Ini mungkin kali terakhir Bade dapat membikin sebuah filem perang. Filem perang bukannya mudah. Selain mendapatkan bajet yang sesuai (dan selalunya tidak pernah cukup), lokasi tempat yang sangat mencabar (lokasi perang kita, khususnya era Darurat banyak berlaku di dalam hutan, dan hutan merupakan latar syot paling misteri dan menyusahkan, rujuk sahaja Proof of Life, Platoon atau The Thin Red Line), pembikin kita harus meyakini Angkatan Tentera Diraja Malaysia untuk meminjamkan perkakas dan kelengkapan mereka (dalam filem ini, sebuah helikopter askar digunakan, dan paling menakutkan, ramai askar dan peminat tentera membantai poster kerana penggunaan helikopter black hawk yang dikatakan tidak kena dengan sejarah), dan belum lagi dengan perunding dan pakar sejarah/askar yang memberikan input bagaimana-apa yang berlaku dari sudut sejarah. Karya perang memang meremehkan, apatah lagi apabila banyak mata, khususnya penonton Malaysia yang begitu kritis dalam hal-hal kecil seperti prop (ingat isu batu-bata dalam filem Puteri Gunung Ledang?)
Namun begitu, tekanan dna kerahan hanya boleh dilangsaikan jika pengarahnya sanggup mengambil cabarannya dan menggerakkan film perang ini seperti seorang jeneral. Setakat ini, kita hanya dapat melihat Aziz M. Osman dan (Allahyarham) Jins Shamsudin berjaya dalam landasan ini, dan boleh dikira P. Ramlee juga yang mengambil alih kerja Lamberto V. Avellana yang melarikan diri untuk Sergeant Hassan (1955).
Apa yang Bade telah bikin dengan filem perang ini pula? Dalam filem ini, terdapat satu babak yang cukup baik dan terikat kukuh, mengikat dan menyampaikan pesona ketokohan Kanang yang molek dan sekali gus pengalaman betapa pahit dan menyakitkan kerja askar renjer ini memburu Komunis di dalam hutan (hal ini lebih jelas daripada Bravo V). Babak itu berlaku di pertengahan filem, sewaktu Kanang sudah berpangkat sarjen, menusuk di dalam hutan Perak (lokasinya mungkin tempat sebenar skuad Kanang bertempur). Babak itu sungguh senyap dan mendebarkan. Hijau menjadi pemandangan utama. Kita terlihat platun Kanang bergerak sedikit demi sedikit. Kanang, yang sangat superstitous (menurut ilmu "hilang" dalam hutan yang diwarisinya daripada datuknya) tahu ada musuh apabila kedengaran bunyi burung. Masing-masing mula mengambil posisi. Kanang paling depan, menuding dan mengarahkan prebet sebelahnya (dengan angkuh), "Jangan tembak sebelum aku tembak." Senyap. Tiba-tiba, kelihatan sebalik hijau-hijauan, sesuatu yang hijau dan hitam bergerak, seperti tompok di tepi lereng. Kanang lalu menembak.
Babak itu sahaja sudah begitu mengujakan. Kita bukan hanya dapat melihat perwatakan Kanang menyerlah, yakni beliau bukan sahaja berani buta, jantan, tampak bossy, tetapi ada sikap ingin melakukan suatu kerja itu dengan sempurna, seakan-akan seorang konduktor yang mengawal simfoninya. Ini dikuatkan pula dengan imejan sepenuhnya yang hijau dan pokok: misteri Khatulistiwa, yang menyimpan "pejuang-pejuang kiri" di sebalik buminya. Berlaku suatu gambaran "main nyorok-nyorok" di dalam hutan dan kejar-mengejar "1 2 jaga", namun ini bukan satu mainan. Dengan imej ini sahaja, kita dapat memahami mengapa ada "cadangan imej" Kanang yang belajar ilmu berjalan di dalam hutan, dan sebuah babak (walaupun tampak lesu) seorang pegawai tentera Inggeris ajak bermain nyorok-nyorok pada adegan awal filem ini bersama-sama Kanang yang tidak mahu masuk menjadi askar pada awalnya.
Semua ini sebenarnya bakal menghasilkan wayang yang menarik jika Asmira Suhadis, Zainal Fikri(?) dan Bade Hj. Azmi selaku penulis lakon layar betul-betul menyusun dengan baik dan dalam tangan Bade sendiri, mengetahui untuk menghasilkan imej bergerak dengan kemungkinan sebab-akibat yang baik. Setakat babak tadi yang baik, tidak ada babak atau adegan yang menarik atau menjadi petanda sesuatu yang baik daripada Kanang, wira kita, dalam filem ini lagi. Tiada pemusatan yang baik. Aku tidak rasa pihak tentera ingin menolak kreativiti imaginasi dan interpretasi Bade, seperti yang Aziz pernah lakukan terhadap Leftenan Adnan. Contohnya, seperti Kanang yang kita lihat begitu bongkak pada awalnya, malah ada satu babak dia memukul seorang pegawai Inggeris. Kita sudah tonton semua ini, tetapi kita tidak diberikan dengan suatu latar sejarah hidupnya (the why) yang membina perwatakannya (dan jangan bagi aku alasan dia mahu melakukan semua ini "demi negara tercinta" come on! Menghumban political correctness ke mata telinga penonton amat membosankan!). Ada peluang yang disia-siakan oleh penulis skrip dan pengarah. Salah satunya ialah dinamisme peribumi melihat keperluan mereka datang ke Semenanjung untuk berjuang (takkan Kanang dengan rela selamba berpindah ke Semenanjung, tanpa ada apa-apa babak menarik, sekurang-kurangnya satu wacana akan hal ini? Contohnya satu dialog daripada orang tuanya kepadanya: "Jangan kau tukar agama dan cara hidup kau bila tiba di sana.")
Menampilkan bodohnya skrip ini adalah apabila dalam satu babak, seorang prebet (pelakon tambahan yang kita tidak peduli pun) mati di depan mata Kanang. Tiba-tiba, out of the blue (even literally!) Kanang mengimbau memori (cinta)nya dnegan prebet itu yang Kanang sanggup tumpangkan rumahnya jika mereka mahu. Betapa palsunya. Di dalam pawagam waktu itu, aku mencarut "P*** mak!"
Contohnya, babak Kanang berjalan di dalam hutan, diajar oleh atuknya, hanya satu jalan sahaja, tidak ada berlaku suatu momen pencerahan kepada penonton, yakni, bagaimana Kanang belajar melihat, menyorok, memburu dan menjumpai sesuatu di dalam misteri hutan (come onlah, Hunger Games pun ada apa). Hal ini patut dikembang dan dikembangkan sampai kita dapat lihat mengapa Kanang "ahli" dalam kerja memburu dan menyorok di dalam hutan, yang membawa dirinya maju dan terus maju dalam kehidupannya sebagai tentera. Aku lihat, hal ini disia-siakan oleh Bade dengan syot sambil lewa konon ikut skrip di atas kertas. Tidak ada percubaan interpretasi yang lebih baik. Malah, memang, skripnya terlalulah selamat dan penuh dengan inti anasir propaganda "selamatkan negara". Lagi satu, penggunaan mimpi. Mimpi ini sangat penting, dan sangat kuat jika unsur ini dapat disampaikan dalam filem (kerana bukan sahaja mimpi itu ibarat menonton filem). Kanang sendiri menyatakan bahawa mimpi itu (penerangannya menjadi suatu kenyataan bahawa mempercayai mimpi bukan tahayul tapi cara hidup dan selirat darah jati diri orang Iban: ini kuasa anak bumi berhadapan dengan hegemoni budaya utama Melayu) suatu pengalaman-jambatan dia dengan alam roh nenek moyang. Mimpi juga membawa alamat (foreshadow) seperti Kanang merenung diri apabila bermimpi akan ayam tidak boleh menyabung (ini petanda sial atau buruk). Mimpi jugalah, seperti yang dicadangkan oleh filem ini mungkin, Kanang mendapat ilmu hutannya. Namun begitu, Bade telah mengambil lewa dan renyeh akan unsur penting ini, malah mengarahkannya dengan begitu longlai sekali, tanpa maksud tanpa gerak dan tanpa motivasi apa-apa.
Kalau kita baca dalam media sosial, orang asyik bercakap fasal lakonan hebat tiga watak Komunis yang dibawa oleh pelakon Cina (seorang lagi sebenarnya Melayu, Ruzana Ibrahim), menjunamkan kesemua lakonan watak lain khususnya tentera Malaysia termasuk Kanang. Sebenarnya, lakonan mereka terpuji, bukan hebat, tetapi kerana cara cerita mereka jelas ternampak struktur three-act itu, ternampak konflik dan peleraian, jadi penonton menganggap "ada lakonan". Hal ini tidak berlaku dengan Kanang dan isterinya (mereka kedua-duanya tampak watak utama filem ini), tidak ada perkembangan langsung. Mendatar. Dan ini bukan salah mereka kerana Langgi anak Kanang (lakonannya taklah buruk sangat, malah ada pesona Kanang yang menarik yang disampaikannya) dan Livonia Guing boleh berlakon (dia hanya diberikan beberapa watak merasai takut sewaktu keluar ke pekan dan meratap suaminya yang cedera, seperti mana-mana filem perang kita, sang wanita, itulah sahaja kerja mereka, duduk di rumah berharap dan menangis apabila suaminya cedera/mati - aku percaya wanita isteri tentera mempunyai dinamisme dan sudut yang lebih daripada itu). Tetapi skrip yang begitu selamat tidak memberikan mereka dinamis dramatik, tidak memberikan mereka drama untuk kita ikuti.
Kelesuan-kelesuan inilah yang ditandai berkali-kali dalam filem ini, dijahanamkan oleh Bade (Bade juga tim penyunting filem ini). Hal ini sangatlah dikesali kerana kumpulan pelakonnya sebenarnya sudah memberikan yang terbaik (bayangkan, pertama kali aku tengok Zachery Francis X-Factor boleh berlakon). Malah, inilah filem (adakah ini filem sulung perdana peribumi Sarawak?) yang bebar-benar mengangkat landskap sisi peribumi dunia Sarawak! Siap dengan dialek Iban dan perkayaan dunia Ibannya. Malah, skor muzik filem ini merupakan runut bunyi terbaik yang keluar untuk filem tempatan tahun ini sekakat ini. Namun lihatlah bagaimana lemahnya Bade mengarahnya, runut bunyi yang baik juga kadangkala terpesong niatnya atas tampalan imej-babak yang salah dengan emosi lagu. Jadi apa yang kita boleh bawa balik setelah menonton peperangan lesu ini (aku menguap berkali-kali, bayangkan) selain hanya satu rekomendasi peribadi atas perasaan cintakan wayang Malaysia dan cintakan sejarah perjuangan tentera kita? Takkanlah kita hanya mahu tersandarkan dua hal itu sahaja apabila pembikin filem kita terus menempelakkan kita dengan makanan basi?
3 comments:
Pembetulan: Salah sorang pelakonnya Zachery Francis, bukan Danny X-Factor tuan.
Benar, terima kasih! Saya lupa ttg itu!
orang iban sarawak
Post a Comment