Setem, secara umumnya sebuah filem komedi gelap yang laju, bergerak dan turut membawa penonton bersama mengikuti ceritanya. Gerakan "cat and mouse" adalah pencarian "setem" oleh beberapa kumpulan watak. Filemnya senang ditonton, sesuai buat seisi keluarga Malaysia. Filem ini sepatutnya pecah panggung kerana mempunyai pelbagai inti dan rencah hiburan, komedi, aksi dan paling penting, cerita yang memikat. Setem sebuah filem bertih jagung Malaysia untuk semua.
Baik, aku sudah membuat tanggungjawab aku untuk Tayangan Unggul sebagai jasa baik mereka menjemput aku (terima kasih Ira Fazir dan Ajami Hashim). Kali ini untuk ulasan yang sebenar (berserta spoiler):
Sebelum menonton filem ini, aku duduk berserta kawan-kawan di sebuah restoran Vietnam sebelum aku meninggalkan mereka dengan Night at The Museum 2 sedang aku ke pratonton filem ini. Sewaktu makan, mereka bertanya akan isi filem ini. Dengan tuli, aku membaca sinopsis teks yang diberikan kepada media. Kawan-kawan aku ketawa dan seronok. Mereka merasakan filem ini pencampuran genre The Red Violin bertemu National Treasure dengan sedikit The Italian Job. Chew Kin Wah, dengan lakonannya yang sangat mantap sebagai Tuan Lim dalam filem ini memberi pendapat yang paling tepat sewaktu sidang temuramah, bahawa filem ini filem "caper" yang kedua atau ketiga selepas Baik Punya Cilok dan Los n Faun.
Pada beberapa hari sebelum itu pula, aku ditemuramah oleh seorang pelajar yang mengkaji filem, inginkan penjelasan dan pandangan aku tentang filem komedi Malaysia (dengan sedikit generalisasi terhadap genre komedi jamban Prof. Razak Mohaideen). Aku terus-terang kepadanya bahawa kepakaran aku lebih kepada filem seram tetapi aku juga memberi pendapat tentang faktor-faktor membuatkan sesebuah filem komedi itu "mengancam": isi yang lain daripada lain dan mencuitkan, cerita yang mengancam (termasuk teknik), lakonan pelawak, pemilihan pelawak, suntingan kepada antisipasi "lawak" atau situasi yang menyebabkan "lawak" dan paling penting, dialog yang sekali gus mencuitkan serta boleh diingati sebagai "defining moment".
Ambil contoh Some Like It Hot(1959) sebagai sebuah filem yang maish relevan dan termasuk senarai filem komedi terbaik sepanjang zaman dalam mana-mana pengkritik filem:
Isi: pengkaburan masyarakat tentang seksualiti dalam sebuah filem yang memparodikan genre filem jantan (gangster).
Cerita: berhala konflik-klimaks-resolusi di mana setiap tiga pergerakan plot itu mempunyai satu "tolakan" yang mencuitkan.
Lakonan: Tidak perlu disangsikan dengan kehebatan dan ketetapan aksi Jack Lemmon, Tony Curtis dan (juga!) Marilyn Monroe.
Pemilihan Pelakon: Tepat dalam kesemuanya termasuk anting-anting yang dipakai oleh Curtis.
Suntingan: Cth: Curtis dan Lemmon yang mula memakai pakaian wanita masuk ke dalam gerabak "pemuzik wanita". Mereka cuba tidur. Kita tidak diperlihatkan tetapi kita dengar suara-suara nyaring dan suka para wanita itu "menukar pakaian". Kita hanya disaksikan antisipasi Curtis dan Lemmon "menahan sabar".
Dialog: -"Oh you don't understand Osgood, I'm a man!" +"Well, nobody's perfect"
Dengan faktor-faktor ini, aku mengaplikasikannya buat Setem. Setem jauh daripada menjadi sebuah filem komedi yang tidak berjaya seperti 1941(1979) tetapi tidaklah mencapai tahap komedi masterpiece seperti Pendekar Bujang Lapok(1959). Setem ditengah-tengah. Ini adalah kerana "hit and misses" yang berlaku dalam pelaksanaan realisasi skrip ke skrin oleh Kabir. Setem ialah skrip pertama Kabir secara perseorangan yang selama ini berkolaborasi dengan isterinya, Mira Mustafa.
Pilihan pelakon nampaknya mantap, terutamanya Que Haidar, Bront Palarae, Vanidah Imran, Sathia, Datuk Aziz Sattar, Harun Salim Bachik, Richard Gardner, Isma Yusoof, Diana Danielle dan Sofi Jikan. Nama-nama pelakon di atas membawa lakonan mereka dengan penuh ketetapan dan kemahuan yang diperlukan. Aku paling menggemari Chew Kin Wah yang boleh berbahasa Melayu peranakan sekali gus Cina dan Tamil. Kin Wah tahu ke mana dia mahu pergi dengan wataknya, tahu pembahagian masa untuk penonton "mendengar" dialognya diucap serta masa tepat beraksi. Sebagai Tuan Lim, Kin Wah menyeronokkan sekali gus menakutkan. Malah, kita ingat dengan Kin Wah kerana perilakunya serta dialognya. Kita tidak boleh lupa dengan piranhanya, pemilihan "model"nya serta "Aku sayang kapal terbang aku, buat cara lain." Genius.
Aku tidak berapa setuju dengan "buddy" Afdlin Shauki serta Rashidi Ishak. Sebatian kimianya tidak sekuat Afdlin dengan Hans Isaac. Rashidi terlalu "kool" sebagai Sid sedang Afdlin terlalu "chaotic" sebagai Joe. Mereka tampak tidak serasi dan tidak saling memerlukan antara satu sama lain, walaupun dimaklumkan bahawa mereka "sehati sejiwa". Tetapi penipuan dan suave Rashidi menjadi sebagai seorang individu. Hanya Afdlin terlalu memainkan lawak mimik yang kadang-kala terlalu. Adik-beradik Vanidah dan Que lebih tampak keintimannya.
Aku cuba menyukai Indi Nadarajah oleh sebab homaj yang beliau lakukan terhadap Kamal Hassan. "Definitive moment" beliau sepatutnya sewaktu beliau menjawab si pegawai penjara: "Saya masuk lokap lagi sekali kerana membunuh awak." Aku cuba menyukainya, tetapi entah kenapa silapnya, suntingan, masa, atau tangkapan, dialog dan babak terbuang begitu sahaja. Ini ditambah dengan keadaan Indi yang banyak menampakkan "coolness", beliau seakan membaca skrip. Aku maafkan beliau kerana beliau daripada mazhab teater Inggeris dan ini filem pertama beliau. Malah perwatakan serta perkembangan watak yang ditulis oleh Kabir amat baik tentang beliau sebagai Mani. Mengejutkan, Sathia banyak menolong beliau, seorang Richard Pryor Malaysia (kerana wajahnya, bukan perwatakannya) yang berlakon sebagai adik Mani, Vellu. Vellu digambarkan lurus bendul tetapi mahu melakukan sesuatu untuk kesenangan abangnya serta sangat "smart talk" ala ketamilannya. Ia sangat menjadi, lagi-lagi berkenaan ikan Tuan Lim.
Secara keseluruhan, Kabir amat-amat pandai menjalinkan cerita. Dari pembukaan tiga kumpulan cerita (Indonesia, Tamil dan Melayu), masalah mereka dan kemudian kesusahan-kesusahan yang mereka perlu lalui amat mencuitkan. 40 minit akhir filem ini, bermula dengan kehadiran setem dalam hidup Que dan Vanida merupakan momen yang paling mengujakan, titik komedi dan ngeri bergerak dengan jitu. Aku seakan menonton sebuah Get Shorty(1995) ala Malaysia di mana komplikasi ditambah dengan komplikasi tetapi diakhirkan dengan ikatan yang amat cantik, termasuk resolusi "setem sebenar" apabila Rashidi dan Afdlin ketemu Diana Danielle (yang sangat cantik, aku dah jatuh cinta kepadanya) di Melaka. Kabir sememangnya seorang Adi Penyulam Cerita. Kabir tahu momen mana mahu disampaikan kejutan dan momen mana yang mahu disampaikan konflik. Dengan Setem, Kabir menunjukkan kepada pengkritik bahawa beliau boleh menghasilkan sebuah filem yang menyeluruh dan tidak "terpecah-pecah" seperti Cinta dan Sepi, malah ideal "ensemble cast" ala Hotel(1967) beliau tidak merugikan. Kabir sememangnya boleh menulis novel. Dengan filem ini, Kabir masih mempercayai falsafah "nasib persalingkaitan" di mana semuanya mempunyai sebab musabab dan qada' qadar untuk bertemu dan membuat tindakan, kebiasaan dalam mana-mana cerita yang luas lanskapnya (dan banyak dicuba oleh pengarah filem sekarang seluruh dunia khususnya Allejandro Innaritu) dan paling ekstrem latar lanskapnya dibuat dalam Babel(2006). Yang memuaskan, kepelbagian ini dijaga baik oleh Kabir malah setiap watak mempunyai fungsi serta psikologinya yang tersendiri untuk disampaikan, malah ia amat sesuai dengan ke"laksa"an Malaysia yang pernah dicuba oleh Othman Hafsham dalam Mekanik(1983) dan diikuti oleh Aziz M. Osman, Yasmin Ahmad serta Mamat Khalid. Hanya Kabir memerlukan dialog yang lebih kuat, atau improvisi lakonan yang lebih mengancam untuk mengangkat visinya. Kita boleh lihat contohnya dalam dialog-dialog lawak Kabir yang tidak berapa menyengat (memerlukan masa, situasi dan aksi yang betul) antara Sid dan Joe. Bandingkan dialog humanis tetapi mencuitkan antara Vanida dan Que, yang sememangnya Kabir amat pakar dalam hal ini. Tetapi hal ini ditolong dengan ketelitian Kabir memberi makna pada semua sebab-akibat babak-babaknya.
Aku tidak berapa suka dengan kareografi aksi dalam filem ini, ia sedikit lemah sebagai sebuah filem yang banyak memasukkan aksi. Buster Keaton memahami bahawa kekuatan filem komedi beraksi bergerak dengan ketelitian shot dan penjagaan masa. Filem ini mempunyai banyak potensi itu tetapi tidak dipenuhi dengan sebetulnya, oleh sebab filem ini tidak tahu jika ia sepatutnya menghala lebih terhadap gaya melebihi isi (style over substance) atau isi melebihi gaya.
Tangkapannya juga membosankan, tidak seperti filem-filem Kabir yang sebelum yang menampakkan penjagaan babak yang teliti dan bersunting cantik. Adakah kerana kekurangan bajet? Lihat sahaja pembukaan awal filem bila Charles Barring berucap di hadapan orang ramai dengan tangkapan atas dengan luas yang amat statik tanpa rajin mengambil isi dan wajah hadirin atau pelayan. Kita bandingkan dengan kelajuan dan kehebatan babak komik "sejarah setem Barring" yang laju, jitu dan mengujakan. Antisipasi kita sedikit "dibunuh" dengan babak statik dan permulaan watak-watak dengan tangkapan statik ini. Nasib baik, enjin plot dimulakan dengan baik dengan kemunculan Pak Aziz Sattar dan seterusnya Sathia. Kita mahu meneruskan "kesudahannya" dan tidak terasa 110 minit berlalu.
Runut bunyi filem membosankan, masih mengambil ideal Aziz M. Osman (tanpa Blues) untuk menguatkan ekspresi dan tujuan lawak. Lagunya tiada hala taju selain dengungan yang merunsingkan. Kabir memerlukan okestra untuk ini, kalau tidak pun, kepakaran Guy Ritchie atau Martin Scorsese memilih lagu-lagu rock/pop sebagai runut bunyi.
Setem masih memuaskan dalam segala kepincangannya. Sebetulnya, ia mempunyai jiwa, malah "kisah setem" itu sendiri mahu kita ikuti sehingga akhir. Ianya memang sebuah filem yang ada unsur kecintaan negara yang kuat, disulam cantik dalam ideal "setem" dan tidak diambil terlalu mengada-ada oleh Kabir (disampaikan dengan baik dalam babak Que sahaja yang menepuk tangan di meja makan), bergerak lancar dan bersahaja dalam menyampaikan maksud kepentingan orang Malaysia mengetahui tentang sejarah silamnya. Sememangnya Setem sebuah filem kemerdekaan kita yang mencuitkan dan memberi aspirasi "Malaysia Boleh" tanpa niat yang terlalu (no pun intended).
Call for papers 6th Annual Southeast Asian Cinemas Conference: Circuits of Exchange (with)in Southeast Asian Cinemas Ho Chi Minh City, VietnamJULY 1 – 4, 2010
In recent years, independent filmmakers from Southeast Asia, in particular from The Philippines, Malaysia, Thailand and Indonesia have received some support from film festivals by way of monetary awards and grants. Simultaneously there have been co-productions (Singapore's Raintree Productions and MediaCorp for example) with film production companies outside the country, within the region, and with Hong Kong. Diasporic filmmakers also continue to return to make films in Southeast Asia. At other levels, individual filmmakers work across several countries within Southeast Asia or in Asia. While film practitioners have been more active on such circuits of exchange, the same cannot be said for film theoreticians in the region. Film theory in Southeast Asia seems haphazard and is applied on an ad hoc basis since its foundations in other bodies of knowledge (continental philosophy, for example) may sometimes provide inadequate ways of framing and theorizing films from Southeast Asia. This conference therefore sets out to explore the different ways in which filmmakers and film theorists have worked and can work within and beyond the limits of the region: as a product of colonialism and the Cold War, as nodes on a global network linked to economic, cultural, media and socio-cultural structures and flows, as equal and unequal partners in forging an identity that is both universal and particular. We invite panels on Circuits of Exchange (with)in Southeast Asian Cinemas particularly questions concerning:
Film Theory or Film Aesthetics in the Southeast Asian Context: Modified Possibilities, Indigenous Alternatives: What theoretical frameworks can we deploy when discussing SEA cinema? Are existing ones, mostly developed from places other than SEA, sufficient for discussing the work produced in SEA? Is there a need to develop new theories? If so, what are the challenges that arise in developing a theory specific to discussing SEA cinema? What is its place in film theory and what place does film theory have in SEA today?
The Politics of Representation and Naming / Southeast Asian Cinema: Despite Southeast Asia as a region being a product of colonialism and the Cold War, the term continues to perpetuate certain colonial and imperial logics and power relations. Would it make more sense to think of individual SEAsian connections to other Asian countries and cultures (such as China, India, Japan or even the Middle East)? Why or why not? When we talk about "indigenous SEA" film theories, will that homogenize the field of SEA cinema?
Theorizing SEAsia Through Transnational Discourses: Globalization theory, film festival circuits, actor-network theory, co-productions and diasporic filmmaking in Southeast Asia.
Historical Connections: Examples include Filipino and Indian directors working in the studio system in Malaya during the 1950s and 1960s; the role of Indian/Chinese film producers in the early cinema histories of Indonesia, Malaysia/Singapore, Thailand, Burma, etc.; the impact of Indonesian films in Malaysia during the 1970s, etc.
Religion and Censorship: In recent years, films that are deemed to be disrespectful of the religion of specific countries have either been censored or banned: in Thailand, Apichatpong Weeresethakul's Syndromes and a Century (for portraying monks playing with airplanes), Yasmin Ahmad's Muallaf (2008) in Malaysia, and in Indonesia, Muslim clerics had a role to play in the withdrawal of films such as Kiss Me Quick (Buruan Cium Gue 2004). What are the repercussions and effects of such censorship regimes on civil society and filmmaking communities? How are films and film production reflective of social and political transformations (for example desecularisation) in these countries?
Complicating Genres: Asian horror, film noir, melodrama, action, the teen flick, subgenres, Islamic film, `importance of education' subgenre of children's films, historical/costume drama, cult status films, political documentary, etc.
New Media and its Impact on SEAsian Film: Blogosphere (film bloggers), Youtube, the Internet in general. Additional Panel Topics: Intertextuality, Folklore, Gender & Sexuality
We also welcome submissions for the open call. Abstract Submission Deadline: October 30th, 2009
Buat masa ini, tidak ada filem yang benar-benar mengujakan (paling terakhir adalah kecantikan Sell Out!), walaupun tahun ini, sekali lagi, berlaku revitalasi filem-filem sai-fai (ada beberapa yang aku terlepas), Angels & Demons sangat menyeronokkan, malah Terminator: Salvation yang dikatakan "bising" oleh sesetengah pihak sebenarnya sebuah filem yang sangat menarik dalam pemahaman "mesin yang mengenal dirinya manusia" seperti kebanyakan filem zaman pascamoden ini yang melangkau keupayaan HAL (paling baik dilakukan dalam siri Battlestar Galatica), malah revitalasi Star Trek di bawah J. Abrahams sekali gus satu penghormatan dan pembukaan yang baik. Transformers? Entah, aku tidak terlalu teruja menontonnya, mungkin sebab dukacita terhadap yang pertama, lagi-lagi watak lewah Shia Le Bouf (tipikal si pemuda Yahudi kelengking yang fikir hebat dan takkan mati walaupun di tengah-tengah gempa bumi kereta dan bangunan ranap) yang mendapat Megan Fox (oleh sebab Bumble Bee? Aku pun tak tahu macam mana nak mula) dan mendapat jawapan rahsia semesta daripada sepasang cermin mata dalam ebay, ditambah dengan kiasan "oh, lihat padang pasir - bukankah aku dah kata Iraq penuh dengan teroris dunia yang mengancam Amerika, dan nama teroris ini ialah Decepticon?!" Gezet kedua pun ada kena mengena dengan padang pasir. Entah, aku rasa tersinggung. Mungkin 2012 lebih menarik walaupun aku tak berpeluang langsung menonton ayam belanda Roland Emmerich tahun lepas.
Ada beberapa DVD yang berjaya aku habiskan yang sedikit sebanyak baik. Battlestar Galatica (BSG) sebuah siri yang melangkau ekspetasi, dan pertama kali dalam seumur hidup aku, aku dapat menonton siri sai-fai yang berjaya mencapat makna "trescendence science" yang pernah dibawa oleh 2001 dan Close Encounters. Oh ya, jangan lupa Bio-Nik di TV3 hari Isnin malam, tulisan Fairul Nizam Ablah, penulis skrip Bola Kampung dan beberapa komik tempatan.
Ada beberapa lagi siri DVD tetapi tidaklah begitu menarik untuk diperkatakan. Aku menemui dua DVD filem bilazim ini yang agak membuka mata kerana tempatnya dalam sejarah filem subgenrenya serta tempatnya dalam sinema. Kadang-kadang, aku nak juga berubah angin.
Breakfast On Pluto(2005)
Sedutan ini untuk Mama Zack yang tergila-gilakan Cillian Murphy. Jika Mama Zack mahu tahu, Cillian juga sudah berlakon sebagai seorang pondan, dan Cillian seorang pondan yang sangat berkesan dalam filem ini, menjadikan lakonannya dalam filem ini sebagai lakonannya yang terbaik dalam kerjaya lakonannya.
Neil Jordan selaku pengarah yang pernah membawa The Crying Game, Company of Wolves dan Mona Lisa, telah membawa sebuah filem separa cerita pari-pari moden yang menangkap retrospektif cambah politik England sewaktu 70-80-an. Patrick/Patricia "Kitten" dalam Cillian Murphy merupakan tenaga "segar" yang kompleks tetapi senang didekati untuk memahami jalan konflik politik dan ketidakwarasan zaman itu, mengikut sensibiliti golongan British yang prokonservatif. Kononnya ini sebuah filem benar. Kitten dari Ireland dibuang oleh ibunya di depan pintu seorang paderi. Bila besar, Kitten mahu mencari ibunya di London, dan Kitten, seorang "tidak bersalah" akan ditelan oleh kerakusan kota London.
Dibuka setaip lembarannya seperti sebuah buku (ada bab yang panjang, ada yang pendek, semuanya disunting dan disusun dengan cukup teratur) yang cantik - kita tidak hanya mengetahui perjalanan seksualiti-transformasi "Kitten", tetapi penerimaan Kitten terhadap hidupnya dan apa yang dia cari sebenarnya dalam hidup. Ya, penemuan "sense of belonging" adalah tema utama filem ini, berkait rapat dengan pergolakan Utara Ireland waktu itu yang dibelenggu teroris IRA dan cengkaman tentera British terhadapnya.
Ini antara filem Neil Jordan yang berjiwa, tanpa banyak memperah sentimentaliti penonton, ditolong kerana Cillian Murphy tidak pernah bertindak keterlaluan (semangat mesranya dalam waktu-waktu gelapanya sangat mendebarkan). Ada beberapa rujukan terhadap Stephen Rea dengan Crying Game, In The Name of the Father, dan Paris Texas. Dalam komedi, dapat ditemui tona-tona sedih yang tidak melodrama. Pilihan lagu sempurna dari awal hingga akhir.
Filem ini jawapan Britain terhadap Milk dan Before Stonewall. Perjuangan hak kesamarataan mereka bergerak senyap (seperti IRA) tetapi penuh kecenderungan untuk didengari dan diperbuat sesuatu, ia secera sendirinya akan matang sendiri dan bergerak kuat. Sensibiliti liberalisme 80-an British betul dalam hal itu.
Hard(1998)
Judul filem ini satu penipuan, seperti lingkaran filem ngeri seram ini. Ya, filem ini melangkau apa yang Crusing pernah lakukan.Aku tidak begitu peduli tentang itu (dari segi kepentingan sejarah) tetapi kepada detik-detik sinematik yang berjaya diimbaukan dalam filem ini. Filem ini berjaya menangkap semangat ngeri dan seram yang dicipta Silence of the Lambs. Lakonannya buruk, tangkapan kameranya amatur tetapi dialognya serangup filem-filem noir zaman 40-an.
Ceritnya dua jalur, seorang polis jabatan kes bunuh dalam dilema seksualiti, seorang psikopath yang membunuh anak-anak muda jalanan. Dua watak ini (walaupun tampak tidak rasional tetapi ia berlaku) bertemu dan berlakulah satu kejar-mengejar, si polis takut dibongkar tentang hidup gelapnya, si psikopath pula sebenarnya mencari sesuatu untuk berkongsi kesunyiannya dan hajatnya. Beberapa persoalan kelakian ditonjolkan (apakah sebenarnya yang mendefinasikan lelaki) serta peranannya (suami - ayah - budak - remaja).
Banyak imej yang dipermainkan di sini. Psikopath memilih sebuah teater usang sebagai tempat dia menjalankan "mastrerpice"nya. Tragedi Yunani disulam konsep teater sebagai ritual agama berlaku. Termasuk "topeng-topeng" yang sangat dikecam oleh psikopath sebagai "hipokrisi" kaumnya. Tetapi hal ini sendiri terlalu kelabu untuk disampaikan. Sememangnya, watak psikopath dalam filem ini benar-benar satu watak yang kontradiksi terhadap tujuan dan falsafahnya. Kadang-kadang kita tidak boleh mempercayai jiwanya. Lecter pun kalah dalam hal ini.
Setiap plot disusun elok, beberapa babak yang santai lawak disulam pembukaan kes. Beberapa babak ngeri seperti mayat mangsa dicampak dari jambatan, babak-babak "neraka" mangsa dalam tangan sang psikopath (babak akhir) mengimbau sisi gelap S & M serta Jeffrey Dahmer (sebuah babak kereta ditahan polis mengimbau episod Dahmer ini). Paling menarik adalah perhubungan kompleks si psikopath dengan seorang suami orang sekali gus anak bawah umurnya. Kita semacam "dipaksa menyaksikan" perhubungan bilazim si psikopath ini untuk mencari motif "kemanusiaan"nya (sama dibikin dalam Henry: Potrait of a Serial Killer).
Sebuah filem yang masih perlu dikaji, kerana persoalannya yang relevan tentang lanskap dan persekitaran yang membentuk bilazim dalam manusia, atau pilihan manusia itu yang menentukannya. Filem ini memperkatakan beberapa.
Buat bulan ini dan bulan lepas, aku hanya mengambil beberapa detik dan peluang untuk menonton, maka pemilihan serta pengalaman tidak banyak yang mencernakan "keseronokan menonton", atau filem yang betul-betul buat aku ingin menulis, maka filem-filem di bawah ini mungkin tidak ada lagi, tetapi perlu diletakkan sebagai memaklumkan pengalaman seronok (atau drama) ketika menontonnya.
$ell Out!(2008)
"Don't butt me! I hate when people "but" me!" Lim Teik-long(?)
Filem ini bukan sahaja "landmark" oleh sebab filem ini menandakan persahabatan aku dengan Kekure berakhir di situ sahaja, serta bagaimana pengarah muda tersohor Azharr Rudin yang mengajak aku menonton filem ini (selepas selesai Bek-Woh Masakara dan sebelum Induksi Umum aku yang memenatkan untuk 18 hari di Sg. Congkak) memaklumkan kepada aku sesuatu yang membuatkan aku takut dan tidak mahu lagi mengulas tentang filem (aku tak nak tulis di sini, sebab kalau aku tulis, nampak sangat aku cakap besar dan SS karang, dan ya, ada juga kena-mengena dengan Pak Hassan Muthalib, A Wahab Hamzah serta Jhebat! - Azharr, nantilah ya, aku masih tergamam lagi, hahaha) tetapi filem ini "landmark" kerana penayangannya yang sangat kena pada saat sinema Malaysia sedang benar-benar melalui satu pencerahan (baik buat filem-filem bebas atau filem-filem perdana). Keseluruhan filem ini menyatakan sejujur-jujurnya tentang sofistikasi. Pusatnya satira. Kutukan/pujaannya kita orang Malaysia (tak mungkin masyarakat yang lain).
Aku suka lakonan Jerrica Lai. Tapi aku lagi suka Kee Thuan-chye dan Lim Teik-long(?). Dua tuan besar yang mengironikan segala yang kita tidak mahu mengaku tentang hidup. Lakonan mereka adalah "highlight" filem ini buat aku. Orang mengatakan filem ini mengutuk penggayaan "lembap" filem-filem "art house" yang keluar daripada pembikin filem-filem bebas Malaysia atau filem-filem 80-an yang perlu "menunjukkan semua", jauh daripada itu, filem ini cukup tersunting baik, cukup acuannya, cukup sebab kepada akibat, serta cukup mengangkat "seni" di balik "art house".
Filem ini meletakkan filem-filem James Lee, Ho Yuhang, Yasmin Ahmad dan Tan Chui Mui pada tempatnya. Pengkahirannya adalah pengakhiran paling sempurna tentang "apa yang kita mahu kecapi dalam filem". Ia menyakitkan untuk menyalin estetika dunia, lebih menyakitkan bila kita membiarkan diri kita tidak sedar akan proses itu. Inilah Sell Out!
Paling membimbangkan, aku agak terganggu malah banyak kali merasa kusam dan murung setiap kali filem ini bergerak ke arah klimaksnya. Orang melihat pada arah politik atau idealismenya. Aku melihat pada kebenarannya. Dan aku amat-amat terganggu. Yeo Joo Han benar dalam hal itu. Kita tidak dibenarkan berubah. Sell Out! ialah kupasan jujur tentang itu setakat ini, sebuah filem distopia yang sudah pun berlaku.
Talentime(2009)
"Tunjukkan saya caranya (untuk memutuskan cinta) kerana saya tidak tahu." Mahesh (dalam bahasa isyarat)
Kiranya aku memungkiri janji aku untuk tidak mengulas filem ini (walaupun sedikit) oleh sebab hadiah yang diberikan oleh Kak Min kepadaku akan tayangan pra filem ini. Tetapi aku nak buat juga (dengan pendek) oleh sebab aku tidak perlu lagi mengatakan sayonara kepada Kuala Lumpur. Ya, aku akan kembali kepada natif aku.
Aku ingat lagi, pada hari tayangan pra filem ini, Kekure menyatakan kepadaku bahawa filem ini adalah filem "terlalu" Kak Min "she's overdoing it". Ada kebenarannya di situ, tetapi kita kena lihat kenapa- kali ini ceritanya (atau fokus ceritanya) terletak pada cerita Mahesh (lakonan baik anak muda ini yang tidak perlu mengucapkan dialog. Gerak-gerinya sudah begitu mampu menggerakkan. Aku tontoni lakonan beliau dalam Cerekarama TV3 Abom dan beliau agak teruk bila bertutur), lalu kita sedar filem ini filem "kecil" Hindustan Kak Min (ada drama, komedi, tragis dan paling penting, nyanyian ad lib(!) dan tarian, yang mungkin tak mengikut turutan yang ditulis).
Penggayaan Hindustan (atau Kollywood? Tunggu filem Estet oleh Mamat Khalid) selalunya melebihi realiti tangkapan dunia (macam minyaknya Salaam Bombay! kepada airnya Kuch Kuch Hota Hai) dan digerakkan dengan "berlebihan" (semangat orang India memang sebegitu, mereka ekspresif diri dengan lebih, maka warna, gerakan dan cakapan juga penuh "arusnya"). Oleh sebab itu, ramai yang tampak filem ini filem paling "mainstream" oleh Kak Min dan paling senang diikuti (kesemua cerita yang dihidangkan diselesaikan dengan gaya biasa). Yang mengganggu orang ramai ialah tempo filem ini.
Oleh sebab ramai yang sudah ternampakkan gaya "popular" yang ingin dibawa (walaupun bukan) oleh filem ini, kita disampaikan dengan babak-babak tanpa suntingan seperti shot pak cik Mahesh yang dimandikan sebelum hari perkahwinannya. Ini merimaskan penonton umum yang sudah menangkap gerakan yang mengikut perspektif biasa. Hal inilah yang menarik untuk diperkatakan, kerana apa yang kita mahu/lihat/jangka tidak memberi kita jawapannya. Hal ini dibuka pada awal filem apabila kita melihat satu babak "dewan peperiksaan" dibuka.
Perspektif orang Malaysia "senang" apabila melihat hal ini: satu saingan sedang berlaku - ini dibawa pula kepada pertandingan "Talentime" untuk mengasah bakat-bakat para pelajar sekolah yang baru habis periksa itu. Adakah hidup ini ada untuk bertanding, kita bertanya. Nampaknya seperti soalan-soalan enteng tetapi soalan-soalan sebegitulah yang ditanya oleh seorang pelajar, konteks filem ini sebenarnya - generasi muda. Akhirnya, di akhir filem, kita sedar (tanpa banyak perlu berfikir) bahawa generasi muda kita OK dalam perlumbaan mereka untuk belajar tentang dunia. Malah Kak Min memberi jawapan idealismenya tentang masa depan Malaysia (budak-budak ini lebih memahami hal-hal yang selalu dibuat kompleks oleh orang tua, katanya). Malah peperiksaan itu (atau Talentime itu) hanya rencah pada hidup yang sebenar - untuk bersama-sama dengan manusia lain. Tidak ada kalah dan menang sebenarnya. Hanya interaksi. Hal inilah yang membuat ramai orang menuduh Kak Min berdakwah dan tidak membiarkan cerita bergerak sebagai cerita. Buat aku, hal ini subjektif, sepertimana Gubra (buat aku, Mualaf lebih kental sifat dakwahnya). Ia boleh dibuka dengan pelbagai inisiatif- wawasan, mimpi, utopia, eskapis.
Paling menarik ialah reaksi. Ada reaksi penonton Malaysia yang menangkapnya sebagai "realiti", ada yang mengatakan ianya "dakwah", ada pula yang melihatnya secara "surreal". Pelbagai pengalaman inilah yang menimbulkan persoalan menarik, bagaimana setiap individu ini "melihat" kepada perkembangan masyarakat kita. Paling mengejutkan, ramai penonton muda melihatnya sebagai "realiti" (jika ditinjau blog-blog serata maya), dan ini tentu satu perkembangan sihat bukan?
Talentime mungkin ada cacat-celanya (lakonan kurang baik Howard Hon Kahoe sebagai contoh), tetapi sebagai piawai filem yang baik, ia antara filem terbaik Malaysia buat 2009 sepertimana Sell Out!
Taksi(1990)
Aku baru sahaja selesai menonton VCD filem ini (lihat kulitnya, ya itulah kulitnya yang aku beli di KB Mall beberapa bulan lepas, sambil diberi jelingan nakal oleh gadis promoter yang tidak sedar pun VCD ini dijual di kedainya, sampai kawan aku yang menonton bersama bertanya, "zaman ni kan orang Indon suka buat filem lucah?" - serius aku tak tahu!) bersama ayah aku di sini (Kota Bharu).
Filem ini sangat baik sehingga ia membuat aku terus tergerak untuk mengulasnya. Filem ini menjadi pilihan aku juga apabila kekasih Azwan mengatakan inilah filem terbaik Indonesia buatnya. Aku terpaksa akur, walaupun kemungkinan secara teknikalnya filem ini wujud lima tahun ke belakang terhadap sofistikasi pembikinan zamannya, filem ini jauh sepuluh tahun dari segi cerita, dialog dan jiwanya. Sememangnya filem ini filem urban yang melampau zaman.
Jika Arifin Noer masih hidup dan melakukan tugasnya sebaik ini untuk filem-filem seterusnya (Bibir Mer mempunyai pergerakan dan semangat yang sama), beliau tentu jauh ke hadapan daripada Pedro Almadovar dalam penggarapan filem wanita atau pasca melodrama, malah Almadovar tentu mengkagumi mendiang pengarah tersohor Indonesia ini. Malah kalau dibuat persamaan (kecuali Noer tidak pernah memilih genre misteri Hitchcock), cetus emantisipasi Meriam Belina dalam filem ini sama semangatnya dengan Carmen Maura dalam Mujeres al borde de un ataque de nervios(1988): hati retak ditipu lelaki, perlu mencari tempat berdiri, mendepani kebenaran dan melepaskan kemarahan. Rano Karno sebagai Giyon memaparkan kematangan yang mengejutkan, seorang graduan falsafah yang memandu teksi. Setiap dialognya mencuitkan, penuh wit serta berkesan ("Adakah wanita gemuk itu malaikat rahmat buatku, atau seharusnya malaikat itu gemuk?") lalu bertemu Meriam Belina yang tertinggalkan anaknya di dalam teksinya untuk satu pertemuan yang terlalu penting (kerana terdesak).
Awal filem ini disumur dengan komedi dan semangat kelakar yang kuat, lalu apabila Rano bertemu Meriam, "plot" mula tercipta dan pertalian antara dua individu ini yang kita mahu lihat dinamisnya. Apa yang menarik tentang filem ini ialah, rencah kemanusiaan, kemasyarakatan, politikal (walaupun tidak perlu ditekankan seperti filem-filem Teguh Karya) membumbu plot utama filem, yang penuh psikologi dan drama yang betul kepada sebuah melodrama yang sempurna.
Segala konflik dan peleraian sehebat mana-mana melodrama Almadovar, dan ini diperkuatkan dengan dialog yang tanpa satu ayat pun aku mahu ubah kerana menganggapnya skrip (atau skenario dalam bahasa Indonesia) filem ini paling baik pernah aku BACA dalam filem Indonesia. Para pembikin filem Malaysia harus BELAJAR daripada pembikinan cerita dan dialog filem ini (yang juga diadaptasi daripada siri novel dalam KOMPAS, ya ADAPTASI!). Ianya semangat moden orang Indonesia tentang hal semasanya, sofistikated tanpa gaya warna dan gloss dangkal yang kini biasa dalam filem-filem Indoneisa.
Kelmarin (11.5.2009), aku ditemu ramah oleh Aidel sessi Popradio, Bernama Radio 24 (KL- 93.9, ala-ala BBC gitu) pada 3.30 ptg tentang "Filem Kita Wajah Kita" - erk!
Tak tahu macam mana nak simpan bentuk digitalnya. Tapi, haha, memang gugup sih!
Terima kasih buat Radio 24 kerana memberi peluang memberi pandangan, dan terima kasih Zeera kerana membuat aku sakit perut satu hari, hahaha.
Ya, tengan tensen, hahaha, kerja belambak hari ni, untuk menghilangkan ketensenan yang melanda (sampai menonggeng) inilah lagu aku:
The sun'll come out Tomorrow Bet your bottom dollar That tomorrow There'll be sun! Just thinkin' about Tomorrow Clears away the cobwebs, And the sorrow 'Til there's none! When I'm stuck a day That's gray, And lonely, I just stick out my chin And Grin, And Say, Oh! The sun'll come out Tomorrow So ya gotta hang on 'Til tomorrow Come what may Tomorrow! Tomorrow! I love ya Tomorrow! You're always A dayA way! (video klip sangat menarik, macam kena dengan mood aku sekarang, haha!)
Ya, masih ingat lagu tu waktu balik dari Florida masa tengok kat pawagam, yeap Annie merupakan filem budak kecik aku. Lagu satu, ET. yup. Ye lah, ngan Star Wars dan Superman gak masa tu (sapa tak suka Superman zaman tu, kena kutuk creep). I was bloody 4 yo for god sake!
Anw, ni lagi satu filem masa kecik yang aku tonton dan "really freak me out".. dan sememangnya dah cult (first time tonton filem ada alien, boobs, sex (very mild ok!), kid hero and weird Tv fetish): TERRORVISION! Masih cari sampai sekarang. Ya, pengkahirannya sangat pelik!
"Why instigate the need to suffer?" Dialog watak dalam INLAND EMPIRE
"I love Hollywood!" David Lynch tentang pembikinan INLAND EMPIRE
Buat kali ini, filem Lynch yang terbaru agak panjang, tiga jam, walaupun lanskap dan imej-imejnya menarik (lebih-lebih lagi apabila Nikki/Susan/Wanita Sesat Itu) dan masih membuat mata anda bergegar, ia agak panjang walaupun buat aku. Dalam tempoh aku ambil untuk menonton filem ini (yang dihantar oleh Spiral yang baik hati), aku tertidur tiga kali dan mengambil masa tiga malam (campur pagi Jumaat hari cuti sebelum kawan rumah sewa bangun, ya mereka tak suka tengok aku tengok filem-filem "mengarut" macam ni) untuk menghabiskannya. Tetapi memang apabila menghabiskannya, anda seakan merasakan anda baharu mencapai satu klimaks seks yang paling seronok (dengan sesiapa, janji cantik) di katil anda lalu mencari rokok yang terletak tepi meja lalu menghisapnya dengan puas. Ya, begitulah yang aku rasa apabila selesai menonton filem yang panjang jadah ni.
Buat mereka yang menginginkan aku membuka kod-kod dan menterjemahkan setiap simpang-siur plot tak ikut hukum garis lurus (tapi buat aku, ia lebih senang diikuti daripada yang paling haram jadah iaitu Lost Highway) dalam filem ini, maaflah aku takkan buang masa korang untuk semua tu. Silalah buka dan baca http://www.imdb.com/ di Discussion Board di mana perbalahan dan perbincangan tentang plot dan subplot dan setiap ikatan simbol dalam filem itu disampaikan dengan teliti dan baik sekali (tetapi perlu juga sedikit ilmu tentang filem-filem Lynch yang terdahulu terutamanya Twin Peaks: Fire Walk With Me dan Mulholland Dr) dan terjemahlah filem ini sendiri. Buat aku, yang penting buat aku sekarang (ya lah, macam dah hebat lah tu) ialah menyelusur dan merasa sahaja filem-filem Lynch, seperti mana yang Lynch aku tahu sebenarnya mahu, untuk kita tersinggung/ suka/ gentar/sentak dan seronok dengan campuran visual-suaranya.
Seperti mana pada akhir filem Mulholland Dr, si penyanyi mengucapkan "Silencio". Pada awal filem ini pula, ditampakkan dengan perkataan "Absurda". Sememangnya Lynch semahu-mahu mengatakan, kegelapan dan cahaya yang anda akan tonton ini sebuah absurd. Beliau tidak pernah selurus itu. Ya, ramai para pengkritik mengatakan ini ialah 8 1/2 atau PersonaLynch. Kemungkinan itu ada. Apa yang lebih menarik ialah keinginan Lynch menyentuh spiritual (bukan secara literal, tetapi sekurang-kurangnya terhadap sinema dan pembikinan sinema) tentang sinema atau filem dan segala yang tersingkap tentangnya - paling utuh, filem dan pembikinannya terhadap seorang pembikin (pembikin di sini bermakna para produser, pengarah, pelakon dan kru) dan komunikasinya terhadap penonton.
Malah dalam filem ini, Lynch benar-benar mengatakan beliau "tuhan" (secara faktanya tidak, oleh sebab pembikinan filem ini berlaku secara rawak, dengan pembikinan skrip yang dicipta tiba-tiba mengikut mood Lynch, ini adalah pembikinan Lynch yang paling prasedar - semahunya menyeluruhi idealisme surrealnya) apabila memberi "cahaya" dan "lagu" kepada kita dalam gelap kredit awal. Kita diberi perkataan "INLAND EMPIRE" - empayar dalaman (nama lain buat Hollywood/Carlifornia). Filem ini semahu-mahunya menangkap prasedar Hollywood.
Apa yang Hollywood berikan kepada kita? Cerita. Paling penting cerita itu mesti mengkagumkan (walaupun realitinya tidak logik) dan akhirnya mesti membawa kelonjakan rasa tenang. Itu hukum klise Hollywood. Lynch memberi satu lagi klu, mainan piring hitam di mana jarum sedang "memainkan" cerita (cerita yang kita sedang tonton). Di sini Lynch menjadi "ahli falsafah". Hollywood menyampaikan cerita, cerita yang pelbagai tetapi sudah ditetapkan (rekod). Kadang-kadang cerita diambil daripada realiti/idea/sains. Lynch menyatakan ceritanya diambil daripada mimpi.. Mimpi yang sebenarnya menyampaikan cerita sebenar Hollywood oleh sebab semua mimpi akan ditemui di filem (kita sebenarnya tidur di dalam pawagam). Cerita Lynch ini sedikit menarik kerana, dalam watak dan ceritanya, ia harus "pernah berlaku" terhadap semua orang kerana semua orang akan "merasa" emosi yang akan disampaikan. Ini didaktik Lynch.
"Pernah berlaku" ini penting untuk ditafsir kerana, jika kita lihat perkembangan "doopleganger" atau transportasi perubahan watak (seorang watak A tiba-tiba jadi watak B, dan seterusnya) dalam filem-filem Lynch (sebenarnya, ada perkembangan lakonan transportasi watak secara eksperimen yang berlaku dalam filem Lynch, sila lihat perubahannya sedari Eraserhead, kemudian Blue Velvet, Wild At Heart, Lost Highway, Twin Peaks dan paling akhir Mulholland Dr), dalam filem ini, ia tampak secara sedar bahawa ide utama Lynch bahawa jika watak seorang wanita yang tersiksa batin boleh terjadi dan di"paksa" lakon oleh A atau B atau C, ia juga boleh "dilakon"kan secara prasedar oleh KITA SENDIRI (caps untuk mewujudkan kaitan dengan INLAND EMPIRE - empayar intradiri. Itu tujuan Lynch dalma hal ini, dan INLAND EMPIRE menyatakannya tanpa malu-malu lagi.
Berjaya atau tidak cerita dan emosi yang ingin Lynch sampaikan itu subjektif. Yang penting, idealismenya disampaikan (ini menyebabkan ada yang mengatakan filem terbarunya buat kali ini sangat pretentious kerana ada peranan memaksa). Dan kalau kita langkau satu lapisan lagi (berkenaan komunikasi pembikin dengan penonton), Lynch ingin menyatakan bahawa ada dua jenis cerita, satu adalah cerita sebagai cerita, ia disajikan hanya sebagai cerita, tak lebih daripada itu. Majoriti pembikinan filem memiliki idealisme ini (rujuk Nuovo Cinema Paradiso). Kemudian, ada sebuah lagi cerita yang "diceritakan" (dalam filem ini ada tiga simbolisme "cerita" sebagai budaya penyampaian manusia: piring hitam, tukang cerita dan filem) untuk mencapai satu "kepuasan spiritual" - memberi karma (point Lynch adalah tuhan) dan penyelesaian terhadap kekasutan (yang boleh jadi dalam realiti) atau kecelaruan, seakan dengan pembikinan INLAND EMPIRE, Lynch memberi "roh" baharu buat "imej yang tersiksa" dalam realiti (kita). Dalam filem ini, cerita berperanan melebihi konteks cerita sebagai cerita tetapi cerita yang melangkau tujuan fizikal kepada metafizikal. Di dalam filem, para hantu yang sesat boleh kembali ke cahaya Tuhan (imej terakhir filem, baik buat Wanita Sesat yang kembali kepada Suami dan Anak Dalam Kandungannya serta buat Nikki/Susan). Sebenarnya bukan idea Lynch ini bukan yang pertama, tetapi sebenarnya pernah digunakan dalam New Nightmare, The Adventure of Baron Manchausen, The Neverending Story dan Cigarette Burns.
Klu untuk ini boleh dikesan daripada penceritaan "sumpahan" dalam filem ini. Kita tahu, Lynch menolak "tahyul" (ya, beliau tidak percaya kepada Tuhan), malah tahyul ialah suatu alat plot (plot device) buat Lynch dalam filem-filemnya (point Lynch bahawa manusia tidak boleh lari daripada mengekspresikan simbol lalu simbol itu "dipercayai" fungsi/ertinya lalu dianuti). Simbol-simbol cult/agama dalam filem Lynch sebenarnya satu penanda psikoanalisis serta surreal tentang dinamisme cetusan perangai kita yang tidak menentu. Iblis dalam filem Lynch melangkau bilazim moral manusia (rujuk Bob-Leland-Laura Palmer dalam Twin Peaks). Lynch tidak mempersalahkan manusia ataupun tuhan dengan kebobrokan yang diadakan oleh manusia kerana manusia memang manusia, ketidaktentuan yang dilakukan menunjukkan mereka manusia, lalu dengan simbol yang dicipta dalam prasedar manusia disampaikan untuk memahami ketidaktentuan ini.
Ketidaktentuan dan alat plot yang digunakan dalam INLAND EMPIRE ialah sumpahan itu. SUMPAHAN itu yang menyebabkan Nikki dipaksa menjadi SUSAN yang sebenarnya adalah WATAK yang dimainkan oleh seorang wanita Polish (filem itu tidak siap kerana tiba-tiba dua pelakon utamanya mati). Sumpahan itu sememangnya dijadikan alasan untuk Nikki memasuki dunia ketidaktentuan (yang digerakkan oleh tanda AXXoNN). Yang memaksa semua ini sudah tentu Lynch, dan kali ini, Lynch ingin menyatakan hal ini hanya boleh "mengubati" roh Wanita Sesat itu dengan melalui (baik untuk Lynch sendiri, para pembikin filem yang diterajui oleh Laura Dern, serta watak Wanita Sesat yang diadakan) pembikinan dan kemudian tontonan filem ini (Nikki akan menonton dirinya).
Kuasa filem ini terletak semahu-mahunya pada Laura Dern yang (dipaksa) melakonkan watak Nikki/Susan/Wanita Sesat serta beberapa watak yang akan kita ketahui bila menonton filem ini. Ya, Laura Dern terpaksa membawa pelbagai watak dalam satu masa! Dan paling susah ialah, dalam satu babak, Laura yang kemungkinan Nikki, kemungkinan Susan, kemungkinan Wanita Sesat, kemungkinan FILEM INI SENDIRI. Tidak pernah aku tonton satu lakonan yang amat susah sebegitu dan Laura Dern berjaya menangkap dan menyampaikan dinamisme pelbagai watak dalam satu babak(!) itu dengan sangat-sangat baik. Sepatutnya, anugerah akademi buat 2008 jatuh ke ribanya.
Susunan runut bunyi dalam filem ini amat hipnotik. Kesemua lagu memberi kuasa gelisah dan seronok yang benar terhadap imej yang dipaparkan. Lagu terakhir Nina Simone menandakan perayaan pada jiwa yang puas dan menikmati hidup (sila lihat siapa di akhir filem, dan ingat Black Lodge Twin Peaks serta Pentas Blues Mulholland Dr: kita fahami ini bukan akhirat tetapi lebih kepada satu imej-suara imbuhan kelegaan dan cetusan kepuasan/keseronokan selepas ribut dalam filem Lynch. Ini aku dapati bila menonton Twin Peaks banyak kali. Black Lodge sebenarnya satu platform buat Lynch menyimpan plot baru atau merehatkan para pelakon/penonton/Lynch - to chill out, to have fun, to ponder) setelah apa yang kita lalui sama-sama dengan Lynch dan Laura Dern.
Penggunaan kamera digital oleh Lynch sangat revolusioner walaupun pernah dibikin oleh orang lain, tetapi suram dan ketidaktentuan di dalam tangan Lynch yang membuatnya menarik, pun begitu aku tetap meminati filem-filem yang menggunakan kamera filem yang betul oleh beliau. Lakonan para pelakon lain juga baik, dan amat seronok melihat Grace Zabirskie sebagai watak Tukang Tilik dalam filem ini, juga kemunculan Laura Harring di akhir cerita. Si Wanita Tanpa Kaki serta Monyet juga mencuitkan hati (menjawab persoalan jika anda mahu jadi detektif cerita, bahawa tempat di akhir cerita itu alam barzakh, tetapi aku tetap tidak menyetujuinya) dan memberi cerita ini satu kesimpulan yang menyeluruh. Dan, oh, hebatnya babak Rabbit itu!
Sememangnya filem ini, jika ditonton dengan enteng, kita akan memburukkan Lynch bahawa beliau kemungkinan main tangkap cerita dan tangkap apa sahaja yang beliau nak, dan ambil para pelacur dan model wanita lalu tangkap lagi suka-suka lalu buat suntingan dan jadilah sebuah filem. Tetapi jika anda "rajin", tanpa perlu jadi detektif cerita, anda akan mengalami sesuatu yang mengasyikkan dan tidak dapat anda lupa selepas menonton filem ini.
INLAND EMPIRE merupakan antara filem terbaik 2008 buat aku.