Showing posts with label Aziz M. Osman. Show all posts
Showing posts with label Aziz M. Osman. Show all posts

28 April 2022

Tiga Perkara Menarik Tentang Femina (1994)

Kredit Foto: Mubi.com

Aku pernah menulis dalam blog tontonfilem aku bahawa Femina (1994) yang aku tonton sewaktu kecil merupakan antara filem terbaik Aziz M. Osman dan antara filem komedi-romantik (chic flick) yang baik.  Dalam bulan puasa ni, aku tonton lagi di Mubi dan menariknya, menemui tiga perkara yang menarik.  

(1) BABAK KREDIT AWAL - Aku tak rasa Aziz M. Osman meminta Bade Hj. Azmi menangkap syot luas dari atas (helikopter) sehingga menuju ke Matic (tempat sidang editorial-staf majalah Femina mengadakan majlis anugerah) dengan sikap sambalewa. Syot pertama dalam filem selalunya penting, malah kadang-kadang menjadi "pengenalan" cerita, apa yang kita expect untuk filem ni nanti (establish shot). 

Syot pertama, menariknya, menampilkan gerakan dari bangunan tinggi (Malaysia era 90-an yang kian maju) ke arah Dataran Merdeka. Lebih menarik lagi, ruangnya jelas menampilkan padang (datar) dikelilingi bangunan. Kedit nama Aziz M. Osman muncul dengan tiga teraju utamanya, Erma, Eman dan Susan. Kemudian, syot bertukar kepada bangunan-bangunan tinggi, lalu judul filem timbul: Femina dengan gaya fon meliuk (kewanitaan?). Menarik. Kita ditampilkan, dalam dunia ke arah kemajuan di bumi Malaysia ni, khususnya Kuala Lumpur, akan ada padang percakapan/dialog antara Erma-Eman-Susan yang dikepalai oleh Aziz. Padang juga berkait dengan "padang mainan" (signifikan kreativiti yang ditampilkan), namun padang ini dipilih dengan sengaja: padang orang berhimpun waktu Merdeka. Maka perbincangan yang akan berlangsung merupakan perbincangan nasional, yang mungkin waktu itu rakyat kita kurang memahami, tapi dengan jelas, amat relevan sekarang. 

Kemudian, kita lihat judul filem Femina yang meliuk itu di latar bangunan tinggi. Aha! Masa kecil dah tentu aku tak faham. Masa besar (jika pun bacaan ini mengada-ngada) aku jelas faham "cuitan" Aziz dalam hal ini, dalam dunia serba maskulin, patriaki dan kelelakian era moden (bangunan-bangunan tinggi, simbol pe***), sang wanita (Femina) ingin diambil perhatian (to take notice). Jelas, di sini, akan berlaku battle of the sexes, berlaku perbalahan antara peranan, kuasa dan sifat. Selepas syot itu, menariknya, dengan POV Tuhan, kita dibawa ke ruang perbicaraan sekali lagi, dalam ruang serba padang/datar di MATIC, lalu cerita pun bermula.  

(2) BUSANA EMAN-EMMA YANG SENGAJA - Jika kita lihat betul-betul, dengan licik sekali, Aziz (dengan bantuan penasihat imej Micheal Gunter dan penjaga pakaian, Jim Mohan Singh) dan Bade selaku pengarah seni sebenarnya menyusun busana Eman (Pyan) dan Erma (Tina) sebagai hint mereka akan bersama. 

Selalunya, pilihan warna baju mereka dekat-dekat sama, hitam, biru, malah paling jelas sewaktu Eman keluar dari hospital memakai kemeja ungu kotak dan Erma datang kepada dengan jaket ungu, malah mereka berjalan setara di atas jalan (syot di atas jalan), suatu "pertemuan" sedang diusahakan (sebelum itu, kebanyakan syot berlangsung di tingkat atau sudut yang berbeza, menampilkan "salah martabat" dan "ketidaksefahaman". Busana penyatuan mereka (sewaktu Erma menceritakan kisah sejarahnya) ialah hitam, tapi hal ini sengaja dikuatkan dengan cahaya/latar malam bahawa warna baju mereka tidak penting di sini, hanya warna latar (realiti/hakikat - yang membawa pada fitrah) gelap/suram/hitam yang mewajahi kedua-dua watak untuk mencapai taraf persefahaman (acceptance). 

Lalu, akhirnya, pada babak klimaks pada forum pergaduhan dengan Susan (Anita), lihat baju Eman, jaket hitam-seluar coklat dan baju Erma, jaket coklat-seluar hitam. Mereka kini sudah "sepadan" atau "compatible to each other" dan bersama-sama menjawab "dakwah" Aziz bahawa pasangan lelaki-wanita memerlukan antara satu sama lain: "Kami wanita ingin menuntut hak saksama, bukannya persamaan. Kami tidak mahu menjadi lelaki. Apa yang kami mahukan ialah dilayan sama rata."  

(3) WACANA FEMINISME - Segalanya tentang filem ini sebenarnya ialah wacana, yakni membincangkan isu. Hal ini mungkin berisiko kerana boleh menjerumusnya ke arah sebuah "drama teater" semata-mata, namun susunan Aziz cukup jelas, selain susunan plot dan penceritaan, muncul babak-babak yang menekankan untuk perbincangan. Babak akhir "perbincangan" dengan tajam dan relevannya, diarah kepada ruang studio (aku dapat rasa, ditangkap di FINAS, mungkin aku salah) televisyen. Sebelum babak ini, ada key-point yang jelas apabila Erma menceritakan sejarah hidupnya. Dengan jelas, dia berkata, "Femina (majalah) ialah ibu."(!) Sejarah hidupnya (melihat ketidakadilan) ialah perjuangannya. 

Babak klimaks iaitu di ruang studio sebenarnya satu babak yang serius, kerana Aziz menampilkan evolusi dari titik Timur/Malaysia akan perkembangan perjuangan emansipasi wanita, dari era pra-Merdeka (diwakili Afida Es, ibu Aziz sendiri) kepada era moden (Susan-Erma). Mungkin A. Wahab Hamzah merasakan isu-isu yang dimainkan dalam filem ini, dalam dialog akhir ini agak "far fetch", tetapi jika ditonton sekarang dengan pelbagai budaya cancel dan #metoo, gaji wanita di tempat kerja, wanita sebagai pemimpin, selain kemasukan suara wanita LBGT untuk hak saksama, persoalan wanita boleh hidup berdikari tanpa lelaki, halnya menjadi lebih relevan "untuk dibawa ke hadapan".   

Dalam persoalan dan hingar-bingar isu hak wanita ini, sekali lagi, Aziz melalui Erma bertanya, "Siapakah ibu dalam cerita wanita kita?"  Femina boleh ditonton di Mubi dan Siar.

29 August 2021

Ulasan: Leftenan Adnan (2000) versi pengarah/pulihara

"Buat apa mereka berkorban nyawa, mempertahankan negara orang? Inilah masanya, untuk kita buktikan yang kita boleh jaga negara kita sendiri." - Leftenan Adnan bin Saidi



Kita mungkin agak bernasib baik kerana dapat merasai "peluang kedua" menonton filem perang/kenegaraan Leftenan Adnan, versi pulihara/pengarah (restored version/director's cut) yang dihasilkan lebih 20 tahun dahulu (rasa tua pula aku). Salinan induknya yang ditemui di Chennai, India (apa cerita ni Finas, Media Prima?) telah dibawa balik oleh Aziz M. Osman (menerima Anugerah Pengarah Terbaik pada FFM ke-15 untuk filem ini, selain Filem Terbaik dan Penataan Seni Terbaik [mungkin ada Anugerah Khas Juri tapi aku lupa]) dan diserahkan kepada tim pakar Isazaly yang telah menzahirkan versi pulihara yang boleh dipuji.

Aku sebenarnya sudah tidak berapa ingat dengan keseluruhan jalan cerita sebenar filem ini pada waktu aku mula-mula menontonnya setelah 31 Ogos 2000 di TGV KLCC. Aku tahu ia bukanlah pengalaman yang manis (walupun usaha menguruskan latar besarnya boleh dipuji) kerana aku tidak pun membeli VCDnya waktu keluar (tak silap aku, dijual di KFC masa tu, bagi aku versi VCD seperti menghina versi sinema, tapi ini sememangnya masalah yang kami hadapi pada era dulu). Tapi ada suatu kejadian yang manis berlaku. Abang kedua aku, yang sememangnya pro filem Hollywood, dan memperlekeh filem-filem Melayu/Malaysia yang baginya sayu dan hina, setelah menonton filem ini, khususnya selepas imej akhir sebelum kredit akhir, iaitu syot burung kemudian statik Adnan yang mendepa tangan mata terbuka sudah dikepung oleh tentera Jepun yang bersedia untuk membunuhnya, telah keluar dari pawagam dengan semangat membara yang semacam, malah, terasa dalam dirinya, waktu itu, nak saja dia cepuk mana-mana mat salleh yang lalu di beranda pasar raya itu (tajuk akhbar: Remaja Melayu Tibai Pelancong Belanda Sebaik Menonton Leftenan Adnan, haha). Jika seorang pengkagum filem Barat, boleh, dengan perasaannya jatuh hati dan mencetuskan semangat bara yang sesuatu, walupun ada cacat celanya filem itu, aku rasakan, ini suatu pencapaian (nota ini buat Ku Seman yang tentu lebih objektif tentang masalah filem ini). 

Malah, mungkin sebab itu, aku mengiakan kemenangan filem ini di FFM pada tahun itu, selain tiada filem yang betul-betul kuat keluar tahun itu (bayangkan, kita baru saja meraikan Jogho tahun sebelumnya, tahun 2000 pula Suhaimi Baba membikin Mimpi Moon, antara filem yang paling aku benci daripada sutradara yang aku sayangi itu, Pasrah Yusof Haslam masuk nominasi Filem Terbaik, masya-Allah!, begitu juga Syukur 21 ala filem fiksyen sains guna CGI pertama sepenuhnya [konon] yang lebih setaraf Mystery Science Theatre 3000 dinominasi, dan Aziz melahirkan juga Seri Dewi Malam tahun itu).

Mungkin antara kelemahan jelas yang aku dapati setelah menonton (dan melupakan) filem sokongan penuh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Finas ini ialah: (1) ketiadaan kesinambungan pertautan atau penyeluruhan rasa anggota bentuk filem yang utuh yang dapat kita panggil ia sebenar-benarnya sebuah "epik terunggul" (seperti yang dicanangkan tidak silap aku masa itu) (2) kurangnya kedalaman perwatakan Leftenan Adnan yang menyeluruh, yang dapat kita anggap sebagai seorang susuk watak yang kita dapat kenang-kenangkan, khususnya isi manusiawinya (3) babak perangnya bagi aku masa itu tidak spetakular, tidak benar-benar feel, dan rasa hanya babak semata-mata, (4) kerana faktor (3) ialah CGI buruk filem ini, khususnya jet pejuang Zero Jepun, dan (5) skor muzik Azman Abu Hassan bagi aku sangat membunuh filem ini, yang sememangnya lebih sesuai untuk sebuah skor okestra yang proper, walupun kecil ahlinya.

Dalam perbincangan Aziz M. Osman dan tim Isazaly dalam FB baru-baru ini, Aziz ada menyatakan dua hal yang diubah, satu suntingan keseluruhan, kedua babak-babak lawak yang baginya tidak perlu, telah dikeluarkan. Aku rasa, mungkin hal itu juga merupakan hal-hal cringe yang aku sudah tak ingat tetapi bersyukur Aziz sudah keluarkan, dan lebih mengkhususkan pada pemantapan cerita filemnya.

Adakah peluang kedua Aziz menzahirkan potongan dan versinya ini berbaloi?


Secara keseluruhannya, ya! Aku berani berkata, aku tidak berapa "terasa" apabila menonton waktu tahun 2000 itu, tetapi buat kali ini, selepas tayangannya di Netflix, aku menitiskan air mata (untuk makluman, awalnya aku tonton di laptop aku, namun efek dan adunan suaranya tidak baik dan aku masih membenci skor Azman Abu Hassan, tapi apabila aku ubah ke TV digital aku, barulah kesan bunyi, skor dan latar tata suaranya meremang dan membuahkan feel, malah baru aku berasa hormat pada skor Azman, walaupun aku masih membenci synthesizernya pada bahagian tertentu, khususnya penggunaan kecapi yang memang tipikal buat penulis muzik ini). 

Memang, terdapat banyak perkara yang dapat dipuji. Hal ini khusus pada babak perang (yang bersekuen dan panjang), yang kali ini jauh lebih terasa momen dan getir terdesaknya. Terasa nafas survival askar Melayu yang perlu berundur, sedikit demi sedikit atas kelemahan pimpinan Jeneral Inggeris di markas Singapura, yang terasa tidak cukup kelengkapan, anggota tentera ditambah dengan pegawai Inggeris yang main-main. Kini, jet pejuang Zero betul-betul jet pejuang Zero, melepaskan bom dan membunuh. Memang, aku rasa, babak dan pengarahan babak perang selepas 50 minit filem ini, semacam last standing (tajuk filem ini jika dibikin oleh Inggeris) pada askar Inggeris, dan di tengah-tengah Bukit Candu ini, kubur Leftenan Adnan, kita dapat merasai hilangnya maruah Inggeris dan munculnya maruah peribumi yang ingin, dengan sahih, pertahan akan tanah airnya dengan titis darah terakhirnya sendiri. Memang, ini kekuatan mana-mana filem perang askar kita kerana dokumentasi askar kita yang amat teliti, pengarah seperti Aziz mampu menzahirkan apa yang patut dalam "drama detik akhir sebelum Jepun menumpaskan Inggeris di Malaya" (menurut kredit akhir, lakon layar Aziz dibantu oleh Mej Ramli Abu Bakar dan AR Sulaiman). Mungkin tidaklah sedramatik dan segetir seperti Bukit Kepong, namun Aziz mampu mengguna pakai inci demi inci tanah berbukit dan minit demi minit keadaan yang berlaku sewaktu askar Jepun mara mendekati daratan akhir Leftenan Adnan pertahankan, dalam jalinan baik fakta mahupun pencerekaan. Hal ini sekurang-kurangnya jauh lebih baik daripada beberapa filem perang baharu yang kurang bermaya dari sisi itu.

Sinematografi Bade Haji Azmi yang bercita-cita tinggi itu, dengan skop luas tipikal sebuah filem epik, dapat dipakai dan dilaksanakan dengan gelora yang betul (walaupun terdapat kecacatan di sana sini dari segi ketajaman). Para pelakonnya? Kita gembira dengan para pelakonnya sebenarnya, walaupun kisahnya terlalu bendul dan lurus malah berbau propaganda (antara kontroversi yang diingati jika aku tak salah, ialah fakta salah Kesatuan Melayu Muda yang bersongkol dengan Jepun, namun menonton filem ini dengan sikap propagandanya, aku faham mengapa ia dilakukan). Sememangnya, ini kelemahan lakon layar Aziz, yang menentukan filem ini lebih sebagai "membina semangat patriotisme" semata-mata, maka tujuannya lebih untuk memburu pilihan mudah "agama, bangsa dan negara" itu. 

Kita lihat sahaja watak Leftenan Adnan lakonan Hairie Othman pada babak beliau memberikan ucapan (rujuk dialog di atas) tentang kepentingan orang Melayu bercita-cita untuk menjaga negaranya sendiri, dengan menampilkan dengan takjub (dan bombastik) sekali tentang sejarah lama orang Melayu "membina kapal besar, menakluk seluruh Nusantara, membina empayar besar (Srivijaya, Langkasuka) dll.". Bagaimanakah dialog sebegini boleh berlangsung? Apakah kekuatan latar Adnan yang boleh kita kaitkan beliau bukan sahaja seorang pejuang yang tulen tetapi juga seorang budiman yang berilmu? Memang, aku suka dengan babak awal kisah hidup kanak-kanak Adnan apabila di depan bilah pisau sunat Tok Mudin (rites of passage lelaki Melayu) yang memberitahunya tentang penerusan menjadi pejuang "bangsa, agama dan negara"nya. Hal ini memang suci, dan dalam logik dunia Aziz ini kita diminta, mempercayainya (selain Adnan ditampilkan hebat dalam silat), maka sedalam mana lagi Adnan dalam hal kesedaran orang Melayu tentang kemerdekaan (aku juga kurang mampu mempercayai istilah merdeka itu sudah mula disebut waktu itu, mungkin aku silap?), sejarahnya, kegemilangannya? Kita juga tahu, selain bertujuan propaganda, dialog ucapan penting Adnan di depan kru tenteranya amat moden(!), suatu sikap yang aku rasa, masih belum menyerlah dan tersedar lagi secara kesatuan pada masa itu.

Jadi, dengan tali cereka dan ideal nasionalisme Aziz ini yang perlu kita pegang dan percaya mengapa, Adnan, sanggup melepaskan isteri dan anaknya balik dahulu ke kampung, dan bertahan seorang diri dengan penuh gagah di Bukit Candu. Adnan telah diberikan citra adiwira yang unggul, niat yang mulia yang sepatutnya dicontohi dan diikuti oleh generasi seterusnya, dan amat sesuai dengan masyarakat yang (mungkin) kekurangan penampilan tokoh pejuang dalam sebuah negara yang masih membangun.

Hairie agak membantu, khususnya setelah sahabatnya (Rusdi Ramli) sanggup mengorbankan diri. Hanya mungkin, pada bahagian-bahagian tertentu, Hairie, walau sejauh mana pun teknologi, tidak mampu menghilangkan kekakuannya. Namun postur dan susuk tegapnya masih menjelmakan kewiraan. Umie Aida, Faizal Hussein, Shaharuddin Thamby dan beberapa yang lain, masih turut menyokong, walaupun watak mereka hanya kadbod dalam sejarah riwayat Adnan. Paling buruk ialah para pelakon Inggerisnya, yang tidak menyampaikan dialog ala History Channel mereka dengan bersungguh-sungguh (satu babak yang sangat History Channel berlaku apabila peta Singapura di atas meja tiba-tiba bertukar infografik CGI moden). 

Dalam, segala hal ini, Aziz dan semua kru pembikin dan pelaku di hadapan kamera (berapa ratus pelakon tambahan yang telah dipakai? Berapa ramai askar yang telah dikerah oleh ketuanya untuk berlakon dan menyumbangkan tenaga?) masih boleh dipuji hasilnya, memberikan suatu tanggapan dan idealogi moden walau simplistik Aziz terhadap maksud patriotisme dan rasa cinta negara, melalui perealisasian antara susuk tokoh wira kita yang sememangnya perlu dikagumi oleh generasi seterusnya.

Di Netflix, Vietnam juga turut mempunyai filem propaganda perangnya, The Scent of Burning Grass (2012).

17 January 2019

Eulogi untuk XX Ray III



Dalam alam gantian (alternate universe) hujung tahun 2017, Aziz M. Osman yang telah selesai membikin sekuel fiksyen sainsnya yang ditunggu-tunggu seantero dunia Malaya, yang baru hendak mula pascaproduksi, telah bercadang untuk menyimpan filem baru siap itu berserta lakon layar, prop dan papan ceritanya di dalam bilik kebal bank, seperti Orson Welles yang terpaksa menyimpan The Other Side of the Wind yang disebut-sebut sebagai filem comebacknya. Pada tahun 2039, lebih kurang 20 tahun selepas itu, seorang pembikin filem muda, yang telah menemui kegeniusan Aziz, lantas menjadi peminat nombor satunya, dan hafal setiap syot dan dialog filem-filem Aziz telah menemui filem simpanan bilik kebal itu melalui warisnya. 

Seperti Spielberg yang membikin A.I daripada lakon layar mendiang Kubrick, pembikin itu telah meneliti semula skrip dan filem tersebut dan menjalankan projek "Selamatkan XX Ray III" dengan sekumpulan penggemar kecil yang sama, memurnikan apa yang patut dengan skrip Aziz yang sudah sedia gempak. Cerita itu sampai kepada beberapa syarikat produksi besar yang berminat untuk berkalaborasi, lantas mereka pula menarik perhatian beberapa konglomerat yang sanggup menjadi penaja projek itu. Pembikinan filem itu menjadi besar, menjadi buah mulut seantero Malaya sehinggakan beberapa festival filem fantasi dan fiksyen sains antarabangsa tertarik untuk menayangkan filem itu bila siap nanti. 

Bagusnya, pembikin itu telah memurnikan karya filem itu sebaik-baiknya, dengan teliti dan tatangan minyak penuh di dalam bekas, dalam skrip, menggulati beberap kaedah algoritma dan kod atur cara serta hukum fizik yang betul untuk menjelaskan sut melinial baharu ciptaan Ryan. Malah, watak dan perwatakan Ryan dibina berasas dengan latar babak yang lebih kukuh dan berkembang hidup. Sinematografinya diselia jaga, serta suara dan kesan suara, runut bunyi, prop, para pelakon (pembikin itu betul-betul cerewet dengan memilih yang boleh berlakon, walaupun sekumpulannya muda hingusan dan amatur, mereka akan mewarnai dunia perfileman negara suatu hari nanti, sepertimana Aziz memberi laluan kepada Umie Aida memegang watak kecil dalam Femina), suntingan, dan paling penting, kesan khasnya yang cukup mengambil belanja yang tinggi untuk merealisasikannya. Tiga watak terpaksa menggunakan imejan janaan komputer namun ia dihasilkan dengan sempurna dan hidup, menggerakkan legenda kosmologi XX Ray untuk masa depan seterusnya. Paling penting, pembikin itu menjaga gaya dan ketertiban Aziz, quirk dan rohnya, intrig politik keluarga berpengaruh itu, namun lebih-lebih lagi pandangan alam Aziz terhadap Melayu Islam, sehinggakan dialognya tertutur selamat dalam filem baharu itu: "Ayah suka lagu lama dan filem lama, sebab itu orang muda susah nak sokong ayah."

Tayangan perdana filem itu di adakan di sebuah pawagam multipleks dengan penghayatan teknologi pengalaman sinema baharu 5D-x. Filem itu, terpaksa dipanjangkan untuk dua jam empat puluh minit lebih untuk menguatkan latar dan motif beberapa watak. Setelah tayangan, para penonton, tetamu, pembikin filem, rakan artis, wartawan, pengkritik filem, peminat filem Aziz M. Osman, semua bertepuk tangan, lalu dengan tiba-tiba bergandingan tangan, bersama-sama, menyanyi dengan seronok, dan kuat:
Apa saja yang susah akan menjadi mudah

Sekiranya semua bersatu berusaha
Kualiti teras kejayaan bertambah keuntungan
Kerja seikhlas hati sempurna pekerjaan

Kita bantu-membantu 
Bertukar-tukar fikiran
Bersatu kita maju
Ke arah kemakmuran

Kita tegur-menegur
Kerana kebaikan
Berusaha dengan jujur
Mencapai kejayaan! 

05 August 2014

Femina(1994): Chic Flick Aziz M. Osman 90-an

Mutu kulit VCD filem ini zaman itu. Eja tajuk pun salah. 

Mengimbau masa kecil aku, filem ini merupakan antara filem kegemaran peribadi aku era 1990-an. Jika kalian sudah membaca ulasan A. Wahab Hamzah dari Utusan Malaysia, kalian akan menyedari Wahab agak kritikal terhadap filem ini. Ulasannya merupakan antara ulasan yang aku tolak sewaktu kecil (filem ini ditayangkan serentak dengan Fantasi pada hari raya 1994). Aku rasa, Wahab terlalu terperangkap dengan singkapan wacana serius, menolak pendirian dan kemahuan genre (di sini, komedi romantik, yang kini lebih dikenali sebagai chic flick, yakni lebih cenderung untuk tontonan wanita dengan resepi dan formulaik kisah orang perempuan dewasa yang mengikat imbauan komedi, romantik dan sedikit genre drama atau melodrama). Hal ini memanglah biasa jika Wahab terlalu mengagungkan Ariffin C. Noer dan Teguh Karya. Dan bagi aku, perbandingan ini tentulah tidak adil (Selubung dan Isteri, Perempuan & ... yang disentuh secara lalu juga merupakan genre drama) dan terpesong daripada maksud langkah Aziz memasuki genre komedi.

Malah, komedi ini (yang sangat baik daripada Aziz) merupakan trilogi komedi Aziz terhadap emansipasi pengalaman wanita, atau "Wanita Aziz" (rujuk Puteri Impian, yang bersama sekuelnya, dan Idola, Aziz juga mempunyai trilogi drama wanita, seperti Fenomena, Fantasi, dan Seri Dewi Malam).

Apakah pendekatan yang diambil oleh Aziz? Sememangnya, sesiapa yang hidup pada zaman 1990-an sudah tentu akan menyedari kehadiran Minahleter, kolumnis wanita(?) dari majalah komik popular Gila-gila yang bersuara kritikan feminis yang keras (dan menyindir) terhadap "ketidakadilan" lelaki atau golongan patriaki. Minahleter semacam menjelmakan citra wanita "panas hati", pascaera janda berhias 1970-an yang mengambil sikap feminis Barat tetapi dengan sikap lokal yang lebih mempersenda-sendakan peranan dan pengatucaraan lelaki "Melayu" yang selalunya menghasilkan pengalaman sosial yang negatif terhadap golongan wanita, dan secara geramnya, kadangkala Minahleter menyatakan keburukan ini juga terhadap golongan lelaki. Minahleter ialah bayangan wanita Melayu yang tinggal di pulau ala Amazon dengan pen di sebelah tangan dan parang di tangan yang lain (siri ini amat popular sehingga terdapat kolum lelaki, Mat Romeo yang membalas bebelan feminisme Minahleter). Segala "leteran" dan geraman Minahleter ini semacam diimbaukan dengan mata moden oleh Aziz dalam filem ini.

Hal ini juga bagi aku, Wahab "lost the point" tentang sisi komedi Femina. Filem ini dengan susunan komedi tentulah menampilkan idea absurd yang lucu untuk mengimbau gelak ketawa. Babak awal dengan aerial view yang tiba-tiba menampilkan rakaman liputan kumpulan lelaki "merusuh" di hadapan dewan seminar di mana Nina (Erma Fatima) akan berucap untuk women empowerment. Babak ini sahaja memikat, memaksa penonton menjadi "Tuhan" yang turun dari langit, melihat masalah anak-beranak Malaysia waktu itu yang secara tidak sengaja kelihatan "tunggang terbalik" terhadap konsensus zaman, sekali gus mengikat poin ini dengan isi ceramah tipikal era itu: dunia sudah hendak kiamat. Perkara ini sahaja sudah membayangkan pula gaya dan prespektif "salah" patriaki terhadap Nina dan Anita (Susan Lakanster) dan organisasi mereka (menjadi lelaki) yang semenangnya "tanda-tanda akhir zaman" (kalau kita pandang hal ini secara pascamoden, hal ini sudah kelihatan kolot dan lebih menggelikan kita).

Menarik lagi, jika diteliti, kebanyakan mob lelaki itu memakai baju "orang pergi pasar", kasual dan kelas menengah biasa. Hal ini bertentangan dengan imej profesional, korporat dan moden Nina dan Anita (yang juga disalah ertikan sebagai pakaian lelaki. Rujuk sejarah Coco Chanel dan Yves Sains Laurent berkenaan perubahan kod pemakaian ini). Maka imej Nina dan Anita bukan sahaja "baharu" (the other) tetapi seakan-akan menimbulkan perspektif kelas atasan, posh, terhadap kusut masai, rendah kelas kaum lelaki. Ini sahaja menimbulkan cemikan menarik.

Kemudian, kita diberi babak awal Nina melepaskan perasaan tidak yakin di hadapan cermin. Kita teringat akan babak terkenal Robert De Niro dalam Taxi Driver (Pak Hassan pernah beritahu, watak yang bercakap di hadapan cermin selalunya watak yang "rosak" atau kurang siuman). Dalam pengamatan aku, kebanyakan filem seram memulakan babak awalnya dengan protagonis melihat cermin(!) Adakah ini filem seram? Tak mungkin! Tapi ada penanda keterbalikan atau "melanggar kebiasaan" di sini. Adakah pelanggaran kebiasaan di sini? Ya, walaupun biasa dan bukannya di luar dugaan atau shocking (seperti Tootsie). 

Kita akan mengikuti jalan cerita Nina yang akan menimbulkan "plot" dengan penjalinannya terhadap watak blue collar Pyan (Eman Manan) di tengah jalan raya di Dataran Merdeka. Lihat di sini kembali, watak "kalah" lelaki pada awal babak tadi kini memberi ruang seorang lelaki sebagai wakil perwira mereka. Pyan sendiri ialah tauke dan pemandu bas mini. Golongan kelas yang sudah tentu bawah daripada refleksi korporat Anita dan Nina, tetapi tampaknya, Pyan tidak mengalah, dan melepaskan retoriknya yang seksis dan seksual terhadap peranan wanita/lelaki. Aku masih ingat sampai sekarang dialog mengunyah tetapi simplistik (dan kita masih berdialog begini dalam realiti, kalau tidak percaya, tanya menteri kita) Pyan bahawa jika wanita yang bekerja lalu membiarkan anak bayi mereka tidak tersusu dan menyusu susu lembu: "Jadilah kita masyarakat lembu."

Hal ini menjadi menarik lagi apabila dengan tiba-tiba, Pyan yang sudah dimalukan (Pyan dipaparkan seperti mana lelaki lain terliur melihat aksi model wanita di tepi Dataran Merdeka, suatu rakaman foto Nina untuk editorialnya. Hal ini menarik apabila Nina mencaknakan wanita sebagai produk seks, walaupun majalahnya sendiri yang menjual penguasaan wanita) tiba-tiba mencari alasan untuk mendekati Nina (dia sebenarnya sudah terpaut, seperti mana-mana komedi screwball) dengan membantu seorang wanita yang teraniaya, Maya.

Plot Maya menjadi persoalan moral yang menarik, yang bukan sahaja memperlihatkan alasan dan kejujuran Pyan untuk mempertahankan hak dan kebajikan wanita (jika kita skeptik, kita akan melihatnya sebagai oportunis), tetapi ketulusan Nina dan Anita demi perjuangan hak ataupun keuntungan peribadi/material. Kalau dilihat di sini sahaja, memang senang untuk kita mengecam Aziz kerana menjadi simplistik dan mencari jalan keluar yang terlalu senang, tetapi Aziz sebenarnya menjawab, dari sisi pandangan Melayu-Islamnya terhadap perspektif letak duduk wanita yang berada di sisi lelaki, malah pandangan ini amat moderat, dan menariknya, merupakan pandangan jelas para sasterawan wanita era itu, yang dipandang oleh sasterawan wanita sekarang sebagai melambangkan perjuangan sebenar wanita: mereka minta dihormati sebagai wanita, bukan dianiaya, dicintai, bukan diperlihatkan sebagai imej seks murah. Semua ini disampaikan secara didaktik oleh watak Nina pada akhir filem, menyetujui perjuangan Pyan/Aziz M. Osman. Hal ini memakarkan sikap yang amat wasatiah (moderat) dan kiranya, sesuai dengan Islam-moden era Mahathir-Anwar waktu itu apabila kebanyakan wanita mula berkerjaya profesional dan korporat di sisi lelaki. Sikap konsensus atau "norma yang diterima" waktu itu menjadi ruang pertentangan terhadap perjuangan wanita Amazon-moden asal Nina-Anita (hal ini pun berlaku apabila Anita mula menampilkan kebobrokan dalam penampilan apabila ditangkap berkhalwat dengan lelaki). Malah, secara sengajanya Aziz menyusun begitu, yakni pada awal suatu rakaman liputan satu hala oleh media dalam ruang terbuka (masalah masyarakat yang mula menular di mana-mana) yang dikondisikan dalam sebuah bilik studio rakaman untuk mewacanakan masalah yang ditimbulkan pada awal babak.

Memang terdapat sorotan sinematografi yang kelihatan lame atau mungkin wujud hanya untuk zaman itu. Tetapi sinematografi dan suntingannya sudah cukup untuk mengangkat ruang besar komedi ini (ada beberapa syot aksi yang mengimbau gaya filem Tamil dan ini disengajakan untuk menguak mood). Hal ini dibantu baik oleh lakonan luar kotak oleh Eman Manan (yang sedikit cheeky), kekuatan no nonsense Erma Fatima dan api membara Susan Lakanster. Kita juga akan menemui debut Umie Aida sebagai receptionist syarikat penerbitan majalah Femina itu. Bagi aku, filem ini merupakan filem komedi dengan himpunan watak yang amat menarik (filem ini bertanding dengan Perempuan, Isteri & ... yang sudah tentu lebih baik dari banyak segi) dan menjadi. Wataknya dinamis dan dapat dilihat dalam pelbagai sisi. Hal ini memang merupakan kekuatan Aziz dalam membina watak, yang betul-betul mengukir baik-buruk dan kekuatan-kelemahannya, sesuai dengan kecenderungan genre yang dibawa.

Bentuk ofis yang serba ultra-moden (waktu itu) juga memenangkan Aziz M. Osman untuk FFM. Dan ya, siapa boleh lupa dengan runut bunyi tangkap leleh, "Simfoni Kasih" nyanyian MSteen ciptaan Johan Nawawi di tengah cerita (yeap, zaman mesti ada MTV di tengah cerita) yang dimasukkan dengan sungguh lancar dan terurus dengan cerita.

Menariknya, aku terbayang sekarang, waktu majalah Eh! awal-awal terbit dahulu, itulah majalah yang menyerupai semangat si pengarangnya, Nina, hanya Nina meletakkan poin  yang lebih radikal, "wanita tetap boleh hidup tanpa lelaki", yang secara sengajanya, kini, ramai wanita berdikari yang dihasilkan oleh Eh! menjejaki perjuangan hidup asal Nina. Ironi!

Antara komedi tempatan menarik 1990-an dan antara yang terbaik daripada Aziz M. Osman bagi aku.

05 February 2012

Azura(2012): Oh patutlah warna biru semua


Ah, inilah filem pop yang aku maksudkan.

OK, hal pertama yang aku tanya pada diri aku, apa ke hal lah che Aziz kita yang kita sayangi itu (tukang revive filem Melayu zaman Fenomena sehingga buat mat-mat kilang kembali menonton, orang Melayu stuck up dan rasa ko*** dan payu dara putih masih tak menonton filem Melayu sampailah arwah Yasmin dan PGL masuk cerita) membikin semula sebuah filem yang bukanlah dikira klasik hebat nak mati (bandinglah Azura 80-an dengan Antara Dua Darjat atau Penarek Becha, dua filem bertema sama), serius, dan bagi aku, ni kerja kacang Azizlah sebab, bro, ni remake dengan yang 80-an dulu (kuasa filem dulu hanya satu: Ogy Ogy Ogy, yes, she shines through as a true primadona) yang tidak adalah ke mana malah objek filemnya pun kecil walaupun mencuba. Lihat dunia Hollywood, kita gerun melihat filem klasik West Side Story untuk dibikin semula (sebab itu para pembikin hanya membikin semula filem-filem kecik yang nampak boleh dicantikkan lagi, seperti Fright Night) atau Hong Kong macam A Chinese Ghost Story atau India macam entah berapa bikinan semula mereka.

Hal utama ialah, aku gi tonton filem ni dengan bini aku. Benda pertama yang dia sedar (OK, pertamanya, ni filem jenis dia ya) ialah, gambar filem ni kadang-kadang out of focus, gambar terlalu blur, suara mono zaman 80-an, runut bunyi tak sedap. Ni serius serius menurunkan tahap kesyahduan filem (filem Hollywood menipu masyarakat kita kerana kesan bunyi yang baik dan gambar yang tajam, hal yang amat diikuti oleh KRU dan MiG) ni untuk diikuti, lantas menyebabkan 80% penonton yang mungkin boleh ditipu dengan emosi Kardashian tidak kesampaian.

Masa aku tonton filem ni yang langsung aku tak amik serius (bini aku amik serius jadi dia bengang dengan ...) ...adalah tiga minah baboon ni dalam wayang (oh how I just love Malay cinema) yang memberi "cue" setiap babak dan percakapan Shah Jazle dan Neeloofa, siap menjerit, ketawa dan komen depan-depan layar semacam menonton TV di rumah. Ada satu babak yang sangat aku syok dan ketawa mendengar pandangan mereka, waktu tu, Afdlin Shauki si Tan Sri Puteh (Puteh, get it?) menyatakan dengan tak malu kerana mahu mengajar anaknya erti hedonis dan wanita itu alat: "Perempuan dalam hidup abah masuk keluar, masuk keluar saja, sebab abah kaya", lantas si wanita tu menjawab secara spontan: "Tengok perutlah" (trans: See the stomach lah). Aku terbahak bagai nak rak.

OK, Azura bukanlah buruk nak mampus sangat. Mentaliti Aziz yang mengangkat Melayu "tulen" dan mengkritik Melayu hipokrit dan "buat-buat" bagi aku masih menarik. Ini komposisi sosial Aziz terhadap masyarakat Melayu semasa yang dia lihat, diambil daripada filem romantik selapis paling meletup 80-an. Aku suka skripnya (walaupun banyak GILA lubang plot, khusus babak terakhir) yang mencetuskan hal-hal menarik tentang sosial semasa. Dua babak paling menarik, pascababak Neelofa yang menyanyi macam babun lagu patriotik (which she doesn't mean it, she doesn't sing with grit and lovem even knowing it's a POYO task) kemudian kita diperlihatkan sampah sarap masyarakat kita yang hebat budi bahasa kononnya. Bang! Di tengah-tengah jalan cerita sewaktu payu dara si minah penonton kena raba balaknya dan si penonton mak cik menunggu cue Erma melalak dekat Neelofa. Sebuah lagi berlaku waktu Shah Jazle nampak bosan dengan posing dekat maut. Kita dah antisipasi dia nak skodeng Neelofa, dan mungkin, uit-uit. Babak tu betul-betul subtle. Kita nampak keringat jantan Jazle sampai naik tangga diam-diam, dia buka pintu, bang! si Neelofa tengah solat.

Hal-hal kecil inilah, walaupun klise Aziz, merupakan sinema Aziz yang memikat bagi aku. Aziz ingin membawa kita bertemu kembali apa yang pernah diceritakan oleh P. Ramlee dalam Musang Berjanggut, apa itu wanita Melayu (walaupun dalam versi pop Aziz) dan apa itu Melayu hipokrit (antaranya, orang buat MLM, hahahah, Binfilem tentu suka!).

Tetapi itu sahajalah. Lakonan, Hmmm, semua pelakon tambahan hancur. Aku tak suka dengan kakak Shah tu yang bini aku kata bagus kerana menampakkan Kim Kardashiannya. Tuhan, dia lulusan Oxford, takkanlah bercakap slanga serupa kakak baru lepas mengaji tusyen Inggeris malam (supaya dapat kahwin mat salleh ko*** putih).

BTW, aku macam rasa geli-gelaman juga, sebab aku pernah ke Oxford dan abang aku lulusan sana, tapi filem ini banyak mempersimplisistikkan Oxford dan Cambridge ini sebagai objek mercu tanda kejayaan ala-ala tingkat ekuinoks, yang seingat aku, orang dah tak pandang pun, tahunya belajar dan berjaya... Bagi aku the word dropping dua universiti dalam filem ni dah masuk tahap travesty (ha, amik kau, bukak kamus!).

Dan Shah lagi satu hal (aku lagi nampak dia dalam drama siri Asmara, ah, itu satu fenomena daripadanya), mungkin ini agenda Aziz, tapi Shah langsung tidak berspeaking London, malah bila dia bercakap, pelat Melayunya kuat. Aku dok Damansara (bukanlah nak berlagak) tapi aku tak kenal budak-budak anak lot bercakap macam tu.

Ahh, Neelofa. Cantik lah dia. Aku maafkan segalanya kalau dia ada salah silap (hahahah, diskriminasi!), dia macam ada iras Erra Fazira pun. Dan dia memang boleh berlakon. Serius, filem ini menarik kerana terajunya.

Dua orang menarik dalam filem ini, Afdlin Shauki yang tahu apa yang dia tutur itu "out dated" tetapi dia tetap membuat wataknya believable. Efida Es. Ah, Akmal Abdullah dan Dr. Goggle patut bagi can untuk wanita ni di FFM kali ni (mereka kan tengok nilai, filem ni banyak nilai baik, katanya! And I know your level of choice kan?)

Alas, Aziz. Aku kesiankan Aziz sebenarnya. Banyak, sebenarnya yang dia buat dalam filem ini yang kita boleh nampak dia "menaja" (trans: dapat duit jadi ikut cakap orang taja untuk product placement). Paling-paling-paling menyakitkan ialah dia paksa dirinya untuk memaparkan Lim Kok Weng sebagai antara tempat "tajaan" itu, yang amatlah tidak sesuai dengan plot gerakan Azura dalam filem ni. Tetapi aku telan sajalah, dengan sudut kamera samarnya, gaya ala lamanya. Sekurang-kurangnya, Aziz masih ada "wit"nya untuk diselitkan, dan itu aku jumpa sebagai nilai.

klasifikasi: U, hanya ada beberapa babak menonjolkan syahwat yang mungkin tidak sesuai bagi kanak-kanak, tapi melodrama ni zaman 80-an pun bukan-bukan dan kanak-kanak zaman tu pun dah tonton bukan-bukan.