08 August 2012

Bukan Komersialisme Semata-mata

Tika ini, aku menyelami beberapa penulisan dan temuramah terhadap beberapa orang kuat filem tempatan berkenaan "apa yang mahu, tidak mahu diberi" dalam filem. Pertamanya, Datin Paduka Suhaimi Baba berkenaan kegelisahan dan kepolitikan filem patriotiknya, Tanda Putera. Keduanya, temuramah (atau lebih kepada ahli panel forum) Prof. Hatta Azad Khan berkenaan "kini, filem bodoh (Malaysia), lagi bodoh, lagi bagus."


Kedua-dua pembikin berikut menyatakan berkenaan "komersialisme", di mana, mahu tidak mahu, unsur komersialisme harus dan mesti dimasukkan dalam sesebuah filem agar boleh "berada di pasaran". Contohnya, dalam 1957: Hati Malaya Suhaimi, dinyatakan kemasukan babak Rusdi Ramli-Maya Karin sebagai pasangan romantis/bercinta dalam filem itu merupakan unsur komersialismenya yang sengaja disaluti dalam gulungan kisah besar perjuangan kemerdekaan. Berikut juga dengan Wayang Hatta terhadap Zul Huzaimy-Mas Muharni yang dikira, kerana usia "keremajaan" ala novel KOMSAS dan percintaan mereka, dapat menjadi resepi penyatuan penonton "biasa" tempatan ke pawagam. Dan hal ini ditambah, dengan perbandingan filem Sarjan Hassan P. Ramlee-Lamberto Avellana-Ralph Modder (khusus yang dinyatakan dalam rencana Utusan Malaysia tersebut.

Hal sebeginilah yang menyatakan agenda tersasar para pembikin kita memahami "konteks komersial", khusus seperti mengaitkan filem seperti romantis-aksi-perang Sarjan Hassan (yang memang komersial dalam beberapa segi). Apakah definisi komersial, utamanya? Komersial, jika dipandang secara rewang, menandakan "boleh bawa untung" dan "senang untuk semua orang". Dua hal inilah yang menjadi titik utama komersialisme, mengikut persekitaran budaya dan permintaan sesebuah sosiobudaya. Kalau dipecahkan lagi, mengikut konteks filem Sarjan Hassan, komersial di sini bermaksud daripada pendedahan bintang (pelakon), tema (pertama kali filem P. Ramlee berkenaan aksi perang) dan (mungkin) runut bunyi (lagu popular?) ataupun faktor lain (filem itu ditayangkan sempena mendekati Hari Kemerdekaan Malaya).

Kenapa aku tidak masukkan "cerita" (dengan perpecahan genrenya?), kerana hal itu, sedia ada merupakan tunjang utama, tulang belakang mana-mana filem sepatutnya, baik "kononnya" berbentuk komersial atau tidak. Bandingkanlah keseimbangan plot-subplot, sebab-akibat dan pemenuhan watak Sarjan Hassan terhadap Wayang dan 1957: Hati Malaya, kita akan sedari bahawa filem P. Ramlee itu cukup ketat penjagaan keseimbangan-kesempurnaan lingkaran cerita dan mula-tengah-akhir satu-satu watak:

P. Ramlee (protagonis utama): mula miskin, anak yatim piatu (unsur melodrama) > saat berkeluarga dengan kawan baik ayah berserta anak (Jins Shamsuddin) yang menunjukkan tidak suka (melodrama, konflik) > kisah percintaan (Saadiah) bermula kecil atas kawan-kawan yang dicemburui Jins Shamsudin (melodrama, romantik, konflik) > Jins Shamsudin memaparkan bermula masuk askar (babak keretapi, lihat ada babak campuran watak Saadiah sebagai tambahan mengecamuk psikologi P. Ramlee) dan ini menimbulkan "self worth" P. Ramlee terhadap dirinya yang "tidak ada apa-apa" (konflik terbesar- berkenaan menjadi anak jantan dalam dunia Melayu) > P. Ramlee masuk askar > Perang Jepun bermula dan P. Ramlee bersama-sama askar bawah tanah menjalankan serangan hendap sehingga "final showdown" menyelesaikan konfliknya bersama Jins Shamsuddin, berjaya menyelamatkan Saadiah (berserta ayahnya sekali, ini menyelesaikan sikap terbesar romantisme) dan berjaya menundukkan antogonis terbesar, Salleh Kamil.

P. Ramlee merupakan "teraju utama" filem tersebut, dan semua watak sampingan/sokongan telah berlingkar dengan mula-tengah-akhir yang cukup memuaskan, mengelilingi watak utama P. Ramlee. Rujuk sahaja mana-mana watak, Salleh Kamil contohnya, yang bermula: mengutuk P. Ramlee dan mengacau Saadiah > menjadi tali barut Jepun dan menggunakan kuasanya mengecam Saadiah/ayah Saadiah > pergaduhan besar dengan P. Ramlee, ataupun Jins Shamsudin: membenci P. Ramlee > menunjukkan "kejantanan" dengan memasuki tentera > hilang (tidak diketahui) > kembali sebagai pengalah (perang menggoncangnya) dan memohon maaf kepada P. Ramlee.



Dari sini sahaja, bukan sahaja ceritanya PENUH, dan semua struktur dramanya "terisi" tetapi menampilkan "pengisian" yang selanjutnya, lantas kita menyedari kisah Sarjan Hassan ini adalah kisah "mencari jalan mulia" dan dalam zaman itu (40-an) pencarian kemuliaan itu adalah dengan "darah dan peluh", yang berkaitan dengan "menjadi anak jantan Melayu", dan filem ini menampilkan bagaimana dengan seorang "nobody" boleh menjadi "somebody" kerana desakan perang "yang memerlukan brain and brawn". Perang mengubah segalanya (maka filem ini juga berkaitan dengan tema mendapat "peluang kedua" untuk berjaya). Hal ini juga menyelami tema paling dalam filem ini, yakni "Melayu Baharu" dan harapan yang boleh didapatkan daripada mereka (atas peluang kedua), filem ini mendesak harapan dan cahaya baharu, dengan timbulnya Kemerdekaan, Melayu Baharu akan mengubah sifat miskin, daif, tiada berpendidikan Melayu lama (simbol P. Ramlee yang sebelumnya, pra Perang Dunia Kedua).

Ini membuatkan filem "komersial" seperti P. Ramlee ini "berisi".

Bandingkan hal ini dengan sofistikasi 1957 dan mainan budaya Wayang. Ya, kedua-dua filem itu muncul dengan tema dan semangat yang sememangnya "lari" daripada tema biasa "filem komersial" Yusof Haslam dan Razak Mohaideen. Tetapi lihat "cara" penceritaan dijalankan.

Buat 1957, sebenarnya, filem itu sudah cukup "sempurna", hanya dilemahkan dengan babak-babak CGI "sedutan sejarah lama" yang tidak berkesan (aku dah menonton Tanda Putera dan babak-babak selingan sedutan hitam putih dengan cerekanya amat berkesan), contoh seperti yang berlaku di Dataran Merdeka. Kesemua babak "lama" dalam 1957 bagi aku "bagus" dan memenuhi kehendak. Kisah cinta Maya Karin-Rusdi Ramli walaupun lemah adalah simbolisme "orang kecil-kita" terhadap naratif besar untuk kemerdekaan. Apakah fokus Suhaimi di sini? Ya, dramatik Tunku Abdul Rahman dan menteri lain lebih menarik daripada drama Maya Karin. Paling berdosa, Suhaimi Baba memperkenalkan sebuah plot panjang "kisah moden" yang langsung tersasar jauh, baik dalam mengisi "komersialisme" filem tersebut, mahupun memberi nilai terhadap kisah kemerdekaan bawaan Tunku (kisah sekumpulan budak-budak nampak mak ayah orang nak buat projek buku berkenaan Hari Kemerdekaan dengan babak akhir yang tiba-tiba, berjoget-joget atas kereta dengan menjulang bendera di tengah perkarangan rumah-pejabat, how bloody corny is that?

Jangan beri aku mulakan pula dengan Wayang yang "cuba menjadi komersial" dengan kisah telefilem "ya amat" dengan pengisahan cinta Zul-Mas. Kemudian, dengan penanda-penanda penaja yang terlalu (berkali-kali logo UiTM difokus) berserta satu "ceramah khusus" VC(?) UiTM di pejabatnya di tengah-tengah cerita! Apa, P. Ramlee sanggupkan buat hal-hal begitu rupa untuk menjual "unsur komersial" filemnya???

Matlamat komersial itu perlulah ditelusuri dengan "jujur" jika benarlah "komersial" yang ingin ditampilkan. Cerita dan penceritaan (teknik, susunan cerita, membuka-menutup konflik-penyelesaian, susunan plot dan subplot) itu amat penting, malah lebih penting daripada "mere commercialism". Filem sebodoh komersial Hollywood pun FAHAM dengan hal ini (dan sebab itu filem mereka masih ditonton dan ditonton seluruh negara), rujuk sahaja contohnya Water Boy Adam Sandler itu. Hal inilah yang perlu dibaiki (para pembikin) dalam memahami apa sebenarnya "komersial" dan bukan main letak (cerita/babak/imej) dan menyatakan hal itulah "komersial" (menjual) filem.

6 comments:

Henzy said...

Benar, jika kita bandingkan filem komersial melayu yg (karya Razak Moheideen, Ahmad Idham) dengan karya luar yg mcm filem2 Adam Sandler kita dpt lihat penggiat luar walaupun filemnya mudah, skrip longgar, penuh lawak bodoh tapi mereka menjaga timing setiap plot, intro, middle, climax dan juga jarang sewenang-wenangnya memasukkan scene yg takde kaitan langsung dgn plot. Kecuali hal2 slapstik.

Semuanya ada sebab dan musabab. Sebab tu filem2 ringan mcm Just My Luck, American Pie, masih seronok kita tonton kadangkala sebab perjalanan cerita dijaga dan tidaklah pula seperti melepaskan batuk ditangga pengarahannya.

saat omar said...

AH Waterboy!....layan gak movie tu. medula oblonggata.

fadz said...

Henzy, yang tang American Pie tu aku x berapa setuju, sebab bagi aku tu filem "coming of age-sex" abad ke-21 yg klasik, haha.. tu tahap Super Bad, tahap2 ada kelas tersendiri, haha..

Anonymous said...

kau bagi aje orang2 kat Uitm tu ulas dan jujur pada ulasannya. berani? Berani hilang kawan dan jawatan..? akhirnya cakap2 belakang kat kedai kopi hujung alam tu. semua orang tahu kenapa boleh jadi macam ni. Cari makan bro dan lantas dihujah-hujahkan lah benda2 yag tiada dan diada-adakan..

Kenapa mereka2 yg ada di sana tak berani nak 'usik' dua filemnya yg terakhir itu, atau sekarang korek balik filem2 yg pernah dibuat oleh dia yg diatas tu? jawapannya, "nak mampus lawan boss!"

Anonymous said...

boss best!

[ a D D y ] said...

http://www.youtube.com/watch?v=BlonlZQ_gbs&feature=fvwrel

fadz..gua kat india ni..gua tak tahu kat malaysia ada kuar felem ni tak..tapi gua cadangkan lu tonton..aksi komedi genre dia..