10 October 2014

Menyindir Diri Sendiri dengan Filem

Ulasan ini agak menyimpang.

Aku mahu mengulas (atau dengan bahasa elitisnya, mengkritik) tetapi aku juga dengan sedar keadaan dewasa ini apabila menonton dua filem terkini (Amir & Loqman Pergi ke Laut, Dollah Superstar), serta sebuah filem 1990-an (Wanita Bertudung Hitam) di Astro Citra baru-baru ini, ketiga-tiganya membicarakan tentang penyindiran diri (self mockery), di sini, penyindiran sang pengarah/pengkarya tentang dunia pembikinan (filem) yang digulatinya.

Memang, tema ini bukan baharu, malah P. Ramlee melakukannya terlebih dahulu dengan Seniman Bujang Lapok (1961) yang kemungkinan tema pertama yang menyucuk panas terhadap industri perfileman Studio Ampas. Seorang kawan aku, Daniyal Kadir sendiri mendapati beberapa persoalan permintaan dan mogok kesatuan sekerja dengan majikan disampaikan dengan sinikal tetapi prasedar sekali dalam suatu babak cetusan dialog sang beca bersama-sama tiga bujang lapuk. Tapi yang lebih jelas, contohnya, dua bahagian, yakni bagaimana sang produser memilih para pelakon tanpa usul periksa latar belakang (persoalan penerbit yang tidak nampak aspirasi para seniman, atau penerbit tidak sekufu dengan pengarah dan orang seni sudah bermula awal lagi!) atau adegan S. Kadarisman ditumbuk oleh Sudin. Dalam babak ini, memang, terdapat dua lapisan makna, satu, berkenaan penghayatan lakonan yang sungguh kuat sehingga Sudin dan Satar mengingat latar filem itu sebagai realiti sebenar, tetapi yang lebih menyindir ialah sahutan Sudin, "Kenapa fasal tak nak buat belacan nak memancung-mancung?", mencebik terhadap isu kecil dan remeh, diangkat sebagai konflik dalam sesebuah layar dan plot filem, yang mungkin berlaku dalam beberapa filem Melayu yang khususnya bergenre purbawara (period drama dalam dunia Barat), menyindir juga, kemungkinan, tanggapan pengarang asal dahulu kala yang mengangkat hal remeh dalam pembikinan plot (sang ibu merajuk kerana anaknya makan telur tembakulnya, contohnya).



Memang, terdapat beberapa filem yang kemudiannya mengambil skop ini, dengan cara prasedar (si watak tiba-tiba ingin jadi artis, atau pelakon, atau bergulat dalam dunia perfileman), dan kita dapat lihat hal ini dalam beberapa filem Badul, juga beberapa filem 1980-an (Mekanik, contoh yang paling banyak diutarakan era itu). 

Bagi aku, memang, jika hendak mengutarakan nostalgia, citra, dan falsafah, serta kritikan yang jelas terhadap industri filem ini, tiada lagi filem Malaysia yang dapat menyangkal kedudukan Layar Lara (1998). Dan, mereka yang pernah menonton Johnny Bikin Filem, sudah tentu akan mengangkat filem itu sebagai "pencerita paling jujur" tentang masa lampau, kini, dan masa hadapan "Sinema Melayu".

Maka mungkin, Wanita Bertudung Hitam, yang aku tonton baru-baru ini, perlu diletakkan pada tempatnya sebagai suatu lagi filem yang menyindir para pembikinnya. Jelas, memang, filem itu menyindir kuat fenomena sang artis baru naik, lakonan Ramona Rahman, sebagai Maya/Munah(?), tetapi filem ini secara keseluruhan sebenarnya mencemik industri perfileman itu sendiri.

Filem ini pernah dikritik teruk oleh A. Wahab Hamzah, antara sebab kenapa aku tidak mempedulikan filem ini apabila ditayangkan di televisyen waktu raya atau membeli videonya era itu. Secara lahiriah, memang, aku sedikit setuju dengan Wahab apabila menontonnya. Jelas, pemilihan Ramona sebagai anak dara dari kampung yang diberi kekayaan materi dunia melalui industri hiburan kelihatan kekok kerana Ramona, dengan jelas budak kota dengan wajah kacukan. Inilah antara miscast terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah filem kita.

Filem ini juga seakan-akan duduk dalam keadaan yang merimaskan, sebuah plot dan gerakan cerita yang biasa dan cuba membawa kembali plot melodrama-didaktik biasa era 1970-an dengan latar mengeliling, suatu plot si wanita bertudung hitam yang misterius seakan-akan kita terperangkap dalam sebuah filem penuh seni, (dan peliknya, terasa mungkin untuk era itu, sebuah filem Iran) yang di tengah-tengahnya terdapat kisah si Munah kampung yang menjadi Maya kota. Secara struktur, ini menarik, tetapi jika tidak disusun baik dan seakan-akan pinggan pecah.

Walaupun begitu, terdapat kekuatan bahasa filem yang jelas dan sedar dalam kuasa Mahadi. Lihat saja satu babak sewaktu si Ramona dihimpit oleh (kononnya) dua watak patriaki yang menjadi kutub pengaruhnya, yakni watak Mahmud June si agamawan (dan menolak seni, terlalu bersyariat, dan meletakkan doktrin Islam menolak seni seperti muzik, di sini, gesekan biola) dengan ayah Ramona, sang seniman Zami Ismail (atau si pemain biola terhebat di kampung). Cara Mahadi menjaga mis-en-scenenya sungguh mengagumkan, dan dalam babak ini sahaja, mewajarkan mengapa Ramona, yang kelihatannya dididik untuk menyukai muzik/seni dan diikat dengan dogma agama, kelihatan tertindih oleh dua kutub besar itu tadi, yang mewajarkan pula sisi psikologi Ramona yang meluahkan seninya dengan salah (dan sesat) pada dunia kota, dan kemudian, dengan teliti dan indah tetapi berselindung di rumah pak ciknya, Mahmud June.

Persoalan seni dan agama seakan-akan merupakan tema wacana filem ini, yang dihambat dengan dialog sastera 1980-an berkenaan polemik seni lwn. agama (adakah ini juga reaksi Mahadi terhadai polemik sastera Islam masa itu?) yang membosankan. Dalam kebosanan dan kejanggalan ini, timbul babak-babak yang indah, seperti si Jalil Hamid yang cacat, pencinta Ramona, juga kekasihnya, anak murid ayahnya, yang akhirnya punah dengan impiannya untuk mendapatkan Ramona kembali, telah menggesel biolanya, lantas berlaku sisipan imej imbas balik dengan setiap gesekan, membawa makna mendalam suara batin Jalil yang hancur tetapi juga tenang dalam memahami: dalam seni, seseorang itu perlu sengsara untuk memperjuangkannya.

Tanda besar "seni" ini, yang jelas, adalah tujuan sebenar Mahadi membikin filem ini, menjadi pertentangan hebat terhadap Ramona yang merupakan "anak seni" (lihat: anak wayang) yang apabila dipilih untuk menjadi bintang oleh sang produser (dan menjadi wanita simpanan sang produser! Dan itulah realiti sebenarnya bukan?) telah hilang pedoman dan jejak, dengan menyindir sekali, kedua-dua susuk besar tadi yang mengajarnya estetika seni dan kekuatan agama, diperleceh bak lumpur di tepi jalan. 

Kemudian, Mahadi memperkenalkan Imuda sebagai sang pengarah yang sedang cuba mengarah filem yang mana Ramona dibawa masuk pada masa-masa akhir (kerana pelakon sebenar tidak disiplin dan tidak datang ke set). Adakah Imuda itu Mahadi, atau Imuda sebagai perwakilan wajah kesemua pengarah era 1980-an? Di sinilah Mahadi menyindir. Imuda diperwatakkan seorang "sang seni" yang sejati, dengan falsafah dan kemahuan untuk mencipta seni yang tinggi (seperti yang ditimbulkan oleh personafikasi kuat Zami Ismail dan Jalil Hamid). Berkali-kali Imuda memarahi dan menghentak Ramona kerana Ramona lebih kepada "bintang majalah" daripada "bintang filem" (istilah zaman tu!), lalu kita meneliti dan mengikut kisah penggambaran Imuda yang mengangkat Ramona. Lantas, kita menyedari (dan hal ini amat berlainan dengan babak tegang, serius, dan dramatik tentang hak tanah dalam Layar Lara) plot cerita, dialog dan skrip yang Imuda bawakan merupakan sebuah melodrama murahan (yang secara ironinya diulang juga sebagai struktur besar filem ini) dengan lontaran dialog entah apa-apa! Adakah Mahadi benar-benar menyindir kawanan dan abang-abang era 1980-an yang menghancur dan merosotkan kandungan filem era itu? Sindiran inilah yang menarik dilihat, walaupun cara yang digunakan kelihatan outdated dan janggal. 



Lalu, kini, kita mendapat Amir & Loqman Pergi ke Laut dan Dollah Superstar. Membaca judulnya saja kita menyedari filem ini menyindir (ada yang kata satira). Kedua-dua filem ini pula bukan sahaja menyindir "kepondanan" filem gangster (uhuk uhuk) yang mengamuk di pawagam kita awal abad ke-21 ini, tetapi merupakan rujukan kepada filem pertama yang sebenarnya memulakan persoalan ini, Johnny Bikin Filem (walaupun orang akan kata, filem gangster yang lebih awal, walaupun subplot, ialah Mekanik dan Bintang Malam).

Kita perlu tahu sejarah mengapa arwah Anuar Nor Arai membikin Johnny Bikin Filem. Judulnya sendiri, juga ironi sekali gus menyindir, Johnny, di sini ialah samseng era Singapura, era Studio Ampas, Ya, si samseng ingin membikin filem. Terdapat dua makna di sini, pertama, Anuar seakan-akan mengatakan, filem Melayu waktu itu (1980-an dan 1990-an) terlalu celaka, sampai kita perlu mengambil seekor penyangak unutk menterbalikkan sudut pandangnya yang rosak. Kedua, filem-filem kita memang dibikin oleh penyangak dan samseng, merosakkan filem bila perlu. Dan akhirnya, Anuar, secara sengaja juga, seakan-akan membuka suatu arus baharu (new wave), bahawa dialah samseng itu, bad boy itu yang akan mengubah bagaimana kita membikin, menonton dan membicarakan filem Melayu.

Namun hal itu tidak berlaku (kerana filem ini tidak pernah ditayangkan) dan yang berlaku hanyalah Remp-It, Budak Kelantan, dan kemudiannya dengan sambutan hangat, KL Gangster

Dengan ini sahaja, kita sudah faham dengan niat Mamat yang sebenar dan juga Kabir (atau di sini, penulis skripnya, Alfie Palermo). Lihat sekali lagi judulnya. Amir dan Loqman sememangnya samseng paling celaka, kerana mereka bodoh-bodoh alang (dengan menyindir, kitalah, para penonton FELEM MELAYU adalah kalangan bodoh-bodoh alang, dan hal ini diulangi oleh Mamat sedari Man Laksa lagi). Babak kredit awal, mereka meneliti laut. Ah, suatu goncangan di sini, kerana judulnya menunjukkan mereka sepatutnya "ke laut" tetapi babak awal mereka sudah ke laut (dan ini menolak pandangan filem ini mengambil suara yang sama dengan Harold & Kumar Go to White Castle) Lalu, jika kita "bijak sedikit" dan bukan bodoh-bodoh alang seperti Amir dan Loqman, kita akan menyedari bahawa "pergi ke laut" mengambil laras bidalan orang Melayu yang bermaksud, "tidak ke mana-mana" atau "tersasar". Filem ini, sebenarnya, merupakan suatu pentas besar Mamat tentang 1) semua filem bergenre samseng di Malaysia tersasar entah ke mana, dan 2) filem industri tempatan sudah tiada arah.

Lantas dengan jelas Mamat, seperti yang beliau lakukan dalam Hantu Kak Limah, melakukannya di sini, yakni spoof, dan para pengarah genre ini sepatutnya terasa dan marah. Malah, dengan sedar juga Mamat menyatakan dengan jelas, inilah watak "realiti" sebenar samseng di Malaysia, empat antaranya yang terjelas: si wanita tauke hotel dan kopitiam yang juga ibu ayam, si lelaki macho tauke kelam malam yang sebenarnya romantis, si lelaki ganas yang main pondan, dan si tauke yang menjaga rumah mayat. Semua ini lebih pelik, menarik, dan boleh dikatakan, menenggelamkan warna plastik yang telah dicat oleh pengarah genre ini sebelumnya. Malah, terdapat personafikasi yang kuat, seperti watak Sofii Jikan, gangster yang kalkulatif, ganas, menakutkan, tetapi hanyut dengan cinta seorang wanita (ini mengingatkan aku kepada watak Orson Welles dalam Touch of Evil) dan romantis terhadap seni.



Lalu, Amir dan Loqman di tengah-tengah mereka, yang secara mencuitkan (secara slapstik dan cetusan komedi situasi), menghancurkan dunia mereka, bersama-sama dengan sekumpulan pembunuh upahan yang "sudah bertaubat". Adakah Mamat hendak menyatakan, kita, Amir dan Loqman, atas kebodoh alang-alang kita, akan menghancurkan wayang kita sendiri? Jadi apakah gunanya impian? Seperti impian Amir dan Loqman, adakah, secara sinikal, akan tercapai, hanya selepas kita mati (lantas sinema yang sebenar pun bermula dan menyampaikan impian yang kita mahu selama ini?)

Runut bunyi filem ini terbaik, malah menenggelamkan kekuatan cerita dan perwatakan filem. Kerana terdapat sedikit kegusaran, yang mungkin juga memecahbelahkan sokongan peminatnya terhadap filemnya. Hal ini berkenaan detik komedi, bodoh-bodoh alang watak utama, dan humor longkang yang dibawa ala adik-beradik Farelli. Kawan aku yang menonton filem ini sangat marah dengan watak bodoh lurus bendul Amir/Loqman untuk menimbulkan ketawa. Baginya, terdapat lawak yang begitu rasis, bigot, dan tiada sensitiviti yang murni. Hal ini boleh diperdebatkan pada mereka yang senang dengan toilet humor dan sejauh mana kita boleh pergi atau lakukan dengan cara apa. Namun, aku lebih tersinggung dengan sikap yang tampak, sedikit angkuh dari sisi Mamat untuk menyatakan dengan mengajar, "Kalau nak buat filem gangster, begini!" terhadap kawan dan saudara pembikinnya. Dengan sedar Mamat melakukannya, dan aku rasakan, mungkin belum lagi masanya untuk kita sindir begitu rupa, dan dengan cara yang begitu (menggunakan lawak longkang), walaupun akan dihujah sebagai jawapan "inilah yang penonton mahukan". Terdapat lompong dan persoalan yang sengaja Mamat biarkan kosong, dan ini juga akan menjurangkan lagi pengikut setianya.

Oleh itu, mungkin sindiran Kabir-Alfie dalam Dollah Superstar, kelihatan lebih jujur dan menyeronokkan, menembak sepenuh-penuhnya tentang ketidakhirauan penggunaan genre, serta caca merba kandungan dalam filem kita sekarang.

Aku tidak pula menyatakan filem ini sempurna. 15 minit awal, filem ini sangat menghiburkan, dan cucukan sinsinya mengena, tetapi Alfie-Kabir agak lemah dalam pengolahan plot tengahnya, terdapat beberapa hal yang disoal, kesinambungan babak yang kurang dinamik, babak Umi Aida yang mengganggu di tengah-tengah, dan campuran komedi yang kadangkala dibuat-buat. Mungkin juga, aku tidak suka dengan cara Fizz menjalankan kerjanya jika dibandingkan dengan Awie yang memahami bentuk apa komedi ini dituliskan (dan aku agak terkejut dengan lakonan baik yang dibawa oleh Neeloofa dan Sharnaaz Ahmad), dan mungkin aku tidak suka cara pengimbangan caca merba yang dibawa oleh filem ini kerana filem ini memerlukan caca merba dengan koordinasi yang terjaga, dengan mis-en-scene yang betul (seperti yang dilakukan oleh Mamat dan Mahadi). Namun, aku tercuit, jika Mamat ingin sangat mengajar, Alife dan Kabir mempersendakan diri mereka sendiri(!) dalam filem ini, maksudnya, jika mereka ingin menyindir orang lain, mereka menyindir diri mereka dahulu! 

Dan betapa, mereka menyindir, pelbagai hal, pelbagai rencam dan kerenah dunia industri yang bermuka-muka, penuh ilusi, dan main-main. Dengan menariknya, Dollah (Awie) yang juga mempersenda betapa bodoh dan silapnya para pembikin melukiskan tentang kalangan gangster yang sebenar (sekali lagi, personafikasi yang sebenar pada realiti), telah memasuki alam itu, yang jelas, seperti Ramona, mempunyai ilmu yang kosong tentang lakonan dan pembikinan. Tetapi di sinilah kejutan yang mencuitkan, Dollah sendiri yang mengarah filem itu apabila si pengarah (Aziz M. Osman) hilang! Lantas hal ini mengembalikan persona Johnny Bikin Filem yang dibuat oleh Anur Nor Arai. 

Aku ketawa sepanjang 15 minit awal filem ini, juga beberapa babak tengah dan akhir, tetapi aku sedikit lesu untuk menyatakan filem ini bagus. Ya, menarik tetapi bukan hebat. Mungkin juga, kerana aku sudah menonton filem yang juga membuat lawak tentang industri filem juga genre kritikannya dengan penceritaan yang lebih berkesan, dengan watak dan perwatakan yang lebih "bijak" dan seronok ditonton: Jigarthanda.  

No comments: