Showing posts with label Osman Ali. Show all posts
Showing posts with label Osman Ali. Show all posts

13 December 2017

Perca Dua Filem Disember

Aku tidak sempat menonton Jibam (2017) atas alasan peribadi dan apabila ada masa, pawagam berdekatan pula tak tayang waktu malam (aku kerja kan?), jadi agak melepaslah. Aku harap sangat, filem itu sekurang-kurangnya dapat bertahan lagi seminggu, tapi, alangkah, hidup hanya lapan hari aja (mana syarat Wajib Tayang dua minggu?) .. 

Aku tontonlah beberapa (sepatutnya Jibam jadi klimaks) dan dapatlah sekurang-kurangnya dua filem tempatan:

The Kid from the Big Apple 2: Before We Forget



Aku rasa, aku sorang je anak Melayu tonton filem ni di Berjaya Time Square Sabtu 11.30 malam waktu tu (sebulan lepas). Feel good yang baik walaupun pembinaan dramatiknya draggy tipikal gaya filem Hong Kong. Filemnya malah menyerupai naratif Still Alice (2014), yang kali ini, ayah si perempuan Amerika (Ti Lung) menjadi subjek cerita kerana kehilangan ingatan, sedikit demi sedikit. "Mesej" filem yang jelas-jelas diulang tersampai: walaupun hilang ingatan (hilang di mata/kepala), yang paling penting ialah orang lain yang mengingati kita. Secara lembut, filem karya Jess Teong ini juga bercerita tentang jati diri dan maksud kesetiaan dalam kehilangan jati diri manusia (Cina) terhadap negara (ini amat dekat dengan persoalan diaspora atau kumpulan orang Cina tempatan yang meninggalkan Malaysia dan bermastautin di negara lain). Menarik lagi, filem ini mempunyai beberapa subplot yang memikat, dan tampil terjalin baik dengan plot utama (ini berkenaan, menjawab persoalan mengapa si anak perempuan ke Amerika dan mengapa dia kembali). Ya, walaupun ada lakonan yang dipersoalkan, mereka berlakon dengan jujur walaupun sederhana mungkin, menyampaikan kejujuran dalam kekeluargaan. Runut bunyinya memikat, dengan sinematografi yang sederhana dan suntingan yang membantu. Kekuatannya amat terletak pada susunan baik dan teliti lakon layar menyusun plot utama dan subplot menjadi suatu susunan kisah kekeluargaan yang dipedulikan tangis dan ketawanya. Sebuah filem keluarga yang baik.

Pinjamkan Hatiku (2017)



Ah, satu lagi tangis-tangisan daripada Osman Ali, kali ini dengan kaedah naratif yang sudah klise, malah digarap dengan amat melewah sekali, menghomaj sikap filem-filem Melayu lama. Persoalan "pinjam" dan "hati" itu juga akan menjadi lawak orang yang faham jika sudah menonton filem ini (maksud aku, terjemahan sebenar Inggeris filem ini ialah: I'll Lend My Liver!) Apa lagi yang baharu dapat disampaikan oleh Osman selain meminta simpati sedu-sedan, badan sasa lelaki Melayu dan anak-anak Melayu yang sakit barah? Ada Saheizy Sam yang melakukan yang terbaik, dan lakonannya tersampai (seperti biasa), malah sanggup menjadi Tom Hanks dalam Cast Away untuk membina realisme. Ayda Jebat jauh di belakang tak tersampai (elok kau menyanyi jelah Ayda). Baik, kini Osman dna tandatangannya sudah jelas. Semua lelaki Melayu kampungnya mempunyai prinsip yang kuat dalam hidup, khususnya percintaan; mereka degil dengan pendirian dan pilihan mereka (rujuk balik, cepat!), mereka sanggup berkorban walaupun makan dalam, dan sangat-sangat cepat mengalah pada mana-mana lelaki/pemikiran/kuasa dari bandar/kaya. Epitom citra lelaki Melayu kampung Osman ialah bentuk sasa seorang feudal yang menurut turutan angin dan airnya, baik bendang sawah ataupun laut gelora. Berserah itu suatu hal yang tidak terlepas daripada mereka. Lihatlah keluhuran anak kampung Melayu dalam filem ini, dan ciumlah kakinya. Citranya takkan hilang selagi Osman masih hidup. Sinematografi cantik tetapi mengada-ngada. Suntingan biasa. Lagu yang mengada-ngada melankolik. Filem ini antara yang menyanggupi alam Melayu yang tidak pentingkan masa; tangguhan masa di alam Melayu kononnya seni? Entahlah. 

28 January 2016

Langit Cinta (2016)

Dulu kita ada Ombak Rindu (bayangkan, dulu kita ada filem berjudul Berlari-lari ke Langit, ko mampoo?), dan sekarang, kita ada novel KOMSAS berjudul Pantai Kasih. Aku rasalah, banyak filem yang ambil metafora alam (langit, ombak, angin, laut) dan ikat dengan adjektif feeling-feeling berlaku sebab terbitnya novel-novel awal 1970-an dan 1980-an, termasuk novel Azmah Nordin tu yang terbit tahun 1994. Nak bet? Nanti aku buat kajian menyeluruh.

Langit Cinta, sebuah novel romantik terbitan Alaf 21, tulisan Damya Hanna, mengadaptasi daripada sebuah skrip filem asal Osman Ali. Kini, kita dah boleh agak, betapa fetishnya Osman untuk melihat para pelakonnya menjadi budak kampung (rujuk zaman Tollgate Girl lagi, heck, Bukak Api pun bermula dengan seorang mak nyah dari kampung), malah dia mahu mereka membonceng motor, berselut sawah, menjala laut dan macam-macam lagi kerja-kerja orang kampung buat (takde masalah di situ). Mamat-mamatnya mesti sawo matang. Di sini, walaupun teraju utama (atau hero jantan)nya Keith Foo (yang juga gelap), kita banyak diberikan fokus close ups wajah Farid Kamil (yang tidak gelap) berkali-kali. Banyak kali, macam Osman nak tunjuk, mamat ni penting, bro, mamat ni penting. Adakah Farid ialah Osman dalam filem ini, atau dia mewakili penonton/masyarakat yang mencari-cari tapi masih tidak dapat, atau saja nak buat Osman high?

Filem ini sebenarnya cuba menjadi patriotik, macam Osman nak tunjuk, filem/novel romantik juga boleh bercakap fasal benda-benda yang besar (layakkah kau setahap Gone With The Wind uolls?). Plot awal filem ini contohnya, dengan pelik, tentang Fazura dengan kebaya kurung birunya, mendepani Dato' klise Jamaluddin Hassan, ayah Keith Foo yang hendak "membeli" tanah orang kampung di an island somewhere in Kedah (main isu politik tanah Tanjung ka Osman?). Begini. Babak awal, dengan monolog mendatar Fazura bagaimana dia cintakan kampungnya (negaranya, gettit?), kita dipaparkan imej laut nan biru, syotnya panjang dan lama. Biru ini laut, rezeki utama penduduk kampung. Babak Fazura mendepani Dato', Fazura dengan prasedar memakai baju warna biru (mewakili kampung/negara, katenyer), dan dia, dipaparkan sebagai "srikandi" kampung, dengan identification shot, watak-watak lelaki (baju warna coklat, tanah, dan putih) yang tiba-tiba muncul dari belakang, lalu di tengah hadapan, menutup imej dominan lelaki tadi. Kini, Fazura mendominasi layar, khusus kerana warna birunya menenggelamkan warna para lelaki. Kita menyedari, Fazura bukan calang-calang orang (dia sahaja berani tampil menolak tawaran Dato'). Kita di tengah-tengah filem feminis ni kawan-kawan.

Katanyer.

Aku mahu mempercayai hal ini, dengan lebih-lebih lagi, selepas itu, dengan plot Cinderella bertemu Repunzel (putera raja jumpa gadis kampung), yang sudah diagak, Keith Foo terpesona dengan Fazura, dan sedikit demi sedikit, jatuh cinta dengan Fazura. Kita sedar ini (walaupun Keith kurang dipercayai) apabila Keith mula memakai warna baju biru yang sama dengan Fazura pada suatu babak (yang juga secara feminis, berjaya menundukkan kuasa seorang lelaki, dan lebih baik daripada itu, si lelaki mempercayai perjuangan si wanita, yakni tugas menjaga tanah agar tidak tergadai). Babak sebegini sebenarnya plot klise 1980-an drama televisyen yang diberikan twist baharu, dengan memanjangkan lagi kisah dua orang bercinta ini. Dan, di sinilah filem ini menjadi berterabur dan meniti laluan melodrama tipikal dalam drama televisyen kita sekarang. Terbuanglah plot tentang gadaian tanah, tetapi suapan dan mekanisme air mata "siapa yang lebih banyak memburai air mata", babak demi babak. Runut bunyinya yang entah apa-apa mewajarkan hal ini, secara literal pada setiap babak. Walaupun aku tahu, ramai yang muntah dengan Ombak Rindu (sebab wanita yang kena rogol tak mungkin nak kahwin perogolnya, tapi itu kata kau feminis berdada leper), tetapi Ombak Rindu ada suatu penjagaan struktur dan unsur yang amat terkawal, yang disengajakan, dari frame ke frame, kau seperti menonton sebuah filem bajet rendah buruk yang penuh semangat. Untuk filem ini, kau tahu kau menonton sebuah filem "jalan-jalan cari ketam".

Banyak babak "klimaks" (contoh wajah Farid tadi yang penuh bekas jerawat batu) dalam filem ini menjadi sebal dan senyap. Babak akhir, contohnya, waktu Farid-Keith-Fazura berdepan (cinta tiga segi uolls) dengan tiada logik (Osman nak kena lempang buat babak pegang bayi tengah panas, hilang dramatik) menjadi hambar apabila showdown line yang patut keluar dari mulut Farid tidak keluar. Dan Ketih, macam mana-mana filem Melayu, berjaya merangkul hadiahnya tanpa susah payah. 

OK, aku menangis juga menontonnya, sebabkan lakonan Ogy Ahmad Daud yang sangat terkawal, dan lakonan Fazura yang bersungguh-sungguh. Tapi aku tak boleh maafkan Osman apabila, dengan peliknya, apabila Fazura yang ditangkap dalam flat murah, masa waktu malamlah dia tiba-tiba nak panggil orang lalu-lalang untuk pinjam telefon, dan lebih bodoh daripada itu, TELEFON Farid (dan bukan POLIS!) kemudian boleh bagi balik telefon tu kat budak tu, siap "Ah, pergi cepat-cepat tau, nanti kena marah!" dan tak bagitau pun budak tu kau kena pasung dalam rumah tu dan minta tolong mak ayah! Gila! Serius bebal!

Sinematografinya OK dan banyak mengambil gaya filem Esok Jins yang suka panning-panning segala (rujuk saja babak kedai makan Fazura yang sudah berubah sebelum Farid nak melamarnya). Kadang-kadang panorama ini menjadi, kadang-kadang, ini hanya gaya atas nama gaya.

Filem ini, yang sepatutnya, menyampaikan kasih sayang kita kepada alam/kampung, dan meminta kita kembali pada alam/kampung, yang kononnya, di situlah terletaknya jati diri kita, seperti yang diwakili oleh watak Fazura, berlawanan dengan keluarga Keith yang "hilang pedoman" dan "sesat dalam materialisme", menjadi hanya kisah sedu-sedan tanpa lapisan, yang dibuat-buat hanya sebagai mesin tanpa jiwa yang meminta kita menangis pada babak-babak tertentu. Aku tahu, filem ini sengaja dibikin begini, kerana menghomaj filem-filem Esok Jins Shamsuddin (kerana filemnya menyusun tahap-tahap sedu-sedan secara teknikal dan manipulatif, selapis demi selapis membuka babak agar membuat penonton "simpati" lalu menangis, juga mementingkan gaya ekspresi-emotif "kesedihan" lebih daripada isi kandungan dan gerakan naratif). Tapi, tolonglah. Filem-filem Esok Jins sebenarnya selapis dan kadang-kadang amat kosong. Kita sudah terlupa akan era itu. Sudah masanya kita menggembleng daya melodrama baharu, seperti yang dibuat oleh Todd Haynes mengintepretasi semula karya lama Douglas Sirk untuk milenium yang penuh pancaroba kini. Cewah!

29 September 2015

BravoV jumpa Polis Evo dan Jwanita

Yang pendek-pendek sahaja ...

Bravo V (2015)

Bravo V mempunyai suatu potensi yang disia-siakan. Kita boleh nampak perkara ini berlaku apabila Mejar Zainal Hayat melalui 26 kali pengolahan skrip untuk menceritakan lima komando "Rejimen Gerak Khas" pada tahun 1989 (tahun yang kita tidak terasakan adanya ancaman Komunis walaupun golongan pengganas ini masih melata hutan kita) masuk, dengan penuh senyap, tanpa pendedahan sejarah, ke dalam hutan "kawasan strategik tengah Semenanjung Malaysia", cuba melakukan misi menyelamatkan anggota tentera daripada kem utama Komunis.

Filem ini sepatutnya boleh menjadi sebuah tragedi dalam aksi-seram di dalam hutan yang berlaku terhadap lima komando yang menaruhkan titik darah mereka untuk negara. Kesalahan yang paling jelas berlaku apabila Mejar Zainal dan Yeop, menyedari bahawa si survivor selalunya menjadi "pencerita" kerana daripada kepala-matanyalah sumber cerita ini kita dapati (dan dibikin filem), tetapi tidak menumpukan berat latar dan perkembangan watak terhadap survivor itu dan mengambil langkah (hal ini tidak salah pun sebenarnya) mempromosikan kisah kelima-lima komando tersebut secara seimbang. Keseimbangan ini tampak sesuai dalam idealogi (saksama 1Malaysia Najib) tetapi bukan naratif, kerana naratif memerlukan suatu watak to root for sehingga akhir, meletakkan simpati kita terhadapnya sehingga akhir, dan melihat kesudahannya selamat atau tidak (contoh mudah, lihat perkembangan naratif Ripley dalam Alien). Apabila kelima-lima watak itu diberikan masa dan tumpuan yang seimbang, penonton hilang arah (yang kononnya seperti membuat kita agak-agak atau meletakkan harapan kepada kelima-limanya), dan risaunya tidak peduli, maka jadilah ia sebuah "satu lagi drama Hallmark" atau lebih buruk lagi, mesin propaganda Kerajaan terang-terangan (dan filem ini ada banyak hal itu yang tidak perlu dinyatakan di sini).

Kekuatan filem ini jelas tampak dalam usaha ia membina alamnya, seni latarnya. Hal ini dibuat baik sekali, dengan jelas, khususnya dalam pembinaan kem Komunis, ruang dan desa kampung, kem askar, dan hal ini mendapat bantuan terbaik kalangan tentera kita. Jelas, dunia malam, warna hutan dan feel komando ini memasuki hutan, terasa. Ini bukan Platoon (mereka tidak mengenali alam asing itu, ini mereka kenal, kerana tanah tumpah mereka juga) dan mereka tahu sasaran mereka. Hanya takdir tidak menyebelahi, dan pelbagai kesusahan dilalui. Kesusahan ini terasa dalam beberapa momen,

Kekuatan sebenar jatuh pada beberapa lakonan, khususnya Remy Ishak dan khusus lagi Beto Kusyairy yang sangat cemerlang (dia sudah larut dalam watak tersebut, hilang habis). Kekuatan mereka ini tidak pula diimbangi dengan satu hala dan dimensi dan dibuat-buat oleh lakonan Sofi Jikan, mungkin dia secara prasedar menyampaikan mesej kepada para penerbit: Aku sudah tak larat jadi orang jahat, bongok! 

Aku ni jenis manusia cepat menangis, dan akhir filem ini bikin aku menangis walaupun tidak tahan dengan iklan superfisial 1Malaysianya. Geram aku. Dalam hal ini runut bunyi akhir Edrie Hashim sangat berjaya, walaupun pada awal dan pertengahan, lagi-lagi pada beberapa babak, dia tidak tahu maksud sebenar lagu latar, dan ini sangat mencacatkan filem ini. Lebih-lebih lagi suntingan filem ini dan keseimbangan sudut dan gerak sinematografinya, walaupun seakan-akan ada percubaan aksi yang mantap. Ada percubaan, dan ada kebaikan, tetapi tidak cukup untuk menjadikannya baik atau above par dalam filem genre perang.

Polis Evo (2015)

Ghaz, pensyarah jadi pengarah video muzik kemudian pengarah drama berangkai televisyen kemudian pembikin filem bajet rendah KRU yang aku percaya akan mengubah cara kita membikin filem komersial akhirnya membuktikannya. Inilah filem tahun ini yang dikatakan oleh orang ramai sebagai "penyelamat" industri perfileman kita, benar dari satu segi, yakni how to make a well made commercial formulaic movie. Filem ini filem pop corn, kena jelas hal itu, tapi bertih jagung ini berjustifikasi dan sampai. Ia dijaga dan dijaga dengan baik. Pertama yang perlu aku puji ialah skripnya, yang ditangani oleh empat orang (baca tu!), walaupun ada lubang plot (kalau dah tahu polis akan siasat, afasal biarkan mayat terjulur tengah jalan di pekan kemudian sibuk-sibuk nak rahsiakan penglibatannya?) tetapi dialognya sangat enak, malah ada dialog semacam menghambur iklan antirokok Kerajaan menjadi suatu bertih yang sungguh asyik malah mempunyai fungsi dengan cerita.

Teknik produksi filem ini seharusnya dipuji, kesemuanya sangat cemerlang bagi sebuah filem komersial aksi dan jenayah, semuanya dirancang dan disusun gerak dengan baik, malah aku sentiasa bising kita tidak punya aksi kareograf yang mantap, dan filem ini membuktikan bahawa kita ada (walaupun jauh hendak mencapai apa yang The Raid sudah capai dari segi estetika aksi). Runut bunyinya juga tidak membingit, babak dan syot tampak hidup dan mengalir laju, sedap, malah berjaya mengimbau alam ikonik dan sinema dalam Kuala Terengganu, berjaya menghidupkan suasana dan tempatnya menjadi tempat-tempat sinema (kita akan menemui persamaan papan tanda Kuala Terengganu dengan Hollywood, dan ini disengajakan, dan disengajakan lagi dengan niat: Allah Peliharalah industri perfileman kita yang semakin nazak). Bunyinya sedap dan hidup. Cahayanya kena. Susah mencari cacat-celanya.

Lakonan juga amat berjaya, dengan keselambaan benci sayang Zizan-Saheizy yang sangat serasi (usahlah dituduh bawah jelmaan Bad Boys dan Lethal Weapon sahaja, ini filem formulaik, filem buddy-cop yang sudah disempurnakan dengan parodi Hot Fuzz, yang menampilkan tanpa segan silu memang filem ini bersumberkan Hollywood) dengan pertembungan tikus bandar-tikus kampungnya. Menariknya, Zizan tampak sangat seimbang dalam filem ini, tampak hidup dan lawaknya tidaklah dibuat-buat macam biasa. Saheizy pula akan diingati sebagai mamat sado baharu yang akan terisi dalam banyak mimpi indah para wanita di malam hari. Nora Danish juga tidak menghampakan.

Suatu percampuran yang amat menghiburkan dan mesti ditonton walaupun sekali tahun ini.

Jwanita (2015)

Inilah jawapan Osman Ali terhadap generasi pencinta novel Fixi sekarang: cerita gelap pulp murahan yang sanggup melangkaui tahap-tahap ekstrem untuk mencuit atau memutar bebola para penonton/pembacanya hanya kerana dia suka membuatnya, tanpa ada apa-apa tanggungjawab (kalau nak tanggungjawab, kita boleh selitkan beberapa ayat Quran, nah amik kau). Terima kasih kepada Osman, filem ini sengaja mengimbau banyak hal, bukan sahaja dengan sengaja meminjam segalanya yang ada dalam pembikinan n-g-e-r-i, yakni, seram campur psiko campur psikologi ngeri campur dark fairytale campur novel popular jadi salah campur campur bomoh campur gothik, dengan mainan pascamoden over the top yang boleh difikirkan oleh Osman, seakan-akan Osman, sudah hilang akal, dan Maya Karin yang pernah dirogol oleh Aaron Aziz, kali ini melepaskan dendamnya bukan lagi menuku macam betina bodoh di tepi batu ombak laut tapi dengan benar-benar "merogol" orang lain dengan cara slasher dan voodoo (hah, amik kau pascamoden), baik lelaki, atau perempuan, dan kalau boleh, budak-budak.

Itulah Jwanita tuan-tuan dan puan-puan, makhluk liar seks jahat penuh dendam misogini dan self mutilation dalam dunia pascamoden ini yang penuh berahi dan emosi yang tidak tertahan-tahan, sanggup memakai gaun merah menyapu pasir pantai untuk efek "kita dalam filem rujukan Argento sekarang korangz." 

Skrip filem ini memang bodoh dan usahlah para pendabik nak tunjuk pandai bangat ala sofistikated, Öhhh, bodohnya filem ini, apabila rujukan filem ini jelas-jelas mengambilnya daripada dunia seram Itali, khususnya Argento dan Fulci (babak pembunuhan Nona jelas, diambil daripada momen seram dalam The Beyond Fulci) yang juga banyak memaparkan cerita dan premis filem yang sama bodoh, wanita seksi lari-lari dalam darah, tetapi yang penting dalam hal ini ialah mencanangkan terror (orang akademik lagi dajal, memanggilnya expressionist horror). Memang ada terror yang tidak menjadi. Tetapi untuk babak Jwanita mencalar dirinya dengan pisau, sambil menampar tangan berdarah itu pada pipi Nona si orang gaji dengan dialog "Kau dah tak sabar-sabar nak kena siat dengan aku ke?" menjadikan darah gelap ini yummy dan suatu apresiasi kepada betina-betina setan tak tau malu nak mampus, atau the psycho-bitch from hell, atau dalam konteks filem ni: the sister whore from hell.

Inilah filem, yang Mamu biasa panggil it is soo bad its good. Filem-filem jenis ini sudah tidak dibikin lagi sebenarnya (dan Osman berani mengembalikannya), yang dahulu sangat hidup pada era filem-filem seram buruk tapi seronok dari Indonesia era 1980-an (korang tak usah bernostalgia bodoh bahawa filem era tu klasik, dan ya, mother of all bad, Misteri Rumah Tua tu). Oleh sebab itu, apabila Maya tiba-tiba feel 80-an dan runut bunyi lagu romantik keluar (dalam sebuah filem seram, ingat Pontianak Harum Sundal Malam?), kita tak boleh lepas daripada teringatkan Suzanna pernah meniti tali titi yang sama, dengan gaun putih bodohnya dan feel-feel gersang tapi sucinya, sekejap dendam, sekejap berahi, sekejap kelar tangan sendiri, selalunya atas tujuan menuntut bela dan perangai minah "I hate the world" yang entah apa-apa. Dalam dunia pascamoden Osman sekarang yang tidak ada nilai, semuanya boleh, semuanya jahat. Jwanita tak perlu pun ada latar kenapa dia benci sangat kat adiknya ("Kau tinggalkan aku" - macam terpacul daripada babak soap opera, darah dan pisau segala), dia hanya benci, dan dia hanya bernafsu. Itu sahaja yang menghidupkannya, membuatnya terus mencari "cinta". Kehadiran Umie Aida sebagai dukun dari seberang tidak disengajakan dalam hal ini.

Runut bunyi filem ini hancur, menghancurkan mood seram filem ini, tetapi itu mungkin disengajakan kerana era 80-an filem seram Indonesia juga bergerak dengan tempo disko. Suara efeknya sangat murahan, sengaja mungkin untuk ambil feel novel-novel popular yang mengimbau dialog-dialognya.

Lakonan filem ini memberangsangkan. Dalam dialog-dialog lemahnya, tiga pelakon wanita ini begitu berjaya menyampaikan keadaan bahawa hal ini benar-benar dan menjadi asam garam yang real bagi mereka, Maya Karin, Chiristine Suzanne (baru ini aku lihat pelakon ini boleh berlakon) dan Masha Milan (serius wanita ini memerlukan watak utama, sememangnya ada kelas).

Filem ini tidak menakutkan bagi aku, peminat filem seram. Ada satu jump scare yang bijak. Tapi ada banyak babak creepy feel yang best. Babak akhir Christine tuding jari tu sangat Brian de Palma. Bravo Osman!

LPF memang LAKNAT. Aku harap korang satu-satu dicincang oleh Jwanita. Gore feel filem ini boleh saja naik pada tahap yang cemerlang kalau tidak dikacau oleh LPF. Lepas ni, jangan bikin filem gore kalau tak dapat tunjuk. 

Filem ini tentu akan dibenci, tetapi filem ini sudah menjadi filem cult tahun ini. Dan filem ini bukan untuk semua orang.
  

19 May 2015

Pilot Cafe(2015)

"Mama tak mau ada penzina dalam rumah mama!"- Mak Ameer



Sudah ke manakah kita dengan genre sedu-sedan yang pernah digilang-gemilangkan oleh Jins Shamsudin? Adakah kita hanya dapat mengulang-ulang dengan kitaran, dialog, perbuatan, plot, dan aksi yang sama, dengan cerita moral yang sama agar, kononnya, penonton kita akan insaf apabila keluar panggung, atau sebenarnya kita menginsafi penonton kita agar menjauhi daripada menonton sebuah lagi filem sedu-sedan Melayu?

Aku sudah sejengkal tahap insaf daripada menonton filem Melayu yang bodoh dan kosong (setelah beberapa barisan filem tahun ini), tidak lagi. Ini pun aku tonton atas desakan kawan, desakan isteri yang ingin menonton "sebuah adaptasi novel Ahadiat Akashah" dan kerana "Remy Ishak dan Fahrin Ahmad". OK, aku ada dua pilihan baik, pertama ini filem Osman Ali, dan Osman serta Pryanto yang tidak silap aku, mengadaptasi novel Ombak Rindu, mungkin akan memberikan suatu kelainan (Osman pernah mengaku ingin mengadaptasi beberapa novel agung kita dan filem ini menjadi filem pembukaan AIFFA di Kuching), kemudian, kita ada Neelofa yang mula aku teliti setelah Lemak Kampung Santan dan Azura. OK, aku beri peluang kali ini. Kafe "Pilot Cafe" yang dibina menarik, dan kostum seragam syarikat penerbangan pun bagus, tapi semua itu hanya kulit yang mencantikkan permukaan filem.

Alas, apakah bencana yang menimpa aku kerana sanggup menonton sebuah lagi hasil entah apa-apa yang mengulang, sekali lagi sebuah inti yang tidak diharap sangat dapat mengubah apa-apa pengalaman manis menonton "wayang" dan mencari imej yang dapat kita bawa balik dan simpan? Ceritanya amat mendatar, tidak ada cengkaman dramatik (Ombak Rindu sekurang-kurangnya ada), awal tanpa hala tuju yang baik, dan "cerita" benar-benar bermula atau menarik apabila Fahrin ingin "berlakon" sebagai suami Izara balik kampung.

Apakah kehebatan imej si wanita kampung (yang jelas lakonan Izara sangat kelam-kabut dan tersalah pilih) yang "disunting" lelaki kota, yang kembung perutnya, dilatar sebuah "penthouse" di tepi anjung yang serba kaya, dengan solek muka yang sungguh sempurna dan perut memboyot, mengelamun di latar luar Kuala Lumpur serba moden dan mencakar langit suatu pagi? Ia tidak memberi aku apa-apa makna.

Ya, aku tahu novel-filem ini ke arah pengucapan didaktik, memberi suatu cerita moral terhadap Farhin Ahmad (yang baik lakonannya, begitu juga Neelofa) setelah berapa banyak wanita yang dibuntingkannya (lalu dimintanya untuk digugurkan). Fahrin atau Ameer, wataknya dalam filem ini, menyampaikan wajah lelaki "pendosa" yang bergelumang dalam dunia serba materialis (orang Melayu maju dan kaya) atas kekayaannya lantas menghadapi para wanita seperti barangan yang boleh dimiliki dan dibuang. Sepenuhnya, filem ini adalah tentang perjalanan penebusan dosa (redemption)  Fahrin untuk "menemui kembali" fitrah dirinya, untuk apa menjadi lelaki, dan untuk apa menjadi wanita. Masalahnya, dilemahkan oleh premis yang memang sedia lemah, hal ini dipertayangkan dengan beberapa imbas kembali (khususnya watak Neelofa yang terlepas daripada tangannya atas ketidaktanggungjawabnya) dan sudah tentu, kehadiran Izara yang agak janggal pada suatu malam di tepi tangga kafenya dalam basah hujan (ini sangat mengingatkan aku kepada Ombak Rindu). 

Untuk apa semua ini? Adakah dengan menonton ini, para lelaki yang rakus nafsunya, yang sedang meramas tetek aweknya di sebelah tempat duduknya dalam pawagam akan berhenti meramas tetek aweknya, bertafakur lalu mengucap dua kalimah syahadah, beristighfar, menghala tangan ke langit dan bermunajat? Adakah si gadis yang cuba atau memang sedang menikmati keadaan teteknya diramas itu akan tiba-tiba menyedari, dia sedang diperlakukan apa yang Remy atau Fahrin sudah perlakukan lalu dia kena cepat-cepat insaf, sebelum dia terpaksa terjunam di tengah-tengah kota KL dengan kepala botak Redzuan Hashim yang tampak bernafsu untuk meramas teteknya pula, lalu terpaksalah dia melarikan diri di tepi tangga seorang anak muda Melayu kaya supaya dia dapat masak lauk-pauk sedap dari kampung di restorannya.

Ketidaktentuan Osman dalam filem ini dengan jelas, memaparkan ketidaktentuan filem Melayu kita dan masa hadapannya. Dain Said pun sudah tidak mempercayai keajaibannya dengan menamakan judul filem terbaharunya dengan judul bahasa Inggeris. Dan kita masih meraba-raba mencari yang dapat kita teruskan sebagai pengalaman yang manis, yang setakat ini, hanya dapat disandarkan pada beberapa filem blokbuster Hollywood, Hong Kong, dan Hindustan, Sungguh mendukacitakan.

Klasifikasi Pilot Cafe: P13, terdapat babak ganas dan seks yang mungkin tidak sesuai disampaikan kepada kanak-kanak.
DITONTON DI MBO, KL Festival City.

31 May 2012

Jiwa Taiko(2012): Kultus Emosi dan Tragedi Moden

"Pergi mampuslah dengan cinta!" - Lara

Filem ni senang, ia mengutarakan persoalan yang dasar dan paling universal dalam mana-mana cerita: cinta menghidupkan, juga memusnahkan.

Kenapa Osman Ali, yang kita sudah sedia kenal dengan Bukak Api, dan kemudiannya Anak Halal, memusing kembali tema yang beliau amat kenal, yakni melodrama roman, kepincangan sosial urban dan anak-anak gelendangan?

Buat Osman, inilah "masalah sebenar" yang dihadapi Malaysia, sekurang-kurangnya buatnya, ia masih "relevan", dan mesti disampaikan (melainkan dia dah takde akal nak buat filem lain).

Ah, kau sedar tak, tahun ini aja, ada pelbagai filem yang menangkap sisi gelap kota, dari Songlap sampailah Chow Kit, sekurang-kurangnya dalam tahun ni, adakah kita kini bukan sahaja hendak menjadi juara pembikin filem seram poyo tetapi juga aksi samseng? Boleh, aku tak ada masalah, malah ini genre yang menarik untuk dilangsungkan, sepertimana pengarah-pengarah yang melakukannya (malah vibe ini lebih mencanang selepas kegilaan penonton terhadap KL Gangster) dengan gaya penuh aksi, meta-romantis mahupun realisme pada tahap tertinggi. Kini yang penting (dalam menyelusuri genre ini) adalah bagaimana ia dilakukan, dan apakah ceritanya.

Cerita filem ini biasa, seorang bekas banduan/samseng yang menyedari kesilapannya, lalu bertaubat (70s melodrama anyone?), lalu menjadi sukarelawan dalam sebuah rumah kebajikan (ah, ini SUBJEK tipikal Osman Ali! Semacam kesinambungan terhadap Anak Halal yang dibiarkan tanpa bantuan mana-mana badan kemasyarakatan), lalu jatuh cinta, dan pada yang sama, si kawan yang kini dah jadi "taiko" mengajaknya kembali ke dunia penuh maksiat.

Macam pernah dengar kan?

Osman kali ini menyuntik sesuatu yang menarik, walaupun mungkin bukanlah pelaksanaan yang membanggakan seperti genre rekayasa silat di Indonesia sekarang, yeap, ada SILAT dalam filem ni. Aku menyukai tindakan Osman, tetapi bagi aku, Osman sedikit bercelaru, kerana SILAT yang diberikan kosmetik bunyinya, kita tak jumpa adab dan tertib silat sepertimana yang kita nafasi dalam Matinya Seorang Patriot. Sebenarnya, ini filem berkenaan dia yang menggunakan silat untuk "jalan putih" dan dia yang menggunakan silat untuk "jalan hitam", kedua-duanya "taiko" dalam dunia mereka tersendiri. Kita tampak Bront Palarae (cuba) membawa si hebat silat alam gelap (dia taiko samseng besar, jaga sebuah disko dengan anak ayamnya) dan kita mahu melihat Remy Ishak membawa tonggak "si putih" yang celaru membawa anak-anak di bawahnya menentang hitam Bront. Tetapi penampakan ini tidak berlaku, samar-samar malah (dan pengarahnya lebih seronok buat benda lain, yang nanti aku terangkan) kerana kononnya hendak mengkelabukan watak Remy yang sedia kelabu, tetapi ini masalah, kerana kita mahu dipertontonkan, bagaimana dengan kehadiran Remy, budak-budak di rumah kebajikan makin mantap silat mereka, yang mana Osman dengan gaya lazim mana-mana pengarah Malaysia yang tidak mahu bagaimana mahu menunjukkan "perkembangan pembelajaran" memberi kita MTV demi MTV yang psychedelic-rasta-silat-flower people yang aku yakin boleh keluar di Amerika jika Greg Ararki masuk Islam.

Yeap, filem ni, aku nyatakan, a cult flick at its best, dan begitulah, dan itu sahajalah. Aku domba dan meratap menunggu, bila lagi Malaysia mahu keluarkan sebuah filem yang betul-betul filem yang mempunyai pengisian yang mendalam dan lebih membesar? Oh, ada. Bunohan, tapi ramai yang tak faham kononnya. Serius, selain ketibaan Bront pada setiap babak dengan kereta hitamnya (empat kali kalau aku tak silap) di depan Remy dan kawan-kawannya seakan-akan hendak melanggar mereka (plot accident anyone?) secara tiba-tiba yang aku sah lazim dilakukan dalam filem Tamil (sekurang-kurangnya Osman perlukan satu syot yang menunjukkan anak konco Bront mengekori Remy sedari keluar penjara, ah, ini yang buat KL Gangster Syamsul lebih masuk akal), setiap selitan aksi silat dalam filem ini, jika kau teliti betul-betul, disusun begitu rupa semacam satu pembikinan porno yang boleh menang hadiah AVN kerana cukup rencah, tengok eh: pertama, kau dapat babak 2-some tipikal couple scene, kemudian beberapa lesbian scene, malah gay scene, kemudian ada 3-some, dituruti dengan satu adegan orgi besar dan berakhir dengan satu gay scene besar berserta klimaks ditunggu-tunggu 4-some yang gerenti tentu akan membahagiakan semua fetish dan fantasi semua orang. 

Tetapi ini tidak bermakna "cult" dalam filem ini tak menjadi, ia "menjadi" dengan gila gabeng, percayalah! Khusus susunan drama filem ini yang dapat memalukan mana-mana soap opera sinatron Indonesia mahupun Filipina yang berkumandang di TV kita setiap hari. Yeap, cult gila kan? Samseng dalam melodrama dalam cinta dalam aksi silat dalam tragedi, apa lagi yang kau nak? Ini dibantu dengan kehebatan para pelakonnya, yang walaupun sepelik mana kau rasa dalam alam psychedelic dunia lain ni, kau boleh "mempercayai" emosi pembawa wataknya yang "highly charge" setiap satunya. Pembawa emosi paling kuat, malah filem ini dibuat untuknya adalah Nadiyatul Nisaa, yang mana setiap babak yang dia ada menunjukkan petanda bagaimana pelakon ini boleh memalukan mana-mana Fasha, Rita dan lain-lain untuk menjadi pelakon yang berwibawa, gema pembawaan emosinya, fuh, menakutkan. Ini dibantu dengan kefahaman Remy, Bront, Fizz, dan juga Diana yang tahu di mana mereka berada.

Ada satu babak yang aku serius kemungkinan, entahlah, secara pelik, bernuansa kuat dengan simbolisme Mary (yeap, Mariam Ibu Isa a.s.!) ... Ah, Osman menyampaikan pendapatnya di sini! Holy Mother Mislina Mustaffa berdarah, srikandi yang jatuh (beliau pengusaha rumah kebajikan tersebut), pada masa yang sama, si reluctant harlot-innocent young mother Lara (Nadiyatul) melihat kejatuhan sang ibu sakral di depannya. Ah, itu satu babak yang begitu menarik dan indah. Di sini, Osman, walaupun filem ini "kecil" memberi penglibatan "emosi tinggi" dengan imej-imej sedemikian. Hal-hal sosial remeh tetapi amat serius seperti zina kalangan remaja, lari dari rumah, buang bayi, mengandung luar nikah dikaitkan dengan penglibatan emosional watak-wataknya yang "sesat" dalam dunia kesesatan lantas memerlukan pertolongan dan cinta (Mislina dan rumah kebajikan ala Islam-rasta-Indie-Undergroundnya, Wira Cinta). Babak yang berkuasa juga berlaku pada babak akhir yang berkaitan dengan kelahiran bayi dan wajah damai sang ayah tiba saat melihat anaknya lahir dalam detik paling mencemaskan. Aku meraba-raba mencari, dari mana babak ini didasarkan, aku cuba cari dalam dunia Melayu tetapi aku tak jumpa, aku menyedari tragedi ini amat "Yunani", dan ini menarik kerana menunjukkan penglibatan penarikan takdir antara manusia yang mana setiap saat tidak dapat menentukan di mana jatuhnya manusia itu ke alam laknat/kebaikan, hanya pilihan mereka, whoah, satu perkara besar untuk suatu filem yang hanya bermain dengan cinta dan pergaduhan putih-hitam.

Jiwa Taiko adalah permainan Osman dalam dunia yang dia amat kenal, dengan tujuan (murni) untuk anak-anak kota yang hilang jalan untuk mencari makna dalam hidup mereka, ya cinta menyakitkan, dan hal dasar itulah yang memerangkap mereka setiap kali. Tetapi mereka perlu belajar dari cinta, walau berapa dalam ia menyakitkan, ia tetap diperlukan. Filem ini sudah setahap lagi mahu mencapai lambang "wakil hidup" tragedi kota sekarang, sayang ia kekurangan beberapa ramuan untuk meyakinkan aku berkenaannya, walaupun ia menghiburkan.

klasifikasi: 18, dan sepatutnya kerana mengandungi beberapa babak separa seks, ganas, ciuman (tapi dipotong!) dan aksi laknat umat fasik di disko.

23 November 2011

Ombak Rindu(2011): Semuanya Kerana Kaki

"Dia sudah banyak stres, berilah masa untuk dia berehat..."
Dialog doktor peribadi memberi nasihat kepada Aaron Aziz, selepas beberapa adegan Maya Karin dijadikan hamba seks Aaron Aziz, whooooa!

Ah, aku mulakan penulisan ini dengan mengatakan, filem ini ialah sebuah filem Osman Ali dan diadaptasi daripada sebuah novel popular. Kenapa aku nyatakan dua hal ini? Ini adalah kerana mengambil rujukan Osman Ali, yang kita sedia tahu, amat-amat meminati novel-novel Melayu, termasuk novel-novel popular. Hal ini sendiri dinyatakan dengan imej dalam telefilem beliau yang sangat terkenal, Toll Gate Girl yang mana kita sedia maklum, watak Amy Mastura itu yang sibuk membaca dan berangan novel popular semasa bekerja di tol.

Dengan nasib yang baik, aku sedikit sebanyak sudah "cuba" membaca novel popular Alaf21 tulisan Fauziah Ashari yang laris 150,000 naskhah ini untuk dijadikan perbandingan terhadap skrip yang disediakan oleh Armantono dan Osman Ali. Kemungkinan (kemungkinan sahaja) persoalan beberapa hal yang diubah oleh Arman dan Osman tidak menyenangkan penulis novelnya serta peminat, khusus kepada penjalinan cinta Izzah (lakonan Maya Karin) dan Huzir (lakonan Aaron Aziz) serta perkembangan watak Izzah yang teguh sebagai wanita solehah yang berkeyakinan dan sabar dengan dugaan. Tetapi tidak mengikut verbatim teks Fauziah ini kemungkinan "tercalar sedikit" jika melihatnya kepada "pengadaptasian sepenuhnya", tetapi aku patut menyatakan kepada peminat ekstremnya serta Fauziah, bahawa Armantono dan Osman sudah melakukan justifikasi yang terbaik malahan "bijak" dalam mengadaptasi novel popular ini.

Sebab utama, ini sebuah NOVEL POPULAR.

Kau bayangkan sahaja: dalam bab pertama novel ini, Pak Taha, pak cik kepada Izzah menyatakan dengan terus-terang kepada Izzah tanpa segan silu:

"Izzah! Aku nak kau kerja di kelab malam tu! Kau dengar tak ni! Sama ada kau suka ataupun tak, kau mesti ikut cakap aku. Pendapatannya lumayan. Kau boleh kaya dengan sekelip mata sahaja." (hlm. 3)

Yang mana Izzah menjawab dengan bendul:

"Tak nak pak cik. Itu tempat maksiat. Izzah... Izzah tak suka. Izzah nak belajar lagi." (hlm. 4)

Duhh!!! Betapa pendirian teksnya pun sudah begitu "tak real" kepada realiti dan persekitaran. Atas sebab itu aku bersetuju dengan tindakan bijak Armantono dan Osman Ali mengubah babak lesu dalam pembukaan novel ini dengan babak-babak melodrama (walaupun tampak klise) yang tersusun, Izzah ditampilkan seorang ustazah muqadam di kampung, kemudian syot Izzah yang kita tahu sebatang kara dan menumpang dengan pak cik dan mak ciknya yang mana mak ciknya (lakonan mengesankan Delimawati walaupun pendek) menghidapi barah, sedang dimandikan Izzah. Lantas pak ciknya memaksa Izzah untuk mengikutnya "kerja di KL" agar Izzah dapat membantu mak ciknya (walaupun ditentang mak ciknya secara emosional). Plot ini sudah terbina kuat. Izzah lantas pergi, dan tanpa diduga, Izzah dibawa masuk sebuah kelab hiburan, lantas dijual kepada seorang bapa ayam, bermulalah kisah lara Izzah...

Dalam novel, kedua-dua mak cik dan pak cik Izzah "orang jahat" yang mana Izzah semacam dipaksakan ke dalam dunia yang dia ketahui kotor (lantas dibaham oleh Hariz). Jalinan plot Fauziah sebenarnya sebuah lagi dunia Cinderella (yang kotor) dengan ibu dan saudara tiri jahatnya dan diselamatkan oleh putera sejati untuk menjadi kaya dan bersih. Hmmmpphh.. Kerana itu aku lebih sanggup menggulati intepretasi sosial Osman Ali yang kelihatan lebih "tertanam di bumi" daripada tulisan Fauziah. Women, his doing you a favour here!

Secara ringkas. Filem ini menghiburkan. Well, what do u expect for a melodrama? A Malaysian melodrama to be exact. Aku boleh bayangkan, ibu-ibu dan kakak-kakak bertudung yang asyik terhayat dengan Tiz, Farah, Fasha, Aaron dan Shah di kaca TV dengan jerit dan rendam air mata akan mendapati filem ini memenuhi tanggungjawab dan fungsi sebuah filem "air mata" (weepies) yang pernah kita ketahui wujud pada suatu hari Esok Jins Samsuddin. Dengan mentalisme abad ke-21 dan teknik penggambaran terkini, filem ini kiranya dapatlah mengangkat sebuah filem kotemporari dengan saduran aksi dan runut klise melodrama yang punya jiwa rengek-tangisan itu, malah aku mengaku, lebih elok daripada plot tak masuk akal Lagenda Budak Setan (oleh produksi yang sama). Ya, sewaktu tayangan pratonton ini, seorang wartawan otai yang bersama aku "mencucuk sindir" filem ini dengan limpahan rujukan Ibu Mertuaku (babak hujan dan kilat, serta, ibu mertua dari neraka, hahaha) , Dia Ibuku (babak kampung aman lawan jahat bandar dan perbandingan orang kaya zalim dan orang miskin tertindas) dan Esok Untuk Siapa? (perkahwinan madu dua wanita berbeza, kaya dan sofistikated dan miskin sopan). Tetapi akhirnya, beliau juga tewas dengan sedu-sedan pada klimaks third act filem ini, sambil menyatakan "it's a well made soap".

Sebagai melihat tanda aras genre melodrama secara keseluruhan, yeap, ia memenuhi tindakan dan fungsinya dalam kotemporari Melayu Malaysia. Tetapi jika aku bandingkan apa yang sudah dilakukan di Indonesia (Di Bawah Lindungan Kaabah) dan Thailand (Love of Siam) dalam genre melodrama, banyak lagi lapisan tanda yang perlu kita tempuhi. Tetapi setakat ini, OKlah, aku gembiran dengan produksi ini.

Ini adalah kerana, sekurang-kurangnya ada tiga perkara yang aku suka akan filem ini.

Pertama, adalah lakonan. Sila lihat kehebatan Aaron Aziz, Lisa Surihani (bagi aku sangat-sangat berjaya membawa wataknya), Bront Palarae (sangat membawa watak seorang kampung berjiwa), walupun beberapa watak sampingan seperti dibawa oleh Julie Ziegler, Normah Damanhuri dan Zaidi Omar (ini antara lakonan terbaik Zaidi). Walaupun kita lihat Maya Karin sebagai pelaku utama agak "miscast" sebagai dara kampung kerana keurbanannya, aku memaafkannya atas kerana pernah melihat Deanna Yusof melakukan hal yang sama dalam Selubung dan Ringgit Kassorga (ok, aku sayang gila dengan Deanna, OK?). Hanya ada beberapa watak yang memerlukan "lakonan dalaman" Maya yang mana tidak dapat diyakinkan oleh Maya dalam beberapa babak. Tetapi para pelakon filem inilah yang membuatkan filem ini berbaloi untuk ditonton. (Watak Azizah Mahzan dipaksakan untuk melampau dan ikon ala Darth Vader melodrama, sedikit berlainan dengan perkembangan perwatakan watak lain malah sebagai tempelan kadbod berkuasa tipikal filem-filem melodrama sebegini dan mengambil homaj Ibu Mertuaku.)

Keduanya, ada satu babak yang sungguh meyakinkan, Osman mensengajakan ia tidak berunut bunyi untuk menyatakan "kuasa" babak itu. Ini adalah babak meyakinkan Aaron yang menunjukkan kerinduannya terhadap isterinya Maya di dalam rumah Pak Lah yang sedang buat kenduri doa selamat sebelum pergi Haji. Babak ini antara kekuatan filem ini, memaparkan kekuatan melodrama dan apa yang cuba diketengahkan dalam satu-satu filem sebegini. Beberapa nuansa kecil tetapi membawa lapisan berlaku apabila kita memahami nanti mengapa Pak Lah benar-benar menangis dan terharu. Ini sebuah babak sakti filem ini.

Ketiganya, aku suka dengan Osman yang meletakkan beberapa penanda, yang kita sedia maklum terikat kuat dengan budaya dan agama Melayu - Kaki (secara menariknya, petanda ini juga dimainkan dalam filem yang turut menghujah berkenaan politik dan kuasa pengaruh dalam Abuya). Rujuklah "kaki" dalam filem ini. Kaki dalam Islam mempunyai tanda pelbagai, tempat paling bawah/hina, termasuk antara petanda "bahagian" yang akan bercakap pada masa ditanya oleh Allah apakah si pelaku membawa ke maksiat/ibadat, serta istilah Melayu "syurga itu di bawah telapak kaki ibu - syurga isteri terletak di bawah telapak kaki suami". Tiga watak dibicarakan dalam hal ini mempunyai kaitan ini: Azizah (ibu Aaron) - Aaron (anak Azizah, suami Maya) - Maya (isteri Aaron, menantu Azizah). Kita dipertunjukkan pada awalnya bagaimana Maya dipaksa "sembah" kaki suaminya dalam beberapa babak. Kita menyampah dengan sikap patriaki Aaron mendominan Maya. Tetapi rupanya ini justifikasi dengan sikap Aaron yang mencari "pelepasan psikologi" kerana didominan oleh "ketua tak boleh disanggah" Azizah yang matriach terhadap Aaron. Secara agama pula Aaron "terpaksa ikut taat" kepada ibunya (syurga di bawah tapak kaki ibu). Ini kita sedari dengan kaki ayam Azizah yang berjalan merata rumahnya sedang Aaron banyak berdiri atau duduk bila berpandang mata dengan ibunya. Ini berbeza dengan Aaron yang berjalan bebas dengan kasutnya di vila yang mana Maya dikurung. Simbolisme ini jadi kukuh lagi apabila Maya dipaksakan mengurut "kaki" Aaron berkali, dan khusus satu babak yang mana Maya membuka kasut Aaron (petanda prestij Aaron dan kekurang ajarnya - Melayu tak elok berkasut dalam rumah). Secara "subtle", kita lihat dalam satu babak, Aaron "sudah mula jinak" apabila dia memakai stokin sahaja dan berbaring di sofa. Maya membuka stokin Aaron (petanda taat setia Maya, serta kesanggupannya kepada dominan Aaron yang menandakan kasih sayangnya juga). Ini juga simbolisme kesukaan "seks" Maya terhadap Aaron. Mainan dinamis "tarik-tarik kaki" inilah yang berlaku antara tiga watak, semacam satu mainan politik mendapatkan pengaruh secara prasedar. Ini menarik lagi apabila kita dipaparkan secara awal bagaimana "berkuasa"nya Aaron menguasai bapa ayam beretnik Cina pada awal babak (dominan politik Melayu terhadap etnik lain di Malaysia, walaupun bergelumang dengan maksiat, juga penanda bahawa Aaron menguasai kehebatan seks kepada wanita dan machoismenya). Kemudian, kaitkan hal ini dengan kaki patah Aaron (hah!) pada masa tiga watak ini mula mencapai kemuncak konflik! Ahh, kita tidak boleh lari dengan mengambil konteks feminsime dalam membaca sebuah filem melodrama (kerana filem sebegini dibuat untuk wanita khasnya), dan penanda kaki ini merupakan kata kunci terhadap memahami kuasa dan penguasaan sang wanita terhadap lelaki (lantas mengambil kata Dr. Zulkifli, ini sebuah pascafeminisme yang Islamisme-feminis kemelayuan), bagaimana politik, nuansa dan tindakan yang dilakukan terhadpa wanita untuk mendominasi, atau sekurang-kurangnya berdiri dalam dunia patriaki Islam/Melayu. Sekurang-kurangnya, filem ini menunjukkan hal itu.

Hal inilah yang dibawa dan diangkat oleh Osman Ali. Sebagai sebuah melodrama konvensional, ini sesuatu yang dialu-alukan dan dipuji dalam genre sebegini.

klasifikasi: Walaupun U, ibu bapa perlu khuatir dengan adegan ganas di antara suami yang memukul isteri, ada penampilan "ke arah" adegan seks yang walaupun tidak melampau (rujuk filem-filem melodrama 70-an dan 80-an) tetapi tidak sesuai diikuti oleh kanak-kanak (persoalan zina dan sexual molestation), beberapa adegan wanita tidak bertutup dan berkemban serta adegan Aaron Aziz yang erotis walaupun berbaju.

ps: Aku berharap sangat Osman Ali selepas ini ambil sebuah novel sastera untuk diadaptasikan.



18 December 2007

Anak Halal (2007) Yang Haram Jadah

Ok, sebelum aku mula, ada dua 'part' dalam filem ni yang buat aku meloncat suka, terasa 'seronok' dan 'terhibur' menonton sebuah SINEMA (dalam filem, penting ada unsur-unsur yang menarik kita 'terpesona' dengan imej yang dipaparkan, contohnya sampai sekarang, aku tak faham 'cinematique moment' yang buat orang terpesona dengan tupai cute dalam Enchanted(2007), tapi ada sebuah babak itu yang kononnya deme semua suka sambil tepuk tangan bila tupai tu cuba berbahasa isyarat dengan si putera, ahh begitulah...).

Pertama adalah part sewaktu Pak Aziz Sattar yang ada cita-cita nak 'romen' dengan Fasha Sandha "Eh, janganlah makan sorang...", bila dah dapat tahu yang Fasha meloncat lalu mampus di kaki Flat PKNS Kg. Baru, Pak Aziz menunjukkan muka separa bengang-gersangnya ("aku melepas lagi...") sambil menggilap sandal, priceless!

Kedua ialah sewaktu klimaks cerita yang aku 'swear' seakan keluar daripada sebuah filem Rajinkanth! Ya, gaduh-gaduh keling style, huhuhu, Pariyapa! Walaupun orang akan meloncat menonton babak ni, dan memang pun SEMACAM babak ni langsung terkeluar dari 'makna realisme' dan logik filem ni (kita tak sedar pun Farid ada geng Mat Rempit yang beribu ala Jetsons), tetapi aku serius berkata, selepas aku sakit hati dengan rasa merewang filem ni, babak menyembelih tu macam buat aku tersengih suka, bukan saja kerana seronok tengok orang berbunuh (dalam cerita rated U, you!) tetapi semacam tengok Osman Ali sendiri bertutur "Aku tahu filem ni entah ke mana, jadi apa salahnya aku tambahkan satu lagi taik yang besar untuk selesaikan caca merbanya, seronok tak?" Aku jawab: Seronok! Itu 'jerk off moment' untuk aku. Dan waktu Zul Huzaimy bertentang mata dengan Farid Kamil, ya rabbi, hero lwn. orang jahat ala hindustan-tamil habis! huhuhu!

Ok, those are the fun part... Now, the goody-goody part..

Konsep filem ni bagus. Konsepnya ingin menjurus ke 'epikal', malah, jika kita baca hikayat-hikayat lama, cerita di mana raja yang terpaksa buang anaknya (lihat Caya Langkara) lalu anaknya membesar dan jadi seorang perwira budiman yang melalui pelbagai rintangan, lalu kembali ke istana lalu bertemu dengan raja lalu menyambung kerja ayahandanya, watak Farid Kamil sebagai Indera Putera (diambil dari nama hikayat Melayu itu) mewakili simbol itu. Tapi, jeng-jeng-jeng, tiba-tiba ada Greek Tragedy, ada sentuhan Oedipus bila Farid bertemu dengan ayahnya yang jahat (Rosyam Nor) lalu nak bunuh ayah dia (dia tak tahu masa tu Rosyam Nor ayah dia). Tiba-tiba aku rasa macam tengok Star Wars versi hindustan pulak.

Osman Ali sebenarnya ada sesuatu dalam tangannya. Dia mahu mencampuri dua unsur yang aku faham sangat dekat dengannya. Pertama ialah unsur realisme. Ini dipapar baik dengan filem pertamanya, Bukak Api(2000). Ini ditolong lagi kerana Osman Ali adalah seorang aktivis NGO yang menyedarkan masyarakat akan AIDS. Realisme Osman terletak pada keberaniannya memaparkan seksualiti yang tidak tersorok (kalau kau gay, kau gay, kau patut hidup) serta manusia 'bawah tanah' yang hidup melarat (tak lah melarat, deme hidup gak), baik pengemis, penagih dadah serta buruh. Suara ini tampak dalam golongan muda yang diwakili Farid Kamil dan geng yang suka makan burger, jual burger, main raba-raba bawah jambatan (mana-mana pun boleh asalkan jambatan), merempit (tapi tak tunjuk), bergesel dan gusti jika tengah tidur sama sejenis di ruang tamu atau dalam penjara dan mencarut, tanpa mak ayah nak sibuk meleter. Antogonis mereka ialah si samseng Zul Huzaimy (lagi sekali, Zul Huzaimy mengambil tarikan penonton setiap kali dia di dalam latar filem, kuasa fizikalnya, ya Rabbi... gila!), kemelaratan hidup, pihak berkuasa dan orang luar yang memandang rendah terhadap mereka (dalam filem ni, seorang Datuk lakonan Ahmad Tarmimi Siregar). Socialist 101 anyone?

Kedua, unsur romantisme-urbannya. Antara pengarah filem yang menangkap lanskap urban, Osman Ali adalah di antara suara muda baharu yang terbaik. Latar Flat PKNSnya sudah banyak kali dirakam olehnya, termasuk filem ini. Anak-anak urbannya (atau sub-urban) ialah anak-anak yang 'real', anak-anak yang datang dari jalan, anak-anak kelas rendah yang bekerja macam orang lain, makan di warung dan berborak tentang harapan, cinta dan impian. Cinta dan impian ini kadang-kadang menelus kepada 'fantasi' jiwa, angan-angan yang dicipta oleh anak-anak ini untuk keluar dari kesusahan atau 'mundane' hidup mereka, seperti mana yang ditunjukkan dalam iklan penjaga kaunter LRT Fair & Lovely.

Di sinilah terletak kesukaan kedua Osman Ali, iaitu kepada novel-novel picisan/popular. Novel ini mencerminkan falsafah dan impian anak-anak ini, atau secara sinis, dadah kepada anak-anak ini. Idea Osman ialah membawa 'fairy tale' dalam novel-novel 'berbahagialah akhirnya bersama kekasih' ini ke dalam hidup anak-anak ini. Anak-anak dalam filemnya, yang tinggal di bandar ini selalu 'mengimpikan' sesuatu yang keluar dari ruang dan habuk 'real' bandar. Kedua-dua watak utama telefilem Osman, Surat Untuk Bulan(?) serta Toll Gate Girl(2001) membaca novel picisan, serta mengalami atau melalui satu evolusi atau 'makeover' yang serupa untuk mencapai 'impian' mereka berlatarkan kekelabuan udara Kuala Lumpur.


Di sinilah, Osman Ali sampai ke peringkat ketiga filemnya, iaitu filem-filem yang mencampuri unsur realisme serta urban-romantisme, menyuntik sebuah roman yang ditunggang tebalikkan, suatu dekonstruksi terhadap erti 'fairy tale' , tradisi dan pengertian baik atau jahat. Ini adalah eksperimen Osman Ali. Puaka Tebing Biru(2007)nya adalah contoh terawal, membaur konsep roman serta realis sekitar.

Di dalam filem ini sendiri, kita nampak simbol 'pembauran' ini bercampur. Lihat saja Raja Farah yang memegang buku Perempuan Politikus Melayu (buku separa picisan roman dan realis, berakhir dengan pesismis yang kuat), gubuk cantik di atas flat PKNS atau Fasha Sandha mengimpikan terbang sewaktu tengah high dengan ganja. Farid Kamil sendiri, seorang hero yang anti-hero. Farid mempunyai semangat dan keinginan 'betul' seorang perwira Melayu lama, menjaga martabat, mengejar cinta agung, berlawan kerana benar dan maruah, berpegang pada prinsip, tetapi dia diajar di dalam filem ini, apa-apa yang dipegangnya, dijuangkannya, semuanya mempunyai consequences, dan consequences itu selalunya negatif dan pesimis. Maka Osman menyoal, manusia romantis seperti Farid tidak ada tempatkah dalam dunia ini? Ini dipertunjukkan pada babak akhir filem ini apabila Farid merangkul Bonda (Mislina Mustapha, memang 'cover girl' Osman Ali sejak Bukak Api) dan Maya Karin di depan polis. Sebenarnya pengkahiran filem ini lebih lesu daripada memberi satu keinginan jujur kepada penonton. Jikalau saja Osman Ali lebih provokatif, dan menjalankan opus tragedi yunaninya dengan betul, dengan betul-betul menyiksa Farid untuk sedar 'tidak ada maknanya lagi untuk romantisme' seperti mana yang dilalui oleh anak malang Salaam Bombay!(1988) atau Grave of the Fireflies(1988), filem ini akan lebih bermakna.

Malah, seperti Puaka Tebing Biru juga, filem ini banyak tersasar, atau banyak mencipta kecelaruan demi kecelaruan. Kecelaruan yang pertama dan boleh dipersoalkan, malah meruntuhkan segala 'harapan' terhadap filem ini ialah, pengenalan Fasha Sandha dengan Farid di tepi jalan (semacam betul-betul plot yang keluar dari sebuah novel picisan!). Kita mula persoalkan kenapa Fasha terlalu baik dengan Farid dan mahukan Farid (kenapa memilih Farid?), apakah relatif psikologinya dan apakah sejarahnya? Keadaan ini sangat longgar sehingga Vovin dan Nazim Masnawi mengingatkan Fasha itu psycho bimbo ala-ala Single White Female(1992) mengejar Farid sedang aku secara serius ingatkan Fasha saja gatal dengan Farid supaya dapat main dengan Maya (well, they did have a tenee weeny lesbo dance ala-ala Salon).

Persoalan Fasha tidak jelas, sehinggakan aku teringat, perwatakan Dynaz dan Betty Benafe dalam Haru Biru(2007) adalah langit terhadap bumi Fasha (membandingkan Haru Biru dengan filem ini ialah seperti membandingkan filem indie segar yang raw dengan filem pro kerajaan -hidup sihat tanpa dadah :) ). Malah, maaf cakap, Fasha, entah kenapa, setiap gerak-geri dia di dalam filem ini seakan menyakitkan. Semuanya kerana suaranya. Aku dapat bayangkan, produser filem porno pun tidak akan memilih Fasha kerana takut, suara nyaringnya membingitkan dari mengghairahkan. Dan paling sedih, Fasha 'cemerlang' hanya sewaktu babak-babak dia sedang 'high'. Aku terfikir, siapalah yang orang dulu heboh-hebohkan di Istana Budaya tentang seorang pelakon wanita yang amik dadah tu.

Oleh kerana Osman Ali terlalu mengambil masa kita dengan Fasha dan Farid, Osman lupa untuk mengembangkan perkara-perkara yang lebih baik untuk kita lihat, iaitu Adi Putera dan Raja Farah (suka dengan dia! Suka sangat!) serta cerita latar Rosyam Nor, geng mat rempit, dadah, bonda dan Zulhuzaimy. Aku faham, ini sengaja dibikin untuk memberi jalan heroik Farid untuk menemui ayahnya dengan dramatis (selepas kekasihnya dah mampus, dia perlukan satu lagi tujuan untuk dicapai), lalu mengangkat idea 'hikayat' yang diinginkan oleh Osman (anak putera bertemu ayahandanya) sewaktu penyelesaian ala-ala melodrama hindustan Farid menangis merangkul Bonda-Maya-Rosyam. Tetapi, di situlah kerosakannya. Bayangkan idea besar 'hikayat', romantisme yang terletak di atas bahu Farid, lalu didekonstruksi dengan tragedi yunani, pesisme hidup urban, dan kumpulan gelap yang kemudiannya diselang-selikan dengan kesengajaan demi kesengajaan yang sangat jelas. Kesengajaan yang aku tidak boleh maafkan ialah, bagaimana secara sengaja Fasha boleh bertemu dengan Adi di tepi jambatan, bila sebelum itu Fasha dipaparkan di'penjara' ala-ala Repunzel di dalam mahligai ayahnya.

Teknik filem ini memburukkan lagi suasana filem ini. Penyuntingan kelam-terang filem ini malas, malah banyak shot yang tidak bersambung dengan baik, semacam fregmen-fregmen tanpa konti yang teliti. Ada beberapa shot yang mengambil gambar watak semacam snap shot lalu statik sementara. Ideanya menarik pada mulanya, tetapi lama-kelamaan, semangat realis itu berubah kepada 'pretentious', kepada 'fashion shot' (Osman Ali seakan mahu idolasisasikan imej-imej ini) dan akhirnya membuak kedivaan semacam menonton filem hindustan (kita seakan terasa watak-watak itu 'dewa' yang perlu diingat). Kemudian, ya rabbi, orang dah kata, JANGAN GUNA LAGU ORGAN untuk latar lagu. Buruk betul! Malah, kalau filem ini 'senyap', mungkin aku boleh maafkan lagi.

Nasib baiklah, filem ini ada Raja Farah dan Farid Kamil yang 'constant' dan intrig dalam tempo lakonan mereka. Lebih-lebih lagi Raja Farah. Babak sewaktu Raja Farah mengamuk untuk darah, dengan baju dan wajahnya yang berdarah, lalu bila Farid menjerit untuk masuk ke rumah, Raja Farah mengilai, aku merasakan itu adalah antara babak bersejarah dalam perfileman cult Melayu tentang feminiti dan keganasan. Maya Karin juga bagus. Pada awalnya, Maya Karin macam tiada kesungguhan dan klise (ketawa gediknya), tetapi setelah filem ini berjalan, Maya Karin bersinar dan bersinar.

Filem ini, seperti Puaka Tebing Biru adalah filem-filem 'susah'. Ideanya besar dan segar tetapi memerlukan kerja rumah yang lama, pusingan draf skrip yang berulang-ulang dan produksi yang mantap untuk mendapatkan kesempurnaan. Osman Ali ialah seorang pejuang sebenarnya, dia benar-benar mahu mencuba sesuatu yang baharu, sesuatu yang pascamoden. Tetapi dia perlu banyak bersabar dan mencari lopong dan ketelitian. Jika tidak, filem yang menjadi antisipasi seperti ini, yang mempunyai semangat untuk marhaen-urban merasa mereka ada 'hero' akhirnya, hanya akan mengejek Osman Ali kerana gagal merealisasikan fantasi mereka walaupun sebentar.



ps: Saudara Ajami Bicaraskrip, terima kasih atas undangan, dan harap jangan bosan ajak saya lagi ya :)