ADA
SPOILER MAUT!
Aku perlu berterus-terang, kalaulah filem Tayangan Unggul arahan Afdlin Shauki ini tidak merangkul Filem Terbaik di FFM (yang seperti mana kebanyakan pemerhati filem dari luar negara pun tak peduli, yang agak mengguris aku oleh sebab itu: Oi FINAS, ko dengar tak ni baghal?), aku mungkin tidak akan sekritikal ini, aku mungkin jadi kucing baik yang mengoeng-ngoeng dengan comel dan berucap: "
Tengoklah filem ni, bestnya, rugi kalau tak tengok," (kredit Huzz daripada Utusan). Pun begitu, aku rasa, kemenangan filem ini memberi peluang untuk filem ini menjadi filem antisipasi tahun ini (oleh sebab ia belum ditayangkan - ya, inilah sarkas tayangan filem di Malaysia, layan je lah), dan moga-moga begitulah (pergi tengok, sekurang-kurangnya filem ini lagi
best daripada filem Davied Teo dan Razak Mohaideen) sepatutnya. Ya, aku tidak sepenuhnya suka filem ini, tetapi aku masih memohon kalian untuk menonton filem ini, semata-mata menyokong filem Malaysia (nasionalis tetap nasionalis beb, baru lepas Merdeka katakan, jom
Ganyang Indonesia dan
Santet-santet yang baca mentera dari laptop! Wops!).
Filem ini senang, dengan cerita Afdlin Shauki (lakonannya sangat bagus) beristerikan Noorkhirah (yang menawan dan hebat!) beranakkan Miasara yang cun bila besar (lakonan Liyana Jasmay, yang bolehlah aku mengaku, masuk akal untuk menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik walaupun tahun ini tahun pertama dia masuk bertanding,
range acting dia, Ya Rabbi, meloponglah pelakon baru macam Intan Ladyana tu nak belajar, sangat fokus, terkawal dan tahu masa bila nak bermanja dan tergedik, cayalah!), tetapi Noorkhirah mati dulu, menyebabkan Afdlin menjadi ayah yang "
extra percaution" terhadap anaknya Miasara yang satu iteww. Jadi Miasara pulak nak sambung belajar ke UiTM (IPT bumiputera yang popular iteww) jadi terganggulah neurosis ayahnya yang tak pernah terputus dengan anak gadisnya sejak kematian isterinya itu.
Begitulah ceritanya tuan-tuan dan puan-puan.
Sebenarnya, secara jujur, aku suka cerita yang telah dibentuk dan diulam oleh Afdlin ini. Seperti yang Ajami sudah maklumkan (pencuri! perampok! perogol! penzina!) dalam ulasan ringkasnya tentang
Papadom, filem ini bercirikan Disney dengan pengakhiran yang "
alls well ends well". Jika kalian sudah menonton filem Disney-Pixar
Up(2009), kalian akan sedar bahawa tema filem itu dengan filem ini sama iaitu "
the experience of letting go" serta bagaimana hendak hidup "
in the now" dan bukan dulu atau terfikir masa depan.
Dalam filem ini, Afdlin juga "cuba" melepaskan anaknya daripada pemerhatiannya. Atas kata-kata negatif "tidak" anaknya (bersungguh untuk belajar di UiTM jauh daripada ayahnya), Afdlin mula tersedar sesuatu. Seperti dalam
Up, "roh" atau "jelmaan" (di dalam
Up, tidak diternampakkan sangat, menghantar cadangan bahawa roh isterinya dalam tersenden, memang ada berserta Ed Asner) isterinya Noorakhirah (kemunculannya setiap kali bersama Afdlin memang mengundang ketawa, satu pasangan skrin yang sangat sesuai: Afdlin berjaya mencipta
buddy romance lelaki dan wanita!) muncul. Simbolisme Noorakhirah sebagai "penunjuk jalan" atau psyche "malaikat teman" buat Afdlin. Secara psikologikal, pendekatan Afdlin ini amat menarik, meniti detik demi detik buat Afdlin "melepaskan" Miasara. Maka seluruh filem ini sebenarnya

membawa kepada maksud itu.
Filem ini juga berkenaan dengan voyeurisme dan obsesi. Di sini obsesi Afdlin terhadap Miasara, vouyerisme Scha kepada "saingannya" Miasara, vouyerisme Wajib Tayang (lakonan mencuitkan Que Haidar, beliau ialah mata kita, mata penonton) terhadap Miasara dan voyeurisme Hisham Hashim (simbolisme segalanya yang kau tak suka akan watak perwatakan serta filem Melayu: Hisham Hashim Haslam, hahaha!) terhadap Miasara. Tetapi Afdlin ada menambah beberapa "voyeurisme" lain seperti Vaneeda terhadap Afdlin dan Harun Salim Bachik terhadap Afdlin.
Melihat mainan obsesi dan vouyerisme ini (ya, ini bukan Hitchcock, ini komedi), kita akan terpanggil dengan sebuah filem yang mempunyai unsur yang sama tetapi plot yang berlainan:
There's Something About Mary(1998). Di dalam filem itu, Cameron Diaz diperhatikan dan dipujuk rayu oleh beberapa lelaki. Semuanya mempunyai obsesi yang eratik terhadapnya. Seperti Afdlin. Mary dan Miasara adalah objek "penglihatan" di mana semua unsur untuk berlaku (sebab dan akibat) dan bergerak (cerita). Ini adalah punca sebenar filem ini. Obsesi. Dalam Mary, tingkat obsesinya mencapai ketidak masuk akal, seperti mana Afdlin yang mengikuti perkembangan anaknya di UiTM. Kenapa obsesi? Ada perilaku romantisme di sini (bergerak untuk memiliki sesuatu [
object of desire] yang dia mungkin takkan dapat), buat filem Hollywood itu secara jelasnya- Mary. Buat
Papadom, ianya Miasara (dengan tingkat obsesi dan motif yang pelbagai, Afdlin kerana ketidakmampuannya melepaskan Miasara, Wajib Tayang dan Hisahm Hashim untuk "berahi" Miasara, dan Scha, secara menarik adalah semangat lesbian yang terpendamnya untuk Miasara).
Bagaimana Afdlin memecahkan "ilusi" Miasara sebagai objek terobsesi ini? Ini dengan mendengar jawapan daripada Miasara sendiri (siapa dia suka, apa perasaanya yang sebenar terhadap ayahnya), yang di"tayang"kan dalam filem pendek Miasara (tanpa malu, ia hanyalah foto-foto Miasara dan ayahnya tanpa apa-apa "gambar bergerak" yang disadur dengan monolog panjang Miasara!) di akhir cerita (sewaktu setiap pelajar perlu menayangkan filem pendek mereka). Kita mendapat "
cue" bahawa obsesi Afdlin sebagai ayah terjawab (iaitu dia melakukan segalanya untuk anaknya atas nama cinta, ahhhhh) apabila Wajib Tayang (
how apt!) berdiri menepuk tangan atas "pecahan realiti" yang berlaku sebaik sahaja tayangan filem Miasara selesai. Wajib Tayang "menyatakan", drama "realiti" mereka iaitu sewaktu Afdlin memeluk anaknya adalah "lebih memuaskan hati" daripada "realiti yang ditangkap di skrin" (khasnya buat filem neo-realisme). Buat Wajib Tayang, hal yang berlaku di depan matanya itu lebih "jujur" daripada idea sinema itu. Buat Wajib Tayang, obsesinya sudah dipuaskan. Dia mencapai vouyerisme yang tertinggi. Secara
subtle, Afdlin mengemukakan falsafahnya (dengan agak
pretentious sebenarnya), bahawa "realiti" yang dia cipta sepenting dan sehebat mana-mana filem "realisme" (menyentak arus baharu Malaysia, James Lee, Amir Muhammad, Ho Yuhang, Yasmin Ahmad, Tan Chui Mui, Seng Tat, Azharr Rudin) yang dicipta di luar situ. Afdlin berbicara, realiti palsu yang diciptanya dalam filem ini juga bermakna. Ini amat menarik, tetapi juga membahayakan dalam satu hal.
Afdlin juga banyak memberi sindiran dan homaj sekali gus terhadap "keseluruhan Filem Malaysia kini"! Beberapa kebiasaan Razak Mohaideen, David Teo, Mamat Khalid, Yasmin Ahmad, Bade, Aziz M. Osman, Rashid Sibir, Osman Ali dan Yusof Haslam akan terpancar. Sebenarnya Afdlin bersikap non partisan, jujur dan amat liberal sebenarnya, seakan mengangkat dan mengumpul segala babak dan watak dan nuansa serta teknik dengan terpilih ke dalam
mis en scenenya. Tetapi inilah yang membahayakan. Kemasukan pelbagai "
Mukhsin atas pokok", dengan "
pawagam dalam Isteri, Perempuan dan ...", dan cinta-cinta kampus Razak Mohaideen telah mengganggu tujuan sebenar Afdlin iaitu untuk menceritakan sebuah cerita.
Ada beberapa babak yang dibikin dengan runsing sekali (suntingan, tangkapan dan suara yang buruk). Malah, aku perlu mengaku, aku mengerut dahi pada awal filem apabila runut bunyi "triiing" tiba-tiba kedengaran (seakan menandakan, semua filem Malaysia kena bermula dengan "
triiing" yang merunsingkan itu). Kemudian ada beberapa babak yang terlalu diambil enteng, yang aku tahu disengajakan oleh Afdlin (mengambil
feel filem-filem tangkap muat David Teo dan Razak Mohaideen) dan juga oleh sebab tiada bajet. Babak tiba-tiba hujan dan kereta dalam hujan adalah contoh. Malah ketemporarian Afdlin disampingkan dengan syot statik yang tipikal dalam filem-filem
Art House amat mengganggu. Pada mulanya aku boleh menerimanya kerana homaj Afdlin terhadap arus baharu itu, tetapi makin lama aku menonton, arah tuju Afdlin sememangnya "perdana", maka kenapa perlu syot-syot statik "menangkap realiti seadanya" itu? Ia semacam mengejek-ejek para pembikin Arus Baharu kita (lihat babak Miasara naik tangga mengikut bontot Scha). Afdlin perlu kembali dengan pengambilan syot-syot kreatif dan suntingan laju serta penggunaan fotografi yang cantik seperti
Buli, Sumo-Lah dan
Los & Faun. Itu kekuatan beliau.
Kemudian ada babal-babak janggal yang merundumkan minat aku terhadap filem ini. Sebelum ini, aku senantiasa percaya dan suka kepada filem Afdlin, walaupun filem
Sumo-Lah yang tidak ramai yang menontonnya oleh sebab Afdlin selalu ada "jawapan" atau latar motif yang kuat da nlogikal terhadap gila-gila dan ketidaktentuan absurdnya. Di dalam filem ini, tiba-tiba Afdlin menjerit "Api" lalu semua orang keluar dari pawagam, Afdlin memakai kain putih jadi hantu, Afdlin yang masuk ke dalam dewan tetapi tidak disedari oleh anaknya(?), semua ini semacam dibuat lewah, malah mengiyakan Razak Mohaideen, Rashid Sibir dan David Teo yang suka dengan realiti "asal jadi". Lihat! Sureal kewujudan Norakhirah mencuitkan, tetapi lopong-lopong ini tidak boleh aku maafkan.
Nasib baiklah, filem ini ditunjangi oleh barisan para pelakon yang handal-handal, daripada yang kecil seperti Harun Salim Bachik, Chelsia Ng (oh, dia sangat menawan dan seronok melihat dia berlakon!) sehingga kepada Liyana Jasmay dan Afdlin. Kekuatan Afdlin memang dalam mencipta watak (sekurang-kurangnya di Malaysia) "
against type" seperti Miasara yang tidak membenci ayahnya walaupun terbelenggu, atau Pete Teo yang "bukan" mahu memeras bakat orang Melayu. Begitu juga dengan Farid Kamil yang "lagak macho" atau esentrik Que Haidar (babak Que dicuit Liyana di tetek mengingatkan kita kepada
Gubra, Afdlin semacam meng"U"kan babak kontreversi Alan Yun dengan Sharifah Arman bermain dada yang buat aku sangat takde benda nak dibisingkan).
Tetapi yang paling aku suka adalah lakonan gedik-gedik Scha sebagai Shasha,
arch enemy Miasara. Kalau diteliti, ada "
lesbian undertone" yang ditampilkan dalam watak bulat lakonan Shasha. Ya, Shasha memang simbol "
the alpha queen" yang biasa kita lihat dalam filem remaja Hollywood, tetapi lihat gaya Shasha memegang, meliuk serta dialog lucah yang Shasha ucapkan. Ciri-ciri seksualnya kuat (lebih-lebih lagi dalam menggambarkan keadaan wanita yang menunggu untuk dinoda), kita akan terfikir jika Shasha benar-benar mengatakan hal itu saja untuk buat orang terganggu (atas
frankness dia kerana pengalaman seksualnya) atau Shasha sendiri pernah bermain dengan wanita (yang kita sedia maklum, ini adalah kerana Afdlin menulisnya sebagai "lelaki"!). Hal ini membuatkan Afdlin sangat berani.
OK, filem ini tak lah seteruk filem Bjarne Wong, tetapi buat aku, tidaklah boleh menandingi
Sell Out!(2008), filem terbaik Malaysia tahun ini (setakat ini) yang tidak diendahkan oleh FFM. Afdlin masih perlu memahami, apa itu sinema dalam filem, dan kenapa satu-satu filem itu memberi "
cinematic feel" yang melangkau zaman.
Sell Out! dan beberapa filem Arus Baharu Malaysia sekurang-kurangnya sudah mencapainya. Adakah dengan itu, FFM seakan menyatakan, seperti yang Afdlin paparkan, ianya OK buat pembikin filem kita membikin filem dengan formula yang kita sudah kenal dan sedia tahu, tidak mahu mencuba mencari erti dan makna "sinema" yang sebenar? Adakah ini jawapan FFM bahawa "lantak orang nak kata apa, tapi ini filem kita jadi kita iktiraf cara kita"? Ya, hal ini ada maksud tersirat yang baik dari satu segi, tetapi kepada satu segi, kepelbagaian filem, pengetahuan kita tentang apa itu sinema sebenar dan sejauh mana kita mahu bawa filem kita akan terbatas. Jika "Globalisasi" yang kita ingin laungkan buat filem-filem kita mengelilingi dunia seperti filem ini, ya silakan. Lihat dan tunggu akibatnya.