28 September 2012

Langit Petang(1982): Adaptasi Menarik


Dalam filem ini, Azean Irdawaty membuktikan bahawa jika Douglas Sirk atau Robert Aldrich di Malaysia pada masa itu, mereka tentu akan ambil bintang felem ini dalam filem-filem mereka. Filem ini sebuah melodrama yang mempunyai unsur "perjuangan tanah" yang diambil daripada (dalam kredit filem, digunakan istilah "dipadankan") novel Sasterawan Negara A. Samad Said, yang mana diketahui legenda, Pak Samad amat membenci (karya ini), sampai Syed Kecik, dan mana-mana pembikin filem Melayu zaman tu lepas tu memang tak koser nak sentuh bahan sastera lepas tu kerana penulis kita agak diva dalam hal-hal mengadaptasi ni.

Tapi tu legenda urban.

Yang lebih penting, legenda filem ini "fishy" sebab aku menyedari, novel Faisal Tehrani (yang memang patut diadaptasi), Perempuan Politikus Melayu, mempunyai garapan plot yang "seakan-akan" sama dengan plot filem ini (wartawan bercinta dengan pelacur/perempuan kaberet, penindasan orang kampung kerana tanah yang ingin diambil oleh golongan kaya). Kejap, plot filem ini pun mendekati kebanyakan tema "tanah digadai" ala 80-an yang aku sedar, juga dalam subplot Tsu Feh Sofiah.

Tanah was the in thing in those days. These days, we just sell lands. Tak caya, tanya Sri Iskandar dan Kota Sri Damansara.

Secara lalu, aku tak pernah baca novel "padanan" filem ni (mana nak cari, mungkin Wira Bukit boleh perkenalkan kembali), tetapi secara cerita, penceritaan Shahrom Mohd Dom (dan beberapa lagi penulis skrip) aku kira "decent" sebagai sebuah filem melodrama komersial yang berisi. Malah, jauh lebih menarik daripada melodrama Esok Jins Samsuddin. Tanah yang "diperkatakan" sebenarnya menampilkan beberapa metafora yang menarik, khusus dalam klimaks filem ini (yang masih relevan dan berguna) berkenaan bagaimana kita (orang Melayu khusus Melayu) mendapatkan kemerdekaan negara ini lalu mensia-siakannya dengan dengki dan menindas orang bawahan. Semangat sosialis ini menyamai semangat Mother India tanpa layar epik atau parang sabit.

Aku anggap, drama ini cukup untuk fokus Pak Arip (lakonan berkuasa Mahmud June, beliau patut menang Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem ini) dan perjuangannya, tetapi unsur melodrama-cinta (tarik penonton umum, strategi ini masih digunakan sampai sekarang) Dharma Harun-Azean Irdawaty meleleh-leleh dimasukkan sebagai perencah utama penarik penonton muda mudi (yang tak tahu baca buku). Bagi aku, cara Shahrom menyusunnya, SEIMBANG, walaupun banyak babak-babak "tacky", khusus dalam membuat kita percaya dengan "percintaan" ini (plot paling dipersoal: jika kau dirogol, kenapa kau jadi perempuan sundal?). Tetapi semua ini kita telan kerana ketulusan dan kehebatan lakonan Dharma-Azean yang membuat kita "mempercayainya", samalah macam lakonan rogol-cinta-paksa-jatuh cinta Aaron-Maya yang "tak masuk akal" dalam Ombak Rindu tetapi kita mempercayainya.

"Langit petang" layar ini juga diwarnai dengan lagu longlai hebat Ahmad Nawab, Raja Balada 70-an yang sememangnya menjadi ikonik terhadap mana-mana filem melodrama. Hanya aku tersedar, banyak runut bunyi filem sebelum digunapakai sekali lagi, aku syak, daripada beberapa filem Hollywood. Aku juga terjumpa runut bunyi Endless Love. Inilah antara sebab filem-filem kita dahulu kala (70-80-an) tidak dipedulikan golongan antarabangsa.

Tulang belakang sebenar filem ini adalah Johan Ibrahim dan Johari Ibrahim (adik-beradik), yang merupakan pengarah sinematografi lalu Johari penyunting filem ini. Terbaik, adalah babak awal 8 minit filem ini yang mana jukstaposisi kenduri kahwin, disilangkan dengan babak "rosak bendang" yang dilakukan oleh konco-konco "Tuan Hashim" (Oh ya, kalau aku tak silap, seorang daripada anak buah Hashim tu merupakan Man Kadir yang amat terkenal dalam filem-filem Mamat Khalid sekarang). Babak itu sendiri sungguh "sensual" walaupun "raw" apabila disilangkan bagaimana tarian Melayu lelaki-perempuan dijukstaposisikan dengan kocokan dan dengusan manusia "jahat" memecah bendang (yang seakan dilanda nafsu serakah, "memperkosa" tanah tersebut!) Semuanya ditangkap pada waktu malam! Kemudian ada beberapa gambaran yang mempunyai strok "breaktrough" untuk perfileman kita, hanya kita mungkin tidak menyedarinya, berlaku sepertimana babak Dharma di jeti dikejari Maimon, yang mana segala ini berlaku dalam tangkapan dalam rumah yang gelap, dan hanya cahaya di luar yang menyinsing, membuktikan pengarah sinematografi ini amat memahami ikatan komposisi ceritanya dengan mis-en-scene yang mahu diangkat (hal ini ada memperkatakan tentang jiwa sunyi, terasing dan melankolik Dharma, walaupun mempunyai petanda harapan cinta daripada Maimon).

Babak-babak nostalgik, seperti melihat Pejabat Utusan Melayu pada zaman itu menarik, serta beberapa disko-disko (orang Melayu tak boleh lari dari disko ya?) lama di Kuala Lumpur, dan hebatnya GRO zaman dahulu pakai kebaya.

Aku memaafkan beberapa kejanggalan dalam filem ini kerana kesatuan cerita filem ini yang baik, lebih-lebih lagi dalam menampilkan rahsia dan perjuangan "tanah" yang mencukupi, walaupun perahsiaan itu dibuat dengan corny dan terlalu melankolik (mesin membuat Azean menangis) dengan beberapa babak kesengajaan yang terlalu (Derus ketemu Dharma dan Azean dalam babak yang sama pada masa yang sama). Paling menarik adalah cara Shahrom mengakhirkan filem ini dengan larian kaki ayam Azean dari "kota" ke "kampung" untuk ke perkuburan seakan "one take". Ini penting, kerana kisah ini melibatkan "tanah" dan Azean diibaratkan sudah lama "tidak menjejak kaki ke tanah" yang bermakna "meninggalkan realiti dan asal hidup".

Azean disengajakan memakai tumit tinggi (simbol material, wanita moden dan terkini, dan hidangan Barat kepada Timur, ini bersilang dengan pemakaian baju kebayanya yang ketimuran) lalu kerana tidak cukup laju (untuk balik), perlu membuka kasutnya lalu berkaki ayam. Lantas kaki ayam itulah, menjejak "bumi" kembali (mengenal asal-usul", suatu hal yang jelas jika dibandingkan dengan klimaks sewaktu Azean mendepani Hashim. Babak malam itu, Azean kembali "membawa diri" meninggalkan kampung "berserta" tumit tinggi (dia masih tidak mengenal kebenaran), dan dengan sekembalinya dengan kaki ayam, pada waktu siang (dibandingkan dengan babak sebelum) membawa implikasi peluang kedua, serta harapan baharu buat orang seperti Azean, serta generasinya. Optimis yang indah tanpa perlu mengada-ngada.

Beginilah orang dulu buat filem. Suatu filem menarik yang patut diberi peluang kedua dan optimis baharu.

MENONTON DI DVD tulen "Dragon" yang hanya boleh dibeli di beberapa kedai DVD, khususnya kedai Classic.

25 September 2012

Lambakan Filem Tempatan Harus Dikawal

Kita hidup dalam dunia yang "demokratik".

Dalam dunia demokrasi, kita bebas memilih beberapa perkara yang berlandaskan dasar undang-undang yang sudah termaktub.

Dunia demokrasi bernama "pasaran bebas" berlaku dengan majmuk dan muhibah dalam tayangan pawagam tempatan kita, sama seperti Singapura (yang lebih pelbagai filemnya). Kita memilih untuk menonton sesebuah dan kita tonton filem itu.

Semenjak filem tempatan kita dibebaskan dalam dunia pasaran bebas ini dengan sifat "berdiri sendiri", nyata, filem-filem itu menghadapi badai yang amat mengejutkan. Filem-filem bermutu seperti Songlap dan Bunohan, mungkin "susah" untuk menarik penonton kotemporari (kerana unsur gelapnya?), tetapi bagaimana pula dengan filem komersial seperti Leftwing yang sebenarnya punya "tarikan penonton" tersendiri sebenarnya (khusus mereka yang terikat dengan dunia rock) tetapi gagal di pasaran? Ada yang mengatakan, orang luar tidak dengar pun akan filem itu. Beberapa filem komersial yang mengikut formula turut menghadapi masalah yang sama.

Secara kebenarannya, filem kita masih diperkecilkan oleh masyarakat kita sendiri sebenarnya. Contoh. Jika ada 10 filem yang ditayang di pawagam, etnik Melayu menengah, misalnya, tetap akan memilih menonton 3 pilihan filem Hollywood, ataupun sebuah filem bahasa lain. Terakhir, jika tiada pilihan, barulah filem Malaysia/Melayu dipilih.

Adakah kenyataan di atas benar? Mohon buktikan kepada aku kenyataan ini falasi semata-mata (dan aku berharap pun ia falasi).

Persoalan mencapai RM10 juta yang pernah dikemukakan oleh Suhaimi Baba (dan berlaku tahun lepas) kononnya mewarnakan bahawa kita sudah ada sejuta penonton filem tempatan. Adakah andaian ini benar dan boleh disahihkan dengan kajian? Adakah kita (Finas, dan khususnya optimisme David Teo) terlalu terburu-buru dan percaya terhadap dasar terkini (tayangan seminggu sebuah filem)?

Aku ingin bertanya kepada pihak berkenaan, adakah kutipan filem kita yang lesu tahun ini juga berkaitan dengan kebanyakan filem Barat yang lebih memberi "nikmat" untuk tontonan dibandingkan filem tempatan? Berapakah kutipan filem Hollywood tahun ini? Ataupun Hong Kong? Adakah ia turut terjunam sepertimana filem tempatan?

Aku sebenarnya mengaku. Buat tahun ini, aku agak lelah menonton filem Malaysia. Setiap minggu, ada sahaja filem "baharu". Jadi, elok sahaja aku "memilih", menyiasat dahulu sebelum menonton (bertanya kawan di twitter, contohnya). Lambakan ini tampak biasa jika kita di Amerika (yang hanya menayangkan filem bahasa Inggeris di pawagam komersial, hanya beberapa filem pilihan yang mendapat pengedaran terhad). Tetapi di sini, mutu pembikinan, penceritaan dan kuasa pasaran (lihat sahaja promosi, bayangkan bagaimana promosi filem Leftwing ingin melawan promosi serata dunia Premium Rush pada masa yang sama) berlainan buat sesebuah filem dengan sesebuah filem lain, belum lagi diperbezakan dengan filem tempatan dan filem luar.

Aku pernah menonton sebuah filem "art house", dibikin oleh pengarah "auteur" Thailand di Phuket (pawagam itu pawagam komersial). Dalam pawagam, ada tiga orang selain aku.

Di mana-mana, orang tetap mencari hiburan. Itu aku tahu. Tetapi dalam pencarian hiburan, dan formulaik, orang juga mencari "sesuatu yang lain".

SAM sebuah filem "gelap", yang setaraf Eraserhead ataupun House of the Devil untuk tayangan "tengah malam". Memang, tidak ramai yang akan "menyukai" filem itu, tetapi filem itu, kiranya "berjaya" kerana perbezaan semangat yang dibawa dalam garapan komersial yang dipakejkan. Promosi filem itu all out, jika dibandingkan dengan Leftwing (filem ini ditulis oleh legenda pembikin 80-an, Nasir Jani!) Filem itu, sekurang-kurangnya berbeza dengan judul pelik, genre spoof dan formula B-movie yang kita sedar melanda wayang kita (sepertimana filem-filem separa seks komedi melanda wayang Indonesia sekarang, sepertimana era kejatuhan filem Indonesia pada 90-an). Masalahnya, filem itu sebenarnya ada harapan untuk disukai oleh golongan kelas menengah Melayu (rata-rata masih orang Melayu yang menonton filem Malaysia dan ini fakta), tetapi mengapa penonton itu tidak tertarik?

Adakah kerana, kita, para penonton yang kononnya sofistikated, cepat mendiskriminasi filem kita sendiri?

Aku mengaku, hal itu ada (dan wujud mentaliti tunggu masuk Astro Showcase, DVD dan TV Raya) dan masih tumbuh kekar. Kerana itu, bila aku sendiri mempromosikan filem (dahulu) seperti Puteri Gunung Ledang, Sepet, Gubra, serta filem sekarang seperti Songlap, masih ada kawan-kawan yang melihat kepadaku dengan gaya serong. Sedangkan aku percaya, golongan merekalah yang dapat menghargai filem-filem sebegini.

Mereka semua terlepas keindahan Layar Lara, kebagusan Tsu Feh Sofiah dan kehebatan Jogho.

Adakah kita patut mansuhkan dasar terkini sebelum sedikit demi sedikit melemahkan lagi penguasaan filem kita di pawagam tempatan kita? Serius, secara realiti, jika aku di depan carta pawagam, aku akan menggaru kepala untuk memilih "dua" filem Malaysia yang sedang ditayangkan (kadang-kadang tiga, kecuali jika aku benar-benar menunggu filem itu, seperti Sembunyi, Penanggal dan Hanyut setakat ini), dan kadang-kadang aku akan terbeli filem Hollywood yang aku tidak ada niat pun hendak menonton. Itulah realitinya. 

Jika para penerbit filem dapat hidup dengan desakan dan kitaran cepat tayangan filem sekarang, teruskanlah dan redalah dengan pelaksanaannya, lalu perkuatkan promosinya. Jika tidak, sesuatu harus dilakukan, sebelum filem-filem tempatan benar-benar terkubur, dan waktu itu sudah terlambat hendak buat apa-apa lagi, sepertimana lambakan filem Melayu pop yeh yeh dan remaja girang era 60-an.

A Separation(2012): Antara Filem Terbaik 2011

Beginilah filem sepatutnya.

Jika diterjemah, judul filem ini (yang lebih panjang dalam bahasa asalnya) mengeja: Penceraian.

Penceraian inilah yang menarik. Bagaimana, kisah yang begitu mudah (sepertimana kebanyakan filem-filem yang bagus) berkenaan seorang isteri yang ingin memutuskan perkahwinannya, mengikat beberapa naratif tertentu dalam satu kompleksiti kemasyarakatan dan kelakuan yang menyengat, juga berkaitan dan memberi makna tersendiri terhadap judul "penceraian". 

Khusus yang dapat ditanggapi adalah politik seks yang jauh melangkau dramanya daripada Kramer vs. Kramer (berkenaan intelektualiti wanita dan sikap ego lelaki yang memerangkap mereka), serta penceraian kelas(!) dan kefahaman (pemikiran moden lwn. tradisional). Menonton filem ini, aku percaya, masyarakat Iran (atau khususnya orang filem dan penontonnya) jauh lebih tinggi kelasnya, mencapai tamadun MADANIAH jika dibandingkan dengan Aji Noh - Halim Munan - Hantu Air kita. Paling utama, filem ini menampilkan seadanya, "realiti" penceraian/perbezaan ini dalam satu gumpalan drama-drama episodik yang mengagumkan, semuanya berkait dan memberi sebab akibat yang mengesankan. 

Akhirnya, semua "drama manusia" dan tragedinya, perlu mendepani "sistem", yakni undang-undang negara (mahkamah). Kritikan lembut terhadap kerajaan ini menarik (yang susah untuk menyelesaikan hal-hal yang bermula remeh), sofistikated dan berkelas tinggi (walaupun ianya berkenaan kisah-kisah biasa yang kita mungkin takkan dengar berlaku di Mahkamah Syariah kita). Di sinilah, filem ini akan sangat diingati, babak awal filem, yakni dua pelakon suami isteri itu berbalah di depan mahkamah (kita). Kita dijadikan "saksi utama" terhadap bobrok/kesusahan hidup hari sehari yang melanda pasangan menengah Iran ini. Kita dibuka akan semangat pemikiran intelektual mereka, sifat mereka terhadap agama, budaya, keterbukaan dan pendirian mereka terhadap Iran/dunia sekarang. Mengapa si isteri mahu meninggalkan Iran? Ia tidak diperjelaskan, tetapi penonton Barat menerimanya sebagai "melarikan diri daripada sistem patriaki yang mengencam" atau sistem kerajaan yang menindas wanita. Buat kita, sentimen kebaratan ini mungkin mempunyai maksud tersirat yang lain (yang mana si isteri memperakui bahawa dia tidak mahu meninggalkan suaminya sebenarnya).

Kita diberikan "mata" menyaksikan semua ini, sepatutnya membuat keputusan. Tetapi aku percaya, seperti akhirnya filem ini, detik klimaks si anak mendepani hakim, kita juga akan begitu, kelu, tersedu dan tidak dapat berkata cara menyelesaikan masalah kekeluargaan dan manusiawi yang membelenggu kita sejak awal tadi.

Filem, sememangnya, walaupun boleh dijadikan alat memahami masalah sosial masyarakat, sebaiknya hanya memaparkan dan tidak pernah dapat menyelesaikan.

Misteri demi misteri disingkap, dibuat dalam gaya sehari hari kehidupan tetapi memberi impak yang menyakitkan. Pesimis malah. Percubaan untuk berbaik "cuba" dilakukan, si isteri terhadap suami, dua orang perempuan dalam latar kelas berbeza. Mata si anak perempuan yang bernas dan cerdik melihat segalanya (dengan kain putih). Dan inilah yang menyakitkan sewaktu klimaksnya, apabila sistem itu sendiri yang memaksa kata putus terhadap anak itu yang nyatanya, penuh kemanusiaan dan harapan tentang kasih sayang dan segala yang baik dalam kemasyarakatan.

Filem ini dibikin melampaui gaya biasa neorealis filem Iran. Runut bunyinya langsung tiada kedengaran tetapi suara ruang dalam pangsapuri, jalan raya dan mahkamah amat berkesan, membawa "lagu"nya yang tersendiri lantas memberi unsur kejutan dan "tidak boleh agak" apa yang akan berlaku. Hal ini dibantu dengan suntingan dan tangkapan setiap syotnya yang hebat, seakan-akan kita berada dan hidup bersama-sama watak, sepertimana dokumentari, jauh menandingi gaya hand held camera yang dibikin filem barat, termasuk Lost in Translation. Kekuatan para pelakon, daripada si anak kecil sehingga si tua mampu menenggelamkan mana-mana para pelakon bintang yang pernah kita tonton atas gaya realis yang amat terasa. Malah, durasi dua jam filem ini berlalu seperti angin yang menderu kerana kekuatan emosi yang berlaku, dibina dengan baik sekali pada setiap babak, membangun dan membangun sehingga mengikat kita dengan emosi tertinggi pada akhir klimaks, tanpa perlu membanting suara khas terlalu dan runut bunyi mendayu.

Sebuah adikarya yang hebat, drama manusia dan kelakuan kemanusiaan yang terbaik pernah dibikin di Iran.

MENONTON DI DVD RM19.90 di Kedai Speedy Video serata Malaysia.

Fetih 1453 (2012)

Filem ini mempunyai pembukaan yang mengesankan, khusus buat penonton Islam. Kita dipaparkan dengan dunia Madinah (Yarthib) dan sekumpulan manusia bersama-sama Nabi SAW (mengikut gaya The Message, kamera POV adalah Rasulullah) mendapat mesej, yakni, "Kota Konstatinopol setentunya akan jatuh, betapa berkatnya sang pemimpinnya dan tentera (Islam) yang akan membukanya."

Ah, "mesej" filem ini JELAS, yeap, pencerahan dan kehebatan Islam. Suratan di sini akan :"tersurat" setentunya atas "Hadis" Rasulullah SAW sendiri. Maka "plot akhir" dan pengkahiran filem ini SUDAH KITA KETAHUI. Jadi bersediakah kita menonton "pengalaman" bagaimana sang pemimpin yang dikatakan Rasulullah itu berjaya?

Masuklah Sultan Mehmet, dengan gaya ala hindustan, bertegang pedang dengan hamba/kawannya, Hasan. Selepas mereka berpedang, Sultan (masa tu baginda belum sultan) dibawa kepada pemberitaan kemangkatan ayahanda baginda. Lalu selepas itu, sejarah.

Kisah "epik" ini ada sesuatu sebenarnya, jika pengarah dan sebenarnya, penulis skripnya tahu menangani filem ini sebagai sebuah filem epik yang epik sepertimana yang dibuat oleh pengarah Thai, Yukol. Kerana filem yang tampak gah ini, dengan kehebatan seni pengarahan, penggambaran, latar, pakaian, solekan, babak perang dan kelengkapan hancur luluh dengan penceritaan yang tidak ada keyakinan.

Masalah ini ditambah dengan cara pengimbangan watak dan perwatakan yang terlalu pop dijelmakan, yeap, watak-watak satu dimensi yang tampak, daripada raja, menteri, pope, bangsawan, pemaisuri dan putera. Tidak ada satu watak yang boleh kita "ikat" sebagai menarik untuk ditonton. Malah paling teruk, watak raja Sultan Mehmet yang dipegang oleh lelaki Turki ala hindsutan itu hanya tahu mengeluh, mata membeliak dan naik berang (bayangkan, dipaparkan baginda perlu "bersuluk" daripada bininya sebelum dapat menakluk kota Nasrani yang gemilang itew). Di mana "berkat"nya? Kuasa hebat babak awal itu dihancurkan satu per satu dengan garapan lemah sang pengarah mengawal penceritaan. Ada aku kesah dengan si perempuan Kosova(?) pandai buat meriam bercinta dengan Hasan dan kemudian si bangsawan putera Latin? Babak-babak mereka menjelmakan ingatan terhadap Awi-Erra-Ziana dalam Sembilu II yang sekurang-kurangnya kita tercuit dengan kening mencanang Ziana Zain. 

Fetih, yakni "takluk", atau makna murninya, "pembukaan" (sepertimana Al-Fatihah, Surah Pembukaan) yang sepatutnya disampaikan (sepertimana boleh dikatakan berjaya disampaikan dalam Kingdom of Heaven pengarahan kafir itew) dengan ketulusan dan kemurniaan (istilah ini digunakan sepertimana era Khalifah Uthman "membuka" Kota Jerussalem/Baitulmaqdis) entah pergi ke mana atas susunan yang kurang menampilkan kuasa rohaniah terhadap Sultan Mehmet. Ya, dipaparkan Syeikh Tariqat sultan tersebut, AKHIRNYA bertemu di akhir cerita (tanpa susunan dalam perkembangan plot) lalu memberi nasihat (yang lemah) untuk baginda meneruskan kempen pembukaannya. Sifat lembut, falsafah dan intelektual dalam sufisme, langsung dijadikan hanya alat penggerak kepada plot yang seakan sudah menampilkan Troy di Timur.

Intrig politik dalam filem ini, walaupun menarik, tidak dapat menampung kekuatan sebenar yang sepatutnya diberikan tumpuan, yakni perkembangan watak yang baik, serta penceritaan yang sepatutnya. Sayang seribu kali sayang, filem yang amat diraikan oleh seluruh penduduk Islam sedunia ini rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Oh ya, aku terlupa, sempat juga dua pelakon dalam filem ini bercium. Tahniah Turki!

MENONTON DI kawan-kawan yang kita suka!

24 September 2012

Berkenaan Senarai Pendek dan Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur

Assalamualaikum

Salam Sejahtera

Di sini kami sertakan kenyataan berkenaan senarai pendek dalam satu-satu kategori yang tidak sekata. 

Pemilihan yang dibuat, dalam masa 10 bulan, bermula Oktober tahun lepas menampilkan perbincangan dan pengundian lebih 50 buah filem yang ditayangkan. Setiap satunya dipersoalkan, dibidas dan disokong, mengikut kepakaran ahli masing-masing. Untuk tahun 2012, kami "sengaja" tidak mahu "mengurangkan" senarai calon, contohnya dua kategori paling banyak, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik sebagai reaksi terhadap beberapa senarai, khususnya Pelakon Wanita Terbaik dan Sinematografi Terbaik yang tidak dapat kami masukkan "calon terbaik" setakat Ogos 2012. Senarai ini juga menampilkan jurang yang amat membimbangkan, berlaku dalam penguasaan pengkaryaan dalam beberapa kategori. Kekuasaan "pelakon pembantu" menampilkan bahawa kita punya pelakon berbakat, tetapi kita tidak banyak hasil karya dan penulisan/pengarahan watak peneraju yang benar-benar kuat untuk mengangkat sesebuah karya (kebanyakan watak diperan dalam filem bergenre komedi romantik, aksi, seram, dan spoof yang jarang boleh dinilai sebagai hasil yang terbaik dalam penganugerahan lakonan). Dengan jelas, untuk tahun 2012 sahaja, tidak banyak watak wanita kuat yang hadir di layar, yang benar-benar mencabar mereka dan pencabaran itu menghasilkan sesuatu. Tema dan penceritaan merupakan masalah utama.

Tahun ini (dan lepas) memang "dikuasai" para lelaki, memandangkan pascafenomena KL Gangster, kebanyakan filem yang ditayangkan memberi ruang yang banyak mempelopori insan lelaki, kaca mata lelaki, semangat kelelakian dan isu para lelaki (walaupun isu itu boleh melangkau sarwajagat dan kejantinaan). Dua buah filem terkuat tahun ini sahaja, Bunohan dan Songlap, memaparkan kekuasaan "dunia lelaki" tersebut melebihi peranan watak-watak wanita, termasuk filem seperti SAM, 29 Februari, Tanda Putera (untuk Oktober), Misteri Jalan Lama, Jiwa Taiko, dan lain-lain.

Karya yang berpusing dalam gaya, langgam dan tema yang sama juga amat membimbangkan. Ada beberapa filem yang cuba keluar daripada kepompong kebiasaan filem tempatan, seperti Horeey! Horeey!, 29 Februari, SAM, Chow Kit, dan beberapa lagi, tetapi mempunyai beberapa kekurangan dan kelemahan. Walaupun begitu, usaha murni ini perlu diberi perhatian.

Kami juga ingin memaklumkan kehadiran filem bebas, Relationship Status yang boleh disanjung atas percubaannya mengambil jalan filem romantik komedi dan drama yang melangkau daripada filem romantik Melayu biasa, walaupun garapannya mengambil semangat beberapa filem bebas Barat. Kesegaran filem ini tampak dalam penglibatan idea "himpunan watak" yang biasa dibikin di Hollywood dengan tema semasa berkenaan media sosial yang mengganggu/mengikat/mencakna masyarakat sekarang. 

Kami juga ingin memberi penghormatan kepada pengarah sinematografi Bunohan, Charin Pengpanich yang kami tidak dapat masukkan dalam senarai akhir calon atas sebab kewarganegaraan. Kami sudah sebulat suara, untuk tahun depan, kami akan membuka pencalonan untuk pembikin dari luar (Hanyut akan datang) atas sebab, karya filem dilihat atas karyanya yang dibikin dan diterbitkan di sini (termasuk usahasama) dan bukan kerana warganegaranya.


Senarai Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur

Nazim Masnawi - Walaupun sudah berhenti menulis untuk sementara, pengkritik berlidah pedas ini masih menjadi tetamu pengkritik di rancangan Gala TV Plus, Astro Awani. Blog Roman Kodian beliau dahulunya antara ruangan kritikan filem yang paling "pedas" dan "jujur" berkenaan kekuatan/kelemahan filem Malaysia yang diulas. Pernah menjadi editor majalah di Gempak, dan merupakan penulis filem terbaik syarikat majalah itu.

Sinaganaga - Antara pereka buku terbaik di Malaysia ini, Sinaganaga yang mempunyai mata tajam dalam memahami estetik dalam imej, amat-amat tajam dalam menampilkan kekuatan mis en scene dalam satu-satu babak filem. Kepakaran beliau dalam memahami komposisi, pencahayaan, latar dan pewarnaan amat membantu dalam menyatakan "bagaimana filem sepatutnya hidup di layar perak". Beliau turut mengkritik filem di blognya, dengan gaya selamba tetapi kritis, dan paling utama, kelakar. Antara ahli yang sememangnya "keluar dari kotak" secara hakiki dan minda.

That Movie Blogger Fella - Pengkritik filem dalam bahasa Inggeris di blog yang terbaik, selalu meneliti filem Malaysia dengan mata yang kritikal dalam pelbagai rasa dan ilmu. TMBF (nama timangan yang dikenali) benar-benar meneliti sesebuah filem tanpa diskriminasi (termasuk filem Hollywood), menyatakan kekuatan dari satu-satu segi kepada kelemahan kepada satu-satu permasalahan pembikinan dan apresiasi. Rencananya selalu ditunggu-tunggu oleh para pembikin dan peminat filem tempatan.

Syafiq & Igniz - Pengkritik filem dalam bahasa Inggeris di blog Dramatic Durian. Walaupun mereka lebih mengendahkan filem Hollywood dan Barat, penelitian mereka terhadap filem tempatan jujur, bernas dan adil. Bayangkan, mereka merupakan pengkritik Barat yang "terpaksa" menonton filem Malaysia/Melayu.

Aidil Rusly - Pengkritik filem dalam bahasa Inggeris untuk The Star, setiap sabtu. Pendedahan Aidil yang paling luas (dalam kalangan ahli) dari segi tontonan filem menyamai sifat arkib guru filem, Hassan Muthalib. Aidil pakar dalam filem-filem serata dunia, perdana mahupun bebas, dan amat terkini dalam dunia perfileman semasa. Aidil tetap melihat filem Malaysia dengan kasih sayang dan empati, menampilkan apa yang terbaik yang ada dalam filem Malaysia dengan penelitian mata antarabangsa.

Perang Filem - Pengkritik ini mungkin mengambil nama blognya sempena keadaan filem semasa yang sentiasa bersaing antara satu sama lain. Dari persaingan itu, timbul hakikat "pendirian" untuk melihat yang terbaik. Tanpa diskriminasi, Perang Filem menonton kesemua filem di layar. Pengkritik ini, walaupun kupasannya mudah, menampilkan dengan suara hati dan pengalaman mengapa sesebuah filem itu perlu disanjungi. Perang Filem juga mempunyai "festival"nya yang tersendiri dalam memilih filem Malaysia terbaik, yang mana beliau laksanakan setiap tahun sebelum Festival Filem Malaysia.

Review Film - Pengkritik ini juga jujur dan bernas dalam ulasan filemnya, menampilkan beberapa perbandingan sebelum meyakinkan pembaca berkenaan satu-satu nilai dan kekuatan/kelemahan sesebuah karya filem. Beliau juga mengkritik karya fiksyen (novel) dan mempunyai pandangan tersendiri berkenaan pelbagai perkara dalam sesebuah filem.

Fadz Tontonfilem - Ini blognya. Kritikan filemnya juga tersiar di Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya. Pernah menjadi tetamu pengkritik filem dalam beberapa rancangan televisyen, radio dan majlis forum.

10 September 2012

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Senarai Pendek Pencalonan Filem Tempatan Terbaik 2012

 

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur adalah sebuah kumpulan pengkritik filem yang diasaskan pada November 2011 dan tertubuh secara maya di Kuala Lumpur (merangkumi sekitar Lembah Kelang). 

Majlis ini berfungs
i sebagai penonton berfikir yang analitikal dalam memilih filem Malaysia (serta beberapa kategori lain) terbaik sepanjang tahun. 


Kumpulan ini terdiri daripada sekumpulan pengkritik yang bertugas dalam pelbagai bidang, yang terpilih dalam kalangan editor, pengarang dan blogger yang berdedikasi dalam penulisan dan penganalisian filem, yang mana sekumpulan daripadanya sudah melahirkan beberapa ulasan filem yang kritikal, memenuhi aspirasi, mutu dan kefahaman sebuah pembikinan dan pengkaryaan filem yang unggul dan menyeluruh. Kumpulan ini turut bertindak sebagai badan penilai dan pemilih sekelompok filem yang ditayangkan pada satu-satu masa untuk diberi pengiktirafan yang sepatutnya dalam mencapai kewajaran seni, estetika dan kepakaran yang dipertanggungjawabkan. Filem-filem yang terpilih merupakan kesemua filem yang ditayangkan di "pawagam" Malaysia, termasuk di International Screening GSC.

Setiap tahun, majlis ini akan menghimpunkan senarai terbaik bagi Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur. Untuk tahun ini (2012), kami telah meneliti 62 buah filem dalam perhatian. Terdapat peningkatan kuantiti dalam pencalonan sulung ini, tetapi secara purata, kebanyakan filem masih lemah seperti tahun-tahun lalu, dan tidak mencapai piawaian sebuah filem yang boleh ditonton dengan berlandaskan formula dan bahasa yang benar-benar sinematik, walaupun untuk sebuah filem kotemporari (komersial). Kebanyakan filem masih lemah dalam asas pembikinan, khususnya cerita dan penceritaan.  Sungguhpun begitu, terdapat sekumpulan filem tempatan yang mencapai mutu baik yang amat dipuji. Rekomendasi diberikan terhadap beberapa filem, yakni Songlap, Misteri Jalan Lama, Bunohan,  3 Temujanji dan 29 Februari. Senarai pendek di bawah merupakan pengelasan kategori-kategori tertentu yang dianggap "terbaik" dalam kalangan filem yang ditayangkan. Senarai pemenang akan dimaklumkan pada bulan Oktober 2012.


Senarai Pendek Pencalonan
Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur

2012




Pengarah Terbaik
Osman Ali untuk Ombak Rindu
Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak untuk Songlap
Afdlin Shauki untuk Misteri Jalan Lama
Dain Said untuk Bunohan


Pelakon Lelaki Terbaik
Syafie Naswip untuk Songlap
Shaheizy Sam untuk Songlap
Shaheizy Sam untuk SAM (Saya Amat Mencintaimu)
Faizal Hussein untuk Bunohan


Pelakon Wanita Terbaik
Mislina Mustafa untuk Sumpahan Puaka
Maya Karin untuk Ombak Rindu
Yana Samsudin untuk 3 Temujanji


Sinematografi Terbaik
Haris Hue Abdullah untuk Songlap
Khalid Zakaria untuk Ombak Rindu


Lakon Layar Terbaik
Fariza Azlina Isahak untuk Songlap
Afdlin Shauki untuk Misteri Jalan Lama
Khairil M. Bahar untuk Relationship Status
Dain Said untuk Bunohan
Hashim Rejab untuk 3 Temujanji


Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Abdullah Omar untuk Songlap
Hasnul Rahmat untuk Songlap
Benji Lim untuk Relationship Status
Fauzi Nawawi untuk Songlap
Hans Isaac untuk Misteri Jalan Lama
Wan Hanafi Su untuk Bunohan
Hushairy Hussein untuk Bunohan
Pekin Ibrahim untuk Bunohan
Bront Palare untuk Jiwa Taiko


Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Daphne Iking untuk Relationship Status
Norma Damanhuri untuk Songlap
Wawa Zainal untuk 3 Temujanji
Dira Abu Zahar untuk Chow Kit
Fauziah Nawi untuk Hoore! Hoore!
Nadiyatul Nisaa untuk Jiwa Taiko




Rujukan Ulasan Filem Tontonfilem:
Ulasan Misteri Jalan Lama, ulasan Bunohan, ulasan Relationship Status, ulasan Songlap, ulasan Hoore! Hoore!, ulasan Chow Kit, ulasan Jiwa Taiko, ulasan Ombak Rindu, dan ulasan SAM.

06 September 2012

Tanah Mati(2012): Filpen Apokalips Kauuuu!

Yeap, kau pun tahukan aku suka genre apokalips. Dan Khairulnajmi Fikri (Ya Allah, panjangnya nak sebut, patutlah kau dipanggil Jiman eh?), pelajar ASWARA belajar filem telah menghasilkan sesuatu. Whooaah!

Dia letak di komen dan mohon aku ulas. OK, aku ulaslah.

Ada suatu imej yang indah (yang sepatutnya diberi skop syot yang lebih luas) berlaku sewaktu si Nasrani dan si Islam, berdiri sebelah-menyebelah sedang membaca doa untuk arwah yang sudah tertanam. Imej itu mengingatkan aku dengan imej kubur Nasrani, Islam dan agama lain yang aku tulis (dan dipotong rasanya) dalam novel pascaapokalips aku, Saga Horizon, huhu. Jadi dejavu pula seketika (kalaulah novel itu difilemkan, hahaha).

Hasil amatur ini amat menarik dalam pemilihan lokasi dan secara keseluruhan, seni pengarahannya baik. Kostum menarik, rasa bangunan usang dengan batu kerikil kena dengan syot luas awan menggeruh, indah. Rasa "perang" itu timbul dengan pengenalan bacaan berita di awal filpen. Ada dua kesalahan yang bagi aku tidak patut dilakukan, dan ini berkenaan dengan keyakinan (believability) babak itu. Apabila tiga orang musuh yang jelas-jelas ada tengah padang memasuki tempat musuh, tak mungkin mereka boleh berdiri sahaja tanpa merasa "bahaya" (tak mungkin mereka tidak merasai ada perangkap yang menunggu). Rujuk The Raid bagaimana hal ini dibikin, atau mana-mana filem perang pun, termasuk The English Patient! Mereka bertiga amat-amat "sitting duck" kepada musuh, boleh berdiri dengan lama sambil bercakap-cakap (rujuk filem perang, selalunya askar bila mahu menyerbu atau bercakap, mereka bercakap "di sebalik" dinding atau tempat tidak terlihat musuh, menghendap, curi tengok dan baru bergerak, filem Warhorse pun menggunakan kaedah ini) maka sebenarnya si sinper dan kawannya itu boleh terus "habiskan" tiga orang itu sekali gus (dengan siap boleh merancang menembak tiga sasaran berlainan kerana ruang bangunan itu milik mereka) lalu filem boleh selesai awal. Inilah mainan ruang dan keberkesanannya dalam menjaga logiknya dalam mis en scene.

Kedua, adalah stand off si Islam dan Kristian dengan satu syot statik (yang kononnya ingin menampilkan berdiri sama adil dan betul), mendepani dan bertentang bersama-sama. Banyak syot diperlukan sebenarnya dan dialog sebelumnya amat melemahkan, malah melanggar logika "seteru" yang ditampilkan. We don't talk in front of our enemies at war. Itu fakta mana-mana peperangan.

Sebagai kesatuan idea, pengarah ini memberi sesuatu yang menarik, tetapi perlu perancangan aksi dan kareografi serta syot yang lebih terkawal, membina dan "menembak". Aku baru menonton V/H/S yang dilakukan oleh budak-budak amatur dan filem tipikal "terjumpa fotaj video" itu sendiri memahami logik ruang dan syot terhadap sebab-akibat dan gerakan watak untuk menggerakkan cerita, khusus filpen yang pertama (awek dari neraka itu). Lihat bagaimana ia tersusun dan memberi "kepercayaan" kepada penonton.

Semangat manusiawi (walaupun laju) amat menarik dalam filem ini (dan sekali lagi aku teringat novel aku). Ada satu babak, si lelaki kata dia akhirnya menemui seseorang sambil memegang budak tu. Serius aku ingatkan budak tu anak ikan dia (hahaha, aku melawak je), tetapi percubaan ini, dalam semangat peperangan (menyoal peperangan dengan semangat manusiawi) itu bolehlah dipuji.

Suatu percubaan yang menarik dan melanggar genre biasa filpen pelajar. Habislah Mamat Khalid ada seteru (atau teman, mungkin).

  

04 September 2012

Pasca Malaysian Shorts 3 September 2012

Ulasan saja-saja buat kawan-kawan, terima kasih Kelab Seni Filem Malaysia dan Universiti Help.

Via/Tanpa Judul (2012, 27 min, Arahan: Azharr Rudin)
Antara kegemaran aku malam itu. David Lynch boleh dijumpai dalam penemuan jantung dalam sinki, cahaya, bayang-bayang dan layar hitam putih Eraserhead yang indah, senyap, menderum kereta api yang menyakitkan. Kawan aku membisik, "Oh, aku teringatkan Satantango..." Si lelaki yang kemas dengan dua butang atas kemeja melalui koc KTM hitam putih. Tiba-tiba statik, dia membelakangi (baca: kita akan melihat imej ini sekali lagi tapi dalam adegan lain) kita dengan cahaya melanggar kepalanya. Indah. Dia menemui seorang gadis, tidak cantik, tetapi tenang dan menyimpan misteri di balik bibir dan mata sepetnya. Dia bertanya, "Macam mana kau tahu aku ada di sini?" berkali-kali. Si lelaki hanya tersenyum. Kemudian, filpen yang banyak menampilkan wajah lelaki-gadis-kereta api itu meneruskan "perjalanan" durasi dengan dialog (janggal) bahasa Melayu (sedikit Inggeris) di antaranya tentang pelbagai, sambil kadang-kadang melihat tingkap luar. Di sini, sakitnya mengundang. Beginilah mahu buat "filem berdialog" yang biasa dicanangkan Faisal Tehrani, ia jauh daripada terasa seperti "drama radio" (walaupun mungkin menggegar otak penonton dengan durasinya) dan kata-katanya menyentuh jika kita menyedari latar dan penyediaan kedudukan filpen itu (jika kita bandingkan dengan realiti kita). Ia bercakap tentang agama, kehidupan dan sumpahan, tanpa pernah secalit rasisme, kotor politik, ketegangan, dan diskriminasi. Ini adalah utopia "Malaysia" dalam falasi nostalgia (rujuk pemakaian dan fesyen serta percakapan), anggap ruang ini hanya berlaku jika "masa terhenti" hitam putih dan seluruh warga (oh, aku lupa maklum, "etnik" mereka Cina) Malaysia bercakap Melayu Baku tanpa mengenali kepentingan ras lagi (rujuk Indonesia), lantas percakapan tentang "dia keluar agama" dan "fuck you" terasa berdiri atas lapisan lain (aku gerenti jika JAKIM menonton ini, mereka akan mengamuk). Aku sukakan filpen ini kerana ianya antara filem yang benar-benar memahami rasa subtleness dalam menyampaikan ceritanya. Paling penting, suara derungan kereta api seakan degupan jantung, buat si lelaki, misinya untuk menyatakan cintanya (dan mencari cintanya), dan kesemua ini melibatkan "hati" secara literal dan menyakitkan, menyebabkan imejan filpen ini masih terikat dalam minda aku.

Donna Must Die (2011, 12 min, Arahan: Ismail Jamaludin & Dragos Dulea)
Memenangi filpen terbaik malam itu. Kuasa tekniknya paling baik, dengan latar, runut bunyi (walaupun saduran), pencahayaan, syot dan suntingan yang menarik dalam memaparkan noir yang sepatutnya dan semangat ekspresionis dalam gaya formalisme yang kuat. Perasaan yang disampaikan betul dan mencuitkan. Romania semestinya tempat untuk noir dilakukan. Hanya aku tak faham bagaimana daripada cold bitch si wanita tiba-tiba menjadi girang dan melepas nafsu bagai rak?


Leman (2012, 10 min, Arahan: Ahmad Hafiz Rashid)
Filem "kampung" yang sememangnya memahami intelektual/kritikan sosial secara massa (dengan meneliti hal-hal stereotaip dalam kekampungan) tetapi tidak memperlekehkan kebijaksanaannya. Yang ini punya cerita menarik tentang Leman yang belajar sekolah Inggeris tiga bulan yang menyampaikan kisah tentang "letrik" yang baru dimasukkan Kerajaan ke kampung tersebut pasca baru merdeka Malaya di sebuah kampung. Kisah "orang kampung bebal" dimainkan sekali lagi, dan kini dengan relevansi politik "Kita tak mau perubahan!" (baca: dalam sokongan pengundian) yang aku kira, tipikal dalam sastera prosa 80-an kita. Semuanya mencuitkan dan dibawa dengan sebaik komedi tanpa perlu slapstik bodoh. Hanya aku tidak setuju dengan kenyataan "menjagar" Iqra dalam satu babak yang mana kawan aku kata, "Perlu bro, untuk orang ramai."


Bonda (2008, 8 min, Arahan: Alhafiz Burhanuddin)
MTV. Kiasan imej antara ibu dan tanah air sudah lama dibikin dan dijalinkan dalam sastera dan seni, jadi hanya bagaimana persembahan yang dipaparkan itu yang ditungggu-tunggu. Ada satu imej sahaja yang menjadi keindahan dan kefahaman baik, yakni imej klise si ibu dan anak makan bersama dan si ibu makan seorang (baca: Kerajaan bagi kau duit untuk belajar dan membesar). Wajib ditonton untuk mengajar masyarakat untuk mencintai negaranya, membuat bakti kepadanya (dengan terus mengundi untuknya, hahahaha) dan menjaganya. Barisan Nasional tentu suka.


Enough (2012, 10 min, Arahan: Vickneswaran)
MTV. Tak, J. Lo tak berlakon dalam filpen ini. Tetapi seorang mamat yang aku boleh katakan, memenangi anugerah Pelakon Lelaki Paling Kacak nak mampus pada malam itu, kalah Aaron Aziz you. Kisah klisenya berkenaan anak kampung bisu yang sampai ke bandar untuk mencuba nasib, tetapi dijerut dalam dunia materialisme yang menipu dan memperguna orang yang berbakat tetapi lurus sepertinya. Pengakhiran filpen ini indah dan sedih dengan idea tragis si orang seni akan berjuang demi seni sehingga titik darahnya yang terakhir, tetapi gayanya tidak berapa meyakinkan. Runut bunyi kugiran yang lembut mengekspresi naratif cerita dengan betul dan sayu.


Conscience (2012, 5 min, Arahan: Nadia Khan)
Serius aku tak dengar sepatah harap yang diperbualkan oleh para pelakon amatur filpen ini, tetapi kawan aku kata, "Dia tu pelakon filem blue". Wang bukan segala-galanya. Kritis filem (kalau) berkenaan situasi industri perfileman sekarang (dengan paparan kubur) mempertawakan diri filem ini sendiri dan itu sungguh ironi!


Kaizen (2012, 10 min, Arahan: Shanjhey Kumar Perumal)
MTV. What the fuck did I just saw? I mean, seriouslyKoyaanisqatsi meets 127 Hours meets Eat.Love.Pray without the sex? Dan tiba-tiba si wanita melihat wajah-wajah eksotik orang asli, pergi memburu lalu berjaya mendapat "ketenangan atma"? Teknik (tanpa dialog) dan syot yang indah apa-apa pun.


Langat Di Odu (2012, 10 min, Arahan: Bebbra Charles Mailin)
Ah, ini satu pertemuan filpen yang menarik. Monolog membingitkan diselamatkan dengan kekuatan syot luas dan intim, realisme kuat dan si wanita tua yang menjadi subjeknya (walaupun ada satu bahagian, dia diminta merenung jauh, kita boleh lihat rasa tak kuasanya) yang menampilkan kesayuan yang amat terasa berkenaan si nenek yang merindui cucunya.Babak akhir, dengan kenyataan "kemarahan boleh mereda tetapi kerinduan adalah sakit yang sentiasa ada" mencapai klimaks getir dengan syot luas indah dan gerun akan langit yang tidak bergerak tetapi angin bersepoi kuat dan sedih. Menarik.


Lawan (2012, 8 min, Arahan: Azizulhaim Salleh)
Aku rasa aku dah pernah ulas filpen ni. Antara kegemaran aku malam tu.


Nisan Tak Terukir (2012, 12 min, Arahan: Muz Amer)
Aku perlu memberi kepujian tinggi kepada Muz kerana cuba mengadaptasi karya sastera kita kepada bentuk filem dan melihat pada hasilnya ia memang membanggakan, dengan kekuatan garapan kuat, syot dan susunan cerita yang menyakitkan dan tragis (serta didaktik). Nam Ron berlakon di dalamnya dengan baik sekali. Hanya pengakhiran filem ini mempunyai masalah dari segi memberi kita lebih ruang dan mengikat sedikit ruang yang dilewahkan atas nama "melodrama". Tetapi filpen ini masih boleh digunakan sebagai rujukan filem adaptasi yang baik dan menampilkan melodrama dalam filem.


Masked (2012, 7 min, Arahan: Khairil M Bahar)
Filpen ini kiut kerana Khairil bermain dengan hal-hal yang berlaku di sekeliling kita yang relevan dengan masyarakat. Filpen aksi  ini memberi satu imej syot yang menarik apabila si topeng sudah memukul kesemua penjahat lalu memandang (dengan syak) terhadap mangsa (seakan sebuah filem slasher!) lantas menambahkan intrig dan pertimbangan kemungkinan. Tetapi idea menarik ini agak kecundang dengan syot terlalu gelap dan mainan bayang yang tiada dengan babak gerak lambat yang salah perkiraan dan terlalu banyak digunakan tanpa bijak.


The Last Man (2012, 6 min, Arahan: Hanif Faiq)
Pengarah mungkin seorang peminat keras Richard Matheson. Percubaan pascaapokalips yang menarik dan kesungguhan genre seram sai-fai yang baik walaupun amatur, hanya gerakan watak dan perkembangan aksi dalam menggerakkan watak masih terhad dan ekonomikal dan memerlukan lebih banyak kreativiti. Pengakhiran yang buat kita gugup sebagai sebuah anti klimaks yang bagus.










03 September 2012

Nenek Bongkok Tiga(2012): Kandungan Menarik, Teknik?

Telefilem ini merupakan filem arahan sulong pertama(?) Hadith Omar, yang mana skripnya turut ditulis olehnya serta Micheal Ang (yang setakat ini memberi kita telefilem seram yang amat baik, Hantu Kum-Kum). Aku menonton telefilem ini atas sebab seorang rakan, Shafareen berlakon di dalamnya, yang mana aku dah beri amaran kepada beliau, aku akan objektif jika aku tak suka lakonannya. Kesimpulan, lakonannya bagus, bersungguh, natural, pandai berjeda dan menjaga tona suara, dan pandai bermain mimik muka. Aku gembira akan hal ini. Tahniah Shafareen!

Sebagai sebuah cerita, telefilem ini ada sesuatu, sampaikan bini aku pun siap tak sanggup nak tonton habis kerana tahap seramnya yang menjadi (erm, tapi hal ini subjektiflah bagi aku). Antara hal yang paling boleh dipuji adalah bagaimana pengarah/penulis skrip bermain dengan sikap "pergi melampaui pemaknaan hantu-hantu biasa". Begini, jika kita tonton filem ini hanya sebagai "sebuah filem seram tipikal", kita akan menemui tema sumpahan-balas dendam tipikal seram Asia yang mengambil struktur 10 Budak Hitam (ah, ini bermakna ada kematian dan slasher flick) dan struktur plot Nightmare on Elm Street (anak-anak jadi mangsa kekacauan Krueger kerana mak ayah membunuhnya). Tetapi jauh dalam daripada itu adalah kesungguhan skrip dan penceritaan memaparkan didaktisme "perangai" sendiri yang membawa "kecelakaan". Di sini, dengan kuat, dipaparkan bagaimana dua perangai buruk, yakni syak wasangka dan jahil diri merupakan dosa dan hantu yang jauh lebih buruk daripada hantu itu sendiri, dipaparkan melibatkan perwakilan beberapa ibu bapa di kampung tersebut (hal ini banyak bermain dalam filem berkenaan witch hunt dalam genre filem seram barat). Paparan ini mempunyai sudut yang kuat, yang mana "hantu Nenek Esah-Nenek Bongkok Tiga" hanya merupakan subliminasi "paparan dendam" sahaja, yang mana si ibu bapa-ustaz mempunyai "ulangan mainan" untuk meneliti kembali sebab-akibat yang mereka lakukan (dan adakah mereka akan taubat atau sedar akan hal itu sebelum terlambat). Unsur ini ditambah pula dengan kehadiran ustazah baharu yang berkaitan pula dengan "Nenek Bongkok Tiga" tersebut, menambahkan lagi intrig dan sudut tangen antara perwakilan "yang didakwa" untuk meneliti kembali sikap syak wasangka dan jahil diri mereka: adakah mereka akan sedar kesalahan mereka atau adakah mereka akan mengulangi kembali kesalahan yang sama?

Aku amat suka dengan telefilem ini, mengangkat seorang wanita, ustazah yang kuat dalam ilmu ghaib melawan jin/syaitan (yang turut disalahertikan sebagai pengamal khurafat), sedangkan kebiasaannya dalam filem seram tempatan, lelakilah "penguja syaitan" yang utama. Sifat feminis bahawa wanita juga boleh berdepan dan melawan "syaitan" (yang juga akibat dan ikatan sikap patriaki kampung tersebut, serta penolakan mereka terhadap sesuatu yang pelik dan ganjil, sepertimana subjektifikasi Nenek Esah tersebut) dan boleh berdiri, berasional dan mendapat jawapan terhadap misteri yang mengaburi kampung tersebut. Watak itu, dengan sengaja dipakaikan tudung hitam (kononnya menyamarkan lagi perwatakan baik/jahatnya). Aku tepuk tangan kerana penulis skrip sekurang-kurangnya berjaya mengangkat seorang watak wanita yang kuat (atas kertas) dan boleh menyelesaikan masalah dengan caranya yang tersendiri.

Hanya kemudian, siapakah pelakonnya? Dua pelakon dewasa dalam telefilem ini, walaupun "cukup" tidak begitu menyerlah, sepertimana kesemua pelakon remaja yang berlakon dalam telefilem ini, kesemuanya memahami "natural" dan kelaziman dalam kebiasaan (mundaness). Dan aku tidak berapa menyukai bagaimana watak ustaz itu digarap, pengarah perlu memaparkan dua "usia" yang berbeza kerana wajah ustaz agak "terlalu muda" dibandingkan dengan ibu bapa yang dipaparkan, dan seakan ada kesamaran kesinambungan pada babak lampau dan sekarang. Babak "kenapa Nenek Esah kena mati" juga agak tergantung (kita imaginasikan kerana berlaku benda-benda pelik, dan kanak-kanak hilang, seperti yang dinyatakan, tetapi tidak diperlihatkan) dan memerlukan paparan dan bukan percakapan (lalu menambahkan intrig dan kekelabuan watak tidak bersalah/bersalah Nenek Esah).

Kelemahan juga berlaku dalam syot yang tidak membawa kekuatan "seram" yang perlu serta suntingan yang tidak bersungguh-sungguh (macam kejar masa). Ada babak-babak yang boleh diikat dengan lebih kemas tetapi tidak dilakukan (kerana aku langsung tidak terasa takut atau gerun menontonnya), membiarkan beberapa babak berlalu dengan detik yang panjang tanpa kreativiti (babak dalam Ju-On boleh dijadikan rujukan tetapi bukan ikutan), hal ini yang perlu dijaga oleh penyunting dan pengarah. Pengarah sebenarnya boleh pergi lebih jauh lagi dengan menampilkan tanda dan coretan (terhadap anak dirasuk) dengan mengapa satu-satu kecerdaan dilakukan (dengan makna) yang berkait dengan cara Nenek Esah dibunuh (yang mana, watak ustazah itu yang menelitinya: contoh, pada malam itu, ada seorang yang berbasikal, seorang memegang cangkul, seorang memegang batang besi, yang semuanya menjadi "penyaksi" terhadap pembunuhan Nenek Esah, mengikatkan lagi klu dengan misteri terhadap cara kematian mangsa).

Runut bunyi telefilem ini OK (saduran?) dan solekannya sederhana (dan mengingatkan aku terhadap The Exorcist dan filem seram Indonesia 80-an). Latarnya bagus dan sesuai dengan penceritaan.

Telefilem ini sebuah usaha yang baik dan masih boleh diperbaiki lagi.