19 March 2013

Sembunyi(2013): Alam Angker Versi Melayu

Filem ini ada sesuatu.

Jangan lupa, filem ini genre fantasi seram. Dalam dunia penganugerahan, hal pembikinannya dipandang enteng (kecuali Stiges, Brussels dan beberapa festival antarabangsa). Malaysia dan Asia Tenggara masih bermain mimpi-mimpi ini kerana banyak lagi kisah (dongeng, legenda, mitos) kita yang belum diungkapkan, banyak lagi yang belum diselesaikan naratifnya atas layar.
 
Spoiler besar.
 
 
Filem ini bermain genre itu. Dua klu dalam dunia Barat: Rip Van Winkle dan Alice in Wonderland.
 
Sebenarnya, Afdlin Shauki sudah mula-mula melakukannya tahun lepas dengan Misteri Jalan Lama, tetapi aku meneliti dari segi struktur dan cerita, filem ini mempunyai edge yang lebih dan sesuatu yang menarik: ia mengganggu jiwa.
 
Dua plot penting sebagai kefahaman.
 
Plot pertama, Diana Danielle sebagai Aisyah, wanita yang nyaris-nyaris dirogol lantas (akan) dibunuh dek peperangan Jepun di Tanah Melayu. Latar ini menimbulkan makna: huru-hara. Realiti Diana dalam kecamuk, ketidaktentuan. Hidup mati bukan lagi untuk kita tentukan.
 
Plot kedua, Diana diselamatkan di sebuah kampung yang "jauh daripada pendudukan Jepun". Diana dikenalkan dengan watak Umie Aida sebagai Ibu Yani yang matriakh, wanita yang selalu menjadi pembelanya, dan seakan-akan "menjaga" spiritual dan jiwa kampung tersebut, kadang-kadang perujuk "adat". Kemudian Remy Ishak si anak penghulu yang akan menjadi penghulu jika berkahwin.
Watak ini watak "love interest", pelepas nafsu (Diana dan penonton) dan pengimbangan Diana untuk terikat dengan kampung aman sentosa itu.
 
Aman sentosa?
 
Di sinilah terletaknya ironi yang menarik dibawa oleh Alfie Palmero (penulis skrip) dan Kabir Bhatia selaku pengarah. Dalam dunia kampung Diana, realiti huru-hara membahayakan Diana. Dalam dunia kampung Remy-Umie, Diana lebih terjaga tetapi ada sesuatu yang sentiasa "mengacau" kampung itu (tetapi bukan Jepun, dan lebih menakutkan). Dalam kampung itu, Diana juga susah mahu mengingati apa yang sudah berlaku.
 
Alfie pandai di sini. Secara cerita, dia bermain dengan kefahaman dunia yang kita tidak tahu. Tetapi secara sinema/wayang, inilah pengolahan makna sinema pada titik yang tulen: eskapisme.
 
Eskapisme dalam tangan Alfie/Kabir ialah alat untuk mengganggu gugat emosi (tujuan genre ini), mencipta harapan (Diana dan Remy) dan ilusi (filem = ilusi). Inilah metafora besar filem ini.
 
Dalam ketidakingatan Diana, Diana mencari jawapan. Jawapan ini (menakutkan). Jawapan ini kebenaran.
 
Kebenaran membunuh ilusi.
 
Realiti hidup membunuh wayang (eskapisme).
 
Ya, aku terlopong bagaimana indahnya Alfie dan Kabir menyusun hal ini, dan sepatutnya begitulah gaya formalisme dinyatakan.
 
Ambil mana-mana filem. Filem "dijelma"kan untuk menangkap penonton "terpesona" dengannya. Jika penonton terpesona, mereka jadi "leka". Leka merupakan kata kunci terbesar dalam alam eskapisme Sembunyi. Leka juga berkenaan dengan eskapisme Alfie.
 
Sebenarnya, pembikin filem ini memohon kita bangun (dari leka), hadapi realiti dan kebenaran, tinggalkan ilusi!
 
Dalam "ilusi" ini, semua pendukung utamanya melakukan sesuatu yang menarik dan terkawal. Diana seorang pelakon yang boleh pergi jauh jika dia mahu. Hanya dia terlalu serius dalam filem ini, dia perlukan sedikit rentak, seperti yang aku kunyah baik dengan lakonan Emelda Rosmila dalam Kekasihku Seru. Umie Aida contoh terbaik dalam lakonan mempesonakan, berkarisma dan amat terkawal. Kita juga jumpa kekuatan dalam Remy Ishak dan Sharnaaz Ahmad, walaupun mereka sampingan terhadap gerakan utama Diana.
 
Runut bunyi filem ini sedap dan bersatu dengan mood, suatu pujian bagi Hafiz Hamidon. Sinematografinya kadang-kadang terlalu gelap tetapi beberapa bentuk sefianya cukup membawa semangat "kenangan lama" dan "kisah lalu", ini percubaan pertama membawa kisah purbakala dalam genre seram (seperti Sumpahan Orang Minyak) dan hal ini agak berjaya, khusus dalam latar busana dan reka letaknya. Kampungnya kelihatan hidup walaupun dicecah hujung taring bahaya (dekat dengan makhluk jahat bernama Azazil).
 
Hanya satu plot lubang yang amat besar yang aku tidak boleh terangkan di sini (nanti habis kalian tahu apa kisah filem ini), dan ini berlaku pada waktu peleraian filem ini. Tetapi memandangkan aku sudah menonton pelbagai filem David Lynch dan mengetahui semangat "mimpi" berkaitan "ilusi", seakan-akan apa yang kita lihat dalam sejam lebih itu suatu "mimpi yang panjang", aku maafkan.
 
Sebuah filem genre fantasi seram yang memuaskan.
 
Klasifikasi Sembunyi: U, Beberapa babak seram dan ganas  yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI Cine Leisure, The Curve.

15 March 2013

Cerita Kita(2013): Klise Sedap

Yana Samsudin tak boleh berlakon.

Maksud aku, Yana, kalau digandingkan dengan pelakon deep dan power macam Pekin Ibrahim, ya Tuhan, macam langit dengan bumi.

Kenapa Pierre dan David berani menggandingkan mereka berdua?

Serius, kau tonton filem ni dan kau tengok lakonan Feroz Khan - Pekin - Yana, serius tahap Pekin amat-amat jauh (baca: method acting/lakonan metod), mendalam, rasa, dan kena dengan "semangat indie" yang filem ini nak sampaikan. Tapi tengok saja suara tak kena Yana yang tiba-tiba "mengilai" dan kononnya bergerak "jujur/lurus", Ya Allah, menyakitkan.
 
Filem ini senang, mudah, malah klise, cuba-cuba MiG untuk bergerak "bebas" dengan kononnya semangat anak muda kita. Laki dah lama jumpa perempuan tapi tak berani cakap dia syok kat perempuan, sampailah seorang lelaki kacau perempuan tu. OK, aku terima jalan cerita filem ini dengan plot sederhananya jauh memintas mana-mana filem komedi MiG, tetapi sebagai suatu jaguh dengan filem-filem drama romantik lain, ia sederhana dan "comel" tapi tak dapat pergi jauh.
 
Sinematografinya sepatutnya membantu, walaupun latar dan petanda yang ada mencukupi. Lagunya? Tuhan, cukup-cukuplah Brian Ng meng"hong kong"kan filem "bebas" ini, yang hanya dibantu pada akhir dengan beberapa runut bunyi rock yang memberi mood betul.
 
Pierre suka sangat bikin filem fasal seorang loser. Pierre bercakap tentang hal-hal yang pernah aku "dengar" dan memberi suatu "kejutan" yang menjengkelkan berkenaan seorang "kenalan". Filem ini boleh pergi jauh lagi (rujuk Relationship Status) jika Pierre mahu dan bertungkus-lumus memberi sesuatu yang lain daripada "perhubungan", harapan dan cita-cita.
 
Klasifikasi Cerita Kita: U, Beberapa kata kesat  yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
 
DITONTON DI GSC Berjaya Times Square.

12 March 2013

Lawak ke Der 2(2013): Fiesta Lelucon

Kadang-kadang aku menyoal kefahaman orang tua kita (kerana aku tahu Siti Jarum sudah tua).

Aku tahu, para komedi/pelawak mutakhir diselar "tidak kelakar", lantas aku terlihat beberapa penulisan pementasan teater Raja Lawak (yang original!) karya Zakaria Ariffin dikatakan lebih pandai/lawak daripada sketsa lawak-lawak yang dipersembahkan oleh pelawak kita sekarang.
 
Aku rasa ini anggapan yang salah dan tidak sezaman.
 
Telanlah, dunia ini selagi terbuka luas dan masyarakat kita diberi peluang merenung budaya luar, segala yang datang dari luar mahu tidak mahu menyelusup. Anak-anak sekarang lagi canggih dengan memuat turun entah apa-apa daripada arena internet. Sudah tentu pelbagai kandungan dan budaya itu sampai ke paha, dan sudah tentu anak-anak itu kena pandai "menyaring" elok dan baik untuk pegangan dan makna dirinya orang Timur.
 
Stand up comedy, sudah tentu antaranya, suatu budaya persembahan komedi bikinan kumpulan pelawak daripada Amerika, bermula dari New York(?) yang membawa intipati menyampaikan tema/makna kelakar dengan "one man show".
 
Budaya ini nampak canggung tetapi boleh dibuat (rujuk Jamali Shadat) di Malaysia, hanya beberapa yang boleh dan tahu. Dunia Melayu, selalunya komedi "rancak" apabila dua individu disatukan (rujuk tradisi Mak Yung, Wayang Kulit dengan Pak Dogo dan Wan Seman). Masyarakat sudah biasa melihat peperangan "mulut" antara dua pelawak (rujuk era bangsawan dan pentas opera). Kemunculan beberapa pelawak era 60-an di televisyen, kemudian Instant Theatre Cafe yang amat revolusioner, dan kemudian sekarang dengan pelbagai lawak stand up comedy, khususnya di Kuala Lumpur dan serata Lembah Klang, budaya komedi ini sudah pun "popular", khususnya penduduk urban yang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
 
Semangat program Raja Lawak, Lawak ke Der, Maharaja Lawak membawa semangat itu dalam konteks masyarakat berbahasa Melayu. Mula-mula canggung, tetapi lihatlah betapa jauh Harith Iskandar sudah bertahan, atau kini, Nabil yang aku kira, antara pelapis yang amat menyinar dalam kategori "susah nak buat ni".
Malah filem ini, yang mempunyai kaedah "rakam untuk filem" menyatakan kebenarannya.
 
 
Aku sebenarnya tidak suka sangat "filem" begini, hanya bila ia penting atau bersejarah ia dilakukan (seperti entah berapa banyak konsert bintang Amerika difilemkan), dan risiko yang diambil oleh Hans Isaac kiranya "berbaloi" untuk memperkenalkan "budaya baharu" ini kepada penonton biasa, suatu rakaman komedi yang dibuat di Istana Budaya.
 
Rakaman ini "sepatutnya" mudah kerana pementasan itu merupakan "arena" penggambaran pengarah. Secara teknikal, Hans dapatlah mencoret beberapa hal yang menarik dan tidak lari daripada menangkap lawak yang sedang digelakkan oleh penonton.
 
Namun terdapat banyak babak, yang aku fahami sebagai lucah/sensitif, telah "dihala ke penonton" agar penonton yang menonton di wayang terpaksa menggunakan "permainan teka-teki" untuk mengetahui betapa "berahi"nya hal yang berlaku di pentas. Ini suatu kesesalan.
 
Maka "penilaian" tidak dapat dibuat secara sempurna.
 
Apa-apa pun, ini suatu hiburan tahap maksima, dan aku amat syorkan untuk ditonton. Pelawak yang membarisi rakaman ini, Nabil, Harith Iskandar, Jozan (Johan & Zizan), dan Boboi (Afdlin Shauki & Harun Salim Bachik) memaparkan dunia komedi kita sudah matang, walaupun bergerak ke arah budaya "stand up comedy".
 
Lihat sahaja komedi individu Nabil (yang turut mengacara) menyampaikan lawak Umum, yang mana lawak-lawak itu dibina dengan pengulangan yang kemudian dimainkan dalam beberapa sketsa. Itulah lawak yang bagus. Hal ini termasuk Harith Iskandar yang menyampaikan perbezaan lelaki dengan wanita dari segi "peperangan seks" dengan seloroh sekali, berkait tema dengan mimik muka yang menggeli hati, Harith merupakan sifu pelawak yang masih kuat.
 
Aku amat menyukai kedua-dua sketsa Boboi. Jika penonton biasa menonton sketsa ini sambil lewa, mereka tidak akan dapat menangkap sindiran yang disampaikan oleh kedua-dua pelawak hebat ini. Yang pertama dengan mudah, berkenaan pontianak (Afdlin) menemui Datin yang boleh buang hantu (Harun). Lihat idea "hantu" yang disampaikan dengan sengaja (penonton/masyarakat kita kini suka dengan hiburan berkenaan hantu, masih terperangkap dalam dunia ketahyulan). Kini hantu itu melihat Datin dan menyedari Datin itu juga "menakutkan" macam hantu. Secara kritikal, ini menyindir "Datin" yang dituduh bersongkol dengan dunia tahyul dan kebomohan! Inilah pedang dua mata mereka! Kemudian, digerakkan kefahaman "masyarakat kita" senang terpedaya dengan dunia "tahyul". Fasal hisap darah (mengambil idea/semangat) itu juga lawak apabila si pontianak menyatakan dia tidak akan menghisap darah penonton muka poyo (sambil menunding skrin), kerana dia turut akan jadi "bodoh". Sekali lagi, pedang dua mata: si hantu mengejek penonton yang "gila hantu" (bodoh) dia sendiri tidak mahu menjadi seperti mereka! Aku tergamam dengan kegeniusan Afdlin dan Harun.
 
Begitu juga dengan sketsa kapal terbang yang mana dinaiki oleh beberapa penumpang termasuk Nabil. Kapal terbang itu sebenarnya identifikasi Afdlin/Harun terhadap "negara" sekarang yang bergerak, maju, tetapi banyak cacat cela (tidak ada kerusi dalam kapal terbang). Mereka menuju ke Korea (identiti negara maju dan berbudaya maju), ditambah dengan sindirian Melayu hilang jati diri dan suka menyalin budaya lain (Nabil yang gilakan Korea).  Nama kapal terbang itu Reda Airlines. Suatu nilai murni yang pasif tetapi mencuit berlaku di sini. Ya, negara kita rosak serba-serbi dengan korupsi dan rasuah (sampai kerusi tak ada), setakat ini, kita perlu "reda" dan teruskan perjalanan, malah terjun apabila diminta! Nuansa dan gerak yang dibikin Afdlin dan Harun cukup mencubit dan berjaya menyampaikan suatu makna pasif yang menarik untuk difikirkan.
 
Jozan pula amat kuat dari segi kekemasan cerita (kisahnya panjang dan ada three act structure), dengan beberapa kesan pentas yang dilakukan untuk "menghidupkan" watak Nazmida, seorang femme fatale yang cuba menipu Johan dan Zizan. Saya melihat kuasa teknik memang berada dalam tangan Jozan. Lawak mereka agak keterlaluan dalam beberapa segi, tetapi menarik dan melanggar tabu. Jiwa dalam sketsanya adalah sikap penonton kita yang gilakan melodrama (sinetron Indonesia turut dimuatkan, serta Hindustan) tempatan dan sifat "kepura-puraan" dalam penyampaian cerita dan perwatakan drama-drama tersebut. Dinamisme mereka juga amat teguh dan menyampaikan lawak seakan-akan "bersilat" di atas pentas.
 
Terdapat masalah "suara dengung" dan suara "bising" yang biasa dalam televisyen ke filem yang agak mengganggu. Beberapa suntingan boleh diperhalusi dan diteliti.Tetapi sikap penyunting melakukan suntingan pantas dalam sketsa Harith amat membantu menaikkan mood dengan kresendo terhadap kejutan lawaknya mengikut mimik mukanya. Ini suatu yang amat dipuji. Aku suka filem ini, walaupun ia tidaklah sebuah "filem". Tahniah Hans. Semoga penonton berketawa dan merenunginya. 

08 March 2013

5 Filpen Ikal Mayang (2013): Berani Bersinar

Salam Hari Wanita Sedunia buat semua para wanita, ibu, isteri dan anak (serta mereka yang berasa diri mereka wanita).
 
 
Tadi aku tersempat menonton sebuah projek 15 filpen yang meraikan wanita Malaysia dan sedunia. Aku teringat akan 15Malaysia, projek filpen yang digerakkan oleh Peter Teo. Kali ini, Ida Nerina (bawah produksi Big Eyes Entertainment), Garang Pictures dan WOMEN:girls telah melakar sejarah yang sekali lagi cukup manis buat tatapan penonton Malaysia, khususnya para srikandinya yang tidak pernah penat lelah membahagiakan manusia yang mengelilinginya.
 
Projek ini menarik, berjaya menghimpunkan pelbagai warna dan strata selebriti Malaysia untuk "bercerita" melalui layar kata, dan 15 yang berjaya melahirkan sesuatu: Ida Nerina, Sofia Jane, Nanu Baharudin, Sharifah Amani, Elaine Daly, Fauziah Nawi, Mislina Mustaffa, Vanidah Imran, Aida Fitri Buyong (ya, penerbit terkenal filem Suhaimi Baba itu!), Carmen Soo, Shamaine Othman, Junad Md. Nor, Dira Abu Zahar, Melissa Saila, dan Susan Lankester.   
 
Pratonton media pagi tadi (8 Mac), menampilkan lima daripada 15 yang akan ditayangkan. Kelima-lima filpen tersebut dimaklumkan "agak kontroversi" buat konsumsi penonton am (yakni yang boleh melopong bila terbaca poster: VAGINA MONOLOGUE). Aku tidak dapat menafikan bahawa kebanyakan wacana himpunan pengarah ini kemungkinan "liberal", malah sebab itu perkiraan ini diperlihat dan diwajarkan demi mencabut rambut daripada tepung. Okay, aku jeles 10 lagi tak dapatlah aku tonton sehinggalah pihak televisyen tempatan yang bijak akan menyiarkan 10 filpen tersebut. Namun aku bolehlah berlagak dengan korang bahawa aku berjaya menonton yang lima yang korang tak mungkin dapat tonton, kecuali sebuah DVD koleksi diterbitkan:
 
Hawa | Pengarah/Penulis Sharifah Amani
Antara yang aku suka pada pagi itu. Kisah seorang lesbian-alim, Hawa (Sharifah Amani) yang akan/sudah "melepaskan" Ayu, "kawan serumah"nya. Pertemuan Ayu-Adam-Hawa (rujuk drama Adam & Hawa sebagai lelucon mencuit) di sebuah kedai buku (Skoob) membawa pada "pertelingkahan-penjeremusan" peran dan hati wanita-lelaki terhadap perhubungan dan ikatan norma dan agama. Zahiril Adzim sebagai Adam mempunyai dialog terbaik apabila meluahkan "kebenaran tradisi-agama" terhadap Hawa, "Sebab aku boleh kahwin kan?"
 
Percubaan sinematografinya tidak terlalu tetapi tidak sampai melonggarkan bentuk dan jiwa cerita. Semuanya banyak dilakukan dengan faham simetri. Rujuk babak Hawa di belah katil kanan dan Hawa di belah kiri pelamin kosong. Ruang ini untuk penonton "renungi" jiwa Hawa yang cukup tinggi konfliknya (seorang lesbian yang menerima Tuhan, memahami selok-belok agama, dan cuba banyak berserah kepada-Nya). Keseimbangan ini cukup mencuit dengan gaya Amani menjukstaposisikan pecahan babak yang beralih selepas-sebelum-selepas, dilakukan dengan matang sekali, membaur puitis emosi (sisi mata) Hawa melihat/menelan segalanya yang berlaku. Runut bunyinya turut memahami semangat Hawa-Ayu yang cukup faham dengan perasaan "nyawa di hujung tanduk". Kata-kata "normal" menyakitkan dan ditelan. Institusi sosial yang cukup menyelubungi memberi jawapan. Hanya ada laungan azan pada akhir filem seakan terkeluar daripada konteks logik walaupun "menandakan sangat" kefahaman pertembungan emosi-desakan konsensus-Tuhan. Sebuah warkah untuk Tuhan yang mahu tidak mahu, jujur, relevan dan mencengkam. Untuk Amani, dalam usianya mengarah kerja seperti ini, aku mempunyai harapan bahawa Amani akan pergi jauh dan satu-satunya pengarah baharu wanita yang akan menggegar dunia. Arwah Yasmin Ahmad (yang amat aku kenali) tentu berbangga dengan anak emasnya ini yang sudah mendewasa.
 
Odah | Pengarah/Penulis Junad Md. Nor
Filpen yang telah meriuhkan panggung dengan gelak ketawa dan tepukan ria. Sebuah komedi yang berjaya. Siapakah Junad ini? I love her! Konsepnya segar dan melawan arus: Bayangkan persekitaran kampung dan kita punya imejan si perempuan dalam persimpangan "memilih" untuk potong rambut. Kelakar bukan? Si Odah, jika rambutnya pendek, "macam jantan". Lebih teruk lagi, dengan isu media tempatan hebohkan tentang "lesbian", Odah yang tom boy dituduh "nak jadi lesbian" ("Macamlah nak jadi lesbian tu macam nak cari kerja," luah hati Odah).
 
Filpen digerakkan dengan monolog (maka ini filem peribadi pengarah). Si ibunya merokok, seakan-akan mendominan keluarganya, dengan si ayahnya menepuk bedak putih di pipi. Ketawalah kau tetapi susunan absurd Junad ini menjadi, dengan kejutan dan dramatik yang terjalin rapi, menunggu punat "mencuit penonton". Bijak dan seronok dalam persekitaran kekampungan. Ada sebuah babak bilamana tiga jejaka kawan Odah (pada zaman itu, KRU dan Feminin ialah "ikon mesti ikut") menyampaikan "judul lagu" untuk mengajar Odah "erti kehidupan". Amat berkesan! Juga kefahaman homaj Feminin 1990-an yang cukup nostalgik dan kena, menyampaikan maksud filpen bahawa dalam zaman mana pun, kontradiksi budaya berlaku, dan sang wanita terus mengidentifikasi dan membentuk identitinya mengikut kemahuannya. Suatu komedi mesti tonton.
 
All About Deflowering | Pengarah/Penulis Mislina Mustaffa
Bakal mengikuti Ho Yuhang dan James Lee dalam merayakan Tsai Ming Liang. Mislina punya kekuatan tersendiri dengan sifat tangkapan statik "menangkap realiti" sang wanita yang dijadikan subjek. Lihat bagaimana "senang" dan "seronok" sang wanita berkerjaya melintasi hari-harinya (rujuk: subjek masak-membasuh ialah konsep wanita dahulu, yang mana mesin basuh-peti ais-dapur menjadi latar filem). Tetapi filem ini juga berbohong. MATA merupakan titik fokus filem ini. Sekarang, siapakah yang buta? (Siapakah yang menipu?) Sang wanita akhirnya mengucap kepada kamera/cermin/kita: "I'm ready for my close up!", rujukan Sunset Boulevard (1950). Ini suatu ironi yang menganggu aku (rujuk watak yang dipegang oleh Gloria Swanson). Adakah sang wanita "bersyukur" dan benar-benar meraikan "hidup"nya (di sini, seakan-akan sunyi, seorang) atau menyatakan kepada "kita" bahawa dia hidup "bahagia"? Pelanggaran dinding ketiga ini merusuhkan dan terasa amat mengganggu (disturbing). Jadi, apakah yang sang wanita hendakkan lagi?
 
Berat Sebelah | Pengarah/Penulis Melissa Saila
Judulnya mungkin menggelikan hati tetapi filpen ini merupakan antara yang tergelap pada pagi itu. Ria Irawan (!) berlakon sebagai pelayan yang buah dadanya "berat sebelah". Ya, Ria Irawan u olls! Sefia ton layar indah dengan kelamnya, memberi rasa yang betul, juga lakonan Ria yang boleh meledak bila-bila. Ini penting kerana kita hanya mengikuti mimik wajah Ria sebagai klu hal yang berlaku (terhadapnya). Hanya pengakhirannya, walaupun secara klise difahami (menyatakan suara hati dengan tahunnya, yakni kini, semua boleh berlaku dan dilakukan) agak menjanggalkan tempo yang sudah dibina getir. Aku suka pengadunan lagu lama dengan babak-babak ngeri yang dipaparkan, memberikan semangat noir yang pernah aku tonton dalam filem Joko Anwar.
 
SHE | Pengarah Ida Nerina Penulis Rachel Malai Ali
Filpen ini sebuah perayaan tentang "segalanya" dalam/luar wanita, seperti yang dikenali Ida dan Rachel. Gaya memasuki "majlis" secara POV dengan penglihatan-dengar pelbagai suara wanita dengan pelbagai emosi, dengan rahsia dan umpatannya, menyerlahkan acara seakan-akan suatu filem yang dibikin Truman Capote Melayu. Empat ruang dimainkan dengan berkesan, rumah-kereta-ruang majlis-dapur. Mungkin cara mainan "fantasi" mata Ida "melihat" imaginasinya gone wild sedikit celaru dan surreal, seakan-akan Terry Gilliam membisik kepadanya. Sifat fellinisque ini boleh dibaiki jika masa dan cerita betul-betul diluahkan panjang dan tidak tersorok dengan cetusan-cetusan luahan, walaupun wajah-wajah itu menarik untuk diperhatikan (walaupun mungkin, golongan luar bandar tidak menyetujuinya). Kaya, miskin, bahagia, duka, janda, seorang, isteri - semuanya wanita, semuanya menghirup nafas dan mencari sesuatu dalam hidup, sepertimana lelaki. Ida mempunyai kekuatan dalam pilihan runut bunyi dan gaya, filem ini amat berkuasa dalam tahap itu. Sesuatu untuk diraikan.
 
(kredit foto: Ikal Mayang)

05 March 2013

2 Wajah Yang Dinanti-nanti dalam Wayang Malaysia

Ada dua penemuan yang menarik minggu ini.

Aku dapati, laman sesawang Sinema Malaysia (atau Cinema Malaysia kini) sudah berubah rupa; tersusun, terurus dan lebih nyaman kepada mata (rujuk: http://cinemamalaysia.com.my/), walaupun aku menunggu untuk infonya lebih komprehensif menyatakan kredit pembikin (contohnya, dalam alam wayang Melayu, hanya filem kita sahaja yang ada pengiktirafan "cerita asal", maka kredit cerita asal ini bolehlah dimasukkan sebagai satu penonjolan nilai) sepertimana yang wujud dalam imdb. Tetapi setakat ini, selain filemkita.com (yang sudah jenuh berjuang, antara juara pusat sehenti separa kebangsaan berkenaan maklumat filem Malaysia), laman ini sudah banyak mengambil tempat sebagai "apa yang terkini" dalam filem kita dengan pandangan skoop menarik yang boleh dibaca melalui pautan berita. Aku menyokong pautan "kata kunci" yang ditempatkan di bawah setiap halaman, membawa pengguna yang rajin untuk meneliti apa-apa yang berkaitan dengan sesebuah filem itu berkait dengan pelbagai isu dan individu lain juga.

Begitulah dunia maya sepatutnya. Saling berhubung kait.

Sebuah lagi penemuan, majalah ini: SKRIP2SKRIN.

Ia bukanlah Sight & Sound dan jauh mendekati Empire, tetapi selain penggiat filem dan penggemarnya (macam aku) ingin melihat perkembangan yang berlaku dalam arena perfileman kita, tahun-tahun lalu kita hanya terpaksa melayan laporan dan liputan yang tersiar dalam akhbar, majalah dan program media di televisyen. Ataupun menelaah "buletin" Sinema Malaysia yang kadang-kadang wujud wawancara atau artikel yang bernas.

Maka kehadiran majalah ini (yang kita panggil pengapresasian industri) merancakkan lagi penglibatan perfileman di tanah air kita. Aku tak tipu. Aku tahu mastermind majalah ini merupakan Anwardi Jamil, dan beliau mempunyai wawasan yang separa aku setuju. Khusus, Anwardi membayangkan bagaimana dan apa sebenarnya "industri" dan bagaimana istilah ini boleh diguna pakai dalam "merealisasikan" realiti pembikinan filem di Malaysia sekarang (rujuk nota editor isu pertamanya dan juga siaran laporan/rencana dalam isu pertamanya). Ya, kebanyakan artikel lebih cenderung berkata tentang teknologi, kaedah dan gaya pembikinan, serta promosi (lebih kepada info) sesebuah filem daripada benar-benar menyelusuri falsafah dan jiwa sesuatu pembikinan, pengkaedahan atau karya, tetapi aku setuju juga dengan sikap Anwardi yakni memaparkan apa yang boleh "diperkembangkan" untuk menjadikan dunia pembikinan ini sebagai suatu "hasil ekonomi bernilai tinggi". Kandungan dan mutu dibaca dengan sifat-sifat ini. Mungkin artistik dan estetika akan berkumandang kemudian. Aku berharap.

Aku harap, pembikin filem, pelakon, kru filem dan semua nodul dalam dunia perfileman tempatan benar-benar menggunakan majalah ini sebagai batu loncatan dalam memperkembangkan pengetahuan dan pendedahan mereka terhadap dunia filem kita. Tiada lagilah kita mengulangi tema lapuk berkenaan filem yang hanya disampaikan sinopsis dan kecantikan pinggul pelakonnya. Aku tahu, dalam 90-an, terdapat majalah yang sudah melakukannya (sebuah majalah hiburan kalau aku tak silap, kelolaan Sani Boy[?]) dengan sifat membawa perbincangan fasal dunia hiburan dengan mata yang lebih kritikal, tetapi majalah itu mati di tengah jalan atas kerana sambutan kurang menyerlah pembaca (zaman Mangga meletup) dan mungkin kurang sokongan orang industri.

Aku harap hal itu tidak berlaku dengan majalah ini kerana mereka perlu sedar, majalah ini menjadi menifestasi bahawa industri mereka sedang hidup dan bergerak, diperbincangkan secara kritikal, lantas mungkin akan dirujuk oleh orang luar. Dokumentasi sebegini perlu. Ini bukan majalah main-main.

Namun aku tersinggung bahawa majalah ini, semacam senasib dengan majalah DBP, susah benar hendak dicari di kedai majalah dan buku (dimaklumkan boleh dicari di kedai MyNews, tapi MyNews yang mana kerana amat susah untuk menjumpainya, aku jumpa pun di kedai majalah mamak di KL Sentral, dan itu bari isu pertama, isu kedua belum terpamer lagi). Membaca borang langganannya (walaupun mahu dan ada diskaun buat pelanggan baharu) membuat aku malas juga kerana aku tidak pernah melakukan kiriman wang, dan malas hendak ke pejabat pos. Jadi ini mungkin menjadi masalah kecil yang sedikit demi sedikit boleh meranapkan perkembangan pengedaran majalah ini jika para penerbitnya tidak dapat mencari strategi terbaik untuk menjual majalah ini.

Jangan risau fasal harganya (RM10). Bagi peminat tegar filem seperti aku, lagi-lagi atas dasar kebangsaan tinggi (majalah ini dwibahasa, ya sepelik anda mendengarnya mereka telah melakukannya!) sudah tentu majalah sebegini akan dibeli. Kini, aku berharap ia meluas sahaja. Institusi filem celik harus berlaku. Dan ini mungkin antara jejak awalnya.

02 March 2013

Rock Oo!(2013): Pastisye Pathos

"Ghout boleh menyebabkan negara musnah!" - Jijo

"Dan aku tersentuh ..." - Amy


Filem ini berkenaan nostalgia, tentang apa yang sudah lepas dan apa yang tidak dapat diambil kembali. Hanya percikan keping kertas yang ditiup angin, lalu kita hanya menontonnya dari jauh.

Filem ini digerakkan oleh naratif (dan POV) Amy Mat Piah (Que Haidar) dan sesungguhnya berakhir dengannya (ingat yang pertama digerakkan oleh siapa?). Ada suatu babak yang menyayat dari sudut Amy. Zul Kapan (Soffi Jikan) mengambil tempatnya lalu menyanyi, dengan penuh rasa dan jiwa. Studio tempelan bekas telur bergegar. Lagunya berhantu. Jiwa Amy menggetar, lalu dia berlari-lari menangis. Kita tahu dua hal yang berlaku. Pertama, Amy sedar "kecil"nya dia di hadapan Zul, kedua, lagu itu sungguh "sempurna", Amy menyedari dia tidak sepatutnya di situ.

Sesak hati Amy tentang apa yang dia mahu dan dia takkan dapat merupakan metafora terbesar filem ini; tentang kumpulan Rock yang dikecam (sepertimana Hassan Muthalib menyindirnya) dan diperlekehkan, serta era yang "dilupakan".

Those were the good days, orang puteh akan berkata. Lenyap ditiup angin. Metafora itu diperkuatkan apabila AMy menyatakan bagaimana dengan fasa Menteri Penerangan memotong rambut para rockers mematikan era dan kesungguhan idealogi dunia itu. Apinya padam dan hanya berterusan dengan CD dan putaran YouTube.

Aku menyukai beberapa gaya penggambaran yang dibawa dalam filem ini, suatu pujian buat pengarah sinematografinya (walaupun ada yang terlalu malas), merujuk banyak dunia vintej lama 1980-an, dunia Rozana Cinta dan Kembara Seniman Jalanan. MTV yang disisipkan merupakan bukti utama. Anak-anak muda zaman ini di tengah-tengah kecamuk pengaruh rock dunia Barat dengan semangat jati anak Melayu (rujuk dialog petani moden Amy). Hal ini lebih menyedarkan aku bahawa, tanda yang Hassan Muthalib nyatakan bahawa rockers "hantu/kutu/penyangak" sebenarnya tersasar. Rockers sebenarnya disalah anggap. Dan "salah anggap" dan sifat "misfit" inilah yang dipermainkan dalam beberapa filem Mamat Khalid. Mereka ini "mangsa" bukan penjahat. Itu sentiman Mamat yang sebenar.

Babak Saiful Apek memeranjatkan, antara pemakluman dunia menyakitkan rockers ini yang cuba mencari laluan dalam dunia Kuala Lumpur serba kosong dan mencabar. Sekali lagi, impian anak-anak muda ini dipermainkan, diinjak-injak. Ini sebuah tragedi. Bukan komedi lagi.

Ada beberapa babak yang kurang berkuasa, kerana cara penggambarannya yang "jauh" dengan penonton, para pelakonnya diberi terlalu banyak ruang (mungkin penangkapan realiti) untuk bercakap dan kadang-kala tersasar. Terdapat luahan yang sumbang, gerak yang sumbang, ironinya, membawa makna terhadap imejan besar filem ini (sumbang yang tidak disengajakan). Suntingannya juga tidak banyak membantu (jika dibandingkan dengan filem asalnya yang lebih dinamis dan bertenaga) untuk memberi nafas, walaupun penataan reka seninya agak menarik dan asli.

Runut bunyi filem ini, sepertimana filem Mamat yang lain, sangat hebat dan berjaya membawa semangat nostalgia tersebut. Aku suka dengan sisipan lagu Ben Hur pada waktu Jijo dan rakan penyapu sampahnya menghampiri layar. Poin ini berkait dengan kefahaman (rujuk kredit akhir) bahawa rockers "pengaruh Yahudi", juga gah yang tidak ke mana-mana (they just come to show off). Kelakar dan menghibakan.

Ini masih bukan filem terbaik Mamat, walaupun terdapat beberapa tandatangan Mamat yang kita tunggu-tunggu, lebih-lebih lagi sebagai sekuel kesinambungan terhadap filem asalnya (yang jauh lebih menghiburkan). Ya, filem ini gelap, tetapi gelap yang tidak dikawali dengan kejutan sinematik yang sepatutnya, bergerak halus dan kadang-kadang tersasar. Pun begitu, ia sememangnya dibuat untuk peminat tegar rockers, melihat kembali dunia dan perjuangan mereka, serta pengiktirafan bahawa mereka juga dahulunya pejuang, dan mangsa sejarah.

Klasifikasi Rock Oo!: P13, Beberapa babak kiasan seks, gelap dan kurang bermoral yang  mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI GSC Pavillion.

01 March 2013

Dekaden Oscar Fajar Baharu FFM

Ah, Oscar ke-85 sudah melabuhkan tirainya dan muncullah pula Festival Filem Malaysia kita yang ke-25.

Bercakap fasal Oscar. Aku teringat dengan ungkapan ini: "Mainlah kad anda dengan cermat."

Jika kalian menontonku dalam Astro Awani Gala TV Plus, aku melahirkan prapilihan aku pada filem yang patut menang, mengikut susur galur politik biasa Academy Awards itu. Ya, aku ada kegemaran peribadi (untuk menang), tetapi aku juga ada pencalonan yang wajar (menang). Tahun ini, aku sebenarnya memilih Zero Dark Thirty untuk menang (walaupun tahu tidak akan) dan menyedari filem Lincoln, Silver Linings Playbook dan Life of Pi akan mendapat banyak ruang. 

Aku terlupa bahawa Oscar dibumbui dengan aksi pelobian paling menakutkan dalam dunia penganugerahan.

Kini, aku benar-benar memahami mengapa Pak Hassan Muthalib menyatakan Oscar "anugerah longkang".

Hassan Muthalib pernah menyatakan "this award is a joke" dan menyatakan "janganlah mempedulikannya." 

Aku tidak faham dan mentah, masih menjulang Oscar sehingga kini.

Sampailah kejadian 25 Februari kelmarin apabila nyata-nyata kemenangan besar Life of Pi boleh dipintas dengan senangnya oleh Argo, dan bagi aku, KERANA SENTIMEN lobi yang dimainkan para media dan kalangan pembikin Hollywood bahawa nama Ben Affleck "terlepas pandang" dalam senarai nominasi pengarah terbaik.

Jika kita perhatikan peratusan "nilai" Metacritic, Rotten Tomatoes, kita akan menyedari peratus "cemerlang" beberapa filem lain melebihi Argo. Malah dalam IMDB (pun menilai Argo agak rendah daripada filem yang lain), filem Argo ditetak dan disindir oleh pengulas amatur. Malah banyak yang melihat "kekuatan realisme" dan ikatan aksi dan drama yang lebih matang dalam Zero Darik Thirty berbanding usaha Argo (rujuk kritikan Roger Ebert) berkenaan cara kerja pihak CIA.

Aku sendiri menyetujui Ebert apabila merasai seram, getir dan sakit filem Kathryn Bigelow itu berbanding dengan "tradisi Hollywood" Argo. Malah Argo mempunyai banyak masalah (sesiapa yang sudah menontonnya akan faham), dan ini pada dasar kekuatan pengarahan dan susunan penceritaan (dan ini membuat aku menyoal kemenangan skripnya).

Nasi sudah menjadi bubur pun.

Apakah rahsia Argo menang? 

Pertama. Tak ramai menonton Lincoln kerana kebosanan. Malah filem ini dirundang malang saat terakhir (selepas filem itu dimaklumkan pencalonan tertinggi praOscar tahun lepas) apabila Tony Kusher dalam sebuah wawancara menyelar Zionis Israel terhadap masyarakat Palestin. Hal ini sudah "menutup peluang" untuk filem ini menang, walaupun Steven Spielberg dan Kusher adalah Yahudi terkenal di Amerika. Filem itu antara filem terkuat tahun ini. Amor pula kerana ianya filem "Peranchis" (kebanyakan pemilih juri adalah rakyat Amerika, kena ingat, walaupun The Artist bikinan Peranchis, tetapi filem itu tentang Hollywood dan Amerika). Beast of Southern Wild antara filem terbaik tahun ini, tetapi publisitinya tidak cukup gah dan meluas, sepertimana nasib Winter's Bone. Weinstein pula akan berhabis-habisan melobi Django Unchained (dan sudah terbukti pun). Zero Dark Thirty pula membawa kontroversi terbesar yang menggugat filem itu, dikecam CIA kerana pemaparan mendera banduan dalam penjara (hal ini realiti dan sudah pun dipaparkan dalam beberapa dokumentari, khususnya drama-dokumentari baik, The Road to Guantanamo[2006]) serta mainan parti pembangkang membantai filem ini kerana "mempropaganda kewajaran Obama kembali ke White House". Filem Life of Pi, Les Misrables, Silver Linings Playbook adalah antara filem "selamat" yang berpeluang kerana tiada kontroversi (antara tiga itu, Silver Linings Playbook buat aku melihat ada kekuatan untuk menang). Sedangkan Argo dikecam (orang Iran), ia jelas-jelas sebuah filem "Hollywood", dan Hollywood amat mengambil berat "pejuang" mereka.

Maka, apa yang berlaku setelah Ben Affleck yang dimainkan media/orang dalaman "ditutup mata" oleh The Academy, menutup mata suatu karya yang merekomendasi kewajaran Hollywood pada dunia?

Dalam dunia ini, apabila suatu empayar atau kerajaan mencapai puncaknya, dan mula merundum (dipanggil tahap dekaden), berlakulah "angkat diri" dan memenangkan kalangan diri. Argo adalah satu contoh terbaik untuk itu, merayakan bukan sahaja unsur dan teknik Hollywood (dan kerana itu kaedahnya klise tanpa pembaharuan berbanding Life of Pi, Beast of the Southern Wild ataupun Zero Dark Thirty) tetapi gah menanda Hollywood sebagai "penyelamat dunia". Pelik, kedua-dua filem, tahun lepas dan tahun ini, menyatakan hal itu, seakan-akan Hollywood takut, filem-filemnya tidak relevan lagi apabila kemunculan beberapa sinema baharu yang merentap kewajaran mereka. Kini, dua buah industri perfileman selalu diperkatakan, yakni Iran dan Korea Selatan. Kalangan pembikin Hollywood pun merasa "gangguan"nya, termasuk pemerhati filem. New Zealand, Australia dan UK juga sedang menghadapi "pencerahan baharu". Ini yang ditakutkan Hollywood, malah anugerah dan filem keluaran Eropah juga sedang membara. Filem-filem Amerika Selatan, Sepanyol dan kumpulan Latin juga sedang menampakkan taring kerelevannya (rujuk berapa ramai pengarah Latin dibawa masuk Hollywood membikin filem di Amerika Utara). Sampai ada yang menyatakan: "Hollywood masih hidup kerana Pixar, itu sahaja."

Dunia sedang berkecamuk dan Hollywood perlu melakukan sesuatu.

Aku berani menyatakan hal ini, kerana jika diteliti Twitter, kebanyakan pengarah/kru filem memilih Argo, walaupun MEREKA TIDAK MENONTONNYA. Mengapa? Mainan sentimen yang dilobikan di atas. Hal ini benar dan jelas (kru filem, lebih-lebih lagi yang bekerja tidak akan ada masa untuk memilih pengundian dalam masa pendek, walaupun dalam talian).

Aku teringat, Seniman Bujang Lapok, "Eh, apa ini punya cincin?" tanya Samsudin pada cincin hikmat. Selepas ini, aku menyedari, tidak usahlah susah-susah menonton KESEMUA filem Oscar (kerana nominasi itu jelas hanya tujuan promosi untuk umum menonton, bukan penilaian prestij) tetapi teliti berita media dan cakap-cakap orang industri filem masuk Oscar, di situ kita boleh "mengagak" filem mana yang akan menang. Kerana dekaden tidak memilih nilai dan kandungan, tetapi hip, dalam berita dan belas kasihan.

Sinar Baharu untuk FFM

Walaupun murungnya Oscar, ada suatu sinar baharu untuk Festival Filem Malaysia ke-25 kali ini.

Aku tidak tahu, entah mekanisme apa yang pihak Finas dan kalangan penganjur guna untuk kaedah pengundian nominasi terakhir, tetapi senarai pencalonan akhir (nominasi) kali ini merupakan pencalonan paling sempurna, wajar dan mapan dalam sejarah FFM.

Lihat sahaja pencalonan "pelakon terbaik" yang mana dilihat kekuatan pelakon yang berlakon betul-betul, tidak ada lagi kerana desakan "populariti" (contohnya, nama Aaron Aziz tersingkir) ataupun perangkap genre (drama merupakan ruang paling jelas untuk menilai pelakon. Walaupun SAM sebuah genre ngeri, ia sebuah filem ngeri yang memerlukan lakonan penuh penghayatan para pelakonnya). Anugerah Cipta baru-baru ini turut memilih "yang sebenarnya" dan sepatut pun.

Kali ini, aku berbangga dengan senarai nominasinya. Jika Songlap, contohnya, mendapat pencalonan tertinggi, jumlah pencalonan itu bolehlah diletakkan atas DVD sebagai pengiktirafan berasas (yang selalu dibikin pengedar filem Barat, nominasi Oscar juga penting). Ini termasuklah buat beberapa filem-filem minor yang tercalon, bukan lagi seperti tahun dahulu yang mana kita hanya melihat pada "yang menang". Ini suatu institusi baharu.

Pencerahan baharu ini memberi aku rangsangan positif terhadap industri perfileman kita. Syabas Finas kerana perubahan yang membuka mata ini. Kali ini, anugerah FFM rasa "penting" dan perlu diperhatikan. Malah sememangnya acara kemuncak sebenar anugerah filem tempatan lain (Anugerah Skrin, Anugerah Blokbuster, Anugerah Oskar Malaysia).

Aku tidak ada masalah dengan kelewatan anugerah ini pada tahun ini (bukan tahun lepas). Rujuk sahaja Academy Awards pada setiap bulan Februari yang menjadi acara kemuncak kesemua anugerah filem dunia (kononnya!) Maka apabila FFM contohnya, dijalankan pada hujung Disember atau awal Januari (mungkin kerana mengejar pelobian Academy Awards, tak silap aku, Anugerah FFI pada Disember, termasuk anugerah Kinrara di Thailand, Disember), ia seakan-akan acara kemuncak yang "menutup" segala acara anugerah yang sudah berkumandang. Memasuki pencalonan FFM kali ini terasa nilai prestijnya, siapa yang tercalon (walaupun mungkin ada yang aku tidak bersetuju, biasalah) merasa "weight" kehadirannya dalam senarai itu.

Tahniah Finas. Tahniah para penggerak filem kita. 

Dengan harapan baharu ini, biarlah terbuka mata, filem bagaimanakah yang seharusnya kita gerakkan untuk bikinan kita, untuk kita raikan - dan tonton.

20 February 2013

Dah Lama Tak Tulis: Orang Minyak P. Ramlee


Memang agak lama aku tak menulis. Aduh, sakitnya dengan pelbagai kerja dan masalah.

Tetapi semalam setelah aku menonton filem Sumpah Orang Minyak (1956), aku macam terganggu dan terkesima dengan pandangan dalam filem P. Ramlee ini. Filem ini bukan hanya sebuah eksperimen P. Ramlee dalam menyatukan genre dongeng (folk) dan seram (ataupun fantasi gelap) tetapi menyampaikan sebuah filem "renungan" tentang falsafah "kesempurnaan". Jika kita tonton filem ini secara lalu, tanpa ingin mencari "akal", kita hanya akan meneliti "moralis" filem itu, yakni terhadap protagonisnya, Si Bongkok (P. Ramlee). Tetapi jika kita teliti betul-betul, filem itu membuka persoalan yang lebih mendalam, yang semuanya berlingkar pada pandangan dan kefahaman "cantik". Cantik ialah perbualan besar filem ini, dan susun cerita dan penandanya banyak berlingkar dari hal itu.

Bongkok "buruk", tidak "cantik" secara hakikat fizikal yang difahami masyarakatnya (purba, dan masih relevan sekarang). Ah, ini yang menarik, "buruk" Bongkok bukan benar-benar dikutuk selapis (not just the surface meaning) tetapi berkait dengan "keburukan" ayahnya yang melakukan banyak onar. Hal ini berkaitan dengan "penurunan nasib" tipikal sifat Melayu/Asia Tenggara/Hindu ("bapak borek, anak rintik") dengan pandangan berkenaan "karma". Karma ini dikaitkan dengan "keburukan" fizikal Si Bongkok mendapat "dosa" ayahnya. Masyarakat kampung "mengiyakan" konsensus ini. Hanya Si Cantik dan ayahnya, penghulu yang "melihat melampaui kulit" dengan menyatakan "dosa ayahnya tidak berkenaan dengan anaknya".

Hal ini suatu renungan sosial yang mendalam, dan ini belum lagi dilihat pada sisi konteks individu Si Bongkok. Ini masih strata sosial yang membanding-bandingkan "skin deep" kulit dengan kulit berserta hal yang tiada berkaitan kecuali keturunan. Ini menguatkan lagi betapa "tahyul"nya sifat orang kampung Melayu itu (persoalan ini menarik jika golongan ini masih bersikap begini). Komuniti masih "primitif" dan memerlukan kuasa atas (penghulu) untuk menyatakan hikmah keseimbangan moral. Semua ini berlingkar, dan masih berkait dengan "cantik", yakni kesempurnaan dengan "buruk", yakni ketidaksempurnaan.

Bongkok lahir hodoh. Dia sendiri dengan rendah diri mengaku dia "tidak sempurna", kadang-kadang semacam sedar diri apabila potret "Si Cantik dan Binatang" yang dihadiahkan kepada gadis itu dipertontonkan. Di sini kita sudah menyedari, dalam tasawuf, Bongkok "mengenali diri"nya tanpa seutas benang pun (tidak lagi merasa malu dan mengaku, lalu meredai ciptaannya). Tetapi hal ini ada ironinya. Bongkok seorang pencipta "kecantikan". Cantik dalam budaya kampung itu adalah "seni" (tarian, nyanyian, lukisan, batik yang elok). Bongkok yang hodoh dapat menciptainya, suatu bakat yang khusus dan takjub. Secara psikologi, kita juga menyedari Bongkok sebegitu kerana "mencari kecantikan", yakni mencari kesempurnaan. Dalam diam-diam, Bongkok mencari "kesempurnaan" fizikal. Ini tercitra dalam potret "Si Cantik dan Binatang" juga.

Maka Bongkok sebenarnya bukanlah "sempurna" seperti yang dinampak oleh Penghulu dan Si Cantik. Mereka berdua nampak Bongkok "cantik" kerana "hati budi" Bongkok yang merendah diri dan sentiasa memberi lalu kepada orang lain. Bongkok juga mempunyai bakat mencantikkan daripada pandangannya, dan ini juga kekuatan kefahaman "kecantikan" Bongkok. Apabila Bongkok dihalau dari kampung, akhirnya, Penghulu dan Si Cantik juga "terikat" dengan konsensus masyarakatnya walaupun merasa "kasihan".

Dek "pembuangan" ini, yakni suatu aksi sosial paling "menjatuhkan maruah" dalam masyarakat itu membuatkan Bongkok berjalan ke kubur ibunya. Ah ini penanda menarik. Kubur menyampaikan dua makna di sini, mati (jalan terakhir di dunia/filem/fatamorgana) ataupun gapura "alam lain". Benar-benar "alam lain" itu muncul dalam bentuk Puteri Bunian berserta pengiringnya, seakan-akan menandakan petanda "genre cerita ini akan berubah". Pembuangan itu, yakni penjatuhan hukuman maruah itu "membogelkan" roh jiwa Bongkok seburuk-buruknya. Dengan itu "khasyaf" terbuka. Seharusnya, Bongkok "suci bersih" tahap ini. Inilah "kecantikan" sebenarnya yang patut Bongkok cari.

Kerana itulah "potensi" yang dilihat oleh Puteri Bundian dan Penghulu Bunian membawa Bongkok masuk ke "alam lain" Bunian.

Di alam ini (dengan mengejutkan, P. Ramlee jauh lebih ke hadapan daripada David Lynch dalam meletakkan jubin alam ghaib ini dengan petak hitam putih, menyerupai jalinan zig zag White/Black Lodge Twin Peaks, ini petanda penting, bukan sahaja meng"gah"kan pentas istana berbanding alam kampung, tetapi menyampaikan maksud "dwi" dalam dunia ini: baik/buruk, jahat/baik, cantik/hodoh, menang/kalah, dosa/pahala, semacam tempat segala dwikewujudan menampilkan ertinya untuk diselam, menjadi dunia "limbo" filem ini sendiri sebagai fungsi "penentuan penerusan cerita") Bongkok ditemukan dengan sebuah kitab "memberi jawapan kepada semua masalah". Menariknya di sini, Bongkok yang "kekampungan" boleh membaca! Adakah ini suatu kesilapan atau kesengajaan sebagai menunjukkan pertentangan sifat Bongkok seperti di atas (hodoh tetapi bijak, pembaca dan berbakat seni)?

Di sini, kita menuruti "kebijaksanaan" dan "keluhuran" sebenar Bongkok dalam pengertian sebenar kecantikan/kesempurnaan. Bongkok menyelak dan menyelak, dan membaca berkenaan "untuk menjadi cantik" yakni dia perlu mandi dalam kolam Bahteri Nabi Allah Nuh AS.

Ah, suatu renugan diperlukan di sini. Kini, kita mengambil tindakan Bongkok ini dengan tindakan tidak bijak orang kampungnya. Hal ini memerlukan kefahaman tasawuf yang tinggi, berkenaan "mengenal diri". Jika kita "mengenal diri", yakni suatu perjalanan mencari kesempurnaan (kecantikan) kewujudan kita ("Kenapa aku dicipta Tuhan?"), kita akan menyedari untuk "meredai" ciptaan kita oleh Tuhan seadanya kerana "setiap ciptaan-Nya mempunyai maksud-Nya di dunia". Bongkok tidak memilih pilihan terbijak ini (ada beberapa alternatif lain, yakni, cara untuk tinggal selama-lamanya di alam Bunian ataupun cara untuk menyelami kebenaran diri) melainkan suatu yang "skin deep" juga (ironi yang terkena dengan kecerdikannya membaca kitab, maka menunjukkan orang pandai baca pun tidak tahu apa yang dia cerap).

Bongkok jadi "cantik" dan berasmaradana dengan Puteri.

Babak paling penting berlaku selepas itu, yakni babak Penghulu Bunian mengarahkan Bongkok turun kembali ke dunia nyata. Bongkok ingin membawa Puteri bersama. Hal ini ditegah, dengan dialog paling kuat, logik dan penting dalam filem ini oleh Penghulu Bunian: "Sudah kau pilih untuk menjadi cantik, dan bukan untuk berkahwin dengan Puteri."

Hal ini memancarkan bagaimana tindakan/pilihan tertentu menyebabkan arus peristiwa dan akibat tertentu. Hal ini juga ujian si Bongkok terhadap cintanya kepada Puteri (seperti mana cinta kita kepada Tuhan apabila kita dijauhkan daripada-Nya setelah diturunkan ke bumi sedari Adam AS). Dapatkah mereka bersama kerana Puteri optimis, dan Bongkok tidak.

Sewaktu Bongkok menginginkan jadi "cantik", dia diberi satu syarat, yakni "jangan membunuh orang". Perilaku berdosa itu menyamai "keburukan" ayahnya (yang dibenci orang kampung). Bongkok diberi peluang untuk tidak mengulangi "perbuatan jahat" ayahnya di sini. Hal ini menjelaskan cerapan makna sebenar "taubat" atau perjalanan "penyucian" untuk bergerak menjadi insan yang kamil (sempurna). Tetapi apa yang berlaku (setelah digoda oleh Iblis ala Faust)? Bongkok yang sudah cantik sanggup menanggalkan "baju kurniaan"nya pada sifat telanjang (fizikal, bukan rohani, dan lebih daif lagi malu) lalu bertukar menjadi "orang minyak". Pembunuhan pun sudah berlaku sebelum itu. Inilah "sebab-akibat" Qadar Bongkok yang boleh dikecang jika dia mengawalnya.

Secara ironi, Bongkok, akhirnya "kembali" juga ke Bunian setelah dimasukkan dalam botol dan dipegang Penghulu Bunian. Tetapi ini memaparkan "seburuk-buruk manusia". Perjalanan Bongkok ini satu tragedi, tragedi atas pemilihan. Apakah ada peluang lagi untuk Bongkok?

Jika dalam Islam, ya sudah tentu ada jika Bongkok benar-benar bertaubat (dan mungkin terpaksa menerima hukuman berat kerana membunuh dan merogol) tetapi hal itu tidak dinyatakan. Hanya yang penting, perjalanan yang kita ikuti setakat itu, memaparkan tragedi perjalanan Bongkok ke arah kesempurnaan, hanya ianya tidak berakhir dengan kematian sepertimana tragedi Barat (kerana Bongkok "sudah mati" secara  tersirat apabila berteluku di kubur dan dibawa ke alam lain).

Ah, kesempurnaan/kecantikan ini juga dibawa oleh beberapa penanda. Dua paling jelas adalah daripada pembentukan citra sifat Penghulu Kampung, Penghulu Bunian dan Si Cantik. Ketiga-tiganya mungkin tidak "sempurna" secara rupa paras tetapi menyerlah beberapa hal, Penghulu Kampung dalam tindakan beradab dan kemanusiaannya, Penghulu Bunian kerana kebijaksanaannya, dan Si Cantik untuk keluhuran akal budi serta bahasanya. Semua ini menjadi ramuan untuk Bongkok (dan kita) renungi dan sedari, betapa hal inilah yang paling penting (dan amat tasawuf) dalam membentuk diri kita ke arah pembentukan diri yang sempurna di mata Allah. Inilah kehebatan Sumpah Orang Minyak (kalau mahu dibandingkan dengan Sumpahan Kum-kum, contohnya).

Bayangkanlah, bagaimana semudah mana filem ini (dan bagaimana ketinggalan zamannya efek khasnya, kecuali penggambarannya yang masih berkuasa dan kuat bahasa filemnya) tetapi sedalam mana titis falsafah yang diutarakan dalam filem ini. Aku kecewa apabila aku menyedari, dalam banyak-banyak filem komersial sekarang, tiada yang dapat menandingi halus makna sehalus kefahaman filem ini (ini tidak termasuk filem Rahim Razali dan beberapa lagi, contohnya). Pembikin filem sekarang perlu insaf dan menyedari hakikat betapa kita sudah terlari daripada memberi inti sebenar kepada penonton kita. Dan filem ini contoh terbaik.

18 January 2013

Maynila: The Claws of Light (1975): Adikarya Lino Brocka



Sedang kalian sedang gilakan K-Pop dan tari kuda gatal, aku sedang tergilakan segala yang Pinoy. Aku sedang membaca Minuel Syjuco, mendengar lagunya, cuba merasa makanannya dan menonton beberapa filem Filipina, serta menerusi beberapa pembikin baharunya. Aku tidak boleh menafikan kehadiran mendiang Lino Brocka yang amat terasa. Kalau ditanya Amir Muhammad ataupun Norman Yusof, filem Filipina, khususnya filem-filem Lino Brocka merupakan senarai "mesti tonton" mereka. Aku pun setuju apabila menontonnya.

Jika kita tidak kenal Brocka, kita akan menuduh bahawa filem-filemnya "melodrama" atau "melodrama dunia ketiga" yang biasa kita jumpa dalam filem kita, Thailand ataupun Indonesia. Poin ini menarik, mengapa "melodrama" dengan alunan lunak perasaan dan emosinya amat dekat dengan dunia keasiaan? Apakah kita tidak dapat lari daripada mengalunkan emosi, ghairah dan suara hati dengan tangisan dan rasa geram? Kita seakan-akan berbudaya Latin Amerika, golongan Sepanyol yang bermata sepet dan berkulit sawo. Tetapi rujuklah lagi kepada apresiasi filem kita sendiri yang susah hendak lari daripada "perangkap" ini jika dibandingkan dengan Filipina yang sudah jauh membikin pelbagai emosi dan tema ataupun Indonesia dengan drama berentak Sang Penarinya walaupun kadang-kadang tersesat dengan Ayat-Ayat Cintanya.

Hal ini aku sengaja bangkitkan kerana persoalan "komersialisme" sekali lagi membutakan kita (baru-baru ini aku menonton Juvana dan filem itu juga terperangkap dengan konsep komersial itu, yakni menghendaki kecenderungan ke arah melodrama) perlu membandingkan dengan dunia wayang Pinoy yang bagi aku lebih "maju" jika dilihat pada filem-filem Lino Brocka ini.

Ini berkenaan dengan pandangan pembikin filem ini (rujuk wikipedia) yang mana "unsur komersialisme" dikatakan dimasukkan. oleh Brocka. Ah, ini menarik! Tontonlah filem ini dan kau akan sedar, jika PENONTON KITA menontonnya akan melihat ia sebuah "filem seni"! Percayalah! Mengapa, sebab penonton kita sudah terlalu BIASA disuap dengan unsur-unsur "komersial" yang salah mengikut kitaran klise Hindustan (yang juga sedang melalui transformasi besar) yakni: (1) runut bunyi berlangsung sampai habis, (2) emosi yang ditekan-tekan untuk membawa projeksi "perasaan", (3) babak MTV panjang, (4) tema kekasih bercinta yang perlukan latar eksotik/indah, (5) dialog-dialog mudah yang sudah terikat dengan jalinan genre yang disentuh, perlu ada "perkaitan" dekat dengan stereotaip genre. Inilah yang kita jumpa sedari Hapuskanlah Air Matamu hinggalah Ombak Rindu. Rujuklah hal itu dengan filem in yang aku kira, "komersial" hanya berlaku dengan struktur latar cerita kasih Julio dengan Ligaya, runut bunyi ala Ennio Morricone dalam beberapa babak, serta beberapa syot fokus Ligaya yang eksotik tetapi tidak pernah erotik. Dan juga, babak-babak merendek, yang cukup padat dan tidak perlu berjela-jela tetapi cukup membawa erti dan seterusnya imbangan kandungan untuk menggerakkan perkembangan plot dan perwatakan.

Dan filem ini meletup di Filipina.

Bandingkan hal ini dengan Malaysia, contohnya bagaimana filem percubaan yang baik macam Kami boleh lingkup di panggung (era 80-an). Sampai seorang pengkritik terkemuka zaman itu boleh mengulas mengapa filem itu lemah, arwah Hamzah Hussain kerana "Sudirman yang kita kenal ceria dan superstar melakonkan watak yang miskin dan gelap, tidak sesuai dengan namanya". HELLO? Kau fahamkah melakon "against typecast"? Itulah taraf pemikiran kritikan filem kita pada masa itu.

Dan hal itu tidak berlaku dengan wayang Filipina setakat itu.

Aku sudah menonton tiga filem Lino Brocka setakat ini, kesemuanya atas kebaikan Youtube. Dua filem lain ialah Insiang (1976) dan Fight For Us (1989). Aku sebenarnya terkesan dengan Insiang dan bagi aku, merupakan filem yang lebih berestetika tinggi dan mencapai keunggulan pengarahnya jika dibandingkan dengan filem ini, tetapi filem ini mempunyai suatu "emosi" dan imejan yang aku rasa membuka pintu wayang Filipina yang perlu bagi sesiapa yang mahu mengenal sejauh mana filem Filipina boleh pergi.

Tonton sahaja awal kredit apabila latar Manila (mungkin jalan lama) yang hitam putih, tanpa suara, yang mula "bersuara" satu per satu dengan deringan dan bunyi kereta dan akhirnya bising dan berhabuk dan Manila yang hidup dengan busuk dan haba. Warna datang, dan kota jadi terang dan bersuara hiruk lalu tiba-tiba seorang individu difokuskan, Julio (lakonan hebat dan berkuasa Bembol Roco).

Ah indah dengan gaya yang begitu mudah! Bahagian ini sahaja, bukan sahaja cara dramatik Brocka membuka "pentas" dramanya (ini akan menyakitkan, katanya, lihat mana "kuku"nya, Ah ya, sinar itu kuku yang menyakitkan! Siang atau malam!) tetapi menghubungkan makna kota Manila itu sendiri sebagai watak sebenar yang patut diambil penting oleh penonton. Kota ini, protagonis sebenar (yang seakan-akan bercerita dengan gerak dan bising isinya) yang "memilih" untuk memandang Julio, menyerangnya, menjadi sang voyeur yang mana menyatakan: "Ini mangsaku yang seterusnya." Gaya ini sungguh estetik sekali gus neo-realis, kedua-duanya berjaya diangkat, disebatikan dan dicurahkan kepada penonton.

Kita lihat sahaja latar pada filem (ini penting untuk memahami perbezaan emosi filem dengan kaitan makna lokasi dengan perangkap kota itu terhadap manusianya) ini bilamana kita lihat terdapat tanah kosong dan bangunan sedang dibangunkan, habuk yang paling habuk. Ini "ketandusan" kota ini, "memakan" diri yang paling primal (pada tahap ini juga disampaikan makna kapitalis-sosial yang amat memikat dengan konflik politik dan hak kemanusiaannya!) yang mana juga disampaikan tanah penuh wanita "menjual" (ah, ingat ini, ada wanita menjual barang dengan garang, ada pula para wanita di balik rumah-rumah dan kedai-kedai yang kita tak nampak, menjual diri), semuanya dalam kegelapan dan cahaya mentol. Kemudian ada bahagian taman sewaktu Julio dalam keadaan paling daif (dibuang kerja, matlamat mencari kekasih sudah terbantut) seakan menjawab persoalan "ubat" kepada mangsanya (lihat dengan licik pembikin menafikan fungsi gereja!). Kemudian kita dilihatkan dengan kotak-kotak dalaman, rumah, bilik tidur dan bilik melacur. Semuanya berwarna dan menjemput rakus celaka kota ini.

Filem ini jika diteliti akan didapati bergerak secara episodik seakan satu pengembaraan Odisi Julio mencapai "matlamat" (menyelamatkan kekasihnya), ini tujuan romantis (melodrama) yang murni, berapa jauh Julio boleh "terkawal suci" kita tanya (sekali lagi unsur kampung suci dan bandar kotor dimainkan sepertimana filem Melayu). Malah ada beberapa babak dan tragedi menunjukkan Julio yang mula menunjukkan "keganasan" mula "korup" dengan dosa-dosa yang kota ini hidangkan, khusus secara moral dunia pelacuran lelaki yang dimasuki Julio (Brocka seorang homoseksual, dan amat mengejutkan filem Filipina agak berani mengutarakan tema ini jika dibandingkan dengan sifat konvensional Hollywood era itu, walaupun deskripsi orang-orang ini dalam dasar negatif). Maka Julio jadi "gelap" dan ini sepatutnya "mendekatkan" dirinya dengan matlamatnya (yang sudah diberi klu sudah melintas kegelapan). Gelap ini merupakan unsur terkuat filem ini, walaupun terdapat perlakuan jenayah dan dosa pada siang hari (pelacuran).

Gelap juga merupakan ruang Julio "berubah" atau melalui pergerakan cerita (nasibnya berubah bila bertemu pelacur lelaki pada waktu malam, contohnya). Julio membeli "pencungkil" di "Pasar Malam", melacur pada waktu malam dan akhirnya, apabila ketemu Ligaya di gereja (yang terang, ah sekali lagi, agama tidak boleh menyelesaikan masalah mereka dan aku rasa penulis filem ini memang sosialis), melepaskan kasih dan cinta di pawagam dalam kegelapan. Babak wayang panggung ini penting (filem yang mereka ingin tonton ialah King of Kings, yakni filem agama, ah! Wayang AGAMA baharu yang menyelesaikan masalah dan derita isi kota! Gereja tidak berjaya lagi!) kerana di ruang ini bukan sahaja kita dipaparkan "hajat" Julio tercapai (dapat memeluk Ligaya akhirnya) tetapi betapa "terperangkap"nya manusia dalam kota yang sesak ini. Itupun ada "cahaya" yang mengacau intimasi mereka. Kota ini "dengki" yang tidak sudah. Dan Julio tidak pernah serik-serik (meninggalkan Manila, bayangkan filem kita yang selalunya wataknya senang balik ke kampung atau berakhir ke kampung, selalu mempunyai pengertian yang optimis kerana mungkin aqidah kita) kerana pergantungannya untuk bersama dengan Ligaya.

Ini sebuah filem yang hidup dan kelam dalam kebisingan dan penggambaran yang kasarnya. Runut bunyinya pun indah, dengan kekuatan lakonan realisme yang amat kuat jika dibandingkan dengan drama soap mereka. Malah pelbagai unsur sosial dan humanis dapat disampaikan dengan terang dan akhirnya mencapai suatu puitis yang agak susah tercapai oleh mana-mana filem berkenaan kota yang mencengkam. Akhirnya pun menjawab persoalan awal filem yang "sepi", dengan pemberian cahaya sinar, wajah Ligaya (Syurga Abadi) dan laut luas. Akhirnya Brocka memberi sedikit nafas dalam kehadiran tragedi yang amat menakutkan, suatu eskapis yang menjawab persoalan dalm babak panggung wayang tadi.

Ini sebuah adikarya yang besar dan mengejutkan.

10 January 2013

Juvana(2013): Manusiawi Tersasar



Semuanya macam menunggu seperti sebuah filem yang akan menggegarkan jiwa dan emosi.

Filem ini langunsangan kesinambungan drama siri Juvana yang amat terkenal dan dikenali, serta diiktiraf. Kisah beremosi dan bijak dalam ikatan semangat berontak anak muda ini telah menyentuh beribu para penonton Malaysia waktu ini.

Tindakan Filmscape, ibu syarikat pembikin Kabir Bhatia dan Mira Mustafa ini (penerbit yang cemerlang membawa perubahan penonton TV kita menemui isi-isi bermutu) setentunya satu pilihan yang ditunggu-tunggu peminat. 

Para pelakon mudanya yang berwibawa, mendapat pujian pengkritik serta peminat baharu, melancarkan kerjaya mereka dalam bidang ini, dan kehadiran mereka "yang disayangi" ini kerana watak-perwatakan bulat dan memang menjadi sesuatu yang diperkatakan.

Kemudian kita ada Alfie Palermo, antara penulis skrip muda yang aku kagumi sedari drama siri Tower 13 yang pernah disiarkan di TV3. Penulis ini kenal dengan cerita, watak dan bahasa filemnya, bijak dan selalu memberikan suatu imejan dan imbuhan latar yang segar buat aku. Di sini, dia kembali meneruskan penulisan filem ini.

Kita juga ada Faisal Ishak, antara anak didik Kabir, yang mana sudah teruji kekuatan pengarahannya dalam drama siri Juvana ini. Dia bertindak sebagai pengarah filem ini, melangsungkan suatu "perkahwinan" pembikinan yang memang amat ditunggu-tunggu.

Jadi mengapa selepas selesai menontonnya, mulut aku berkumat-kamit meleter dalam diam dan masih menggeleng-geleng kepala?

Aku sampaikan sebuah babak dalam filem ini. Babak itu memaparkan sekujur manusia atas katil pesakit. Seorang jururawat cantik menghampirinya. Dengan selamba (tanpa reaksi natural seorang jururawat) dia memerhati dan memerika pesakit itu, dan jelas pesakit itu sudah mati. Wajahnya tetap biasa, tanpa apa-apa kejutan, menyedari pesakit itu sudah mati. Mulut aku terlopong.

Babak itu sahaja terlalu absurd, seakan-akan komedi yang menyakitkan di tengah-tengah cerita yang serius.

Aku dapat tahu, filem ini diminta untuk melalui penggambaran 17 hari. Adakah ini masalahnya? Bagaimana pula dengan perancangan? Tidakkah sang pengarah diberi peluang untuk melakukan beberapa rakaman (take)? Lihat sahaja babak awal pembuka filem ini, satu penanda apabila para juvana Wira Bakti dibawa masuk ke dalam lori. Lori bergerak. Mereka bercakap dan kerana suaranya begitu tidak jelas, kita tergamam, kemudian, seakan-akan sesuatu berlaku kerana para juvana dalam lori itu seakan terpinga-pinga, bunyi brek tiba-tiba dan seakan-akan sesuatu yang terlanggar. Babak sambungan memaparkan tayar lori itu "pancit" rupanya. Babak mudah itu sahaja tidak memberi aku keyakinan.

Filem ini bergerak daripada sambungan kisah Daim (Zahiril Adzim) yang bebas dan ingin memulakan hidup baharu di sebuah sekolah menengah, dalam dua bulan lagi akan mengambil SPM. Konflik ditimbulkan, seperti biasa apabila ada budak kaki buli (yang kononnya berlagak kacak) memilih Daim sebagai "mangsa", lebih-lebih lagi Daim kelihatan intim dengan seorang budak pandai, Sara. Daim selalu mengusung sebuah novel Alexandre Dumas, The Count of Monte Cristo. Ah, ini bukan calang-calang rujukan, juga kemungkinan klu mengapa filem ini dibikin. Bukan sahaja kisah novel Perancis itu berkenaan seorang banduan yang bebas dari penjara menghadapi hidup baharu, tetapi bagaimana dengan romantisnya dia mengambil pilihan membalas dendam atas kebebasannya yang diragut, dengan suara berontak untuk mencetuskan jihad terhadap tokoh dan sistem yang menzaliminya. Dalam perjalanan itu, dia menjumpai keindahan yang lebih bermakna, kemanusiaan.

Hal ini sahaja sudah tentu membuat kita kagum, dan sememangnya, ada motif-motif tertentu dalam filem ini yang menimbulkan semangat itu. Begini, drama siri ini dipandang mulia kerana mainan analogi ini, yakni generasi muda yang selalu disalah erti (dan di sini memang dikondem) lantas belajar tentang "hidup" dalam pelbagai nilai dan nafasnya, paling jelas adalah kuasa politik dan humanisme. Sifat sistem "juvana" itu sendiri satu metafora untuk "cengkaman daripada kebebasan" terhadap anak-anak muda itu (secara fizikal dan rohani). Semua ini menjadikan drama siri itu menarik dalam genre penjara. Dan kesinambungan ini melihat kembali titik-titik itu, dan di sini diperlihatkan lagi dengan kecaman "fasis" terhadap innocent. Ada suatu yang menarik apabila para juvana Wira Bakti bertukar sekolah pemulihan. "Perubahan" itu sendiri seakan menandakan "perubahan regim" yakni ura-ura yang akan berlaku datang PRU kali ini. Ah, suatu kiasan yang menarik, tetapi bolehkah filem ini membawanya?

"Perubahan" ini juga ditujukan kepada sifat optimis (dan begitus manusiawi) bahawa walaupun manusia boleh berubah jadi "jahat", yang jahat itu juga boleh berubah menjadi "baik". Unsur "taubat" merupakan kekuatan dalam agama Islam dan hal ini diaplikasikan. Realiti "taubat" ini menarik dengan memaparkan watak Daim yang sudah keluar itu mendepani realiti masyarakat yang hanya melihat "hitam putih" dunia. Ini suatu mesej sosial yang meyakinkan.

Para pelakon mencuba dan bagi aku, agak seronok melihat lakonan mereka, terutamanya Johan Ashaari dan Syazwan Zulkifli. Yang lain juga menimbulkan mood realisme dan jujur dalam watak mereka. Aku sedikit kurang gemar dengan lakonan psiko Sharnaaz yang bagi aku terlalu terbawa-bawa, langsung kelihatan karikatur daripada menakutkan (seakan-akan filem ini menjadi filem Tamil).

Rasa, suara dan imejan, aduh, begitu 70-an, mengapa? Semacam para pembikin menggunakan pita-pita seluloid lama simpanan Sabah Films. Ada babak-babak begitu malas malah kelihatan syot panjang tanpa gerakan sudut pandangan, begitulah sahaja cara pengarahnya menggerakkan latar dan cerita apabila watak-watak "keluar" dan "masuk" daripada bingkai (frame) gambar yang disyot, hal ini menjengkelkan (ada satu syot sudut pandang Tuhan yang memaparkan sekolah dan kemudian surau dan kita dapat dengar suara orang bercakap. Babak ini amat menyakitkan dan dingin, tidak adil buat penonton) apabila terus-menerus digunakan hingga akhir. Gaya ini menggerutu dan lelah. Hal ini dirosakkan lagi dengan tata bunyi yang paling buruk berlaku dalam filem Malaysia tahun ini. Ada beberapa babak aku semacam berpayah ingin mendengar ngomelan para pelakon, dengan feel syot "real" semacam Heaven's Gate(1980)! Adakah kerana awal-awal penggambaran melalui masalah teknikal? Atau memang panggung rosak sistem suara? Ini satu masalah yang sebenarnya sangat membahayakan.

Sebenarnya, hal itu (tak dengar) tidak ada masalah, jika imejan yang ditayangkan sudah begitu kuat dalam perwayangan (sinematik). Inilah masalah paling besar filem ini. Aku tidak menonton wayang (sinema) yang sepatutnya, aku menonton "talking heads" dan drama siri yang diperpanjangkan. Tidak ada objektifikasi imejan yang boleh kita pegang sebagai penanda membawa filem ini (pengarah cuba dalam langit dan jaring-jaring jel/pagar/kandang tetapi imejan ini terlalu tidak diambil peduli untuk dilihat sebagai penting), menjadi "suara hidup" layar. Bunohan contohnya, bukan sahaja mendapat kekuatan objek layar dan gelanggang muay thai, tetapi latar kampung itu semacam "watak" yang tersendiri. Filem ini sepatutnya "menghidupkan" latar sekolah itu sendiri sebagai "watak kedua", tetapi hal itu tidak berlaku.

Kemudian, cakap-cakap-cakap. Fine. Aku tiada masalah jika ia dibikin dengan dramatik tertentu. Aku tahu, filem ini sebuah melodrama dalam perangkap genre penjara. Ada beberapa filem cakap-cakap-cakap yang baik, My Film with Andre(1981) dan 12 Angry Men (1957) merupakan contoh tertentu. Tetapi filem itu "memahami" bukan sahaja kerana diadaptasi daripada drama teater. Filem ini dasarnya dibawa daripada drama siri. Adalah baik jika pengarah dan penulis skrip "meninggalkan" gaya dan sentuhan episodik bersiri dan mengambil kefahaman yang mendalam dalam memahami tempoh, latar, objek dan perlakuan untuk menggerakkan cerita. Ini wayang, bukan lagi televisyen. Bagi aku, Kami sebuah filem contoh yang berjaya membebaskan dirinya daripada bersangkutan dengan drama sirinya, punya inuendo dan gaya tertentu yang menyebabkan kita menyedari kita menonton sebuah "filem", dan ia berdiri dengan sendiri.

Pun begitu, aku puji juga Alfie dan Faisal kerana memberi beberapa adegan kagum yang berlaku dalam sejarah filem kita. Yeap, aku menangis. Babak paling meyakinkan berlaku dengan seorang watak mendepani al-Quran lalu menyatakan "Allah terima tak aku apabila aku tidak boleh membaca al-Quran". Babak tu memang babak meremang bulu. Kemudian terdapat beberapa babak sebab-akibat yang menarik, yang memerlukan suatu keyakinan simpati yang kuat, berlaku selepas satu watak dicederakan. Walaupun gayanya melodramatik, sifat sarwajagat manusiawinya amat dirasai, dan berjaya menyentuh. Aku juga suka perkara-perkara kecil yang dibuat pengarah yang berkenaan dengan "kebocoran dalam sistem mengawal", menunjukkan bahawa sang juvana boleh sahaja lepas lari (escape) dari sistem yang menzalimi mereka, tetapi mereka mengambil tindakan yang lebih matang dan duduk dalam sistem tersebut. Sifat ini sahaja suatu iktiraf positif tentang suara dan sifat anak muda kita yang sebetulnya matang dan menyedari hakikat realiti hidup yang mencabar. Ini hal-hal kecil yang aku puji.  

Ada beberapa babak, sekali lagi menunjukkan kareografi aksi kita masih lemah, mungkin juga kerana kepondanan LPF kita memberi keyakinan pembikinnya untuk menunjukkan apa yang mereka rasa perlu. Ya, aku dapat bayangkan babak-babak itu lebih menjadi jika ia ditunjukkan bukan disamarkan. Ini buat aku kesalahan LPF kita, bukan para pembikin.

Runut bunyi filem ini hancur dan bercelaru. Hanya diselamatkan setiap kali lagu tema drama siri ini berkumandang pada awal dan akhir kredit.

Filem ini memang banyak pincangnya, dan masih tidak mahu keluar daripada kepompong selamatnya berkenaan "ini sebuah sambungan drama bersiri". Tetapi aku yakin para peminatnya yang berjuta akan puas dengannya, dan setentunya filem ini dibikin untuk itu, memuaskan dahaga para peminat tegarnya melihat kembali Daim, Botak, Apek, Ayam, Kicap dan banyak lagi beraksi di layar.

Klasifikasi Juvana: P13, Beberapa babak ganas mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI Cathay Cineleisure The Curve. [AKAN DITAYANG 24 JANUARI 2013]