21 December 2015

Jagat(2015): Jejak Suri Teladan


Rasanya, dengan penuh sedar, Shanjhey membikin filem neorealis yang penuh jiwa kemanusiaan ini sebagai homaj terhadap Satyajit Ray dan Pather Panchali (1955), apabila budak protagonis (lakonan amatur tetapi baik Harvind Raj) dalam filem ini mempunyai gelaran yang sama (Apoy) walaupun namanya Shankar, yang juga diberikan satu babak kereta api sebagai ruang permainan. Oleh sebab Apoy dalam judul "Jagat" (yakni "jahat" dalam slanga Tamil, yang juga bererti alam dalam bahasa Melayu), Apoy perlulah berbuat sesuatu "di luar batasan" gerakan masa dunianya (kereta api) lalu meletakkan batu-batu besar di atas rel kereta api sebelum kereta api merempuhnya, lalu dia berlari, bercangkung, menunggu, dengan telinga tertutup.

Betapa indahnya.

Filem ini (yang seeloknya masuk Berlinale dalam kategori yang sama dengan Mukhsin tahun hadapan), atas kanta anak kecil, dengan sikap yang penuh naif tetapi beraspirasi, meneliti, merasai, dan memahami "kejahatan" dan sengsara realiti dan sosialnya, melalui suatu singkapan yang menarik: mencari manusia dewasa yang sepatutnya dijadikan sebagai insan suri teladan (idola) untuk dirinya, Apoy, supaya menjadi manusia dan dewasa.

Dengan awal lagi pun, Shanjhey sudah melakukan jukstaposisi Apoy dengan masyarakat India zamannya (aku syak tempatnya di Perak, walaupun diletakkan hanya "Utara Malaysia") dengan babak pengenalan yang berkesan. Kita dipamerkan Apoy yang menonton televisyen (ada suatu dialog yang begitu mencuit apabila dia bertanya kepada pak ciknya, "Boleh tak kita hanya belajar dengan menonton televisyen saja?"), menekuni idola hero Tamilnya. Ini hiburan Apoy, tetapi (ingat), ini juga ritualnya. Apoy memerhati ke luar, satu rombongan orang kampung meraikan ritual kavadi (babak ini juga penting sebagai memahami watak dunia ini sedang menyampaikan korbannya kepada Murugan supaya permintaannya termakbul), suatu "pesta" dan ritual yang hanya diperhatikan oleh Apoy. Di sini sahaja, dengan gaya kelam cahaya dan bayang, kita sudah memahami sikap "ketepinggiran" dan terperangkap yang akan dilalui oleh Apoy, perbezaan Apoy dengan masyarakatnya melihat dunia, dan bagaimana jauhnya Apoy dapat mencapai apa yang diingini dalam hatinya.

Apa yang sangat baik akan filem ini ialah perpecahan-penjalinan cerita dan cara Shanjhey mengawal setiap liuk dan perkembangannya. Filem ini, tampak, jauh meninggalkan Chemman Chaalai (2005) dari segi naratif dan penceritaan (malah perkara yang paling dipuji ialah mengelak daripada menggunakan unsur melodrama biasa yang melanda filem Tamil). Semua kisah yang bergerak ditentukan oleh sebab-akibat wataknya terletak pada tempat yang seeloknya, dan semuanya mengikut gerak-akibat yang tersimpul baik. Malah subplot yang diusahakan diselesaikan dengan baik sekali bagi kisah tiga adik-beradik, Maniam (Kuben Mahadevan), ayah Apoy, Dorai/Mexico (lakonan sangat berkesan oleh Jibrail Rajhula), dan Bala (lakonan diam tetapi sangat kuat oleh Senthil Kumaran Muniandy), dengan sengketa/cabaran dan motivasi masing-masing. Hal yang mengikat ketiga-tiganya dengan fokus terhadap reaksi-motivasi Apoy, yang melihat, memerhati dan mencari suri teladan daripada tiga watak lelaki yang paling dekat dengannya. Hal ini menjadikan Shanjhey seorang penulis cerita yang perlu dihormati kerana berjaya menyulam ceritanya dengan serealistik dan selancar mungkin. Seorang pembikin filem muda yang amat ditunggu-tunggu atas ketelitian dan kebijaksanannya menyulam kata dan cerita.

Shanjhey bukan sahaja berjaya meletakkan hal cerita dengan baik, tetapi dengan kritikan jelas, menyampaikan hal politikal yang menganggu golongan terpinggir India tempatan apabila estet mereka dijual dan terpaksa hidup merempat di sisi kota dan membuat kerja daif dan buruh. Malah, itulah "kejahatan" sebenar yang mengelabui Apoy menemui suri teladan sebenarnya, dan memagar dirinya daripada menerima permintaan daripada dewa Murugan. Hal ini menarik lagi apabila watak-wataknya tidak dungu. Mereka matang menghadapi kesusahan, malah mereka hebat berhikmah akan hidup (rujuk dalamnya maksud Bala akan ciptaan alam laut dan gunung oleh Tuhan, ini mendekati humanisme Rosseau) dan memaparkan maruah yang kuat (rujuk cara Maniam dan isterinya menyelesaikan isu adiknya di penjara). 

Budak sekolah jahat, guru tanpa kasih-sayang, dadah membunuh, hidup samseng, pelacuran, kesempitan wang, semuanya hanyalah gula-gula hidup, gula-gula realiti sosial yang dikumam dan dimakan sehari-hari, membuat hidup mereka tidak berubah, terus sengsara (dengan baiknya, dirujuk pada ritual minum arak), sedangkan "sampah" atau penyakit sebenar yang diberikan (dan hanya suara sang politik sahaja yang berkata-kata tanpa makna di corong radio, tidak menjawab persoalan sebenar imej yang dipaparkan) jauh lebih serius dan menusuk ke dalam roh dan jiwa Apoy dan keluarganya. Filem ini jelas lebih matang apabila ia tidak sahaja memaparkan (jauh daripada berdakwah) kebobrokan hidup, tetapi watak dewasanya jelas sedar mendepani akan bahaya dan risikonya racun-racun dunia yang mengelilinginya (terdapat babak baik Maniam yang menyedari bahaya arak kepadanya), tetapi racun-racun ini, atas desakan suasana, tetap memerangkap manusianya untuk tidak keluar daripada ruang penjara yang sudah ditetapkan oleh sistemnya, walaupun mereka berilusi dapat keluar untuk sementara waktu. Mungkin, jawapan harapannya terletak pada Apoy. Dengan sedikit kesedaran kreatif dalam jiwa manusia, Apoy dapat melihat dirinya dalam cermin, dan dia dapat mengubah hidupnya. Simbolisme ini sekali gus indah dan memeritkan, menangkap maksud mendalam Shanjhey akan garis halus ilusi impian dan realitinya.

Teknikal filem ini tidak sempurna, jelas terlihat dalam suara, suntingan, dan tumbukan anginnya. Aku maafkan hal ini, bukan sahaja atas alasan neorealisme tetapi kekangan yang perlu diambil oleh kru untuk membikin krafnya sebaik mungkin, yang jika pengarahnya menekan lagi untuk kesempurnaan, mungkin mengambil masa sepanjang pembikinan La Strada dan Pather Panchali. Lakonannya amat baik dan berjaya menampakkan suatu tonjolan watak yang bulat. Space Gambus Experiment menyampaikan runut bunyi atmospheric yang cukup bergerak dengan imej.  Sinematografi Senthil Kumaran (yang juga berlakon sebagai Bala!) cukup berkesan dalam memahami tangkapan bayang, alam luar dan dalam, serta pembuakan emosi. Kerjanya suatu kenikmatan dalam sinema kita.

Aku amat mengingati babak Apoy, membuat panggilan palsu di talian kecemasan, dan menangis semahunya. Untuk babak itu, filem ini akan menjadi klasik.

Antara filem Malaysia terbaik tahun ini.

12 November 2015

Tayangan Khas Percuma: Badjau Anak Laut

Nota Fadz: Bernasib baiklah kepada sesiapa yang dapat hadir dan menonton sebuah daripada filem klasik Filipina berdasarkan keturunan Bajau (berkait juga dengan Taosug, Moro dan Sulu) di kepulauan selatan Filipina ini (yang beragama Islam, keturunan sama yang wujud di Sabah sekarang). Filem "romantik" dan aksi, yang merupakan percubaan pengarah dan penulis, Lamberto V. Avellana yang cuba mencari kandungan baharu dan "subaltern", yang lari daripada kebiasaan melodrama dan motif Kristian dalam filem perdana Filipina.

Malah filem ini dikatakan, amat "terasing" dengan bentuk budaya yang difahami oleh majoriti masyarakat Filipina, malah melihat filem ini sebagai suatu eksotik (judul Inggerisnya menambahkan lagi nilai ini, Badjao: The Sea Gypsies, namun hal ini berlainan dengan kita melihat pada Panggilan Pulau dan Aloha yang dicipta semata-mata mencipta keterasingan yang dapat dilawati) dan terpisah daripada kolektif sejarah bangsa mereka, walaupun orang Bajau (Badjau atau Badjao bagi mereka) memang wujud dan pernah mempunyai sejarah dan tamadun (kita tidak mengenali Kesultanan Sulu yang dahulu pun menjadi antara pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara) yang tersendiri.

Filem ini merupakan antara filem besar dan selalu disebut-sebut dalam senarai pengkritik filem Filipina sebagai 10 filem terbaik klasik Filipina sepanjang zaman. Lamberto merupakan pengarah yang diberikan laluan oleh Run Run Shaw untuk mengarah filem Sajen Hassan lakonan P. Ramlee itu. 

Silalah tonton, buatlah aku menyesal.


Wayang Budiman mempersembahkan TAYANGAN dan BUAL SANTAI
Citra NUSANTARA



BADJAU ANAK LAUT
(Lamberto V. Avellana, 1957, Filipina, 100 minit)

Filem ini berkisar tentang Hassan, anak ketua suku kaum Bajau yang telah jatuh hati dengan Bal-Amai, anak saudara kepada ketua suku kaum Muslim Taosug dari Mindanao yang tinggal di darat.  Walaupun Hassan sanggup meninggalkan cara hidup asalnya dan memeluk Islam untuk bersama Bal-Amai, hubungan pasangan ini cuba dihalang oleh suku kaum Taosug. Dengan sentuhan sinematografi yang memikat, filem ini difilemkan sepenuhnya di Filipina dengan menggunakan pelakon, tenaga kerja produksi dan sutradara Filipina. Lamberto V. Avellana adalah sutradara penting sinema Filipina yang pernah mengarahkan filem Sarjan Hassan lakonan P. Ramlee.

Lakonan: Rosa Rosal, Tony Santos dan Leroy Salvador

Anugerah: FAMAS Awards 1957 (International Prestige Award of Merit); Best Direction, Best Story, Best Editing, Best Cinematography (1957 Southeast Asia Film Festival, Tokyo)
___________________________________________________________________
13 NOVEMBER 2015 (JUMAAT) 8.30 malam

Pusat Kajian dan Apresiasi Filem, Alam Budiman, Shah Alam
No 18-2 (Tingkat 2), Jalan Pulau Lumut Q U10/Q, Seksyen U10, Alam Budiman, Shah Alam 40150, Selangor

Tayangan percuma / Tujuan pendidikan / Semua dijemput hadir PERTANYAAN: +603-7832 3944 / +6019-357 3944 (Azmir)

30 October 2015

Tiga Filem Tempatan untuk Diraikan

Nota Fadz: Nampaknya, Malaysia tahun ini, selepas Festival Filem Malaysia, selepas Polis Evo, terdapat deretan filem yang menarik dan dibuat sekurang-kurangnya dengan semangat dan berisi.

Rembat (2015)
Sharryl Othman, pengarah muda berpotensi dalam jejak komedi (tahun lepas menghasilkan Kami Histeria), sudah tentu akan dibandingkan karyanya dengan ayahnya, Hafsham yang amat dikenali sebagai pengarah yang telah menghasilkan sebuah filem era 1980-an yang diangkat-angkat oleh pengkritik zaman itu sebagai filem komedi terbaik yang berjaya membikin sebuah filem "Malaysia", khususnya dalam sikap muhibah, Mekanik

Aku sendiri, tidak dapat menahan membandingkan Rembat dengan Mekanik. Filem yang ditulis oleh Amir Rohayat dan Rafidah Abdullah ini, bagi aku, lebih superior dalam banyak segi daripada outdated tetapi nostalgik Mekanik. Filem komedi, untuk tahun ini, yang sesuai dalam masyarakat "muhibah" yang tidak menipu, duduk letak menarik, dan sempat menyuntik, malah menumbuk kritikan sosial yang amat-amat perlu akan keadaan masyarakat kita yang penuh dengan kelemahan, kegilaan, dan eksentriknya.

Jika dilihat pun, terdapat gerakan semacam tidak linear dalam Mekanik, yang dihentak-hentak dalam jalan ceritanya. Hal ini kebiasaan, khususnya dalam menampilkan bahawa komedi bergerak dalam sketsa, maka terasa bersegmen-segmen (dan ada yang menjadi klasik, restoran-warung, menari waktu hujan, dan dialog orang biru Susan Lakanster umpamanya). Rembat juga, mengambil gerakan yang sama (bentuk sama pernah diguna pakai oleh Aziz dalam francais Senario dan Zami untuk Dunia Baru), sketsa berlaku dalam segmen, tetapi kali ini, garisan linearnya terasa, terdapat struktur, tidak  terasa raw, seperti Mekanik.  Biasalah, bandingkan filem komedi Mel Brooks, Carry On, atau Monty Phyton, dalam sketsa-sketsa itu, akan ada yang menjadi, ada yang tidak, begitu juga dengan Rembat (untuk era sekarang, kita tidak terasa kelakar, malah bosan pada segmen babak hantu Jepun), yang melonggarkan struktur ceritanya, termasuk beberapa babak penyelesaian. Namun, yang lebih penting buat filem komedi ialah unsurnya untuk membuat kita ketawa, dan betapalah aku dapat ketawa dalam beberapa babak yang segar, dan lawaknya itu bermaksud, dan ini yang terdampar ada, dan menjadi perhatian.

Gerak cerita filem bergerak seperti sebuah filem jalanan, dua manusia Malaysia berbeza etnik ditemukan dalam Aniu dan Shaheizy Sam (kedua-duanya memberikan lakonan yang amat menggalakkan, malah menenggelamkan watak-watak sampingan lain). Aku berasa, perhubungan mereka dan gerak suka-benci antara mereka berdua menjadi, malah terdapat sentuhan manusiawi dalam menyelesaikan misi mereka yang tidak sudah-sudah diberikan halangan. Terdapat halangan yang baik dan terdapat halangan yang tidak munasabah. Filem ini turut, pada era ini, relevan dalam mentafsirkan maksud politik kotor dan mainan rasuah (bukan sahaja FIFA) masyarakatnya, suatu lemparan yang agak berani terhadap keadaan politik dan gerak masyarakat sekarang. Tetapi, terutamanya, filem ini sebenarnya sebuah filem yang suam-suam menyelitkan suara patriotik dengan sinis, mengejek-ejek masyarakatnya yang hilang identiti, dengan baik sekali, memaparkan kita lebih Barat daripada Barat, lebih Timur daripada Timur (kerana sikap tidak mempercayai kekuatan dan keunikan jati diri dan diri sendiri - jelas sangat dengan PAGE yang bergedik nak kembalikan PPSMI, sebagai contoh), melebih-lebih, dan banyak sekali bersikap tidak apa. Namun, dalam kekurangan kita, setelah diejek oleh Sharryl, Amir dan Rafidah, kita, seperti khalayak penonton filem ini, bersama-sama menyokong, memberikan galakan dan semangat terhadap nilai yang kita lihat sebagai baik dan kita mahu dikekalkan; mempercayai diri sendiri (dan jati diri), cinta dan perpaduan, kerana kita, mahu tidak mahu ialah masyarakat Malaysia. Begitulah optimis dan seimbangnya filem ini, cuba bercakap dan berhubung dengan masyarakatnya sekarang.

Love, Supermoon (2015)

Mungkin babak penyelesaian dan pengakhiran filem chic flick ini buat aku dan isteri aku (tapi taste isteri aku ialah Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu, jadi ...) terlalu tergesa-gesa, tetapi secara keseluruhan, filem ini, mempunyai tahapnya yang tersendiri dalam filem komedi romantik tahun ini.

Filem ini sangat tempatan, mengambil sikap abang angkat dan adik angkat (kredit awal filem sedikit longgar, tidak ada simbolisme kuat yang memberikan petanda filem ini tentang apa) yang kemudiannya menjadi battle of the sexes antara dua pelakon hebat, Farid Kamil dan Nadiya Nisaa', dari sekolah menengah, sehingga bekerja dan kahwin, dari 90-an hingga awal abad ke-21. Pergerakan kisah mereka berdua, dan sang lelaki dengan cakapnya, dan sang wanita dengan cakapnya, mereka berdua pun bukannya "seia" dan "sekata", tetapi, seperti munculnya bulan (ah, sudah lama tidak menonton Moonstruck!), kita tahu, mereka akan menyatu (walaupun mungkin sekejap?). Ya, inilah When Harry Met Sally kita yang menarik.

Perkara yang aku suka tentang filem ini ialah kejujurannya membina ruang lelaki dengan percakapan dan kefahaman dan cuba memahami (atau mengejek) kaum hawa, dan sebelah wanita pula, dengan Nadiya-Rita-Anne yang, apabila bertemu tidak habis-habis mengumpat(!) tentang setiap orang yang bagi mereka tidak kena (dan sudah tentu, yang jelas tidak kena di sini ialah watak Farid). Gerakan era demi era ini menarik (selain amat-amat menekuni perbezaan dan perubahan latar dan budaya popnya), seakan-akan menyatakan, dalam sikap yang positif, bahawa manusia, Farid dan Nadiya, akan berubah mengikut masa, jika diberikan peluang. Peredaran dari satu zaman ke zaman ini juga perlu, dalam memberikan "perjalanan kematangan" kepada watak-wataknya, khususnya Farid dan Nadiya dalam menguatkan lagi logik penyatuan mereka. Aku mempercayai dan merasai gelisah dan cabaran Nadiya, dan perasaan intim yang disimpannya. Aku kurang mempercayai Farid, walaupun pengarahnya berusaha memberikan beberapa cue bahawa Farid "mengingati" Nadiya. Namun yang penting, seperti bulan (simbolisme ini penting, mengambil kefahaman "datang bulan" para wanita), dalam peredaran zaman, manusia sebenarnya dinamis dalam membentuk dan membangunkan diri mereka, dan sikap inilah yang diambil oleh filem ini. 

Kesemua para pelakonnya baik. Pujian sebenar haruslah diberikan kepada Wan Hasliza sebagai penulis dan pengarah kerana berjaya memberikan suatu karya komedi romantik yang matang. Mungkin runut bunyinya belum mencapai kesempurnaan, tetapi dalam banyak perkara, filem ini tidak perlu terlalu bersungguh-sungguh dalam bentuk dan teknik, kerana watak, gerak cerita dan percakapan dialog dalam filem ini yang menjadi bintangnya. Wan Hasliza bukan di tempat Rafidah Abdullah (Rafidah lebih mendekati Amy Heckerling dan John Hughes) tetapi berada di tempat seperti Nora Ephron dan Amy Schumer, dan kemungkinan dalam liga Woody Allen dan Robert Altman jika kita dapat melihat perkembangan filem-filem seterusnya. Bagi pencipta francais baik, Dunia Baru, dan siri komedi terbaik peribadi aku, Keluarga Iskandar, dan pengarah Penunggu Istana, filem ini merupakan suatu milestone buat pengarah-penulisnya. 

Juvana 2: Terperangkap dalam Kebebasan (2015)

Faisal Ishak, dengan bantuan penulisan Alfie Palermo, nampaknya meneruskan francais televisyen ke filem berjaya, Juvana, dengan beberapa watak dan penyimpangan baharu yang menarik, gelap dan mengancam dalam sekuel kali ini. Sekuel ini amat gelap, dan mungkin sedikit mencurigakan bagi beberapa penonton kerana sikap Faisal dan Alfie yang mengambil jalan "tergantung" untuk menyelesaikan filem ini dalam suatu trilogi. Namun perkembangan yang dibuat, meneruskan kisah Daim, Botak, Ayam, (kali ini Apek belum keluar daripada juvana), Kicap, dan kawan-kawannya, membuatkan filem ini mempunyai potensi sebagai antara francais terbaik yang pernah dihasilkan oleh pembikin Malaysia.

Dalam sekuel ini sahaja, kita seakan-akan diberikan suatu semangat The Wrath of Khan (setelah sedikit kecewa dengan filem awalnya) akan perjalanan dan pengalaman Daim, Botak dan Ayam di luar ruang penjara juvenil. Daim sudah bergerak menjadi manusia biasa, dengan menekuni sarjana mudanya dalam undang-undang bersama-sama dengan aweknya. Ayam pula diberi amanah menjaga adik-adik Apek (mereka tidak ada ibu bapa). Botak mempunyai cerita yang paling menarik (dan Johan As'ari merupakan bintang utama dalam filem ini, lakonannya, sangat fenomena), kembali ke rumah ayahnya yang kini menagih dadah dan berhutang along, yang semuanya menjerat kembali anak-anak penuh harapan ini pada kegelapan dunia samseng dan dosa mahal.

Dalam gerak ini, Faisal dan Alfie memberi pula suatu kejutan apabila bekas pengetua sekolah budak jahat itu, Tuan Raja, yang dimainkan dengan berkesan sekali oleh Hasnul Rahmat kini datang menyusun jejaknya. Rancangan dan gerak lakunya, dengan tasbih di tangan, duduk bersila di atas sejadah, memberikan suatu imejan dan gerak laku yang amat fenomenal dan menakutkan. Raja, sememangnya suatu bayangan iblis yang amat berjaya diungapkan oleh teks dan wayang, yang turut membayangkan bentuk wajah ahli politik yang menggunakan ilmu dan kefahaman agama untuk menyesatkan manusia.

Segalanya baik kali ini, lakonan, gerak dramatik, sinematografi, runut bunyi, malah aksi, dipadu dengan dialog-dialog yang mengancam dan suatu hari nanti akan menjadi legenda tersendiri. Kini, anak-anak ini bukan lagi bermain dalam benang rites of passage, tetapi jerat dan seram dunia yang tidak adil untuk mereka, karma jahat terhadap kebaikan yang mereka cari dan temui sewaktu di dalam sekolah itu (atas sebab itu, babak dan latar sekolah itu sekarang sudah menjadi tempat liburan menjadi lapisan yang penting di sini, bukan sahaja menegakkan agakan bahawa tempat seram/hitam itu sudah dipasifikan). Filem ini seperti suatu lorong yang kelam dna menakutkan, di bawah tanah Vienna dalam filem The Third Man. Kita ialah Harry Lime yang berlari mencari jalan keluar yang semuanya sudah diperangkap oleh samseng dan takdir jahat.

Untuk apa manusia berdendam? Untuk apa manusia mengguna manusia lain? Kenapa manusia terperangkap dalam rumah sesat dosa dan hitam? Watak bekas juvenil ini terpaksa mendepani persoalan dewasa ini sekali lagi dengan keadaan yang amat merumitkan, dan mungkin akan menjerat mereka selama-lamanya dalam takdir yang mereka tidak mahukan. Dan, memang, setakat ini, kemanusiaan dan kematangan mereka masih waras dan bertahan (malah, dipaparkan, dapat memaafkan), tetapi semua ini, nampaknya akan selesai terjawab dengan bahagian ketiga yang seterusnya. Suatu filem aksi, jenayah, dan gelap yang menarik pada tahun ini untuk diikuti.

04 October 2015

Girlfriend Kontrak (2015)

Ia amatlah menarik untuk memerhati suatu novel picisan Barat diangkat dan kemudian disesuaikan ke dalam bentuk tempatan, hasilnya akan mengundang baik dan buruk, suatu risiko yang diambil oleh GB dan pengarah baharu, Virginia Kennedy dalam latar chic flick dan rom-com. Bahan yang diangkat itu ialah 50 Shades of Grey, dan filemnya ialah Girlfriend Kontrak.

Kita diberikan imej ini: Alisa (Nur Risteena) yang kelihatan lurus bendul, pasif, malu, dan tidak mempunyai pendirian sendiri memasuki alam moden, Barat, material dan "makan memakan" korporat apabila kelurusan bendul Alisa mendepani cermin kaca pejabat Umar (Keith Foo), Monaki (hah kau! - bangsawan) Development. Bodoh-bodoh alang Alisa sekali lagi diperuji apabila Umar, yang menyedari "kebendulan" gadis itu, membuat langkah untuk "memegang" Alisa sebagai aset dalam menyelesaikan masalah peribadi yang mengganggu-gugat dunia niaganya, ya, sebagai seorang Machiaveli yang mengikuti kekuatan kapitalisme yang tulen, Umar akan menggunakan sedaya upayanya untuk memanipulasi kebendulan Alisa.

Jika 50 Shades mempunyai alasan untuk melihat permainan tuan-hamba (S&M) dalam alusi dunia korporat antara tuan pengarah-pekerja, filem ini, dengan menarik sekali, meneliti pemerkasaan wanita tempatan dalam dunia patriaki lelaki yang serba kapitalis (hanya mencari keuntungan) dan hanya melihat wanita sebagai "barang" untuk digunakan dan dimanipulasikan untuk keuntungan peribadi dan perniagaannya (kerana filem ini boleh sahaja pergi lebih 18 dengan membuatkan Alisa ke arah kepelacuran, tetapi itu sudah terlalu melampau). Aku gerenti, dengan peliknya, penonton wanita yang ambil mudah dengan bersetuju dengan kerelaan Maya Karin dirogol oleh Aaron Aziz akan sedikit terganggu dengan tindakan dan keputusan Alisa yang "sanggup ikut" kemahuan Umar yang menghina maruahnya. Kenapa? Sebab ruang empat dinding itu sudah dipecahkan. Dalam Ombak Rindu, filem itu, dengan pelik "mengikat" Maya dengan Aaron dengan "perkahwinan sah" mengikut agama, dan menjaga aib (walaupun Maya jelas macam perempuan simpanan) wanita itu dengan ditutup dinding rumahnya. Alisa, dalam Girlfriend Kontrak diherdik, dimalukan, dan ditelanjangkan kerapuhan (vulnerability) Alisa berkali-kali di hadapan khalayak dan Alisa tetap, dengan kepala tertunduk, menyerap segala kemaluan itu atas "sesuap rezeki" dan kepercayaannya terhadap Umar untuk membantunya menyelesaikan masalah kelip-kelip berdekatan kampungnya. 

Walaupun premis ini, tampak polos dan rapuh (mana wanita yang sanggup melalui kepasifan Alisa?) tetapi perjalanan Alisa lebih mulia daripada Maya (dan hal ini boleh diperdebatkan). Ada semacam suatu keberanian pada pihak Virginia untuk memaparkan kepasifan wanita Melayu dari kampung ini, yang dibuli oleh adik sendiri dan kurang kepercayaan diri. Sedikit demi sedikit, Alisa, yang melalui suatu rutin Cinderella (atau dalam budaya kita, Bawang Merah), bukan sahaja akan mencari bestari dirinya, memperkasakan dirinya untuk berdiri dan menyampaikan perasaan dan hatinya (kita sudah masuk dalam ruang feminisme tuan-tuan puan-puan), tetapi menarik pengaruh terhadap keyakinan dirinya. Hal inilah yang menarik dan lebih mulia daripada Ombak Rindu.

Mungkin ada yang menyoal ketidaklogikan plot dan gerak dan susun babak. Terdapat juga adegan janggal, tetapi hal itu diselesaikan dengan komedi dan cara filem ini menyampaikan cerita, khususnya dengan kecelotehan Azad Jasmin dengan Keith Foo. Azad seorang fenomena dalam filem ini, mengikat filem ini sebaik-baiknya dengan kebijaksanaannya, lidah tajamnya, dan cara dia melihat dunia orang kaya orang miskin yang tidak menipu. Malah kekuatan filem ini datang daripada dialog tajam, lucu dan cepat yang disampaikan oleh pelakonnya, semuanya mempunyai makna dan disampaikan dengan tajam. Tidak pernah aku tonton sebuah filem komedi kita dengan dialog lucu setajam ini. Hal ini juga memberi dinamisme dan pembangunan antara watak dalam filem, dan hal ini dibuat dengan seselamba dan secepat mungkin. Lihat sahaja babak Azad yang tidak mahu menaiki bot, dengan menyatakan "Saya nampak macam Banana", ia bukan sahaja dialog lepas memberi alasan tetapi suatu pemerhatian tuan-pekerja (sebelum itu, Azad sudah nyatakan, "Tidak ada sesiapa yang kata tidak kepada Umar") yang melihat bagaimana pekerja juga dapat memanipulasi tuannya. Dan hal inilah, yang sedikit demi sedikit, kita menyedari, akhirnya, bentuk rigid, keras, dan objektif material dan kapitalisme juga boleh tunduk dengan kemanusiaan dan kelemahan manusia terhadap manusia lain, dan ini disampaikan dengan baik sekali oleh filem ini.

Semua pelakon berwibawa, malah pelakon baharu (sebelum ini dia berlakon dengan nama lain) Nur Risteena Munim tampak cerah untuk menjalani dunia heroin Malaysia. Keith Foo yang kelihatan gempal sedikit juga begitu, mungkin tampak sedikit kurang serasi dengan Risteena (kerana perkembangan mereka untuk bercinta itu kurang ditampakkan dan berjaya meyakinkan aku) tetapi usahanya menyampaikan watak jutawan muda, dengan hidupnya yang serba laju, berbudaya dan penuh drama dalam kalangan keluarganya, tampak hidup dan mengganggunya. Mereka turut dibantu oleh pelakon lain, termasuk Fara Fauzana (agak biasa namun menarik melihatnya mencuba) dan Bront Palarae yang terlepas juga jari tengahnya.

Filem ini amat dibantu oleh busana dan penataan seni yang berguna (functional), ditunjangi dengan kumpulan produksi yang membuat filem ini tampak baik dan sedap dipandang. Sinematografi Wan Chun Hung baik dan memanipulasi ruang dan latar dengan sempurna dalam babak-babak kampung, yang mulanya menyiarkan kesuciannya, dan kemudian mood romantiknya. Babak dunai moden dan pejabat juga baik, walaupun ada permasalahan dari segi duduk letak ruang dan sudut dalam beberapa babak, yang mungkin cuba diperbaiki sebaik mungkin oleh Kate James sebagai penyunting. Bunyi dan muzik latar Addaudio juga amat membantu, dan menjalankan kerja membuat filem komedi ini tidak tampak bodoh dan slapstik, tetapi cukup sederhana meletakkan mood dan ruang cerita.

Sinema filem ini, yang menaraf pada jalan fantasi dan komedi romantik, berjaya juga memberikan imej sinema yang sepatutnya, dan kemungkinan susah untuk dipukul oleh filem-filem seterusnya (kita lihat nanti) apabila meletakkan sebuah porche laju menghalang sebuah bas kampung di tengah jalan kampung di tepi kawasan kampung. Imej itu sudah cukup menyatakan, kita sudah bersedia dengan filem yang baik dan menyeronokkan. 

Klasifikasi Girlfriend Kontrak: P13, terdapat lawak yang mencadangkan homoerotik dan seks yang memerlukan bimbingan penonton yang belum matang.
DITONTON DI TGV Wangsa Walk.

29 September 2015

BravoV jumpa Polis Evo dan Jwanita

Yang pendek-pendek sahaja ...

Bravo V (2015)

Bravo V mempunyai suatu potensi yang disia-siakan. Kita boleh nampak perkara ini berlaku apabila Mejar Zainal Hayat melalui 26 kali pengolahan skrip untuk menceritakan lima komando "Rejimen Gerak Khas" pada tahun 1989 (tahun yang kita tidak terasakan adanya ancaman Komunis walaupun golongan pengganas ini masih melata hutan kita) masuk, dengan penuh senyap, tanpa pendedahan sejarah, ke dalam hutan "kawasan strategik tengah Semenanjung Malaysia", cuba melakukan misi menyelamatkan anggota tentera daripada kem utama Komunis.

Filem ini sepatutnya boleh menjadi sebuah tragedi dalam aksi-seram di dalam hutan yang berlaku terhadap lima komando yang menaruhkan titik darah mereka untuk negara. Kesalahan yang paling jelas berlaku apabila Mejar Zainal dan Yeop, menyedari bahawa si survivor selalunya menjadi "pencerita" kerana daripada kepala-matanyalah sumber cerita ini kita dapati (dan dibikin filem), tetapi tidak menumpukan berat latar dan perkembangan watak terhadap survivor itu dan mengambil langkah (hal ini tidak salah pun sebenarnya) mempromosikan kisah kelima-lima komando tersebut secara seimbang. Keseimbangan ini tampak sesuai dalam idealogi (saksama 1Malaysia Najib) tetapi bukan naratif, kerana naratif memerlukan suatu watak to root for sehingga akhir, meletakkan simpati kita terhadapnya sehingga akhir, dan melihat kesudahannya selamat atau tidak (contoh mudah, lihat perkembangan naratif Ripley dalam Alien). Apabila kelima-lima watak itu diberikan masa dan tumpuan yang seimbang, penonton hilang arah (yang kononnya seperti membuat kita agak-agak atau meletakkan harapan kepada kelima-limanya), dan risaunya tidak peduli, maka jadilah ia sebuah "satu lagi drama Hallmark" atau lebih buruk lagi, mesin propaganda Kerajaan terang-terangan (dan filem ini ada banyak hal itu yang tidak perlu dinyatakan di sini).

Kekuatan filem ini jelas tampak dalam usaha ia membina alamnya, seni latarnya. Hal ini dibuat baik sekali, dengan jelas, khususnya dalam pembinaan kem Komunis, ruang dan desa kampung, kem askar, dan hal ini mendapat bantuan terbaik kalangan tentera kita. Jelas, dunia malam, warna hutan dan feel komando ini memasuki hutan, terasa. Ini bukan Platoon (mereka tidak mengenali alam asing itu, ini mereka kenal, kerana tanah tumpah mereka juga) dan mereka tahu sasaran mereka. Hanya takdir tidak menyebelahi, dan pelbagai kesusahan dilalui. Kesusahan ini terasa dalam beberapa momen,

Kekuatan sebenar jatuh pada beberapa lakonan, khususnya Remy Ishak dan khusus lagi Beto Kusyairy yang sangat cemerlang (dia sudah larut dalam watak tersebut, hilang habis). Kekuatan mereka ini tidak pula diimbangi dengan satu hala dan dimensi dan dibuat-buat oleh lakonan Sofi Jikan, mungkin dia secara prasedar menyampaikan mesej kepada para penerbit: Aku sudah tak larat jadi orang jahat, bongok! 

Aku ni jenis manusia cepat menangis, dan akhir filem ini bikin aku menangis walaupun tidak tahan dengan iklan superfisial 1Malaysianya. Geram aku. Dalam hal ini runut bunyi akhir Edrie Hashim sangat berjaya, walaupun pada awal dan pertengahan, lagi-lagi pada beberapa babak, dia tidak tahu maksud sebenar lagu latar, dan ini sangat mencacatkan filem ini. Lebih-lebih lagi suntingan filem ini dan keseimbangan sudut dan gerak sinematografinya, walaupun seakan-akan ada percubaan aksi yang mantap. Ada percubaan, dan ada kebaikan, tetapi tidak cukup untuk menjadikannya baik atau above par dalam filem genre perang.

Polis Evo (2015)

Ghaz, pensyarah jadi pengarah video muzik kemudian pengarah drama berangkai televisyen kemudian pembikin filem bajet rendah KRU yang aku percaya akan mengubah cara kita membikin filem komersial akhirnya membuktikannya. Inilah filem tahun ini yang dikatakan oleh orang ramai sebagai "penyelamat" industri perfileman kita, benar dari satu segi, yakni how to make a well made commercial formulaic movie. Filem ini filem pop corn, kena jelas hal itu, tapi bertih jagung ini berjustifikasi dan sampai. Ia dijaga dan dijaga dengan baik. Pertama yang perlu aku puji ialah skripnya, yang ditangani oleh empat orang (baca tu!), walaupun ada lubang plot (kalau dah tahu polis akan siasat, afasal biarkan mayat terjulur tengah jalan di pekan kemudian sibuk-sibuk nak rahsiakan penglibatannya?) tetapi dialognya sangat enak, malah ada dialog semacam menghambur iklan antirokok Kerajaan menjadi suatu bertih yang sungguh asyik malah mempunyai fungsi dengan cerita.

Teknik produksi filem ini seharusnya dipuji, kesemuanya sangat cemerlang bagi sebuah filem komersial aksi dan jenayah, semuanya dirancang dan disusun gerak dengan baik, malah aku sentiasa bising kita tidak punya aksi kareograf yang mantap, dan filem ini membuktikan bahawa kita ada (walaupun jauh hendak mencapai apa yang The Raid sudah capai dari segi estetika aksi). Runut bunyinya juga tidak membingit, babak dan syot tampak hidup dan mengalir laju, sedap, malah berjaya mengimbau alam ikonik dan sinema dalam Kuala Terengganu, berjaya menghidupkan suasana dan tempatnya menjadi tempat-tempat sinema (kita akan menemui persamaan papan tanda Kuala Terengganu dengan Hollywood, dan ini disengajakan, dan disengajakan lagi dengan niat: Allah Peliharalah industri perfileman kita yang semakin nazak). Bunyinya sedap dan hidup. Cahayanya kena. Susah mencari cacat-celanya.

Lakonan juga amat berjaya, dengan keselambaan benci sayang Zizan-Saheizy yang sangat serasi (usahlah dituduh bawah jelmaan Bad Boys dan Lethal Weapon sahaja, ini filem formulaik, filem buddy-cop yang sudah disempurnakan dengan parodi Hot Fuzz, yang menampilkan tanpa segan silu memang filem ini bersumberkan Hollywood) dengan pertembungan tikus bandar-tikus kampungnya. Menariknya, Zizan tampak sangat seimbang dalam filem ini, tampak hidup dan lawaknya tidaklah dibuat-buat macam biasa. Saheizy pula akan diingati sebagai mamat sado baharu yang akan terisi dalam banyak mimpi indah para wanita di malam hari. Nora Danish juga tidak menghampakan.

Suatu percampuran yang amat menghiburkan dan mesti ditonton walaupun sekali tahun ini.

Jwanita (2015)

Inilah jawapan Osman Ali terhadap generasi pencinta novel Fixi sekarang: cerita gelap pulp murahan yang sanggup melangkaui tahap-tahap ekstrem untuk mencuit atau memutar bebola para penonton/pembacanya hanya kerana dia suka membuatnya, tanpa ada apa-apa tanggungjawab (kalau nak tanggungjawab, kita boleh selitkan beberapa ayat Quran, nah amik kau). Terima kasih kepada Osman, filem ini sengaja mengimbau banyak hal, bukan sahaja dengan sengaja meminjam segalanya yang ada dalam pembikinan n-g-e-r-i, yakni, seram campur psiko campur psikologi ngeri campur dark fairytale campur novel popular jadi salah campur campur bomoh campur gothik, dengan mainan pascamoden over the top yang boleh difikirkan oleh Osman, seakan-akan Osman, sudah hilang akal, dan Maya Karin yang pernah dirogol oleh Aaron Aziz, kali ini melepaskan dendamnya bukan lagi menuku macam betina bodoh di tepi batu ombak laut tapi dengan benar-benar "merogol" orang lain dengan cara slasher dan voodoo (hah, amik kau pascamoden), baik lelaki, atau perempuan, dan kalau boleh, budak-budak.

Itulah Jwanita tuan-tuan dan puan-puan, makhluk liar seks jahat penuh dendam misogini dan self mutilation dalam dunia pascamoden ini yang penuh berahi dan emosi yang tidak tertahan-tahan, sanggup memakai gaun merah menyapu pasir pantai untuk efek "kita dalam filem rujukan Argento sekarang korangz." 

Skrip filem ini memang bodoh dan usahlah para pendabik nak tunjuk pandai bangat ala sofistikated, Öhhh, bodohnya filem ini, apabila rujukan filem ini jelas-jelas mengambilnya daripada dunia seram Itali, khususnya Argento dan Fulci (babak pembunuhan Nona jelas, diambil daripada momen seram dalam The Beyond Fulci) yang juga banyak memaparkan cerita dan premis filem yang sama bodoh, wanita seksi lari-lari dalam darah, tetapi yang penting dalam hal ini ialah mencanangkan terror (orang akademik lagi dajal, memanggilnya expressionist horror). Memang ada terror yang tidak menjadi. Tetapi untuk babak Jwanita mencalar dirinya dengan pisau, sambil menampar tangan berdarah itu pada pipi Nona si orang gaji dengan dialog "Kau dah tak sabar-sabar nak kena siat dengan aku ke?" menjadikan darah gelap ini yummy dan suatu apresiasi kepada betina-betina setan tak tau malu nak mampus, atau the psycho-bitch from hell, atau dalam konteks filem ni: the sister whore from hell.

Inilah filem, yang Mamu biasa panggil it is soo bad its good. Filem-filem jenis ini sudah tidak dibikin lagi sebenarnya (dan Osman berani mengembalikannya), yang dahulu sangat hidup pada era filem-filem seram buruk tapi seronok dari Indonesia era 1980-an (korang tak usah bernostalgia bodoh bahawa filem era tu klasik, dan ya, mother of all bad, Misteri Rumah Tua tu). Oleh sebab itu, apabila Maya tiba-tiba feel 80-an dan runut bunyi lagu romantik keluar (dalam sebuah filem seram, ingat Pontianak Harum Sundal Malam?), kita tak boleh lepas daripada teringatkan Suzanna pernah meniti tali titi yang sama, dengan gaun putih bodohnya dan feel-feel gersang tapi sucinya, sekejap dendam, sekejap berahi, sekejap kelar tangan sendiri, selalunya atas tujuan menuntut bela dan perangai minah "I hate the world" yang entah apa-apa. Dalam dunia pascamoden Osman sekarang yang tidak ada nilai, semuanya boleh, semuanya jahat. Jwanita tak perlu pun ada latar kenapa dia benci sangat kat adiknya ("Kau tinggalkan aku" - macam terpacul daripada babak soap opera, darah dan pisau segala), dia hanya benci, dan dia hanya bernafsu. Itu sahaja yang menghidupkannya, membuatnya terus mencari "cinta". Kehadiran Umie Aida sebagai dukun dari seberang tidak disengajakan dalam hal ini.

Runut bunyi filem ini hancur, menghancurkan mood seram filem ini, tetapi itu mungkin disengajakan kerana era 80-an filem seram Indonesia juga bergerak dengan tempo disko. Suara efeknya sangat murahan, sengaja mungkin untuk ambil feel novel-novel popular yang mengimbau dialog-dialognya.

Lakonan filem ini memberangsangkan. Dalam dialog-dialog lemahnya, tiga pelakon wanita ini begitu berjaya menyampaikan keadaan bahawa hal ini benar-benar dan menjadi asam garam yang real bagi mereka, Maya Karin, Chiristine Suzanne (baru ini aku lihat pelakon ini boleh berlakon) dan Masha Milan (serius wanita ini memerlukan watak utama, sememangnya ada kelas).

Filem ini tidak menakutkan bagi aku, peminat filem seram. Ada satu jump scare yang bijak. Tapi ada banyak babak creepy feel yang best. Babak akhir Christine tuding jari tu sangat Brian de Palma. Bravo Osman!

LPF memang LAKNAT. Aku harap korang satu-satu dicincang oleh Jwanita. Gore feel filem ini boleh saja naik pada tahap yang cemerlang kalau tidak dikacau oleh LPF. Lepas ni, jangan bikin filem gore kalau tak dapat tunjuk. 

Filem ini tentu akan dibenci, tetapi filem ini sudah menjadi filem cult tahun ini. Dan filem ini bukan untuk semua orang.
  

03 September 2015

Bukit Kepong (1981)


"Kami rela Bukit Kepong menjadi tanah kubur kita." - Sarjan Jamil

Filem yang menampilkan sesuatu tempat diserang hendap, dikepung, kemudian dihancurkan (atau berjaya dipatahkan), bukanlah sesuatu yang baharu. Subgenre dalam genre ini bermula, kemungkinan, daripada filem koboi (western) dan jenayah dalam 1950-an dan 1960-an, mungkin yang paling terkenal ialah Rio Bravo (1959) arahan Howard Hawks, yang kemudian dengan tumpuan yang lebih jelas dalam sorotan sejarah berlaku dalam The Alamo (1960) dan Zulu (1961). Filem seram turut meminjam premis ini, dengan yang paling terkenal dan tampak tidak akan meninggalkannya ialah genre zombi, ulungnya, Night of the Living Dead (1968). John Carpenter pula terkenal dengan subgenre ini sehingga mencapai tahap kultus dengan Assault on Precinct 13 (1976), yang berkali-kali Carpenter akan lawati dalam filemografinya (The Fog, Prince of Darkness, Ghosts of Mars). 

Dalam dunia Asia, aku hanya tahu Bang Rajan (2000) dan Baler(2008) yang paling dekat dengan subgenre ini, dengan sekali lagi, memilih landskap sejarah, dan sedar atau tidak, bersikap patriotik, sama seperti The Alamo, Zulu, dan Bukit Kepong. Jika penelitian yang tuntas dibuat, kemungkinan kita boleh rumuskan bahawa kebanyakan filem genre sejarah yang mengambil konsep ini  akan cenderung bersikap propaganda, hal yang menunjukkan semangat waja yang tertindas daripada unsur luar yang jahat, yang berakhir dengan kemenangan bertahan atau tragedi yang tidak akan dilupai.

Bagi aku, secara peribadi, Bukit Kepong jauh lebih superior daripada Bang Rajan dan Baler, walaupun filem Thai dan Filipina itu dibikin dengan produksi teknikal dan kelengkapan yang lebih baik dan bersih.

Kita tolak dua perkara utama, dengan jelas, filem yang baik ini dikelilingi oleh para pelakon amatur yang diambil (ambik kau neo-realis Itali!) daripada kalangan anggota polis Malaysia era itu. Dialog dalam filem ini, jelas kelihatan lebih kepada talking heads, yang melalui suatu detik "bersejarah" (namun hal ini lebih tertumpu dan canggih daripada talking heads dalam Hati Malaya dan Tanda Putera), dan hal ini jelas, dapat dibaca dalam gaya dubbing para pelakonnya. Dalam hal dubbing pula, kerana teknologi kita masih masa itu tidak secanggih mana sejak Shaw dan Cathay meninggalkan kita, banyak bunyi yang lari daripada mulut yang berkumat kamit (ini kita, penonton baharu, menyoal kenapa Yusof Ariffin boleh memenangi penataan bunyi untuk filem ini sempena FFM) dalam filem ini, khususnya yang berlaku dalam kalangan pelakon amaturnya. Kedua, runut bunyinya, walaupun bahagian "alunan suara Saloma" itu menaikkan bulu roma, terdapat banyak bahagian, mengikut zaman ini, menyadur pelbagai latar lagu daripada filem Hollywood (trivia: filem apakah yang dipinjam itu?). Mungkin aku salah, tetapi aku dapat merasakan, KRU Studios telah mengubah beberapa "pilihan runut bunyi" filem ini supaya tidak begitu nampak dicuri.

Aku sudah nyatakan, filem ini, seperti Bang Rajan, walaupun mempunyai pengakhiran yang tragedi, menyampaikan suatu propaganda (kesan permukaan paling jelas, latar lagu jadi gementar dan saspens setiap kali wajah askar komunis dalam hutan timbul [rujuk saja babak paling awal apabila bot polis diserang hendap], selain askar komunis asyik memukul rakyat biasa yang tidak bersalah, walaupun hal ini mungkin fakta benar yang didokumentasikan), tetapi di sinilah kekuatan filem ini berbanding straightfoward propaganda Bang Rajan (dalam filem Thai itu, semua penduduk kampung Thai yang dikepong seakan-akan terlibat dalam sebuah filem Yusof Haslam dan masing-masing memberikan semangat waja satu dimensi tanpa percikan lemah manusia satu pun, macam tonton satu video game tentang killing machine yang sudah dikepung), Jins menyampaikan suatu tragedi yang masih dibuka untuk persoalan dan renungan, melampaui persoalan kesetiaan dan tugas yang satu dimensi. Terdapat lapisan-lapisan yang menarik, yang kelihatan biasa tetapi sebenarnya mencengkam dan menyoal semula tujuan dan tugasan dan kesetiaan. Dalam keadaan penonton kita yang begitu skeptikal dan kritikal, menyoal segalanya, filem ini, dapatlah menjadi suatu sandaran yang masih segar untuk diperkatakan akan hal-hal yang mungkin tidak disedari ada sewaktu filem ini mula-mula ditayangkan.

Filem ini sebenarnya mempunyai suatu paradoks propaganda, seakan-akan dengan niat, walaupun ingin menonjolkan kecintaan terhadap ruang damai (kampung Melayu-negara) yang ditakuti akan dijajah oleh orang luar/asing (komunis), keadaan atau tingkah laku peneraju dan simbol yang digunakan, dipersoalkan turut menuruti hal itu.

Jelas, filem ini dengan tidak silu-silu menampilkan ia talking head, atau ada ramai watak pipih yang akan bergelumang dengan masa-akibat cerita. Tiada berlakunya perkembangan watak atau penumpuan watak, seakan-akan suatu ensemble cast tanpa naratif yang tunjang. Jins Shamsuddin seakan-akan menyatakan, ya, ini filem dokumentari (seperti gaya filem Itali era 1980-an) , atau ya, ini filem produksi Filem Negara ala punya agenda mendidik penonton (hence propaganda). Hal ini dengan jelas berlaku awal apabila, seperti dokumentari, watak-watak pipih yang kemudiannya kita panggil perajurit setelah menontonnya, dipaparkan secara temu duga, menyatakan nama dan pangkatnya, terus, kepada penonton. Pedulikah kita waktu itu? Siapakah orang-orang ini yang dideretkan nama dan pangkatnya untuk kita ketahui?

Kemudian, suatu susunan peristiwa bermula, dipilih dengan teliti oleh Jins dan penulis skrip (daripada cerita asal Ismail Johari, yang mana, budak-budak ambil SPM kenallah beliau). Satu babak menarik berlaku apabila orang kampung Bukit Kepong bertemu dengan pegawai daerah (D.O.) waktu itu yang sememangnya orreng putey. Dalam hal ini, dengan sedar, si orreng putey berkata, dia akan menimbangkan kerisauan penduduk kampung dengan syarat, orang kampung setia dengan Kerejeen Inggeris! Amik kau! Hal ini, berlaku, tujuh tahun sebelum Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Jadi, persoalan "polis dan tentera waktu tu berkhidmat untuk siapa" masih dibincangkan (walaupun kita akan dapat suatu wacana balas bahawa mereka berkhidmat untuk raja, yang sememangnya ada di Johor). 

Kita pula, dengan tidak sengaja, dipertontonkan pula dengan tindak laku dan pimpinan, walaupun dilakonkan dengan hebat dan penuh semangat oleh Jins Shamsuddin, suatu watak ketua yang lemah, sebenarnya. Banyak tanda-tanda dan laporan-laporan (selain menyatakan "rumah pasung" itu terpencil daripada rangkaian kawalan polis-tentera) yang sampai kepada Sarjan Jamil, tidak dipertontonkan tindakannya. Paling jelas, apabila anak buahnya menemui beberapa tanda yang disyakki, Jamil, ditunjuk, selepas itu, menulis surat untuk isteri tercintanya! Betapa sebab-akibat itu berlawanan, dan ini, menyoal kembali persoalan porpaganda tadi (kerana jelas-jelas ketuanya agak lemah, walaupun dengan penuh tekun dan darah, mengawal balainya sehingga titik darah yang terakhir).

Simbol yang paling jelas dimainkan, turut menyumbang persoalan menarik ini. Pada satu bahagian, kita dapat lihat, api yang dimainkan oleh komunis (tanda api ini bukan sahaja sebagai simbol terbaik yang menunjukkan ini kerja subversif, seperti peribahasa "bermain dengan api") selalunya menghancurkan, merosakkan (kereta meletup di tengah jambatan). Pada satu babak demi babak yang sangat efektif, menampilkan hal ini apabila anak kampung ditelanjangkan di tengah jalan, lalu bas dan kereta dibakar (dengan tidak logik, dengan satu das tembakan sahaja! Betapa superheronya para komunis ni!) Api marak membara! Syot berubah kepada api marak daripada lampu gas yang kemudiannya dijinakkan, dikawal, cukup, menjadi cahaya lampu dalam lampu gas. Lalu lampu ini digantung di tiang, yang rupa-rupanya digantung oleh polis kerana senja sudah tiba. Api dalam tangan polis ini, dengan sedarnya, mengawal dan memberi pelindungan, serta memberi kesejahteraan. Api "yang bertamadun" ini juga dipaparkan, berlegar dalam rumah balai polis/rumah pasung di berek polis, sewaktu anak-anak sedang mengaji/membaca (menimba ilmu). Betapa sucinya api ini. Kemudian, dengan efektif, Jins menampilkan, lampu api yang digantung tadi, pada suatu malam gelap, diangkat dan dipadam oleh askar komunis yang sudah mengepung berek dan balai polis Bukit Kepong. Api yang marak dalam tangan komunis, dengan jelas, pada akhir filem ini, akan makan dan memakan, menghancurkan segala aspirasi Kerejeen Inggeris, kepatuhan dan kesetiaan polis, tamadun, kesejahteraan, dan ilmu (al-Quran terbakar!), seakan-akan komunis "menang" dalam filem ini (dulu, aku begitu terganggu dengan babak akhir ini, dan membayangkan filem ini sebuah filem yang menakutkan). 

Babak paling efektif, yang Jins panggil sebagai syot "aksi"nya, ialah detik demi detik, bagaimana balai polis Bukit Kepong diserang hendap. Dengan jam yang bergerak detik demi detik, kita teringatkan High Noon, yang mencipta saspens dan gerak "real-time". Kita mengharapkan matahari dan pagi akan menyelamatkan watak yang dikepung ini, dan ini jelas membantu dalam kebanyakan filem seram, seperti Evil Dead! Betapa bijaknya Jins menipu kita. Dalam salutan itu pula, barulah kita diperkenalkan dengan "isi rumah" mangsa tragedi ini, anak dan isteri polis. Di sini, drama dan nilai kemanusiaan mula memberat berlipat ganda. Drama propaganda berubah kepada drama kemanusiaan (walaupun menggunakan efek melodrama, tapi aku rasa pengaruhnya lebih mendekati filem neo-realisme Itali), bahawa mereka hanya "mahu hidup". Watak pipih, yang kita hanya kenal pada tugas (tidak ada latar, tidak ada motif, tidak ada tujuan) kini terisi dengan cara mereka bertindak dan menghadapi "maut di ambang pagar". Mereka kelihatan terdesak (desperate), mereka kelihatan takut untuk isteri anak dan nyawa diri mereka. Emosinya benar-benar wujud dan melata layar putih. Persoalan besar seperti "mengawal negara" menjadi kecil dan hancur dengan persoalan yang lebih meruncingkan dan perlu, mahu selamat pada detik-detik akhir. Dan hal ini berjaya disusun, digerak dan dileraikan, dari malam hingga pagi. Sarjan Jamil, dalam keadaan serba kiamat ini, tetap, seperti menjaga kubu terakhir Empayar Melayu, menyatakan kepada si Melayu komunis bernama Mat, "Hoi, pengkhianat, kami tidak akan menyerah!" berkali-kali, dengan mengakhirkan dengan "biar Bukit Kepong menjadi tanah kubur kami!" Patriotisme ini berjustifikasi. Patriotisme ini amat dihormati.

Jadi, Jins banyak memberikan persoalan kelemahan manusia, dan dalam masa sama menunjukkan semangat yang jujur untuk berjuang. Hal ini tidak biasa berlaku dalam filem sebegini, lebih-lebih lagi filem yang berlandaskan untuk "mengajar". Malah patriotisme itu juga boleh diwacanakan dalam persoalan yang segar, akan keadaan rakyat waktu itu yang kemungkinan feudalis tetapi bersatu (kerana raja akur dengan Inggeris, rakyat akur dengan Inggeris), dengan persoalan sanggup tunduk dengan Inggeris, dengan persoalan mengawal kerana terasa itu jati diri dan identitinya. Semua ini menjadi suatu perbincangan menarik dan akan terus dibualkan daripada filem ini.

Sinematografi S. Mohan menarik, cukup fungsional dan kadangkala cuba mengimbau sikap dokumentari (mendekati sedutan filem propaganda Filem Negara waktu itu). Jika dilihat pun, pada babak-babak cemas, sinematografinya mula menangkap sudut-sudut yang menakutkan, yang melanggar kebiasaan, menampilkan mood cemas itu mula genting. Malah, pada satu babak, watak Jins diambil meniti tiang bumbung berek dalam keadaan terbalik. Suntingan filem ini agak kasar dalam beberapa hal tetapi cukup dinamis dalam babak aksinya. Lokasi dan busananya mungkin yang terbaik dan cukup teratur, mengimbau kenangan sekali gus suara kampung yang daif dan serba rendah diri dengan warna-warna tanah. Hal ini menarik apabila berlawan dengan api, bintang merah dan warna hijau seragam komunis yang sedikit demi sedikit, berlegar masuk dalam ruang serba tanah tersebut. 

Dan untuk proses pemuliharaan, aku begitu berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada Studio KRU dan kumpulannya yang telah memulihara filem ini dengan baik sekali, dengan imej (walaupun sorotan kredit terpotong kerana tidak dapat menangkap skop ukur filem asal) dan suara yang memberikan pengalaman sinematik yang sudah jarang-jrang kita dapat rasai dalam filem kita. Ini merupakan filem terbaik Jins Shamsudin.

02 September 2015

Benda Ni Dah Tak Lawak Dah

Penulisan ini mengambil gaya chedet.

1.   Semalam aku dan seorang kawan pergi menonton filem Bukit Kepong (1981) di GSC Mid Valley (tayangan hanya ada 7.50 mlm). Harga tiket RM14.50, harga selepas enam petang. Di GSC Pavilion, harganya RM16.00. Dalam pawagam, hanya ada 7-8 orang yang menonton. Aku ingin bercerita tentang filem ni, tapi aku rasa, hal ini lebih meruncingkan untuk dibincangkan.
2.     Secara demografi, penonton yang menonton Bukit Kepong malam semalam di GSC Mid Valley kelihatan dalam lingkungan 30-an dan 60-an. Anak membawa si ibu ke pawagam, menghidupkan kembali nostalgia mungkin. Dengan sah, mereka kelihatan golongan kelas pertengahan, sudah bekerja, mungkin pesara, bukan kumpulan penonton filem Melayu biasa, yakni satu sanak keluarga, anak muda universiti, atau mat-mat motor.
3.     Minggu lepas pula, aku menonton Jejak Warriors di MBO KL City Festival, Sabtu, dalam 3.00 petang. Harga tiket RM12.50++ Kali ini, penonton "biasa", yakni satu keluarga, tapi dalam pawagam hanya dalam 12 orang, bakinya anak muda.
4.     Tayangan filem Cicakman 3 juga tidak begitu memberangsangkan. Aku tonton di Mid Valley, dengan kebanyakan penontonnya anak muda. Mungkin sebab aku menonton waktu siang.
5.     Melihat hal ini, ada sesuatu yang sedang tidak kena dengan sambutan penonton Malaysia, khususnya Melayu terhadap filem kita.
6.     Selalunya, pada waktu malam, anak muda, keluarga (ya, ada jenis keluarga yang suka menonton filem tengah malam, jangan terkejut!), dan mat motor akan datang mengisi pawagam.
7.     Keadaan suram dan meletup tiba-tiba biasa dalam tahun-tahun sebelum. Filem yang kononnya art house cinema atau sok serius, selalunya, kurang sambutan. Filem komersial, betapa bijak atau bodoh, akan ditonton, sekurang-kurangnya pada malam pertama yang dipanggil tayangan perdana, selalunya jatuh pada malam Jumaat hari Khamis, atau malam Khamis hari Rabu. Golongan ini yang akan menyampaikan betapa baik-buruknya sesebuah filem tersebut. Filem yang bernilai komersial dan tampak sofistikated tapi menghiburkan, macam Villa Nabila, akan diraikan seterusnya (because it's fun).  Filem yang nampak berat mungkin ditinggalkan (macam Laga). Aku sengaja ambil contoh dua filem berikut sebagai contoh filem-filem praGST.
8.     Selepas GST, dan pada waktu itu, berlaku kenaikan harga minyak beberapa kali, masyarakat sudah mula memikirkan hal-hal yang lebih penting, seperti harga makanan dan barang di kedai runcit. Pernah seorang budiman berkata kepada aku, jika harga makanan dekat-dekat dengan harga tiket wayang, mereka pilih makanan. Jika harga rokok dekat-dekat dengan harga tiket wayang, mereka pilih rokok. Makanan dan rokok (kini vape) lebih penting daripada wayang, sekarang.
9.     Untuk menguatkan hujah ini, antara perniagaan yang mengalami kecundang paling teruk selepas GST ialah kedai jual DVD dan CD muzik. DVD dan CD muzik rata-rata lebih mahal daripada tiket wayang, walaupun terdapat jualan khas sekarang. Di KLCC, kedua-dua kedai DVD (yang aku senang dan sayang sangat) sudah ditutup. Ketuklah mana-mana kedai DVD, mereka akan kata, perniagaan sedikit lembap. Tauke DVD cetak rompak pun menyedari hal ini (berdekatan dengan rumah aku hanya sekali-sekala buka kerana tidak ada pelanggan).
10. Penonton muda-mudi dah tak kuasa nak menonton filem Malaysia, yang mereka kata, “Rata-rata yang itu aje.” Mereka masih boleh menonton dulu, waktu harga tiket di Mid Valley mungkin hanya RM12. Jika naik daripada itu, mereka mula naik bingit (rujuk harga makanan dan rokok sekarang). Kebanyakan yang menonton waktu malam, lebih-lebih lagi pada tayangan perdana. Apabila mereka pergi nak beli tiket dan dapati harganya RM16 atau RM18, mereka mungkin tukar kepada filem Hollywood (sebab kualiti kena dengan harga) dan mungkin tak menonton terus. Rata-rata, mereka tidak tahu bahawa pada waktu siang, sebelum 6.00 petang, harga tiket wayang lebih murah dan berpatutan, tetapi mereka peduli apa dengan itu.
11. Kita dalam fasa pasang-surut yang genting sekarang, fasa adaptasi, fasa penonton cuba menilai semula nilai harga tiket wayang dengan nilai kepuasan-hiburan, menilai dengan hal-hal keperluan asasi. Malaysia pernah melalui hal ini sewaktu sinepleks (pawagam kecik-kecik, contohnya di Pasar Seni) baru hendak muncul, yang kononnya waktu itu “memberikan mutu suara dan tayangan wayang yang lebih padu.” Jadi, hanya tayangan filem “boleh jual” yang ditayangkan di sana (masih ingat lagi betapa panjangnya beratur hendak menonton Batman Returns atau Jurassic Park) kerana jika tidak, pemilik pawagam tidak dapat memusing modalnya. Filem Melayu waktu itu muncul perdana di Odean dan Collisuem. Kehadiran TGV di One Utama menggegar masyarakat pada masa itu. Tapi waktu itu, harga tiket dalam RM6 hingga RM8, malah di Rex KL, RM5. Saban tahun, harga tiket naik, dan kebiasaannya, orang sudah terbiasa dengan harga piawai, RM12.
12. Harga piawai sekarang tidak menentu, mengikut pawagam. Penonton kadangkala salah tanggap apabila menonton di KLCC (antara harga tiket termahal di kota raya) dan menganggap semua harga tiket pawagam lain sama. Mungkin hal ini akan mengambil masa, contohnya, penonton mungkin akan mula menyedari harga tiket di Berjaya Time Square lebih murah daripada KLCC.
13. Ada potensi besar untuk pawagam di bandar luar Kuala Lumpur, seperti Johor Baru, Ipoh, Kuantan, dan Pulau Pinang. Tetapi jika ikut demografi, pawagam tersebut juga menganaktirikan filem Malaysia, dan hal ini sudah biasa kita dengar kalangan masyarakat Melayu Pulau Pinang yang terpaksa ke Seberang Perai dan sekitar Kedah untuk menonton filem Melayu. Filem “susah hendak laku” tidak akan dibawa ke bandar seperti Ipoh, Seremban, Melaka atau Kuantan. Kini, kebanyakan filem Melayu jatuh pada paras itu. Beberapa filem arus perdana tahun ini menunjukkan, kesemuanya jatuh pada paras RM1 juta pasca-GST. Filem yang mendapat sambutan (yang singkat) setakat ini hanyalah filem adaptasi novel popular, itu pun kerana pengikut novel setianya. Namun keadaannya sekarang dipersoalkan, memandangkan kehebatan Ombak Rindu pra-GST dengan Manisnya Cinta di Cappadocia dan Suamiku Mr. Perfect 10! Pasca-GST. Hal ini tidak pula berlaku terhadap filem sekuel Ahadiat Akashah. Mengikut perhitungan pasaran, sambutan terhadap filem-filem ini pun akan jatuh jika pembikinan hanya berlegar dalam genre, plot dan cerita sama, dan tidak ada perubahan atau inovasi.
14. Kebanyakan filem dengan judul-judul pelik, seperti Jidin Sengal, Sunti@Facebook, CCTV, Coverina, Selfie Suara Kubur, Gangsterock, sudah tidak berjaya menarik anak muda atau mat-mat motor menontonnya. Filem yang cuba menyalin judul-judul yang pernah digunakan, seperti Suamiku Jatuh dari Langit, apatah lagi.
15. Keadaan sebenarnya sekarang. Orang sudah tidak peduli. Hal ini jelas, dengan kehadiran Bukit Kepong, sebuah filem pecah panggung pada zamannya, pemenang filem terbaik Festival Filem Malaysia, yang sudah dimaklumkan akan kehadirannya berbulan dan berminggu sebelum itu di mana-mana, dengan sejarah pemuliharaannya (hanya pencinta filem yang tahu kepentingan ini, titik), hanya dapat menangkap segelintir penonton untuk ambil peduli akannya (bandingkan ini dengan tayangan khas Puteri Gunung Ledang yang juga terhad tahun ini). Memang, macam orang kata, orang Malaysia ini perlukan, ugh, kerja pemasaran turun padang, pujuk-memujuk, seperti kumpulan Tiara lakukan untuk filemnya, untuk orang datang dan menyokongnya. Filem sepatutnya speak for itself, terpapar di mana-mana sahaja, orang yang tahu tentang filem itu, akan datang, akan menonton.
16. Sebenarnya, pawagam perlu mengambil inisiatif untuk mengurangkan harga tiket, khususnya pada filem Malaysia (bukan berbahasa Melayu sahaja). Harganya tidak patut setaraf atau sama dengan filem lain yang sama ditayangkan, agar penonton tempatan dapat membuat “helah” untuk memilih filem tempatan (yang bagi mereka pun, usah tipu, dilihat kurang bermutu jika dibandingkan dengan filem luar). Mulakan begitu dahulu, yang lama-kelamaan, apabila filem Malaysia diterima semula, termasuk yang sampah dan buruknya, sebagai setaraf dengan harga tiket piawai yang ditentukan.
17. Aku dahulu antara orang yang paling kuat berkempen menjatuhkan filem Razak Mohaideen dalam Facebook. Malah aku antara yang paling aktif dalam kumpulan We Hate Razak Mohaideen Movies (or something like that). Aku menghentak kualitinya, ceritanya, kerja main pasangnya, dan pelbagai lagi. Alhamdulillah, orang sudah mula (chewah) terpengaruh, dan beberapa filem Razak mutakhir ini jatuh merudum di pasaran. Namun berlaku suatu paradoks, terdapat segelintir penerbit-penulis-pengarah yang mengikut sama formulanya, tanpa serik (dan merudum di pawagam, sekali-sekala sahaja meletup), terdapat pula segelintir pembikin yang ingin melakukan suatu yang berbeza, tetapi terpalit sama. Kerana ramai penonton filem Malaysia dahulu, dan aku tidak ambil jauh, era kebangkitan filem Yasmin Ahmad sahaja, sudah tidak peduli, sudah tidak peduli dengan apa-apa yang hendak dihidangkan kepada mereka lagi.

01 September 2015

Senarai Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2015











Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur mengeluarkan senarai pendek pencalonan untuk Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2015. Penerima anugerah berkenaan mengikut kategori masing-masing akan dimaklumkan pada bulan Oktober 2015. Setakat ini, kami mendapati terdapat sekurang-kurangnya 90 filem yang melalui skim wajib tayang dan telah ditayangkan pada bulan September 2014 hingga Ogos 2015. Semuanya melalui pertimbangan dan penelitian khusus.

Tahun 2014-2015, sekali lagi, walaupun ada beberapa filem yang dikira "sarwajagat" dan berjaya melepasi pelbagai fesitval filem antarabangsa, kami merasakan, merupakan antara hasil dan rampaian yang terburuk dalam nafas perfileman tempatan, jika dibandingkan dengan dua tiga tahun yang lepas (atau merudum semula). Setiap filem yang dibikin, jika tidak kerana skop teknik yang bagus, terjerat dalam penceritaan dan isi kandungan yang dipersoalkan. Jika premisnya menjanjikan, kesinambungan, produksi teknikal, hala tuju, dinamisme gerakan, atau perkembangan untuk suatu penceritaan pula terperangkap dalam pelbagai rantaian masalah dan kelemahan, menarik jatuh filem tersebut daripada menjadi filem dengan mutu yang diharapkan. Rata-ratanya, filem tempatan masih mengangkat dan berusaha dalam filem bergenre dan mengulang lanjut suatu bikinan genre sehingga membawa genre tersebut pada tahap-tahap yang menjengkelkan. Genre yang kelihatan begitu haus sekarang dalam persada perfileman tempatan ialah "gangster", yang kini sudah melampaui masuk ke dalam beberapa subgenre dan bersilang dengan genre tertentu dalam penyampaian dan inti pati. 

Kelemahan ketara tahun ini ialah kurangnya filem tempatan yang memberikan citra yang bulat, adil, dan saksama terhadap isu wanita, kewanitaan, atau watak wanita yang mengagumkan (baik wataknya putih, hitam, ataupun kelabu). Watak wanita masih ditakuk klise dan menjadi "bayang-bayang" watak lelaki yang mudah dimanipulasi. Malah kebanyakan wanita dalam filem ditahan daripada "menonjol" dan lebih memfokuskan terhadap perit, pengalaman dan perjuangan para lelakinya. 

Di sini, kami sertakan senarai pencalonan, seperti yang berikut:

Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2015

Pengarah Terbaik
Liew Seng Tat untuk Lelaki Harapan Dunia
Raja Mukriz untuk Ophilia
Nik Amir Mustapha untuk Terbaik dari Langit
Bernard Chauly untuk Manisnya Cinta di Cappadocia
Mamat Khalid untuk Amir dan Loqman Pergi ke Laut

Pelakon Lelaki Terbaik
Wan Hanafi Su untuk Lelaki Harapan Dunia
Pekin Ibrahim untuk Ophilia
Bront Palarae untuk Terbaik dari Langit
Que Haidar untuk Ophilia
Kamarul Yusof untuk Cerita Hantu Malaysia

Pelakon Wanita Terbaik
Nur Fazura untuk Manisnya Cinta di Cappadocia
Lisa Surihani untuk Suamiku Mr. Perfect 10!
Veronique Lin untuk Papa's Shoe

Sinematografi Terbaik
Teoh Gay Ian untuk Lelaki Harapan Dunia
Haris Hue Abdullah untuk Manisnya Cinta di Cappadocia
Jordan Chiam untuk Terbaik dari Langit
Tan Teck Zee untuk Amir dan Loqman Pergi ke Laut
Maximilian Schmige untuk Nota

Lakon Layar Terbaik
Liew Seng Tat untuk Lelaki Harapan Dunia
Rafidah Abdullah untuk Manisnya Cinta di Cappadocia
Redza Minhat untuk Terbaik dari Langit
Mamat Khalid untuk Amir dan Loqman Pergi ke Laut
Ellyna Ahmad untuk Ophilia

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Amerul Affendi untuk Terbaik dari Langit
Iedil Putra untuk Terbaik dari Langit
Kodi Rasheed untuk Ophilia
Ramli Hassan untuk Nota

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Nadiya Nisaa' untuk Terbaik dari Langit
Fouziah Gous untuk Sunti@Facebook

Filem Terbaik
Lelaki Harapan Dunia (Sharon Gan, Roshanak Behesht Nadjad, Eric Mabillon, Denis Vaslin, Helge Albers, Hee Dominique, Fleur Knopperts, Michelle Lo, Lucas Rosant, Shung Yen Wang sebagai penerbit)
Ophilia (Sharifah Shahora sebagai penerbit)
Manisnya Cinta di Cappadocia (Lina Tan, Zaiton Muhd Jiwa, Najwa Abu Bakar, Gayatri Su-lin Pillai sebagai penerbit)
Terbaik dari Langit (Anwari Ashraf, Tuan Faisal Azmy, Redza Minhat, Priya Narayanan, Megat Sharizal, Najwa Abu Bakar, M. Kabir, Gayatri Su-lin Pillai sebagai penerbit)
Amir dan Loqman Pergi ke Laut (Gayatri Su-lin Pillai, Zaidi Mat Zin, Nadia Mustafar sebagai penerbit)
Rujukan Filem dalam Tontonfilem: