Nota Fadz: Nampaknya, Malaysia tahun ini, selepas Festival Filem Malaysia, selepas Polis Evo, terdapat deretan filem yang menarik dan dibuat sekurang-kurangnya dengan semangat dan berisi.
Rembat (2015)
Sharryl Othman, pengarah muda berpotensi dalam jejak komedi (tahun lepas menghasilkan Kami Histeria), sudah tentu akan dibandingkan karyanya dengan ayahnya, Hafsham yang amat dikenali sebagai pengarah yang telah menghasilkan sebuah filem era 1980-an yang diangkat-angkat oleh pengkritik zaman itu sebagai filem komedi terbaik yang berjaya membikin sebuah filem "Malaysia", khususnya dalam sikap muhibah, Mekanik.
Aku sendiri, tidak dapat menahan membandingkan Rembat dengan Mekanik. Filem yang ditulis oleh Amir Rohayat dan Rafidah Abdullah ini, bagi aku, lebih superior dalam banyak segi daripada outdated tetapi nostalgik Mekanik. Filem komedi, untuk tahun ini, yang sesuai dalam masyarakat "muhibah" yang tidak menipu, duduk letak menarik, dan sempat menyuntik, malah menumbuk kritikan sosial yang amat-amat perlu akan keadaan masyarakat kita yang penuh dengan kelemahan, kegilaan, dan eksentriknya.
Jika dilihat pun, terdapat gerakan semacam tidak linear dalam Mekanik, yang dihentak-hentak dalam jalan ceritanya. Hal ini kebiasaan, khususnya dalam menampilkan bahawa komedi bergerak dalam sketsa, maka terasa bersegmen-segmen (dan ada yang menjadi klasik, restoran-warung, menari waktu hujan, dan dialog orang biru Susan Lakanster umpamanya). Rembat juga, mengambil gerakan yang sama (bentuk sama pernah diguna pakai oleh Aziz dalam francais Senario dan Zami untuk Dunia Baru), sketsa berlaku dalam segmen, tetapi kali ini, garisan linearnya terasa, terdapat struktur, tidak terasa raw, seperti Mekanik. Biasalah, bandingkan filem komedi Mel Brooks, Carry On, atau Monty Phyton, dalam sketsa-sketsa itu, akan ada yang menjadi, ada yang tidak, begitu juga dengan Rembat (untuk era sekarang, kita tidak terasa kelakar, malah bosan pada segmen babak hantu Jepun), yang melonggarkan struktur ceritanya, termasuk beberapa babak penyelesaian. Namun, yang lebih penting buat filem komedi ialah unsurnya untuk membuat kita ketawa, dan betapalah aku dapat ketawa dalam beberapa babak yang segar, dan lawaknya itu bermaksud, dan ini yang terdampar ada, dan menjadi perhatian.
Gerak cerita filem bergerak seperti sebuah filem jalanan, dua manusia Malaysia berbeza etnik ditemukan dalam Aniu dan Shaheizy Sam (kedua-duanya memberikan lakonan yang amat menggalakkan, malah menenggelamkan watak-watak sampingan lain). Aku berasa, perhubungan mereka dan gerak suka-benci antara mereka berdua menjadi, malah terdapat sentuhan manusiawi dalam menyelesaikan misi mereka yang tidak sudah-sudah diberikan halangan. Terdapat halangan yang baik dan terdapat halangan yang tidak munasabah. Filem ini turut, pada era ini, relevan dalam mentafsirkan maksud politik kotor dan mainan rasuah (bukan sahaja FIFA) masyarakatnya, suatu lemparan yang agak berani terhadap keadaan politik dan gerak masyarakat sekarang. Tetapi, terutamanya, filem ini sebenarnya sebuah filem yang suam-suam menyelitkan suara patriotik dengan sinis, mengejek-ejek masyarakatnya yang hilang identiti, dengan baik sekali, memaparkan kita lebih Barat daripada Barat, lebih Timur daripada Timur (kerana sikap tidak mempercayai kekuatan dan keunikan jati diri dan diri sendiri - jelas sangat dengan PAGE yang bergedik nak kembalikan PPSMI, sebagai contoh), melebih-lebih, dan banyak sekali bersikap tidak apa. Namun, dalam kekurangan kita, setelah diejek oleh Sharryl, Amir dan Rafidah, kita, seperti khalayak penonton filem ini, bersama-sama menyokong, memberikan galakan dan semangat terhadap nilai yang kita lihat sebagai baik dan kita mahu dikekalkan; mempercayai diri sendiri (dan jati diri), cinta dan perpaduan, kerana kita, mahu tidak mahu ialah masyarakat Malaysia. Begitulah optimis dan seimbangnya filem ini, cuba bercakap dan berhubung dengan masyarakatnya sekarang.
Love, Supermoon (2015)
Mungkin babak penyelesaian dan pengakhiran filem chic flick ini buat aku dan isteri aku (tapi taste isteri aku ialah Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu, jadi ...) terlalu tergesa-gesa, tetapi secara keseluruhan, filem ini, mempunyai tahapnya yang tersendiri dalam filem komedi romantik tahun ini.
Filem ini sangat tempatan, mengambil sikap abang angkat dan adik angkat (kredit awal filem sedikit longgar, tidak ada simbolisme kuat yang memberikan petanda filem ini tentang apa) yang kemudiannya menjadi battle of the sexes antara dua pelakon hebat, Farid Kamil dan Nadiya Nisaa', dari sekolah menengah, sehingga bekerja dan kahwin, dari 90-an hingga awal abad ke-21. Pergerakan kisah mereka berdua, dan sang lelaki dengan cakapnya, dan sang wanita dengan cakapnya, mereka berdua pun bukannya "seia" dan "sekata", tetapi, seperti munculnya bulan (ah, sudah lama tidak menonton Moonstruck!), kita tahu, mereka akan menyatu (walaupun mungkin sekejap?). Ya, inilah When Harry Met Sally kita yang menarik.
Perkara yang aku suka tentang filem ini ialah kejujurannya membina ruang lelaki dengan percakapan dan kefahaman dan cuba memahami (atau mengejek) kaum hawa, dan sebelah wanita pula, dengan Nadiya-Rita-Anne yang, apabila bertemu tidak habis-habis mengumpat(!) tentang setiap orang yang bagi mereka tidak kena (dan sudah tentu, yang jelas tidak kena di sini ialah watak Farid). Gerakan era demi era ini menarik (selain amat-amat menekuni perbezaan dan perubahan latar dan budaya popnya), seakan-akan menyatakan, dalam sikap yang positif, bahawa manusia, Farid dan Nadiya, akan berubah mengikut masa, jika diberikan peluang. Peredaran dari satu zaman ke zaman ini juga perlu, dalam memberikan "perjalanan kematangan" kepada watak-wataknya, khususnya Farid dan Nadiya dalam menguatkan lagi logik penyatuan mereka. Aku mempercayai dan merasai gelisah dan cabaran Nadiya, dan perasaan intim yang disimpannya. Aku kurang mempercayai Farid, walaupun pengarahnya berusaha memberikan beberapa cue bahawa Farid "mengingati" Nadiya. Namun yang penting, seperti bulan (simbolisme ini penting, mengambil kefahaman "datang bulan" para wanita), dalam peredaran zaman, manusia sebenarnya dinamis dalam membentuk dan membangunkan diri mereka, dan sikap inilah yang diambil oleh filem ini.
Kesemua para pelakonnya baik. Pujian sebenar haruslah diberikan kepada Wan Hasliza sebagai penulis dan pengarah kerana berjaya memberikan suatu karya komedi romantik yang matang. Mungkin runut bunyinya belum mencapai kesempurnaan, tetapi dalam banyak perkara, filem ini tidak perlu terlalu bersungguh-sungguh dalam bentuk dan teknik, kerana watak, gerak cerita dan percakapan dialog dalam filem ini yang menjadi bintangnya. Wan Hasliza bukan di tempat Rafidah Abdullah (Rafidah lebih mendekati Amy Heckerling dan John Hughes) tetapi berada di tempat seperti Nora Ephron dan Amy Schumer, dan kemungkinan dalam liga Woody Allen dan Robert Altman jika kita dapat melihat perkembangan filem-filem seterusnya. Bagi pencipta francais baik, Dunia Baru, dan siri komedi terbaik peribadi aku, Keluarga Iskandar, dan pengarah Penunggu Istana, filem ini merupakan suatu milestone buat pengarah-penulisnya.
Juvana 2: Terperangkap dalam Kebebasan (2015)
Faisal Ishak, dengan bantuan penulisan Alfie Palermo, nampaknya meneruskan francais televisyen ke filem berjaya, Juvana, dengan beberapa watak dan penyimpangan baharu yang menarik, gelap dan mengancam dalam sekuel kali ini. Sekuel ini amat gelap, dan mungkin sedikit mencurigakan bagi beberapa penonton kerana sikap Faisal dan Alfie yang mengambil jalan "tergantung" untuk menyelesaikan filem ini dalam suatu trilogi. Namun perkembangan yang dibuat, meneruskan kisah Daim, Botak, Ayam, (kali ini Apek belum keluar daripada juvana), Kicap, dan kawan-kawannya, membuatkan filem ini mempunyai potensi sebagai antara francais terbaik yang pernah dihasilkan oleh pembikin Malaysia.
Dalam sekuel ini sahaja, kita seakan-akan diberikan suatu semangat The Wrath of Khan (setelah sedikit kecewa dengan filem awalnya) akan perjalanan dan pengalaman Daim, Botak dan Ayam di luar ruang penjara juvenil. Daim sudah bergerak menjadi manusia biasa, dengan menekuni sarjana mudanya dalam undang-undang bersama-sama dengan aweknya. Ayam pula diberi amanah menjaga adik-adik Apek (mereka tidak ada ibu bapa). Botak mempunyai cerita yang paling menarik (dan Johan As'ari merupakan bintang utama dalam filem ini, lakonannya, sangat fenomena), kembali ke rumah ayahnya yang kini menagih dadah dan berhutang along, yang semuanya menjerat kembali anak-anak penuh harapan ini pada kegelapan dunia samseng dan dosa mahal.
Dalam gerak ini, Faisal dan Alfie memberi pula suatu kejutan apabila bekas pengetua sekolah budak jahat itu, Tuan Raja, yang dimainkan dengan berkesan sekali oleh Hasnul Rahmat kini datang menyusun jejaknya. Rancangan dan gerak lakunya, dengan tasbih di tangan, duduk bersila di atas sejadah, memberikan suatu imejan dan gerak laku yang amat fenomenal dan menakutkan. Raja, sememangnya suatu bayangan iblis yang amat berjaya diungapkan oleh teks dan wayang, yang turut membayangkan bentuk wajah ahli politik yang menggunakan ilmu dan kefahaman agama untuk menyesatkan manusia.
Segalanya baik kali ini, lakonan, gerak dramatik, sinematografi, runut bunyi, malah aksi, dipadu dengan dialog-dialog yang mengancam dan suatu hari nanti akan menjadi legenda tersendiri. Kini, anak-anak ini bukan lagi bermain dalam benang rites of passage, tetapi jerat dan seram dunia yang tidak adil untuk mereka, karma jahat terhadap kebaikan yang mereka cari dan temui sewaktu di dalam sekolah itu (atas sebab itu, babak dan latar sekolah itu sekarang sudah menjadi tempat liburan menjadi lapisan yang penting di sini, bukan sahaja menegakkan agakan bahawa tempat seram/hitam itu sudah dipasifikan). Filem ini seperti suatu lorong yang kelam dna menakutkan, di bawah tanah Vienna dalam filem The Third Man. Kita ialah Harry Lime yang berlari mencari jalan keluar yang semuanya sudah diperangkap oleh samseng dan takdir jahat.
Untuk apa manusia berdendam? Untuk apa manusia mengguna manusia lain? Kenapa manusia terperangkap dalam rumah sesat dosa dan hitam? Watak bekas juvenil ini terpaksa mendepani persoalan dewasa ini sekali lagi dengan keadaan yang amat merumitkan, dan mungkin akan menjerat mereka selama-lamanya dalam takdir yang mereka tidak mahukan. Dan, memang, setakat ini, kemanusiaan dan kematangan mereka masih waras dan bertahan (malah, dipaparkan, dapat memaafkan), tetapi semua ini, nampaknya akan selesai terjawab dengan bahagian ketiga yang seterusnya. Suatu filem aksi, jenayah, dan gelap yang menarik pada tahun ini untuk diikuti.
No comments:
Post a Comment