"Buat apa mereka berkorban nyawa, mempertahankan negara orang? Inilah masanya, untuk kita buktikan yang kita boleh jaga negara kita sendiri." - Leftenan Adnan bin Saidi
Kita mungkin agak bernasib baik kerana dapat merasai "peluang kedua" menonton filem perang/kenegaraan Leftenan Adnan, versi pulihara/pengarah (restored version/director's cut) yang dihasilkan lebih 20 tahun dahulu (rasa tua pula aku). Salinan induknya yang ditemui di Chennai, India (apa cerita ni Finas, Media Prima?) telah dibawa balik oleh Aziz M. Osman (menerima Anugerah Pengarah Terbaik pada FFM ke-15 untuk filem ini, selain Filem Terbaik dan Penataan Seni Terbaik [mungkin ada Anugerah Khas Juri tapi aku lupa]) dan diserahkan kepada tim pakar Isazaly yang telah menzahirkan versi pulihara yang boleh dipuji.
Aku sebenarnya sudah tidak berapa ingat dengan keseluruhan jalan cerita sebenar filem ini pada waktu aku mula-mula menontonnya setelah 31 Ogos 2000 di TGV KLCC. Aku tahu ia bukanlah pengalaman yang manis (walupun usaha menguruskan latar besarnya boleh dipuji) kerana aku tidak pun membeli VCDnya waktu keluar (tak silap aku, dijual di KFC masa tu, bagi aku versi VCD seperti menghina versi sinema, tapi ini sememangnya masalah yang kami hadapi pada era dulu). Tapi ada suatu kejadian yang manis berlaku. Abang kedua aku, yang sememangnya pro filem Hollywood, dan memperlekeh filem-filem Melayu/Malaysia yang baginya sayu dan hina, setelah menonton filem ini, khususnya selepas imej akhir sebelum kredit akhir, iaitu syot burung kemudian statik Adnan yang mendepa tangan mata terbuka sudah dikepung oleh tentera Jepun yang bersedia untuk membunuhnya, telah keluar dari pawagam dengan semangat membara yang semacam, malah, terasa dalam dirinya, waktu itu, nak saja dia cepuk mana-mana mat salleh yang lalu di beranda pasar raya itu (tajuk akhbar: Remaja Melayu Tibai Pelancong Belanda Sebaik Menonton Leftenan Adnan, haha). Jika seorang pengkagum filem Barat, boleh, dengan perasaannya jatuh hati dan mencetuskan semangat bara yang sesuatu, walupun ada cacat celanya filem itu, aku rasakan, ini suatu pencapaian (nota ini buat Ku Seman yang tentu lebih objektif tentang masalah filem ini).
Malah, mungkin sebab itu, aku mengiakan kemenangan filem ini di FFM pada tahun itu, selain tiada filem yang betul-betul kuat keluar tahun itu (bayangkan, kita baru saja meraikan Jogho tahun sebelumnya, tahun 2000 pula Suhaimi Baba membikin Mimpi Moon, antara filem yang paling aku benci daripada sutradara yang aku sayangi itu, Pasrah Yusof Haslam masuk nominasi Filem Terbaik, masya-Allah!, begitu juga Syukur 21 ala filem fiksyen sains guna CGI pertama sepenuhnya [konon] yang lebih setaraf Mystery Science Theatre 3000 dinominasi, dan Aziz melahirkan juga Seri Dewi Malam tahun itu).
Mungkin antara kelemahan jelas yang aku dapati setelah menonton (dan melupakan) filem sokongan penuh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Finas ini ialah: (1) ketiadaan kesinambungan pertautan atau penyeluruhan rasa anggota bentuk filem yang utuh yang dapat kita panggil ia sebenar-benarnya sebuah "epik terunggul" (seperti yang dicanangkan tidak silap aku masa itu) (2) kurangnya kedalaman perwatakan Leftenan Adnan yang menyeluruh, yang dapat kita anggap sebagai seorang susuk watak yang kita dapat kenang-kenangkan, khususnya isi manusiawinya (3) babak perangnya bagi aku masa itu tidak spetakular, tidak benar-benar feel, dan rasa hanya babak semata-mata, (4) kerana faktor (3) ialah CGI buruk filem ini, khususnya jet pejuang Zero Jepun, dan (5) skor muzik Azman Abu Hassan bagi aku sangat membunuh filem ini, yang sememangnya lebih sesuai untuk sebuah skor okestra yang proper, walupun kecil ahlinya.
Dalam perbincangan Aziz M. Osman dan tim Isazaly dalam FB baru-baru ini, Aziz ada menyatakan dua hal yang diubah, satu suntingan keseluruhan, kedua babak-babak lawak yang baginya tidak perlu, telah dikeluarkan. Aku rasa, mungkin hal itu juga merupakan hal-hal cringe yang aku sudah tak ingat tetapi bersyukur Aziz sudah keluarkan, dan lebih mengkhususkan pada pemantapan cerita filemnya.
Adakah peluang kedua Aziz menzahirkan potongan dan versinya ini berbaloi?
Secara keseluruhannya, ya! Aku berani berkata, aku tidak berapa "terasa" apabila menonton waktu tahun 2000 itu, tetapi buat kali ini, selepas tayangannya di Netflix, aku menitiskan air mata (untuk makluman, awalnya aku tonton di laptop aku, namun efek dan adunan suaranya tidak baik dan aku masih membenci skor Azman Abu Hassan, tapi apabila aku ubah ke TV digital aku, barulah kesan bunyi, skor dan latar tata suaranya meremang dan membuahkan feel, malah baru aku berasa hormat pada skor Azman, walaupun aku masih membenci synthesizernya pada bahagian tertentu, khususnya penggunaan kecapi yang memang tipikal buat penulis muzik ini).
Secara keseluruhannya, ya! Aku berani berkata, aku tidak berapa "terasa" apabila menonton waktu tahun 2000 itu, tetapi buat kali ini, selepas tayangannya di Netflix, aku menitiskan air mata (untuk makluman, awalnya aku tonton di laptop aku, namun efek dan adunan suaranya tidak baik dan aku masih membenci skor Azman Abu Hassan, tapi apabila aku ubah ke TV digital aku, barulah kesan bunyi, skor dan latar tata suaranya meremang dan membuahkan feel, malah baru aku berasa hormat pada skor Azman, walaupun aku masih membenci synthesizernya pada bahagian tertentu, khususnya penggunaan kecapi yang memang tipikal buat penulis muzik ini).
Memang, terdapat banyak perkara yang dapat dipuji. Hal ini khusus pada babak perang (yang bersekuen dan panjang), yang kali ini jauh lebih terasa momen dan getir terdesaknya. Terasa nafas survival askar Melayu yang perlu berundur, sedikit demi sedikit atas kelemahan pimpinan Jeneral Inggeris di markas Singapura, yang terasa tidak cukup kelengkapan, anggota tentera ditambah dengan pegawai Inggeris yang main-main. Kini, jet pejuang Zero betul-betul jet pejuang Zero, melepaskan bom dan membunuh. Memang, aku rasa, babak dan pengarahan babak perang selepas 50 minit filem ini, semacam last standing (tajuk filem ini jika dibikin oleh Inggeris) pada askar Inggeris, dan di tengah-tengah Bukit Candu ini, kubur Leftenan Adnan, kita dapat merasai hilangnya maruah Inggeris dan munculnya maruah peribumi yang ingin, dengan sahih, pertahan akan tanah airnya dengan titis darah terakhirnya sendiri. Memang, ini kekuatan mana-mana filem perang askar kita kerana dokumentasi askar kita yang amat teliti, pengarah seperti Aziz mampu menzahirkan apa yang patut dalam "drama detik akhir sebelum Jepun menumpaskan Inggeris di Malaya" (menurut kredit akhir, lakon layar Aziz dibantu oleh Mej Ramli Abu Bakar dan AR Sulaiman). Mungkin tidaklah sedramatik dan segetir seperti Bukit Kepong, namun Aziz mampu mengguna pakai inci demi inci tanah berbukit dan minit demi minit keadaan yang berlaku sewaktu askar Jepun mara mendekati daratan akhir Leftenan Adnan pertahankan, dalam jalinan baik fakta mahupun pencerekaan. Hal ini sekurang-kurangnya jauh lebih baik daripada beberapa filem perang baharu yang kurang bermaya dari sisi itu.
Sinematografi Bade Haji Azmi yang bercita-cita tinggi itu, dengan skop luas tipikal sebuah filem epik, dapat dipakai dan dilaksanakan dengan gelora yang betul (walaupun terdapat kecacatan di sana sini dari segi ketajaman). Para pelakonnya? Kita gembira dengan para pelakonnya sebenarnya, walaupun kisahnya terlalu bendul dan lurus malah berbau propaganda (antara kontroversi yang diingati jika aku tak salah, ialah fakta salah Kesatuan Melayu Muda yang bersongkol dengan Jepun, namun menonton filem ini dengan sikap propagandanya, aku faham mengapa ia dilakukan). Sememangnya, ini kelemahan lakon layar Aziz, yang menentukan filem ini lebih sebagai "membina semangat patriotisme" semata-mata, maka tujuannya lebih untuk memburu pilihan mudah "agama, bangsa dan negara" itu.
Kita lihat sahaja watak Leftenan Adnan lakonan Hairie Othman pada babak beliau memberikan ucapan (rujuk dialog di atas) tentang kepentingan orang Melayu bercita-cita untuk menjaga negaranya sendiri, dengan menampilkan dengan takjub (dan bombastik) sekali tentang sejarah lama orang Melayu "membina kapal besar, menakluk seluruh Nusantara, membina empayar besar (Srivijaya, Langkasuka) dll.". Bagaimanakah dialog sebegini boleh berlangsung? Apakah kekuatan latar Adnan yang boleh kita kaitkan beliau bukan sahaja seorang pejuang yang tulen tetapi juga seorang budiman yang berilmu? Memang, aku suka dengan babak awal kisah hidup kanak-kanak Adnan apabila di depan bilah pisau sunat Tok Mudin (rites of passage lelaki Melayu) yang memberitahunya tentang penerusan menjadi pejuang "bangsa, agama dan negara"nya. Hal ini memang suci, dan dalam logik dunia Aziz ini kita diminta, mempercayainya (selain Adnan ditampilkan hebat dalam silat), maka sedalam mana lagi Adnan dalam hal kesedaran orang Melayu tentang kemerdekaan (aku juga kurang mampu mempercayai istilah merdeka itu sudah mula disebut waktu itu, mungkin aku silap?), sejarahnya, kegemilangannya? Kita juga tahu, selain bertujuan propaganda, dialog ucapan penting Adnan di depan kru tenteranya amat moden(!), suatu sikap yang aku rasa, masih belum menyerlah dan tersedar lagi secara kesatuan pada masa itu.
Jadi, dengan tali cereka dan ideal nasionalisme Aziz ini yang perlu kita pegang dan percaya mengapa, Adnan, sanggup melepaskan isteri dan anaknya balik dahulu ke kampung, dan bertahan seorang diri dengan penuh gagah di Bukit Candu. Adnan telah diberikan citra adiwira yang unggul, niat yang mulia yang sepatutnya dicontohi dan diikuti oleh generasi seterusnya, dan amat sesuai dengan masyarakat yang (mungkin) kekurangan penampilan tokoh pejuang dalam sebuah negara yang masih membangun.
Hairie agak membantu, khususnya setelah sahabatnya (Rusdi Ramli) sanggup mengorbankan diri. Hanya mungkin, pada bahagian-bahagian tertentu, Hairie, walau sejauh mana pun teknologi, tidak mampu menghilangkan kekakuannya. Namun postur dan susuk tegapnya masih menjelmakan kewiraan. Umie Aida, Faizal Hussein, Shaharuddin Thamby dan beberapa yang lain, masih turut menyokong, walaupun watak mereka hanya kadbod dalam sejarah riwayat Adnan. Paling buruk ialah para pelakon Inggerisnya, yang tidak menyampaikan dialog ala History Channel mereka dengan bersungguh-sungguh (satu babak yang sangat History Channel berlaku apabila peta Singapura di atas meja tiba-tiba bertukar infografik CGI moden).
Dalam, segala hal ini, Aziz dan semua kru pembikin dan pelaku di hadapan kamera (berapa ratus pelakon tambahan yang telah dipakai? Berapa ramai askar yang telah dikerah oleh ketuanya untuk berlakon dan menyumbangkan tenaga?) masih boleh dipuji hasilnya, memberikan suatu tanggapan dan idealogi moden walau simplistik Aziz terhadap maksud patriotisme dan rasa cinta negara, melalui perealisasian antara susuk tokoh wira kita yang sememangnya perlu dikagumi oleh generasi seterusnya.
Di Netflix, Vietnam juga turut mempunyai filem propaganda perangnya, The Scent of Burning Grass (2012).
No comments:
Post a Comment