11 October 2016

Manusia dan Potensi Ciptaannya

Nota fadz: Tulisan berikut sebenarnya merupakan tulisan aku dalam pojok khas sewaktu Bront Palarae, tauke besar yang memegang laman berita-ulasan-pojok karyawan-seniman kontemporari, The Daily Seni, memohon untuk aku menulis. Ada beberapa tulisan aku, yang banyaknya menzahirkan hal kesusasteraan dan pemikiran (kononnya). Ada beberapa kali yang aku menyentuh filem (Bront tidka mahu aku mengulas filem), memandangkan jiwa raga aku memang di situ, mahu tidak mahu. Aku timbulkan kembali, dengan sengaja kerana aku dalam proses ingin menulis (tak tahu jadi atau tak) sebuah buku esei kajian filem, setelah didesak oleh seorang kawan. Jadi, aku perlukan maklumat dan buah fikiran ini untuk perjalanan itu. Jadi, di sini, aku kongsikan sekali lagi. 



La', jangan khuatir, ini bukan buah ceramah agama (dan sebenarnya, seeloknya, kita dapat mencari mutiara daripada agama kita sendiri untuk pengolahan butir isi penghasilan karya, walaupun berbentuk duniawi dan kemasyarakatan) yang tersampai selesa dari dalam masjid selepas maghrib. Malah, saya tiada autoriti untuk menyampaikan ilmu sebegitu. Perkara yang ingin saya kongsi di sini, seperti suatu pancaran tiba-tiba yang membuat saya mengetuk papan kekunci, menjadi pokok wacana setelah saya, dengan kerdil dan kebodohan diri, mengikuti Wacana Fikrah Ummah yang disampaikan sendiri oleh abang saya, Dato’ Dr. Afifi al-Akiti di Dewan Bahasa dan Pustaka pada pertengahan Disember 2014.

Dr. Afifi pula, meneruskan tradisi penyampaian ilmu kalangan cendekiawan Islam dengan menyampaikan apa yang beliau sudah “faham” (khatam), yakni wasiat enam ciri yang harus ada dalam diri manusia Islam oleh Imam Juwayni (1028-1085) yang diperturunkan kepada Hujjatul Islam, Imam Ghazali. Maksud wasiat ini adalah untuk mewajarkan bahawa jika keenam-enam ciri ini diperdalam dan diikuti oleh para mukmin, mereka akan berjaya dalam dunia dan akhirat. Menariknya, wasiat ini telah dicuplik dan digunakan oleh sarjana Barat pada era ke arah Rennaisance, malah enam cirinya telah ditulis dalam bentuk enam moto dalam Latin, dan menjadi tunjang kefahaman dan ikutan tamadun Barat Eropah sehingga sekarang.

Dr. Afifi hanya menyampaikan ciri yang pertama, namun hanya ciri yang pertama ini (yang diperbincangkan oleh Imam Ghazali dengan panjang lebar lagi), saya menyedari, mempunyai inti pati berguna dalam memahami kemampuan mencipta karya seni dan perkaitannya dengan maksud karya seni yang bermanfaat (dalam penciptaan dan juga mengikutinya) ataupun sebaliknya, dan hal inilah, diperkirakan, dapat dimaklumi semula (walaupun sebelum ini sudah banyak yang ditampilkan) dalam kefahaman yang mendasari “sastera Islam”, “seni Islam”, atau “filem Islam”, dengan lebih baik lagi.

Ciri pertama yang diwacanakan itu ialah zaka’un, yakni yang lebih dekat dalam terjemahan Inggeris ialah a quip mind” (pemikiran yang tajam?) atau boleh disampaikan sebagai manusia yang bijaksana atau bijak pandai, atau mempunyai “akal yang cerdas”.

Di sini sahaja, Imam Al Ghazali memecahkan akal ini kepada empat fasa fakulti (keupayaan semula jadi otak) atau empat tingkatan keupayaan yang mendasari manusia dan perkaitan perhubungannya dengan kemampuan otak haiwan.

Yang pertama, hissiyyun, yakni suatu fakulti yang berkenaan dengan rangsangan (stimulus) dalam deria yang paling asas. Rangsangan atau cerapan rangsangan ini boleh berbentuk sentuhan, cahaya, suara, dan rasa di lidah, lalu memberikan tindak balas fizikal. Imam Ghazali menyatakan, fakulti ini juga wujud dalam kelekatu, yang dengan automatiknya, terangsang dan terbang ke arah cahaya lampu atau pelita. Metaforanya di sini menarik. Apabila kelekatu menghampiri pelita, ia tetap pergi ke situ (walaupun tahu ia berbahaya) dan akan terbunuh apabila mendekatinya. Manusia yang hanya ghairah dalam gelora tingkatan ini akan terjejak dalam bahaya. Bagi saya, rangsangan deria ini paling mendekati hal yang berkaitan dengan nafsu dan emosi terbawah manusia. Kesan stimulusnya yang paling cepat tercerap. Ia berkaitan dengan, contohnya, kenapa manusia dalam bilik gelap, matanya akan terarah kepada layar putih yang ditembak dengan cahaya (wayang). Ia juga berkaitan dengan menyelami pengkaryaan erotik yang menyebabkan ereksi (oleh sebab itu, jika kita menonton filem lucah atau membaca novel lucah, kita berasa “stim”) kerana tindakan atau rangsangan yang begitu cepat dengan perlakuan seks, sesuatu yang paling asas dalam bikinan haiwan ataupun manusia untuk melata di bumi. Maka dengan jelas, hal yang berkaitan dengan deria ini, jika dihayati dengan bersungguh, seperti kita mengikuti suatu orgi Rom, dengan tubuh telanjang menjalankan kegiatan menusuk entah apa-apa di hadapan kita, dengan arak dan makanan yang tidak habis-habis di hadapan kita, dan lagu yang memukau, menusuk deria mata, bau telinga, dan rasa sekali gus, ini memerangkap kita dalam alam kenafsuan yang melampau. Barat mengangkat bahagian ini sebagai antara kaitan estetik (keindahan) dalam humanisme, dan sebab itu, kita dengar, si model akan dilukis (mimesis atau salinan tahap asas) telanjang bulat oleh anak murid pelukis (dan secara ekstrem, unsur ini diselami habis oleh Marques de Sade, maka sadisme, seks luar tabii, dan keganasan juga terlingkung dalam unsur yang berkait dengan fakulti ini). Dalam Islam, walaupun mungkin unsur ini timbul, ia tidak terpampang jelas malah dikurangkan, disamarkan, atau ditiadakan.

Yang kedua, khayaliyyah, yakni suatu fakulti yang berkenaan khayal atau imaginasi, yang membentuk daripada tiada kepada ada dalam minda. Fakulti ini juga berkenaan dengan memori, yang mewujudkan hal yang ada kemudian tiada kepada rangsangan dan kefahaman yang ada, misalnya anjing yang dilatih dengan kayu atau loceng (mengikut kajian Pavlov yang sebenarnya sudah diterangkan oleh Imam Ghazali sedari awalnya). Abang saya dengan mencemik, menyatakan penghayatan unsur inilah yang paling mendekati sastera, tetapi saya kurang bersetuju dengan hal itu. Ya, saya setuju, sastera telah menggunakan fakulti ini dalam teknik free writing, yakni menulis segala-galanya yang terasa perlu tanpa merancang dan berfikir dahulu, tetapi sastera memerlukan hal yang lebih daripada imaginasi semata. Dalam pengkaryaan seni, penghayatan surreal, absurd, fantasi dan arus kesedaran (stream of consciousness) melingkungi dasar tingkatan upaya ini.

Yang ketiga, wahmiyyah, atau waham (sangkaan atau dugaan), suatu fakulti yang mengikut naluri (instinct), yang bertindak sebelum diajar ataupun melalui suatu pengalaman. Imam Ghazali memberi contoh haiwan monyet atau kambing biri-biri. Apabila binatang ini dalam bahaya dengan kehadiran binatang buas, mereka sudah dapat mengagak-waham, lalu menjauhi tempat itu. Naluri ini seakan-akan berkaitan dengan survival dan kefahamannya untuk terus selamat. Keselamatan ini ada perkaitannya dengan suatu undang-undang semula jadi yang dicerap oleh haiwan mahupun manusia, suatu undang-undang halimunan yang diikuti secara sarwajagat. Bagi saya, naluri ini juga amat mendekati penghayatan rasa dan emosional manusia. Di sinilah, dalam pengkaryaan, hasil seni itu “dibentuk” daripada khayal atau imaginasi yang semberono. Bagi saya, sesiapa yang mengungguli tingkatan ini, mereka dapat menghasilkan karya berunsur romantik, seram, dan ngeri (thriller) yang terbaik, kerana ruang fakulti yang mencerap dan menghasilkannya bukan sahaja memerlukan imaginasi (mencipta suatu yang tiada) tetapi memahami dengan naluri hal yang tiada di situ. Perasaan takut (fear) juga amat berkaitan dengan waham ini, yang juga dapat dipecahkan dalam pelbagai tingkatan pula, dan sesiapa yang dapat memanipulasinya adalah seorang pengkarya yang baik. Hal ini bukan sahaja berkaitan dengan tingkatan takut tertinggi yang dinyatakan oleh Stephen King, yakni ditakutkan dengan sesuatu yang tidak ada (filem Babadook jelas mempunyai kekuatan ini, seperti filem Repulsion dan Session 9), tetapi ketakutan dalam menyampaikan suatu wacana kepada pembaca untuk terasa berjaga-jaga, berdebar dan teruja. Maka hal ini juga berkaitan dengan keupayaan penulis itu membina saspens dan keterujaan dalam penulisan. Fakulti naluri ini juga mengawal fakulti imaginasi kita (dengan mudah misalnya, naluri kita menyatakan jika idea imaginasi itu menarik atau tidak), lalu dengan itu menghadirkan tanda baca (di mana komanya, di mana noktahnya) dalam pengkaryaan kita.

Yang keempatlah, akal, atau akal manusia, kerana hanya manusia sahaja yang mempunyainya, seperti definisi jelas yang dinyatakan oleh Prof. Naguib al-Attas, satu-satunya makhluk hidup yang menggunakan bahasa (dan memanipulasikan bahasa) untuk memaknakan alamnya dan memahaminya. Dalam erti manfaat kehidupan manusia, sudah tentu akal digunakan untuk merancang, menilik masa hadapan (dengan premis atau bukti yang ada dalam pemerhatian), lalu mengatur tindakan. Dengan akal jugalah, manusia, dapat berkarya untuk manfaat dirinya (baik untuk tujuan duniawinya mahupun rohaninya), dan sudah tentu, masyarakatnya. Dengan akallah juga, manusia “menyusun kata-kata”. Di sinilah mimesis yang dicerap daripada alam akan disampaikan dengan kata-kata, yakni timbulan simbol bermakna agar berlaku suatu perbandingan yang sesuai dengan pengalaman dan kefahaman manusia itu, mengikut pembangunan tamadun dan ilmunya. Di sini juga berlaku suatu “strategi naratif” dan kefahaman gagasan yang sebenar dalam suatu penciptaan karya. Kesemua fakulti tadi, rangsangan deria, khayal-memori, dan naluri, digauli dalam akal, lalu berlaku pemilihan, penyusunan, dan penyampaian yang begitu kompleks tetapi terjaga sekali. Taraf “terjaga” atau tajam itulah, diteliti sebagai sejauh mana cerdas atau kuatnya akal manusia itu mendominasi fakulti otak manusia yang lain, dan di sini, kita dapat menyatakan dengan benar, suatu karya itu mencapai suatu manfaat yang berguna, suatu karya yang dinamakan seni tinggi atau sastera (karya yang indah).

[nota pendek: abang saya meneruskan sedikit, bahawa terdapat “akal kelima” yakni milik para Anbiya dan Rasul. Mereka yang memiliki akal inilah yang “mampu jalan di atas air”, dengan mengambil metafora jika manusia berakal yang terdampar di sebuah pulau untuk meneruskan kehidupan atau mencari jalan untuk manusia lain datang menyelamatkannya, para Nabi dan Rasul dapat bergerak dari satu pulau ke satu pulau ke satu pulau! Poin ini juga dengan jelas menyatakan, hanya dengan akal Nabi dan Rasul sahaja yang dapat menampung, memahami, dan menyampaikan wahyu Allah, dan dengan kefahaman itu kenapa al-Quran suatu susunan kata-kata paling sempurna tanpa dapat ditiru oleh manusia. Lantas mereka yang cuba melalui setitis percubaan akal ini, seperti kalangan ahli Sufi dan penerima ilmu laduni dapat mencecah sedikit daripada kefahaman ini, tetapi itu suatu hal yang lain.]

Dalam kefahaman inilah, kita menyedari, bagaimana cendekiawan Islam lama menjaga transisi karya sastera pra-Islam, yakni era Melayu kuno, kemudian purba (Benua Medang, Srivijaya, Langkasuka, Sri Darmaraja, Kedah Tua, Gangga Negara) dengan pegangan animisme dan Hindu-Buddha. Suatu perbandingan dan taakulan dilakukan, sebelum karya itu ditransisikan atau dilenyapkan dengan memahami manfaatnya untuk watan bangsanya. Contohnya, dalam hikayat Caya Langkara, bunga “sakti” yang dapat menyembuhkan ayahanda sultan, juga menaikkan “kuasa” sang hero ialah bunga za’faran, bunga yang diimbaukan sebagai “suci” dan “berkhasiat” dalam dunia Arab Islam, yang dengan jelas, kisah ini mempunyai bentuk kisah mendekati alam Buddha yang menggunakan bunga teratai (lotus/panava) sebagai simbol sucinya (kita dapat mengesan kembali bentuk Buddhanya apabila kita meneliti epik atau nirat teks tradisional Thailand yang menyalin banyak kisah tamadun awal Mon-Khmer dan Melayu dari Campa, Langkasuka dan Sri Damaraja). Samalah kiranya kita meneliti transisi hikayat dalam alam Parsi yang wujud sedari pra-Islam atau kisah dongeng pra-Islam alam Arab yang membawanya ke zaman selepas Islam kerana manfaatnya.

Dalam kefahaman “memanfaatkan manusianya, dalam dunia dan akhiratnya”, dapatlah kita telusur maksud sebenar karya yang berguna daripada manusia yang berguna ini. Terdapat suatu konsep yang tinggi, bermaksud, insan kamil (the best of creation) yang sebenarnya mencernakan konsep dan hakikat terbaik dalam pengkaryaan dari sisi aliran kita, dan mungkin inilah jawapan “sastera” yang sebenar, karya indah yang tertinggi yang perlu tersampai dalam apa-apa jua bentuk seni. Konsep ini mewajarkan penemuan kesempurnaan dan terbaik dalam fitrah manusia, menekuni bentuk, pengalaman, atau perjalanan manusia yang tersasar menghampirinya. Perjalanan kesedaran ini juga dapat ditimbulkan dalam suatu penceritaan, seperti Hikayat Hang Tuah, misalnya. Dalam penelitian teks moden, mungkin antara contoh terbaik yang cuba diterapkan dapat dilihat timbul dalam cerpen SM Zakir, Zainal Rashid Ahmad, Lutfi Ishak, dan Rebecca Ilham. Dalam teks drama, kita boleh temui hal ini dalam drama Sasterawan Negara Dato’ Nordin Hassan. Saya sendiri tidak dapat mencapai itu, kerana didikan saya Barat, saya membaca sedari kecil buku Barat dan menikmati segala-galanya yang Barat (lalu cuba mengamilisasi segala yang Barat itu dalam kefahaman estetika dan kepuasan pembacaan, penontonan dan penulisan saya). Saya sudah lama terperangkap.

Secara peribadi, saya terasa menyesal dan agak terlewat untuk menyanggupi dan menulis dalam taraf yang terbaik itu. Kadangkala, memang, khayal dan nafsu melampaui akal dan naluri saya. Saya tidak mungkin (dan mungkin tidak akan) berjaya menghasilkannya, baik teknik (menggauli setiap fakulti dengan padu) mahupun isi (karya yang mengunjur ke arah kefahaman fitrah dan insan kamil). Saya akan terus-terusan bernafsu, terus-terusan mengimbau alam-alam imaginatif yang kurang dikawal dengan akal dan naluri kerana kefahaman saya tentang konsep ini memang kurang dan tidak matang. Oleh sebab itu juga kita dapat mengesan beberapa karya yang menggelari karya mereka “Islam” dan “sufi” yang juga jelas tidak ada jiwanya, kerana tiadanya imbangan dan kegunaan akal yang tajam dalam menerapkan imbangan rasional dan imaginasi. Saya kira, memang pengarang dan pembikin yang tertentu sahaja yang dapat menerapkan karya yang sebegini (kerana sudah didedahkan sedari muda atau sekolah lagi). Hal inilah yang sebenarnya perlu diterapkan seawal sistem sekolah, agar generasi muda kita memahami selok-belok seni dan sastera, dan cara berfikir dalam seni dan sastera yang betul, dan tidak terawang-awang dengan keindahan estetik Barat yang sebenarnya berulang-ulang hal sama (dengan istilah yang berbeza) dan makin lama makin cuba melampaui batas fitrahnya.

Maka, di sini, saya hanya menyampaikan sesuatu yang tidak dapat saya lakukan sendiri.

Jika ditinjau polemik filem Islam dan sastera Islam itu sendiri, hal ini penting untuk dihayati. Bagi saya, dalam filem berunsur Islam, perkara yang hendak disampaikan juga bukanlah tentang menyampaikan (didaktik) moral, tetapi cerita yang menyampaikan wacana tentang nilai daripada pengalaman sejarah (hal yang lalu) atau semasa. Hal ini melampaui persoalan balasan buat baik dapat pahala atau jahat dapat dosa yang klise. Misalnya, memang terdapat kisah zina dan sumbang mahram dalam 1001 Malam, tetapi jika dilihat pada konteks naratif besarnya, kisah ini tentang seorang manusia yang menyampaikan cerita (sastera) untuk 1001 malam lamanya, untuk menjinakkan nafsu dan jiwa seorang penguasa yang sudah hilang pertimbangannya. Di sini sahaja, kita dapat meneliti maksud halus “manfaat” sastera dan seni yang memperhalus jiwa manusia untuk menemui cinta (emosi manusia yang paling dalam dan misteri, juga berkaitan dengan percubaan kita untuk berhubung dengan Tuhan) dan diri sendiri.

05 September 2016

Senarai Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016

It's back!







Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur mengeluarkan senarai pendek pencalonan untuk Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016. Penerima anugerah berkenaan mengikut kategori masing-masing akan dimaklumkan pada bulan Oktober 2016. Setakat ini, kami mendapati terdapat sekurang-kurangnya 61 filem yang melalui skim wajib tayang dan telah ditayangkan pada bulan September 2015 hingga Ogos 2016. Semuanya melalui pertimbangan dan penelitian khusus.

Di sini, kami sertakan senarai pencalonan, seperti yang berikut:

Senarai Calon Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016

PENGARAH TERBAIK

Shanjey Kumar Perumal untuk Jagat
Wan Hasliza Wan Kamarudin untuk Love, Supermoon
Chiu Keng Guan untuk Ola Bola
Ghaz Abu Bakar untuk Polis Evo
Tunku Mona Riza untuk Redha

PELAKON LELAKI TERBAIK
Jibrail Rajhula untuk Jagat
Harvind Raj untuk Jagat
Namron untuk Redha
Tommy Tam untuk The Kid from the Big Apple

PELAKON WANITA TERBAIK
Nadiya Nisaa untuk Love, Supermoon
Junainah Lojong untuk Redha

SINEMATOGRAFI TERBAIK
Senthil Kumaran Muniandy untuk Jagat
Chin Ting Chang untuk Ola Bola
Mohd Shah Faizul untuk Dukun Doktor Dani
Yung Chong Soon untuk The Kid from the Big Apple
Rahim Maidin untuk Munafik


LAKON LAYAR TERBAIK
Shanjey Kumar Perumal untuk Jagat
Joel Soh, Kyle Gounting, Anwari Ashraf dan Adib Zaini untuk Polis Evo
Tunku Mona Riza untuk Redha
Wan Hasliza Wan Kamarudin untuk Love, Supermoon

PELAKON PEMBANTU LELAKI TERBAIK
Kuben Mahadevan untuk Jagat
Senthil Kumaran Muniandy untuk Jagat
Bront Palarae untuk Ola Bola
Amerul Affendi untuk Dukun Doktor Dani

Harith Haziq untuk Redha

PELAKON PEMBANTU WANITA TERBAIK
Anne Ngasri untuk Love, Supermoon
Nabila Huda untuk Munafik

Nadiya Nisaa untuk Redha

FILEM TERBAIK
Jagat (A. Anandan, Pasupathi Sithamparam, Mageswari Anandan, Anbalagan Anandan, Sivanantham Perianan dan Shanjey Kumar Perumal sebagai penerbit)
Ola Bola (Najwa Abu Bakar, Tung Yow Kong dan Steven Lim sebagai penerbit)
Love, Supermoon (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Mohamad Anizan Sarif dan Shah Hassan sebagai penerbit)
Redha (Shaby Maharom, Ku Mohamad Haris dan Tunku Mona Riza sebagai penerbit)



Senarai dalam blog rasmi di sini.

02 September 2016

Pekak (2016)


Ya Allah, inilah pertama kali sebuah filem dengan nama pengarahnya panjang ya amat nak sebut: Mohd Khairul Azri Md Noor (tengoklah, lepas ni mesti pengarah muda ni akan pendekkan namanya nanti)! Satu lagi filem nasional yang sedang bermain di pawagam sekarang pascaisu FFM, dengan penggunaan sedikit sebanyak 60-70% nampak-nampak macam bahasa Melayu, dengan campuran slanga anak kota dan bebudak dadah. Ini sebuah filem kategori "mesti tonton" kerana sah-sah mempunyai naratif dan pengalaman sinema yang harus masuk dalam senarai pencalonan akhir FFM tahun hadapan, khusus dalam beberapa kategori kerana diulik, dibentuk dan disampaikan dengan kerahan tenaga dan kebijaksanaan.

Menonton filem ini, aku terimbau dengan filem noir P.Ramlee, Dr. Rushdi (1970). Filem ini merujuk filem lama yang tidak diingati pasca Jalan Ampas itu dalam dua perkara. Dengan kehadiran minimalisnya, beberapa penggunaan ruang dalam pemaparan sempit (hal ini jelas dibuat untuk struktur pelan bilik-rumah Uda), dengan pelakuan empat pelakon utama, atau khususnya, dua orang (Zahiril Adzim sebagai Uda, Sharifah Amani sebagai Dara), dengan kecelaruan hidup dan penentuan yang tidak menentu untuk hero/antiheronya, jelas-jelas ini filem noir, atau yang tidak suka ia digolongkan sebegitu, neonoir; cukup elegen lagi dengan hembusan rokok si wanita, Sharifah Sakinah (dia amat menyerlah) dalam baju sekolah menengah terbuang tudung sambil menghulurkan kotak kondom kepada kawannya untuk dicuba. Jelas-jelas femme fatale alaf baharu Malaysia!

Kedua, filem ini, dengan (mungkin) inspirasi naskhah "klasik moden" Sasterawan Negara Usman Awang, drama "Uda dan Dara", mengambil motif dua nama watak teraju utama filem ini, mengimbau kisah lokal tragis Romeo dan Juliet kita, dalam hal ini, suatu perjalanan pedih seorang lelaki yang cuba menyarung pakaian roman, untuk memegang cintanya di dalam tangan. Jika kita merujuk Dr. Rushdi, ada seorang watak filem itu, Ed Osmera, yang jelas-jelas merepresntasikan kembali watak Uda. Dengan sikap pesimis dan amat radikal, Ed dibayangkan sebagai watak tragis, bersikap harapan tetapi semuanya dibunuh oleh masa dan keadaan, lalu Ed hancur luluh, menunjukkan jalan kepada watak P.Ramlee bahawa dunia ini sudah hilang sifat romantisme dan cita-citanya (pasca 13 Mei?). Hal inilah yang dibawa kuat dalam filem ini, sebuah filem "radikal" cinta, yang masyarakatnya (dalam hal ini, sisi anak muda urban, dan segolongan hedonis) selalu menyoal dan bersinikal, kurang berharap, "Masih adakah cinta sebenar?" - persoalan yang sama menyoal keadaan wayang Malaysia/Melayu sekarang - "Ada tak penontonnya? Boleh ke wayang kita hidup?"


Harapan tinggal di mana? Di dalam Uda, kemudian Dara, yang jelas-jelas, sengaja dimainkan sebagai anak bermata sinar, bulat dan luas, seakan-akan menangkap segala warna dan cahaya latar luas dunia ini, ditambah dengan "matlamat" mendengar (Uda ingin menyimpan duit dengan menjual dadah, disebut "pusher", untuk membuat pembedahan telinga pekaknya). Kita mudah melihat filem ini dalam skop realiti sosialnya, khususnya moral dan etika anak muda kota yang goncang, beribu bapa tunggal yang tinggal di flat-flat (filem ini jauh lebih baik daripada Anak Halal dalam percubaan meromantis-realitikan nafas orang muda kota, dengan premis yang seakan-akan sama), lalu banyak persoalan didaktik yang akan menggema (melihat filem itu dengan kaca mata ini terlalu mudah walaupun perlu). Yang lebih menarik ialah melihat filem ini dengan kanta sinema yang hakiki, yakni dua representasi wayang, Uda dan Dara dan dunia yang dilatarinya. Dunia mereka hirup kini sumbing atau tidak sempurna (ketiadaan bunyi dari sisi Uda), maka dua insan ini, sepertimana, mana-mana sarwajagat dunia anak muda apabila dua insan bertemu, perlu menyatu, agar kosmos wayang itu disempurnakan, walaupun dengan onak duri. Onak duri, halangan dan dramalah yang membuatkan pesona wayang antara Uda dengan Dara ini menarik.

Lebih menarik lagi, jika kita menonton filem ini dalam kaca mata Uda; Uda memahami dunia dalam tiga bentuk utama yang jelas, manusia difahami secara komunikatif melalui gerakan mulut (bibir dan mulut tidak menipu?), namun itu hanya untuk "rezeki" (yang kemudiannya komunikasi dengan Dara); kedua, dunia Uda ialah dunia serba warna yang bisu. Uda memilih apa yang perlu diambil dan dibuang, yang sedikit demi sedikit, setelah menemui Dara, turut meluaskan ruang dunianya, mula mempunyai penghakiman nilai. Ketiga, kerana sifat Uda yang pekak, Uda melihat sesuatu yang berbeza atau "baik" dalam objek dan orang. Manusia biasa tidak akan sanggup berdiri di hadapan kereta api laju, tapi Uda tanpa suara, merasai deru angin yang kuat, memberinya suatu "sentuhan" bahawa dunia ini dapat dinikmati dalam bentuk-bentuknya, atau "worth living". 

Uda di sini, sebenarnya, sinema anak muda. Sikapnya romantis (pilihan lagunya saja kita sedar, rujuk liriknya) dan di sini, kita faham: Uda/orang muda idealis. Harapannya juga meninggi, satu sifat romantis yang jelas. Ada perjalanan dalam Uda (hero's quest: dapat duit, dapat dengar suara Dara), seperti sinema orang muda juga, lantas juga, dengan komunikasi dan perhubungan, sinema anak mudanya meluaskan kefahaman dan estetika akan dunia.

Maka cara sebab akibat dan pemilihan karya Mohd Khairul Azri Md Noor yang menjadikan Uda/sinema ini intrig dan dramatik. Apa yang menariknya lagi, watak-watak ini watak-watak lemah yang penuh masalah, bersifat manusia yang terlalu mencari, tidak sempurna, mempunyai ketidakyakinannya yang tersendiri. Mereka bertindak bukan atas pilihan moral, tetapi keadaan yang tidak terikat dengan bimbingan. Tidak ada maksud baik/jahat dalam hal ini, atau semuanya jahat, atau semuanya hanya manusia. Sakitnya apabila Uda/sinema anak muda mendepani realiti dunia yang hitam, kapitalis, bingit, menyakitkan, dan menghasilkan sebab akibat yang tidak menentu. Khairul memaksa kita, penonton, menghadapi realiti ini. Kalau berdarah pun telinga, berdarahlah. Adalah pilihan dalam diri kita untuk memilih jalan yang diambil oleh Uda (pengarah dan penulis skripnya), atau, dengan cara kita sendiri. Namun yang lebih penting lagi: adakah kita masih boleh berharap dan idealis selepas mendepaninya?

Begitulah dialektiknya Pekak. Walaupun watak utamanya tidak mengutur satu patah perkataan pun, ia sebuah sinema yang berkata-kata, dan kata-katanya tersusun, dalam kata demi kata yang pendek, padat, tapi meruntum kita untuk mendengar dan berbalas katanya. Dalam satu babak saja, tanpa perlu banyak syot hebat, menjadi antara babak bersejarah dalam sinema kita, yakni, antara Dara dengan Uda apabila Uda menekap baju belakang terkoyak Dara dengan tag nama Dara yang tercicir. Babak ini mengharap sekali gus "mengajar", dan bagi manusia melata seperti Sharifah Sakinah, tentu hal sebegini makan dalam (kecuali mereka tetap "memekakkan" diri). Pertama kali aku tonton babak itu, aku menangis.

Dengan jelas, kekuatan filem ini sememangnya dibantu oleh kekuatan lakonan minimalis Zahiril, dengan mimik mukanya menjadi panduan naratif utama kita. Kemudian Sharifah Amani, yang mula-mulanya aku meluat juga melihat dia di-typecast (asyik-asyik budak sekolah), namun perwatakan yang dibawanya kali ini, yang sama-sama naif seperti Zahiril mempesonakan, tidak terlalu "bijak" dan jawab balik. Amani seorang mangsa dan fallen women yang baik. Kita juga dikejutkan dengan kehadiran pelakon baharu, Sharifah Sakinah, kawan kepada Dara (atau pengguna Dara), femme fatale jelas filem ini, menyerlahkan keadaan dirinya dengan betul dan bersahaja, tanpa perlu melebih-lebih. Seperti biasa, Amerul Affendi sekali lagi memberikan suatu definisi baharu terhadap lakonan, dan walaupun aku tahu Amerul tidak susah untuk berlakon apa yang dibuatnya di sini, dia menyerlahkan ruang hubung dan lakonan orang lain yang mengelilinginya. Juga mengejutkan, lakonan Joe Flizzow yang terkawal, yang secara tidak rasmi menjadi Yoda-Gandalf jahat dalam hero's quest Uda (aku sangat suka dengan sikap Alfie dan Shahril yang banyak melawan stereotaip sinema lama kita dalam hal ini, dalam filem ini, semua manusia dan keadaan berbahaya dan mencurigakan tanpa perlu memakai tatu dan berslanga "Lu gua"). Kemudian, filem ini juga dibantu oleh lakonan mantap Iedil Putra dan Zaidi Omar.

Secara teknik, tampak Pekak menyerlah sebagai cuba memberi keindahan dalam pengalaman menonton wayang. Sinematografi S'ham Mokhtar yang bertona ungu kelabu biru, dengan syot-syot dinamis, membawa naratif filem ini secara bersahaja, berdebar dan beremosi. Loque sebagai pencipta skor filem ini dengan jelas, antara pencipta muda yang menempa nama sebagai pemuzik yang melatar suara yang baik (kita pernah jumpa suara ini dalam Songlap). Suara elektronik bercampur piano dan dramnya membina mood dan cahaya filem, menguatkan lagi semangat romantisme Uda yang diuji . Latar tempat juga sesuai dengan pembinaan dan penyampaian cerita. Filem ini walaupun sengaja menggunakan tona gelap campur romantis (love in acid?), menampilkan getir dan sakitnya dalam keindahan, seperti sikap Uda yang mengimbau tetapi tetap berharap.

Mungkin filem ini secara keseluruhan, tidak benar-benar menjawab pelbagai lagi soalan dunia dan masalah sinema, namun aku pernah bertanyakan persoalan hidup mati wayang kita. Jelas, filem ini menampilkannya, walaupun sedikit, terasa kehadirannya.

Antara filem terbaik Malaysia tahun ini. 

30 August 2016

Aliff dalam 7 Dimensi (2016)


Nota Fadz: Amaran. Ulasan ini dipenuhi beberapa frasa dan doktrin nasional oleh sebab menurut pelaksanaan baharu yang diperkenalkan oleh Festival Filem Malaysia untuk tahun ini, yakni, atas kedesakan tersedak-sedak filem berbahasa Melayu yang bercampur-campur bahasa dialognya untuk bersaing dengan filem-filem bukan bahasa Melayu (yang sebenarnya hanya ada satu dua filem mereka je pun yang mengancam, yang lain pun macam sampah juga seperti abangnya, filem Melayu), kerana takut sangat filem mereka yang tak laku di pawagam (ini tidak benar, beberapa filem melepasi kautan RM5 juta banyaknya filem berbahasa Melayu "konon") telah menggunakan sepenuh tenaga politik, Taming Sari dan Mighty Morphing Power Rangers untuk satu nominasi filem terbaik khas dalam bahasa Melayu berjudul filem terbaik nasional, maka sesiapa yang menontonnya akan memeluk dakyah nasional yang tinggi, berasa cinta dengan bahasa (yang tidak selesai-selesai lagi menguasai tatabahasanya) dan tanah tumpah ibu pertiwi, sokong parti kerajaan, baca lebih banyak novel pop cinta, dan tidak rasa nak pindah ke negara lain atas jiwa murni yang berkobar-kobar untuk berkorban untuk negara. Cewah! 

Selepas Mawar Putih (GSC Mid Valley sangat jahat dan celaka telah menayangkan filem ini separuh jalan walaupun masa tayangan dan aku masuk wayang 12.30 tengah hari, jadi aku tak mahu ulas kerana tidak adil), inilah filem nasional kedua aku tonton selepas pascaisu filem nasional terbaik FFM.

Filem ini gerenti masuk nominasi akhir filem nasional terbaek tahun hadapan kerana berjaya menggunakan lebih 70% dialog dalam bahasa Melayu baku walaupun ada percampuran slanga budak U dan bahasa Inggeris yang berterabur di sana sini.

Secara ringkas, filem ini bertih jagung, seronok, lazat, penuh debaran, dan kelihatan segar apabila mengambil premis tahayul biasa yang dibenci sangat oleh Tun Mahathir (watak jahat TV masa kini, tak percaya, tanya Najib bibir merah) dan menterbalikannya dengan sikap yang begitu "positivis" (hamek kau! Ke kau tak faham? Bahasa Melayu perlu mengikut peredaran zaman kan?) dan positif terhadap metafizik Alam Melayu tradisional dan Islam. Hanya tiga watak teraju utama - Izzue Islam sebagai Aliff, unsur yang menggerakkan premis cerita ini, Alif Satar sebagai Naim, pelawak, teraju sampingan (istilah untuk sidekick, kah kah kah) dan pencerita filem ini (kita melihat naratif filem ini melaluinya), dan Juliana Evans sebagai (aku dah lupa namanya) watak gadis U yang aktif, bijak, dan syok gila kat Aliff. 

Penonton Melayu snobbish akan teringat bahawa filem ini merujuk The Sixth Sense dan Ghostbusters (sememangnya pun), namun terlupa, Aliff yang mempunyai kuasa melihat dan berlawan dengan hantu mempunyai tradisi nusantara yang diolah baik, menyusun baik-buruk hal ketahyulan yang dimesrai/dilupakan, dan sikap tersurat tersirat seseorang manusia dengan manusia lain. Terdapat paparan motif watak yang semberono yang kemudiannya dibuka mempunyai latar yang sebenarnya bijak, atau jauh lebih mendalam yang disangka, khusus buat watak Izzue dan Juliana. Kredit seeloknya diberikan kepada Anwari Ashraf, anak muda yang antara penulis yang melahirkan blokbuster tahun lepas, Polis Evo, dan Ashraf Zain, penggerak teater dan Projek Disko Baldi. Terdapat kesegaran di sini kerana, bukan seperti cerita biasa seram parodi lima tahun kebelakangan yang bermain lawak-lawak bodoh moralis bawaan gaya MiG dan konco-konconya, tetapi suatu cerita yang mangsa-pengkajinya, tiga teraju ini, mencari jalan dengan rasional (sains!) untuk memahami fenomena "dimensi tujuh" ini lalu menghadapi dan melawannya. 

Sikap positif ini sangat dipuji, bukan sahaja  kerana premis filem ini cuba mendekonstruksikan sikap dan sifat kita terhadap alam ghaib, jin dan saka (bagi yang risau syirik, dengan aqidah yang betul) tetapi melawan kebiasaan filem sebegini yang menguatkan watak anak muda sebagai berdiri sendiri mencari penyelesaian masalah, mengikut turutan percubaan yang moden, dan melakukan keputusan yang bukan biasa (jika filem biasa, si anak muda akan mencari-cari bomoh atau ustaz tipikal untuk merungkaikan persoalan dan masalah). 

Pelaksanaan ini ditambah pula dengan sisi komedinya, yang disuntik dengan selamba dan sederhana, tanpa menghilangkan mood debar dan detik serius filem. Hal pelaksanaan ini perlulah juga mengkreditkan pengarah Faisal Ishak (pengkarya Juvana) sebagai penyatu imej, lakonan dan gerakan, memperlihatkan bahawa komedi, aksi, ngeri dan drama boleh bercantum jika dibuat dengan baik dan tersusun. Kehebatan Faisal mengkonduktorkan mood berubah-ubah ini dapat dilihat dalam babak "Pesta Perut" yang mempunyai banyak gerakan persoalan dan imej, kelakar dan emosi, bersilang balik lalu disusun teratur oleh Faisal untuk mencerna satu klimaks babak yang baik.

Namun begitu, aku terasa kekok terhadap beberapa koreografi dan syot aksi, lebih-lebih lagi dalam perlawanan tiga kawan baik ini dengan beberapa jin syaitan, khususnya pada babak peperangan klimaks di panggung teater (cuitan bahawa gumpalan seni atau ilham alam jin akhirnya menjadi realiti tidak terbatas). Ada penggunaan pelagak ngeri yang sedikit kekok, beberapa babak awal dan akhir, terasa watak utama berlawan dengan maskot taman tema seram atau hantu tipu di dalam rumah hantu ekspo hiburan. Terdapat sedikit kesan animatrik yang kasar dan selapis, walaupun semangatnya tetap berjaya membawakan sikap hantu Ghostbusters kartun dalam suasana realiti yang seronok, lebih-lebih lagi untuk hantu galah. Setakat ini, hal ini suatu percubaan yang jauh menandingi Antoo Fighter beberapa tahun lepas.

Kekurangan Faisal di sini boleh dimaafkan kerana berjaya menghidupkan tiga terajunya yang membawakan lakonan sempoi yang baik, ketiga-tiganya menyampaikan fungsi baik, tidak kelihatan bodoh (bayangkan jika filem ini jatuh ke tangan produksi MiG, contohnya) dan kenaifan remajanya juga jujur. Ramai yang akan suka dengan lakonan lawak Alif Satar yang menjadi, dengan liuk mata dan reaksi komik yang mencuit. Namun jelas, Izzue menyampaikan satu babak cemerlang, antara imbangan id dengan egonya, merujuk babak klasik Gollum dalam The Two Towers. Juliana Evans juga tidak menghampakan, walaupun ada bahagian monolog panjangnya biasa, dia memberikan pesona si gadis cantik tetapi bijak, bukan bimbo tipikal yang kita dapat dalam rata-rata filem genre remaja, malah keinginannya terhadap Izzue sangat jujur dan terasa, tidak dibuat-buat.

Mula-mula, runut bunyi filem ini terasa biasa-biasa, malah goyah, namun pada pertengahan dan klimaks, suaranya membina suatu dunia seram-seronok tersendiri. Sinematografinya mencuba, lebih-lebih lagi mengambil syot gaya komik (rujukannya mungkin filem-filem adiwira Marvel. sebab itu banyak juga syot luas dari atas) namun boleh dilayan. Paling baik ialah suntingannya, walaupun ada beberapa babak boleh dibuat dengan baik lagi, susunan dan pilihannya menggerakkan dramatik cerita dan tidak pernah membosankan. 

Filem positif ini amat baik untuk tontonan belia, dengan sikap untuk menghadapi masalah hidup dengan rakan sebaya yang memberi "pengajaran" (oh ohhh). Yang penting, filem ini tidak mengecil-ngecilkan bakat orang muda. 

Bagi peminat filem seram, terdapat satu babak menarik sebagai trivia rujukan, khusus bagi peminat filem Dario Argento. Rujuk filem Inferno. Dan, babak ini (kedua-duanya) berlaku di dalam bilik kuliah universiti, sewaktu Izzue dan Juliana mula-mula bertentang mata.


23 August 2016

Norman Yusoff: Bila dan Bagaimana Sinema Menjadi Nasional?

Pojok yang baik ini tersiar dalam Mingguan Malaysia, Ahad 21 Ogos 2016 pada Ruangan Seni & Budaya, pojok Salam Sinema, tulisan Dr. Norman Yusoff, ahli fakulti dan pensyarah pengajian filem dari UiTM. Sedarilah kebenaran tulisan ini, bahawa wayang nasional kita atau filem nasional (kebangsaan) kita masih dalam fasa "kerja dalam proses" (work in progress) dan masih mempunyai banyak lagi ruang untuk memantapkan bentuk terdekatnya pada maksud filem nasional, khususnya dalam pengukuhan dasar. Hal ini amat melucukan, bagi sesetengah pembikin yang melatah dan meroyan apabila realiti pembentukan kita secara awal pun sudah dipecah-pecahkan dalam sekolah berjenis yang tertentu, sikap emosional dan praktikal kita terhadap penggunaan bahasa di dalam sekolah, baik dahulu, era PPSMI, dan kini era DLP. Apa yang sebenarnya kita mahu Malaysia? Kerana kita kini dalam persimpangan: adakah kita ingin semahu-mahunya menyatukan hanya satu bahasa sebagai bahasa utuh dalam percakapan dan proses rasmi dan sosial, sepertinya Indonesia, atau kita boleh berlapang dada seperti India yang punya rencam pelbagai bahasa yang dikira juga sebagai wayang berwajahnya, atau terperangkap lagi seperti Iran yang muhibah dalam etnik dan bahasa tetapi tetap mengerah, walaupun kalah, mengangkat satu sahaja bahasa.

Tepuk dada, tanya jiwa.


29 July 2016

Dukun Doktor Dani (2016)

Kita kini dalam fasa menunggu filem Melayu best yang seterusnya.

Apabila aku dapat tahu bahawa Sabri Yunus, dengan produksi Balang Rimbun, membikin filem ini, aku jadi teruja. Sabri penulis lakon layar serta pengarah filem ini, dan melihat pada potensi bahan yang beliau hidang di televisyen, beliau mempunyai sesuatu, seorang "pengarah muda" yang tentu akan mewarnakan wayang kita dengan layar yang saksama indah.

Pada tempoh lima minit adegan kampung, memperkenalkan watak-watak utamanya, Dr. Dani (Taufik Batisah), Mak Siti (Khatijah Tan) dan Lepat (Amirul Affendi), tanpa runut bunyi, dengan suntingan cekap Razaisyam Rashid, dan syot luas-fokus-sisi cemerlang Mohd Shah Faizul, Sabri sudah membina "karekter" terhadap mis-en-scene; ini kisah mendepani kebenaran di hadapan ibu (pencipta/penguasa) akan tindakan "u-turn" yang diambil oleh seorang anak muda yang berpotensi. Si ibu, Mak Siti, sentiasa di balik jaring-jaring tingkap, di dalam rumah, malah kadangkala wajahnya sengaja terpotong. Kebenaran dan keikhlasan yang tidak disampaikan. Babak tanpa lagu ini dikuatkan lagi dengan rentetan suara dialog antara watak, tinggi rendah, mimik wajah, semuanya dibuat di tepi tangga rumah, sebagai "pembukaan" pada cerita (ibu rumah). Ibu di sini sudah melihat ilmu sekular, moden dan bandar sebagai unsur "memajukan" malah memuliakan (sikap ini sangat berbeza dengan sikap kampung lwn. kota melodrama Dia Ibuku [1981] atau sikap Tanggang yang klise era 1970-an). Dengan jelas dalam satu babak, walaupun si anak tidak balik ke kampung, tidak apa, walaupun lidahnya mengungkit, Mak Siti tersenyum dan wajahnya ceria. Sabri tampaknya ada sesuatu di sini.

Tapi cerita ini juga cerita sebuah "keluarga", ibu dengan anak, dan jelas-jelas Sabri tunduk terhadap tradisi adab dan moral Melayu (anak kembali mengikut kata ibu/penjaga/orang tua/penguasa). Anak ini sebenarnya, akan melakukan sesuatu yang bilazim, yang bukan biasa bagi orang Melayu, dia akan melanggar "adat kotemporari": meninggalkan kerja gaji beribunya di kota dan pulang ke kampung untuk mencari rezeki baharu, dan ini merunsingkan golongan tua/penguasa (dalam hal ini, penguasa keluarga lebih kepada matriaki/si ibu, ini menarik). Menambah lagi pelik ini, Dani, yang meninggalkan dunia perubatannya (kerana "membunuh" pesakit yang dibedahnya) mula bersahabat, dan kemudian menjadi rakan peniaga Dukun Sudin (Sabri Yunus). Moden tampaknya bertemu tradisional di dalam satu rumah.  

Premis ini tampak menarik bukan? Lebih-lebih lagi apabila kita sudah terbiasa dengan klise moden membawa petanda material, maruah dan kehormatan dalam drama Melayu kita lebih baik daripada kerja kampung lama, bahawa moden, teknologi dan segalanya yang bersifat material dari bandar, menjanjikan (perhatikan banyak drama Melayu ala Cinderella kini yang meraikan kehadiran anak datuk kaya berkedudukan dan bersijil universiti tinggi menyunting seorang gadis kampung). Pertembungan moden yang menjanjikan material, maruah dan ilmu sebenar bagi kekolotan kampung bukan hal baharu dalam wayang/sinema kita, seperti jelas dalam filem Melayu lama yang juga tentang doktor kembali ke kampung, lantas konon membawa "harapan" kepada rakyat kampung serba miskin, Doktor (1958) arahan Phani Majmudar. Atau pertembungan moden lwn. tradisi, yang selalunya, tradisi, yakni dunia perubatan tradisional dianggap tayahul dan merosakkan jika dibandingkan dengan perubatan moden Barat, seperti dalam Tiada Esok Bagimu (1979) dan Bila Hati Telah Retak (1983), walaupun pada era 1990-an, sudah ada percubaan untuk menemukan kefahaman saintifik dalam rawatan/unsur perubatan tradisional, seperti Badai Mentera (1998). Jadi, sudah tentu ada sesuatu yang menjanjikan apabila Dani si doktor muda tiba-tiba "ingin berguru" dengan Dukun Sudin, walaupun ditentang secara emosi oleh ibunya dan juga kekasihnya, Dr. Lily (Fasha Sandha).

Kekuatan Sabri (selain dialognya yang jelas, fungsional dan dirasa natural) yang jelas ialah membawa kembali psyche Melayu yang sudah terbiar lama tidak bergelumang dalam "felem Melayu", sejak Mamat Khalid dan U-Wei tidak lagi bermain di gelanggangnya. Psikologi dan sikap pendirian Melayu jelas ada dalam filem ini. Skap merajuk Dani meninggalkan kerjanya, sikap berlapik tapi keras emosi Mak Siti menentang tindakan anaknya, sikap "cakap beralas" Dukun Dani apabila "langau" atau "penyakit kampung" si Chot (lakonan baik arwah Yus Edoo) di warung makan menurunkan nista. Latar fizikal dan tindak-balas aksi dalam hal ini betul dan meyakinkan, lebih-lebih lagi babak-babak di warung yang memang tipikal dalam drama Melayu, serta ruang mainan rumah kampung (kepentingan ruang luar dan dalam) dalam budaya Melayu. Kita boleh perhatikan hal ini dalam mainan ruang sahaja, dengan penandanya sudah bersuara kuat apabila Fikha (namun lakonan pelakonnya sangat lemah), anak tok penghulu, menjerit-jerit memberi salam di luar rumah Mak Siti, sengaja menandakan kehadirannya (hal ini tidak manis dipandang dalam adab Melayu, lagi-lagi daripada seorang gadis sunti), dan jelas-jelas bertujuan untuk menonjolkan kehadiran diri untuk memikat si teruna yang sudah kembali ke pangkuan ibu.

Namun begitu, mengapa aku rasakan filem ini tidak cukup bumbu? Sabri mungkin bijak dalam memainkan hal yang tradisi, yang dekat dengan Melayu, bagaimana pula dengan teknik, dengan mood untuk membina kepercayaan penonton? Selalunya, inilah masalah besar dalam filem kita.

Pada awal-awal lagi kita diberikan suatu adegan yang lemah. Babak kredit awal dibuka dengan syot adegan di dalam bilik pembedahan. Suntingan pergi-balik pembedahan dan sebelum pembedahan menarik, sehingga membawa kepada babak Dani menghantar surat berhenti kerja dan memandu balik ke kampung. Namun, babak pembedahan itu sahaja, kita tidak diberikan "emosi" untuk mempercayai keresahan Dani dan apa yang menyebabkan sehingga ada kematian. Mungkin juga ini disebabkan oleh kelemahan lakonan Taufik yang terlalu baharu di layar putih. 

Kemudian, berlaku suatu tindakan mendadak yang tidak masuk akal langsung dan dibuat secara semberono. Dani, yang awalnya menolak tawaran dan cadangan kawan baiknya, Lepat untuk "membantu dukun kampung", boleh, dengan tiba-tiba (mungkin terpaut dengan cara Dukun Sudin berubat?) menjadi pembantu Dukun Sudin yang setia (?!) Halnya di sini, mengapa Sabri tidak memberi laluan yang lebih terurus panjang untuk Dani dan Dukun saling mengenal dan merasai hati budi masing-masing sebelum Dani mengambil tindakan "berniaga" dengan Dukun? Betapa mudah dan segeranya seperti Mi Maggi persahabatan mereka diuruskan. Ini dicampur pula dengan subplot yang melibatkan Dr. Lily, dan konflik (yang tidak terasa seperti konflik) Mak Siti dengan Dani, belum tambah lagi pembawaan fitnah Chot yang kelihatan adegannya tiba-tiba dan tidak natural (ada satu babak yang mengejutkan apabila Chot tiba-tiba boleh mendepani Lily tanpa segan silu dan memalukan Dani, juga cuba menggatal dengan Lily tanpa semena-menanya di tengah cerita!). Hal ini kelihatan muddled, cacamerba, tidak disusun letak dengan baik oleh Sabri. Kita kadang-kadang terperasan, adakah filem ini sebuah komedi, melodrama, romantik, drama atau apa? Ditambah lagi kecacamerbaan ini dengan runut bunyinya yang longgar dan tidak tahu emosi mana ia hendak tuju.

Pada babak Dani sudah mula mengambil-alih kerja "dukun" Sudin dengan tiba-tiba, aku sudah hilang kepercayaan kepada filem ini dan tujuannya. Banyak "persoalan" yang dibiarkan tidak terlerai, banyak percubaan melanggar klise (doktor menjadi dukun) dilayarkan tanpa persediaan dan susunan yang betul. Mungkin masalahnya, aku mahu melihat Dani ini, mendapat suatu rahsia daripada Dukun Sudin, seperti Yoda kepada Luke, yang menggoncangnya, yang "membuka matanya" kembali, yang menemukannya kembali dengan jati diri dan kemisteriusan alam Melayu (kerana Dani jelas-jelas rasional orangnya!), tetapi hal sebegitu tidak berlaku, malah rawatan tradisional dan Dukun Sudin hanya alat yang ada pada filem (malah dengan jelas, seperti Sabri membuat pemerian dalam satu babak yang berkait dengan Dani, hanyalah satu alat psikologi sahaja untuk memuaskan pesakitnya), tidak pun memberikan perasaan "pesona" sehingga kita boleh percaya bahawa Dani sanggup lepak lama lalu berniaga dengan Dukun. Takkanlah itu sahaja alasannya untuk tinggal lebih lama di kampung? Alangkah hinanya. 

Mungkin semua ini, mungkin, dapat dimaafkan dengan cara Sabri menghabisi farsa (farce) hilang diri yang telah dicipta ini dengan satu tutup tirai yang menarik dalam satu babak akhir, yang menjadi ruang ketawa yang hillarious. Semua ini atas pertolongan watak Chot yang menggelikan hati, dengan unsur tangkap basah dan kejutan para pelakunya yang mencuit. Sebaik komedi yang kita pernah lihat berlaku dalam filem P. Ramlee.
  
Mungkin filem ini belum lagi suatu adikarya, dan diharapkan perjalanan filem Sabri masih panjang. Sebagai filem sulungnya, filem ini tidaklah mengecewakan, namun kita berharap Sabri Yunus boleh melakukan yang lebih baik daripada ini.

09 May 2016

Ke Mana Lagi Seram Kita Nak Tuju?


Nota pendek ini tertulis, setelah melihat bagaimana sikap enteng para pembikin kita memperkecilkan genre seram, suatu genre yang kononnya cepat bawa masuk duit lalu pembikinnya membikinnya dengan secepat-semurah-selacur sekali, seperti sebuah karya indie separa masak. Keduanya, setelah menonton video rentetan sejarah filem seram "Barat" ini: http://filmmakeriq.com/lessons/a-brief-history-of-horror/

Aku peminat besar filem seram. Ya, aku tahu taste aku berbeza dengan sikap perfect horror korang. Aku amat mengangkat Argento dan Fulci, malah filem seram all time best aku ialah The Exorcist 3, The Beyond, dan Dead Alive. Pedulilah kalau kau rasa filem-filem tu poyo. Secara pengalaman sinema, secara alamiah kendiri, filem-filem itu bukan sahaja "menghidupkan" aku dengan pengalaman seram baharu, tetapi detik peribadi yang membuka lembaran cerita hidup aku sendiri. Dalam dunia perfileman Malaysia pun, aku tercari, mencari-cari, turut berdialog dan mempengaruhi pengalaman hidup aku, juga pilihan, juga taste

Mengikut sejarah filem seram Malaysia, memang boleh dikatakan sudah melalui pelbagai tempoh, daripada bentuk lembaga hitam orang minyak dan pontianak yang dipopularkan oleh para pembikin Jalan Ampas, kepada parodi pertama zombi dengan hantu Jepun dalam Pendekar Bujang Lapok P. Ramlee, kepada filem-filem 70-an dan 80-an saduran cuba-cuba feel hebat Hollywood macam Kala, Anita Dunia Ajaib, Rahsia (ya, termasuk), kepada filem seram gabungan Malaysia-Indonesia ala kultus seperti Misteri Rumah Tua, Pernikahan Berdarah, kepada filem seram campur komedi ikut dasar drakonian LPF lalu timbul subgenre seram-komedi ala Hong Kong era 80-an 90-an macam Perawan Malam, Main-main Hantu, kepada era "filem seram VCD" yang melahirkan Zami Hitler dan M. Jamil (Momok yang entah apa-ap), kepada era LPF mengikat lagi dasar celaka dengan pelbagai lagi syarat dan tekanan supaya filem seram tidak dibikin (seperti tidak boleh ada babak hantu keluar kubur), dan jihad Tun Mahathir kepada tahayul Melayu, yang cuba dilanggar dengan berani tetapi separa menjadi oleh Suhaimi Baba dengan Pontianak Harum Sundal Malam, kepada era filem seram MiG bermula dengan Razak Mohaideen "pakai langgar" dan kemudian Ahmad Idham dan Pierre Andre, yang membawa kepada era baharu beberapa percubaan seram yang sofistikated, berani, dan mencabar kebiasaannya, macam Seru, Histeria, Hungry Ghost Anthology, Sembunyi, Khurafat, dan Villa Nabila, dan beberapa yang tidak menjadi macam Penanggal, Hijab, Karak, dan Jengka.
  
Persoalannya, mampukah kita belajar sesuatu, walaupun genre ini sememangnya untuk dilacurkan untuk duitnya?

1. "Horror is a director's genre." Ketekalan filem seram sebenarnya terletak di sebalik kemahiram pengarahnya, bukan sangat skripnya. Evil Dead sebuah contoh yang terbaik. Hitchcock memahami ini, dan beliau menjenamai semula "seram" dengan Psycho (malah, beliau tidak menganggap karyanya filem seram tetapi filem jenayah dan penerusan genre saspens-misteri, namun tetap memasukkan sikap "macabre", suatu istilah-kod yang mendefinisikan filem seram sebelum perkataan horror diperkenalkan), hanya kerana ingin melanggar "kod LPF" zamannya. Bezakan keberanian Hitchcock ini menitip jari tengah kepada Hays Code dengan ikutan syariah-compliance Razak Mohaideen dengan filem Mistik, secara text book literal mengikut garis panduan bikin filem seram ikut dasar LPF zaman itu.
2. Sejarah: filem seram melalui kitaran, yang selalu mencapai era pudar apabila diparodikan (bandingkan dengan kita yang memparodikan dahulu sebelum membikin karya asli).
3. Bunyi ialah kesan paling efektif dalam filem seram (sebab itu kita boleh uji kekuatan seram filem itu dengan menutup telinga kita sewaktu filem seram ditayang). Kekuatan seram ialah mood. Kekuatan seram ialah imej dan pencahayaan. Kekuatan seram ialah susunan segmen, syot kepada syot. Kekuatan seram ialah suntingan. Suntingan filem seram ialah seperti gerakan degupan jantung, ada masanya perlu berdegup biasa (selalunya buat ikatan gerak plot, meletakkan penanda "apa akan berlaku" seterusnya, dan penceritaan watak, rujuk babak Reagen dan ibunya bermain di basement rumah), kemudian dinaikkan (sama ada secara paparan "kejutan" imej hitam/the other yang jika dibuat berkali-kali menjadi cheap thrills, atau dengan gaya suntingan dan mood, serta emosi latar, seperti babak Cat People dalam sedutan video di atas) atau ditahan-tahan sehingga penonton terasa nafas sesak kerana menunggu apa yang akan berlaku. Inilah unsur paling penting dalam filem seram: menyesak nafas penonton, yang pada era dulu, pengkritik Barat panggil "edge of your seat". Era sekarang, dalam filem Barat, unsur ganas darah, gore, yang dikenalkan sebagai torture porn, dengan merealisasikan realisme keganasan babak sehingga objek yang diseksa itu "mati" menjadi ramuan terpenting era sekarang. Namun, bagi aku, sesak nafas secara mood, meletakkan sesuatu yang tidak ada dalam ruang dan "membayangkan" yang sesuatu itu ada, lalu menyebabkan penonton tertanya-tanya, lebih efektif dan merupakan tunjang utama kekuatan filem seram. Inilah rahsia sebenar kekuatan filem Hitchcock: meletakkan bom di bawah meja yang tertutup dan membiarkan dua orang yang tidak menyedarinya makan di atas meja tersebut.

4. Zombi merupakan subgenre seram (sebenarnya bermula sedari Cabinet Case of Dr. Caligari lagi, dipanggil somnambulism, kemudian Frankenstein [kemudian khusus: monster], kemudian zombi ala voodoo dengan I Walked with a Zombie daripada Val Newton) paling bertahan dan unik, berkali-kali diparodikan tetapi masih kental kuat dan diraikan.
5. Filem seram boleh bermula kecil, dengan bajet kecil, malah kebanyakannya memang begitu (Cat People, Texas Chainsaw, Haloween, Night of the Living Dead, Evil Dead, Saw), tetapi kesepaduan arahan-sinematografi-suntingan-bunyi-efek yang kreatif dan berdedikasi tinggi untuk penghasilan karya, yang menghasilkan filem seram yang efektif, lantas menghasilkan sesuatu impak yang besar dan selalunya original.
6. Mengikut kata pensyarah video ini tentang tiga subgenre seram yang masih kuat di Barat, kita, nampaknya setakat ini hanya mempunya subgenre "ilmu hitam" dan "saka" yang diulang-ulang sehingga MiG sendiri memparodikan karya produksinya. Sebelum kita memulakan subgenre zombi, Mamat Khalid sendiri membunuhnya dengan Zombi Kampung Pisang (dengan tujuan pascakolonial, kononnya).
7. Kita masih menunggu sebuah filem seram bergenre pontianak yang betul-betul seram, dan bagus. Sila buang: melodrama.
8. Kita pernah cuba melakukan seram psikologi, Syaitan, tetapi subgenre ini paling risque kerana tak ramai penonton kita yang boleh menghargai David Lynch.
9. Kita sudah tiba pada era Jwanita: filem seram dewasa, tontonan untuk 18 ke atas, yang boleh buat duit. Kita boleh sahaja bikin filem seram ala dakwah P13 macam Munafik, tetapi sudah ada "pasaran" untuk filem seram yang betul-betul hendak menonjolkan dirinya. LPF sekarang, walaupun tetap celaka, sudah mula memberi laluan dan peluang (terima kasih kepada Suhaimi) walaupun tak banyak, tetapi sudah mula menjinak. Lebih banyak lagi filem yang cuba menolak syarat dan dasar ini dibuat, lebih banyak lagi tabu yang dapat dipecahkan, dan akhirnya, barulah Dukun dapat dibebaskan untuk tayangan.

10. Kita patut lebih kreatif dengan tidak perlu mengulang kejayaan filem orang lain. Malaysia ni kecik. Kita bukan Hollywood. Cari tema original, paling buruk pun, sadur sesuatu yang orang belum tonton.  Tapi buatlah dengan bijak dan mengikut kemampuan duit dan kemahiran kita. Jwanita ialah "homaj" dangkal filem seram Indonesia era Suzanna dengan sedikit sentuhan ekspresionis 80-an seram Itali. Bukan sesuatu yang baru untuk aku, tetapi untuk penonton lain yang dah lama tak tengok filem seram yang bagus, teruja.
11. Bila kita berani adaptasi Bercakap dengan Jin, atau mana-mana novel seram yang popular dalam bentuk filem yang baik dan kreatif? Bilakah kita dapat menemui suatu era baharu seram tempatan, selepas Seru?

12 April 2016

Showdown (2016) The Movie

Filem tarian dengan elemen siri realiti mungkin baharu dalam wayang kita, namun sesiapa yang mengikuti tarian hip-hop dan jalanan alaf ini sekurang-kurangnya tahu akan hasil francais Hollywood yang terkenal, Step Up (bagi aku, siri ketiga adalah yang terbaik), yang menginspirasikan kewujudan filem tempatan ini daripada pengarah muda berpotensi tinggi, Khairil M. Bahar menerajui.

Aku perlu berterus-terang bahawa pada era 2010-2011, aku baru mengenali penyiaran 8TV dan menemui rancangan realiti pertandingan tarian jalanan, Showdown, yang amat mengujakan. Aku menyukai penyampainya, Hafiz Hatim, dan juri celoteh hebatnya, Maple Loo dan Joe Flizzow, dan sudah tentu para penari anak mudanya. Pada edisi tahun 2011, walaupun dengan sedar kumpulan Elecoldxhot dan HMC Phlow merupakan kumpulan terkuat dalam edisi tahun itu, aku amat meminati Bounce Stepperz kerana sikap eksperimentalnya, teateristik dan jalinan motif tarian mereka terhadap tradisional (tarian Melayu) dengan hip-hop.

Masuk tahun 2016. Dengan mengejutkan, penceritaan filem Showdown yang sangat ditunggu-tunggu ini mengambil pakai "melanggar arus" dengan memperjuangkan tradisi dalam moden, memasukkan lenggok silat dan tarian Melayu dalam tarian jalanan, sesuatu yang dianggap "bidaah" dan kontroversi dalam program pertandingan televisyen tersebut! Sebuah kumpulan kecil dari Pulau Pinang, Battle Crew (kita akan teringat akan Giller Battle) yang diterajui Reza Hasbi telah berjaya menarik Azad Jasmin untuk membawa mereka ke pertandingan Showdown di Kuala Lumpur. Reza diperkenalkan kepada Izara, tauke studio dan penari kontemporari yang juga sedang menyatukan tarian Melayu dengan Barat kontemporari dengan bantuan ibunya, Maria Farida. Mungkin, dari sini, Reza mengambil peluang untuk memperkenalkan tarian lenggok Melayu dalam susunan jalanan, menghadapi seteru terkuat mereka, Xtreme yang diketuai Jinggo (Iedil Putra), seteru besar Reza sewaktu kecil.

Terus-teranglah, apabila aku menonton filem tarian, sedari era Top Hat Fred Astaire lagi, genre ini mengambil kepentingan satu-satunya elemen: yakni gerak tari: persembahan, kareografi, suntingan dan tangkapan kemas, dan chemistry atau dinamisme antara pelakon/penari dalam satu babak tarian. 

Khairil mungkin lebih dikenali sebagai anak muda yang berbahasa Inggeris-urban, memperkenalkan sisi urban dalam wayang kita. Seeloknya, urban tarian jalanan ini kelihatan, seharusnya, molek sahaja dalam tangan arahannya. Namun begitu, hal ini tercalar dalam banyak bahagian, penceritaan, gerakan, pelaksanaan dan peleraian. Mungkinkah kerana aku amat merindui kata pantas dan ligat Maple Loo setelah satu-satunya persembahan tarian (filem ini kita hanya diberikan wajah isteri Que Haidar ala era Akademi Fantasia) para peserta? Dalam enam minit filem, dengan syot kekal dan gerakan kamera yang sangat lesu, kareograrf tarian bersungguh-sungguh Pat Ibrahim dan beberapa penari jalanan sebagai pakar rujuk tidak dapat dihadirkan dengan sepenuhnya. Tidak ada cerita dan mimik yang menyengat. Lesu dan sangat lemau (syot statiknya menghindari penonton daripada ikut berserta dengan tarian di pentas). Malah, suntingan dan sudut syot tertentu tidak memberikan justifikasi alunan dan dramatik tarian kumpulan. Kita dibawa pula dengan pelakon demi pelakon yang hambar, termasuk Iedil Putra. Malah, pada satu babak, Reza (yang emosinya bersepah-sepah) dengan jelas menyatakan, "Kita akan buktikan stret dance mampu untuk ... bal bla bla" Straight dance! Pada satu babak, aku terus mengamuk, apabila Izara, dengan sikap stereotaip filem Melayu 50-annya, berkata kepada Reza, "Betullah apa mama cakap, you memang budak kampung!"

Kita secara serius tidak peduli dengan ceritanya, tidak peduli dengan percubaan improvisi para pelakonnya, tidak peduli dengan cinta Reza-Izara, dengan sejarah Reza-Iedil. Kemasukan seorang budak kecil, Ben Laden, pada pertengahan cerita untuk "menjadi penari" bersama-sama Battle Crew sekurang-kurangnya memberikan harapan besar, kerana mimik dan gerak budak ini sememangnya ada sesuatu, dan mempunyai pesona (cara diperkenalkan), namun kehadirannya hanya sebagai alasan penyimpangan plot dan mesin air mata yang tidak menjadi.

Ada sebuah subplot, antara Izara dengan watak mamat muka mat saleh daripada filem pendek Rewan Ishak bernama "David" (bayangkan patung bogel raja Yahudi itu di Muzium Vatican) yang sangat menjengkelkan. Lihat: babak ini disengajakan untuk memaparkan materialisme dan kiblat ke Barat ibunya Maria yang bercampur-campur bahasa Inggeris Melayunya, yang berlagak seperti Mak Dara dalam Ibu Mertuaku, dengan memberi dialog seperti "Kenapa you tersenyum tu, you teringat David, ya?" Ada sebuah babak, di mana, Izara, David, Maria dan mak David (yang Inggerisnya berterabur) sedang "melangsungkan" kenen-kenen dan perbincangan betapa Amerika itu Indah dan Malaysia itu Punah. Babak itu mengingatkan aku pada soap-soap Pinoy tiap petang di TV3 dengan sikap mamat-minah Pinoy melihat Amerika sebagai syurga yang ada segalanya, dan berbincang dalam Tagalog kemudian Inggeris pelat bercampur-campur, di meja makan. Persis! Dan ini berlaku, betul-betul dalam filem tarian pinjaman budaya pop Barat ini! 

Jadi, akhirnya, memang, kita menonton filem ini pun kerana tariannya. Memang, percubaan Reza dan Iedil baik (walaupun Iedil tampak sedikit kayu dan Izara tampak palsu dengan lenggok tarinya), cuba setaraf dengan para penari yang aku sedar, merupakan sekumpulan daripada penari yang pernah memasuki program televisyen itu. Mereka sudah mencuba sebaiknya, hanya, terbabas beberapa kali kerana teknik Khairil yang simpang-siur dan tidak tahu apa yang mahu ditekannya (terdapat banyak babak cross cut, dengan runut bunyi berlangsung, yang kononnya ingin menunjukkan betapa tarian itu sebenarnya kehidupan), dengan banyak konflik dan penyeleraian yang lemah. Syot final battle antara Xtreme dengan Battle Crew sekurang-kurangnya mempunyai percubaan dramatik dan cabar mencabar yang menarik, yang akhirnya kita teringatkan dengan Step Up. Namun, begitulah, kita diberikan entah cacamarba apa-apa dari awal sehingga akhir untuk tiba di situ, dengan banyak persoalan yang masih mengganggu (yang paling jelas, entah bagaimana dan mengapa Reza dan Battle Crew memilih motif silat dan tarian tradisional, hal ini berbeza dengan, contohnya, sikap Strictly Ballroom yang jelas menginspirasikan "tarian dari hati" atau Step Up All In yang juga menarik kekuatan tarian Latin).

Tunggu pada kredit akhir, terdapat satu tarian bebas kru Battle Crew di taman permainan (aku agak di Padang Kota Lama) yang jauh lebih menarik daripada keseluruhan cerita dan gerakan filem ini.