Showing posts with label Neil Jordan. Show all posts
Showing posts with label Neil Jordan. Show all posts

27 June 2009

2 Filem Bilazim untuk Konsiderasi

Buat masa ini, tidak ada filem yang benar-benar mengujakan (paling terakhir adalah kecantikan Sell Out!), walaupun tahun ini, sekali lagi, berlaku revitalasi filem-filem sai-fai (ada beberapa yang aku terlepas), Angels & Demons sangat menyeronokkan, malah Terminator: Salvation yang dikatakan "bising" oleh sesetengah pihak sebenarnya sebuah filem yang sangat menarik dalam pemahaman "mesin yang mengenal dirinya manusia" seperti kebanyakan filem zaman pascamoden ini yang melangkau keupayaan HAL (paling baik dilakukan dalam siri Battlestar Galatica), malah revitalasi Star Trek di bawah J. Abrahams sekali gus satu penghormatan dan pembukaan yang baik. Transformers? Entah, aku tidak terlalu teruja menontonnya, mungkin sebab dukacita terhadap yang pertama, lagi-lagi watak lewah Shia Le Bouf (tipikal si pemuda Yahudi kelengking yang fikir hebat dan takkan mati walaupun di tengah-tengah gempa bumi kereta dan bangunan ranap) yang mendapat Megan Fox (oleh sebab Bumble Bee? Aku pun tak tahu macam mana nak mula) dan mendapat jawapan rahsia semesta daripada sepasang cermin mata dalam ebay, ditambah dengan kiasan "oh, lihat padang pasir - bukankah aku dah kata Iraq penuh dengan teroris dunia yang mengancam Amerika, dan nama teroris ini ialah Decepticon?!" Gezet kedua pun ada kena mengena dengan padang pasir. Entah, aku rasa tersinggung. Mungkin 2012 lebih menarik walaupun aku tak berpeluang langsung menonton ayam belanda Roland Emmerich tahun lepas.

Ada beberapa DVD yang berjaya aku habiskan yang sedikit sebanyak baik. Battlestar Galatica (BSG) sebuah siri yang melangkau ekspetasi, dan pertama kali dalam seumur hidup aku, aku dapat menonton siri sai-fai yang berjaya mencapat makna "trescendence science" yang pernah dibawa oleh 2001 dan Close Encounters. Oh ya, jangan lupa Bio-Nik di TV3 hari Isnin malam, tulisan Fairul Nizam Ablah, penulis skrip Bola Kampung dan beberapa komik tempatan.

Ada beberapa lagi siri DVD tetapi tidaklah begitu menarik untuk diperkatakan. Aku menemui dua DVD filem bilazim ini yang agak membuka mata kerana tempatnya dalam sejarah filem subgenrenya serta tempatnya dalam sinema. Kadang-kadang, aku nak juga berubah angin.

Breakfast On Pluto(2005)

Sedutan ini untuk Mama Zack yang tergila-gilakan Cillian Murphy. Jika Mama Zack mahu tahu, Cillian juga sudah berlakon sebagai seorang pondan, dan Cillian seorang pondan yang sangat berkesan dalam filem ini, menjadikan lakonannya dalam filem ini sebagai lakonannya yang terbaik dalam kerjaya lakonannya.

Neil Jordan selaku pengarah yang pernah membawa The Crying Game, Company of Wolves dan Mona Lisa, telah membawa sebuah filem separa cerita pari-pari moden yang menangkap retrospektif cambah politik England sewaktu 70-80-an. Patrick/Patricia "Kitten" dalam Cillian Murphy merupakan tenaga "segar" yang kompleks tetapi senang didekati untuk memahami jalan konflik politik dan ketidakwarasan zaman itu, mengikut sensibiliti golongan British yang prokonservatif. Kononnya ini sebuah filem benar. Kitten dari Ireland dibuang oleh ibunya di depan pintu seorang paderi. Bila besar, Kitten mahu mencari ibunya di London, dan Kitten, seorang "tidak bersalah" akan ditelan oleh kerakusan kota London.


Dibuka setaip lembarannya seperti sebuah buku (ada bab yang panjang, ada yang pendek, semuanya disunting dan disusun dengan cukup teratur) yang cantik - kita tidak hanya mengetahui perjalanan seksualiti-transformasi "Kitten", tetapi penerimaan Kitten terhadap hidupnya dan apa yang dia cari sebenarnya dalam hidup. Ya, penemuan "sense of belonging" adalah tema utama filem ini, berkait rapat dengan pergolakan Utara Ireland waktu itu yang dibelenggu teroris IRA dan cengkaman tentera British terhadapnya.

Ini antara filem Neil Jordan yang berjiwa, tanpa banyak memperah sentimentaliti penonton, ditolong kerana Cillian Murphy tidak pernah bertindak keterlaluan (semangat mesranya dalam waktu-waktu gelapanya sangat mendebarkan). Ada beberapa rujukan terhadap Stephen Rea dengan Crying Game, In The Name of the Father, dan Paris Texas. Dalam komedi, dapat ditemui tona-tona sedih yang tidak melodrama. Pilihan lagu sempurna dari awal hingga akhir.

Filem ini jawapan Britain terhadap Milk dan Before Stonewall. Perjuangan hak kesamarataan mereka bergerak senyap (seperti IRA) tetapi penuh kecenderungan untuk didengari dan diperbuat sesuatu, ia secera sendirinya akan matang sendiri dan bergerak kuat. Sensibiliti liberalisme 80-an British betul dalam hal itu.


Hard(1998)

Judul filem ini satu penipuan, seperti lingkaran filem ngeri seram ini. Ya, filem ini melangkau apa yang Crusing pernah lakukan. Aku tidak begitu peduli tentang itu (dari segi kepentingan sejarah) tetapi kepada detik-detik sinematik yang berjaya diimbaukan dalam filem ini. Filem ini berjaya menangkap semangat ngeri dan seram yang dicipta Silence of the Lambs. Lakonannya buruk, tangkapan kameranya amatur tetapi dialognya serangup filem-filem noir zaman 40-an.


Ceritnya dua jalur, seorang polis jabatan kes bunuh dalam dilema seksualiti, seorang psikopath yang membunuh anak-anak muda jalanan. Dua watak ini (walaupun tampak tidak rasional tetapi ia berlaku) bertemu dan berlakulah satu kejar-mengejar, si polis takut dibongkar tentang hidup gelapnya, si psikopath pula sebenarnya mencari sesuatu untuk berkongsi kesunyiannya dan hajatnya. Beberapa persoalan kelakian ditonjolkan (apakah sebenarnya yang mendefinasikan lelaki) serta peranannya (suami - ayah - budak - remaja).

Banyak imej yang dipermainkan di sini. Psikopath memilih sebuah teater usang sebagai tempat dia menjalankan "mastrerpice"nya. Tragedi Yunani disulam konsep teater sebagai ritual agama berlaku. Termasuk "topeng-topeng" yang sangat dikecam oleh psikopath sebagai "hipokrisi" kaumnya. Tetapi hal ini sendiri terlalu kelabu untuk disampaikan. Sememangnya, watak psikopath dalam filem ini benar-benar satu watak yang kontradiksi terhadap tujuan dan falsafahnya. Kadang-kadang kita tidak boleh mempercayai jiwanya. Lecter pun kalah dalam hal ini.

Setiap plot disusun elok, beberapa babak yang santai lawak disulam pembukaan kes. Beberapa babak ngeri seperti mayat mangsa dicampak dari jambatan, babak-babak "neraka" mangsa dalam tangan sang psikopath (babak akhir) mengimbau sisi gelap S & M serta Jeffrey Dahmer (sebuah babak kereta ditahan polis mengimbau episod Dahmer ini). Paling menarik adalah perhubungan kompleks si psikopath dengan seorang suami orang sekali gus anak bawah umurnya. Kita semacam "dipaksa menyaksikan" perhubungan bilazim si psikopath ini untuk mencari motif "kemanusiaan"nya (sama dibikin dalam Henry: Potrait of a Serial Killer).

Sebuah filem yang masih perlu dikaji, kerana persoalannya yang relevan tentang lanskap dan persekitaran yang membentuk bilazim dalam manusia, atau pilihan manusia itu yang menentukannya. Filem ini memperkatakan beberapa.

23 September 2007

The Brave One - A Good One


fadz: I have to say, it's nice to go wathing movies on puasa time coz most Malays are very good Muslims. They dont go to cinemas on Ramadhan time, unlike some people. So the q's are shorter (at least in KLCC). Even the non-Malays felt there's something wrong when the Malays are not around. This is what I heard from a Chinese girl in Kino when Kino is so deserted (read: not lot of Malays): "My god, this is so unhappening..!"



Aku tonton filem ini dengan Kekure. Sedang adik aku menonton Skin Walker. Aku beritahu adik aku filem ni best. Adik aku kata Skin Walker oklah.

Aku seorang pembela wanita. Jadi engkau akan faham kenapa aku suka sangat dengan filem ini. Filem ini 'tampak' tidak masuk akal (bagaimana seorang perempuan sanggup menjadi pemburu malam ala Batman di kota New York?) tetapi ketidak masuk akal ini penting, untuk meromankan realiti masyarakat New York pada waktu itu yang serik dan terik dengan pengganas. Filem ini sebenarnya satu kajian tentang keganasan, dan apa yang akan berlaku jika keganasan itu dibalas dengan keadilan ala Robin Hood.

Setengah dari 'feel' filem ini tampak seperti sebuah Batman wanita. Aku berkata begini kerana aku 'setuju' dengan moral yang dipilih oleh Jodie Foster (mangsa yang jadi pemangsa dalam filem ini), setuju dengan semangat 'death wish' yang dia mahu lunaikan kepada orang-orang jahat di New York. Setengah dari filem ini tampak seperti satu neo-noir yang setaraf Taxi Driver dan French Connection apabila Jodie Foster melalui lorong-lorong gelap Big Apple, dengan matanya dan telinganya terbuka dengan godaan dan kebencian malam. Perasaan 'gelap' dan kelam itu melalui bandar yang paling banyak jenayah itu sangat mengujakan.

Neil Jordan (The Crying Game, Mona Lisa) sudah kembali setelah beberapa filem dalam 90-annya tidak jadi. Filem ini sangat penting kerana Jordan berjaya memaparkan kosmopolitan dan rencam New York yang sebenar (melawan warna-warni penuh glamour dan romantik Sex and the City) dengan pelbagai kaum dan bangsa datang ke metropolitan New York. Kita bukan lagi mahu mengenali sejarah New York di setiap lorong dan sudutnya, tetapi hati gelap New York yang penuh dengan penjenayah di setiap lorong dan sudutnya. Walaupun babak penemuan Jodie dengan beberapa penjenayah tampak sangat 'circumstantial' dan tidak logik, ia memenuhi idea bahawa perjalanan yang perlu Jodie lalui ini untuk memahami hati gelap bandarnya dan mengapa ia mengambil orang yang dia paling sayangi.

Ada beberapa tangkapan yang berjaya dibuat Neil Jordan. Pada beberapa babak awal, kita dapat lihat Jodie Foster di luar pintu dari dalam apartment. Kita tahu bahawa Jodie 'selamat' dengan persekitarannya. Kemudian itu, yang tidak sepatutnya berlaku, maka kita dapat lihat, kemudiannya bagaimana Jodie agak susah mahu keluar, melalui pintu itu yang pertama-tama kali kita menontonnya. Kemudian kita dipaparkan dengan Jodie mula MENDAPAT perspektif baharu tentang malam dan kota New York. Kita dapat rasa keinginan Jodie mencari. Malah kita turut hiba dan bersedih bahawa Jodie merasakan tempat paling selamat baginya (selain biliknya) ialah di tepi kubur mendiang bakal suaminya, di bawah langit New York yang biru kelam dan tren yang laju. Puitis. Filem ini memaparkan apa yang Crash tidak paparkan, keinginan manusia yang sudah mengalami keganasan untuk kembali kepada 'state' yang mereka kenali itu dan mereka tahu mereka tidak dapat. The Brave One adalah jawapan New York kepada Crash Los Angeles.

Kekuatan filem ini terletak pada Jodie Foster. Setiap gerak-gerinya, emosinya, ekspresinya adalah cukup untuk kita menonton filem ini. Filem ini sememangnya sebuah 'character driven film' yang disanggul dengan genre thriller dan penyiasatan. Tanpa Jodie, filem ini ranap, kerana dia membuatkan filem ini sedap ditontoni. Malah, ada beberapa babak yang kita faham dan tahu ianya 'homage' terhadap The Accused (babak menyelamatkan pelacur), Silence of the Lambs (babak Jodie mencari pembunuh mendiangnya. Perhati dia memegang pistol, kita akan teringat akan Clarice Starling) dan Taxi Driver (kali ini, Jodie bukan mangsa tetapi mangsa yang berubah menjadi pemangsa - filem yang juga memaparkan jenayah diselesaikan oleh orang biasa). Terence Howard juga bagus, dengan sentimentaliti dan simpanan kesedihannya. Kita akan terkejut dengan permintaan kahirnya pada akhir filem yang memang aku mahu-mahu sangat ia berlaku.

AKhir sekali kita selesai melihat New York, baik di sisi cahaya dan kelamnya (dalam dan luar), maka baharu kita, dengan anjing kita boleh berjalan pada waktu malam dan tahu akan apa sebenarnya New York kepada kita. Sebuah kesedihan yang tidak mahu pergi tetapi perlu diteruskan.

Lagu "The Answer" Sarah Maclachlan, tulang belakang filem ini akan menjadi cult pada suatu hari nanti.