Yeap, kau pun tahukan aku suka genre apokalips. Dan Khairulnajmi Fikri (Ya Allah, panjangnya nak sebut, patutlah kau dipanggil Jiman eh?), pelajar ASWARA belajar filem telah menghasilkan sesuatu. Whooaah!
Dia letak di komen dan mohon aku ulas. OK, aku ulaslah.
Ada suatu imej yang indah (yang sepatutnya diberi skop syot yang lebih luas) berlaku sewaktu si Nasrani dan si Islam, berdiri sebelah-menyebelah sedang membaca doa untuk arwah yang sudah tertanam. Imej itu mengingatkan aku dengan imej kubur Nasrani, Islam dan agama lain yang aku tulis (dan dipotong rasanya) dalam novel pascaapokalips aku, Saga Horizon, huhu. Jadi dejavu pula seketika (kalaulah novel itu difilemkan, hahaha).
Hasil amatur ini amat menarik dalam pemilihan lokasi dan secara keseluruhan, seni pengarahannya baik. Kostum menarik, rasa bangunan usang dengan batu kerikil kena dengan syot luas awan menggeruh, indah. Rasa "perang" itu timbul dengan pengenalan bacaan berita di awal filpen. Ada dua kesalahan yang bagi aku tidak patut dilakukan, dan ini berkenaan dengan keyakinan (believability) babak itu. Apabila tiga orang musuh yang jelas-jelas ada tengah padang memasuki tempat musuh, tak mungkin mereka boleh berdiri sahaja tanpa merasa "bahaya" (tak mungkin mereka tidak merasai ada perangkap yang menunggu). Rujuk The Raid bagaimana hal ini dibikin, atau mana-mana filem perang pun, termasuk The English Patient! Mereka bertiga amat-amat "sitting duck" kepada musuh, boleh berdiri dengan lama sambil bercakap-cakap (rujuk filem perang, selalunya askar bila mahu menyerbu atau bercakap, mereka bercakap "di sebalik" dinding atau tempat tidak terlihat musuh, menghendap, curi tengok dan baru bergerak, filem Warhorse pun menggunakan kaedah ini) maka sebenarnya si sinper dan kawannya itu boleh terus "habiskan" tiga orang itu sekali gus (dengan siap boleh merancang menembak tiga sasaran berlainan kerana ruang bangunan itu milik mereka) lalu filem boleh selesai awal. Inilah mainan ruang dan keberkesanannya dalam menjaga logiknya dalam mis en scene.
Kedua, adalah stand off si Islam dan Kristian dengan satu syot statik (yang kononnya ingin menampilkan berdiri sama adil dan betul), mendepani dan bertentang bersama-sama. Banyak syot diperlukan sebenarnya dan dialog sebelumnya amat melemahkan, malah melanggar logika "seteru" yang ditampilkan. We don't talk in front of our enemies at war. Itu fakta mana-mana peperangan.
Sebagai kesatuan idea, pengarah ini memberi sesuatu yang menarik, tetapi perlu perancangan aksi dan kareografi serta syot yang lebih terkawal, membina dan "menembak". Aku baru menonton V/H/S yang dilakukan oleh budak-budak amatur dan filem tipikal "terjumpa fotaj video" itu sendiri memahami logik ruang dan syot terhadap sebab-akibat dan gerakan watak untuk menggerakkan cerita, khusus filpen yang pertama (awek dari neraka itu). Lihat bagaimana ia tersusun dan memberi "kepercayaan" kepada penonton.
Semangat manusiawi (walaupun laju) amat menarik dalam filem ini (dan sekali lagi aku teringat novel aku). Ada satu babak, si lelaki kata dia akhirnya menemui seseorang sambil memegang budak tu. Serius aku ingatkan budak tu anak ikan dia (hahaha, aku melawak je), tetapi percubaan ini, dalam semangat peperangan (menyoal peperangan dengan semangat manusiawi) itu bolehlah dipuji.
Suatu percubaan yang menarik dan melanggar genre biasa filpen pelajar. Habislah Mamat Khalid ada seteru (atau teman, mungkin).