan Evangelis di midwest Amerika. Masalah bentuk ini, selain menonyoh-nonyoh ayat-ayat itu ke dalam telinga kita berkali-kali seperti satu drama radio (cuba tutup mata dan biarkan telinga anda apabila menonton filem ini, anda akan sedar poin aku) dua jam, citra dakwah yang disampaikan oleh Syamsul dan geng menghampiri takfiri ("Kalau kau tak ikut, kau tak ada iman, kaulah fasik, munafik, kafir!" Kini sedang ada fenomena penonton tempatan yang mentakfiri pula penonton yang mengkritik filem ini, nauzubillah!) kerana saling lawan berlawan "tarbiah sentap", malah tidak ada sejalur bebenang tasawuf pun yang dapat kita lihat dalam percubaan dakwah Adam-Abuja ini (atau kekeliruan Syamsul dan orang awam akan ilmu tasawuf?), yang bagaimana halusnya dan ada caranya untuk bercakap (seorang yang belajar sufi tidak akan menjawab sepatah apa pun apabila Abuja mengherdik dengan kata-kata sesat "menunggang agama"nya itu, dia akan terus berlalu dan mendoakan agar Abuja mendapat hidayah .. dan selepas itu telefon JAKIM!) kepada kalangan yang sudah tersesat jalannya.

Seperti filem Abuya yang orang-orang kampung jirannya tidak peduli pun untuk telefon JAKIM, membiarkan tok guru yang saling bertukar pasangan perempuannya terus menjalankan dakwahnya, Munafik 2 kali ini diakhirkan dengan babak puncak yang begitu biblical sekali, langit meludah guruh kilat dan bumi bergoncang, mengulang sama penyeleraian yang pernah disusun buat oleh filem asal, dengan bajet yang lebih mahal (tolak dinding batu ke tanah, mahal tu!) tetapi hilang keberkesanan dues ex machinenya. Pelampauan ini tidak dibantu oleh lakonan para pelakon yang mencuba, termasuk Maya Karin yang benar-benar hilang arah (selepas dia merasai tongkat orgi Abuja, dia akur berfitnah: Sakinah, you harlot, you Jezebel!) dan Nasir Bilal Khan yang satu dimensi. Hal ini kerana ditandai oleh lakon layar yang lemah, yang tidak memberikan nafas kepada watak lain untuk berkembang baik dan hanya menumpukan pergolakan jiwa penuh kristal dan syahdu Adam/Syamsul yang cepat amat terasa tetapi tetap mahu menunjukkan bagaimana dia menerima hidayah walau ditohmah macam-macam.



Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas, seram, termasuk misogini dan imaginasi rogol orgi yang sangat tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 17.

DITONTON DI GSC, MyTown.

01 March 2016

Munafik(2016)


Shamsul (kini Syamsul) Yusof kembali dengan filem seram keduanya selepas Khurafat (2010). Pada awal lagi, seperti biasa, dengan kaedah yang kita sudah kenal dengan "filem-filem" Shamsul, suara seriau tersusun DTS dan mood gelap akan menyelubungi pembukaan filem ini, membuka suatu plot "kitar semula" yang diambil daripada The Exorcist dan The Sign, bukan dengan niat dan usaha buruk, tetapi kreatif dan segar, tentang seorang ustaz "rukyah" yang dalam dilema kerana kematian isteri di tengah kemalangan jalan raya. Ustaz itu, Adam (lakonan baik Shamsul sendiri) melalui suatu konflik psikologi yang juga mengganggu-gugat keimanannya. Penceritaannya di sini sedikit lembap, malah rentaknya sedikit lembap untuk terbina pada "maksud" sebenar plot filem, yakni Adam akan menghadapi Maria yang sedikit demi sedikit mula terperangkap dalam bisikan dan rasukan syaitan, lalu yang dirasuk akan berhadapan dengan seorang ustaz yang jiwanya terganggu.

Menarik untuk melihat Shamsul berani membina suatu perwatakan ustaz yang "bulat", yang juga manusia dan melalui konflik-konflik yang gelap (hal ini ada berkenaan dengan menghadapi kematian isterinya). Sisi psikologinya terbina baik dalam hal ini. Namun, dialog sepatah demi sepatah yang lurus bendul dan terus-terang, dicedok daripada gaya soap opera biasa drama Melayu, khususnya gaya dialog filem Yusof Haslam, melemahkan gerak penerusan kita untuk mengekalkan stamina minat untuk mendalami perwatakan Adam. Maria, yang dilakonkan oleh Nabila Huda juga baik, juga mengalami "depresi psikologi" yang menarik tetapi ditenggelamkan dengan dialog yang terlalu berterus-terang, seperti menonton kartun Anime pada waktu petang. Cerita, sebenarnya, betul-betul jadi menarik apabila Adam mula berhadapan dengan Maria yang dirasuk. Dalam ributan itu, terselip beberapa red herring untuk membuat penonton (termasuk satu babak mimpi yang panjang) meneka siapa yang "baik" dan siapakah yang "jahat" dalam cerita ini.

Sekurang-kurangnya, Shamsul dan Nabila tampak begitu bersungguh-sungguh, menenggelamkan kebendulan skrip dengan menyampaikan emosi yang betul dan jujur, meyakinkan kita bahawa mereka bukan sahaja dirundang oleh kekacauan rohani, tetapi kekacauan jiwa. Nabila yang sekejap manusia sekejap jembalang memang menarik dan mencuba sesuatu yang dapat kita geruni dan simpati pada masa yang sama. Nabila, sememangnya antara pelakon wanita kita yang berkaliber, yang menunggu untuk sebuah skrip yang meyakinkan jatuh ke tangannya untuk dibawanya dengan berjaya. Apabila diteliti beberapa dialog Adam/Shamsul yang jelas-jelas melepaskan kekecewaannya terhadap kematian (kegagalan) isterinya, kita dapat berbau suatu hal peribadi atau jiwa Shamsul hendak sampaikan. Jika kita teliti betul-betul, kita dapat baca rasa kesal dan dendam Shamsul terhadap apa yang berlaku dengan KL Gangster 2, "isteri"nya yang dilanggar lari (dicetak rompak). Kesengsaraan inilah yang ingin Shamsul ingin kita rasai dan harungi sebagai sepakan kepada kita yang membeli dan menonton DVD haram karyanya tanpa rasa bersalah.


Maka filem ini juga dibikin sebagai suatu terapi kendiri Shamsul untuk "menerima" qada dan qadar dan "meredai" urusan yang Tuhan sudah tetapkan untuknya, yang dirumuskan, dengan baik sekali dengan doa akhir Shamsul, sambil melihat ke atas (langit) secara syot panjang dari atas, yang secara tidak langsung, melihat kita (dalam dunai filem ini kita panggil syot takdir). Ini jiwa dan diri Shamsul yang sebenar-benarnya, berkomunikasi dengan penontonnya, terus. Dan, untuk membuatnya, secara literal, banyak air mata, darah, dan efek khas yang dihabiskan.

Apabila Shamsul nak beri, dia beri betul-betul. Menolak skrip, efek bunyi yang mengada-ngada dan runut lagu, ada beberapa keseraman yang berjaya dijelmakan, walaupun buat peminat filem seram, separuhnya lagi adalah cheap thrills, tidak lebih daripada itu. Beberapa siri gangguan rasuk-membuang Jin yang dibuat sangat kreatif, dan banyak menenggelamkan pelbagai babak jenis sama yang pernah dibikin oleh pengarah lain sebelum ini. Ada satu babak di dalam bilik mayat yang disusun-gerak dengan teliti sekali, membina saspensnya sedikit demi sedikit pada satu klimaks yang baik, suatu oeuvre pada filem ini. Sebuah lagi ialah babak tuk imam di dalam kereta yang sangat efektif. 

Suntingan filem ini baik, dan seperti biasa, Shamsul sudah tampak matang dalam menguruskan kraf seninya. Sinematografinya juga cukup, tidak terlalu beria-ia, dan tidak terlalu tampak murah dan drama televisyen. 

Berbaloikah filem ini? Agak, jika kita sudah sedikit bosan melihat watak ustaz yang saves the day in the end yang klise, yang membawa kembali watak tipikal Father Damien Karras yang kita rindui (sekurang-kurangnya ini dalam perspektif tempatan, aku dah naik muak dalam perspektif filem Hollywood yang mengguna hal sama setiap kali). Sebagai seorang penonton biasa, memang aku sudah dapat bau "pengakhiran filem" tetapi itu tidak bermakna ia tidak bagus dan tetap dapat mencuit penontonnya. Pengkahirannya juga (tentang siapa setan sebenar manusia, jeng jeng jeng!) seperti suatu homaj filem-filem setan bikinan Hammer Films, yang menarik dan berkait dengan persoalan iblis menyesatkan manusia pada akhir zaman. Deus ex machine secara literal dalam filem ini mungkin "aprropriate" untuk penonton Islam, tetapi sangat-sangat janggal buat penonton bukan Islam dan penonton yang mencari suatu kesudahan yang lebih asli.

Bermanfaat sebagai sebuah alat pengajaran buat mereka yang suka sangat bersihir dan tak sedar melakukan syirik dengan Allah.

08 October 2013

KL Gangster 2(2013): Sori Lengcai!

"Ni dah jadi drama Latin ni, boring la macam ni .." - Fadil

"Sori lengcai, lu punya ending tarak cantik, ma!" - Shark

Sebelum aku mengulas, aku ingin ucapakan simpati aku dengan Shamsul Yusof. Hal ini mungkin kelihatan enteng buat kalian, namun cuba faham hal ini, DVD cetak rompak filem prekuel KL Gangster terjual SEBELUM apa-apa tayangan (termasuk tayangan perdana), suatu kes yang amat eksklusif. Ada orang tidak endah jika filem mereka dilanunkan (cth., arwah Yasmin) namun ada yang tersinggung. Mana-mana pengkarya tentu ada maruah, aku faham itu sebab aku juga pengkarya (bayangkan kalau mansukrip novel aku yang belum terbit diciplak). Kita harus menghormati pendirian itu (kita nak jadi orang minda kelas pertama kan? Kita patut kenal adab kan?) dan kita perlu telusuri kembali maksud menghormati karya orang. Sebab itu walaupun heboh CD cetak rompak pengarah pemenang FFM ini dijual, aku tidak akan beli (aku hanya beli filem luar yang susah nak dapat dan filem Hollywood sebab mereka dah kaya pun) dan menunggu di pawagam. Aku tonton semalam. Itu penghormatan aku buat pengkarya tempatan.

Filem "prekuel" ini mengambil tindakan seperti Infernal Affairs yang memusing "ke belakang". Ah, ini menarik dan penting; mengapa Shamsul tidak mahu "teruskan" kisah pasca Malik keluar penjara (setelah membunuh Shark dalam KL Gangster) dan memusing kisah bagaimana Malik masuk ke kancah samseng kumpulan King-Shark? Maksudnya, tentu (mungkin) hidup Malik selepas itu sebagai eskapisme bertih jagung mungkin membosankan, maka eloklah kita pusing balik melihat epilog kisah Malik dan adiknya, Jai. Hal ini ada risikonya kerana kita sudah membina suatu imaginasi wayang tentang latar sejarah filem ini daripada beberapa dialog eksposisi yang disampaikan dalam filem asal. Kita menyedari tragedi Yunani yang sudah pun berlaku. OK, kita berkeyakinan bahawa tragedi pecah-belah keluarga Malik akan dipaparkan dengan berkesan dalam filem prekuel ini.

Betapa salahnya aku.

Babak awal filem mengingatkan aku pada Young & Dangerous tanpa aku ingat apa-apa imej pun daripada filem itu. Impak dan aksi lawannya tinggi, kareograf dari satu babak ke satu babak tersusun kuat dan getir, semacam suatu muzikal rock yang faham erti lagunya. Namun kali ini, Shamsul terlupa untuk menyampaikan sebuah "cerita" yang penuh. Babak awal ini sahaja, peperangan maha besar dua kumpulan besar, Tailong (Rosyam Nor) dengan King (Ridzuan Hashim) seakan-akan menyimpulkan hal itu: kali ini, dalam semangat sekuel tapi sebenarnya prekuel, Shamsul buat lagi besar, garang, lantang dan berdarah. Semuanya dipaparkan dengan jauh lebih keras, dengan banyak lagi babak pukul-memukul (kali ini berpistol bagai), kereta terbalik (kritikan sinis Shamsul terhadap samseng Bersih yang menterbalikkan kereta polis), dan kontena melayang dari langit. Untuk apa semua ini jika yang paling penting untuk Shamsul titik-beratkan ialah manusia dan persoalan kemanusiaan?

Ya, orang akan persoalkan, "Eh, jelas filem ini menitik beratkan kekeluargaan." Hal inilah yang salah kira oleh Shamsul, secara teknik mahupun kesatuan filem sebagai sebuah judul. Pertama, rujuk garis perkembangan cerita yang amat menarik bagaimana Malik diperkenalkan kembali dengan ibu, kemudian adik perempuannya dan kemudian adik lelakinya, menyedari keluarganya sudah hancur. Dalam bayangan itu, kita diberikan satu babak yang mana diperlihatkan bagaimana sang musuh datang menghentak ibu Malik. 

OK, sekarang kita tonton KL Gangster 2.  Terdapat babak-babak drama radio self explanatory yang tidak perlu, diulang-ulang antara Zati (Sheera Iskandar) dengan ibu Malik, berdakwah tentang "hidup" dan moral anak. Kemudian berlaku, bukannya satu, tetapi dua babak rumah ibu Malik dipecah masuk. OK! Rujuk balik filem asal, bam, benda ni pernah kita tonton! Bam! Dua-dua filem dicantumkan, kau nampak tak kejanggalannya? Kalau Malik dah SEDAR mak dialah orang cari kalau dia atau adik dia buat hal, afasal dia TAK JAGA rumahnya ala dunia mafia? Kita maafkan pada filem asal kerana kita sedar logik dan ketidakkuasa Malik menyedari kejahatan adiknya dengan Shark. Namun rupanya hal ini pernah terjadi. Jadi kita tertanya, bodohkah Malik ni (adakah Shamsul ingin menerangkan samseng Malaysia memang bodoh?) atau memang ini kitaran iblis rakyat mental kelas ketiga? Lagi-lagi apabila Malik sudah naik pangkat jadi "abang besar", bro, lu tak mau mak lu selamat ka? OK, fine orang akan kata, "nanti mak dia tahu." Helo, kau tahu kan ada maksud "pengintip" dalam dunia samseng sekurang-kurangnya?

Hal ini bukan sahaja menghancurkan imaginasi logik yang kita sudah bina dalam buana filem asal tetapi turut menghancurkan imaginasi realiti yang kita kaitkan dengan filem ini.

Hal ini ditambah lagi dengan peleraian yang bagi aku sungguh lemah, berkait dengan dialog yang diutarakan sendiri oleh Shamsul. Begini. Kau bayangkan betapa hancurnya dunia keluarga Malik (angkaranya, kononnya) dalam filem asal, dan pandangan klimaks filem prekuel ini tidak membayangkan hal itu. Resolusi disampaikan atas nama resolusi moral. Semua keluarga bersama-sama bersimpati terhadap sang ibu yang tenat. Oh! Shamsul sepatutnya dengan lebih berani memporak-perandakan keluarga Malik sehancur-hancurnya, Zati dalam satu sudut, Jai dalam satu sudut dan ibunya terkapai di hospital. Dan pada masa itu sahaja, Malik sanggup mengambil segala-gala dosa adiknya dan menembus dosanya terhadap adik perempuannya, ini baru membayangkan kekuatan "hukuman" yang sanggup diambil oleh Malik daripada tangan polis.

Polis lagi satu hal. Kau tahu tak masalah terbesar filem samseng kita tak nampak real adalah kerana dengan jelas, polis hanya sebagai ruang penghukum yang datang pada masa yang salah, yang jelas kononnya mereka tidak terlibat dalam dunia gelap ini. Hal itu susah untuk kita percaya kerana samseng bermaharajalela di mana-mana. Aku maafkan dalam beberapa filem termasuk filem asal ini kerana tampak polis seakan-akan tidak sempat atau ada terbayang "kena beli", namun dalam filem yang ini, entahlah.

Lakonan. Ini yang paling crucial. Rosyam Nor. Ya Tuhan. Dia hebat dalam beberapa babak, menyampaikan perangai dan kepandaiannya, namun aku tidak dapat tahan dia asyik-asyik menjilat pedang, bibir, keringat dan darah mangsa lelakinya(!) Biseksual habis! Aku faham watak antogonis ini dibayangkan sebagai setan sesetan setannya, tapi aku rasa bai, setan pun lagi lembut muslihatnya, dan bila dia nak bagi, dia bagi betul-betul.

Kemudian Zizan. Mengapa Shamsul sengaja memberikan terlalu banyak exposure terhadap watak Zizan yang jelas-jelas merupakan pelawak istana tempelan yang tidak membawa apa-apa maksud kecuali sebuah karpet merah untuk Zizan menampilkan hadiah kepada semua peminat yang mengundinya untuk Anugerah Bintang Popular?

Sofii Jikan hilang sengatnya dengan percubaannya berseloka ala samseng Cina. Aku kasihankannya kerana Shamsul secara awal perlu faham kuantiti berapa dialog dan aksi, dan bukan mainan berpantun sebelum bersilat yang menyalak hampir setiap babak tanpa henti.

Semua ini agak mendukakan harapan suatu filem tempatan yang amat ditunggu-tunggu pada tahun ini. Nasib baik terdapat beberapa babak kuat, seperti sikap Malik menunjukkan kuasa jantannya dengan menjatuhkan sebuah kereta dari tempat letak kereta bertingkat seorang taiko serta satu babak penanda jelas sikap anti-hero Jai (Ady Putra) di belakang tanda jalan "Hang Jebat", menyampaikan maksud Qabil kepada Habil Malik yang berkait.

Namun filem ini tersasar walaupun lebih banyak letupan, lebih banyak darah, dan lebih banyak tembakan. Hal ini suatu yang sedikit memberi sesalan pada aspirasi dan bakat Shamsul yang berkobar-kobar.

Klasifikasi KL Gangster 2: 13(?) Klasifikasi yang salah kerana filemnya lebih sesuai bagi usia 17 ke atas kerana terdapat adegan ganas, darah, carut, dadah, dan kejadian seks yang amat tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI Cineleisure@Curve.

09 June 2011

KL Gangster(2011)

KL Gangster(2011): Formula Pop-Malaysia Anak Gerak Khas Cukup Berjaya Kali Ini.

"Aku tak takut mati. Tapi aku tak nak mati."
Ady Putra

Tika ini, kiranya, kita sudah kenal dengan cara dan gaya pembikin anak Yusof Haslam ini. Runut bunyi cedokan, dialog penerangan lewah, suntingan laju, kesan khas bunyi melampau. Itu semua kita sudah tahu. Tetapi apa berlaku bila gaya dan cara ini diberikan sebuah cerita yang lazat?

Filem ini sebuah kejutan. Aku menggambarkan, atas sebab filem inilah, kemungkinan diketahui oleh kalangan pembikin filem dan wartawan, Shamsul diberikan anugerah Pengarah Terbaik FFM tahun lepas. Malah, tika ini yang sudah biasa dengan gaya Skop Production mencilok lagu orang, aku terpaksa mengaku, cilokan lagu dalam filem ini dengan tata ala Hindustaninya (setiap babak tanpa henti, mesti ada alunan lagu!) memilih lagu-lagu yang betul, khusus pembukaan filem ini supaya penonton mendapat "feel" untuk masuk ke dunia baharu Shamsul ini.

Gaya filem ini masih "Shamsul", masih ada "feel" sebuah filem perdana yang khusus dibuat untuk komersial, dijual untuk penonton "berhibur" (aku mencadangkan budak kecik untuk tidak tonton filem ni), tidak ada estetika gaya yang "suave" atau merasai sebuah "wayang" benar - ia laju, padat, sampai ke poin, tetapi Shamsul memberi beberapa kejutan, yang aku sendiri "terhibur", aku sendiri menepuk tangan setuju.

Jika dicungkil filem ini dengan kritis, ada dua kesan kelemahan yang tampak. Pertama, kenapa setiap kali watak Shark (lakonan gila jahat Shamsul) ingin bantai Malek (Aaron Aziz), tiba-tiba je van King (Ridzuan Hashim) sampai sebagai menyelamat Malek. Elok jika Shamsul dan Rizal Ashraf memberi satu subplot berkenaan "informer" yang bersama Shark, yang mana sebelum"showdown" Shark dan King, Shark sudah membunuh "informer" tersebut. Kedua, adalah "feel" terakhir filem ini, yang aku kira, perasaan yang dibuatkan agak kaget setelah segala "blood bath" yang berjaya dibuat Shamsul. Ini Shamsul lakukan dalam bentuk monolog, memberi "moral justice" terhadap pelaku-pelaku dalam filem ini. Aku sebenarnya tidak menyalahkan Shamsul dalam hal ini. Aku dapat rasa, ada suatu rasa "berontak" dalam diri Shamsul untuk melepaskan sikap "maverick"nya, untuk melanggar segala undang-undang yang diikat kemas oleh ayahnya. Tetapi tampak sangat, tangan-tangan ghaib ayahnya mempengaruhinya untuk "menyuntik pengajaran" atau "moral" agar reputasi Gerak-Gerak Khas ayahnya terjamin, yang aku tahu suatu hal sinonim buat pembikin filem tua, yang memang jenis ikut habis LPF dan Kerajaan.

Oleh sebab itu, tidak ada kelihatan "masuk campur" polis di dalam filem ini. Polis hanya imej pondan "pihak berkuasa" yang selalunya lewat sampai ke tempat jenayah, sepertimana yang berlaku dalam mana-mana filem raksasa atau slasher. Aku juga tak salahkan Shamsul menghancurkan semangat aku pada detik kredit akhir filem ini. Sekurang-kurangnya, 60 minit awal, Shamsul telah memberi aku lebih dari itu untuk aku "hibur"kan diri.

Ya, ini merupakan filem terbaik Shamsul Yusof setakat ini. Inilah satu-satunya filem Shamsul yang aku temui sebuah roh. Dan aku amat menyukainya.

Dalam nukilan Shamsul dan Rizal, dunia gangsterisme Malaysia, lain daripada yang kita kenal di dunia Hollywood. Jika dalam dunia mafia, kod merupakan suatu "bahasa sunyi" gangster yang paling dihormati. Dalam tangan pengarah ini, gangster Malaysia dilukis, dipegang oleh mereka yang tidak ada "kod", makan-memakan dan tikam-menikam berlaku di siang hari di depan sesiapa pun (golongan marhaen tidak dapat berbuat apa-apa). Gangster bermaharajalela, malah merupakan "pentadbir senyap" kota Kuala Lumpur. Anak boleh saja makan bapak, dan kawan boleh makan kawan dalam sesaat. Undang belantara berleluasa. Tidak ada startegi. Tidak ada ketakutan. Keberanian melebihi kepandaian.

Dalam segala kekalutan ini, muncul Malek, lakonan Aaron Aziz yang sudah bertaubat jadi gangster, ingin kembali menjadi insan, tetapi kerana darah sejarah, dia dipaksa untuk kembali ke padang mainan yang dia tinggalkan dulu. Di sinilah, the plot thickens.

Filem ini boleh saja menjadi sebuah filem yang satu hala, boleh saja diselesaikan dengan paparan polis di akhir cerita, seperti mana Anak Halal, untuk menyelesaikan "kemelut" dan "dendam berahi". Tetapi tidak. Pertama, kita diperlihatkan dengan budaya ganas, bahasa "gangster" dan mainan politik yang mereka mainkan. Segalanya "brawn over brain", segalanya "rasa tak puas hati". Panas itu merebak dan tak pernah ada akhir. Kita diperkenalkan dengan dunia taiko/ayahanda/abang long yang digeruni, kemudian "anjing" atau "barua" yang menjadi "anak buah" taiko tersebut. Bentuk nama sahaja kita tampak betapa "kurang adab" dan "celaka"nya dunia samseng ini, yang kita tahu "apa-apa akan berlaku" jika si ketua tidak mengikat diri mereka dengan "kehebatan".. Oleh sebab itu, Dragon (Adam Corrie) selalu menengking (konon menunjukkan autoritinya), yang kita tahu sebenarnya dia merupakan "ketua samseng" yang lemah, tetapi dibelakangi "abang" yang kuat (Jai dan Ajib). Abang ini pula, atau kiranya semacam "hulubalang" atau "pendekar" pula tidak ada semangat "loyalty", malah kadang-kadang lebih "menggerunkan" daripada si "ketua", malah boleh saja dibeli oleh ketua lain. Begitu bahaya dan tidak stabilnya dunia samseng KL!

Kemudian, kita dikenalkan pula dengan samseng yang jenis nak "pau semua". Ini samseng taraf "syaitan". Watak Shamsul sebagai Shark mewakili ini. Shamsul boleh saja memaksi filem ini kepada watak ini, dan memperlihatkan kezaliman watak ini berjaya (ya, watak-watak ini sungguh hidup dan berkesan), tetapi tak, Shamsul, dengan mengejutkan aku, memaparkan satu lagi unsur dalam dunia samseng ini, iaitu "brotherhood".. Persaudaraan ini dikatakan "lebih pekat dari darah saudara sendiri", diwakili oleh "abang-abang generasi lama", King, Malek, Ajib. Inilah pemahaman "brotherhood" yang kita jumpai dalam samseng Hong Kong, dalam filem-filem samseng Amerika, yang Shamsul sengaja paparkan, generasi mudanya sudah "lupa" (Shark dan Jai). Serius, semacam ada satu kritikan dunia politik yang sengaja Shamsul lakarkan seakan sama seperti perjuangan politik Melayu dan perbezaannya dengan dahulu dan sekarang. Aku agak kagum dengan Shamsul kerana ini.

Persaudaraan ini juga berkait pula dengan watak Malek dengan keluarga kandungnya. Ini mendalamkan lagi pemahaman dunia samseng filem ini, walaupun dalam beberapa ketika, bahagian ini menjadi alasan "superego" watak-watak "id" filem ini untuk mengimbang "ego" mereka. Sehinggalah, ada samseng yang mengacau keluarga Malek...

Filem ini kuat dengan bahasa samsengnya, dengan kod mereka dan cara mereka bekerja. Aku boleh bayangkan bahayanya dan mengapa hal ini berlaku dalam dunia golongan rendah di kota. Shamsul juga mengejutkan dengan menampilkan satu dua babak melodramatik, khusus babak Jai menyelimutkan dua budak tidur di tepi jalan. Ini humanis yang mengganggu dalam tengah-tengah keganasan yang mereka lakukan.

Aksi filem ini juga agak baik, malah dikareograf dengan baik. Inilah antara filem aksi yang aku "setuju" sebagai sebuah filem aksi, cukup faham dengan alam, latar dan pelakunya. Kali ini Shamsul memahami melodi "memukul" dan ini menarik, walaupun mungkin memerlukan kuasa penggambaran dan susun bunyi yang lebih baik. Babak berkejar dengan kaki, dengan Shark menjerit "Chow! Chow!" itupun cukup bergaya. Ini suatu permulaan yang baik.

Tetapi kuasa sebenar filem ini terletak kepada empat watak "peneraju" filem ini, yang benar-benar mengangkat filem ini. Pertamanya Zizan sebagai Fadil (nama aku!), kawan kamceng Malek. Zizan faham mengimbangi komedi dan faham "bahaya" yang dia tenterami di dalam filem ini. Memang, kita tahu, wujudnya wataknya hanya sebagai comedy relief dan sidekick bodoh Malek. Tapi ia menghiburkan.

Kemudian kita ada Soffi Jikan yang memahami kuasa persaudaraan tetapi juga licik dan faham strategi untuk hidup sebagai gangster. Pelakon "method actor" ini benar-benar berjaya membawa watak seorang yang kurus-kering tapi amat digeruni. Segalanya kerana "kepandaian" watak Sofii, yang tangkas bila memukul tetapi juga meletakkan ego yang tinggi, contoh bila berdepan dengan Shark. Babak-babaknya merupakan babak-babak klasik sejarah samseng KL.

Seorang lagi "method actor", Ady Putra sebagai Jai - menakutkan. Dia semacam hidup, hirup dan makan seperti samseng seadanya, watak yang paling kompleks dan paling gelap dalam filem ini. Hanya aku mahukan "lebih" dalm aksi pertarungan "Habil lawan Qabil" bersama abangnya. Tetapi ini sudah cukup mengujakan setakat ini.

Akhirnya, Aaron Aziz. Ya Tuhan... Kini, barulah aku bertemu dengan seorang pelakon aksi Malaysia! Beliau bukan sahaja boleh beraksi dengan baik, tetapi boleh berlakon. Wataknya yang paling mengujakan aku. Seorang watak yang "cool", memukul bila kena pada tempat, dan bila dia memukul, bang! Wataknya amat berdimensi, kuat, keras tetapi juga lembut dan penyayang, merasai "sakit" kerana perbuatannya, melihat keluarga kandungnya "porak peranda". Anda lihatlah, dalam babak-babak melodrama pun, Aaron tidak menangis, menunjukkan watak kejantanannya. Dia seperti seekor naga yang tidur. Dan ini disampaikan, dengan pelbagai emosi yang cukup berkesan dan tidak pernah berlebih-lebihan. "Kawalan" aktor ini dalam drama, aksi dan melodrama, mengujakan!

Empat aktor ini berjaya melunaskan semangat filem ini. Bandingkan sahaja babak lemah Zeti adik Malek dengan kawannya dengan babak-babak empat aktor ini. Malah, bila Sheera yang lemah lakonannya bertemu mata dengan mata dengan Aaron pada babak di rumah mereka, barulah "spark" Sheera muncul. Inilah yang kita mahu lihat berlaku lagi dalam filem-filem kita yang seterusnya.

Walaupun filem ini masih "Haslamik", masih mencampur aduk lawak-aksi-drama-melodrama dengan lagu mengikut genre, masih ada lubang plot, masih ada babak kekok, filem ini merupakan antara filem komersial Malaysia yang baik tahun ini, khusus dalam cuba menyelami dunia gelap samseng yang menjalar di belakang rumah kita tanpa kita ketahui, walaupun di Pasar Selayang sekali pun.

ps: Lihat, kalau aku ingat nama watak filem tu, itu maknanya aku "peduli" dengan watak tu, maknanya watak tu hidup.


15 January 2011

Khurafat(2010): Hanya Satu Percubaan Dakwah, Macam Biasa

"Apa yang terjadi tadi tu Tok Imam?" - Shamsul Yusof, soalan pertamanya setelah melihat "exorcism" Melayu paling ekstravagansa.

Ada SPOILER besar!

OK, aku setujulah dengan kemenangan Shamsul Yusof merangkul anugerah Pengarah Terbaik, sebab mungkin, anugerah yang dia dapat pada FFM tahun lepas merupakan anugerah yang diberikan terkehadapan untuk filem ini (bijak juga ahli panel FFM ni). Yeap, filem ini lebih tampak ciri-ciri yang punya "mutu", dari segi beberapa teknik dan pemahaman kandungan, malah, Shamsul bolehlah memahami sebuah filem "seram".

Dialog di atas, yang naif, berlaku selepas satu perlakuan mengeluarkan Jin dari badan seorang lelaki (A. Galak) yang membela benda-benda sebagai khadam mereka (aku peliklah orang Melayu, deme ni suka tonton filem macam ni tapi tetap simpan dan buat benda khurafat sebegini, nyatalah filem gagal untuk berdakwah sebenarnya). Babak "halau hantu" itu jelas merupakan babak exorcism yang paling berjaya aku tonton dalam filem Melayu, walaupun, ya, babak terbang-terbang tu (rujuk Mantra) tipikal The Exorcist. Tetapi kiranya, sebagai penggemar filem sebegini, babak ini merupakan babak paling efektif daripada semua Suhaimi Baba, Azhari Zain dan Ahmad Idham yang pernah aku tonton. Ia mengimbau gaya Mario Bava dan Dario Argento yang banyak bermain dengan impakan gaya, gerakan kamera dan susunan dramatik berlagu, malah aku merasakan Bava atau Argento akan membuat penggayaan yang sama jika babak ini jatuh ke tangan mereka.

Malah, ada sebuah babak sewaktu Shamsul di pokok, bersandar, membuakkan semangat Sigourney Weaver dalam Alien3. Imejnya amatlah sama!

OK, Nizam Zakaria jujur menyukai filem ini. Ajami Hashim pun SMS aku setelah habis tonton dan membuat aku pergi menonton filem ini keesokannya.

Dalam filem ini, dengan "pandai"nya, Shamsul menghubungkan ceritanya dengan babak awal "2 Alam" iaitu jenazah diangkat ke kubur. Babak yang samar-samar ini dijawab pada akhirnya apabila ditimbulkan syot Shamsul sudah mati "rupanya". Hal ini jadi "lebih menarik" apabila Shamsul sebenar-benarnya tidak mati (lagi) tetapi dalam keadaan nazak. Persoalan ini menarik: adakah 100 minit yang kita tonton itu sebenarnya imaginasi atau alam mimpi Shamsul untuk dia bertaubat dan menyedari kesalahannya? Adakah Shamsul mengharap "kasihan terakhir" Tuhan maka dengan itu, suatu "imbas kembali panjang" berlaku terhadap Shamsul ala Christmas Carol agar Shamsul menyesal?

Pegangan iman kalian terhadap filem ini jadi kuat, sepertimana Ajami dan Nizam jika kalian menyetujui gaya Shamsul ini, yang bagi aku, agak pandailah dibikin oleh Shamsul. Tetapi pegangan ini juga, aku persoalkan (dan hal inilah ia dimaafkan kerana berlandaskan semua yang berlaku itu mungkin dalam ruang imaginasi Shamsul, not!) dengan persoalan yang amat meragukan, jika Shamsul, yang sudah melakukan hal kurafat itu (ambil sumpah dengan ilmu hitam yang dituntut), kenapa dia menyatakan kepada Tok Imam secara naif terhadap "sebab-akibat" mereka yang mengambil ilmu. Bagi aku, hal krisis inilah dimenangi oleh Ahmad Idham dalam Damping Malam, apabila Amy Mastura digambarkan cuba untuk mematikan ilmu yang diambilnya, tetapi terikat dalam kerisauan apabila bomoh yang memberinya ilmu itu meninggal dunia.

Aku lebih meyakini Shamsul, jika diadakan dalam satu babak solat, yang mana berkaitan dengan babak Shamsul "dibangunkan" dengan hal kekacauan itu (ingat, Shamsul sudah dengar satu dakwah berkenaan memohon bantuan "jin" selain Allah pada awal cerita) dengan kaitan klimaks cerita (imbas kembali di babak hutan). Kalau Shamsul RAJIN SEDIKIT, Shamsul boleh masukkan sebuah babak, di mana, kita lihat, Shamsul di sejadah, baru lepas solat, dan menakup mukanya, berdoa, menangis. Penonton akan menyedari pada detik itu, bahawa Syamsul "sedih" dengan keadaan yang sedang berlaku terhadap isterinya dan dia, dikacau, maka dia solat hajat, memohon Tuhan amat-amat untuk bantuan. Hanya apabila penonton melihat KES SEBENAR tentang Shamsul, baru kita akan FAHAM bahawa Shamsul duduk di sejadah solat taubat, atas kerana MENYESAL dan memohon Tuhan supaya dirinya diampunkan kerana ambil benda kurafat. Hal ini lebih memberi kekuatan dan kesinambungan, menjawab persoalan kenapa Shamsul tidak datang ke Tok Imam (agar membuang ilmu yang dia ambil) yang mana, kita faham di sini, kerana Shamsul SEGAN nak maklum perbuatan mungkarnya kepada Tok Imam dan berfikir, hanya Tuhan yang dapat memaafkan perbuatan terkutuknya, malah babak ini juga menjadi babak "samar" yang pandai mengkaburi mata penonton (penonton ingatkan Shamsul warak dan bersimpati kerana Shamsul yang baik pun dikacau hantu). Tak mungkin Shamsul "slow" sangat untuk memahami bahawa semua yang berlaku itu tiada kaitannya dengannya, betul tak?

Jadi, sebenarnya, filem ini merupakan sebuah mesin efisyen yang cuba menakut-nakutkan penonton, itu tujuan utamanya. Kedua, hal dakwah itu, yang mana, jika kita cedok dan cedok dasarnya, kita akan menjumpai cacat-celanya, seperti di atas.

OKlah, paling penting, filem seram ini tidak bosan, dan memang, aku mengaku, buat pertama kali dalam mana-mana filem seram Melayu sepanjang dekad, filem ini sahaja yang berjaya mengimbau perasaan takut. Yeap, walaupun beberapa hantu Ju-On dan Ringu digunakan untuk menaikkan bulu roma (alah, filem seram Indonesia apatah lagi!), ada beberapa kesan takut yang genuine, yang aku kira Shamsul berjaya mengimpaknya, khusus sewaktu dalam rumah, dalam bilik mayat (tangkapan latar dan keadaannya sangat efektif dalam babak ini) dan babak klimaks di hutan. Sebuah babak efektif untuk memeranjatkan penonton ialah babak Liyana Jasmay, watak isteri solehah Shamsul masuk kereta, yang mana, hantu yang mengikutinya memeranjatkan Liyana dengan cara yang memang tidak dapat aku fikirkan. Ya, aku menjerit buat pertama kali dalam sejarah filem seram Melayu.

Satu lagi yang aku suka akan Shamsul ialah, suntingannya. Sekurang-kurangnya, Shamsul tidak "malas" dan suka kepada syot-syot yang banyak. Kefahaman suntingan ini digunakan dengan baik sekali oleh Shamsul dalam satu babak antara selingan dalam surau dan disko, di mana babak Shamsul mendengar ceramah (berkenaan haramnya menyekutu Tuhan dengan pelakuan ilmu hitam, seperti yang aku nyatakan di atas) kepada babak Sabrina Ali, bekas teman Shamsul yang kemaruk mabuk di disko. Babak ini menarik apabila Shamsul menggunakan pendekatan jukstaposisi terhadap suasana dakwah/bersih ceramah di surau dengan lagu kuat/kotor di disko. Babak ini diperkuatkan lagi dengan sedutan ayat Al-Quran yang membicarakan "suatu yang kotor (Jin/rakan jahat) akan mendampingi kita dan menyusahkan hidup kita" yang berkait dengan Sabrina Ali yang kemarukkan bekasnya, Shamsul. Hal ini menarik, kerana, suatu pengimbauan saka/pendamping berlaku, di mana, pendamping yang bersama tuannya, seakan-akan seorang bekas teman wanita kita yang jahat yang tidak mahu melepaskan kita pergi walau sampai mati. Kaitan Sabrina Ali-Shamsul Yusof-hantu pendamping ini amat menarik dan mengikut konteks dan pemahaman filem ini, bagaimana Shamsul SUSAH untuk melepaskan kedegilan dan kealpaan Sabrina terhadapnya walaupun dia sudah berkahwin, dengan SUSAHnya Shamsul untuk membuang dampingan yang terikat utuh antara Sabrina dan dia (the clinging of women, the clinging of the dark).

Segala yang mulus-mulus di atas tu, alas, dicacat celakan lagi dengan beberapa hal yang biasa wujud dalam filem produksi Skop Production. Lip synching filem ni fail, sampai hari ini, aku tak faham kenapa Skop Production tetap melakukan kesalahan yang sama. Kedua, dialog-dialohnya tipikal Yusof Haslam, menyatakan satu-satu hal dengan tersurat tanpa kias atau mainan fizikal atau psikologikal. Kalau Shamsul tak suka, Shamsul kata tak suka bulat-bulat dalam dialog, kalau Sabrina benci dan rindu, Sabrina benci dan rindu bulat-bulat. That is still, sooo lame walaupun filem ini hanyalah sebuah filem. Dosa ketiga Shamsul ialah, seperti biasa mencuri dan menyunting semula lagu-lagu filem Hollywood dan disusun, dalam filem ini, secara yang amat berkesan. Tetapi tolonglah Shamsul, telinga aku ni kuat dengar kau curi runut bunyi Hans Zimmer, khusus The Last Samurai dan Inception! You bad bad boy!

Serius, Shamsul, lepas ni, tolonglah pegi upah Filharmonik Malaysia untuk buat lagu, OK?

Hal yang seterusnya aku nak maklum, ada satu babak berkenaan masuk rumah/bilik semena-menanya. Aku boleh maafkan babak Shamsul Yusof gi terjah rumah pangsapuri Sabrina yang takde orang, kerana kita faham dari sudut, Shamsul tentu pernah berzina dengan Sabrina sebelum dia berkahwin kerana Shamsul memiliki kunci rumahnya. Tetapi untuk babak Sabrina dna rakannya untuk tiba-tiba terpacak depan rumah Shamsul, aku macam tergamam, helo, takkanlah pintu pagar tu tak berkunci? Kalau ya pun, takkanlah ruang peribadi Shamsul-Liyana dimasuk begitu senang sekali oleh Sabrina tanpa kenyataan logik?

Satu lagi apabila dalam satu babak yang tidak ada kaitan apa langsung, kita diperlihatkan Mariani naik tangga rumah sebuah rumah kampung. Hello? Untuk apa babak ni? Babak "red herring" ni (yang bagi aku lemah tapi tidak mengapa, sebab sebenarnya, Shamsul memerlukan lebih banyak mainan suspens dan mimik muka yang betul untuk menambahkan semangat whodunit yang kecelaruan tak tentu sebab titik garisan tengah filem ini sudah mula memasuki garisan noir yang memerlukan perasaan risau dan tidak menentu ini dipancarkan) sebenarnya tidak memerlukan babak pendek itu, yang sebenarnya sudah jelas apabila Shamsul mencari-cari Mariani di hospital.

Inilah beberapa perkara yang mencacatkan Khurafat.



13 April 2010

Evolusi KL Drift 2(2010) & Trilogi Filem Cinta Sanif Olek

Evolusi KL Drift 2: Tuhan, tolongilah Aku, Tuhan!



"Evolusi - evolusi - evolusi!"

Begitulah tempo dan laungan mamat rap yang terngiang-ngiang dalam kepala aku, sebaik habis menonton filem ini, sebaik dalam monorel balik ke rumah, dan sebaik aku menaip untuk membuka cerita apa ke halnya filem ni. Ya, itulah saja yang aku boleh ingat, yang aku rasa buat aku terngiang-ngiang tentang filem ni. Bagaimana pula dengan imejnya?

"Evolusi!"

Taik kucing engkau evolusi. Wahab Hamzah lebih baik daripada aku apabila menyatakan, filem ini mempunyai syot-syot dengan sudut yang cantik, pantas dan teknik yang ligat. Taik kucing. Serius, sepenuhnya filem ini, kepala dan badan aku melepek dekat batang kerusi, menunggu bila ia nak habis, dan dengan penuh getir, melihat bagaimana penonton meriuh dan seronok dan ketawa, dan "Uhhhhhhhh!" "Awwwww!" bila Scha (yang memang seorang babe) menyatakan "Aku memang sayang kat kau, Zack" dan si Zack, "Aku pun sebenarnya sayang kat kau..." Eeeeeeghhhhhhhhh.. (begitulah bunyi suara-suara penonton yang kita sayang, penyokong filem kita yang sebenar)

Ceritanya senang, kalau kau tak tonton filem yang pertama, kau takkan terlepas apa-apa kerana pelakonnya sebulat-sebulat nyatakan siapa mereka, apa mereka buat dan kenapa mereka buat apa yang mereka buat ("Aku mesti balas dendam, Joe!" jerkah si Saheizy Sam kepada Aaron Aziz). Ceritanya, Farid Kamil patah kaki (simbol: mandul, siap ada dialog "Aku sedar aku ni siapa"), kawan baik dia hero filem ni, Shamsul Yusof. Scha pulak tomboy galak tapi menunjukkan "Aku risau, Zack" terhadap Zack. Aaron Aziz dan Saheizy Sam ialah, TUHAN (ok, aku cuba tak nak mencarut), watak meta-bukan Melayu yang mungkin dari Funan, campur Siam, anak haram duduk dalam keluarga Cina yang penuh cacah di lengan dan badan (seksi lah tu), pandai berslanga Cina-Malaysia dan bertutur Kantonis(?! Patutnya Hokkein kan? Lantaklah) yang tahu, di mana saja rancangan dan keberadaan polis (Remy Ishak sebagai Inspektor Kamal, polis yang satu dimensi dan dungu) dan si hero Shamsul Yusof. Malah, mereka "stalker" kepada Zack kerana satu rahsia (jeng jeng jeng). Separuh jiwa aku, aku dapat rasakan bahawa sesiapa yang menulis skrip filem ini mesti "closet case" sebab jelas, Saheizy Sam dan Aaron asyik cuba-cuba kacau Shamsul (termasuk Inspektor Kamal), malah Farid dan Shamsul pula macam kekasih sebab kalau ada je pertalian luar yang cuba kacau "persahabatan" mereka, antara satu tu akan dengki, atau kalau dah berjauhan, satu tu akan rindu, malah dalam satu babak, dengan semangat, "Eh, kau jangan kacau kawan aku tu, dia bukan kau punya hal!" OKEH! Malah, aku kadang-kadang tak boleh tahan dengan cara Aaron atau Saheizy pegi "stalk" Shamsul:

"Eh, apa kau nak lagi ah?"
"Eh, aku nak engkau ah!"

Atau dialog yang sebegitulah. Lagi satu trivia: Zack suka kat Scha yang sedikit tomboy. There.

Satu perkara yang aku ingin nyatakan kenapa filem ni tak berevolusi ialah, dengan tipikal, semua filem SKOP atau Yusof Haslam, dan kini anaknya akan melakarkan watak jahat yang "Melayu bukan, bukan Melayu pun bukan". Ingat Castello dalam Gerak-Gerak-Khas? Kenapa ah? Takut orang Cina mengamuk ke bila mereka distereotaipkan sebagai jahat? Tak usah takutlah kawan, lu buat apa pun, kita sudah mali dalam manyak gambar ah, lu tengok je Setem, lu tengok itu Raindogs, Gadoh, Kinta, itu Sepet, semua ada lah!

Jadi apa yang kau boleh dapat daripada menonton filem ni? Entahlah, malah banyak aksi dalam filem ni yang hambar, takde erti, takde penghayatan. Contoh macam babak awal, babak perlumbaan, langsung takde syot yang mengujakan kita untuk mengikuti "watak" dalam debar lumba, mana wajahnya, mana kelok aksi kiri dan ke kanan kereta, mana kareografi "drama" pada aksi. Tiada antisipasi. Yang kita tahu, akhirnya, "tiba-tiba" Zack "menang".

Hanya babak terakhir begitu baik (walaupun buat aku tak begitu baik) dibikin, yang aku maksudkan babak aksi. Bandingkan babak itu dengan kereta kejar mengejar di pelabuhan, entah apa-apa. Malah nampak sangat pengarahnya "berjaga-jaga" (kalau rosak kereta, ko jaga!)

Dialognya. Tuhan, tak berevolusi. Masih gaya Yusof Haslam. Dan pemberian "laluan senang" paling aku tak faham. Lihat saja Inspektor Kamal yang tiba-tiba terpaksa menukar wajah muka dan kata, "Ek, kau kena tolong Aleeya, kalau tak, Zack dalam bahaya kau tau tak?" (or something like that). Shamsul tidak memberi masa pun untuk kita benar-benar kenal beberapa sisi satu-satu watak, hanya MOTIVASI mereka (baca: Saya ada matlamat, itu saja yang penting). Paling aku nak gelak, tetiba je Inspektor Kamal ditahan geng Aaron dan Saheizy sewaktu dia nak keluar, tetiba je Shamsul Yusof dikejar oleh Saheizy Sam. Banyak sangat "tiba-tiba"nya. Soalan: takkanlah Inspektor Kamal begitu bongok untuk memberitahu laluan hariannya kepada penjahat, jadi kalau tak, tentu ada "orang dalam" polis yang beritahu, dan kenapa kelurusan Inspektor Kamal yang sibuk "stalk" Shamsul untuk info tak cuba cari siapa dalang dalam polis tu? Ha, kan ke cerita ni jadi menarik sikit?

Begitulah hal ini diulang dan diulang, memberi "kesenangan plot" kepada pengarahnya. Babak yang aku tak leh lupa, babak Shamsul yang dah hot sebab Farid (betul-betul filem Tamil) asyik sindir dia dengan Scha (ni yang aku kata homoerotik ni) tiba-tiba meletup, "Eh, ko ni, aku dah bantu kau, aku dah bagi kau kerja, ini yang kau balas kat aku? Eh, kau boleh pergi blah ah, eh aku malas dah tengok muka kau ni!" Patut Farid cakap je macam Scha kata: "Sebenarnya, Zack, aku, aku sayang kat ko.." Serius, aku rasa jalan cerita ni akan jadi lebih menarik kerana pergelutan satu halanya dah pelbagai. hahaha.

OKLah, satu hal, daripada semua caca merba ni (lagipun aku tengok juga sampai habis), dengan saduran entah berapa banyak runut bunyi Hollywood yang disusun kemas(!), lakonan pelakon dalam filem ni memang bagus, sebab mereka betul-betul "beri yang terbaik". Kalaulah ia mempunyai gerakan cerita yang lebih mendalam dengan intrig yang lebih menyengat.

Evolusi-evolusi-evolusi hatuk kau!


Trilogi Cinta Sanif Olek

Sabtu lepas, aku menonton Lost Sole, a la Folie, dan Ameen, trilogi filem pendek oleh Sanif Olek yang ditayangkan julung-julung kali di Malaysia di Annexe Central Market. Ketiga-tiganya filpen yang cantik. Semuanya dibikin dengan perhatian yang tulus oleh Sanif. Aku sebenarnya ingin benar menonton a la Folie kerana filpen itu memenangi filpen terbaik di Jogja-NETPAC Asian Film Festival tahun lepas. Aku suka, sebab Sanif, bukan saja boleh membawa sebuah cerit ayang berstruktur, seperti Lost Sole dan Ameen, yang penuh cukup serba serbi rencah penceritaan, boleh tetap memberi kita, para penonton kejutan dan pembukaan baharu yang tidak tersedar oleh kita. a la Folie pula semacam air, laluannya tidak ada batas dan lubang, lancar terus, penonton terus diberi beberapa pandangan, baik yang lepas, "akan datang" dan sekarang tentang paparan masa dan tempat seorang lelaki dan wanita bertemu kembali dan bercinta kembali. Persoalan peranan jantina, persoalan perilaku jantina dibawa ke depan. Ianya gelap tetapi indah, ianya kelakar tetapi masam. Yang memegang kedua-dua watak itu adalah "pemahaman yang sama" di antara segala pemahaman dan perasaan ini. Seakan, pernyataan, itulah cinta. Ini sebuah puisi yang moden daripada Sanif Olek, yang turut mempuisikan kehidupan malam urban Singapura, ruang dan waktu yang hanya sempat diberi kepada rakyatnya untuk bercinta (kerana pagi, sibuk cari wang katanya, haha). Satu perkara yang menarik, Sanif begitu tulus, begitu lurus, menyatakan, apa-apapun, kita kembali kepada "agama" (walaupun kita tidak memahami misterinya). Ini dapat dilihat dalam keiga-tiga filem ini, dengan rujukan masjid sebagai latar, baik secara sengaja atau tidak. Lost Sole dan Ameen lebih dekat kepada masjid (Masjid Sultan), di mana banyaknya babak dan adegan berlaku di kawasan itu, sementera a la Folie berlaku di "luar" masjid (menyatakan kedekatan atau kejauhan subjek cerita terhadap pendirian agama). Tetapi kalau kita cedok lagi, kita sedar bahawa Ameen banyak berlaku "dalam" masjid, Lost Sole di antara dalam dan luar masjid, dan a la Folie terus di luar masjid. Di sini, kita akan sedar, tahap kedekatan pertalian rohaniah (mendekati pemahaman Tuhan) dan perhubungan manusia (lebih sosial, lebih berkenaan manusia) antara tiga filem, mengikut kedekatan dan kejauhan subjek kepada latar masjid. Malah, memang, jika dilihat secara betul, Ameen memberi soalan agama yang paling tampak, malah amat "mendalam" tentang pemahaman dan ketentuan agama (jika bukan agama Islam, mungkin, tidak ramai yang menangkap makna filem ini). Sedang Lost Sole lebih "seimbang" menyatakan perincian pertalian antara manusia dan agama (dan mungkin sebab ini, penonton melihat filem ini sebagai paling sempurna), dan kemudian a la Folie yang mengambil agama sebagai cetusan falsafah. Menarik di sini adalah watak Sani Hussin, budak yang "bodoh-bodoh alang" yang aku lihat, bukan sahaja bermain sebagai comedy relief terhadap Lost Sole dan Ameen, tetapi juga sebagai "pencerita" sebenar yang menampilkan ketidaktentuan dan kelemahan jiwa manusia yang mengelilingi watak Sani Hussin (dan jangan lupa, mengelilingi masjid. Sani Hussin tinggal di masjid. Sani Hussin seakan pemahaman Islam yang benar yang tidak dikotorkan). Di sini, aku tertarik melihat dan teringat akan wali besar Singapura, Habib Nuh yang juga dipermain-mainkan ornag pada zaman itu sebagai "majnun", walaupun kita tidak tahu kebenarannya.

Aku berharap sangat dunia Sanif Olek ini, yang memberi kita kesegaran terhadap dunia Melayu Singapura dapat dikupas lagi dan lagi. Dengarnya, beliau akan mengarah filem perdananya yang pertama dengan lakonan Rahim Razali, Ramuan Rahsia. Aku tak sabar melihat sentuhan Sanif yang begitu matang, berinspirasi dan faham tentang hal-hal nostalgia Melayu yang sudah lama kita tidak jumpa dalam sinema kita.

Layari blog Sanif Olek: http://reeljuice.blogspot.com/