Showing posts with label Pierre Andre. Show all posts
Showing posts with label Pierre Andre. Show all posts

20 August 2014

Jin(2014): Pierre Andre Seterusnya

Harga tiket yang tinggi sekarang masih terus mengecam tarikan penonton untuk menonton filem Melayu. Kita amat susah untuk belajar daripada peristiwa lampau. Dalam kemelut dan "kiamat kecil" terhadap industri perfileman kita, adakah kita masih berpeluk tubuh dan menyatakan, "Ini pun akan berlalu suatu hari nanti."

Datanglah Jin, suatu lagi percubaan seram daripada pencipta seram Jangan Pandang Belakang, Seru, dan Highland Towers, Pierre Andre. Apa lagi perkara yang baharu, inovatif, dan kreatif yang dapat disampaikan oleh putera seram ini dalam tema hantu-Melayu-Islam yang hanya dapat berlegar dalam tiga ruang ini sahaja (?): kena sampuk-kena sihir-hal saka.

Pedulikah kita?

Jin masih lagi mengulang hal yang sama, dengan debaran yang sama, dan cara takut yang sama, dengan banyak meminjam beberapa filem seram baik, gerakan kamera dalam filem Argento (menguakkan mood voyeur, tapi apa maksudnya dalam filem ini? Siapa yang melihat? Jin?), labah-labah Fulci, dan, tema main nyorok-nyorok dan rasuk ala The Conjuring James Wan. Untuk meningkatkan lagi segala "ilmu" hafalan pengarah itu, dia memasukkan pula (sekali lagi) seorang ustaz, kali ini, Imam Muda Naufal yang sungguhlah kacaknya sebagai tarikan utama (kau ingat Zul Ariffin sahaja yang seksi dalam filem ini?) untuk berseters dengan hantu.

Satu jam awal filem ini bergerak statik, tanpa apa-apa yang berlaku, melantun hal-hal "things that bump in the night" sebagai prakata sebelum plot sebenar berlaku dengan kehadiran Imam Muda Naufal dengan pembuangan hantu ala Islam tulen (yang kita dapat tonton ditayangkan di TV3 atau dalam youtube). Gaya yang digunakan menarik (bagi penonton luar yang kononnya ingin melihat realiti ritual exorcist dalam Islam), yakni menyampaikan cara pembersihan itu ala dokumentari (ya, dengan kamera goyang segala). Namun begitu, dengan hal ini juga masih menampilkan sebuah cerita yang amat mudah tanpa perangkap dan debaran yang tulen. Apakah konklusi yang kita dapatkan, setelah Imam Muda berjaya (seperti biasa) akhirnya melakukan pembersihan? Dibukalah, sekali lagi, analogi ini: Malaysia yang progresif material dan kelas (berpindah ke rumah besar) memperalatkan agama sebagai mekanisme untuk terus bergerak maju dalam maksud kapitalisme bebas. Sekali lagi, kisah "mitos" KLIA diulang, yakni tempat yang keras (ada banyak jin) perlu dihalau dan kemudian diperdindingkan dengan ritual agama agar manusia dapat hidup aman sentosa dan terus marak maju dengan pembangunan negara. Agama hanyalah alat (dalam filem seram kita) sekular untuk mengimbangi ketidaksiuman kita menghadapi kekayaan dan kemajuan melimpah. Agama menjadi dadah konsumerisme sekarang. Ringkas, mudah, dan selapis.

Skrip juga tidak membantu, sekurang-kurangnya memberi perungkaian yang sedikit menyeronokkan, memberi latar sejarah atau riwayat terhadap Zul Ariffin dan Mon Ryanti yang jelas-jelas boleh berlakon (kenapa mereka memilih tempat itu, kenapa membelinya, kenapa berpindah?). Plot filem hanya menjunam seperti jet turun ke landasan, selamba dan bosan. Namun memang terdapat momen seram yang menarik, dan kejutan yang menakutkan (namun tipikal untuk penonton seram biasa), khususnya pada bahagian Mon Ryanti ditinggalkan seorang. Terdapat juga babak wajah Mon yang agak menakutkan, mengimbaukan wajah "jin", namun aku punya kerisauan jika penonton Barat yang menontonnya, akan menyamakan wajah itu dengan karikatur The Scream Edvard Munch. Hal ini menarik sebenarnya, tapi, alas, kita tidak dapat pelajari dengan lebih mendalam tentang watak Mon Ryanti daripada skrip untuk mengiakan visual The Scream ini dihuraikan.

Pada bahagian tertentu, runut bunyinya menjengkelkan, pada bahagian tertentu pula, ruang runut bunyi ini baik dalam sisi gendang dan efek khas burung layang-layang dalam guanya.

Formula yang sama dan menjengkelkan kadang-kadang, lembap, terasa panjang untuk sesuatu "berlaku", namun mempunyai momen yang tersendiri tetapi tidak dapat menyelamatkan keseluruhan cerita. Suatu lagi yang menjengkelkan bagi aku ialah penggunaan teks Quran di hadapan filem, dan kali ini, penggunaan Iblis si Jin yang tidak mahu tunduk kepada Adam. OK, sudah. Teks Quran itu sendiri besar gagasannya, bermaksud lebih luas untuk dihurai dan ditekuni (tidak mungkin Jin/Syaitan dalam filem ini hanya mencubit orang, membuka pintu, memasang TV, dan merasuk untuk menghancurkan umat manusia?!), tetapi mensisipkannya pada awal filem ini menambahkan kesombongan filem ini sedangkan ceritanya mudah. Mungkin ini suatu petanda, penulis skrip kita bukan sahaja perlu berhati-hati selepas ini, tetapi mencari kesatuan maksud dan teks yang lebih padu dan menyelirat daripada penggayaan struktur yang sama dan tidak menjanjikan apa-apa.

Klasifikasi: P-13, beberapa babak seram yang mungkin tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak. 
MENONTON DI GSC Pavilion.  

29 April 2014

Sniper(2014): Syot Tembak


"Kau nak jadi merpati atau kau nak mati macam babi?" - Pembunuh

Pierre nampaknya sedang mula memberi beberapa landasan dan percubaan baharu yang sedikit segar. Memang ngeri dan aksi bukan forte Malaysia. Namun dalam filem kecil dengan cubaan beberapa para pelakon (ingat bagaimana Syafiq Yusof melakukannya?) Pierre mula membentuk suara yang menarik. Mungkin filem ini ada kebosanan serta beberapa logika tertentu yang perlu dibaiki, namun premis keseluruhannya menarik.

Aku teringat filem Phone Booth, Scream, The Game dan Saw, bilamana kita bayangkan diri kita dipaksa masuk ke dalam satu mainan yang kita tidak mahu. Kita bangun, tiba-tiba dalam satu pemandangan asing, terasing. Kita celaru sebentar. Telefon bimbit berdering (kita punya? Persoalan inilah yang bikin filem ini disoal jika telefon itu kita punya, kenapa kita tak hubungi polis terus?), kita angkat. Suatu suara memaksa kita main dengan "menjadi pembunuh", "Nyawa kau atau nyawa mereka," kata si pemanggil. Apa yang akan kita lakukan?

Filem ini bergerak dalam satu percubaan mencipta keadaan latar yang celaru. Apa-apa dapat menjadi kemungkinan, pembunuhan boleh berlaku bila-bila terhadap si pemain/mangsa kerana mata pemangsa yang memanggil itu tidak kelihatan, mangsanya terasa terkapai-kapai. Integriti dan pendirian mereka dipersoal, diuji, dipermainkan. Dalam keadaan itu, adakah kita akan berjalan pergi dan melihat perkara itu palsu, atau betul-betul bermain dengan mainan "hidup mati" itu?

Mungkin penonton yang menonton akan kata filem ini ialah filem gaya melebihi isi (dan sememangnya pun), tapi lihat coraknya: pemangsa yang halimunan memilih mangsa tertentu - selalunya pemuda yang kelihatan berjaya dalam hidup dan mewah dalam material. Aku tidak dapat menyatakan siapa pembunuhnya, tapi dengan jelas suatu penentangan kelas (kelas mewah/berjaya dalam hidup fizikal/material) antara berjaya dalam masyarakat dengan tidak. Kemudian, latar flat perkeliling sengaja dipilih sebagai latar jiwa pembunuh (terlalu sedar), walaupun ini naif, namun ia menyampaikan kritikan: Pierre sedang bertanya jika mangsa-mangsa berkerjaya baik ini, adakah jiwa mereka juga dipenuhi kemewahan atau buruk dan sekosong ruang flat Perkeliling itu? Strategi pemilihan ini bukan sahaja baik buat Pierre kerana ruang ini akan dirobohkan, tapi maksud ruang yang akan dirobohkan itu sendiri menampilkan jeritan Pierre terhadap kekosongan jiwa masyarakat urban sekarang, perit hidup, dan kehilangan arah tuju anak Melayu. Seorang mangsa dengan jelas, dalam cabaran hidup tetapi mewah, dia sanggup berselingkuh. Entah berapa lagi yang hilang pedoman dan terperangkap dalam neon indah bandar dan materialnya.

Namun di sinilah masalah filem Pierre ini, hanya jikalaulah kita dapatkan lagi kedalaman perwatakan, lebih-lebih lagi dalam perjalanan "rohaniah" dan emosi Fadlan Hazim, mangsa utama si pembunuh agar dia tersiksa (kerana tidak ada sisi yang mengapa dia diuji dalam mainan ini kecuali satu maksud berkenaan dia sebagai seorang jaguh sukan penembak negara, dan hal ini akan membuka spoiler kalau aku bagitau) secara batiniah, kita hanya lihat percubaan gangguan emosi terhadap Fadlan yang sehala dan selapis, Pierre tidak minat untuk pergi lebih dalam seperti mana Collin Farrel disiksa dalam Phone Booth.

Rata-rata, walaupun baharu, Fadlan Hazim menunjukkan kemampuan yang positif, lebih-lebih lagi pada babak pertengahan, walaupun pada babak-babak awal Fadlan dan aweknya, Nina Iskandar begitu kaku. Fadlan tampak boleh menjadi sesuatu dalam dunia wayang jika dibimbing dengan baik. Iyelah, sampaikan babak-babak dia berjoging tanpa baju, minah sebelah tempat duduk aku dengan selamba, walaupun balaknya ada di sebelah memanculkan kata-kata: "Eh cantiknya mamat ni, siapa eh?" Namun kehadiran Pablo Amirul lebih membuka sesuatu walaupun Pablo tidak ada satu dialog pun, kehadiran dan cengkaman terhadap tanahnya benar-benar membawa ketegangan penonton. Mikael Andre, memang agak menarik.

Syot hutan dan kawasan usang diambil dengan menarik, walaupun terdapat beberapa babak gelap dan samar. Beberapa babak membangunkan sikap voyeur yang sememangnya merupakan tujuan pembunuh, yakni menyelami hidup mangsa/orang lain. Walaupun percubaan ini menarik namun kalaulah Pierre mempunyai maksud dalam hal ini, ia akan menjadi menarik, selain daripada persoalan takdir dan pilihan yang dimainkan dalam filem ini. Ada percubaan dalam membawa satu metafora yang menarik: sang lelaki dengan senapang(!) mereka berlatarkan hutan banat - manusia kembali pada alam secara asasnya, jadi adakah mereka akan jadi manusia atau berubah jadi haiwan? (kalaulah Pierre berikan sedikit klu mengapa metafora ini disengaja masukkan). Runut bunyinya walaupun perlu ada pembaikian masih OKlah dalam peredaran kemajuan muzik MiG. Suara dubbing dan suara langsung yang ditangkap dengan bising mengacau penonton. Ada penonton yang merasakan babak-babak tengah sedikit bosan, ini mungkin kekurangan kuasa Pierre untuk memberikan selang-seli kejutan walaupun keadaan ini sebenarnya menyerupai percubaan rasa manusia-hutan-alam Joko Anwar dalam Modus Operandi.  Terdapat juga suntingan yang amat terjaga, dengan percubaan menjalinkan pembagai sudut pandangan yang menarik, namun kadang-kadang ada babak terasa panjang dan boleh dsunting dengan lebih kemas. 

Suatu filem ngeri biasa yang menghiburkan.


04 November 2013

3 Filem untuk Haloween 2013

Aku sengaja tak mahu mengulas Insidious Chapter 2 (2013) kerana tahu filem itu mahu tidak mahu akan aku tonton dan suka. Yeap, filemnya bagus tapi dengan meletupnya The Conjuring, aku tak rasa filem sekuel James Wan ini tidak akan tidak diketahui orang. Tahun ini juga nampaknya untuk penonton menunggu bisem Carrie, namun ada tiga filem seram daripada latar belakang berbeza yang mungkin menarik untuk diteliti Haloween tahun ini:

Odd Thomas (2013)
Filem bebas bikinan anak emas Disney pada zaman dahulu dan perosak (ada yang kata pembina semula) empayar filem seram klasik Universal, Stephen Sommers tetap bersahaja dan sikap bermain-mainnya dengan kekuatan gerak kamera dan perkembangan para wataknya mengadaptasi sebuah novel Dean Koontz yang tidak terkenal namun memberikan suatu perjalanan fantasi yang menghiburkan seangkatan dengan kegelapan yang pernah dibawa oleh Peter Jackson dalam The Frighteners (namun filem Peter itu sebelum LOTR ialah sebuah klasik!). Mainan filem Ghost (ada sebuah dialog yang sengaja memberi rujukan terhadap Sixth Sense: "I see dead people, but then by God I'm doing something about it!") dengan sikap fiksyen sains mengejar masa dan si detektif hantu (teringat Nazri M. Annuar tiba-tiba) memberikan suatu kisah masam manis hidup yang just sweet. Walaupun Koontz bukan King, namun jelas Koontz tahu bila mahu mengindahkan suatu yang klise dan pernah dibuat, dan Sommers dengan jayanya menyampaikan maksud pekan kecil kelolaan si lelaki Odd Thomas (lakonan sangat menyentuh Anton Yelchin) yang pelik pada yang tidak memahami namun menakjubkan buat mereka yang mengenali. Ada plot berkenaan nak kiamat yang didalangi kumpulan penyembah setan yang menarik. Suatu perjalanan kisah pari-pari gelap yang menarik dan ditulis dengan cantik. Ya, sesuai untuk mat bunga yang suka hantu.

Rigor Mortis (2013)
Filem arahan artis muzik Juno Mak ini mungkin tidak seram (namun aku percaya kawan-kawan Cina kita merasainya seram atas nama kepercayaan) namun ia dilemparkan dengan kanvas yang sungguh cantik dan wajah berirama. Menarik lagi ialah jika kau dapat peluang membaca sari kata bahasa Melayu yang tunggang langgang namun sebenarnya merupakan terjemahan literal Kantonis yang diutarakan untuk memahami kenapa babak-babak tampak serius ini sebenarnya kelakar dan cukup menyampaikan homaj indah terhadap hantu lompat-lompat yang kita kenali dalam filem seram (komedi) Hong Kong (macam yang klasik Mr. Vampire itu). 

Mungkin orang tidak peduli hal ini namun ini sebuah filem seram "mesti tonton" hanya untuk melihat bagaimana Mak mengambil ekspresionis yang kita fahami dalam Nosferatu dan Vampyr lalu menciptakan sesuatu yang begitu cantik dalam kefahaman hantu "bangun" paling ditakuti (kerana dibangunkan kerana ilmu hitam) dalam budaya dan kepercayaan Cina, malah lebih ganas lagi dengan maksud-maksud dahulu yang tidak dapat disampaikan atas sebab LPF Hong Kong zaman dahulu macam celaka kini dapat direalisasikan dengan begatu grafik. Banyak ketahyulan dan dunia surreal dimainkan (memasuki alam-alam ghaib ini antara yang terbaik, yang memang kadang-kadang penonton Barat sahaja yang tersesat kerana terlalu mengikut tauhid rasionalis mereka) serta drama kekeluargaan yang melodrama dan menyentuh namun tidak selalu berjaya kerana desakan cerita yang terlalu menakjubkan dan beberapa plot lubang dan babak janggal (watak yang tiba-tiba muncul entah dari mana dan bertanya soalan-soalan bodoh). 

Namun filem ini ditonton bukan untuk dicari kesalahannya namun apa yang dicari ialah desakan mewarnai imaginasi imej dengan rentak kung fu dan hantu yang menyesak. Chin Siu-ho agak pelik (dan kadang-kadang meloyakan) dalam gerakan lakonannya, namun filem ini benar-benar hidup dengan kehebatan Anthony Chan Yau, sang Taois yang sudah berubah sebagai pemasak pangsapuri lama di Hong Kong. Tengok dengan teliti, ini mesin mainan Mak menciptakan sebuah "dunia filem" yang dilupakan, diisi oleh orang-orang lama yang menunggu mati (atau belum bersedia hendak mati), suatu memori lama "Hong Kong" aspirasi anak Cina (dan juga representasi filem Hong Kong zaman itu) era 80-an yang kini sudah lama dimakan kemodenan dan kuasa sentiasa ada tanah besar China (dan sofistikated orangnya sekarang). Namun di sinilah percubaan Mak untuk menyampaikan suatu yang besar berterabur, dan jelas suatu filem "gaya menangani kandungan", namun betapa indahnya gaya itu untuk dipedulikan.

Highland Tower (2013)
Ada suatu perbalahan aku dengan Ajami tentang filem ini. Walaupun aku setuju, filem ini tidaklah mencapai terror seperti Seru, namun ia sesuatu filem seram Malaysia tahun ini yang amat menarik, lebih-lebih lagi dengan percubaan produksi MiG dan Pierre menjual filem ini sebagai suatu "dokumentari" seperti mana percubaan yang berjaya dilakukan oleh Blair Witch Project. Pembayangan "realiti dalam fiksyen" ini amat dipuji.

Namun kepada penonton filem seram, tidak ada apa-apa yang baharu dengan genre "found footage" ini, namun ada penyimpangan. Filem ini mengingatkan aku kepada Apartment 143 (2011) dengan maksud mengapa filem Blair Witch Project dibuat. Apa yang lebih menarik lagi ialah keberanian Andre melakukan dua perkara:

1. Jika kita teliti sejarah filem seram MiG, sebelum Pontianak Harum Sundal Malam mengganggu kuasa pihak pemerintah, LPF berperangai iblis dengan memberikan arahan filem seram mesti dibayangkan sebagai suatu mimpi yang panjang. Masuklah filem Mistik (2003) arahan Razak Mohaideen terbitan filem seram David Teoh yang pertama, sebuah filem seram paling celaka dalam sejarah perfileman Malaysia. Plot filem ulangan klise itu (dan terus diguna oleh pembikin lain, kalau tidak percaya, rujuk Penunggu Istana dan Dilarang Masuk) mengisahkan sekumpulan remaja yang bodoh membawa kamera dan kelengkapan lalu masuk (sesat) ke dalam banglo di tengah hutan. Selepas itu entah apa-apa yang berlaku dan sang gadisnya tak habis-habis menjerit-menjerit dan menjerit kerana telah melihat anu paling besar di tengah hutan, lantas lari lintang pukang. 

Kini, hal yang sama berlaku namun Pierre memberi suatu rasional dan "doku" yang menarik: Mikail Andre dan Niezam Zaidi nak buat filem dokumentari dengan duit David Teoh.

2. Selain sebagai tempelak kepada kebodohan Mistik (dan mengatakan kepada David bagaimana plot ini boleh diguna pakai dengan cara yang lebih realistik lalu mengencing meja dekan Razak), filem ini juga sebuah filem tentang bikin filem: bagaimana nak buat filem dengan David Teo. Dan bagi aku, ini suatu kegeniusan Pierre. Filem ini tentang proses industri MiG (ada satu bahagian Niezam dengan jujur menyatakan MiG suatu produksi besar dalam negara: kita teringat Run Run Shaw dan Malay Film Productions) dengan kehadiran Azahari Zain "Aku selaku pengelola projek filem ini!" dan David (kita hanya nampak kelibatnya, tidak pernah suaranya!) yang menggerakkan "dari belakang" proses Mikail dan Niezam. Di sini Pierre melakukan suatu yang menarik. Kalau kau sedarlah: Mika dan Niezam, dua budak bijak (tak, bodoh, hahaha) anak Melayu yang berkobar nak buat filem DENGAN BAJET CIPUT dan MASA YANG PENDEK: mereka buat dokumentari (tanpa pelakon) ke suatu latar takyah keluar belanja! Wallah! Kau dapat sebuah filem! Genius! Aku tepuk tangan dan ketawa setiap gerak babak. Orang lain menjerit takut, aku ketawa terbahak. Klu untuk hal itu. Rujuk kat mana tempat si hantu tunjuk tempat "asal usul"nya, dan kau akan faham apa ke benda segala maksud filem ini dibikin.

Namun, sindiran sebagai selingan, filem ini mampu memberi babak-babak seram yang bagi aku efektif UNTUK sebuah filem MiG. Tidak ada runut bunyi Brian Ng langsung! Aku sujud syukur. David macam dah bertaubat. Ada babak yang hanya orang yang teliti yang akan sedar, sesuatu "berlingkar" tanpa ditunjukkan, suatu kualiti dalam filem-filem"dokumentari" begini yang kita akan ingat mengapa filem macam Blair Witch efektif suatu hari dahulu. Walaupun plot "ruang dimensi berlainan" filem ini lemah (rujuk filem Rec untuk suatu latar alamiah yang lebih kuat) namun penimbulan dan gerakan selamba para pelakonnya berjaya membawa suatu realisme yang jarang-jarang diperlihat. Sampai dalam panggung, banyak penonton termangu-mangu dalam ketakutan: "Ini betul, semua ni macam betul?"

Suatu kerja Pierre yang dapat dipuji, berani kerana menyentuh sebuah genre yang sudah mula tepu dan membosankan namun memberi kesegaran buat barisan filem MiG yang kita sudah sedia kenal bentuknya.

Selamat Haloween semua. Sama-samalah kita tunggu Carrie dan Penanggal.

15 March 2013

Cerita Kita(2013): Klise Sedap

Yana Samsudin tak boleh berlakon.

Maksud aku, Yana, kalau digandingkan dengan pelakon deep dan power macam Pekin Ibrahim, ya Tuhan, macam langit dengan bumi.

Kenapa Pierre dan David berani menggandingkan mereka berdua?

Serius, kau tonton filem ni dan kau tengok lakonan Feroz Khan - Pekin - Yana, serius tahap Pekin amat-amat jauh (baca: method acting/lakonan metod), mendalam, rasa, dan kena dengan "semangat indie" yang filem ini nak sampaikan. Tapi tengok saja suara tak kena Yana yang tiba-tiba "mengilai" dan kononnya bergerak "jujur/lurus", Ya Allah, menyakitkan.
 
Filem ini senang, mudah, malah klise, cuba-cuba MiG untuk bergerak "bebas" dengan kononnya semangat anak muda kita. Laki dah lama jumpa perempuan tapi tak berani cakap dia syok kat perempuan, sampailah seorang lelaki kacau perempuan tu. OK, aku terima jalan cerita filem ini dengan plot sederhananya jauh memintas mana-mana filem komedi MiG, tetapi sebagai suatu jaguh dengan filem-filem drama romantik lain, ia sederhana dan "comel" tapi tak dapat pergi jauh.
 
Sinematografinya sepatutnya membantu, walaupun latar dan petanda yang ada mencukupi. Lagunya? Tuhan, cukup-cukuplah Brian Ng meng"hong kong"kan filem "bebas" ini, yang hanya dibantu pada akhir dengan beberapa runut bunyi rock yang memberi mood betul.
 
Pierre suka sangat bikin filem fasal seorang loser. Pierre bercakap tentang hal-hal yang pernah aku "dengar" dan memberi suatu "kejutan" yang menjengkelkan berkenaan seorang "kenalan". Filem ini boleh pergi jauh lagi (rujuk Relationship Status) jika Pierre mahu dan bertungkus-lumus memberi sesuatu yang lain daripada "perhubungan", harapan dan cita-cita.
 
Klasifikasi Cerita Kita: U, Beberapa kata kesat  yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
 
DITONTON DI GSC Berjaya Times Square.

06 October 2011

Al-Hijab(2011): Apa yang dilindung, apa yang ditunjuk?

Aku masuk dengan semangat yang berkobar dan berdebar, menunggu dengan sabar apabila menatap filem terkini Pierre. Setelah Jangan Pandang Belakang, Jangan Tegur (yang teruk), dan kemudiannya Seru, aku betul-betul teruja untuk melihat silap mata Pierre yang seterusnya, yang aku yakin akan cuba membawa perbezaan untuk filem seram kita.

Betapa hampanya aku.

Filem dibuka, dengan menariknya (jika kita teliti dan bandingkan ketiga-tiga filem tulisan Pierre tersebut) berkenaan pasangan dalam perjalanan di dalam kereta, malam, sesat, dalam keadaan ketakutan. Kalau tidak silap aku, Seru juga dibuka begini (babak memandu dalam kereta), dan Jangan Pandang Belakang (walaupun dibuka dengan babak pembuangan saka) ada memberi satu babak memandu kereta yang panjang. Aku merasakan hal ini disengajakan oleh Pierre. Jalan dan waktu malam adalah "landasan seram" Pierre, sama ada membuka cerita ataupun bertujuan memberi penggayaan seramnya, secara prasedar kemungkinan menaruh syak terhadap sifat moralis kita yang kurang ajar di jalan raya (ada satu babak mimpi dalam filem ini, apabila Pierre telah melakukan "kesalahan", "dosa" itu dibayangi dalam mimpinya berbentuk mayat terkorban di tengah jalan). Apa-apa pun, terserlah, ini adalah tandatangan Pierre. Dan jika diteliti lagi, bila Pierre membuka filem dengan kereta dipandu di awal babak, ini adalah "mesin seram" Pierre.

Begini, semua filem seram dari segi struktur, terbahagi kepada dua. Pertama, seram dihadirkan daripada penceritaan yang kuat (The House on the Haunted Hill, Sixth Sense, The Others, Salem's Lot. Rosemary's Baby) untuk membawa impak seram kepada penonton. Kedua, filem yang dinamakan "mesin seram", filem yang lebih mengutamakan kesan khas dan teknik seram (detik-detik seram), yang kadangkala menyahkan plot (dan terlalu mementingkan persekitaran atau atmosfera seramnya), untuk membawa seram (yang kadangkala berbentuk eksperimen, ya, ini wujud sedari FW Murnau lagi) yang efektif, dan selalunya dibenci oleh pengkritik kotemporari kerana "kekurangan plot dan logik" (Prince of Darkness, Alien, Suspiria, The Shinning, Friday the 13th, Psycho, Zombie, Evil Dead, Jacob's Ladder, Hellraiser). Kadang-kadang, ada juga filem seram yang berjaya mengimbangi kedua-dua cerita dan gaya (dan ini jarang sekali berlaku, sepertimana Poltergeist, The Exorcist, Cat People, Henry: Potrait of A Serial Killer, The Thing, dan beberapa lagi).

Seru
adalah contoh tipikal "mesin seram" tersebut, yang selalunya "bergerak dari sebuah idea, lantas diteruskan".

Al-Hijab juga begitu. Aku kira, inilah signifikan babak awal si pasangan dalam kereta. Hujah aku ini beralasan apabila meneliti "plot" filem ini, serta beberapa "mainan idea" yang ada. Pertama, filem ini tidak ada plot, atau cerita yang berkembang, ia berlegar berkenaan seorang pelakon (Pierre Andre) yang menggunakan teknik "method acting" dengan melampau, dengan mengaktifkan pembukaan "hijab"nya untuk merasai "makna sebenar ditakutkan hantu". Ini adalah idea utama filem ini (baca: apakah rasanya untuk memerhati hantu sebenar jika benar ia wujud?).

Idea ini menarik, tetapi bodoh (sanggupkah seorang pelakon pergi sebegitu jauh semata-mata mendalami wataknya? Kenapa? Atas nama Seni?). Tetapi "kebodohan" ini menarik kerana ia berkaitan dengan pemahaman "kecil" manusia (khusus Melayu) yang tidak sanggup keluar dari pemikiran biasa mereka (inilah yang didedahkan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai terlalu terkongkong dengan tahyul sehingga meracuni minda). Juga, bagaimana "lalai"nya manusia yang tidak pernah dan tidak akan memahami akibatnya (ini sifat kemanusiaan). Ia juga ada kaitan dengan estetika (keindahan dalam seni itu, di sini, Pierre cuba membawa "seni" dalam seramnya). Ini dijustifikasi dengan babak awal filem ini yang sungguh mempesona dan menakutkan. Tiga unsur yang kelihatan jelas dalam babak awal ini. Pertama yang memerhati segala keajaiban/keseraman alam adalah lelaki (di sini, kita faham, filem seterusnya akan digerakkan oleh Pierre Andre, protagonis tunggal lelaki). Kedua, yang bodoh juga sang lelaki (si suami meninggalkan isterinya, si lelaki ramai-ramai mengikut suara, ini penanda Pierre Andre juga akan melakukan sesuatu yang bodoh untuk mempesona kepentingan dirinya). Ketiga, si mangsa dan pelaku (hantu/jin/makhluk halus) adalah wanita (persoalan menarik, mengapa semua hantu perlu disimbolkan kepada imej wanita: rambut mengurai panjang, berbuah dada, adakah ini tipikal neurosis pengarah lelaki yang takutkan tekanan dominan wanita terhadap mereka?).

Unsur ketiga ini agak menarik. Dalam babak awal ini, dipaparkan "benda" yang merasuk si tunang itu telah berdiri, menari. Pada masa sama, para lelaki melihat seorang "puteri" menari di tengah hutan dengan pakaian tradisional. Ada dua simbolisme yang kuat di sini, pertama kita melihat filem ini dari mata sang lelaki (patriach), kumpulan lelaki pada awal babak, dan kemudian Pierre Andre pada babak seterusnya. Lelaki mengidamkan kecantikan. Kecantikan dari segi simbol seks yang senang buat lelaki hetero ialah "wanita cantik". Inilah yang dicari/perhati oleh lelaki tersebut (dalam cerita Pierre, kita faham, kecantikan yang dimaknakan di sini ialah kesempurnaan lakonan, estetika lakonannya). Apa yang dibuat oleh "puteri" itu "menakutkan" serta "mengasyikkan". Dan selepas itu, menakutkan. Inilah kod-kod yang sudah dilampirkan untuk kita (sesuatu yang indah dan cantik juga bahaya: hantu/alam ghaib). Satu hal lagi, untuk menguatkan unsur si pelaku (hantu) hanya berkait dengan wanita, individu yang dirasuk dalam filem ini adalah seorang "wanita", dan "menari" seperti mana lembaga "puteri" itu menari di tengah hutan. Ia semacam satu "wayang kulit" di mana "puteri" itu menggerakkan tubuh si wanita yang dirasuk. Ini pemahaman yang kuat dan kontroversial: manusia juga digerakkan oleh mereka yang halus, manusia tidak boleh lari daripada digerakkan oleh sesuatu yang halus selain Allah.

Tiba-tiba, babak awal yang mengejutkan ini dipintas. Apa yang kita lihat sebelum itu rupa-rupanya adalah sedutan "skrip" yang akan diarahkan oleh Aziz M. Osman.

Di sini, filem ini merundum.

Apa yang kita dapat selepas itu? Hanya satu cerita yang dibina dengan sungguh perlahan, membina sedikit demi sedikit berkenaan motif dan "keperluan" Pierre Andre "melihat hantu". Lihat: kita ada tiga unsur di atas yang menyelubungi filem ini. Bodoh itu kita sudah ketahui dengan jelas, serta pelaku filem, walaupun hal ini absurd tanpa pemaknaan.

Bagaimana dengan pemerhatian? Kita sedar, apa yang kita tonton pada babak awal adalah "projeksi" pembacaan skrip tiga lelaki dalam rumah produksi (dan aura serta babak dibuat seakan dalam filem ala 80-an, sengaja untuk mengejek betapa tertinggalnya filem kita?). Poin di sini, kita nampak "ada hantu" dalam garapan projeksi ini. Masalah Pierre dalam "dunia realiti" ialah dia tidak dapat melihat hantu (dia tidak takut menonton filem seram, dipaparkan, Indonesia dan Thailand). Dalam satu babak di pangsapuri usang, dia melawat dan membuat rakaman. Kita (penonton) dapat "melihat" apa yang Pierre tidak dapat lihat. Ini persoalan yang merunsingkan. Apakah tujuan penonton sekarang bila "hantu" sudah dipaparkan buat kita? Apakah makna "hijab" buat kita? Kenapa kita diberi "cermin ketiga"? Jika tujuan "tidak menunjukkan" hantu adalah tujuan utama filem ini untuk "memerhati" (ghosts vouyeurism), kenapa kita sudah diberi "kelebihan" itu sebelum Pierre dalam "dunia realiti"? Apakah ini akan mengundang kebosanan?

Begitulah yang aku rasa tanpa apa-apa yang aku perlu tunggu lagi selepas itu. Hanya klise demi klise babak, walaupun dibuat dengan teliti. Malah petanda "indah" yang kita lihat begitu mencengkam dibuat pada awal babak jadi "samar tanpa makna" pada penceritaan watak Pierre. Ya, tiada "keindahan" yang dijumpai. Kemudian, ada sebuah babak "comic relief" yang panjang ala filem Tamil yang aku rasa sudah di luar konteks filem ini, walaupun ia amat menggelikan hati, ia tidak membawa apa-apa resonans terhadap keseluruhan cerita.

Ya, masalah demi masalah menimbun, walaupun beberapa babak "membuka hijab" agak menarik. Kemudian, aku ingat ada satu petanda "Bersih 2.0" yang menarik apabila Pierre sengaja memakai "kuning" (di sini, aku ingatkan, pemahaman pemerhatian hantu itu boleh dikaitkan dengan penglihatan hakikat politik kita, atau bagaimana sindiran Pierre bahawa "pembukaan" mata jadi lutsinar/ketelusan politik ini tidak memberi apa-apa keseronokan, tetapi menyakitkan) sebelum dibuka hijabnya. Tetapi hal ini hanya tergantung diawang-awangan tanpa apa-apa pemaknaan yang jelas (maknanya, kemeja kuning itu ada di situ untuk berada di situ dengan tidak sengaja). Ini satu lagi contoh ketandusan untuk filem ini pergi lebih jauh lagi.

Lakonan adalah tahap sederhana. Walaupun aku agak suka dengan lakonan veteran Maimon Muthalib. Ada satu runut bunyi synthesizer pada waktu senja si Pierre memandu ke rumah Maimon yang sungguh klasik bunyinya. Ini sahaja runut bunyi yang membanggakan dalam filem ini, yang lain agak mendatar dan hanya tahu memekik.

Kesan suara masih amatur dalam filem ini. Aku teringat Paranormal Activity yang lebih tahu menggunakan suara "dengung", serta bunyi "angin pus-pus" dalam filem seram komedi Hong Kong, The Occupant. Ujian Pierre agak tersasar dari segi ini.

Filem ini sebenarnya mengundang sesuatu yang menarik jika Pierre betul-betul mengeramnya dengan teliti dan tersusun. Alas, ia hanyalah sebuah mesin seram yang sangat mencuba, pernah dibikin, tetapi tersasar matlamatnya.

05 May 2011

Seru(2011): Redux & Showdown 2011


Semalam aku tonton lagi filem ini di pawagam, kali ni di GSC Mid Valley. Ha ha. Saje, sebab aku mahu meniti balik "perasaan" yang aku jumpa (serta meneliti pandangan Ridhwan Saidi bahawa filem ni suck), serta beberapa misteri yang aku mahu "buka". Ok, secara benar, filem ini memang boleh membuat korang pening, yang aku rasakan, memang, cara gerak kameranya "telah menyebabkan" hal ini (aku tak tahu jika [Rec] menyebabkan hal yang sama kerana aku hanya menontonnya dengan DVD). Kawan yang aku bawa banyak kali membingit kerana pening dan mahu muntah. Ya, dia tidak terhibur (dia tidak suka filem-filem sebegini).

Ini yang aku temui (ada banyak spoiler, jadi yang belum tonton tak usah baca):
1. OK, aku mengaku sound system merupakan antara penyebab utama kenapa sesebuah filem seram menjadi, dan ini amat penting bagi filem-filem moden sekarang (yang memerlukan kesan ini untuk mengejutkan - ini sebenarnya kesan yang menipu kerana sepatutnya, sebuah filem seram sepatutnya seram dengan hanya imej dan paparannya sahaja, sepertimana Nosferatu berjaya bangkitkan 70 tahun yang lepas).. Aku tak tahu mengapa, bila aku menonton dengan adik aku di GSC Pavilion "feel" filem ini "melitar" aku dan adik aku "seakan-akan" kita benar-benar di tengah hutan. Dengan kesan suara yang "bagus", aku menutup telinga (rahsia filem seram yang baik, khusus yang moden ialah suaranya, kerana suara yang sebenarnya menakutkan kita, bukan imej lagi dalam dunai pascamoden ini). Untuk tayangan Mid Valley semalam, aku langsung tak tutup telinga! Aku terpaksa melaporkan, sistem suara pawagam tu agak "suck", sebab "suara" yang aku dengar hanya "di hadapan layar" dan bukan kiri kanan dewan. Aku memerhati bahagian tempat duduk belakang, ramai penonton yang bingit dan kecoh, kerana suara "tidak jelas", malah ada yang komen "kenapa mereka tak letak subtitle?" Aku perhati, penonton di barisan tengah dan ke hadapan lebih "feel" kerana setiap kali berlaku "serangan hantu", sekumpulan budak perempuan menjerit habis, diam dan "meneliti" filemnya.

2. Kalau tak silap aku, ada 9 "orang" yang di"tangkap" hantu, termasuk Lina, termasuk dibunuh oleh mangsa perasuk. Sebenarnya, ada lebih kurang 6 orang, termasuk pelakon "utama" yang "berjaya" balik dengan kereta meninggalkan tempat penggambaran. "Pembunuhan" hanya berlaku bila bomoh orang asli itu mula "meletakkan sesuatu" ke dalam Sari (mengaktifkan hantu?) Bomoh sudah "merencanakan" segalanya dan tahu, "selebihnya" akan datang ke rumahnya selepas adegan pembunuhan. Oleh sebab itu, mereka yang sampai dihendap dan di"tatu". Antara empat yang ditatu, seorang menjadi "pengikut" - Azman (muntah-muntah dan pening setiap kali keluar suara mantera, tetapi ada teori yang menyatakan Azman kemungkinan sudah merencanakan hal ini dari awal, tetapi hal ini mungkin kontra dengan pilihan si pengarah yang sebenarnya memilih lokasi penggambaran, malah memarahi Azman kerana "tidak cari orang untuk pagar" - hal ini amat disukai oleh adik aku kerana "ini memaparkan budaya filem ni yang tidak ada dalam filem luar lain").

3. Ada yang mengatakan kegeraman sebab para kamera (si pemegang kamera) tidak berbuat apa-apa tetapi "merakam". Ini salah. Dua kali sang kamera sebenarnya melakukan keganasan, dengan kamera atau menerjang Sari yang dirasuk. Pertama oleh Budi, kedua oleh Tony (Tony gari Sari). Malah oleh sebab ini, kamera yang dipegang Budi mula "rosak", yang kemudian terdampar berdekatan rumah bomoh.

4. Mangsa yang dibunuh hanya boleh dibunuh oleh manusia yang dirasuk hantu, atau bomoh (bomoh mahu mengkelar Jeff pada waktu akhir), mereka tidak boleh dibunuh oleh "hantu" itu sendiri secara zahir. Ini dipaparkan bila Tony dan Sham masuk hutan dan dikacau oleh "hantu anak bomoh seakan Julie". Tony dibiarkan terjerut atas pokok, menunggu untuk si bomoh "mengutip"nya untuk sembelihan (di sini poin Ridhwan menarik, kenapa bila sampai sungai, tiba-tiba Tony dan Sham dapat "terus" kembali ke pusat krew,? Tetapi aku ambil undang-undang Blair Witch, serta Evil Dead yang mana, dalam dunia "hutan berhantu", perjalanan engkau membuat kau berpusing ke tempat yang dekat atau jauh (dan psikologi kamu waktu tu sudah menyasar). Ya, ini suatu rasionalisasi yang tidak ramai digemari penonton kerana mempunyai "jalan keluar" yang amat menyenangkan pengarah). Kita sedari, apabila "Sari" dibunuh oleh Jeff (ya, dibunuh), hanya kemudian, Azman muncul "dihipnotasi" (aku tak rasa dirasuk). Poin ini untuk menjawab kenapa mereka semua "tak boleh mati terus semua dalam satu masa, habis cerita". Poin kenapa Sari dipilih untuk melakukan hal ini (kenapa tak ambil saja seseorang yang lebih lelaki, besar dan gagah) masih samar, tetapi hal yang menarik ialah ia diambil kerana memberi klise wanita secara zahirnya lemah semangat, maka senang dimasuki, dan si lemah tiba-tiba boleh bersikap agresif. Itu yang menarik.

5. Kemungkinan filem ini sengaja dibikin sebagai "dendam" Pierre terhadap Idham. Pertama, Sam yang "buat filem seram untuk duit" dan "sudah banyak buat filem hantu" dibunuh, malah "penggambarannya" dimatikan. Siapa yang dirasuk? Penolong pengarahnya. Malah, penolong pengarah di sini yang "melenyapkan" krew-krew pilihan pengarah (ini berkait dengan poin "kelahiran semula", Pierre dan Ming Jin seakan-akan menyatakan, filem seram klise Melayu perlu dibersihkan dan dipakaikan baju baharu - kebangkitan "anak bomoh" di akhir cerita). Mungkin ini yang membuatkan Ridhwan menyatakan filem ini pretentious.

6. Aku tetap menyukai babak-babak jerit, serangan dan halunisasi kehadiran hantu dalam filem ini. Ya, ia boleh pergi jauh dari itu, tetapi setakat ini, dengan tidak mempedulikan "lagu" di tengah cerita, bagi aku sudah berjaya menimbulkan sesuatu yang baharu (sekali lagi, suara...)

7. Ada satu sahaja yang aku tidak berapa suka, terganggu mungkin. Aku mempunyai teori, bahawa pada akhir filem, bila "anak bomoh" dibangunkan, ia telah mengamuk dan "membunuh" ibu bapanya (kerana ia bukan roh manusia tetapi syaitan/jin, yang kita sudah sedari, diaktifkan untuk membunuh, klu ini berlaku bila jasad Julie yang dibangunkan itu mendengus, suatu yang bukan manusia). Azman tidak dibunuh kerana ia dibawah "hipnotasi". Manusia yang "sedar" tidak akan dikacau hantu (aku bayangkan Adam tidak sebenar-benar mati, mungkin dialah sole survivor filem ni). Aku bayangkan, Azman akan sedar pada pagi itu dan melihat semua orang sudah mati. Azman akan bawa pita rakaman itu kepada pihak berkuasa. Tetapi persoalan ini tampak "samar" bila ada satu babak yang sedikit dipersoalkan. Mengapa si bomoh, menyuruh Azman membawa kamera itu untuk merakam kebangkitan anaknya? Untuk apa? Malah ini membuatkan babak ini menyatakan Azman "sedar" dan mungkin telah merancang segalanya dengan bomoh itu (tetapi untuk apa?) Sudah dinyatakan, "kamera" itu terakam untuk bukti. Jadi mengapa, pita rakaman itu tidak dirosakkan jika hal ini mahu disimpan sebagai rahsia? Adakah Adam (yang kemungkinan melihat segala ini di suatu titik jauh) yang kemudiannya menjadi hero lantas membawa pita rakaman kepada pengetahuan awam?

Bagi aku, persoalan 7 itu sahaja yang mencacatkan filem ini yang terlancar begitu sempurna, kemungkinan sebagai "pembuka sekual" (Oh no!) Aku mengaku, [Rec] kiranya lebih berjaya dalam babak kalustofobik, dinding tutup, dan si syaitan yang menjelma lalu menarik si wanita (memerlukan kamera untuk cahaya) ke oblivion. Sedang filem ini, bermula gelap-gelap dan kemudian bercahaya terang dan terang (dari elektrik yang dimatikan, diubah kepada api yang primitif dan dari "zaman dahulu" yang amat terang). Sekurang-kurangnya, jalan dan gaya filem ini "betul" dan semahu-mahu aku (ok, jangan guna teknik hand held pun takpe) gaya sebeginilah filem seram kita sepatutnya, tidak buang masa, suspens membina, syot kejutan yang tiba-tiba tanpa amaran, tiada runut bunyi yang mengada-ngada, suara efek yang mengganggu, psikologi pelakon yang betul. Ini satu permulaan yang sepatutnya berkembang, seperti mana cahaya api yang kelam dalam rumah bomoh, menjadi bara besar di tempat pemujaan di akhir filem ini.

Showdown Cun!

Lepas pening-pening semalam aku balik. Aku cubalah tonton apa-apa di TV. Tuhan, aku tonton AF (ulangan di saluran 15), dan betapa tergamamnya aku menonton, betapa tidak menariknya program itu sekarang. Ini bukan sahaja atas persembahan (peserta yang entah yang mana, menyanyi lagu Latin, dengan tarian yang amat buruk sekali) tetapi termasuk cara program itu dilakukan, termasuk Aznil pun! Ada satu babak, Aznil membaca komen-komen FB, dan Aznil (kerana kita tahu perangainya) membaca tentang komen FB menyuruh peserta itu membuka baju. Saat itu aku terus geleng kepala dan tukar siaran (Aznil, serendah ini program itu sudah sujud?)

Kemudian, aku tertonton Showdown 2011. Wow, ini baru satu pertandingan yang benar-benar menarik. Ada semangat, ada kreativiti (daripada peserta), malah ada drama! Aku terpaut dan seronok menonton bagaiman gerak, bagaimana berlaku kitar "Battle" dan semangat peserta membuat tarian. OK, aku bias sikit, aku amat amat gemar dengan Panic (there I've said it) walaupun mereka guna latar muzik yang aku tak suka (Lady Gaga). Itu buat aku suatu perkara yang bagus (lagu yang tak sedap jadi best bila persembahan mantap!) Alamak, nampaknya, Rabu malam aku akan dipenuhi oleh Showdown, serta Jumaat dengan Maharaja Lawak (aku sangat-sangat suka lawak Nabil). Erk! Kematian sinema!

Baca lagi: Ulasan awal.

29 April 2011

Seru(2011): True Horror Menggegar Malaysia



"Siapa yang bengap pilih lokasi ni?" - Sam.

Aku baru balik dari menonton filem ini. Nazim Masnawi mengatakan filem ni bagus (kerana dia kata bagus aku berkobar nak tonton), seorang kawan aku pula MUNTAH selepas menonton filem ni (i kid u not! Ingat The Exorcist sewaktu kemunculannya pada 1979?) Selepas aku menonton filem ni, memang kepala aku agak miring, kemungkinan kerana gerak kameranya (dan secara prasedar ia lebih mengganggu daripada Cloverfield), suara khasnya, atau kemungkinan kerana filem itu sendiri.

Filem ini, dengan sejujurnya, menakutkan.

Aku memang pesimis dan sinikal terhadap filem seram Malaysia. Aku percaya, tidak ada satu yang berjaya "menakutkan", paling kurang "menghiburkan". Apabila Penunggu Istana muncul, aku menyetujui penggunaan "pelakon amatur yang tidak dikenali" sebagai "feel" filem "realisme". Apabila aku teliti para pelakon filem ini, aku melecehkannya kerana sekumpulan pelakon terkenal, serta pelakon filem bebas yang berlakon di dalamnya, aku sedari, mengurangkan rasa feel "seram benar" atau true horror filem ni, menyatakan, ia hanyalah satu "lakonan". Satu lagi filem seram "main-main hantu" kata aku dalam hati.

Betapa salahnya aku ,,,

Awal-awal lagi, kita dimaklumkan bahawa, filem ini simpanan "pita rakaman" Jeff, "mangsa terselamat terakhir" yang menyatakan "kejadian semua orang terbunuh". "Gimik" ini kelihatan "sudah memancing". Ia juga menerangkan, kita, penonton, akan sama-sama melihat "pita sepenuhnya" (mempercayai bahawa pita ini sudah jatuh pada tangan yang siuman untuk dipertontonkan - mata kita akan bersama-sama dengan lensa sebagai pemerhati, kuasa vouyer paling ampuh kerana diberi pengalaman sepenuhnya untuk "menonton"), memastikan siapa "pembunuh" dalam filem ini. Ingat, kematian selalunya "mengakhiri nyawa" filem (beginilah filem sebegini diselesaikan, rujuk [Rec]), dan kematian "kamera" filem juga menandakan filem ini akan berakhir. Jarang, filem dimulakan dengan cerita akan kematian. Selalunya, filem sebegitu membawa suara "kelahiran semula" atau "peluang kedua" (rujuk All About My Mother, Volver, Cinema Paradiso, Ordinary People, The Player). Beginilah filem ini kemudiannya dimulakan.

Filem ini seterusnya dibuka dengan "membuka" sebuah filem (dalam filem) pembikinan, Awal, Pierre dan Nora Danish, dengan runut bunyi tipikal seram murahan, dan babak panjang. Mereka "masuk ke hutan" untuk menanam mayat. Tiba-tiba, penolong pengarah meracau dan tersembam jatuh. Cahaya hilang. Seorang lagi jatuh, dan berjalan. Kita tidak lagi menonton filem tersebut (filem mainan tadi), tetap rakaman di "set" oleh para krew tentang huru-hara yang sedang berlaku. Ada penanda yang kuat di sini (spoiler!) Mayat yang ditanam merupakan seorang pelakon tambahan, Adam. Mayatnya hilang (spoiler: dan langsung tidak diketahui hidup atau tidak). Satu penanda baharu, suatu "kelahiran semula" sedang berlaku, baik dalam pembikinan seram oleh anak muda, juga klu kepada suatu "kelahiran semula" (bolehkah kita rujuk sebagai peluang dan kelahiran semula genre seram kita yang mula klise?), juga klu kepada suatu "pengorbanan" yang diperlukan untuk membuka sesuatu "di balik dunia lain". Kita, penonton yang memilih untuk "melihat di balik tabir", dunia lain yang kita mohon, untuk kita ditakutkan. Mayat itu hilang. Habislah kita...

Babak terkemudiannya terpecah dua, satu krew (2 orang, yang dipenuhi humor tetapi perjalanan mereka tetap menakutkan) mengejar seorang (Julie) yang dirasuk kemudian hilang di balik hutan, satu krew lagi tinggal bersama Sari yang dirasuk. Setiap satu memegang kamera, merakam.

Berlaku perubahan beberapa kali POV antara dua kru ini, tetapi dibikin dengan jelas dan mengalun indah sekali oleh penyunting Akashdeep Singh. Di sini, kemuncak debar makin meninggi dan makin meninggi sepertimana makin "terperusuk sesat" ke dalam hutan (latar hutan ini sengaja berkait sebagai simbolisme perfileman/cerita/emosi takut). Yang humor, yang spontan menjadi "dread" secara tiba-tiba, menjadi rumah sesat luas yang tidak membenarkan lagi watak (serta kita) untuk keluar daripada ruang dan masa yang ditentukan oleh Pierre dan Ming Jin selaku penulis dan pengarah (sekali gus mengikat penonton dengan filem seram "fiksyen" yang sengaja diberikan judul "Jangan Bernafas").

Satu perkara yang aku hormati filem ini ialah, ia merupakan satu kepingan filem yang bijaksana, jika ia membohong sekali pun, ia menyatakan alasannya dengan baik. Kenapa filem ini "dibikin"? Kerana menjadi "bukti buat polis" (menarik untuk dikaitkan dengan apa yang sedang berlaku dengan Ketua PR sekarang), kenapa diteruskan, kerana "penerbit eksekutif"nya yang mahukan sebagai gimik promosi. Pada awalnya sebuah dokumentari, menjadi sebuah perjalanan. Yang "biasa" menjadi "luar biasa" dan "makin luar biasa", tetapi logik dunianya masih terpasung segak di bumi.

Perkara kedua yang aku suka, pengarahnya tidak membuang masa kita dengan masa relatif yang panjang (yang biasa buat filem ini sebagai feel real, seperti Blair Witch Project, yang sememangnya mempunyai kelasnya yang tersendiri). Misteri demi misteri terungkap secara episodik, ditanam dengan kemas, malah logiknya benar dan ditentukan dengan ruang masa yang betul (dalam masa yang sama, misteri demi misteri baharu wujud dan mengganggu). Berlaku babak "penyiasatan" di man kita, penonton diberi peluang untuk "lihat sama" kebenaran. Ini merupakan antara babak-babak paling menakutkan dalam filem ini (mengenali kebenaran adalah detik yang paling menakutkan). Malah penandanya sudah jelas, contohnya kelipan cahaya; yang membawa maksud chaos (kelipan cahaya tersebut berkait dengan cahaya berkelip lampu lintang, yang mana merupakan homaj kuat terhadap Twin Peaks bila mana dunia "black lodge"nya tersingkap buka atau wujud di alam realiti, walaupun di bilik mayat). Ini sememangnya sebuah panggung chaotic (chaotic cinema) yang jauh mendalam.

Aku juga menjumpai (dan jarang-jarang berlaku dalam filem seram) suatu rasa pilu tentang manusia, baik manusia yang mencari survival, kepada manusia "gelap" yang melakukan ritual untuk mengikat dirinya dengan alam lain. Filem ini ada perasaan itu. Penanda paling kuat merupakan imej sepotong tangan yang longlai tergantung dek rantai besi. Ada dua emosi yang berjaya dibuakkan. Pertama akan satu perasaan "terjah ekstrem" sang hantu untuk menembus masuk ke alam nyata manusia, kedua akan persaan berbaur, sedih, terkejut, mual si pemerhati (kita) yang menyedari ketidaktentuan mempunyai wajah gelap yang kita tidak sanggup untuk hadapi. Pada tahap ini, filem ini berjaya memahami pemahaman "takut" dalam sudut jiwa manusia.

Terlalu banyak babak-babak seram, gelap dan creepy yang berjaya dilakukan, termasuk kejutan dan mualan setaraf mana-mana filem seram Hollywood. Aku juga menyukai semangat tangkapan yang betul, walaupun hand held, sudut, gerakan panning, samar dan fokusnya diaplikasi dengan betul. Aku juga mengangkat tangan buat runut bunyi Azman Abu Hassan yang pertama dalam sejarah, atmospherically brilliant, serta kesan bunyi yang cukup membantu (ada satu babak pukul yang kedengaran sedikit animasi). Paling mengunggul, para pelakon yang benar-benar "membelakangi kamera" dan membiarkan kamera menangkap "yang sebenar". Mereka tidak lagi membiarkan kamera bergerak atas nama "perogol imej" tetapi "perakam untuk merakam". Watak-watak mereka bulat. Siksa mereka hadapi, bulat. Walaupun jeritan dan reaksi mereka "canggung", ia benar kepada tahap surreal yang mereka perlu hadapi (dasar yang mereka hadapi, iaitu mute witness dipergunakan secara baik). (nota spoiler: suatu trivia yang menarik, watak yang paling cengeng dan celupar untuk kita bunuh, tidak diberi peluang oleh pengarah untuk kita lihat dimatikan).

Ada mereka yang tidak menyukai pengakhirannya. Bagi aku, ia merupakan antara pengakhiran yang brilliant dalam filem-filem sebegini (klu: teliti siapa dirasuk, dan teliti apa hantu itu buat bila merasuk tubuh) yang jelas melontarkan persoalan untuk didebatkan dan diintepretasikan (soalan: bagaimana pita rakaman ini boleh jatuh ke tangan kita), juga sebagai francais kedua untuk dilanjutkan (aku harap tidak, aku tak suka sekuel, selalunya sekuel menghampakan). Apa yang aku mahu kata, aku bangga melihat bagaimana Pierre dan Ming Jin menjalin baik subgenre slasher, alam mistik, hantu, rasuk, dan mokumentari kepada suatu panggung seram yang enak dan menusuk masuk ke dalam sanubari penontonnya, memberikan mereka suatu "ultimate experience" untuk terperangkap dalam hutan yang serba menakutkan. Sejarah sedang dibuat, tuan-tuan, puan-puan. Untuk pertama kalinya, saya mengesyorkan mati-matian kepada semua peminat filem seram untuk menonton filem yang menakutkan ini.

Ya, inilah filem seram Malaysia yang terbaik, setakat ini.

Baca lagi: Reduksi Seru.

ps: Pertama kali aku tonton filem Malaysia yang mana aku tutup telinga dan pandang bawah. Adik aku yang tonton sama, yang hanya layan filem barat, mengatakan filem ini lebih baik daripada Blair Witch Project ataupun Paranormal Activity. Dia meloncat atas kerusinya secara literal, enam kali!












08 November 2007

9 September- Romantik Gagal


9 September (2007)

Aku menonton filem ini kerana suka sangat akan apa yang Pierre Andre lakukan dalam Jangan Pandang Belakang(2007), jadi aku berharapan sangat Andre melakukan sebuah 'hatrik'. Sungguh tidak aku sangka, filem ini agak 'stale' garapannya dan banyak 'hit and misses'. Filem ini mempunyai sesuatu pada bahagian setengah awal tetapi mula merundum pada bahagian setengah akhir. Gaya yang digunakan (iaitu mengikut formula bahagian awal menggunakan komedi lalu bahagian kedua menggunakan tragedi untuk menggerakkan cerita) semacam Ibu Mertuaku(1962), Windstruck(2004) dan paling dekat, Heart(2006), malah Heart yang aku tidak suka lebih sempurna dan berjiwa pembuatannya.

Ini boleh disalahkan kerana lakonan Fasha Sanda yang memang 'miscast'. Kesalahan pertama: tidak ada chemistry kuat antara Sanda dengan Andre (suatu yang sangat-sangat penting dalam filem romantik). Andre sangat bagus, lakonannya memaparkan kesegaran, detik komedinya memikat. Sandra adalah sebaliknya. Mungkin juga kerana skripnya atau dia. Sebenarnya, Fasha Sanda sepatutnya melakonkan wataknya semacam watak gadis gila-gila dalam filem-filem komedi korea (yang kita nampak pengaruhnya), tetapi dia melakonkan watak seakan seorang perempuan gedik dari filem hindustan. Suaranya membingitkan dan langsung tidak menjiwai skrip Andre. Lakonannya sangat dibuat-buat.

Ini ditambah lagi dengan lakonan menghampakan oleh penerbitnya sendiri, David Teo yang entah apa-apa. Menggelek-gelek lehernya semacam ikan buntal separa lemas di darat memaparkan betapa 'murah' atau 'cheesy' filem ini jadinya.

Skrip Andre punya sesuatu, malah sudah menyeronokkan. Tetapi entah mengapa, sewaktu Fahrin Ahmad tiba sebagai bekas kekasih Fasha Sanda, semuanya mula merundum pada saat itu. Skrip ini menjadi klise, dan tidak ada magisnya lagi sewaktu itu. Ia seakan tampak, skrip ini dibuat terburu-buru selepas kehebatan Jangan Pandang Belakang. Kesalahan demi kesalahan dibuat. Kesalahan yang paling tampak berlaku pada awal-awal filem- kenapa Fasha Sanda mengetuk pintu Pierre? Untuk apa? Di mana logiknya kaitan Fahrin dengan Pierre? Sampai ke akhir, ia tidak memberitahu. Kedua ialah, tidak mungkin secara 'coincidence' Fasha memilih 9 September untuk melancong bersama Pierre di Pulau Tioman. Detik 'coincidence' adalah perkara yang paling perlu dijauhi dalam filem, hanya jika mahu mencipta saspens atau tidak ada jalan lain yang logik. Dan ia akan jadi lebih memikat jika Fasha sendiri mengaku bahawa dia terlihat di kalendar Pierre tentang pemergiannya ke Pulau Tioman. Dengan itu, kita memahami bahawa Fasha punya 'taruh hati' terhadap Pierre, tetapi ini tidak. Malah pada akhirnya, Fasha yang sepatutnya belajar sesuatu tentang cinta sejati (seperti yang dibuat dengan sempurna dalam Heart, walaupun aku tidak suka!) bagi aku masih budak manja merengek yang tidak belajar apa-apa bila melihat dinding penuh melankolia ciptaan Pierre Andre.

Akhirnya, kita rasa buntu dan tidak puas melihat sebuah filem 'bagai pungguk rindukan bulan' yang mana banyak yang perlu dibaiki 'pungguk' dan 'bulan'nya.