Showing posts with label Nik Amir Mustapha. Show all posts
Showing posts with label Nik Amir Mustapha. Show all posts

09 March 2023

Imaginur (2023) Sebuah Sinema Cinta

"Dalam hidup, kita kena sentiasa cari Nurr!" - Mat


Sudah lama kita tidak menonton sebuah sinema di pawagam. Paling akhir, aku mungkin teringatkan cahaya-gambar The Fablemans (2022). Oleh itu, aku menjadi over-joyed apabila menemui sinema yang begitu indah dalam filem ketiga arahan Nik Amir Mustapha, Imaginur.

Imaginur dibikin dalam keadaan yang amat sederhana, tetapi mempunyai jiwa yang sangat betul di tempatnya. Kita boleh bercakap pelbagai perkara, macam-macam tentangnya, macam-macam interpretasi: tentang sikap pascamoden Kaufman-Gondry terhadap perhubungan cinta dan kelupaan, tentang penglahiran semula sinema Abre los ojos (1997) Amenabar dalam usaha perjalanan romantik seorang lelaki versi Dante, tentang bagaimana jika Still Alice (2014) Julianne Moore direalisasikan semula dengan titi-titi sureal Maya Deren. Paling penting: Nik Amir Mustapha berserta penulisan Redza Minhat telah menjadikan karya ini, yang separa sai-fai (akhirnya, sebuah filem FS tempatan yang menjadi!), separa perjalanan separa sedar-surreal fantasi mencari maksud "nur", usaha menemui kesakitan dan keseronokan dalam nostalgia, dan bibit-bibit memori yang "funky" - sebuah karya yang tersendiri dan membangun jiwa.

Apa yang aku paling suka tentang Imaginur ialah rentaknya. Aku merasakan, selain Dain Said, Yasmin Ahmad, U-Wei dan beberapa lagi pengarah lokal, susah hendak ditemui sebuah filem tempatan yang memahami bahawa sebuah filem adalah seperti susunan sebuah persembahan simfoni okestra (imbaulah susun rentak Tar yang amat mencuit campur gelap mengganggu). Susunan imej, suara latar (ada pawagam yang tidak mempunyai sistem audio yang berpadu dengan runut bunyi filem ini, yang kadangkala mempunyai audio latar yang hingar; mungkin bajet yang kurang tidak memberikan keistimewaan ini), campuran imej dengan dialog dan perubahan syot, mod rentak satu babak ke satu babak, mempunyai kelajuan, momen jeda dan gerakan yang memahami, sinema apa yang sedang dipersembahkan kepada kita. Kuasa ini, selain ikatan kefahaman Nik Amir terhadap teks skrip yang kemudian direalisasikan dengan bantuan syot-syot sinematografi Idham Mad Din, dipilih dengan begitu teliti, seperti suatu susunan muzik yang harmoni, mengimbau nafas romantik dan perjalanan pencarian dalam sunyi oleh suntingan Johan Arif Mazlan. Filem tahu syot fokus, syot luas dan cara mendapatkan ruang imbauan dan spektakular. Semuanya tersusun dan membina warna dan lagu. Suatu simfoni yang syahdu.

Mungkin di sini ada maksud mengapa babak-babak tertentu diulang, dimain-mainkan, ditekankan kepada audiens. Susun letak "antara realiti dengan fantasi" ini bertujuan untuk kita masuk ke dalam minda(?) Zuhal (bagi aku, "minda" di sini ialah sinema, sinema Zuhal, kita diajak menontonnya seraya awal Dr. Ramli memukau kita di kredit awal) agar kita tidak menemui alfa dan omeganya (tiada maksud untuk memahami sebab-akibat dan sumber punca, namun kita yang menonton-mengalami sebagai seorang voyeur yang setia, akan dapat menemuinya, seperti tafsiran-tafsiran hebat para penonton biasa di Facebook yang berjaya menemui pelbagai interpretasi tentang Zuhal dan Nur), tetapi kita menemui titik-titik imbauan (diulang berkali-kali, sila rujuk berapa kali Zuhal muntah dan pada babak mana, misalnya) yang akan mengupas babak pembukaan dan khususnya, babak katarsis. Ini sebenarnya yang mahu Nik Amir berikan. Suatu okestra manipulatif pada emosi yang menggugah kita (menariknya, Nik Amir tidak berjalan mengikut jalan melodrama tipikal filem Melayu yang mendayu-dayu, tetapi membuat susunan imbau imej yang jauh lebih sofistikated dan jujur, ini suatu kematangan mengawal kraf yang tinggi). Pada waktu itu, kita semacam menyedari, seperti mana-mana filem romantik(!) yang baik, imej-runut bunyi-lagu latar-dialog seakan meraikan "sebuah momen sempurna". 

Momen sempurna inilah yang membuatkan kita menyatakan: terima kasih, Tuhan, untuk segala pengalaman yang saya lalui, memori yang saya "masih mampu" ingat, baik dan buruknya, yang membuatkan saya menjadi saya (ya, aku mengaku, apabila tiba momen katarsis itu, aku menangis sampai ke akhir kredit). Mencari "Nur" itu sendiri (yang akhirnya, menemui diri kita sebenarnya: jika kalian sedar, banyak sekali imej antara Zuhal dengan Nur ditampilkan secara refleksi latar depan dan cermin, Zuhal di syot latar depan dan Nur dalam ruang cermin/bingkai, dan sebaliknya) boleh sahaja kita temui secara psikologi, secara kefahaman diagnosis penyakit (dementia), secara rohaniah, secara sinema(!). Itu semua legit dan menguja. Tapi bagi aku, yang lebih penting (seperti mana kita sayangkan sinema  Kaufman-Gondry, Amenabar dan dua Dainel) ialah keadaan manusia (human condition) yang diraikan dalam filem ini. Inilah yang penting, inilah yang membuatkan sinema Nik Amir Mustapha kali ini sungguh bernafas.

Himpunan lakonan para pelakon juga mencapai keindahannya yang tersendiri. Sanjungan khusus boleh disampaikan kepada lakonan terjaga dan sangat subtle oleh Beto Kusyairy sebagai Zuhal, suatu paparan dinamis dan tidak mudah diagak. Dia manusia semanusianya dalam filem ini. Beliau turut dibantu dengan saksama dan lakonan yang amat terancang sekali oleh Diana Danielle sebagai Nur. Nur menjadi cerminan siluet yang membuka banyak sangka-prasangka psikologi Zuhal, juga naratif yang tersimpan, yang membongkar naratif besar Zuhal. Para pelakon sampingan juga baik, dalam barisan Nadiya Nisaa sebagai adik Zuhal, Isma, juga Afdlin Shauki yang timbul sebagai comic relief filem ini, serta Mior Hashim Manap dan Fatimah Abu Bakar. Keselambaan lakonan mereka juga dikuatkan oleh dialog skrip Redza dan Nik Amir (tak terbayang, hanya dengan lisan "ter" yang amat sederhana tapi jelas imbalan manusianya, boleh menjadi antara barisan dialog penting dalam sebuah sinema kita!), antara lakon layar terbaik filem kita setakat ini.

Imaginur sememangnya sebuah sinema untuk diraikan. Sebuah sinema yang syahdu, yang mampu mencuit jiwa kita untuk menyelami diri kita sebagai manusia dan pengertiannya untuk mengalami hidup, yang banyak fiil dan kekurangannya dalam perjalanan itu, tetapi masih kental dengan mimpi, impian, semangat, dan paling penting, kepercayaan. Antara filem terbaik Malaysia tahun ini.

Klasifikasi P-13: Ada babak matang yang memerlukan bimbingan penonton dewasa.

11 December 2014

Terbaik dari Langit(2014)

"OK guys, director dah berenti berangan" - Ali


Filem jalanan (road movie) secara sedarnya dikatakan antara genre filem Amerika yang sebenar. Latar luas Amerika dijadikan peta besar yang memulakan perjalanan fizikal dan kendiri sang pelaku, yang pada awalnya "mencari" atau "melepaskan" sesuatu, akan menjumpai atau mendapat ganti sesuatu yang berbeza. Menariknya, filem genre sebegini, yang amat popular sedari 1970-an dengan kemunculan Easy Rider(1969) dan Bonnie and Clyde(1967) selalunya berhaluan pencarian spiritual atau melalui perjalanan taubat/insaf diri atas dosa atau keserongan diri/bangsa. Yang paling jelas, dosa bangsa terhadap pribumi Red Indian yang melatari dunia Amerika (yakni menjadi antitesis filem koboi yang memerangi mereka sebagai antogonis Amerika era penghijrahan wilayah). Tidak perlulah aku nyatakan di sini beberapa filem jalanan yang jelas ikon Amerika yang sudah kira jelas dalam sejarah filem mana-mana tontonan kerana kita kini membicarakan persoalan, bagaimana pula dengan pendirian Malaysia yang berbudaya Melayu menggunapakai genre ini?

Kita tidaklah perlu gusar, kerana dalam persuratan kita sedari ratusan tahun pun, perjalanan yang sedari awal mengambil latar Hindu dengan gerakan Rama mencari Sita di benua Rawana dalam saduran Ramayana sudah lama wujud, baik dalam wayang kulit, bangsawan, mahupun tulisan. Dan, hal ini juga turut terjelma, ratusan mungkin ribuan tahun juga dengan cerita lipur lara yang berjaya didokumentasikan, seperti kisah besar Awang Sulung Merah Muda dan sekitarnya, yang disampaikan dengan lisan, zaman berzaman, yang juga wujud dalam kisah makyung dan selain itu sedari awal dunia Langkasuka dan Sriwijaya. Kemudian dalam perkenalan alam Islam, segala kisah perjalanan kita dari era Hindu-Buddha turut dijelmakan dalam kitab-kitab "hikayat" yang turut menerima bentuk perjalanan dunia Arab dan Parsi sebagai dokumentasi bangsa era transisi Hindu-Buddha ke Islam. Segala ini mencapai, kemungkinan epitom tertinggi, dalam perjalanan Hang Tuah "mencari hakikat diri" dalam Hikayat Hang Tuah, sebuah epik Melayu yang besar dan penting bagi bangsa ini.

Yang lebih menarik lagi, dunia jelmaan dan pencarian (selalunya objek khusus untuk menyelesaikan masalah atau menyeleraikan kekusutan, yang selalunya berakhir dengan perkahwinan, yang secara tersiratnya ialah maksud peluasan atau penaklukan wilayah atau asimilasi gagasan kerana kelainan budaya-bangsa) alam Melayu ini mendapat sentuhan moden dengan Pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah nukilan Munsyi Abdullah yang melakukan suatu perjalanan kritikan sosial yang lebih bersikap individual terhadap bangsanya Melayu pada era itu. Tiada lagi pencarian bunga sakti atau sarang garuda atau istana Rawana. Hanya suatu perjalanan (bolehkah kita nyatakan, suatu perjalanan sekular?) yang menyelami keadaan dan realiti sosiomasyarakatnya secara tampak dan sedar. Dari sini, perkara ini menarik dalam suatu hal, yang kisah Munsyi ini sebenarnya suatu diari panjang si pengarang, yang melalui pengalaman pelayaran dan memasuki alam budaya (dan mengkritiknya) tempat kelananya, lantas menitipkan (merekodkan) hal itu dalam tulisan. Hal sedar ini berlaku juga dalam Terbaik dari Langit.

Namun, Terbaik dari Langit juga mengambil tradisi era klasik persuratan Melayu dengan mengerakkan odisinya dengan suatu matlamat yang kurang nyata (sebagai metafora impian tersebut), yakni tujuan Berg (Bront Palarae) mencari dan merakam piring terbang. Berg merancang dan memohon, semacam suatu majlis perjumpaan (reunion), tiga daripada kawannya untuk melakukan perjalanan itu bersamanya, yang sudah tentu, "rakan keempat"nya dalam filem itu, ialah kita (selain Sofea Jane lakonan Nadiya Nisaa). Kita akan teringat sesuatu, ah, ya, Dari Jemapoh (dikatakan sebagai filem jalanan pertama Malaysia) pun mengambil maksud suatu perjalanan ke suatu destinasi yang tidak mungkin dapat pergi dalam akal rasional, Manchester, menggunakan hanya kereta (namun menariknya, Hishamuddin Rais mempunyai pegangan yang tinggi terhadap cita-cita mencapai impian).



Lalu kisah ini memang berdiri dalam lingkungan kefahaman dan alam anak muda, namun bercita-cita besar (sambil berenang minum air), yakni Berg yang memohon Ijam, Ali, dan Toyu bersama-sama dengannya membikin filem eksperimental. Filem "eksperimental" ini mempunyai pendirian yang sedikit sentimental, dan ini suara hati Nik Amir, juga kemungkinan Tuan Faisal dan Redza Minhat. Dengan sengaja juga, Berg (secara mencuit, Berg mendekati nama Spielberg, pengarah yang tentu sewaktu Berg kecil mengimpikan menjadi sebesar pengarah itu) dilakarkan sebagai seorang karyawan tunas yang loser, malah tidak dipandang (Dain Said dalam penampilan khas sebagai pengkritik menyelar Berg pada awal cerita, "Ini yang kau panggil filem?"). Dunia Berg ialah dunia para karyawan yang gagal dan kurang difahami karyanya, dan ini amat berkait dengan keadaan karyawan kita sekarang (masyarakat tidak peduli dengan filem kita sekarang), juga generasi Amir Muhammad, yang selalunya, filem pelik mereka dicela dan dipandang hina oleh majoriti (walaupun penat Hassan Muthalib mengangkat mereka).

Perjalanan ini diambil atas hal itu: adakah kita sanggup merenungi apa yang kita sudah buat dan akan buat setelah hidup kita begini dalam keadaan kecamuk dan tidak tentu, adakah kita sanggup menyelami apa yang kita tidak sanggup selami selama ini?

Nik dan Redza bukan sahaja melakukan hal itu dari segi alami fizikal watak (yang sudah tentu sepatutnya mendapat sesuatu dalam perjalanan ini) tetapi alam esoterik wayang Malaysia yang sudah melalui lima dasawarsa. Berg dan rakan-rakan bukan sahaja mengangkut bagasi dosa dan masalah hidup mereka dan mendepaninya, tetapi bagasi dosa dan masalah filem kita sekarang. Hal ini ditimbulkan dalam babak tertentu (rakaman statik) dan episod tertentu (diolog Mamat Khalid sebagai pak cik lori angkut), menitipkan homaj yang pernah dilakukan oleh dunia filem kita sedari percubaan kebangkitan tahun 2000.

Kehadiran Sofia Jane (yang cerdik, matang dan berjiwa bebas) secara tiba-tiba sebagai pelakon wanita filem bikinan Berg juga menarik dari sisi kehadiran Sofia Jane sekarang yang secara tiba-tiba tampil dalam industri kita yang selama ini menyepi tanpanya. Sofia Jane hanya di situ sebagai kawan dan penyokong, tak mungkin menjawab persoalan masalah empat rakan ini yang perlu dihadapi oleh mereka sendiri, tetapi memiliki kekuatan untuk "membuka mata" setidak-tidaknya apa yang mereka alpakan atau tidak sedari.

Latarnya menarik, walaupun mungkin episodik dan manipulatif. Dan adakah Nik dan Redza secara tidak sengaja melakukan hal ini? Memang Redza dan Nik sengaja tidak membesarkan keadaan agama (kita tidak lihat mana-mana watak beribadat), tetapi mengikut tradisi sastera kita, keadaan empat watak ini sentiasa terimbau dengan alam, malah alam mempesonakan dan menenangkan mereka menjadi kaitan metafizik alam Melayu yang indah, juga agama yang memberi maksud hidup. Babak awal, yakni tanah, yang memberikan pautan tumbuhan yang memberikan manusia hasil rezeki telah disampaikan sebagai ruang jeda yang menenangkan empat watak. Ijam (yang paling "mangkuk" psikologinya) masih tidak memilih alam ini kerana sikapnya yang menolak (ini berkenaan rasa/taste seseorang), maka tanah, jelas, alam paling lemah untuk menyentuh jiwa manusia. Kemudian, dua kali, air (sekali dari langit, sekali terhampar di tanah) menjadi katarsis watak ini meraikan diri manusia, juga bersyukur atasnya (fahamlah kita di sini maksud air sebagai penyucian, juga air sebagai mekanisme wuduk sebelum kita bertemu dengan Yang Khalik). Hal ini dilakukan secara episodik (dan ini menampilkan sedikit kepalsuan tetapi tidak membingitkan) dan dihilangkan dialog watak, hanya imej dan runut bunyi. Mulai ini, aku sudah mulai sedari, cerita ini membawa pada suatu kefahaman lain (yang biasa, kita akan bercakap bahawa filem ini bercakap fasal kuasa perhubungan dan persahabatan dan bagaimana hal ini diuji dan melalui penyelamatan/redemption) kerana Berg kembali ke kampungnya! Ha, kini semua makin lama makin jelas. Empat rakan ini, dan sudah tentu Berg, khususnya, sedang melalui keadaan "jalan pulang", mereka sedang mencari "titik asal". Mereka sedang mencari diri.

Dalam keadaan sastera, renungan diri (baik menginsafi mahupun mencari hakikatnya) berlaku dengan dua maksud, merenung alam dan ciptaannya, dan merenung kampung halaman atau titik asal. Berg menyerap hal ini apabila tiba di kampung, melalui bendang sawah tempat bumi dipijaknya. Menemui asal dan diri akan menemukan kita dengan Tuhan. Inilah yang sudah beratus tahun sehingga sekarang, dilakukan oleh para sasterawan kita, diimbaukan dalam bentuk yang begitu mudah tetapi terkesan oleh Nik Amir dan Redza. Mencari diri kita yang hilang sebenarnya dan seharusnya mencari titik alam tradisi yang sudah lama terbentang, baik sastera lama kita, juga agama yang disusunkan sedari abadi, dan alam yang sudah ditetapkan tiada lagi kegoyangan hakikatnya. Hakikat ini menemukan (sepatutnya) kepada suatu kefahaman "siapa diri kita" dan sepatutnya, apa yang patut kita perlu bawa seterusnya.

Untuk mengatakan secara akhir, mereka mencapainya (apa yang patut kita perlu bawa seterusnya) merupakan suatu persoalan yang dibiarkan bersamar, malah dipaparkan dalam tayangan filem Berg sebagai suatu yang gagal. Apa yang lebih penting daripada itu? Sekurang-kurangnya mereka sudah melakukan perjalanan itu, dan merakamkannya, dan kini menyampaikannya kepada mereka yang sudi menontonnya atau membacanya (adakah ini suatu enigma?). Segala yang kita sudah tonton, sedari awal, yakni cebisan rakaman video, kemudian rakaman filem, kemudian cebisan imbauan, semuanya tersusun dan termungkinkan kembali, ditayang, pada satu ruang temu, di balik pintu panggung dengan tanda isyarat "Now Showing" (gerakan ini mengikuti struktur Saving Mr. Banks). Ya, "kini". Kini yang memerlukan renungan (tontonan) dan kemudiannya suatu penyedaran segar, yang hanya kita, penonton sahaja yang dapat menjawabnya sendiri.

Skrip filem sulung Redza Minhat merupakan antara skrip yang menarik berlaku dalam filem kita tahun ini. Padat, bergerak tanpa buang masa, menyeluruh dan sekurang-kurangnya memberikan gambaran watak yang mempunyai cerita, dengan saat yang sama menyampaikan banyak dialog yang ditunggu-tunggu oleh penonton kita yang cukup menunggu dialog-dialog tidak keras yang rangup, cathcy, mudah, dan sudah lama tidak mengunjungi wayang kita. Mungkin ya, satu dua ruang dalam cetusan dramatik dan motif pilihan mungkin dipersoalkan, tetapi hal itu tidak begitu menonjol dan memberikan suatu persoalan untuk dibicarakan. Beberapa bahagian juga mungkin menggunakan mainan kebetulan, namun hal itu diminimumkan. Tebaran alam Redza dalam dunia pengkaryaan sudah bermula dan beliau memang mempunyai bakat yang sungguh menarik.

Suntingan filem oleh Rewan Ishak juga amat baik, tersusun dan bergerak dalam tempo yang tahu membina sebuah cerita yang sampai pada makna.

Aku amat tidak menggemari CGI secara peribadi. Untuk filem ini juga, masih, walaupun sengaja tampak komik, CGInya masih belum memberikan aku kepuasan memenyanggupi alamiahnya, walaupun secara umum sudah menyampaikan maksud kehadirannya. Hal ini termasuklah sebuah objek tidak dikenal pasti itu, sekurang-kurangnya mengimbau zaman XXRay aku.



Runut bunyi filem ini indah dan cukup serba-serbinya. Pitahati tahu menyampaikan tika perlu disampaikan, kuak mood dan rasa yang perlu dan menjadi, walaupun mungkin bukan teragung. Suatu kehadiran sulung yang baik dalam latar skor filem kita.

Aku juga gembira dengan sinematografi Jordan Chiam yang tidak mengada-ngada, cukup menangkap, bergerak dengan cerita, dan berjaya menangkap alam Malaysia kita dalam suatu ruang yang jarang-jarang kita dapat rasai. Aku selalu berasa cemburu bagaimana bersih mengilaunya sinematografi filem Indonesia. Jordan Chiam telah menjejakkan kaki untuk menyatakan peranan gerak cerita dan tangkapan latar yang sesuai dengan zaman ini sebaik sinematografi terbaik filem Indonesia, juga beberapa rakannya seperti Teoh Gay Hian, Eric Yeong, Mohd Helmi dan Raja Mukriz.

Lakonan kesemua pelakonnya baik dan memuaskan. Aku menyukai lakonan Amerul Affendi sebagai Toyu, yang jika jatuh dalam paha seorang pelawak, akan menampilkan kebodohan untuk menuangkan ketawa, tetapi Amerul memberikannya wajah manusia, lantas seorang Pak Dogol (fool) bukan lagi Pak Dogol dalam erti katanya. Pak Dogol sebenar filem ini ialah Ijam, dan bagi aku, Iedil Putra menyampaikannya dengan baik, watak yang menyinga kita, ingat bagus, muka bertalam. Aidil menyampaikan dengan perlunya dan menariknya, terdapat beberapa psikologi seksual yang menarik telah dibawanya. Bront, seperti biasa, juga baik, dan terdapat ruang yang berjaya ditampakkannya meluahkan keadaan seorang loser pelik dan outsider yang amat memerlukan sokongan, yang aku percaya merupakan harapan Nik kepada "kawan keempatnya". Nadiya Nisaa ialah suatu keindahan, walaupun misterius (disengajakan, seperti turunnya bidadari, seperti hadirnya dewi ratu) dapat membawa wataknya dengan lengkap sekali tanpa banyak perlu menyampai. Terdapat babak mana Nadiya "bertekak" dengan seorang watak, jika dalam tangan pelakon lain atau arahan pengarah lain, sudah tentu watak wanita klise Melayu itu menaik suara, tetapi Sofia/Nadia tidak, dia hanya watak yang tenang dan matang dalam keadaan yang begitu tegang. Mungkin ini cuitan Nik bahawa "pelakon" sebegini takkan dan tidak pernah akan ada dalam filem kita, atau mungkin sahaja aku salah. Peranannya sendiri (dan hal ini perlulah diraikan) baik sebagai watak wanita yang tidak terjerat dalam keadaan "mengsa" dalam dunia lelaki, tetapi dalam lembut, tetap berpendirian, keras dalam caranya dan berdiri sama penting dengan watak lelakinya (malah dengan mengejek, yang paling matang kalangan watak lelakinya). Pelakon lain menyampaikan dengan sederhana dan baik, yang menyampaikan keadaan watak bantu yang perlu, dan kadangkala menampil untuk tampilan, termasuk Sharifah Amani dan Siti Saleha.

Memang tidak mungkin mana-mana filem itu sempurna. Namun aku tetap tersentuh dengan jiwa Nik Amir kali ini, walaupun dalam keadaan serba kiamat ini, dia duduk, bekerja, bikin filem, dan bikin filem yang dia kata, dengan jiwanya dan mengikut kata hatinya. Biarlah apa orang nak kata, dia tetap akan tersenyum di tepi tangga dan membiarkan orang lalu mengutuk filemnya. Era keemasan filem Melayu sedang berlalu, diam-diam, dalam sedu hitam putih, melalui pintu di mana Aziz Sattar menunggu tersenyum kali terakhir. Aziz Sattar juga telah meninggalkan kita. Berapa lagi yang akan pergi, era Jalan Ampas itu? Tetapi Nik dan rakan-rakannya, dalam serba keadaan tidak sempurna mereka, terus sahaja, bergerak, berharap pada masa hadapan yang tidak tenteram, melalui satu lagi perjalanan untuk suatu lagi pengalaman, lantas dirakam, dicantumkan, dan pada satu masa lagi, disampaikan untuk "kini".

Nota Pendek Jalinan Menarik antara Terbaik dari Langit dengan Interstate 60: Episodes of the Road(2002)

Apabila menonton filem ini (tayangan perdana), aku begitu tercuit dengan beberapa persamaan unsur dan tema yang ada dalam filem Nik Amir Mustapha ini dengan filem Bob Gale tahun 2002 yang tidak ramai yang mengetahui, tetapi merupakan antara filem kegemaran peribadi aku tahun itu. Menariknya, kedua-dua filem itu sebuah filem jalanan dengan jalinan komedi dan menyampaikan persoalan metafizik. Dalam Interstate, heronya (lakonan James Marsden yang amat baik) seorang pecinta Spielberg, dan dia mempunyai falsafah yang tersendiri tentang filem Close Encounters of the Third Kind (juga filem kegemaran abadi aku) yang berkaitan dengan pencarian UFO oleh Berg dalam filem Nik Amir. Yang menarik di sini, James menyatakan, dalam keadaannya, dia antara manusia yang akan memilih untuk memasuki UFO tersebut. Interstate 60 ialah matlamat tempat yang tidak wujud tetapi perlu dicari oleh James, sepertimana Berg bermatlamat untuk merakam UFO yang tidak wujud. Watak James juga ada berkaitan akan pencarian pasangan sehidup semati yang betul, dan hal ini sedikit sebanyak berkait dengan watak Iedil. Perkaitan ini membuatkan apresiasi filem ini lebih menyeronokkan.

Klasifikasi Terbaik dari Langit: P13, Terdapat babak ganas dan penggunaan dadah yang memerlukan bimbingan dan kefahaman oleh penjaga.
DITONTON DI Cathay Cineleisure, eCruve. [Tayangan Bermula: 25 Disember 2014] 

15 May 2013

KIL (2013): Seperti Denyaran Cahaya

Nota: Jangan baca No.9 jika belum tonton filem ini.

Ridhwan Saidi pernah menyatakan, filem Hollywood itu berlapis-lapis macam kek lapis.

Dalam ulasan kali ini, aku mahu menyampaikan ulasan ini dalam hal yang berlapis-lapis mengikut nombor. Persoalan filem dan perfileman pun berlapis-lapis bukan?

1
Ada kecantikan dalam latar, pengarahan seni, dan mood filem ini. Runut bunyinya bagi aku, terdapat bahagian-bahagian yang mencapai emosi kesatuan penonton-imej. Ini penting, untuk feel. Secara luaran, ini yang paling berbuah dalam filem ini, dan sepatutnya inilah unsur utama yang membantu kau mengikuti filem ini sampai ke akhir.

2
Aku tidak menyentuh cerita lagi.

Aku ingin menyentuh semangat filem ini.

Ini filem yang tidak berbohong apabila ia menggelarkan dirinya: A feel good movie about suicide. Dalam suram dan kelam wajah Redza Minhat dan Christine Suzanne, timbul harapan dalam oren, epal, foto, dan ais krim.

Hidup memang celaka tapi kau wajib meraikannya.

Akil (Redza) "bernasib baik" kerana setelah bercuba-cuba untuk membunuh diri, dia menemui Zara (Christine). Mula-mulanya seakan suatu filem soft porn milik Hitchcock apabila Akil "mengikuti" Zara dari jauh, dan Zara "mengejutkan" Akil dari dekat. Ada ketegangan seks. Malah ada babak halusinasi (mencuit) apabila ketegangan seks ini menjadi dalam ruang "terperangkap" lif yang kelabu metalik lalu Zara "meraba" Akil. Serius penonton yang loner akan tersinggung. 

Mata penonton menjadi mata kedua-duanya (Akil & Zara). Ada sebuah perspektif yang tiba-tiba mengganggu penonton pada pertengahan cerita apabila perspektif Akil "hilang" lalu timbul Zara membeli buah-buahan (ah, ada lapisan lain secara plot antara Zara-wanita tua).

Kita juga diberi peluang menonton sebuah filem dalam filem arahan Johan Iskandar (Hasnul Rahmat). Ini deep? Kau jangan tertipu, filem ini sebenarnya mudah, rujuk bual-bicara filem Akil-Zara berkenaan komedi romantik (hint!) dan Noting Hill.

Johan Iskandar, seperti Akil, seperti kebanyakan anak kota yang murung, berasa "nak mati" dan KL yang terus kotor-cantik tidak mempedulikan mereka.

Ini tujuan mereka untuk membunuh diri.

3
Membunuh diri satu metafora menarik. Bunuh (kill) merupakan unsur biasa untuk "menamatkan" filem. Rujuk pabila Father Karras meloncat jatuh dari Hitchcock Stairs, filem The Exorcist pun berakhir.

Bagaimanakah kita menonton sebuah filem tentang ingin membunuh diri dan kita masih boleh terpaku hingga akhir filem?

Inilah lencongan (twist) yang dibuat dalam filem ini, memainkan sikap "ke arah kematian" sebagai suatu pilihan "memasuki alam berasa akan berakhir bila-bila masa". Sebenarnya filem ini tidaklah hanya bercakap fasal "nak mati" tetapi juga bercakap fasal "kehidupan": filem ini menyampaikan harapan. Dalam sebuah cekerawala yang serba luas, walaupun bagaimana bersendirinya kita, kita tidak dapat lari daripada berhubung, lalu perhubungan membentuk kebergantungan dan kepercayaan. Inilah dua unsur yang Akil "hilang", yang sedikit demi sedikit kita jumpai (setelah melalui beberapa episod psikaotik Akil, yep, kepala budak ni bukannya betul sangat) Akil "cuba" hendak mencarinya. Kononnya, dia jumpa bila bertemu dengan Zara. Filem Johan Iskandar (secara licik) membuka matanya tentang hal itu (haha, kiut, siapa kata filem tidak mengajar ya?)

Poin ini menarik: walaupun kita tidak mengenali satu sama lain, ada sesuatu yang kita sama-sama inginkan.

4
Dan jawapan untuk pernyataan di atas, perkara yang kita sama-sama inginkan tentulah "Cinta".

5
Filem rujukan.

Satu hal, aku suka imejan Redza-Christine yang dibuat menyamai imej anime, yakni jika Redza dan Christine dilukiskan seakan menyamai lukisan Osamu Tezuka.

Ini suatu "hiper-realiti" feel.

Canggung dan menarik.

6
Filem kitaran.

Mengapa aku tengok filem ini seakan-akan mendekati The Game (1997) karya David Fincher. Ye lah, tak lah semuanya sama khususnya plot, tetapi semangat dan ke arah "pengalaman" dan "pengharapan" baharu itu.

7
Redza OK, tidak mengecewakan, ada beberapa bahagian yang menampilkan dia merupakan antara pelakon muda yang akan menyinar terus jika tempat dan wataknya betul. Dia membawa imej dan gaya "pucat" dengan baik sekali, malah "menakutkan" (bila kita menyedari, dia mula psikaotik). 

Christine mempunyai imej yang amat sesuai dengan layar, layar bercinta dengannya. Lakonannya biasa dan boleh diusahakan.

Kadang-kadang sinematografi filem ini menampilkan kuasa, di belakang gaya Christopher Doyle. Wops, tentu pengarah sinematografinya nak tumbuk aku kerana kenyataan ini. Ha ha.

8
Filem seperti denyaran cahaya (flashes of light). Ia melalui kita sebelum ia pergi (mati/tamat/berakhir).

Ini suatu keindahan filem ini.

Ia menampilkan pengalaman tetap menghantui kita sentiasa, sebelum kita sendiri berakhir (mati).

Mengingati pengalaman hidup itu sendiri seperti sebuah filem yang siap yang kita tonton kembali (rujuk babak Johan Iskandar ditinggalkan).

Apabila kita merenung diri, barulah denyaran cahaya ini melingkar dalam memori kita.

Kita teringat saat detik (moments).

Saat detik amat penting dalam filem ini.

Oleh sebab itu, Redza pada bahagian klimaks memakai kemeja-T Back to The Future. Dia/Nik Amir sedang membina harapan, membaiki kesalahan lalu dalam setiap saat detiknya, sebelum semuanya melalui kita seperti denyaran cahaya. 

Kita meraikan denyaran cahaya untuk memahami diri kita sendiri.

9
Kau patut berhenti membaca.

Jangan baca bahagian ini kerana ini bahagian spoiler. Bahagian yang menyatakan mengapa bagi aku filem ini ada cacat-celanya. Kalau kau dah tonton barulah baca, kalau tak, jangan.

Serius jangan.

Sebab bahagian ini mungkin halunisasi atau episod psikaotik aku sendiri dalam menonton filem ini, lalu memberi kesimpulan yang tersendiri:

Bahawa filem ini boleh menjadi lebih baik lagi jika LPF yang celaka itu tidak mengganggu anak-anak muda ini membikin filem.

Aku kenal Rewan Ishak. Aku kenal kemampuannya. Aku tak berapa kenal Nik Amir Mustapha, tapi aku "percaya" dengan kemampuannya. Mereka bukan amatur dan sudah lama berkecimpung dalam filem. Aku anggap, setiap babak dan tangkapan imej itu penting dan tiada yang tidak terkait.

Ini semua berkenaan Redza yang suka lepak atas bumbung pangsapurinya.

Ada dua syot yang memberi klu kepada aku. Malah, ya, tiada yang mengejutkan bagi seorang penonton tegar filem, kita sudah boleh menghidu cerita itu 5 batu lagi sebelum ia memberikan klimaksnya. Lalu kita hanya ingin merasai "pengalaman" yang hendak dihidangkan, kerana itu, kita memerhati sudut dan ruang dan objek tertentu dalam filem sebagai penyampai maksud apa filem ini sebenarnya.

Ada dua syot yang memberi klu kepada aku. Ada satu syot belakang kepala Redza atas bumbung, memerhati ruang luas kota KL. Babak ini hanya babak "sendiri" tanpa makna jika ia dibiarkan sendiri (aku teringat Punggok Rindukan Bulan dengan unsur kematian/pencarian yang berlainan). Syot ini juga memberi makna "pencarian" ada sesuatu yang mata malang Redza cari di sebalik jalan raya dan bangunan tinggi.

Syot ini kemudian mendekati satu lagi syot yang mana Redza memerhati papan hitam dengan tulisan berkenaan cara-cara membunuh diri. Lihat, ada lukisan "bangunan tinggi". Sedar tak kalian, ini bukan syot melewah saja nak tunjuk cantik-cantik papan hitam tetapi "tujuan" sebenar Redza. Dia bukan sahaja mencari makna "kematian" dan "cara bunuh diri paling baik" tetapi semacam "mencari makna" mengapa "adik dan ibu"nya ter"bunuh".

Bagi aku, ini yang LPF tak bagi.

Ini teori konspirasi aku.

Mengapa bangunan tinggi? Rujuk Dek Hor (2006) malah Vertigo, dalam filem, satu-satu watak tidak akan mengulang mengisi ruang tersebut tanpa makna apa-apa. Seperti pita yang diulang-ulang (rujuk denyaran cahaya/ulangan memori di atas), Redza sekali lagi dan sekali lagi pergi ke bumbung pangsapuri (aku terbayang pula dua filem Osman Ali yang wataknya suka benar lepak bumbung, Anak Halal dan Jiwa Taiko) seakan-akan menunggu, mencari seseorang, atau sesuatu. Takkanlah hanya nak merokok bai? Tak. Kalau seseorang trauma, untuk "kononnya merawat" traumanya, dia mesti ke tempat kejadian/tragedi itu untuk melepaskan traumanya. Kalau tidak, mengapa kita dapatkan satu syot Redza (yang sudah tidak mahu mati) melawat bumbung, kemudian memberi satu syot dia merenung jalan raya di bawah (life goes on). Aku dapat rasa, intial script ini menyampaikan bagaimana sifat "menyesal" Redza yang keterlaluan (kalau tak, mengapa dia halunisasi adik dan maknya begitu rupa) yang tak sempat menahan adiknya daripada melompat dari bumbung pangsapuri! Klu lagi satu, Redza (yang gila!) menasihatkan Juliana Evans (yang cun! haha, sempat!) "Jangan duduk tepi sangat nanti terjatuh," lalu dengan susah-payah (sebab nak pujuk) menceritakan kepada Juliana tentang "seorang budak yang melompat lalu terbunuh orang dalam kereta". Tak mungkin hanya kerana Redza hidup dalam ketegangan (ok, ya juga) dia lepak atas. Mesti ada meaning. Dia melihat coretan papan hitam itu, tercari-cari makna seakan-akan "mencari makna" mengapa adiknya membunuh diri. Ini lebih menyakitkan, lebih menyentuh.

Dan aku syak, LPF tidak membenarkannya kerana "membunuh diri" suatu perkara sensitif. Lalu meminta pembikin buat babak "kena kemalangan". Hello, lamenya! Mak dan adik kemalangan agak traumatik tapi adik yang kau secara SEDAR sedang dikejar dan tak dapat tahan lalu melompat dari bangunan lalu mati atas kereta mak sendiri lalu mak pun mati lagi traumatik gila. Traumatiknya bukan sahaja dari segi aksi (pembunuhan diri itu) tetapi makna (ketidakfahaman Akil memahami mengapa adiknya ingin membunuh diri lebih menyakitkan, perasaan tidak mampu menyelamatkan itu menjadi amat kuat dan lebih berkait dengan filem Johan Iskandar yang cuba "menyelamatkan" manusia tetapi merasai tidak berjaya).

Lalu babak kemalangan itu pun dimasukkan menggantikannya. Aduh ...

Serius, kalau Redza serius trauma fasal kemalangan tu, patutnya dia melencong ke plot Crash, lalu bersenggama dengan Zara dalam kereta untuk mencapai libido psikaotiknya berkenaan KEMALANGAN.

Heck, Fasha Sandha yang high dalam Anak Halal pun akhirnya terjun dari bangunan. Oh, dia boleh "dibunuh" begitu kerana dia "rosak akhlak": didaktik, senjata biasa LPF.

Kerana aku sedar, ada bahagian dalam filem ini macam "terbiar", kau makan nasi kandar tak cukup kuah, something's still missing. Semacam suatu simfoni yang tiba-tiba pertengahan alunannya direntap dan memasuki oktaf lain secara tiba-tiba. Itulah yang aku rasa.

10
Filem ini tetap mengagumkan bagi aku, lebih-lebih lagi dalam pembinaan landskap, warna dan nafas imejannya. Suatu pengalaman yang menarik dalam wayang Malaysia. Amat susah mencari sebuah filem anak muda yang berharap dan menyayangi hidup. Selalunya, keras dan berontak, serta protes intipatinya. Filem ini lebih tenang kerana menyenangi komedi romantik. Malah begitu optimis melihat dunia, filem, dan diri. Dan suatu halwa dan rasa yang berlainan daripada komedi romantik biasa yang kita jumpa dalam filem-filem anak muda sebelumnya. Sila tonton.

Klasifikasi Langgar: 13, Ada babak sedikit lucah dan terdapat kata-kata yang memerlukan bimbingan dan nasihat penjaga bagi penonton bawah umur 13.
DITONTON DI Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara.