Showing posts with label Asghar Farhadi. Show all posts
Showing posts with label Asghar Farhadi. Show all posts

25 September 2012

A Separation(2012): Antara Filem Terbaik 2011

Beginilah filem sepatutnya.

Jika diterjemah, judul filem ini (yang lebih panjang dalam bahasa asalnya) mengeja: Penceraian.

Penceraian inilah yang menarik. Bagaimana, kisah yang begitu mudah (sepertimana kebanyakan filem-filem yang bagus) berkenaan seorang isteri yang ingin memutuskan perkahwinannya, mengikat beberapa naratif tertentu dalam satu kompleksiti kemasyarakatan dan kelakuan yang menyengat, juga berkaitan dan memberi makna tersendiri terhadap judul "penceraian". 

Khusus yang dapat ditanggapi adalah politik seks yang jauh melangkau dramanya daripada Kramer vs. Kramer (berkenaan intelektualiti wanita dan sikap ego lelaki yang memerangkap mereka), serta penceraian kelas(!) dan kefahaman (pemikiran moden lwn. tradisional). Menonton filem ini, aku percaya, masyarakat Iran (atau khususnya orang filem dan penontonnya) jauh lebih tinggi kelasnya, mencapai tamadun MADANIAH jika dibandingkan dengan Aji Noh - Halim Munan - Hantu Air kita. Paling utama, filem ini menampilkan seadanya, "realiti" penceraian/perbezaan ini dalam satu gumpalan drama-drama episodik yang mengagumkan, semuanya berkait dan memberi sebab akibat yang mengesankan. 

Akhirnya, semua "drama manusia" dan tragedinya, perlu mendepani "sistem", yakni undang-undang negara (mahkamah). Kritikan lembut terhadap kerajaan ini menarik (yang susah untuk menyelesaikan hal-hal yang bermula remeh), sofistikated dan berkelas tinggi (walaupun ianya berkenaan kisah-kisah biasa yang kita mungkin takkan dengar berlaku di Mahkamah Syariah kita). Di sinilah, filem ini akan sangat diingati, babak awal filem, yakni dua pelakon suami isteri itu berbalah di depan mahkamah (kita). Kita dijadikan "saksi utama" terhadap bobrok/kesusahan hidup hari sehari yang melanda pasangan menengah Iran ini. Kita dibuka akan semangat pemikiran intelektual mereka, sifat mereka terhadap agama, budaya, keterbukaan dan pendirian mereka terhadap Iran/dunia sekarang. Mengapa si isteri mahu meninggalkan Iran? Ia tidak diperjelaskan, tetapi penonton Barat menerimanya sebagai "melarikan diri daripada sistem patriaki yang mengencam" atau sistem kerajaan yang menindas wanita. Buat kita, sentimen kebaratan ini mungkin mempunyai maksud tersirat yang lain (yang mana si isteri memperakui bahawa dia tidak mahu meninggalkan suaminya sebenarnya).

Kita diberikan "mata" menyaksikan semua ini, sepatutnya membuat keputusan. Tetapi aku percaya, seperti akhirnya filem ini, detik klimaks si anak mendepani hakim, kita juga akan begitu, kelu, tersedu dan tidak dapat berkata cara menyelesaikan masalah kekeluargaan dan manusiawi yang membelenggu kita sejak awal tadi.

Filem, sememangnya, walaupun boleh dijadikan alat memahami masalah sosial masyarakat, sebaiknya hanya memaparkan dan tidak pernah dapat menyelesaikan.

Misteri demi misteri disingkap, dibuat dalam gaya sehari hari kehidupan tetapi memberi impak yang menyakitkan. Pesimis malah. Percubaan untuk berbaik "cuba" dilakukan, si isteri terhadap suami, dua orang perempuan dalam latar kelas berbeza. Mata si anak perempuan yang bernas dan cerdik melihat segalanya (dengan kain putih). Dan inilah yang menyakitkan sewaktu klimaksnya, apabila sistem itu sendiri yang memaksa kata putus terhadap anak itu yang nyatanya, penuh kemanusiaan dan harapan tentang kasih sayang dan segala yang baik dalam kemasyarakatan.

Filem ini dibikin melampaui gaya biasa neorealis filem Iran. Runut bunyinya langsung tiada kedengaran tetapi suara ruang dalam pangsapuri, jalan raya dan mahkamah amat berkesan, membawa "lagu"nya yang tersendiri lantas memberi unsur kejutan dan "tidak boleh agak" apa yang akan berlaku. Hal ini dibantu dengan suntingan dan tangkapan setiap syotnya yang hebat, seakan-akan kita berada dan hidup bersama-sama watak, sepertimana dokumentari, jauh menandingi gaya hand held camera yang dibikin filem barat, termasuk Lost in Translation. Kekuatan para pelakon, daripada si anak kecil sehingga si tua mampu menenggelamkan mana-mana para pelakon bintang yang pernah kita tonton atas gaya realis yang amat terasa. Malah, durasi dua jam filem ini berlalu seperti angin yang menderu kerana kekuatan emosi yang berlaku, dibina dengan baik sekali pada setiap babak, membangun dan membangun sehingga mengikat kita dengan emosi tertinggi pada akhir klimaks, tanpa perlu membanting suara khas terlalu dan runut bunyi mendayu.

Sebuah adikarya yang hebat, drama manusia dan kelakuan kemanusiaan yang terbaik pernah dibikin di Iran.

MENONTON DI DVD RM19.90 di Kedai Speedy Video serata Malaysia.