12 June 2013

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman(2013): Sastera ke Layar Mencuba

"Radio ada ke radio takde ke, Pak Hassan akan terus dengan cerita-ceritanya."
-Ramli


Sebelum Bermula Segala
Pertama. Berapa orang yang mau melihat layar kita berubah sempat menonton telefilem ini? Berapa?
Berapa yang peduli?
Kehadiran telefilem ini aku boleh mengaku sedang membuka ruang dan peluang yang sibuk-sibuk diperkatakan oleh Salbiah Ani hari tu. Namun jika tiada "pengikut" yang wajar, termasuklah daripada pengsimpati dan pengikut sastera, idea semurni ini akan ranap. Titik.

Fatalisme
Dahulu, hal inilah yang aku secara terus-terang membenci sastera Melayu (namun selepas ketemu S. Othman Kelantan, aku tak sedar betapa indah juga sastera Melayu sebenarnya). Dalam kebanyakan novel 60-70-an, novel menang besar Anwar Ridhwan ini adalah antaranya. Hal ini merumitkan, kerana bukan sahaja menyakitkan untuk membaca kisah fatalis, untuk menonton suatu fatalisme tanpa daya dekaden (kerana ini kononnya semangat Barat) membuatkan orang berfikir dua kali.

Aku menonton telefilem ini bersama-sama kembar aku, Lyn yang tak endah langsung tentang dunia sastera kita. (maknanya, dia penonton luar yang aku pujuk menonton "sastera" kita). Menonton filem ini, dia boleh berkata hal ini: "Lesunya! Penatnya!"

Aku tidak menyalahkannya.

Tanggungjawab ini keseluruhannya dalam tangan Sabri Yunus, sang sutradara baharu yang memberi kita kehebatan Sanggul Beracun.

Perlu Imejan Berkuasa
Sewaktu aku membaca novel derita perang-tragedi sastera lisan ini, aku membayangkan dua imejan kuat yang tampak memang indah untuk disaluti dalam dunia yang didepani oleh Pak Hassan (Wan Hanafi Su) dalam "detik terakhir"nya: kehadiran radio dan kehadiran tentera Jepun. Lihat subteksnya. Radio berbentuk ancaman fizikal berbentuk teknologi yang akan "menggantikan" fungsi Pak Hassan (yang kini, sudha lebih pelbagai, rujuk Dewan Sastera Mei 2013). Kemudian imejan tentera Jepun, dengan mula-mulanya diperkenalkan dalam novel itu dengan bunyi gempita kapal terbang Jepun lalu kemudian kehadiran askarnya. Kedua-duanya "barang luar" yang mengancam. Tradisi Pak Hassan dan orang kampung (Melayu) akan diancam (walaupun sudah terancam dengan pelbagai penjajahan). Ini yang menggertak Pak Hassan dan orang kampung tanpa disedari.

Lalu bagaimanakah imejan ini dilancarkan?

Dalam telefilem ini, Sabri mengambil pendekatan "lisan" dan minimalis, tidak pernah fungsional perlambangan pada cerita. Lisan kerana terdapat dialog keterangan "Jepun akan datang" dan "si orang tu dah ada radio". Semua ini cantik dalam "teks", tapi jaga-jaga, filem mementingkan imejan. Kita dengar Jepun datang daripada Zul Huzaimy bercakap kepada kekasihnya Mardiana Alwi (secara pelik dalam babak itu, si Mardiana boleh "tersengih" apabila mendengar Jepun nak datang, walaupun hal ini menarik secara sexual tension, namun janggal kerana Mardiana boleh tersenyum dengan keterangan itu). Dan apabila Jepun datang, ia dilakukan dengan syot panning yang amat mudah, budak-budak lari, kamera gerak kiri, Pak Hassan ditegur budak-budak, kamera gerak kanan, askar Jepun berdepan Pak Hassan. Serius malas, serius tiada intrig! Radio lagilah. Kita hanya lihat radio tersebut apabila Mat Junuh datang suatu pagi (itupun dah diletakkan Mat Junuh tepi tangga) selepas entah berapa watak yang sudah berbual-bual fasal kehadiran radio dalam kampung mereka.

Sila lihat jika imejan ini lebih berkuasa:
Bayangkan tiga babak dengan kepentingan syot "pintu" sebagai ruang lambang "perhimpunan/perjumpaan". Kita lihat Pak Hassan bercerita di "serambi" rumah di luar "pintu depan" ruamhnya. Orang ramai (idea massa menghampiri penanda zaman) mengelilingi pintu depan dan serambi. Kemudian, dengan bunyi jet Jepun, kaki orang kampung berlari, kaos, di "pintu shelter" kita lihat orang berhimpun. Imejan jelas, "zaman" sedang berubah dan mengubah gerak laku massa. Imejan ini dimainkan lagi dengan perkenalan "radio" depan rumah si tukang radio (aku lupa nama watak) bila orang, sepertimana yang ramai ke rumah Pak Hassan berkerumun ke rumah si dia, kita nampak pintu depan rumah tu dengan suara radio di dalam, orang berasak-asak, mungkin pertama kali mendengar berkenaan kehadiran Jepun di Kelantan. Kita boleh juga masukkan imej Mat Junuh yang "terpesona", sedikit demi sedikit mendekati dan "melalui" pintu depan rumah itu untuk melihat "radio", suatu "tikaman imej" pada harapan Pak Hassan kepada anaknya.

Bukankah begitu lebih baik?

Intepretasi Sabri Yunus
Aku takkan salahkan Sabri sepenuhnya. Ini mungkin percubaan Sabri mengambil teks skrip teater adaptasi novel ini dan cuba bertungkus-lumus mencari penyesuaian dengan teks filem. Salinan begini akan terlepas pandang.

Filem ini mempunyai tema serius berat, kalau Sabri pandai bermain dengannya. Tema luas filem ini ialah berkenaan kehadiran "kiamat" terhadap suatu zaman. Zaman di sini diwakili Pak Hassan dengan ceritanya. Bolehkah cerita Pak Hassan "melepasi zaman baharu" yang sedang menhadapi kiamat itu?

Aku tergamam bahawa pandangan ini juga suatu ramalan simbolisme "kiamat" terhadap sastera kita, Dewan Bahasa dan Pustaka (sang pejuang gergasi itu yang orang Melayu sendiri sudah tidak mempedulikannya, contoh, hendak digerakkan sekolah aliran Inggeris?! Kalau Za'ba dan Keris Mas keluar kubur, mereka pasti mengamuk hantu) dan dunia feudalis lama Melayu. Dan betapa menakutkan, ramalan ini sedang berlaku SEKARANG!

Inilah fatalis agung telefilem ini!

Segala yang "ideal" dan dipegang secara romantis oleh Pak Hassan akan "hilang", "dirosakkan oleh orang kita sendiri..." Anaknya terencat (anak generasi sekarang terencat!), namun Pak Hassan tetap humanis, berharap dalam bayang-bayang, sampai ke tahap surrealis (imejan ini tidak berjaya ditangkap oleh Sabri), dan hal ini akan "memakan" dirinya. Tragedi akan berlaku dan ini akan menyakitkan!

Oh, lihatlah, betapa orang tua kita sudahpun menghancurkan dunia kita sendiri. Anak-anak sekarang boleh menggelek Psy daripada mengenali Zapin. Perdana Menteri boleh bercakap Inggeris dengan bangga di depan bangsanya sendiri, slogan kerajaan heboh dengan bahasa Inggeris, Merong Mahawangsa sendiri berkelok cakap Inggeris dari layar filem bajet rendah Hollywood! (dan menang FFM!) Oh, tuhan, hancurnya dunia kita sekarang!

Namun semua ini nampak lebih "mati" dengan gaya lembap dan terlalu statik Sabri merakamkan kampung tempat Pak Hassan. Inilah yang membuatkan keterujaan kawan aku mati tengah jalan. Ini dosa pembikinnya, kerana seakan-akan mendidaktikkan, "Oh, beginilah caranya kalau nak adaptasi sastera.." Jangan! Kalau nak cakap fasal "penglibatan penonton" Punggok Rindukan Bulan Azharr Rudin lebih "mengikat" walaupun filem itu "panjang" dan "seni" (dan juga bercakap tentang kiamat dan pergerakan orang Melayu ke zaman baharu).

Serius Sabri terlalu selesa dengan bentuk teater dalam mengangkat telefilem ini, dengan gerakan syot yang banyak bermain syot luas dan deep  focus. Hal ini memperlihatkan dunia yang statik (walaupun rasa ini menarik, seakan-akan dunia Pak Hassan itu statik terhadap peredaran masa), seakan-akan dipentaskan dan terasa ruang persekitaran yang tertahan-tahan dan sesak, yang kadang-kadang menjauhkan penonton kalau tidak dibuat dengan gaya betul. Dialognya terasa panjang-panjang dan kadang-kadang menerangkan cerita. Sabri tetap memegang "melodrama" dan ini suatu yang menyakitkan. Runut bunyi telefilem ini yang "cuba" memberi emosi melodrama yang betul menjadi huru-hara, entah apa-apa. Tidak meyakinkan.

Satu lagi yang Sabri tidak cuba ialah penggunaan simbolisme alam dalam menggerakkan realisme-surrealisme  Pak Hassan. Alam yang dilambangi bulan-hujan-matari-pokok bakau-pokok beringin tidak digunakan secara "motaj". Rujuk bagaimana berwibawanya Before Night Falls menggunakannya (Oh, orang akan kutuk akulah ambil contoh Barat), atau tak pun, Bunohan. Ini penting kerana bulan punya kuasa mengangkat filem ini (ada percubaan pada klimaks tapi tidak diberikan kesinambungan montaj). 

Ada satu babak monolog (Oh, banyaknya monolog dalam filem ni, oh tuhan, aku dah kata, jangan buat filem macam drama radio, jangan!) Pak Hassan berkenaan dia mahu jadi seperti pokok bakau. Ini amat menarik tapi hilang dalam kata-kata tanpa imej kuat. Bayangkan jika Sabri ambil gaya montaj (rajinlah sikit!) apabila dibayangkan Pak Hassan kemudian pokok bakau kemudian ombak memukuk pokok itu, lalu pokok itu tumbang (dan imej ini berkenaan dengan imej pohon beringin yang tumbang nanti) lalu pohon bakau baru lalu susuk Mat Junuh lalu kelam. Hanya mainan imejan yang diperlukan.

Pelakon Yang Dahsyat
Hal semua ini sayang sekali berlaku, kerana himpunan para pelakonnya bagus (aku terkejut, En. Ghapar DBP jadi Sarjen Jepun, ha ha!). Dua orang amat aku sanjungi. Wan Hanafi Su sebagai Pak Hassan pada tahap kematangan yang amat tinggi. Dia "hidup" dan "hirup" Pak Hassan. Dia gergasi yang akan ditarik rakus oleh zaman baharu, namun dia tetap berdiri walaupun sedang hilang akalnya sendiri. Gerak, suara, nafas Wan Hanafi menakutkan. Kedua, Amirul Affendi. Secara "pemilihan pelakon" (casting) sahaja pembikin sudah menang. Amirul sebagai Mat Junuh memberi suatu imejan lurus bendul-simpati yang amat berjaya. Humanismenya jelas dan hidup. Dia tidak mahu begitu tetapi dia begitu, ah, ini suatu keindahan dalam lakonan dan berjaya diangkat baik oley Amirul.

Suara telefilem ini terasa seperti drama televisyen biasa, tatariasnya baik dalam paparan kampung yang daif. Warnanya sudah bagus hanya gerakan kameranya memilukan. Suntingan tidak berapa jitu dan mantap.

Suatu angan-angan yang perlu disokong walaupun mengecewakan.

DITONTON DI Astro 952.

11 June 2013

Lari(2013): KJ Jahat dlm Filem ni

Oh, inilah dia filem tu yang masuk "pasaran" Cannes bersama-sama dengan KIL dan Vikingdom tempoh bulan lepas. Whoah, tepuk tangan buat Ahmad Idham! Aku boleh cakap satu hal lah, mamat Idham ni memang ada telur ah, ada balls orang puteh kata. Camni, cam siot mana pun kau buat, dengan berani kau kata filem ni mutu internasional. Yang itu mesti aku puji.

Dalam banyak-banyak benda yang Idham buat, semangat tak mengalah dan mengaku filem dia boleh jual pasaran antarabangsa, ahh, ini memang korang yang buat filem mesti ada dalam jiwa. Kalau tak, sampai 2020lah filem kita "wajah" kita je yang layan.

OK, filem ni bertih jagung. Aku sebenarnya MALAS nak kupas dan komen dalam-dalam, sebab sebanyak mana aku cakap pun, Idham akan ada cara dia, standard dia, dan telur dia nak ukur macam mana dia bikin filem dia. Jadi aku cakap jelah hal-hal yang aku tak suka (yang macam dia peduli kan?):

1. Runut bunyi dia malas nak mampus. Macam lagu mamat India main serunai keluar ular tedung, lepas tu, tiba-tiba mamat tu Metal petik gitar elektrik bagai. Ya Tuhan. Hancur. Sangat hancur.

2. Aku kesiankan Idham. Dia serius rasa penontonnya memang tak faham. Aku pun rasa penonton kita tak faham jadi sebab tu dalam beberapa hal, dia terpaksa melepaskan beberapa babak dialog "menerangkan"  (babak baca surat contohnya) dan babak-babak kalau dah jahat kan, macam Erry Putra tibai bini dia untuk tunjuk "Eh, aku jahatlah!" Yang ni, Hans Isaac boleh dihormatilah fasal ubah cara dalam Langgar.

3. Banyak sangat imbas kembali. Whoah, Idham dah pandai! Tapi serius aku tak peduli. Pergerakan dan skripnya takde masalah, tapi CARA ia dilakukan, suara khas, runut bunyi dan semangat melodrama. Oh, ini rujukan balik pada KL Gangster yang memang guna gaya ni.

4. Filem ni hancur tempo. Mood. Semangat "lari" tu tak buat kita betul-betul nak "lari". Ini, hanya yang profesional yang faham nak ikat babak pada babak dengan aksi yang akan faham.


Apa-apa pun, filem ni filem jaguh kampung genre aksi yang seronok. Kalau aku makan bertih jagung, siap boleh habislah, tahap wayang pacaknya memang menghiburkan untuk penonton kampung macam aku (kalau kau perasan duduk Paris berkepit minah salleh, kau mungkin tak suka).

Tapi yang lebih menariknya, ada satu babak ni yang buat aku terkikik-kikik seronok. Wah, Idham sekarang dah pandai main subteks. Ambik kau Hassan Muthalib!

Khaliff (nama kelas gila, rasa pelakon porno A+ sangat, oh ya, pelakonnya Adam Mukriz kita, Aaron Aziz) ni cari adik dia (macam Bintang Malam tu) yang kena "jual" oleh sindiket. Khaliff ni tentera (Lahad Datu ok!). Ayah dia tiba-tiba mati. Liam Neeson dapat pusing satu Eropah. Khaliff dapat ke Siam. OKlah tu.

OK, kita dah kenal yang Erry Putra (habislah abangnya, mamat ni boleh tahan celaka jahatnya) si penjahat, yang memang jahat bernama KJ(!), sampai kawen awek si hero Khaliff lakonan Dira (aku suka mata dia, stim membakar), yang buat ayah Khaliff terbunuh (sebab dia mamat orang tengah sindiket jual orang Malaysia-Thailand) dan sama-sama colek adik Khaliff nak jadikan dia ayam. Serius, jahat tahap gaban ni. Tapi nak tambahkan lagi jahatnya, jeng jeng jeng, KJ ni ada "kawanan samseng" yang ikut cakap dia (ehem!) dan dan, bakal nanti Ketua Pemuda kampung tu! Haaaa, amik kau orang politik!!!

Ada satu babak ni, masa tu Khaliff dah tau, si celakanya ialah KJ (sebab dua anak buahnya dah kena pukul kaw-kaw punya). KJ masa tu sedang BERMESYUARAT dalam bilik gerakan untuk AJK pemuda kampung supaya memilihnya sebagai KETUA. Ah, indahnya ironi ni! Sindiket kotor dan politik bertemu! Kemudian, apa yang jadi, Khaliff tendang pintu macam Rambo (ok, macam Laksamana Bentan), bawak dua penyangak tu depan semua orang (biar semua orang sedar kejahatan KJ) lalu cakap depan-depan, "Mana adik aku?" Ah, ini bahagian tersedap. Kita ingat, akan adalah satu babak lawan dialog orang-orang keliling KJ berkenaan "Oh, betapa sucinya KJ" ala mana-mana himpunan politik baik BN ataupun PR. Namun apa yang berlaku ialah: Dengan mata mengarah KJ, orang-orang yang pasif dan nampak baik tu tiba-tiba bangun angkat tangan dan serbu Khaliff, bantai dan pukul berleluasa dalam bilik gerakan!

Whoah!

Ini Idham sangat beranilah! Sangat-sangat berani! Dan nak tambahkan perisa ironi "kuasa celaka" ni, sebelum tu, KJ siap kata, "Saya akan tambahkan insentif tuan-tuan jika tuan-tuan memilih saya!" Hah, itu dia politik wang! Ambik kau!

Satu lagi:

Ada dua perempuan dalam filem ni. Dira (bekas awek Khaliff yang kena kahwin dengan KJ) dan adik Khaliff.

Seakan-akan Idham memaparkan dalam dunia Melayu, ada dua jenis lambang wanita. Kedua-duanya terhimpit dalam dunia patriaki lelaki. Namun, Dira ni lain sikit, sebab dia awek Khaliff, dia ada sedikit "semangat" walaupun terikat dengan sistem lelaki Melayu. Dia dipaksa untuk kahwin dengan KJ atas permintaan ayahnya, namun dalam diam, dia tahu dia nak apa. Adik Khaliff faham hal tu. Kod-kod wanita ini menarik, sifat penindasan mereka, walaupun tertindas secara senyap, mereka menyalurkan sifat feminisme mereka dalam acuan sistem itu. Yang ini, orangt Barat akan buta sikitlah sebab mereka takkan faham feminisme ala Timur, dan Idham dan penulis skrip ni faham. Syabas! Malah pendirian ini lebih berkuasa apabila kita lihat, penindasan bisu terhadap wanita Melayu ini dicengkam pada taham yang lebih sakit, yakni membuatkan mereka bahan jualan, yakni menimbulkan makna "simbol seks" dan hal inilah yang dilawan oleh Khaliff dan Dira (Ah, ini suratan menarik!) Khaliff menolak penindasan maha zalim ini (menutup sekali gus suara wanita itu bersuara. Jika wanita itu pelacur, suaranya ditutup langsung, dan masih ditindas oleh sistem  materi lelaki) walaupun perjuangannya satu perjuangan peribadi. 



Aksi dalam filem ini bagi tahun ini, agak menarik. Aku suka, walaupun susah nak ikut sebab runut bunyi yang hancur. Namun terdapat beberapa aksi yang kita tak rasa "tumbukannya", namun aksi dan gerakan aksinya menarik. Dari segi kareografi, sudah mula ada perubahan. Ada satu babak lari yang panjang sewaktu Khaliff di Kuala Lumpur, ah, yang ini menarik. Kita dapat lihat sisi KL yang marhaen dan kecil, dilalui Khaliff dan samseng. Hal ini amat menarik dan lebih menarik jika ia dijaga betul-betul, sudah mendekati profesionalisme filem aksi Thai.

Aaron Aziz OKlah dalam filem ni. Yang best dalam filem ni ialah Hazama, sidekick satu dimensi dan tukang lawak tiba-tiba Khaliff. Keseluruhan para pelakon tidak menghampakan.

Klasifikasi Lari: ?, Ada babak berdarah yang real dan aksi ganas dan realiti sosial yang tidak sesuai bagi penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Mid Valley.

07 June 2013

The Great Gatsby (2013): Denyaran Hijau Memukau

Aku serius tak peduli apa-apa pun orang nak kata fasal filem ni.

Aku sukalah!

Aku bukan mainlah ambik masa nak gi menonton filem ni, dekat sebulan jugalah. Apabila ada kawan aku (mamat buku) yang kata filem ni boleh layan, barulah aku halakan West Egg aku untuk tonton filem ni. Kawan aku mamat buku tu tak salah. Dari awal denyaran hijau sampailah ke pengkahiran kelip-kelipnya, aku terduduk dan menyukai setiap teguran dan hidangan yang diberikan oleh pengarah Strictly Ballroom dan Moulin Rouge ni. Apa fasal diorang tak suka, ah, pedulilah. Ada orang boleh bersyahwat menonton Ombak Rindu, ada orang boleh bersedu-sedan menonton Ombak Rindu, ada orang boleh membantai kiri kanan dan depan menonton Ombak Rindu, dan ada orang boleh tunjuk cerdik dan comel depan mamat-minah Youtube seperti Matlutfi dengan memondankan diri memparodikan Ombak Rindu.

Baz Luhrmann mempunyai suatu gaya yang tak ramai orang suka, tetapi kegilaannya dalam mengawal tempo dan nada filemnya, seperti suatu "muzik" ataupun "tarian" yang disampaikan dengan jiwa (passion) yang membuatkan filemnya unik. Kau suka atau tak suka fasal ni, lantak kau lah.

Kerana itulah Baz, dan aku menyukainya.

Filem ini sememangnya kena masuk Oscar, sekurang-kurangnya untuk solekan, tatarias pakaian, dan pengarahan seni. Ya, Kita tak mungkin terikat dengan kelemahan lakonan Carey Mulligan (malah kita pernah menontonnya melakukan yang lebih baik daripada ini), atau biasa-biasa Tobey Maguire sang pencerita (yang mengingatkan aku kepada Ice Storm, filem yang turut memaparkan beliau sebagai wakil penyaksi kemunafikan dunia keluarga kaya-urban era 60-an) yang menyampaikan kisah ini dalam satu terapi jiwa yang panjang (dia disimpan dalam wad sakit jiwa kerana menjadi peminum arak yang melampau). Ah, yang paling penting ialah Leonardo DiCaprio yang kita kenali dalam filem ini sebagai seorang budiman yang bijak tetapi jauh dalam sudut hatinya, penuh dengan harapan dan angan-angan seakan sang romantis yang mahu mengejar bintang. Inilah harapan Amerika waktu itu, di sisi kritikan jurang sosialnya yakni golongan "bangsawan" yang punya "dunia sendiri" dan keterasingan terhadap perubahan sosial yang berlaku pada golongan marhaennya.

Memang, filem ini tidaklah begitu mencungkil dengan kritis hal-hal "jurang" ini. Hal-hal "sastera" yang dapat kononnya difikirkan oleh kebanyakan pengkritik untuk menjadikan filem ini "hebat", namun kalau mahu dibandingkan dengan penipuan Argo, filem ini dengan kisah cinta, lapisan cerita (yang kita mahu percaya atau tidak dari buah mulut Gatsby, itu hal lain) dan pendedahan, khianat, dan tragedinya merupakan sebuah filem romantik-tragedi yang jujur dan menjadi buat aku, walaupun kelihatan satu lapisan dan gemerlapan dengan pelbagai CGI dan berlian.

Ini yang penting. Ya, kita kenal Baz dengan sifat MTV Romeo+Julietnya yang mengikat dunia dahulu dengan "rujukan" yang dia kenal dari "jauh" lalu mengisinya dengan sifat ba-ba-boom yang biasa kita tonton dalam Hindustan (jangan lupa teliti mengapa Amitach Bachan dalam filem ini, dan ya, kita sudah nampak hal ini sedari Strictly Ballroom lagi). Ini "impresionisme" Baz, walaupun keanak-anakan, Disney-like, dan penuh "lelaki bersut merah jambu", seorang anak kecil yang menceritakan sebuah "dongeng" yang serius, dan ini dibuat dengan sungguh indah.

Ada satu babak yang mengagumkan, sewaktu pertemuan "sekali lagi" sepasang kekasih yang sudah lama tidak ketemu, yakni Daisy-Gatsby. Babak itu sungguh intense, kau boleh berasakan keinginan mereka yang tidak terungkap tetapi menyakitkan, melapangkan, dan rindu dendam. Ah, kita teringatkan Romeo+Juliet dan Moulin Rouge di sini. Sekali lagi, Baz berkata: romantik dalam dunia penuh kepura-puraan sekarang sudah menghilang. Amat susah untuk kita capai lagi Strictly Ballroom dan Australia. Kalau Gatsby ada di sini dan menonton ini, dia pun akan faham, dan tersenyum lapang tanpa kata-kata (dan terus memburu mimpinya).

Runut bunyi filem ini cemerlang. Suaranya kadang-kadang menghantui, kadang-kadang meloncat dan kadang-kadang menyedihkan. Ia mengalun lagu sunyi dalam wajah ceria dan suka manusianya. New York yang besar dan angkuh itu pertama kali tampak kosong dan sepi, walaupun dalam buatan CGI.

Ini sebuah filem yang melapangkan. Sebuah filem yang yakin dengan sesuatu walaupun kita tidak memberinya peluang.

15 May 2013

KIL (2013): Seperti Denyaran Cahaya

Nota: Jangan baca No.9 jika belum tonton filem ini.

Ridhwan Saidi pernah menyatakan, filem Hollywood itu berlapis-lapis macam kek lapis.

Dalam ulasan kali ini, aku mahu menyampaikan ulasan ini dalam hal yang berlapis-lapis mengikut nombor. Persoalan filem dan perfileman pun berlapis-lapis bukan?

1
Ada kecantikan dalam latar, pengarahan seni, dan mood filem ini. Runut bunyinya bagi aku, terdapat bahagian-bahagian yang mencapai emosi kesatuan penonton-imej. Ini penting, untuk feel. Secara luaran, ini yang paling berbuah dalam filem ini, dan sepatutnya inilah unsur utama yang membantu kau mengikuti filem ini sampai ke akhir.

2
Aku tidak menyentuh cerita lagi.

Aku ingin menyentuh semangat filem ini.

Ini filem yang tidak berbohong apabila ia menggelarkan dirinya: A feel good movie about suicide. Dalam suram dan kelam wajah Redza Minhat dan Christine Suzanne, timbul harapan dalam oren, epal, foto, dan ais krim.

Hidup memang celaka tapi kau wajib meraikannya.

Akil (Redza) "bernasib baik" kerana setelah bercuba-cuba untuk membunuh diri, dia menemui Zara (Christine). Mula-mulanya seakan suatu filem soft porn milik Hitchcock apabila Akil "mengikuti" Zara dari jauh, dan Zara "mengejutkan" Akil dari dekat. Ada ketegangan seks. Malah ada babak halusinasi (mencuit) apabila ketegangan seks ini menjadi dalam ruang "terperangkap" lif yang kelabu metalik lalu Zara "meraba" Akil. Serius penonton yang loner akan tersinggung. 

Mata penonton menjadi mata kedua-duanya (Akil & Zara). Ada sebuah perspektif yang tiba-tiba mengganggu penonton pada pertengahan cerita apabila perspektif Akil "hilang" lalu timbul Zara membeli buah-buahan (ah, ada lapisan lain secara plot antara Zara-wanita tua).

Kita juga diberi peluang menonton sebuah filem dalam filem arahan Johan Iskandar (Hasnul Rahmat). Ini deep? Kau jangan tertipu, filem ini sebenarnya mudah, rujuk bual-bicara filem Akil-Zara berkenaan komedi romantik (hint!) dan Noting Hill.

Johan Iskandar, seperti Akil, seperti kebanyakan anak kota yang murung, berasa "nak mati" dan KL yang terus kotor-cantik tidak mempedulikan mereka.

Ini tujuan mereka untuk membunuh diri.

3
Membunuh diri satu metafora menarik. Bunuh (kill) merupakan unsur biasa untuk "menamatkan" filem. Rujuk pabila Father Karras meloncat jatuh dari Hitchcock Stairs, filem The Exorcist pun berakhir.

Bagaimanakah kita menonton sebuah filem tentang ingin membunuh diri dan kita masih boleh terpaku hingga akhir filem?

Inilah lencongan (twist) yang dibuat dalam filem ini, memainkan sikap "ke arah kematian" sebagai suatu pilihan "memasuki alam berasa akan berakhir bila-bila masa". Sebenarnya filem ini tidaklah hanya bercakap fasal "nak mati" tetapi juga bercakap fasal "kehidupan": filem ini menyampaikan harapan. Dalam sebuah cekerawala yang serba luas, walaupun bagaimana bersendirinya kita, kita tidak dapat lari daripada berhubung, lalu perhubungan membentuk kebergantungan dan kepercayaan. Inilah dua unsur yang Akil "hilang", yang sedikit demi sedikit kita jumpai (setelah melalui beberapa episod psikaotik Akil, yep, kepala budak ni bukannya betul sangat) Akil "cuba" hendak mencarinya. Kononnya, dia jumpa bila bertemu dengan Zara. Filem Johan Iskandar (secara licik) membuka matanya tentang hal itu (haha, kiut, siapa kata filem tidak mengajar ya?)

Poin ini menarik: walaupun kita tidak mengenali satu sama lain, ada sesuatu yang kita sama-sama inginkan.

4
Dan jawapan untuk pernyataan di atas, perkara yang kita sama-sama inginkan tentulah "Cinta".

5
Filem rujukan.

Satu hal, aku suka imejan Redza-Christine yang dibuat menyamai imej anime, yakni jika Redza dan Christine dilukiskan seakan menyamai lukisan Osamu Tezuka.

Ini suatu "hiper-realiti" feel.

Canggung dan menarik.

6
Filem kitaran.

Mengapa aku tengok filem ini seakan-akan mendekati The Game (1997) karya David Fincher. Ye lah, tak lah semuanya sama khususnya plot, tetapi semangat dan ke arah "pengalaman" dan "pengharapan" baharu itu.

7
Redza OK, tidak mengecewakan, ada beberapa bahagian yang menampilkan dia merupakan antara pelakon muda yang akan menyinar terus jika tempat dan wataknya betul. Dia membawa imej dan gaya "pucat" dengan baik sekali, malah "menakutkan" (bila kita menyedari, dia mula psikaotik). 

Christine mempunyai imej yang amat sesuai dengan layar, layar bercinta dengannya. Lakonannya biasa dan boleh diusahakan.

Kadang-kadang sinematografi filem ini menampilkan kuasa, di belakang gaya Christopher Doyle. Wops, tentu pengarah sinematografinya nak tumbuk aku kerana kenyataan ini. Ha ha.

8
Filem seperti denyaran cahaya (flashes of light). Ia melalui kita sebelum ia pergi (mati/tamat/berakhir).

Ini suatu keindahan filem ini.

Ia menampilkan pengalaman tetap menghantui kita sentiasa, sebelum kita sendiri berakhir (mati).

Mengingati pengalaman hidup itu sendiri seperti sebuah filem yang siap yang kita tonton kembali (rujuk babak Johan Iskandar ditinggalkan).

Apabila kita merenung diri, barulah denyaran cahaya ini melingkar dalam memori kita.

Kita teringat saat detik (moments).

Saat detik amat penting dalam filem ini.

Oleh sebab itu, Redza pada bahagian klimaks memakai kemeja-T Back to The Future. Dia/Nik Amir sedang membina harapan, membaiki kesalahan lalu dalam setiap saat detiknya, sebelum semuanya melalui kita seperti denyaran cahaya. 

Kita meraikan denyaran cahaya untuk memahami diri kita sendiri.

9
Kau patut berhenti membaca.

Jangan baca bahagian ini kerana ini bahagian spoiler. Bahagian yang menyatakan mengapa bagi aku filem ini ada cacat-celanya. Kalau kau dah tonton barulah baca, kalau tak, jangan.

Serius jangan.

Sebab bahagian ini mungkin halunisasi atau episod psikaotik aku sendiri dalam menonton filem ini, lalu memberi kesimpulan yang tersendiri:

Bahawa filem ini boleh menjadi lebih baik lagi jika LPF yang celaka itu tidak mengganggu anak-anak muda ini membikin filem.

Aku kenal Rewan Ishak. Aku kenal kemampuannya. Aku tak berapa kenal Nik Amir Mustapha, tapi aku "percaya" dengan kemampuannya. Mereka bukan amatur dan sudah lama berkecimpung dalam filem. Aku anggap, setiap babak dan tangkapan imej itu penting dan tiada yang tidak terkait.

Ini semua berkenaan Redza yang suka lepak atas bumbung pangsapurinya.

Ada dua syot yang memberi klu kepada aku. Malah, ya, tiada yang mengejutkan bagi seorang penonton tegar filem, kita sudah boleh menghidu cerita itu 5 batu lagi sebelum ia memberikan klimaksnya. Lalu kita hanya ingin merasai "pengalaman" yang hendak dihidangkan, kerana itu, kita memerhati sudut dan ruang dan objek tertentu dalam filem sebagai penyampai maksud apa filem ini sebenarnya.

Ada dua syot yang memberi klu kepada aku. Ada satu syot belakang kepala Redza atas bumbung, memerhati ruang luas kota KL. Babak ini hanya babak "sendiri" tanpa makna jika ia dibiarkan sendiri (aku teringat Punggok Rindukan Bulan dengan unsur kematian/pencarian yang berlainan). Syot ini juga memberi makna "pencarian" ada sesuatu yang mata malang Redza cari di sebalik jalan raya dan bangunan tinggi.

Syot ini kemudian mendekati satu lagi syot yang mana Redza memerhati papan hitam dengan tulisan berkenaan cara-cara membunuh diri. Lihat, ada lukisan "bangunan tinggi". Sedar tak kalian, ini bukan syot melewah saja nak tunjuk cantik-cantik papan hitam tetapi "tujuan" sebenar Redza. Dia bukan sahaja mencari makna "kematian" dan "cara bunuh diri paling baik" tetapi semacam "mencari makna" mengapa "adik dan ibu"nya ter"bunuh".

Bagi aku, ini yang LPF tak bagi.

Ini teori konspirasi aku.

Mengapa bangunan tinggi? Rujuk Dek Hor (2006) malah Vertigo, dalam filem, satu-satu watak tidak akan mengulang mengisi ruang tersebut tanpa makna apa-apa. Seperti pita yang diulang-ulang (rujuk denyaran cahaya/ulangan memori di atas), Redza sekali lagi dan sekali lagi pergi ke bumbung pangsapuri (aku terbayang pula dua filem Osman Ali yang wataknya suka benar lepak bumbung, Anak Halal dan Jiwa Taiko) seakan-akan menunggu, mencari seseorang, atau sesuatu. Takkanlah hanya nak merokok bai? Tak. Kalau seseorang trauma, untuk "kononnya merawat" traumanya, dia mesti ke tempat kejadian/tragedi itu untuk melepaskan traumanya. Kalau tidak, mengapa kita dapatkan satu syot Redza (yang sudah tidak mahu mati) melawat bumbung, kemudian memberi satu syot dia merenung jalan raya di bawah (life goes on). Aku dapat rasa, intial script ini menyampaikan bagaimana sifat "menyesal" Redza yang keterlaluan (kalau tak, mengapa dia halunisasi adik dan maknya begitu rupa) yang tak sempat menahan adiknya daripada melompat dari bumbung pangsapuri! Klu lagi satu, Redza (yang gila!) menasihatkan Juliana Evans (yang cun! haha, sempat!) "Jangan duduk tepi sangat nanti terjatuh," lalu dengan susah-payah (sebab nak pujuk) menceritakan kepada Juliana tentang "seorang budak yang melompat lalu terbunuh orang dalam kereta". Tak mungkin hanya kerana Redza hidup dalam ketegangan (ok, ya juga) dia lepak atas. Mesti ada meaning. Dia melihat coretan papan hitam itu, tercari-cari makna seakan-akan "mencari makna" mengapa adiknya membunuh diri. Ini lebih menyakitkan, lebih menyentuh.

Dan aku syak, LPF tidak membenarkannya kerana "membunuh diri" suatu perkara sensitif. Lalu meminta pembikin buat babak "kena kemalangan". Hello, lamenya! Mak dan adik kemalangan agak traumatik tapi adik yang kau secara SEDAR sedang dikejar dan tak dapat tahan lalu melompat dari bangunan lalu mati atas kereta mak sendiri lalu mak pun mati lagi traumatik gila. Traumatiknya bukan sahaja dari segi aksi (pembunuhan diri itu) tetapi makna (ketidakfahaman Akil memahami mengapa adiknya ingin membunuh diri lebih menyakitkan, perasaan tidak mampu menyelamatkan itu menjadi amat kuat dan lebih berkait dengan filem Johan Iskandar yang cuba "menyelamatkan" manusia tetapi merasai tidak berjaya).

Lalu babak kemalangan itu pun dimasukkan menggantikannya. Aduh ...

Serius, kalau Redza serius trauma fasal kemalangan tu, patutnya dia melencong ke plot Crash, lalu bersenggama dengan Zara dalam kereta untuk mencapai libido psikaotiknya berkenaan KEMALANGAN.

Heck, Fasha Sandha yang high dalam Anak Halal pun akhirnya terjun dari bangunan. Oh, dia boleh "dibunuh" begitu kerana dia "rosak akhlak": didaktik, senjata biasa LPF.

Kerana aku sedar, ada bahagian dalam filem ini macam "terbiar", kau makan nasi kandar tak cukup kuah, something's still missing. Semacam suatu simfoni yang tiba-tiba pertengahan alunannya direntap dan memasuki oktaf lain secara tiba-tiba. Itulah yang aku rasa.

10
Filem ini tetap mengagumkan bagi aku, lebih-lebih lagi dalam pembinaan landskap, warna dan nafas imejannya. Suatu pengalaman yang menarik dalam wayang Malaysia. Amat susah mencari sebuah filem anak muda yang berharap dan menyayangi hidup. Selalunya, keras dan berontak, serta protes intipatinya. Filem ini lebih tenang kerana menyenangi komedi romantik. Malah begitu optimis melihat dunia, filem, dan diri. Dan suatu halwa dan rasa yang berlainan daripada komedi romantik biasa yang kita jumpa dalam filem-filem anak muda sebelumnya. Sila tonton.

Klasifikasi Langgar: 13, Ada babak sedikit lucah dan terdapat kata-kata yang memerlukan bimbingan dan nasihat penjaga bagi penonton bawah umur 13.
DITONTON DI Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara.

10 May 2013

Pelancaran Buku TONTONFILEM

Maaf lama tak kemas kini, sibuk sih, suruh Kak Nab tulis pun dia sedang cuti umrah, jadi ni je setakat ni:

DIANA AMIR ada (aku pun xkenal, hahahah!)

ini Diana Amir:

25 April 2013

Buku Nota Filem (2013): Yey!

Yey! Sebuah lagi buku (tulisan bersama) aku akan ke udara pada Pesta Buku Antarabangsa KL 2013 nanti! Yeap, tulisan dalam buku ini merupakan tuliasan asli aku yang tak pernah terbit di mana-mana penerbitan. Dan paling teruja sekali, aku dapat bersama-sama beberapa penulis filem yang hebat-hebat belaka, yey!

Silalah ke Gerai #IndieKe Terfaktab-DuBook nanti :)



Ulasan Penerbit:
"Cobb: What do you want? 
Saito: Inception. Is it possible? 
Arthur: Of course not. 
Saito: If you can steal an idea, why can't you plant one there instead? 
Arthur: Okay, this is me, planting an idea in your mind. I say: don't think about 
elephants. What are you thinking about? 
Saito: Elephants
Arthur: Right, but it's not your idea. The dreamer can always remember the genesis of the idea. True inspiration is impossible to fake. 
Cobb: No, it's not."

                                                                                                          -Petikan dialog filem Inception.

Anda tahu tak sebenarnya apa yang Saito cuba tanam dalam fikiran subjek ni? Tak ramai yang tahu sebenarnya idea itu wujud dalam bentuk buku.

Buku yang sama Cobb tanam dalam subconscious Mal. Dan pemerhatian kami mencari objek yang ditanam, berhasil.

Anda mahu tahu apa yang mereka tanam sebenarnya?

Inilah dia ... BUKU NOTA FILEM.

15 April 2013

Buku TontonFilem(2013) AKHIRNYA!

Akhirnya, kini pasti!

Tetiba!

Ya, aku masih lagi ingat suara kawan-kawan yang menunggu, selalunya, "Fadz, bila lagi, bila lagi nak dibukukan, Dr. M pun dah!" (zaman tu Dr. M keluarkan bukunya).

Aku bersabar panjang.

Aku tak sekaya Dr. M yang jadi tauke roti setelah 10 tahun lebih mendayung negara.

Aku pengulas di blog saja (yang, ehem dah diberi peluang tulis dalam Dewan Budaya, Awww!)

Kawan aku, seorang sahabat "underground", pernah mengirimkan manuskripnya kepada suatu gergasi established, ke sana untuk dana menerbitkannya.

There and there diorang tolak: "Sape mamat ni? Tak pernah dengar pun. Apa kredibilitinya? Sekolah mana??"

Kawan aku dan aku masa tu: "Screw u lah, a@@wipes!" Dan tiada lagi aku peduli dengan gergasi itu. 

Aku masih tak mahu menerbitkannya sendiri walaupun kawan-kawan dan peminat mendesak dan mendesak.

Sampailah seorang hamba Allah ini datang kepadaku, dan segalanya selepas itu, keajaiban:


Ada beberapa kawan/peminat yang aku mohon tulis "testimonial" berkenaan TontonFilem.

Ini daripada Allahyarham Yasmin Ahmad:

Here's the ONE reason why i bother to pay any attention to fadz's writing:  he writes on what he FEELS about a film.

Many if not most self-proclaimed film critics in Malaysia make misguided attempts at dissecting films intellectually.  they go to great lengths to make sense of what is essentially an emotional sketch of how the filmmaker feels about the world around him.

"If you clean it up, get analytical, all the subtle joy and emotion you felt in the first place goes flying out the window." – Andrew wyeth

How do you make intellectual sense of someone's feelings?

Fadz, on the other hand, expresses his feelings randomly, in  streams of  consciousness that often end up with bursts of wisdoms.  Now THAT I find interesting and worthy of my attention.

I would even go so far as to suggest that some of the lecturers in town read fadz's writing regularly.  at least it might snap them out of that delusion that feelings are something you can intellectually dissect.

"In certain kinds of writing, particularly in art criticism and literary criticism, it is normal to come across long passages that are almost completely lacking in meaning." - George Orwell

Fadz gets it.  Which is why i only bother to listen to opinions from him, other than those of my film guru, encik Hassan Mutalib.

Buku ini akan dijual di Pesta Buku Antarabangsa KL 2013, PWTC. RM25. Boleh juga pesan dengan meng e-mel:
 hafizulosman@gmail.com ataupun rafinearts@gmail.com

Gerai ITBM di mana buku ini boleh didapati:

13 April 2013

Chi Tu Hau(1962): Kuasa Wayang Vietnam

Doa aku jahat.

Kadang-kadang aku mengharapkan kita dulu dijajah orang Rusia.

Setiap sentuhan wayangnya membangkitkan keindahan.

Vietnam era pascaIndochina (1960-an) dikatakan menjadi lingkungan dunia tertutup daripada dunia. Era Vietnam disanggah bukan-bukan oleh Amerika, malah memeranginya. Komunisme dibayangkan sebagai gerigi besi yang menghancurkan setiap satu yang melaluinya, termasuk seni dan suara kebenaran. Ya, suatu liang sahaja dibenarkan dan liang itu sahaja yang diraikan.

Tetapi dunia Vietnam juga tersalur suatu pencerahan seni yang berkiblatkan Rusia. Kemungkinan tiadalah dapat dilihat semangat wayang seni itu bergerak benar dalam dunia Vietnam, malah filem-filem sewaktu Perang Vietnam-Amerika dikatakan propaganda dan dilupakan.

Satu-satunya filem itu, seperti Chi Ti Hau (Chi, yakni "Cik" atau Miss dalam Inggeris) yang diarahkan oleh Pham Ky Nam yang belajar di sekolah filem di Rusia. Memang formalisme dan keajaiban montaj tentulah menjadi penelitian Pham, namun Pham berjaya menggarap filem ini, dengan emosi yang membawa tuntutan formalisme dengan suatu garapan babak yang meyakinkan.

Ya, ini memang filem propaganda. Aku teirngat Mother India, yang juga menggunakan protagonis "wanita" sebagai suara matriaki, yakni "ibu negara", yang mana dalam filem ini, Ti Hau lakonan berkesan pelakon wanitanya, berjuang membebaskan Indochina daripada genggaman kolonial Peranchis.

Filem ini bergerak semacam Embun (tapi maaf Erma, lebih efektif daripada Embun kerana ceritanya believable), yakni si Ti Hau yang ditinggalkan suami itu dirogol oleh seorang sarjan Perancis (lihat, si wanita tanah air dirodok si kolonial, menyatakan kemasukan Perancis ke Indochina itu sendiri "haram" dan dilakukan dengan kejam/kasar tanpa kerelaan). Dari detik itu, dengan tangis dan air mata, Ti Hau yang mula-mula berperanan sebagai bidan kampung (lihat, bidan menjadi peranan yang ditampilkan berpengaruh, yakni membawa seorang cahaya mata/nyawa ke alam tanah air, suatu peranan yang sama dibawa Rubiah dalam Bila Hati Telah Retak) mula bergerak "bawah tanah" lalu bersama komrat menyerang kubu-kubu kuat "penjajah" (klimaks akhir cerita).

Secara am, meneliti ceritanya sahaja kita akan meniti saga ini semacam suatu cerita perjuangan sahaja. Ya. Memang perjuangan semata-mata namun perjuangan dengan air mata (wanita, ohhh) dan darah (secara literal).

Malah, 20 minit awal filem ini suatu kuasa yang amat menggugah.

Ia bergerak seperti suatu kisah suspens yang melebihi suara Tourneur (Hitchcock punya cara lain pula). Aku tak tipu. Awalnya lagi, kita diberi resah getir Ti Hau apabila tentera kolonial datang menyerbu kampung (filem ini tidak menyatakan, yang kita mengambil maklum kemungkinan kerana kampungnya sarang pemberontak. Inilah unsur lemah propaganda filem ini supaya penonton "bersimpati" tanpa rasional yang sah) tersebut bilamana Ti Hau terpaksa melepaskan anak perempuannya dengan ayah mertuanya lalu berlari "mencari keselamatan". Syot yang dilakukan pantas, dengan sudut yang melepas dan melambung ke atas tetapi tersusun dan terkawal, kadnag-kadang berlaku penyimpangan syot, menaikkan suspens. Dan Ti Hau "terperangkap" atau menyelamatkan diri kembali dalam rumahnya. Keadaan huru-hara masih berlaku di luar. Namun, penjahat/askar sempat sampai, kerana seorang musuh/kenalan suaminya tahu akan rumah itu lalu menjumpai Ti Hau. Di sini, suatu syot indah berlaku. Dunia dan ruang Ti Hau yang luas tadi, dan aman (dengan merujuk juga babak prolog di hospital) diganggu gugat sehingga menutup cahaya dan ruang Ti Hau pada sudut rumahnya, yang walaupun rumahnya, terasa "ruang" yang menutupnya "tidak selamat". Pham berjaya dalam ini dengan menampilkan cahaya-cahaya matahari luar mencalar-calar wajah dan tubuh Ti Hau, mencalar "kemanusiaan"nya. Malah "suasana" dari luar "yang mengancam" itu dibawa "masuk" ke dalam ruang gelap itu dengan cahaya-cahaya sedemikian.

Ti Hau dijumpai. Wajahnya gerun dan terus gerun. Kita bersimpati kepadanya. Namun, seksa paling menyakitkan datang. Si Perancis yang tiba-tiba muncul di depan pintu menangkap satu gambar, dengan kilauan, seperti kilat (kita tidak tahu kehadirannya sampailah pancaran kilauan itu berlaku), Ti Hau yang ditindih oleh musuh suaminya bergerak lalu kerana menyedari si Perancis itu mahu merobek Ti Hau. Ini amat menarik. Bukan sahaja menampilkan sindiran Pham terhadap si kitul musuh berkulit tempatan yang "bacul" terhadap kehendak ketua kulit putihnya (menampilkan propaganda orang Asia dipijak penjajah Baratnya) namun menampilkan hanya dengan "klik" kamera si musuh terpaksa "berundur".

Klik di sini membawa andaian bahawa apa-apa yang kita lihat antara si musuh dengan Ti Hau itu adalah "pengintaian" (vouyeur) bukan sahaja mata kita tetapi mata si penjajah. Pham secara berani, menyatakan "realiti" yang tertutup ini (lalu didedahkan) datang dari kaca mata Barat bedebah itu sendiri!

Malah sewaktu Perancis itu merobek Ti Hau, kita tidak lagi diberi "eksklusif" untuk melihat perlakuan jijik itu (hanya kedengaran jeritan Ti Hau), kamera bergerak laju meninggalkan rumah lalu ke arah si musuh yang "geram" tidak dapat menyudahkan kerjanya (sekali lagi menyatakan kelemahan macai tempatan).

Getir itu tidak berakhir di situ. Ti Hau yang kini "lemas" dan "hancur" sepertimana "Indochina" hendak membunuh diri ke tengah laut. Lantas dihentikan (unsur melodrama) oleh tangisan anaknya. Syotnya begitu mudah tetapi amat berkesan. Si Ti Hau lalu bergerak pantas merangkul anaknya (daripada dakapan ayah mertuanya, poin ini penting, bukan sahaja kemandulan patriaki lama pada era itu tetapi membentuk kebaikan ayah mertuanya yang sanggup menerima menantunya yang walaupun diperkosa). Dan di sini kita lihat wajah mencengkam dan takut dan pecah Ti Hau berubah tenang dan menangis senang lantas syot buah dadanya dihisap anaknya. Sifat seksual yang kejahatan "seks" itu berubah matriakal tanpa semena-mena dan malah dipaparkan dengan jelas. Dan babak ini semacam "mententeramkan" roh Ti Hau, kita dan "masyarakat" Vietnam masa itu.

Yang aku terkejut, getir dan suspens ini tidak terhenti di situ dan bergerak terus pada adegan seterusnya, yakni kepulangan suaminya. Suaminya tampai bengis, seakan-akan "sudah mengetahui" bahawa isterinya sudah "hancur". Setiap syot mula bergerak debar. Si ayah "memujuk" elok si anak agar "bersabar" dan "reda". Si anak masuk ke bilik. Semua ini didengari Ti Hau di balik penghadang. Poin ini menarik. Tadi kita dipertunjukkan pemerhatian si Perancis. Kini, Ti Hau memerhatikan. Ini mungkin suara sosial Pham mendidik masyarakatnya agar "bersimpati" dengan keadaan Ti Hau yang tidak "menerima" kejadian itu (kemungkinan mengajar masyarakat yang mundur era itu, bayangkan ini budaya era itu). Apabila wajah Ti Hau bertentang dengan suaminya, suatu unsur ngeri dan berdebar mencapai klimaksnya. Mata dan mata berlawan. Ti Hau terus sahaja berperanan "pasif". Si suami melihat Ti Hau di balik cermin(!) menyisir rambut. Lalu cermin itu dipecahkan. Klimaks tercapai, lalu kedua-duanya berdua-duaan di katil dan "bersama-sama". Si suami telah "memecahkan" refleksi "salah" yang masyarakat timbulkan terhadap perwatakan-keliru Ti Hau (selalunya wanita yang dirogol itu dianggap sundal). 

Ini baru 20 minit awal filem ini, aku belum lagi menceritakan seterusnya.

Kuasa emosi yang baik dengan sentuhan melodrama yang pasti dijayakan dengan baik. Wayang Vietnam memang mengancam, dan filem ini menerangkan mengapa wayang Vietnam perlu diteliti dan diambil peduli.

03 April 2013

Langgar(2013): Ganas Tu Memang

Ini ulasan aku berkenaan KL Gangster (2011).

Mungkin aku perlu mengulang buat filem ini: Formula Pop-Malaysia Cuba-cuba Bekas Bintang yang tentu dapat pencalonan Pengarah Harapan Terbaik FFM.

Selepas menonton filem ini, ada beberapa hal yang tidak terjawab, mengganggu aku untuk menyatakan filem ini "sempurna" secara cerita. Kawan-kawan aku siap marah, menyatakan The Raid tak mungkin sebegini.  Mengatakan pelbagai hal yang tak mungkin aku dapat menjawab.

Sekurang-kurangnya dalam penelitian aku terhadap realisme samseng dunia filem Malaysia, aku menyanggupi pembawaan gangster Bintang Malam (1991), Sepet (2005) [yeap, punya alusi berkenaan polis/ahli politik sebagai "ikan besar"], dan Raindogs (2006), yang aku kira paling "dekat" mencitrakan golongan gangster tempatan.

Kawan aku bising, mengapa filem gangster Melayu, daripada tatu entah apa-apa dan rambut berwarna, mengapa bila mereka berlawan ataupun bercakap, perlu bertekak-tekak tak habis-habis (rujuk Khir Rahman dalam filem ini atau KL Gangster). Aku tidak boleh menjawab soalan itu (kerana aku tak lepak dengan gangster Malaysia). Tetapi aku pernah melihat orang bergaduh di kedai dan suara mereka memang lebih hebat daripada pukulan (nampak macam samseng). Aku juga teringat berita pergaduhan di kelab malam KL oleh kumpulan samseng yang agak hiruk-pikuk. Mungkin itu budaya "samseng" kita, aku tak tahu.

Ada seorang kawan aku pula menyatakan, filem ini mengambil semangat filem-filem gangster Korea Selatan. No nonsense punya. Aku tak pasti yang itu benar kerana aku tidak berapa mendalami genre itu dalam sine Korea, dan hanya pernah menonton Nameless Gangster (2012) yang aku kira penting dan bagus, dan sebuah filem genre gangster yang meniti pemahaman pengaruh dan politiking melangkaui sifat "kerja bawah meja" gangster.

Tetapi hal itu tidak ada dalam Langgar kerana Langgar dibikin hanya untuk suka-sukaan, hibur-hiburan dan jiwang-jiwangan. Itu tidak ada masalah kalau kau nak berlibur.

Yeap, filem ini sebuah filem bertih jagung eskapis, yang perlu aku nyatakan, sekurang-kurangnya mengalahkan mana-mana filem separuh masak gangster Metrowealth dari segi produksi. Hanya mungkin, Syed Hussein (Sein Ruffedge) menyentuhnya dengan cara komikal yang kadang-kadang terkawal, kadang-kadang bergegar entah ke mana. Komik ini jelas lagi dengan gaya Sein menggunapakai beberapa teknik Guy Ritchie pada awal filem, yang entah ke mana cetusan semangat itu. Pinjaman hanya pinjaman atas nama "suka" (rujuk Baik Bunya Cilok Afdlin Syauki yang sekurang-kurangnya melakukan rujukan yang mencuitkan).

Dari segi penceritaan, filem ini terheret daripada dua tema genre: filem balas dendam dan gangster. Serius, jika anda tiada masalah untuk dua genre ini bersatu dengan bermain-main dengan kesesuaian ruang plot, anda akan menerimanya dengan baik. Ini adalah kerana filem balas dendam tentu terdapat sikap moral "yang perlu dibalas", biasa dalam filem sebegini (rujuk francais Death Wish ataupun The Last House on the Left). Dan balasan terhadap "amalan jahat" itu ialah gangsterisme, suatu pencantuman genre yang mungkin boleh mencapai sesuatu jika dikawal dengan betul. Perbuatan Ady Putra itu sendiri (di mana tona drama dan konfliknya sewaktu bergangster, di mana refleksi diri, di mana perasaan terperangkapnya?) suatu mesin membawa penonton "menyetujui" eskapisme itu dengan sama-sama memasuki alam "gangster" dari kaca matanya. Suatu garisan antara didaktik penuh dengan kritikan sosial boleh ditelaah, hanya aku terkejut, dalam filem ini, garisan didaktiknya amat realtif tinggi. Serius, filem ini seakan-akan kita menonton seorang hero/anti-hero (Ady Putra) yang ditarik daripada alam romantisme untuk berlaku "adil" terhadap alam dekaden. Inilah yang komik (watak Ady Putra seakan-akan seorang vigilante dalam dunia gangster) dalam filem ini. Sedar tak Sein, aku memahami ini daripada pemahaman sastera? (mesej: pembikin kita perlu berjinak-jinak dengan sastera. Titik) 

Komik tidak ada masalah jika ia dibikin baik dan terkawal. Ada hal-hal yang aku puji. Keganasannya, kerana aku kurang berpeluang menonton filem "ganas" dalam filem Malaysia, tahap Langgar ini boleh tahan juga keganasannya. Setakat potong kepala dalam Ringgit Kassorga pun aku dah terbeliak (zaman tu, darah susah nak melimpah, terus dipotong LPF), inikan pula Hans meremukkan kepala manusia antara pintu peti ais, yang bagi aku untuk sebuah filem Malaysia, agak grafik dan tidak elok bagi tontonan kanak-kanak. 

Dialognya juga mengunyah dan munasabah. Sein dan Pierre Andre selaku penulis skrip sekurang-kurangnya bercakap dalam suara suasana real terhadap sekelilingnya. Penting untuk para pembawa wataknya membawa dialog-dialog tanpa mengada-ngada dramatik ini pada tahap yang logikal dan sesuai layar filem, dan bagi aku kebanyakan para pelakon filem ini, khususnya Natasha Hudson dan Nam Ron membawakan "realiti" ini dengan kunyahan sedap dan terasa. Sifat lawak yang tidak terlalu menonjol seperti yang dilakukan oleh Zizan dalam KL Ganster, kali ini dengan oleh sidekick Ady Putra, Bell Ngasri, aku puji. Ia tidak terlalu terbawa-bawa dan ia tidak pula terlalu lemau. Penonton boleh ketawa jika penonton mahu. Ia ternampak dibuat-buat.

Namun, terdapat beberapa hal yang melanggar beberapa hal (adakah itu tujuannya, "melanggar" seperti judul filemnya?) yang aku kira tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah filem. Isu pistol merupakan antaranya, beberapa babak yang "tiba-tiba" muncul secara mengganggu kefahaman logik plot (aku tidak boleh telitikan di sini, korang tak tengok lagi), babak imbauan kembali yang terlalu kontra dengan semangat real-time filem ini (dialog baku, sikap monotonous, gaya kilatan entah apa-apa, dan kadang-kala melodramatik yang tidak perlu), babak lepas gaduh barulah polis terhegeh-hegeh datang (masalah ini kerana mana-mana filem Malaysia, anggota polis tidak boleh diganggu, ianya sakral, tidak ada pelakuan "korupsi" seperti filem gangster satu dunia yang lain - ini satu signifikasi baik atau lemah buat kita?), runut bunyi tipikal filem Skop Productions, babak pergaduhan enteng-enteng (undang-undang filem aksi, rujuk Fight Club, The Raid, kalau tak pun, KL Gangster, kita perlu menyusun adegan lagak memukul dengan mula-mula minimum dan kemudian teruja dan terus mengujakan sampai pada tahap "lawan Big Boss" yang klimaks seperti alunan okestra yang mencapai puncak ) dan amat memerlukan kareografi aksi. 

Aku menyukai Nam Ron dalam filem ini, dengan watak pembantunya Zul Huzaimy yang ganjil (dan amat Korea!). OK, apa-apa yang Zul Huzaimy buat aku suka, aku begitu prejudis!  Apa-apa pun Nam Ron menyampaikan suara sang jantan yang berdengung walaupun penelusuran perwatakannya boleh saja satu dimensi jika diambil oleh pelakon separuh jagung.

Khir Rahman "gila" dalam filem ini, serius gila. Babak pukul bola golf tu memang tak boleh blah.

Ady Putra hanya mesin membalas dendam. Babak mula dia berjanggut dari bilik psikiatri pun aku sudah terjengkel, ini bukan salah Ady tapi pengarah dan penulis skrip.

Aku tidak suka dengan Hans Isaac dalam filem ini. Hans Isaac menunjukkan segalanya yang plastik dalam percubaan dunia gangster. Ini bukan filem Yusof Haslam, Sein kena faham.

Atau mungkin Sein sengaja memberi penghormatan kepada pembikin filem ganster sebelum kita? (rujuk: Castello).

Aku rasa, hal itu tidak perlu kerana pop yang Sein pegang sepatutnya asli, daripada jiwa dan pertunjukan baharu, seperti mana kehadiran sulungnya dalam dunia perfileman tempatan. Sein punya sesuatu dan boleh digemblengkan jika dia pandai mengawal ruang, masa dan syotnya. Aku percaya dalam masa-masa depan, dia punya sesuatu untuk ditunjukkan. Aku amat berharap Sein tidak mengecewakan aku.


Klasifikasi Langgar: 18, Babak ganas, lucah dan kata kesat yang tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur 18.
DITONTON DI Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara.

Gila-Gila Remaja 2(2013): Kau Seriuskah?

"Pengajaran" yang dimasukkan dalam filem ini ialah: Biarlah anak-anak muda diberi ruang untuk membesar dan mencari diri. Selami jiwa dan keinginan mereka. Hal ini sudahpun menampilkan keinginan Rebel Without A Cause.

NOT!

Aku sanggup bertahan menonton filem ini kerana kawan aku (seorang India dan sengaja pun aku mengajaknya kerana inginkan dia berpengalaman menonton sebuah filem "Malaysia" pembikinan angkatannya) mahu menontonnya sampai habis. Dia menyatakan kepadaku (yang mana pengetahuan dalam Kollywood aku kurang daripadanya) bahawa banyak bahagian Hairul Azreen itu disengajakan mengikuti jejak pengidolan Vijay (aku tak biasa dengan Vijay, hanya beberapa, lebih kepada Kamal Hassan) dan sudah banyak plot filem Tamil seperti filem yang kami sedang tonton.

Aku tak tahu tu tapi apa yang aku tahu, filem ni suck, macam beyond sucky.

Filem macam ni aku panggil "filem bangsat".

 Bangsat/kejadah/anak haram bermaksud sesuatu yang tak patut dilahirkan.

Era 1980-an dulu, mereka (Sabah Film Productions) berjaya membangsatkan filem klasik Semerah Padi dengan Sumpah Semerah Padi. Tahun lepas sahaja, Dharma Harun membangsatkan Adik Manja dengan Adik Manja Returns. Kali ini, Naga, yang pernah bersama-sama membikin filem cult ini (bukan klasik, tapi cult, ada perbezaannya) telah melakukan membangsatkan Azroy Gila-Gila Remaja (1986).

Bangsat betul!

Aku tidak mahu menyatakan di sini entah pelbagai dosa dan penzinaan yang telah dilakukan oleh para pembikin. Aku ambil sebuah sahaja situasi: Satya dan si gemuk hendak menyelamatkan si dara kampung daripada genggaman geng Dato' jahat kerana "supaya show boleh jalanlah". Jadi, tujuan menyelamatkan si perempuan itu adalah untuk pertunjukan sarkas tarian (di akhir cerita), bukan nak bawa pun ke pangkuan keluarga mahupun polis.

Hanya penyelamat filem ini adalah babak sisipan Faizal Hussein (Azroy) dengan bergaya (dan sikap gaya kultus mengalahkan pesona Hairul Azreen dan kawan-kawannya yang hanya talking heads) masuk keluar bengkel motor, tanpa memberi apa-apa makna terhadap keseluruhan filem.

Naga patut dibunuh.

Klasifikasi GGR2: U, Terdapat babak seksual "nyah" berkenaan lelaki mandi bogel berambut panjang yang tentu menyakiti jiwa mak nyah seluruh Malaya.
DITONTON DI Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara.