22 August 2008

Perca-perca Filem Ogos 2008

Ya, Ogos ialah bulan hari jadi aku. Ha ha, aku dah muda.

:P

Nampaknya aku kena berhenti face book sebab kalau aku nak cool off, aku bukak face book dan malas nak blog hopping macam dulu.. hmphh.. ok, ini yang kau tunggu sangat kan?

Rogue(2007)
Jangan ketinggalan. Senang, seronok, bertih jagung, bermoral. Dan ada 'edge' dalam ciptaan mitos 'pemburu berhantu itu dewa dunia yang disembah'. Beberapa twist yang menarik buat mereka yang gemar filem seram subgenre raksasa (tak boleh lawan The Host, Alien, The Relic atau Jaws, maaf). Aku suka babak terakhir 'showdown' antara hero Amerika (hero baru Amerika dalam filem ni bunuh John Wayne Amerika, the typical reluctant hero in any Spielberg film) dengan buaya. Sangat menyeronokkan.

21(2008)
Moral. Seronok (ya, kali ni aku banyak menonton filem bermoral kan?). Buat aku nak main casino dan belajar teknik mengira 21 dalam black jack. Malah babak cium-cium yang berahi pun tak dipotong. Bermula lembap tetapi menarik kerana wataknya seorang mahasiswa yang ditarik masuk mengenali dunia 'con'. Fantasi buat semua lelaki muda yang baru keluar universiti. Macam biasa, Kevin Spacey is the man, tapi sedih sebab dia ditangkap dalam filem ni (tonton The Usual Suspects dan Se7en).
Harold and Kumar 2: Escape From Guantanamo Bay(2008)
Bodoh. Vulgar. Seronok. Adik aku beli. Aku tonton masa bapak aku sedar dari tidur (ya, DVD player kat dalam bilik bapak aku). Benda pertama dia cakap, "citer lucah apa yang ko tengok ni?" tetapi lepas tu dah tak meracau kat aku bila sampai part George Bush, "Eee, macam George Bush". Babak-babak senyapnya superb, malah memang seronok. Babak-babak vulgarnya terlalu dan kadang-kadang terlalu bodoh. Tapi aku seronok dengan pengkahirannya.
You Dont Mess With The Zohan(2008)
Bodoh. Sedikit vulgar. Seronok. Aku tak tahu kenapa adik aku suka sangat filem-filem bodoh macam ni. Tapi filem ni seronok, lagi-lagi kalau kau Yahudi atau Islam. Tak, fundementalis tidak akan suka dengan joke joke yang diutarakan, baik Yahudi atau Islam. Tapi filem ini memenangkan Yahudi secara sembunyi. Peduli apa. Siapa suka Adam Sandler, ini adalah antara filemnya yang agak kotor (Adam selalunya lebih lembut daripada Jim Carrey, dan lebih buat tontonan umum) dan elok buat tontonan dewasa. Tetapi aku suka si Lebanon/Palestin yang jatuh cinta dengan Yahudi Zohan, dan bagaimana Zohan dah naik menyampah dengan politik bodoh para Israel. babak-babak John Torturro sebagai 'super hero' Islam Palestin menyeronokkan. Lagunya bodoh. Babak paling best: Zohan main dengan nenek.

Super Bad(2007)
A must see movie. Budak gemuk dari Knocked Up berlakon. Aku tertonton sebuah babak je, waktu si vulgar gemuk tu bising fasal dia seorang dalam kelas Ekonomi Rumah Tangga bila pasang dalam laptop. Aku macam, whoooooh, beshnya jadi budak ni. Ada kejujuran juga tentang semangat remaja lelaki nak membesar dan menjadi lelaki dewasa dan pengajaran moral 'moving on' tanpa perlu sangat berdakwah. Dulu aku suka Dazed and Confused dan mengatakan itulah filem yang kedua terbaik dalam genre American Graffiti (The Last Picture Show adalah yang terbaik dalam genre coming of age), tapi filem ini lebih baik daripada filem itu. Sesiapa yang pernah remaja akan dapat rasa seksa, perih dan seronok budak-budak ini. I'm sooo Fogell. Sebuah filem baik buat lelaki.

Wall-E(2008)
Aku serius bahawa lepas menonton filem ni, aku macam disturbed besar-besaran punya. Walaupun dalam wayang aku ketawa-ketawa. Lepas habis menonton ni, aku rasa lesu dan sedih dan termangu. Ya, inilah kuasa Wall-E. Sebuah masterpiece daripada Pixar. Buat aku Toy Story 2 masih filem terbaik buat Pixar, tetapi filem ini bolehlah dikatakan antara yang paling berani dan unik yang pernah mereka cipta. Antara filem sai-fai terbaik tahun ini. Apa yang paling aku sedih ialah, filem ini sudah meriwayatkan masalah kita yang suka membuang sampah, merokok, membuang sampah, buang toksik, buang sampah, suka fesyen, buang sampah, buat kotor - dan point terakhir daripada point itu: it's ok, we move on. Sedih sangat.

Hedwig and The Angry Itch(2001)
Sebuah Rocky Horror Picture Show untuk abad ini. Antara filem kegemaran aku (dan memberi point pada aku, its ok to be single until you die) yang aku tonton di rumah Azwan sewaktu dia pergi kerja kat Jakarta (hahahaha, jgn jeles!). Seorang lelaki yang mahu jadi wanita dan akhirnya menemui dirinya yang sebenar setelah melangkau separuh daripada muka bumi meluahkan sakit hatinya terhadap bekas kekasihnya yang mencelakakannya. Perjalanan Hedwig mempunyai banyak simbol, dan bukan sahaja terhadap seksualitinya tetapi perpecahan politik zaman perang dingin- ideanya besar: manusia sebenarnya semuanya satu entiti, dan kita yang suka memecahkan diri kita kepada dua. Semangat Hedwig dalam rock ialah jiwa 'perang'nya yang dia luah terhadap kejahatan sistem/bekas kekasih yang tidak dapat menerimanya dan menolaknya, dan daripada rock juga, dia akan menjumpai kembali dirinya yang sebenar, serta rahsia kemanusiaan itu (we are all fucked up, at last, we just have to give more and love). Ideanya moden, kadang kala keterlaluan dan sangat menyengat. Paling pentin, dalam gerak marah dan rakus Hedwig, ada perasaan pathos yang terlalu ingin menyentuh kemanusiaan, kita semacam mahu bersama Hedwig dan terbang dan hilang. Kesemua lagunya berkuasa dan akan mencipta kultus yang kuat, kebanyakan dialognya akan menjadi klasik. Perayaan terhadap kebebasan diri, rohaniah dan mental yang sebenar.

Star Wars: The Clone Wars(2008)
Ok, aku tak tahu kenapa, tapi aku suka dengan Clone Wars. Ok, kau tolak suara mono para pelakon suara, kau tolak beberapa dialog cheesy, kau tolak wajah animasi yang bosan, kau tolak Asoka, kau akan suka The Clone Wars. Ada bertih jagung yang seronok di dalamnya, malah Padame yang sentiasa membosankan dalam 1 dan 2 akhirnya ada fungsi dalam filem animasi ini (dan aku suka), malah Palatin yang celaka tu macam cool bodoh je dalam filem ni (sebelum part 3). Anakin mengejutkan, sangat menarik daripada 1 & 2. Dan Obi Wan, hahaha, seronok, Obi Wan dalam filem ni tak serius tapi main-main, macam apa yang kita selalu bayangkan terhadap Obi-Wan dalam Part 4. Malah perwatakan Jabba The Hut dalam filem ini dengan politik 'outer rim' antara Seperatist dan The Republic menarik. Tapi nampaknya takde sesiapa yang terbunuh dalam filem ni, namanya pun kartun, dan yang agak kebudak-budakan untuk penonton matang yang suka Dark Knight. Tetapi seronok dan tahu mengangkat sebuah cerita yang penuh roller coaster.

15 August 2008

Pratonton: K-A-M-I



Grand Brilliance and Redfilms Sdn Bhd
dengan sukacitanya menjemput

Teman-teman Bloggers
…………………………………………………………………………
ke Majlis Pra Tonton & Sidang Media “KAMI”
pada
26 Ogos 20008
2.00pm di Cathay Cineplex, Level 2 & 2M, Cineleisure Damansara

12 August 2008

Beruas, FFM & Bin Filem

Ajami dan SMuzz blogger superstar telah menghadiri "Filem kita perlu ada porn untuk laku" di MStar (Ida: "We need to look foward", meaning: "We need more tits"). Memanglah senang buat blogger yang tak kerja 9 ke 5 dan takde hidup kan? :p (ya, aku jeles sebenarnya), tapi sebenarnya aku ke Beruas, buat kajian untuk novel seterusnya (ya, ada kena mengena dengan "alih rupa tukar jasad", pemaisuri gangga dahagakan darah dan bukan semuanya dari sejarah itu yang cemerlang, terbilang, gemilang) memandangkan takde satu pun manusia dalam dunia keblogan ni yang nak tolong aku masa aku iklan ari tu (aku lupa, aku bukan superstar macam Ajami). Jadi aku ke sana (gambar nanti diupload dalam muka buku, tak seerotis pengalaman kembara Azwan) dan buat kajian, dan nyaris-nyaris disimpan dalam dunia bunian (yang, ermm, aku harap sangat untuk hilang pada 8/8/08 tu, yes boys n girls, my real scret dream is: to just disappear fromt he face of the earth) sewaktu dalam perjalanan melalui Kg. Kota di persimpangan makam Raja Beruas. Jadi malam tu, aku dan para penduduk Ayer Hitam (baca: Cina) menonton pembukaan Olimpik dan melihat separa fasis China membacakan sejarahnya kepada (tonton: we look cool and that small muthefuka tibet is ours to claim) dunia. Oh, sungguh terujanya wajah kawan-kawan Cina aku, semacam mereka rasa menyesal jadi orang Malaysia malam tu.
Esok tu, Kak Nyah yang keluarga aku sayangi meninggal dunia kerana barah di Ipoh (tak, sebenarnya dibuat orang), jadi memang tak sempat tonton FFM. Drama keluarga lebih menarik daripada drama TV.
FFM, hah, betapa seronoknya aku bila dapat tahu KMBM menang. Nampaknya aku tak perlu persoal juri-juri kita, kali ini, kejutan yang diberikan sangat menyeronokkan. Dan pemberian berbelas nominasi buat Anak Halal yang sememangnya satu 'senda gurau' memang kenalah (ingat Elizabeth?). Aku suka sebab beberapa perkara yang aku rasa KMBM perlu menang, memang menang, walaupun aku menunggu untuk sistem penjurian kita diubah kepada sistem yang memberi peluang kesemua pembikin filem untuk mengundi dalam kategori tertentu. Osman Ali, sila buat filem yang lebih baik ya?

Tetapi, iklan yang sebenarnya aku nak tunjuk ialah ini: Bin Filem. Satu blog sebaris 'tak nampak tapi bermakna' Bin Ladin tapi ni filem. Jikalau Ajami sibuk memperagakan artis yang akan/kian menaik serta wanabe artis (ini termasuk beberapa wartawan sewaktu demam AF) serta orang terkenal dalam dunia se leb ri ti, aku pula (dengan snobbish) mahu memperkanlkan blog yang semahu-mahunya tentang filem ini agar manusia (oh!) di luar sana faham apa itu filem sebenarnya (film for film sake). Tulisannya biasa, lepas, dan mengerti tentang filem, walaupun sedikit muram. Kalau Nazim Masnawi adalah perepot kultut pop yang tiada saingan, Bin Filem ialah pelapor seni filem (termasuk boleh membikin filem!) yang tiada tandingan lagi setakat ini di Malaysia. Malah, filem-filem pendeknya akan mengejutkan korang. Aku sendiri banyak 'belajar' daripada dua budak ini, JHebat dan Jimmy. Buat para pelajar filem (ya, aku tau korang masuk blog aku, aku ada spy kat Aswara dan UKM), silalah tekuni blog ini supaya anda beraspirasi untuk tidak menjadi sebuah lagi klon Prof. Razak tetapi seorang pembikin yang benar-benar tahu apa itu filem dan mengapa perlu bikin filem.

07 August 2008

Nota Pendek: Midnight Meat Train(2008)


Kalau korang ada masa, silalah tonton filem adaptasi cerpen Clive Barker ini. Ia sebuah 'near masterpiece horror', dan paling penting, sebuah filem yang meneruskan pengkajian pengembaraan manusia tentang sifat voyeur (kenapa manusia suka mengintip)- ada kuasa noir (dah tentu ini sebuah neo-noir seram) walaupun pada akhirnya semua noir ini tidak dijaga dengan kemas (kerana ini sebuah filem seram). Ideanya: apakah voyeur itu bernilai moral jika kita sendiri mengambil ekstasi terhadap pelakuan yang menjelekkan (contoh: kita menonton smut anak bawah umur ditutuh, dan kita menikmatinya sebelum kita menghubungi polis). Dan adalah paparan kebusukan manusia itu adalah seni yang paling tinggi? Midnight Meat Train berjaya menapakkan persoalan estetika seni dalam seram, siap penggambaran filem ini adalah seni, denyutannya seni dan harapannya seni. Hanya aku tak berapa suka dengan pengkahirannya, walaupun ia berjaya mencipta emosi yang mendalam, kerana aku sudah membaca cerpennya yang memberi jawapan terhadap kewujudan (orang bawah tanah) dan simbiosisnya terhadap penerusan kemajuan tamadun manusia New York.

Beberapa adegan ganas tidaks empat dipotong LPFN, malah perkataan "F***" terlepas beberapa kali. Adegan seks dipotong licin.

Sila tonton filem ini yang mungkin akan cepat hilang daripada pawagam kerana orang sekarang hanya tahu menonton blockbuster dan filem bertih jagung walaupun ia tak berapa mengujakan (The Mummy).

06 August 2008

Sedang Berlangsung: Kekasihku Seru



Ya, judul dramanya tampak 'tacky' tetapi ia setentunya satu strategi menarik penonton yang menggilai Pontianak Harum Sundal Malam. Tetapi, berita baiknya ialah, ia adalah hasil kerja dan produksi tim Khabir Bhatia bersama isterinya Mira Mustafa, jadi ceritanya sesuatu yang lain dan memang terpelosok keluar dari kebiasaan produksi dan cerita drama TV, malah aku boleh mengaku, apa yang Twin Peaks lakukan terhadap produksi televisyen (kelihatan lebih sinema daripada drama TV), Kekasihku Seru boleh melakukannya buat drama televisyen tempatan.


Bukan sahaja paparan arahan seni, penggambaran, efek (walaupun belum mencapai tahap standard aku, tetapi agak menyeronokkan dan dibuat dengan kemas, malah ada beberapa babak yang agak menyeramkan) bagus, tetapi jalan cerita dan dialog yang dibuat Mira turut menarik kita menonton untuk mengetahui 'rahsia' keluarga bersaka itu dan kaitannya dengan si lelaki yang baharu duda kerana kematian isteri dan anaknya. Malah perjalinan mitos keluarga itu sebaik keinginan yang kita mahu tahu dalam Twin Peaks, kebiasaan sorotan 'tunggu dan lihat' yang berlaku dalam drama televisyen Amerika.


Malah para pelakonnya baik-baik, terutamanya Emelda Rosmila yang berlakon dengan natural sekali. Aku begitu bangga, sudah ada pelakon muda sebaiknya dan satu 'thumbs up' kepada Khabir kerana tidak terikat mengambil pelakon terkenal sahaja tetapi memberi pelakon baharu seperti Emelda menempa nama- dan dia boleh dikatakan menjadi teraju utama untuk cerita ini ditonton.


Tidak pernah aku mengesyorkan TV drama sebaik ini tetapi ya, buat yang ini memang aku berani. Malah, drama sebegini memang patut disimpan menjadi koleksi DVD yang boleh ditonton sekali lagi kerana formulanya yang begitu efektif membuat penonton menunggu apa yang akan berlaku. Aku tiak biasa tertenggek di TV menonton drama melainkan menonton DVD aku. Selain Heroes, inilah drama yang aku mesti ikut pada setiap minggu.

Kekasihku Seru disiarkan pada setiap malam Khamis, 9.30pm (lepas tahlil, haha, sempat!) di TV3.

01 August 2008

Tawakal-Allah Amir Buat Susuk

Susuk, filem terbaharu daripada Amir Muhammad dan Naeim Ghalili akan keluar awal Ogos ini, bersempena dengan bulan hari jadi aku, jadi kiranya satu hadiah sinema Malaysia buat aku lah! Dalam keadaan penonton Malaysia yang tidak tentu menonton filem Malaysia berikutan kenaikan minyak (tapi Dark Knight tengok sakan), Susuk berani ke tengah gelanggang Ogos bila tahap filem Summer Hollywood adalah yang tertinggi (Wall-E akan keluar bulan ini). Keberanian ini sudah tentunya dibuat dengan azam tinggi dan perasaan berdebar para produser GB bahawa filem Malaysia masih relevan, dan kelainan yang ada dalam Susuk diharapkan boleh membuktikan kerelevannya terhadap institusi pecah panggung (baca: kapitalisme).

Dalam proses produksi Susuk, yang dikatakan mengambil masa dua tahun, dalam prebiu yang aku hadir, Amir dengan seloroh mengucapkan, "Setahun untuk saya, setahun lagi untuk Naeim mengarah". Seloroh ini seakan menggambarkan dua pengarah ini bercakaran (oleh sebab itu Naeim berseloroh, "Jangan percaya apa-apa yang si Amir tu cakap!"). Tetapi melihat hasil filem ini, juga saling merendah diri Amir dan Naeim, kita dapat lihat kuasa tim saling bekerja sama antara dua pengarah muda Malaysia ini. Malah Amir menambah kepadaku, bahawa gandingan pengarah ini perlu kerana Amir boleh melepaskan dialog-dialog mencuit dan mengarah lakonan para pelakon tetapi untuk bantuan imej dan shot yang benar-benar seru, teknikalnya diletakkan di bahu Naeim. Maka simbiosis ini yang digunakan untuk menghasilkan Susuk, dan betapa mereka berjuang untuk menghasilkan yang terbaik. Maka itu, aku memberi satu wawancara untuk menyelami seksa dan suka Amir sewaktu menghasilkan bayi perdananya ini; Susuk, menambah sebuah lagi filem seram dalam senarai filem seram ala Malaysia. Oh, aku lupa nak tanya Amir, sebuah filem seram lagi tahun depan, atau sudah serik?

-//-

fadz: Durasi dua tahun pembikinan filem ini menarik diperjelasi jika dipadankan bahawa ini sebuah filem seram (filem seram dikatakan yang tercepat dibikin tapi paling susah dalam teknikalitinya), dan saya ketahui, walaupun cerita asal ini (skrip?) ditulis oleh Rajesh Nair, semangat dan roh dalam filem ini sememangnya "Amir Muhammad". Apakah idea filem ini asalnya daripada saudara, atau Rajesh?

Amir: Idea asal daripada saya, Naeim Ghalili dan penerbit filem Dhojee. Kemudian kami pasang iklan di www.mandy.com untuk mendapatkan penulis skenario. Rajesh memberi struktor kepada filem ini, kalau tak silap sampai draf ke-5, tanpa dialog tetapi lebih kepada ‘building blocks’ untuk naratif ini. Sebenarnya filem ini ialah kolaborasi total antara saya dan Naeim. Dia mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk menterjemahkan idea kepada bentuk visual yang dinamik. Kalau saya seorang, akan pilih shot yang paling mudah saja, tak payah susah-susah.


fadz: Apa yang sebenarnya terjadi pada skrip, berapa kali ia melalui kerja draf? Terus-terang, saya dapat rasakan semacam ia sebuah filem yang melalui 'on going process'? Tentu ini menarik jika mengambil gaya Wong Kar Wai, Lynch atau Altman. Apakah saudara dengan sedar dan tahu filem ini akan dibuat dengan aliran sebegini?

Amir: Shooting script ialah draf ke-8 tapi kami masih mengubah beberapa perkara semasa penggambaran. Terdapat 4 penulis: saya, Naeim, Rajesh dan Amri Rohayat; ironinya semua lelaki tapi hampir semua watak utamanya perempuan. Satu babak tambahan (pembunuhan seorang lelaki dalam kondo) ditambah beberapa bulan kemudian atas permintaan studio yang merasakan filemnya tak cukup ganaz. First edit ialah 2 jam setengah dan beberapa watak kecil dan kameo terpaksa disingkirkan. Mungkin hasilnya seperti monster yang dicipta oleh Frankenstein tapi bertepatan juga dengan tema filem tentang ‘pengubahsuaian’ atau ‘rombakan.’


fadz: Ok, soalan bodoh tapi perlu: apa kena dengan ikan pada awal cerita, kemudian ayam? Susah tak nak masukkan ayam dan membiarkannya 'berpeleser' untuk mendapatkan shot yang terbaik?

Amir: Ikan yang sedang disiang dianggap imej yang sesuai untuk gambaran ‘korban’. Sama seperti permulaan filem Fassbinder, In a Year of 13 Moons, yang menggunakan bangkai lembu. Ayam sebenarnya ada dua lapis: binatang yang berkait dengan ilmu hitam termasuk voodoo; dan juga lambang ‘kampung’ yang sejujurnya dibenci oleh Soraya. Memang susah bekerja dengan ayam dan saya tak akan melakukannya lagi.


fadz: Ada sebuah babak dalam Susuk yang diambil di sebuah kilang atau bengkel. Saya teringatkan David Lynch dan mualnya terhadap pengindustrian (nota fadz: atau mungkin Ferry God Mother dalam Shrek 2? haha). Apakah pemilihan kilang itu disengajakan atau terpilih secara tidak sengaja? Seronok tak bekerja di kilang?

Amir: Babak itu harus berlaku di tapak industri kerana, secara sinisnya, proses penciptaan ‘bintang’ pop ada persamaan dengan proses kilang. Jadi kami pakai gudang yang digunakan oleh Fear Factor setelah beberapa kilang menolak permintaan kami (sebab scene tu ada unggun api).


fadz: Bagaimana anda dapatkan para pelakon yang hebat-hebat untuk masuk dalam tab mandi dalam keadaan yang sangat mengiurkan? Babak Sofia Jane sendiri ialah sebuah kultus dan harus dimasukkan dalam arkib perfileman Malaysia sebagai antara yang erotis dalam sinema Malaysia.

Amir: Shot yang saya paling gemar ialah shot Sofia keluar daripada kereta dan sempat melirik/menjeling sebelum masuk ke tempat bomoh. Susuk sebagai tema ialah sesuatu yang erotik kerana dikaitkan dengan tarikan, tahyul, tabu dan (untuk menyambung aliterasi) tab.


fadz: Babak pemakaian susuk di tab mandi sendiri ialah personifikasi mise en scéne yang mengatakan, ini sebuah filem yang perlu ditonton. Jonathan Romney mengatakan filem dekad sekarang tidak perlu lagi cerita berstruktur atau plot baik (bukan menidakkan Susuk tidak berplot), tetapi sebuah mis en scene yang mendefinasikan segalanya, dan itu sahaja perlu. Apakah saudara rasa ini wajar, atau struktur dan plot, tradisi yang kita ambil daripada Hollywood itu masih perlu?

Amir: Sebuah shot yang ‘kena’ dan ‘ikonik’ mampu mencipta delirium yang tersendiri, yang tak akan dilihat dalam cabang seni yang lain. Seperti kata seorang: Continuity is a bourgeois fetish.

Saya suka banyak filem yang plotnya ‘tak logik.’ Tapi saya akan bosan kalau tiada naratif, biarpun saya boleh juga melayan kerja Matthew Barney misalnya.


fadz: Filem seram selalu menyampaikan mesej-mesej sosial. Secara prasedar, kita dapat tangkap, Susuk berani membicarakan (walaupun bernafas sosialis) dalam pergerakan trnasformasi Soraya, dialog "gangsa ke emas" juga bangunan agung tapi kosong Putrajaya, progresif (atau kapitalisme) itu membawa kecelakaan. Apakah kepentingan ini dalam sudut filem-filem saudara, dan kenapa sekarang?

Amir: Kalau semua watak wanita kami bertukar kepada lelaki, dan apa yang diidamkan bukan status diva tapi status Perdana Menteri, ia tetap filem yang sama. Kalau kita hendak mencapai cita-cita, kita harus mengubah sesuatu dalam diri kita. Suzana akhirnya menjadi bangkai hidup, samalah seperti bangunan Putrajaya. Tapi terdapat juga elemen self-critique atau self-parody di sini, kerana inilah kali pertama saya buat filem yang dianggap ‘mainstream,’ (nota fadz: perdana) jadi siapa saya untuk berkhutbah tentang ‘selling out’? Yang anehnya salah satu rujukan utama untuk Susuk bukan filem seram tetapi All About Eve (nota fadz: rujuk All About My Mother sebagai sebuah lagi filem yang merujuk filem yang sama).


fadz: Saya diberitahu saudara mengambil rujukan Dario Argento dalam filem ini. Trilogi "Three Mothers" Argento termasuk Phenomena adalah filem-filem 'twisted fairy tale' beliau. Adakah saudara sepakat dan ingin menggambarkan bahawa Susuk juga mengambil penggayaan 'twisted' Cinderella atau Ugly Duckling, atau realisasi ini berlaku sewaktu penggambaran atau pascaproduksinya?

Amir: Ya, twised fairy tale, tapi mungkin semasa pembikinan kami anggap sebagai black comedy atau ‘chick flick yang ganas’. Dualiti antara ‘cantik’ dan ‘hodoh’ juga, seperti Death Becomes Her dan Odishon.


fadz: Pemilihan pelakon, siapa yang buat? Mereka dipaksa atau mereka memaksa saudara mengambil mereka? Siapa yang saudara benar-benar mahukan dalam filem ini? Ini adalah kerana subjek filem ini agak provokatif sebaris dengan Isteri, Perempuan & Jalang pada 1993.

Amir: Dream cast saya memang ada tapi beberapa pelakon menolak. Seorang tak sanggup menjadi ‘bomoh’ dan seorang lagi mahu kami menukar tajuk filem ini daripada “Susuk” ke benda lain. Saya inginkan seorang ‘artis bersara’ menjadi ibu Soraya tapi dia kata dia hanya akan buat “filem dakwah.” Ada penyanyi yang minta RM100,000 untuk lapan scene. Susah juga. Tapi saya dah lama nak bekerja dengan Ida Nerina dan Sofia Jane kerana mereka amat happening. Kami bertemu Diana Rafar semasa audition.


fadz: Adakah ada pengertian tersembunyi saudara mengambil Diana Rafar dan Ida Nerina dengan mata mereka yang 'tersembul'? Atau itu hanya fesyen?

Amir: Mata bundar amat sinematik. Kita boleh melihat ke dalam.


fadz: Saya sedari dari Lips to Lips(2000) sehingga Susuk, saudara menafikan 'father figure', malah watak-watak saudara selalunya berpeleseran 'keseorangan' tanpa bantuan 'ayah' dalam dunia urban serba maju. Kalau adapun 'ayah' ('Ayah' dalam Lips to Lips ialah ayah James Lee yang mati, Tun Mahathir, Big Durian, LKT- penuh dengan 'ayah salah') seperti impian Soraya terhadap 'father figure' Dukun Dewangga suatu yang terpesong. Apakah saudara mempunyai isu terhadap 'kemandulan' peranan ayah?

Amir: Oh, semua tu tanpa sedar. Hmmm. Tema patriarki mungkin wujud biarpun (ataupun disebabkan) filem ini didominasi perempuan.

fadz: Ada satu 'usikan licik' saudara pada satu bab sewaktu Dewa Dewangga menemui seorang pelacur. Adakah kaki pelacur itu seorang lelaki? Ceritakan bagaimana seronoknya saudara menggambarkan babak-babak ini.

Amir: Eh, itu kaki Ida Nerina. (nota fadz: hahaha, habislah aku, tapi takpe, mak aku dan mak dia kawan baik, hohoho! Sori Miss Ida!) Dia memang benci buat scene itu dan akan bertambah benci bila mendapat tahu anda menganggap kakinya menyerupai kaki jantan. Sebagai filem yang menyorot Argento dan De Palma, scopophilia yang wujud harus hetero-sentrik. Saya teringin juga membuat filem yang lebih polymorphously perverse seperti Shortbus tapi harus cari naskhah sesuai. (nota fadz: sangat saya tunggu)


fadz: Saudara juga berlakon sebagai 'pak pacak', mengambil signifikasi Hitchcock tetapi saya tersedar bahawa saudara di sana sebagai 'peon'- pemerhati kelas marhaen terhadap hidup kelas atasan. Adakah saudara saja-saja berlakon kerana tidak cukup pelakon, atau saudara mahu mencuba menjadi pelakon terkenal satu hari nanti?

Amir: Saya pelakon yang amat kaku. (Susuk ialah manifestasi cemburu saya terhadap artis). Watak itu sengaja dipilih sebab saya rasa seperti buruh biasa bila buat filem ini. Dan Naeim juga menawarkan keretanya untuk di’kameo’kan apabila Hairie Othman terpelanting dan terkena kereta itu sampai benar-benar kemek. Kerana dia rasa seperti mangsa kemalangan. Humor kami agak selari.


fadz: Apakah harapan saudara untuk Susuk bila ia keluar tayangan nanti?

Amir: Saya bertawakal sajalah.

Akhirnya, kini pasti

Ya cik cik dan puan-puan, suprise suprise, itu raksasa syaitan yang Taf teh panggil "teknologi sampah" sudah meragut aku memasukinya, aku kini ada FACEBOOK, ughhhhhhhhhhhhhhh!
(maaf, gambar aku telanjang takde)

31 July 2008

Susuk(2008) Ayam dan Menyucuk

Pertama kali, syabas Amir dan Naeim Ghalili (tetapi sedikit sebanyak aku dapat rasakan, filem ini lebih ke arah projek Amir daripada Naeim oleh sebab beberapa perkara dalam filem ini yang 'lazim'nya sentuhan Amir yang witty), ini setentunya sebuah filem kultus Malaysia untuk 2008: hanya untuk dua babak ini sudah cukup (walaupun aku nak tengok lebih banyak 'isi'), Sofia Jane di dalam air kolam terisi kelopak bunga merintih, "Ah-uh" bila jarum susuk dicucuk ke dalamnya (rujuk: Audition), dan kemudiannya Ida Nerina, Diana Rafar dan Aleeza Kassim di dalam 'bath tub', tetapi tidak ada pelakon pun yang boleh buat 'keghairahan untuk cantik' sebaik Sofia. Cengkaman seksualnya (tanpa perlu menunjuk sangat) terasa, keinginannya untuk mencapai 'bintang' terasa- ya, kita perlu sakit untuk jadi cantik selama-lamanya dan dikagumi (rujuk: Death Becomes Her).

Kedua: Dario Argento tentu menjadi 'perujuk' dalam babak seorang mangsa (aku tak boleh cerita sangat di sini siapa) di mana kamera bergerak perlahan dalam satu lorong rumah (ditiru pula dalam Alien dan The Shinning) 'mencari' orangnya lalu kita lihat 'mangsa'nya, lalu mangsa ini 'diajak' masuk ke dalam perangkap lalu dibunuh dengan lembaga bersarung tangan hitam dan bilah pisau dengan kejam sekali ala Giallo (rujuk: Suspiria, Deep Red; harap-harap ada Director's Cut buat ini!) yang dicampur dengan simbolisme bulu ayam berterbangan (ya, aku tak tipu!: baca subtle simbol ayam, mangsa yang senang diselsaikan, pelacur @ mak hayam![siapakah itu?], orang yang senang dipergunakan) merayap merata-rata- buat penggemar filem seram, kita dapat baca tiga perkara: vodoo, simbol takde makna tetapi seperti Argento kuasa ekspresionis seram dinaikkan tiga kali ganda dengan paparan ayam terbang (serius, rasa 'demented' fasal kehadiran ayam), dan absurdis serta sedikit 'lawak gajah' (kalau sesiapa dapat tangkap 'tounge in cheek'nya) seperti filem-filem Argento yang terkemudian seperti monyet yang memegang pisau dalam Phenomena atau kera jahat dalam Mother of Tears. Buat homaj ini, Amir Muhammad dan Naeim Ghalili sudah membuat satu penghormatan tinggi kepada Guru Ekspresionis Seram serta Raja Seram Rock & Fairy Tale.

Ada sebuah lagi cengkaman mangsa mengingatkan anda kepada The Godfather, tetapi itu hanya satu babak kecil.

Perlu diingatkan, filem ini sebaris dengan filem seperti Psycho, Saw, The Usual Suspect, Sixth Sense, The Unseeable dan Les Diaboliques di mana pengkahirannya menjawab segala persoalan dalam filem. Oleh sebab itu, aku perlu berjaga-jaga dalam penulisan ini agar 'jawapan' filem ini tidak terjawab dalam entri ini. Pun begitu, aku mengharapkan bahawa filem ini ditonton dengan kewajaran filemnya, bukan kerana "oh, sebuah lagi filem yang berakhir dengan pengisian jawapan" di mana, oleh sebab kemasukan belambak filem seram Thai dan Indonesia yang menggunakan formula "jawapan di akhir cerita" yang sama, membuatkan filem sebegini hanyir dan basi, sedangkan pengakhiran filem ini, walaupun mungkin bukan sesuatu yang baharu, mengisi satu kejutan yang kalau tidak memeranjatkan, mempunyai seksa pathos dan seronoknya yang tersendiri.

Bermula dengan filem Sepet (aku tetap mengatakan, Sepet bukan filem bebas kerana ia memasuki pawagam perdana dan bukan seperti Flower In The Pocket, Love Conquers All atau Ciplak) memasuki layar sinema Malaysia, datanglah beberapa pengarah muda (daripada satu aliran indi yang aku panggil 'orang berkampung') yang mula melebar luaskan pembikinan filem perdana sejauh mana perfileman Malaysia boleh pergi. Amir Muhammad dikenali sebagai 'godfather' terhadap perubahan baru ini (dan selepas itu, Osman Ali) dengan kamera digital, mencipta filem yang jauh lebih subtle dan penuh lapisan daripada filem perdana waktu itu. Dengan kehadiran Amir dan konco-konconya, tergegarlah filem perdana Malaysia. Lalu apakah resolusi terakhir mereka yang terasa gegaran ini? Sudah tentu mempelawa para pembikin muda ini merasa kek filem perdana dan bukan bermusuh. Beberapa kawan seperti Woo Ming Jin dan M. Subash tersungkur di pecah panggung, tetapi filem-filem mereka diminati dan bertambah peminat dan 'pengikut' sedikit demi sedikit, dan beberapa daripada mereka difitnah oleh produser lama seperti Raja Azmi, tetapi mereka bergerak terus. Dengan kemasukan Susuk, bolehlah kumpulan orang berkampung ini menarik nafas lega kerana berjaya membawa satu perubahan dalam layar filem seram Malaysia.


Aku tidak akan katakan, inilah filem seram terbaik Malaysia untuk 5 tahun ini kerana aku belum lagi dapat menonton Histeria(2007) arahan James Lee, tetapi aku boleh katakan, ini antara filem pasca moden seram yang boleh dicanangkan buat Malaysia sekurang-kurangnya sekarang. Mungkin ya, tahap seramnya tidak mencapai tahap yang benar-benar takut setahap 'masters of horrors' yang aku kenal, tetapi paparan dunia selebriti hedonis disaluti mistik, cita-cita seorang yang biasa mahu menjadi 'dewa' dan penyesalan masa lalu dengan keinginan pengisian romantisme masa lampau (gothic or Joan Crowford anyone?) menjadikan filem ini antara yang seseronok mana-mana filem salutan satira hidup kepura-puraan selebriti seperti Sunset Blvd, dan aku berani mengatakan, Susuk makes Kenneth "Hollywood Babylon" Anger proud.

Pentingnya idealisme ini dicanang kerana paparan tradisi filem 'hidup gelap bawah Hollywood' seperti yang ditunjukkan dengan seram dalam finale Day of the Locust atau seemosional menyeksa seperti Mullholland Drive, tulisan cerita Rajesh Nair ini berjaya memaparkan sendiri bayang-bayang 'kepura-puraan' para performer di balik layar, melakarkannya sepedas mungkin dengan campuran baur glamour 'tipu (we have such hollow extistance, hence we dont mind to get killed! rujuk Opera)', keinginan 'bintang' dan resah hati terajunya untuk 'stay on top' di mana filem seperti Diva Popular Erma Fatima hanya mencapai separuh daripada pathosnya. Kenapa aku rungkaikan Kenneth Anger? Kerana Kenneth Anger tampak hipokrisi 'hidup cantik dan sempurna' para hiburan ini, memaparkan 'kehitamannya' yang tidak pernah dibayangkan sebaik ini kecuali Layar Lara dan Ringgit Kassorga Suhaimi Baba. Tetapi dengan tangkapan lensa Amir dan Naeim, dunianya lebih terasa 'warna-warni kepalsuannya' terhadap dunia selebriti Malaysia yang sememangnya kecil, tetapi terajunya gah dan rakus mendada merekalah manusia yang dipuja (rujuk: Mawi). Lihat sahaja cengkaman 'pedas' Amir akan Idola (Akademi Fantasia), kemudian dibalik bilik VIP para selebriti berjumpa (ala Malaysia, kecil dan seperti satu minum petang membosankan tanpa kekuatan hip Hollywood, tetapi 'kehebatan' itu dibuat-buat oleh para pengunjungnya), si artis yang menumpangkan seorang peminat (perkara ini tidak akan berlaku dalam dunia gah Hollywood, tetapi kerana inginkan publisiti dan manusia gemilang perlu berseka pinggang dengan orang biasa, mereka terpaksa tebal muka!) balik, dunia susuk artis (simbol kepura-puraan, daripada pembedahan plastik, pembedahan 'anu', botoks sehingga seksualiti artis yang ditutup media) sehinggalah mainan para orang besar (mak/bapak ayam?) memasukkan orang baru (ayam) ke dalam arena yang bermula dengan pub kecil seperti yang dilalui Soraya dalam filem ini. Pathos, getir, perit keinginan menjadi sesuatu (transformasi) dan mulut-mulut busuk dunia selebriti membuatkan Susuk cemerlang dalam memaparkan dunia aneh tetapi menjadi kegilaan para muda-mudi dan para penerajunya. Aku tidak sanggup tetapi ketawa melihat 'arang' yang diconteng secara sengaja oleh Amir terhadap para selebriti yang ada pada tayangan perdana semalam. Perih dan pedih itu terasa!

Dengan semua ini, masuk Dewa Dewangga (lakonan Adlin Aman Ramlee yang melakonkannya dengan penuh serius, satu tepukan buatnya), satu simbolisme machois klitch, pengilang "i can make u a star" (lihat babak akhir) dengan penggayaan (aku bawa glamour, diva, pop, seksa S & M dalam satu paparan sekali gus!) dunia fantasi dalam jemarinya ("Aku boleh buat gangsa jadi emas", rujuk babak Dewangga memasuki alam fantasi ala Keraton dengan tiba-tiba!). Di sini, sekali lagi kegeniusan Amir ditahap tertinggi. Dengan jayanya, mereka memaparkan si Dewa Dewangga seakan separa PR, manager from hell/heaven (really horror if people get this sarcasm!) yang membawa keseluruhan "cita-cita palsu" kerana sumpahan yang dikenakan terhadap mereka yang menerima tawaran Dewa itu. Malah, kita dipaparkan, orang seperti Sofea dan Aleeza sudah tentu mahukan hadiah Dewa ini, tetapi kenapa mereka tidak dapat? Adakah kerana mereka sendiri 'menolaknya'? Kita juga dipaparkan di tempat bomoh, di sebuah tirai, sepasang mata melihat mereka yang disusuk. Kita tahu ini Dewa Dewangga. Dewa Dewangga ialah tanda voyeur, peranan yang diambil sebagai ' dia yang serba tahu' (rujuk Phone Booth) yang sekilasnya adalah sang pengarah (mereka adalah tuhan, penggerak simpang siur cerita), dan selicik mungkin juga paparan tanda kita sebagai para penonton. Kita sebenarnya Dewa Dewangga. Secara prasedar, kita mahu Soraya (lakonan sangat bersahaja Diana Rafar) mendapat sesuatu, walaupun kita rasa apa yang Soraya akan lalui itu tidak betul, tetapi kita mahu dia mendapatkannya (separuh daripada kita mahu dia SEDAR secepat mungkin) kerana kita bersimpati dengan kejujuran Soraya. Tetapi dengan voyeur ini juga, Amir menyakiti kita dengan sautan pengkhianatan di akhir cerita, menunjukkan, voyeur kita itu akhirnya voyeurnya (sang pengarah) dan mengejek kita jika kita menafikannya, membisik kepada kita "sebenarnya ini yang kau mahu kan?"- secara pra sedar mengejek diri kita sendiri yang hidup dalam dunia sms Akademi Fantasia (kita menentukan naik jatuh seorang artis!) dan suka/benci satu-satu paparan hidup selebriti. Ya, kitalah hipokrit terbesar sebenarnya. Dan ini dicapai dengan "ace" oleh Amir Muhammad.

Ada beberapa perkara yang aku tidak suka dalam filem ini. Ini tertusuk dalam bahagian tengah 'meleret panjang' (wajar dalam memaparkan 'perasaan' Ida Nerina untuk mencari silamnya yang hilang) video MTV dan babak-babak Soraya mendapatkan susuk, lalu ibunya tersungkur. Di sini terletak 'Point of no return', pilihan Soraya itu memilih apa yang dia pilih, tetapi apa yang membuatnya betul-betul memilih? Di sini, idea ini dibuat dengan longgar dan tidak ada pengertian konkrit (adakah kerana ibunya sebagai simbol penentu hidup mati? Atau mahu menunjukkan pilihan ini berlaku prasedar dan tanpa sengaja atau suka-suka? Bagi aku tak mungkin), malah lagu-lagu nyanyiannya sumbing dan membingit telinga, langsung tidak boleh dikatakan 'haunting'. Di sini yang membawa kelemahan cerita ini, samada kita boleh bersimpati dengan pilihan Soraya atau tidak. Amir cuba menggunakan pendekatan 'doppleganger' dalam Vertigo atau Mulhollad Drive di mana kita cuba mengaitkan keinginan satu watak dengan penyesalan satu watak lagi atau perkaitan antaranya dan apa yang membuat mereka 'mendetak' secara emosional, tetapi bukan seperti David Lynch atau Alfred Hitchcock, fluid transformasi ini tidak menjadi, malah sedikit gopoh, menyebabkan kita terhenti untuk mencari 'apa yang hilang dalam Soraya' dan menyedihkan, Soraya sendiri tiba-tiba menjadi superfisial. Ada beberapa perkara seperti babak akhir mempunyai kekuatan yang lebih jika dengan tiba-tiba kereta yang dinaiki Ida (dengan apa yang berlaku dalam kereta) tiba-tiba kamera bergerak ke lanskap luas Putrajaya lalu bergerak ke arah pusat bangunan Putrajaya, menjawab lapisan ketiga yang Amir cuba bawa tentang 'pembangunan yang sia-sia' ke jaringan gol yang sepatutnya.


Walaupun begitu, filem ini sudah berjaya sebagai satu permulaan Amir sebagai pengarah 'transisi' perdana dalam membawa satu kesegaran isu dan latar filem walaupun dalam genre yang boleh terperusuk ke generik. Para pelakonnya, terutamanya Diana Rafar, Norkhiriah, Sofia Jane, Aleeza Kassim, Ida Nerina dan Adlin Aman Ramlee mencengkam dan baik, membawa sedikit persona Pedro Almadovar yang mengangkat watak-watak bising separa romantis (kadang-kala tersisih) yang diseksa dalam hal-hal yang melangkau pemahaman moral kemanusiaan. Pelakon kacak tapi kayu dalam Cinta itu yang aku pernah kutuk pun membawa satu kesegaran baik, walaupun dengan kasihan tidak diberi banyak shot imej. Lagu Hardesh Singh terbaik pada masa-masa awal dan pada 'showdown' akhir, tetapi agak leka dan bermain-main dalam beberapa tempat dalam filem. Daven Raghevan memberi satu panorama kuat dalam 'eerie' latar beberapa babak yang baik termasuk beberapa babak selebiriti yang ditangkap dengan sewarna dan seikhlas mungkin, tetapi babak-babak seram masih perlu dibaiki. Suara adalah kelemahan utama filem ini. Paparan ekstra gaya Hafsham pada awal dan beberapa bahagian cerita (sekurang-kurangnya klise watak India tidak dipandang rendah!) menguatkan bau Malaysiana dan kelihatan appropriate.

28 July 2008

Memperkenalkan Mutiara Sesat

Ya, mutiara ni tersesat di tengah bandar London, tapi kerana ia mutiara, nilainya tinggi, juga kata-katanya:


http://lostpearlinbigoyster.blogspot.com/


Ia bernas, jujur, ekspresinya bukan kebiasaan remaja kita yang "oh, aku putus cinta" atau "mari bergambar sakan" atau "Dafi cute lah konsert malam tadi, aku nak mimpikan dia bila baring kat katil nanti" yang aku jumpa belambak dalam blog tetapi (walaupun belum matang dan tersunting) kata-kata penuh ke arah mencari estetika dalam hal sekeliling, dan mungkin, estetika dalam hidup, dalam roh. Lihat, dengar, baca ...

27 July 2008

Red Cliff(2008) Laju, Seronok, Tak Puas



Sebelum aku mula, aku nak beritahu dua buah filem yang menarik untuk diperkatakan:

X-Files: I Want To Believe – Sepupu aku, Safiah dari London telah memberi satu kesimpulan yang terbaik selepas menonton filem ini bersama aku, adik aku dan kakaknya: Engaging from start to the end, but just like a bible, full of thoughts but no concrete conclusion. Buat aku, aku suka tengok Dana Scully (sekarang doktor), aku suka tengok Fox Mulder. Aku suka tengok Scully dan Mulder bercium (fantasi!). Serius, filem kali ini sebuah filem romantik yang mementingkan dinamisme dan drama dalam interaksi pakwe-makwe (dulu bukan main sipu-sipu) dua teraju utama, dan oh ya, ada si botak Skinner! Memang khas untuk para peminat yang boleh memaafkan Chris Carter kerana memberi sebuah episod yang tersangatlah panjang dalam sebuah cerita yang sungguh senang (dan, emm, sedikit bodoh), penuh intrig, drama yang menjurus ke arah soapy, tapi memang menyeronokkan melihat dua pelakon yang sudah lama tidak ditonton bercakap dalam jargon nerd mereka tapi tetap boleh tampak cool dan seksi.

Kuntilanak 3 – Sebuah porno seram/slasher di tengah hutan kerana mengumpulkan sekumpulan manusia cantik (tapi bodoh) pergi camping dan kemudiannya membunuh mereka satu per satu (yang paling macho, kacak, jantan, feminis dan nampak pandai mati dulu, dan baru yang jambu dan kemudiannya yang emosi tak betul) dengan pelbagai aksi BDSM yang boleh dibayangkan oleh seorang suri rumah bosan dengan senjata suami yang tumpul tiga inci. Aku serius, ia sebegitu seram. Point terbaik: kuda dikejar kanak-kanak yang tiba-tiba dimakan oleh kuntilanak, bayi dalam lembu (oooohhhh, love this part!), nenek dalam pondok rupa-rupanya lesbian tua yang dahagakan darah sunti- menjilat jari, oh silap, pipi. Aku suka akhirnya. Julie Estelle tetap rock!

Red Cliff – fuh, baru sampai ke sini. Ini sahaja filem yang baru ditonton di pawagam yang ‘worth writing this long’

OK, fakta: Dalam studio perfileman dunia, hanya tiga buah studio/negara filem sahaja yang berjaya mencipta epik-epik yang seru: Hollywood, Rusia dan China-Hong Kong (Korea baru nak naik, Jepun, emmm memang ada yang bagus tapi belum ada yang se’ambitious’ China-Hong Kong seperti The Emperor & The Assassin, dan Hindustan, pernah cuba Asoka? Ughhh!). Aku dah banyak menonton filem epik Cina (ya, aku minat gila filem-filem perang mereka), dan aku boleh bersetuju, John Woo berjaya membawa satu kenikmatan dalam sebuah filem epik yang pernah difilemkan beberapa peristiwanya oleh Shaw Brothers beberapa kali (walaupun baru bahagian pertama yang telah menyebabkan ramai penonton bengang dan mahukan lagi daripada durasi dua jam filem ini). Filem ini berdasarkan sejarah pertelingkahan Cao Cao pada zaman Tiga Kerajaan terhadap manusia-manusia yang cuba menahan pembuakan kuasanya. Sejarah ini dikitabkan dalam sebuah buku bernama Romance of The Three Kingdom, antara tujuh buah buku ‘hikayat’ terunggul Cina. Romance of The Three Kingdom dikatakan elok untuk orang muda yang mahu berfikiran ‘tua’ dengan plot strategi dan muslihat demi muslihat sedangkan Water Margin elok untuk orang tua yang mahu berfikiran muda dengan minuman todi dan pelbagai hal-hal perbuatan semangat perwira muda. Aku juga pernah bermain permainan stimulasi komputer Koei yang memang ‘cuba’ menajamkan pemikiran untuk bertindak dengan betul.

Dalam hikayat terkenal ini, aku suka benar dengan watak Cao Cao (di dalam filem ini, dan juga hikayatnya, digambarkan sebagai seorang jeneral yang kejam dan boleh dikatakan antagonis cerita), dan di dalam filem ini, dimainkan dengan baik sekali oleh Zhang Fengyi, antara pelakon terbaik China dan pelakon China kegemaranku (tonton Farewell My Concubine untuk menonton kehebatannya). Cao Cao dalam gambaran John Woo sungguh manusia; walaupun kejam, Cao Cao masih manusia (walaupun sangat bergeliga) dan bergerak dengan intuisi dan nafsu manusia, bukan bersikap kedewaan. Penggayaan ini penting dalam melakarkan tiada baik dan jahat yang sebenar dalam coretan sejarah cerita ini (walaupun askar Han bawah naungan Cao Cao memakai warna hitam), hanya dua buah pihak yang mempuyai peluang, dan berdasarkan faktor serta kekuatan, melihat bagaimana peluang ini dipergunakan dengan sebaiknya untuk menentukan kemenangan- di sinilah John Woo berjaya mengangkat kebenaran roh Romance of the Three Kingdom.

John Woo bercerita tanpa memeningkan kepala penonton (ada beberapa epik yang disengaja kompleksitinya seperti War & Peace versi Rusia atau Heaven's Gate) kerana tahu, lanskap, manusia yang mengisinya,watak-watak bulat yang memberi peranan penting, kompleksiti rancangan perang perlu dikawal dengan baik dan segala kemungkinan ini perlu dilihat seakan-akan seeokor burung dari atas langit yang melihat tajam akan setiap babak manusia yang sedang dan akan berlaku serta penyusunan sebab akibat yang mengasyikkan. Lihat sahaja babak simbolisme merpati – helang yang digunakan dalam filem ini dan bandingkan dengan penggayaan keterlaluan helang Oliver Stone untuk Alexander. Ia lebih alamiah, terikat dengan cerita dan peranan serta mengikat antisipasi penonton dan terikat cantik dengan babak yang dilanskapkan. Ini praktikaliti John Woo.

Memang dikatakan filem ini melanggar beberapa fakta sejarah- filem epik yang mana tidak. Ini wajar kerana susunan drama dan intrig yang diperlukan dengan alunan, seperti satu okestra besar, disusun dengan teliti supaya ia dapat menarik perhatian dan emosi penonton, dan menarik ia berjaya. Ada beberapa babak awal menggambarkan ia semacam sebuah filem separa Hallmark-Disney (John Woo semacam tidak hilang gaya lamanya) dengan sentuhan arahan Hollywood (laju dan kemas, hilang kelembapan dan grand feel yang biasa dalam filem epik Cina, dan dengan lebih baik, meninggalkan over the top artistik Zhang Yimou), dan sedikit gusar dengan dialog separa Sembilu (ada sedikit pada awalnya) serta efek bunyi yang mengarut (sewaktu burung hinggap ke tangan Maharaja Han), tetapi semua ini hilang kerosakannya dengan cita-cita tinggi serta suara manusia yang dilukiskan sebaik mungkin dalam sebuah drama manusia yang sangat besar kanvasnya. Malah mengejutkan, John Woo melawan konvensi dengan menambah beberapa ‘light moments’ dengan wit Cinanya (selalu berlaku antara dialog ‘scheming’ Takeshi Kaneshiro yang hebat dengan Tony Leung yang cool). John Woo juga mengejutkan kerana memaparkan, walapun ekonomi dan komersial, beberapa punggahan emosi yang semanusia mungkin yang diluahkan oleh watak-watak ksateria dan jeneral terutamanya di bawah Liu Bei dan Zhou Yu, memaparkan watak-watak kependekaran yang tinggi dan beradab, penuh semangat keperwiraan yang kita dengar hanya wujud sebelum perang dunia pertama, bila perjuangan itu benar-benar datang dari jiwa yang murni dan semangat yang lurus (L Grande Illusion memaparkan kepupusan semangat keperwiraan ini). Semangat ini berjaya diangkat oleh John Woo. Heck, aku rasa nak belajar bersilat selepas menonton filem ini!

Apa yang menarik ialah, teknik fast cut dan tiba-tiba kamera mengfokus terhadap wajah denga zoom laju. Walaupun kita akan merasa janggal (gaya yang sangat 70-an dan banyak digunakan oleh filem-filem perang dan kung fu Shaw Brothers) pada mulanya, tetapi kita akan sedar, teknik ‘laju dan menangkap ikon watak’ ini wajar kerana memperlihatkan pada setiap mis en scene, berlakunya satu ‘muslihat’ yang sengaja tidak mahu dirungkaikan untuk menjaga anitisipasi penonton tetapi bila ia dipaparkan, dipaparkan dengan membuat mata-mata penonton terus kagum dan terkejut dan ya, menepuk tangan (ya, agak ‘murahan’, tapi gaya keep and sustain then surprise ala sarkas magik John Woo sangat menjadi). Lihat sahaja babak ‘perisai berkilau’ sewaktu wajah-wajah jeneral dua pihak berlawan mahu dekat bertempur, lalu wajah-wajah jeneral difokus, lalu tiba-tiba perisai dipusing lalu silauan emas berlaku. Semua penonton di dalam wayang terus terlopong dan ada yang menjerit kesukaan- taktik yang sejuta kali lebih baik daripada aksi berefek CGI melampau seperti dalam The Mummy. Terima kasih kerana ini, stunt manusia dan kepandaian suntingan masih ‘mahal’ sebagai teknik bermain dengan keterujaan penonton abad ke-21.

Ini ditambah dengan aksi kareografi ‘one man combat’ yang sangat lunak dan sebaik mana-mana filem kung fu (untuk memaparkan kehebatan satu-satu perwira) Hong Kong, walaupun sedikit eskapis. Runut bunyi filem ini pula, walaupun difusi dengan Jepun (pembikinnya seorang Jepun) telah berjaya melatarkan filem ini dengan satu mutu keunggulan epikal yang tinggi dan sebaik Lord of the Rings.

Kesemua para pelakon menjayakan filem ini dengan baik. Aku suka watak Takeshi Kaneshiro yang ‘smart’ dalam tutur katanya, mengalahkan mana-mana Cicero di dunia ini dengan kata-kata retoriknya. Dan pelakon baharu itu yang berlakon sebagai puteri Kerajaan Wu, aduh, boleh saja mengalahkan kepetahan Zhang Zi Yi dengan lunak kelantangannya. Oh, ada sebuah babak dipotong- babak seks yang digembar-gemburkan mainan Tony Leung (kalau dia tak main, tak sah kan? Basi dah sebenarnya ...) dengan isterinya yang ingin dimiliki oleh Cao Cao (ohhh, dah rasa macam Troy lah pula).

John Woo mengembalikan kepastian bahawa Hong Kong-China masih relevan dalam dunia pembikinan filem-filem besar, tetapi menambah satu lagi kepastian – ia dibuat dengan keseronokan hiburan dan sifar kebosanan tapi masih terjaga falsafah roh ceritanya serta kemanusiaannya.