Showing posts with label Naeim Ghalili. Show all posts
Showing posts with label Naeim Ghalili. Show all posts

01 August 2008

Tawakal-Allah Amir Buat Susuk

Susuk, filem terbaharu daripada Amir Muhammad dan Naeim Ghalili akan keluar awal Ogos ini, bersempena dengan bulan hari jadi aku, jadi kiranya satu hadiah sinema Malaysia buat aku lah! Dalam keadaan penonton Malaysia yang tidak tentu menonton filem Malaysia berikutan kenaikan minyak (tapi Dark Knight tengok sakan), Susuk berani ke tengah gelanggang Ogos bila tahap filem Summer Hollywood adalah yang tertinggi (Wall-E akan keluar bulan ini). Keberanian ini sudah tentunya dibuat dengan azam tinggi dan perasaan berdebar para produser GB bahawa filem Malaysia masih relevan, dan kelainan yang ada dalam Susuk diharapkan boleh membuktikan kerelevannya terhadap institusi pecah panggung (baca: kapitalisme).

Dalam proses produksi Susuk, yang dikatakan mengambil masa dua tahun, dalam prebiu yang aku hadir, Amir dengan seloroh mengucapkan, "Setahun untuk saya, setahun lagi untuk Naeim mengarah". Seloroh ini seakan menggambarkan dua pengarah ini bercakaran (oleh sebab itu Naeim berseloroh, "Jangan percaya apa-apa yang si Amir tu cakap!"). Tetapi melihat hasil filem ini, juga saling merendah diri Amir dan Naeim, kita dapat lihat kuasa tim saling bekerja sama antara dua pengarah muda Malaysia ini. Malah Amir menambah kepadaku, bahawa gandingan pengarah ini perlu kerana Amir boleh melepaskan dialog-dialog mencuit dan mengarah lakonan para pelakon tetapi untuk bantuan imej dan shot yang benar-benar seru, teknikalnya diletakkan di bahu Naeim. Maka simbiosis ini yang digunakan untuk menghasilkan Susuk, dan betapa mereka berjuang untuk menghasilkan yang terbaik. Maka itu, aku memberi satu wawancara untuk menyelami seksa dan suka Amir sewaktu menghasilkan bayi perdananya ini; Susuk, menambah sebuah lagi filem seram dalam senarai filem seram ala Malaysia. Oh, aku lupa nak tanya Amir, sebuah filem seram lagi tahun depan, atau sudah serik?

-//-

fadz: Durasi dua tahun pembikinan filem ini menarik diperjelasi jika dipadankan bahawa ini sebuah filem seram (filem seram dikatakan yang tercepat dibikin tapi paling susah dalam teknikalitinya), dan saya ketahui, walaupun cerita asal ini (skrip?) ditulis oleh Rajesh Nair, semangat dan roh dalam filem ini sememangnya "Amir Muhammad". Apakah idea filem ini asalnya daripada saudara, atau Rajesh?

Amir: Idea asal daripada saya, Naeim Ghalili dan penerbit filem Dhojee. Kemudian kami pasang iklan di www.mandy.com untuk mendapatkan penulis skenario. Rajesh memberi struktor kepada filem ini, kalau tak silap sampai draf ke-5, tanpa dialog tetapi lebih kepada ‘building blocks’ untuk naratif ini. Sebenarnya filem ini ialah kolaborasi total antara saya dan Naeim. Dia mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk menterjemahkan idea kepada bentuk visual yang dinamik. Kalau saya seorang, akan pilih shot yang paling mudah saja, tak payah susah-susah.


fadz: Apa yang sebenarnya terjadi pada skrip, berapa kali ia melalui kerja draf? Terus-terang, saya dapat rasakan semacam ia sebuah filem yang melalui 'on going process'? Tentu ini menarik jika mengambil gaya Wong Kar Wai, Lynch atau Altman. Apakah saudara dengan sedar dan tahu filem ini akan dibuat dengan aliran sebegini?

Amir: Shooting script ialah draf ke-8 tapi kami masih mengubah beberapa perkara semasa penggambaran. Terdapat 4 penulis: saya, Naeim, Rajesh dan Amri Rohayat; ironinya semua lelaki tapi hampir semua watak utamanya perempuan. Satu babak tambahan (pembunuhan seorang lelaki dalam kondo) ditambah beberapa bulan kemudian atas permintaan studio yang merasakan filemnya tak cukup ganaz. First edit ialah 2 jam setengah dan beberapa watak kecil dan kameo terpaksa disingkirkan. Mungkin hasilnya seperti monster yang dicipta oleh Frankenstein tapi bertepatan juga dengan tema filem tentang ‘pengubahsuaian’ atau ‘rombakan.’


fadz: Ok, soalan bodoh tapi perlu: apa kena dengan ikan pada awal cerita, kemudian ayam? Susah tak nak masukkan ayam dan membiarkannya 'berpeleser' untuk mendapatkan shot yang terbaik?

Amir: Ikan yang sedang disiang dianggap imej yang sesuai untuk gambaran ‘korban’. Sama seperti permulaan filem Fassbinder, In a Year of 13 Moons, yang menggunakan bangkai lembu. Ayam sebenarnya ada dua lapis: binatang yang berkait dengan ilmu hitam termasuk voodoo; dan juga lambang ‘kampung’ yang sejujurnya dibenci oleh Soraya. Memang susah bekerja dengan ayam dan saya tak akan melakukannya lagi.


fadz: Ada sebuah babak dalam Susuk yang diambil di sebuah kilang atau bengkel. Saya teringatkan David Lynch dan mualnya terhadap pengindustrian (nota fadz: atau mungkin Ferry God Mother dalam Shrek 2? haha). Apakah pemilihan kilang itu disengajakan atau terpilih secara tidak sengaja? Seronok tak bekerja di kilang?

Amir: Babak itu harus berlaku di tapak industri kerana, secara sinisnya, proses penciptaan ‘bintang’ pop ada persamaan dengan proses kilang. Jadi kami pakai gudang yang digunakan oleh Fear Factor setelah beberapa kilang menolak permintaan kami (sebab scene tu ada unggun api).


fadz: Bagaimana anda dapatkan para pelakon yang hebat-hebat untuk masuk dalam tab mandi dalam keadaan yang sangat mengiurkan? Babak Sofia Jane sendiri ialah sebuah kultus dan harus dimasukkan dalam arkib perfileman Malaysia sebagai antara yang erotis dalam sinema Malaysia.

Amir: Shot yang saya paling gemar ialah shot Sofia keluar daripada kereta dan sempat melirik/menjeling sebelum masuk ke tempat bomoh. Susuk sebagai tema ialah sesuatu yang erotik kerana dikaitkan dengan tarikan, tahyul, tabu dan (untuk menyambung aliterasi) tab.


fadz: Babak pemakaian susuk di tab mandi sendiri ialah personifikasi mise en scéne yang mengatakan, ini sebuah filem yang perlu ditonton. Jonathan Romney mengatakan filem dekad sekarang tidak perlu lagi cerita berstruktur atau plot baik (bukan menidakkan Susuk tidak berplot), tetapi sebuah mis en scene yang mendefinasikan segalanya, dan itu sahaja perlu. Apakah saudara rasa ini wajar, atau struktur dan plot, tradisi yang kita ambil daripada Hollywood itu masih perlu?

Amir: Sebuah shot yang ‘kena’ dan ‘ikonik’ mampu mencipta delirium yang tersendiri, yang tak akan dilihat dalam cabang seni yang lain. Seperti kata seorang: Continuity is a bourgeois fetish.

Saya suka banyak filem yang plotnya ‘tak logik.’ Tapi saya akan bosan kalau tiada naratif, biarpun saya boleh juga melayan kerja Matthew Barney misalnya.


fadz: Filem seram selalu menyampaikan mesej-mesej sosial. Secara prasedar, kita dapat tangkap, Susuk berani membicarakan (walaupun bernafas sosialis) dalam pergerakan trnasformasi Soraya, dialog "gangsa ke emas" juga bangunan agung tapi kosong Putrajaya, progresif (atau kapitalisme) itu membawa kecelakaan. Apakah kepentingan ini dalam sudut filem-filem saudara, dan kenapa sekarang?

Amir: Kalau semua watak wanita kami bertukar kepada lelaki, dan apa yang diidamkan bukan status diva tapi status Perdana Menteri, ia tetap filem yang sama. Kalau kita hendak mencapai cita-cita, kita harus mengubah sesuatu dalam diri kita. Suzana akhirnya menjadi bangkai hidup, samalah seperti bangunan Putrajaya. Tapi terdapat juga elemen self-critique atau self-parody di sini, kerana inilah kali pertama saya buat filem yang dianggap ‘mainstream,’ (nota fadz: perdana) jadi siapa saya untuk berkhutbah tentang ‘selling out’? Yang anehnya salah satu rujukan utama untuk Susuk bukan filem seram tetapi All About Eve (nota fadz: rujuk All About My Mother sebagai sebuah lagi filem yang merujuk filem yang sama).


fadz: Saya diberitahu saudara mengambil rujukan Dario Argento dalam filem ini. Trilogi "Three Mothers" Argento termasuk Phenomena adalah filem-filem 'twisted fairy tale' beliau. Adakah saudara sepakat dan ingin menggambarkan bahawa Susuk juga mengambil penggayaan 'twisted' Cinderella atau Ugly Duckling, atau realisasi ini berlaku sewaktu penggambaran atau pascaproduksinya?

Amir: Ya, twised fairy tale, tapi mungkin semasa pembikinan kami anggap sebagai black comedy atau ‘chick flick yang ganas’. Dualiti antara ‘cantik’ dan ‘hodoh’ juga, seperti Death Becomes Her dan Odishon.


fadz: Pemilihan pelakon, siapa yang buat? Mereka dipaksa atau mereka memaksa saudara mengambil mereka? Siapa yang saudara benar-benar mahukan dalam filem ini? Ini adalah kerana subjek filem ini agak provokatif sebaris dengan Isteri, Perempuan & Jalang pada 1993.

Amir: Dream cast saya memang ada tapi beberapa pelakon menolak. Seorang tak sanggup menjadi ‘bomoh’ dan seorang lagi mahu kami menukar tajuk filem ini daripada “Susuk” ke benda lain. Saya inginkan seorang ‘artis bersara’ menjadi ibu Soraya tapi dia kata dia hanya akan buat “filem dakwah.” Ada penyanyi yang minta RM100,000 untuk lapan scene. Susah juga. Tapi saya dah lama nak bekerja dengan Ida Nerina dan Sofia Jane kerana mereka amat happening. Kami bertemu Diana Rafar semasa audition.


fadz: Adakah ada pengertian tersembunyi saudara mengambil Diana Rafar dan Ida Nerina dengan mata mereka yang 'tersembul'? Atau itu hanya fesyen?

Amir: Mata bundar amat sinematik. Kita boleh melihat ke dalam.


fadz: Saya sedari dari Lips to Lips(2000) sehingga Susuk, saudara menafikan 'father figure', malah watak-watak saudara selalunya berpeleseran 'keseorangan' tanpa bantuan 'ayah' dalam dunia urban serba maju. Kalau adapun 'ayah' ('Ayah' dalam Lips to Lips ialah ayah James Lee yang mati, Tun Mahathir, Big Durian, LKT- penuh dengan 'ayah salah') seperti impian Soraya terhadap 'father figure' Dukun Dewangga suatu yang terpesong. Apakah saudara mempunyai isu terhadap 'kemandulan' peranan ayah?

Amir: Oh, semua tu tanpa sedar. Hmmm. Tema patriarki mungkin wujud biarpun (ataupun disebabkan) filem ini didominasi perempuan.

fadz: Ada satu 'usikan licik' saudara pada satu bab sewaktu Dewa Dewangga menemui seorang pelacur. Adakah kaki pelacur itu seorang lelaki? Ceritakan bagaimana seronoknya saudara menggambarkan babak-babak ini.

Amir: Eh, itu kaki Ida Nerina. (nota fadz: hahaha, habislah aku, tapi takpe, mak aku dan mak dia kawan baik, hohoho! Sori Miss Ida!) Dia memang benci buat scene itu dan akan bertambah benci bila mendapat tahu anda menganggap kakinya menyerupai kaki jantan. Sebagai filem yang menyorot Argento dan De Palma, scopophilia yang wujud harus hetero-sentrik. Saya teringin juga membuat filem yang lebih polymorphously perverse seperti Shortbus tapi harus cari naskhah sesuai. (nota fadz: sangat saya tunggu)


fadz: Saudara juga berlakon sebagai 'pak pacak', mengambil signifikasi Hitchcock tetapi saya tersedar bahawa saudara di sana sebagai 'peon'- pemerhati kelas marhaen terhadap hidup kelas atasan. Adakah saudara saja-saja berlakon kerana tidak cukup pelakon, atau saudara mahu mencuba menjadi pelakon terkenal satu hari nanti?

Amir: Saya pelakon yang amat kaku. (Susuk ialah manifestasi cemburu saya terhadap artis). Watak itu sengaja dipilih sebab saya rasa seperti buruh biasa bila buat filem ini. Dan Naeim juga menawarkan keretanya untuk di’kameo’kan apabila Hairie Othman terpelanting dan terkena kereta itu sampai benar-benar kemek. Kerana dia rasa seperti mangsa kemalangan. Humor kami agak selari.


fadz: Apakah harapan saudara untuk Susuk bila ia keluar tayangan nanti?

Amir: Saya bertawakal sajalah.

31 July 2008

Susuk(2008) Ayam dan Menyucuk

Pertama kali, syabas Amir dan Naeim Ghalili (tetapi sedikit sebanyak aku dapat rasakan, filem ini lebih ke arah projek Amir daripada Naeim oleh sebab beberapa perkara dalam filem ini yang 'lazim'nya sentuhan Amir yang witty), ini setentunya sebuah filem kultus Malaysia untuk 2008: hanya untuk dua babak ini sudah cukup (walaupun aku nak tengok lebih banyak 'isi'), Sofia Jane di dalam air kolam terisi kelopak bunga merintih, "Ah-uh" bila jarum susuk dicucuk ke dalamnya (rujuk: Audition), dan kemudiannya Ida Nerina, Diana Rafar dan Aleeza Kassim di dalam 'bath tub', tetapi tidak ada pelakon pun yang boleh buat 'keghairahan untuk cantik' sebaik Sofia. Cengkaman seksualnya (tanpa perlu menunjuk sangat) terasa, keinginannya untuk mencapai 'bintang' terasa- ya, kita perlu sakit untuk jadi cantik selama-lamanya dan dikagumi (rujuk: Death Becomes Her).

Kedua: Dario Argento tentu menjadi 'perujuk' dalam babak seorang mangsa (aku tak boleh cerita sangat di sini siapa) di mana kamera bergerak perlahan dalam satu lorong rumah (ditiru pula dalam Alien dan The Shinning) 'mencari' orangnya lalu kita lihat 'mangsa'nya, lalu mangsa ini 'diajak' masuk ke dalam perangkap lalu dibunuh dengan lembaga bersarung tangan hitam dan bilah pisau dengan kejam sekali ala Giallo (rujuk: Suspiria, Deep Red; harap-harap ada Director's Cut buat ini!) yang dicampur dengan simbolisme bulu ayam berterbangan (ya, aku tak tipu!: baca subtle simbol ayam, mangsa yang senang diselsaikan, pelacur @ mak hayam![siapakah itu?], orang yang senang dipergunakan) merayap merata-rata- buat penggemar filem seram, kita dapat baca tiga perkara: vodoo, simbol takde makna tetapi seperti Argento kuasa ekspresionis seram dinaikkan tiga kali ganda dengan paparan ayam terbang (serius, rasa 'demented' fasal kehadiran ayam), dan absurdis serta sedikit 'lawak gajah' (kalau sesiapa dapat tangkap 'tounge in cheek'nya) seperti filem-filem Argento yang terkemudian seperti monyet yang memegang pisau dalam Phenomena atau kera jahat dalam Mother of Tears. Buat homaj ini, Amir Muhammad dan Naeim Ghalili sudah membuat satu penghormatan tinggi kepada Guru Ekspresionis Seram serta Raja Seram Rock & Fairy Tale.

Ada sebuah lagi cengkaman mangsa mengingatkan anda kepada The Godfather, tetapi itu hanya satu babak kecil.

Perlu diingatkan, filem ini sebaris dengan filem seperti Psycho, Saw, The Usual Suspect, Sixth Sense, The Unseeable dan Les Diaboliques di mana pengkahirannya menjawab segala persoalan dalam filem. Oleh sebab itu, aku perlu berjaga-jaga dalam penulisan ini agar 'jawapan' filem ini tidak terjawab dalam entri ini. Pun begitu, aku mengharapkan bahawa filem ini ditonton dengan kewajaran filemnya, bukan kerana "oh, sebuah lagi filem yang berakhir dengan pengisian jawapan" di mana, oleh sebab kemasukan belambak filem seram Thai dan Indonesia yang menggunakan formula "jawapan di akhir cerita" yang sama, membuatkan filem sebegini hanyir dan basi, sedangkan pengakhiran filem ini, walaupun mungkin bukan sesuatu yang baharu, mengisi satu kejutan yang kalau tidak memeranjatkan, mempunyai seksa pathos dan seronoknya yang tersendiri.

Bermula dengan filem Sepet (aku tetap mengatakan, Sepet bukan filem bebas kerana ia memasuki pawagam perdana dan bukan seperti Flower In The Pocket, Love Conquers All atau Ciplak) memasuki layar sinema Malaysia, datanglah beberapa pengarah muda (daripada satu aliran indi yang aku panggil 'orang berkampung') yang mula melebar luaskan pembikinan filem perdana sejauh mana perfileman Malaysia boleh pergi. Amir Muhammad dikenali sebagai 'godfather' terhadap perubahan baru ini (dan selepas itu, Osman Ali) dengan kamera digital, mencipta filem yang jauh lebih subtle dan penuh lapisan daripada filem perdana waktu itu. Dengan kehadiran Amir dan konco-konconya, tergegarlah filem perdana Malaysia. Lalu apakah resolusi terakhir mereka yang terasa gegaran ini? Sudah tentu mempelawa para pembikin muda ini merasa kek filem perdana dan bukan bermusuh. Beberapa kawan seperti Woo Ming Jin dan M. Subash tersungkur di pecah panggung, tetapi filem-filem mereka diminati dan bertambah peminat dan 'pengikut' sedikit demi sedikit, dan beberapa daripada mereka difitnah oleh produser lama seperti Raja Azmi, tetapi mereka bergerak terus. Dengan kemasukan Susuk, bolehlah kumpulan orang berkampung ini menarik nafas lega kerana berjaya membawa satu perubahan dalam layar filem seram Malaysia.


Aku tidak akan katakan, inilah filem seram terbaik Malaysia untuk 5 tahun ini kerana aku belum lagi dapat menonton Histeria(2007) arahan James Lee, tetapi aku boleh katakan, ini antara filem pasca moden seram yang boleh dicanangkan buat Malaysia sekurang-kurangnya sekarang. Mungkin ya, tahap seramnya tidak mencapai tahap yang benar-benar takut setahap 'masters of horrors' yang aku kenal, tetapi paparan dunia selebriti hedonis disaluti mistik, cita-cita seorang yang biasa mahu menjadi 'dewa' dan penyesalan masa lalu dengan keinginan pengisian romantisme masa lampau (gothic or Joan Crowford anyone?) menjadikan filem ini antara yang seseronok mana-mana filem salutan satira hidup kepura-puraan selebriti seperti Sunset Blvd, dan aku berani mengatakan, Susuk makes Kenneth "Hollywood Babylon" Anger proud.

Pentingnya idealisme ini dicanang kerana paparan tradisi filem 'hidup gelap bawah Hollywood' seperti yang ditunjukkan dengan seram dalam finale Day of the Locust atau seemosional menyeksa seperti Mullholland Drive, tulisan cerita Rajesh Nair ini berjaya memaparkan sendiri bayang-bayang 'kepura-puraan' para performer di balik layar, melakarkannya sepedas mungkin dengan campuran baur glamour 'tipu (we have such hollow extistance, hence we dont mind to get killed! rujuk Opera)', keinginan 'bintang' dan resah hati terajunya untuk 'stay on top' di mana filem seperti Diva Popular Erma Fatima hanya mencapai separuh daripada pathosnya. Kenapa aku rungkaikan Kenneth Anger? Kerana Kenneth Anger tampak hipokrisi 'hidup cantik dan sempurna' para hiburan ini, memaparkan 'kehitamannya' yang tidak pernah dibayangkan sebaik ini kecuali Layar Lara dan Ringgit Kassorga Suhaimi Baba. Tetapi dengan tangkapan lensa Amir dan Naeim, dunianya lebih terasa 'warna-warni kepalsuannya' terhadap dunia selebriti Malaysia yang sememangnya kecil, tetapi terajunya gah dan rakus mendada merekalah manusia yang dipuja (rujuk: Mawi). Lihat sahaja cengkaman 'pedas' Amir akan Idola (Akademi Fantasia), kemudian dibalik bilik VIP para selebriti berjumpa (ala Malaysia, kecil dan seperti satu minum petang membosankan tanpa kekuatan hip Hollywood, tetapi 'kehebatan' itu dibuat-buat oleh para pengunjungnya), si artis yang menumpangkan seorang peminat (perkara ini tidak akan berlaku dalam dunia gah Hollywood, tetapi kerana inginkan publisiti dan manusia gemilang perlu berseka pinggang dengan orang biasa, mereka terpaksa tebal muka!) balik, dunia susuk artis (simbol kepura-puraan, daripada pembedahan plastik, pembedahan 'anu', botoks sehingga seksualiti artis yang ditutup media) sehinggalah mainan para orang besar (mak/bapak ayam?) memasukkan orang baru (ayam) ke dalam arena yang bermula dengan pub kecil seperti yang dilalui Soraya dalam filem ini. Pathos, getir, perit keinginan menjadi sesuatu (transformasi) dan mulut-mulut busuk dunia selebriti membuatkan Susuk cemerlang dalam memaparkan dunia aneh tetapi menjadi kegilaan para muda-mudi dan para penerajunya. Aku tidak sanggup tetapi ketawa melihat 'arang' yang diconteng secara sengaja oleh Amir terhadap para selebriti yang ada pada tayangan perdana semalam. Perih dan pedih itu terasa!

Dengan semua ini, masuk Dewa Dewangga (lakonan Adlin Aman Ramlee yang melakonkannya dengan penuh serius, satu tepukan buatnya), satu simbolisme machois klitch, pengilang "i can make u a star" (lihat babak akhir) dengan penggayaan (aku bawa glamour, diva, pop, seksa S & M dalam satu paparan sekali gus!) dunia fantasi dalam jemarinya ("Aku boleh buat gangsa jadi emas", rujuk babak Dewangga memasuki alam fantasi ala Keraton dengan tiba-tiba!). Di sini, sekali lagi kegeniusan Amir ditahap tertinggi. Dengan jayanya, mereka memaparkan si Dewa Dewangga seakan separa PR, manager from hell/heaven (really horror if people get this sarcasm!) yang membawa keseluruhan "cita-cita palsu" kerana sumpahan yang dikenakan terhadap mereka yang menerima tawaran Dewa itu. Malah, kita dipaparkan, orang seperti Sofea dan Aleeza sudah tentu mahukan hadiah Dewa ini, tetapi kenapa mereka tidak dapat? Adakah kerana mereka sendiri 'menolaknya'? Kita juga dipaparkan di tempat bomoh, di sebuah tirai, sepasang mata melihat mereka yang disusuk. Kita tahu ini Dewa Dewangga. Dewa Dewangga ialah tanda voyeur, peranan yang diambil sebagai ' dia yang serba tahu' (rujuk Phone Booth) yang sekilasnya adalah sang pengarah (mereka adalah tuhan, penggerak simpang siur cerita), dan selicik mungkin juga paparan tanda kita sebagai para penonton. Kita sebenarnya Dewa Dewangga. Secara prasedar, kita mahu Soraya (lakonan sangat bersahaja Diana Rafar) mendapat sesuatu, walaupun kita rasa apa yang Soraya akan lalui itu tidak betul, tetapi kita mahu dia mendapatkannya (separuh daripada kita mahu dia SEDAR secepat mungkin) kerana kita bersimpati dengan kejujuran Soraya. Tetapi dengan voyeur ini juga, Amir menyakiti kita dengan sautan pengkhianatan di akhir cerita, menunjukkan, voyeur kita itu akhirnya voyeurnya (sang pengarah) dan mengejek kita jika kita menafikannya, membisik kepada kita "sebenarnya ini yang kau mahu kan?"- secara pra sedar mengejek diri kita sendiri yang hidup dalam dunia sms Akademi Fantasia (kita menentukan naik jatuh seorang artis!) dan suka/benci satu-satu paparan hidup selebriti. Ya, kitalah hipokrit terbesar sebenarnya. Dan ini dicapai dengan "ace" oleh Amir Muhammad.

Ada beberapa perkara yang aku tidak suka dalam filem ini. Ini tertusuk dalam bahagian tengah 'meleret panjang' (wajar dalam memaparkan 'perasaan' Ida Nerina untuk mencari silamnya yang hilang) video MTV dan babak-babak Soraya mendapatkan susuk, lalu ibunya tersungkur. Di sini terletak 'Point of no return', pilihan Soraya itu memilih apa yang dia pilih, tetapi apa yang membuatnya betul-betul memilih? Di sini, idea ini dibuat dengan longgar dan tidak ada pengertian konkrit (adakah kerana ibunya sebagai simbol penentu hidup mati? Atau mahu menunjukkan pilihan ini berlaku prasedar dan tanpa sengaja atau suka-suka? Bagi aku tak mungkin), malah lagu-lagu nyanyiannya sumbing dan membingit telinga, langsung tidak boleh dikatakan 'haunting'. Di sini yang membawa kelemahan cerita ini, samada kita boleh bersimpati dengan pilihan Soraya atau tidak. Amir cuba menggunakan pendekatan 'doppleganger' dalam Vertigo atau Mulhollad Drive di mana kita cuba mengaitkan keinginan satu watak dengan penyesalan satu watak lagi atau perkaitan antaranya dan apa yang membuat mereka 'mendetak' secara emosional, tetapi bukan seperti David Lynch atau Alfred Hitchcock, fluid transformasi ini tidak menjadi, malah sedikit gopoh, menyebabkan kita terhenti untuk mencari 'apa yang hilang dalam Soraya' dan menyedihkan, Soraya sendiri tiba-tiba menjadi superfisial. Ada beberapa perkara seperti babak akhir mempunyai kekuatan yang lebih jika dengan tiba-tiba kereta yang dinaiki Ida (dengan apa yang berlaku dalam kereta) tiba-tiba kamera bergerak ke lanskap luas Putrajaya lalu bergerak ke arah pusat bangunan Putrajaya, menjawab lapisan ketiga yang Amir cuba bawa tentang 'pembangunan yang sia-sia' ke jaringan gol yang sepatutnya.


Walaupun begitu, filem ini sudah berjaya sebagai satu permulaan Amir sebagai pengarah 'transisi' perdana dalam membawa satu kesegaran isu dan latar filem walaupun dalam genre yang boleh terperusuk ke generik. Para pelakonnya, terutamanya Diana Rafar, Norkhiriah, Sofia Jane, Aleeza Kassim, Ida Nerina dan Adlin Aman Ramlee mencengkam dan baik, membawa sedikit persona Pedro Almadovar yang mengangkat watak-watak bising separa romantis (kadang-kala tersisih) yang diseksa dalam hal-hal yang melangkau pemahaman moral kemanusiaan. Pelakon kacak tapi kayu dalam Cinta itu yang aku pernah kutuk pun membawa satu kesegaran baik, walaupun dengan kasihan tidak diberi banyak shot imej. Lagu Hardesh Singh terbaik pada masa-masa awal dan pada 'showdown' akhir, tetapi agak leka dan bermain-main dalam beberapa tempat dalam filem. Daven Raghevan memberi satu panorama kuat dalam 'eerie' latar beberapa babak yang baik termasuk beberapa babak selebiriti yang ditangkap dengan sewarna dan seikhlas mungkin, tetapi babak-babak seram masih perlu dibaiki. Suara adalah kelemahan utama filem ini. Paparan ekstra gaya Hafsham pada awal dan beberapa bahagian cerita (sekurang-kurangnya klise watak India tidak dipandang rendah!) menguatkan bau Malaysiana dan kelihatan appropriate.