28 August 2012

The Posession(2012): Rasukan Yahudi

Tajuk ulasan aku di atas merupakan rumusan mutlak untuk filem ini. Yep. Noktah. Dah habis. Takde cerita lain.

OK, serius korang nak lagi?

Aku menonton filem ini kerana tiga perkara: Filem ini diterbitkan oleh Sam Raimi (yang mana ramai yang salah sangka filem ini diarahkan oleh mamat houror itu), gezet dia best nak mampus, dan wei, ini Excorcist Yahudi ah, sape tak nak tonton kan?

Oleh sebab sudah entah berapa banyak bisem (bikin semula) filem bertema sebegini sejak Linda Blair muntah sup hijau, sudah tentu penonton akan mengambil filem ini dengan sedikit berhati-hati, tetapi ada juga yang seperti aku yang naik tidak bosan menonton filem sebegini (yeap, I'm an exorcist film junkie), ok secara klise, filem ini memang mengulang hal yang sama (filem mana yang tidak?), yakni penemuan-kepercayaan untuk "membuang hantu"-sesi buang hantu. Adalah beberapa lenggok plot yang diubah sana-sini tetapi itu merupakan teknik untuk menggerakkan cerita, maka penonton yang kritis tentu akan mengutuk, "Weh, engkau tak tonton The Exorcist kah?" Yang menjadikan filem ini menarik sebenarnya adalah (walaupun bukanlah benar-benar seperti yang kita tonton dalam filem ini), kotak Dibbuk (di sini, kita akan sedar satu plot yang paling ramai akan bising bahawa, bodohnya, kenapa kau tahu kotak tu berhantu kau beli/bukak? Tapi hal sebeginilah yang berlaku dalam realiti dan menjadi kultus seram kalangan urban Amerika sendiri) ini benar-benar wujud dan kisahnya difiksyenkan dalam filem ini, mengikut dongeng-budaya orang Yahudi. Ada satu hal yang agak terganggu, sarikata filem ini menggunakan istilah "Allah" sebagai "tuhan" Yahudi, mungkin penterjemah filem ini memikirkan agama semawi Yahudi itu sama dengan Islam, mungkin. Tetapi yang lebih menarik (dan pelik), filem ini memaparkan bagaimana seorang "kiyai besar" yakni Rabbi Hassanic Yahudi ini menolak untuk melakukan "exorcism" dan menyatakan "berserah sahaja dengan Tuhan". Hal ini, bukan sahaja dalam pergerakan plot, tetapi agak mempersendakan agama Yahudi (tidak mungkin tidak ada Rabbi mereka yang gagal untuk menangkap dan membuang hantu).

Skrip filem ini ada sesuatu, tetapi bagi aku tidak begitu kuat dalam jalinan kisah "penceraian" dengan kisah "pembuangan hantu" yang cuba dikaitkan. Memang, secara psikologi, banyak hal yang ditampilkan membawa kebijaksanaan (plot ini sama dengan plot Reagen dalam The Exorcist yang mungkin tertekan dengan penceraian ibu ayahnya) sekurang-kurangnya dalam memahamkan dua orang dewasa moden bahawa "hantu itu benar dan wujud dan merasuk", sesuatu yang tak mungkin lagi berlaku dalam dunia moden Amerika. Kemudian, kita dapat jumpa dengan "kuasa", yakni kebenaran kotak Dibbuk ini sebenarnya (sebenarnya kotak ini menyimpan Jin Yahudi, yakni Saka orang Yahudi yang diperturunkan dari generasi ke generasi, menunjukkan orang Yahudi juga ada mainan sihirnya) dalam melangsaikan sumpahan yang "menghantar sumpah" (dalam budaya kita, macam hantar santau), adalah beberapa adegan yang akan mengingatkan kita kepada The Omen dan filem-filem ahli sihir lain. Gayanya menarik dan bertenaga, tetapi kadang-kala tidak punya persoalan yang kukuh. Inilah masalah filem ini apabila plot filem ini bergerak secara individu, melepaskan persoalan "pemilik sebenar" kota tersebut yang ter"sampuk" pada bahagian awal filem ini. Ia lebih menjurus ke arah menyampaikan kisah dan drama psikologi pasangan lelaki wanita dewasa yang bercerai dan mengharungi hidup "penjaga tunggal" dalam meneruskan hidup.Walaupun dramanya agak efektif dan lakonan sekumpulan pelakonnya agak baik. Malah penggunaan imej pandangan atas sebagai mengaitkan dengan kotak Dibbuk (yang tidak bermakna bila dibuka, tetapi mengelurkan kejahatan bila dibuka, seperti mana blok dan kotak rumah dan bangunan yang nampak tenang tetapi menggelegak isinya) itu agak gagal membawa apa-apa makna yang mencengkam, yang sebenarnya sang pengarah boleh kaitkan dengan imejan dan simbol yang lebih kuat lagi, sepertimana imejan si anak dengan kotak Pandora yang mempunyai beberapa imej cantik.

Jangan terkejut, ada satu babak, ingat tak video YouTube seorang wanita dari Brunei yang dirasuk? Filem ini menayangkan hal itu, dan ini sudah tentu akan membuat mana-mana penonton Nusantara seronok dan tersenyum.

Filem ini bukan klasik, pernah dilakukan (dan mungkin memenatkan), serta mempunyai pengarahan yang lebih yang dibantu dengan produksi, latar dan teknikal yang tinggi; tetapi lakonannya baik, beberapa adegan seramnya mengejutkan dan cara ia memasuki alam orang Yahudi dengan agama dan budayanya mungkin menarik minat untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

2 comments:

zulazahari said...

Daripada tagline filem ni pun dah nampak sgt agenda Yahudinya....hehe..

asrap virtuoso said...

ooo... clip Youtube tuh dr Brunei, ingatkan Malaysia. Heh..

Kononnya nih berdasarkan kisah benar: http://dibbukbox.com/story.htm

Kita pon tau Jin nih ada yg Islam dan ada yg bkn... so x mustahil hantu2 pon ada bermacam2 agama... kat sini hantu yahudi...