Aku tak berapa suka dengan filem politik yang kelihatan "terkini" dan "semasa" oleh George Clooney ini. Filem ini filem yang senang berkenaan pengkhianatan dan salah guna moral, bagaimana sekecil-kecil pilihan manusia yang menyebabkan satu-satu dinding Jerusalem boleh roboh. Filem ini buat Ryan Gosling, dan beliau mengangkat cerita filem ini dengan baik dan lancar, seorang pengurus gabenor yang kemungkinan ke arah kerusi Presiden Amerika Syarikat (lakonan George Clooney yang baik). Tragedi berlaku, dan kuasa beralih. Ia seakan dirasakan seperti satu tragedi Shakespeare moden yang tidak banyak darahnya, hanya perebutan kuasa. Pun begitu, Clooney mempunyai kuasa indah dalam menangkap detik-detik sinema yang banyaknya kelihatan diambil daripada pemerian Francis Ford Cappola. Babak Phillip Seymour Hoffman bergerak masuk ke dalam kereta lantas hanya runut bunyi sahaja yang bergerak, kamera statik mengingatkan kita kepada gaya Cappola. Penceritaan filem ini baik dan memahami keseluruhannya, tetapi tidak ada cetusan yang membuatnya diingati.
Midnight In Paris(2011)
Ah, sebagai seorang penonton Woody Allen, sudah lama benar aku menunggu Allen untuk kembali sepertimana yang aku kenal dia pada zaman keemasannya. Dan mungkinkah aku boleh bersyukur dia mula kembali (bukanlah aku menolak filem-filem progresif dan melanggar tradisinya, mungkin aku seorang romantis, seperti watak utama filem ini yang dilakonkan oleh Owen Wilson). Mungkin juga kalau diperbandingkan, ia tak mungkin sebaik filem-filem
adikaryanya yang kita sedia tahu. Tetapi dengan fontaip permulaan kredit, suara mainan Jazz kesukaan Allen, dan cara filem ini dibuka dengan gaya Manhattan, ah, betapa indah dan seronoknya.
Filem ini mengingatkan aku kepada dua filem Allen terdahulu, Manhattan yang mana sebuah cerita yang menyelubungi kita untuk jatuh cinta terhadap kota latarnya (adakah punya kemungkinan Allen sudah muak dengan New Yorknya? Tidak mungkin, tetapi aku tahu peminat Peranchisnya mengetahui mengapa filem ini dibuat), yang turut berlaku kepada aku bila menonton filem ini (aku bukanlah seorang yang mencintai Paris, lebih senang dengan Bangkok, KL, Oxford, New York, San Fransisco, Casablanca dan kemungkinan Barcelona dan Madrid) serta The Purple Rose of Cairo yang mana si protagonis turut membawa dirinya masuk ke alam eskapis "romantis" terhadap ketidaktentuan realiti sebenarnya. Di dalam filem ini, watak Owen akan menjumpai tokoh-tokoh seni besar Barat lantas mengetahui apa yang membuat mereka tercetus pemikiran seni, emosi yang mereka lalui dan hidup Paris yang mereka raikan. Filem beginilah yang aku mahu lihat berlaku dalam filem kita, sepertimana aku boleh jatuh cinta dengan Cole Porter sekarang hanya dengan beberapa babak filem ini dan bagaimana suaranya memenuhi filem ini. Inilah perayaan budaya dan ini difahami oleh Allen dengan baik sekali dalam filem (rujuk bagaimana Allen mengutuk jenis penonton Amerika dan filem yang Hollywood keluarkan sekarang, bodoh dan formulaik hiburan, anda tak terasa persamaannya?)
Di dalam filem ini, rasa, emosi, warna, asap dan suara Paris, baik sekarang (yang dipenuhi dengan kaum Amerika yang lantang, selapis dan kapitalis) 1020-an dan 1890-an menjadi hidup dan dilalui oleh Owen Wilson, seorang penulis yang mencari suara, inspirasi dan cinta sebenarnya. Filem ini juga aku tahu amat dekat dengan Allen dalam hal "nostalgia" (inilah kuasa filem-filem Allen, ia kelihatan lama tetapi tidak pernah purba, rujuk cara syot filem ini terhadap dua subjek, tipikal yang pernah pembikin kita bikin, tetapi lihat dinamis dialog yang berlaku) dan yang berkaitan dengan "romantik" (romantik sebenarnya bermakna optimis, hidup dalam impian yang tinggi). Filem ini meletakkan definisi yang betul. Inilah bagi aku filem romantik 2011 aku, jauh lebih baik (dan lama aku tunggu) sejak Eternal Sunshine of the Spotless Mind (aku tidak menyukai 500 Days of Summer) melawati kita. Kita akan ketawa, menangis dan mengikuti sifat liberal dan lapang dada tapi "merepek" Woody Allen yang diistilahkan oleh Owen Wilson, meneliti dunia fantasi (sejarah) menghinggapi realitinya, lantas terinspirasi, tersentuh dan jatuh cinta.
Salam Ramadan buat semua terdahulunya. Hari itu waktu mencuci mata sambil beli kuih raya di Amcorp Mall, aku terjumpa sebuah kedai DVD yang sangat mengujakan (tingkat teratas berdekatan kedai buku terpakai), DVD keluaran luar negara (Taiwan) yang disalin daripada BluRay. Semuanya RM10! Aku terjumpa banyak judul-judul klasik, beberapa filem-filem klasik Korea, The Kiss of the Spider Women yang aku cari bagai nak mati di luar negara(1), Airplane!, Cecil B. Demented, Berlin Alexanderplatz, Mishima: Life in 4 Chapters (filem ini pernah aku ulas dalam blog-city dahulu yang sudah lenyap di Internet) dan pelbagai lagi filem-filem luar negara dan Hollywood yang bagus-bagus dan tak banyak diketahui umum. Gila! Aku borong habis hari tu.
The Duchess(2008)
Filem berciri drama kostum semacam mini siri BBC ini mengujakan kerana Kiera Knightly dan itu sahaja. Tetapi penelitiannya terhadap latar sejarah, pembuakan kelas dan kuasa memerintah patriakh terhadap kaum wanita, dan "in joke- the men can have all the fun in this world and not the women?" sesuai sebagai bahan kajian feminisme amat menarik untuk dikupas.
Siapa kata para wanita ornag puteh zaman dulu liberal dan terbuka? Ingatkan filem ini menjerumus ke arah melodrama, tetapi tidak, pengarahnya Saul Dibb mengimbangkannya dengan kisah cinta Kiera (sebagai seorang anak aristokrat yang berkahwin dengan seorang bangsawan Duke, lalu mendapat gelaran Duchess) dengan "kekasih gelapnya", masalah keluarganya (suami yang tidak mencintainya dan anak-anak yang tidak disukai suaminya), serta pengkhianatan kawan baiknya. Ini disulam dengan kepopularitian Duchess terhadap masyarakat umum, memberi satu perspektif baru terhadap Lady Diana dan politik yang "benar" yang patut dibawa oleh mendiang puteri itu. The Duchess berbaloi sebagai sebuah lagi filem period yang penuh drama dan tampilan "cara hidup" yang menarik untuk dialami, tetapis ebagai sebuah filem period yang baik, beberapa filem sebelum ini menandingi kesederhanaan filem ini.
lihat: http://www.imdb.com/title/tt0864761/
Kun Pan(2002)
Filem ini menampilkan bagaimana ada legenda dan hikayat, walaupun hebatnya ia buat satu-satu bangsa, kadang-kadang tidak sesuai untuk diadaptasi kepada filem. Kun Pan merupakan arahan filem ke video Tanit Jitnukul, pengarah filem "Yusof Haslam gaya perang" Bang Rajan yang agak terkenal di Thailand.
Anda akan ketawa atau mencela bagaimana bodoh atau mengarutnya babak-babak pilihan oleh watak atas dasar nafsu, jahil, cinta, kebodohan atau memang (orang Siam dulu bodoh?), diadaptasi daripada hikayat puisi "agung" Khun Chang Khun Phaen satu warisan sastera agung orang Siam. Serius, ada beberapa justifikasi dalam hikayat rakyat yang hebat ini yang telah di"abai"kan oleh penulis skrip, menyebabkan filem malah hikayat ini disalah anggap terus.
Pun begitu, terdapat hal-hal menarik untuk diperlihatkan: anti-hero(!) filem ini, Kun Pan lakonan Andy Watchara (juga pelakon utama Kalesterol Theerak, versi Cinta Kalesterol yang buruk itu) mempunyai iras angkasawan kita, Sheikh Muzaffar (i kid u not!), kemudian sebuah filem yang ada kisah cinta, romantisme (satu advencer mencapai sesuatu), lawak (watak Kun Chang), misteri, seram, drama, epik sejarah dan perang! Ya, jangan terkejut! Begitulah yang ditampilkan dalam hikayat lalu begitulah yang ditampilkan dalam filem ini. Mungkin kesalahan Tanit ialah, beliau tidak mengimbangkan emosi yang terlalu bervariasi dalam filem ini kepada satu kesinambungan yang lengkap. Orang akan terkejut dengan kejutan-kejutan "tiba-tiba tukar genre" yang dihubungkan dalam filem ini. Mungkin Tanit perlu belajar sedikit daripada Peter Jackson, pakar dalam mainan pelbagai genre dalam satu genre besar. Contohnya, kita hanya tampak pergerakan dan perkembangan watak Kun Pan, sedangkan Kun Chang hanya dicipta untuk "comical relief" serta watak hitam satu dimensi. Malah Wanthong, si wanita yang digilai oleh Kun Chang serta Kun Pan, dengan realiti "dikongsi dua suami" agak canggung buat penonton sekarang (walaupun ia benar).
Yang menarik sudah tentu tentang "bagaimana hendak buat hantu kerak yang dipanggil Golden Child", sejenis ilmu sihir yang turut dibuat oleh orang Melayu (malah aku tahu satu keluarga yang menyimpan satu), memberi moral yang menarik: orang guna sihir takkan ke mana, akhirnya merana juga.
lihat: http://www.imdb.com/title/tt0389088/
Casablanca(1942)
Apapun orang cakap, orang tidak boleh menyangkal kuasa Hollywood dan kerja-kerja klasiknya. Aku tonton filem ini secara tidak sengaja (saja nak tunggu imsak) lalu terbawa sampai ke syuruk! Kalau kalian menyukai Distrcit 9 yang bersimpang siur pada setiap plot dna kemudian tanpa henti menggerakkan penonton tanpa satu masa pun untuk bernafas (sebenarnya District 9 ada satu babak "jeda untuk bernafas" iaitu sewaktu si hero menjawab telefon isterinya pada satu malam), filem ini arahan Micheal Curtiz merupakan sebuah contoh filem yang langsung tidak memberi kita masa untuk duduk bernafas. Setiap babaknya mempunyai sesuatu, daripada hal pencahayaan sehinggalah kepada perwatakan. Tetapi kuasa sebenar filem ini terletak kepada dialognya. Dialognya bukan sahaja membuah cerita, memberi banyak persoalan dan intrig tetapi banyak kuasa dramatik, baik melodrama atau komedi untuk dikunyah selumat-lumatnya oleh para pelakon yang sememangnya bukan calang-calang. Anti hero dalam Humphery Bograt menarik, sama situasinya seperti Count Almasy dalam The English Patient (berubah tindakannya untuk cinta). Ya, aku juga menangis di imej akhir filem waktu Ingrid menyatakan ketidaksudiannya untuk meninggalkan Bogart, lalu Bogart menyatakan, "We'll always have Paris." Aduh. Ye lah yelah, aku ni sentimentalis sebenarnya.
lihat: http://www.imdb.com/title/tt0034583/
Cecil B. Demented(2000)
I love this movie like hell! Serius! John Waters, kau memang nabi aku buat filem-filem! Ini sebuah contoh filem yang memberi eskapisme (atau memang satu dogma harapan sutradaranya!) akan dua hal yang yang tersingkap dalam mana-mana pembikin filem ataupun penonton filem: membikin filem itu bukan hal yang main-main dan membikin filem (guerilla filmaking) yang menentang formula studio filem-filem Hollywood. Entahlah aku tulislah nanti, sebab filem ini aku mahu duduk dan selam lagi sekali sebab ia sangat addictive.
lihat: http://www.imdb.com/title/tt0173716/
The Night of the Hunter(1955) Sebuah lagi filem yang ingin aku kupas betul-betul kerana sudah menjadi filem kegemaran aku.
Pengarahan Laughton ini amat penting dalam pembinaan semula filem kanak-kanak, ngeri (thriller), mengambil idealisme ekspresionisme (babak sungai yang panjang) dan pencampuran "dreamlike fairytale" dalam membangunkan cerita dari kaca mata kanak-kanak. Kalau aku ada anak-anak nanti, selain Nujum Pak Belalang, ini adalah filem klasik yang wajib aku tayangkan kepada anak aku bila mereka dah boleh menonton nanti (dan bukan filem-filem seram, hahaha!)
lihat: http://www.imdb.com/title/tt0048424/
W.(2008)
Oliver Stone nampaknya dah mula "memperdana"kan dirinya. Pun begitu, taklah bermakna kuasa sentuhan kontreversi dan kritikannya terhadap Kerajaan Amerika sudah berkurang. Selepas World Trade Centre yang buat aku terlalu "lurus" buat Stone, W. merupakan satu pengembalian Stone dalam mengupas hidup presiden-presiden "hram jadah" dari Amerika (termasuk Nixon yang amat disukainya). Tetapi W. juga senang diikuti tanpa banyak leretan plot seperti yang berlaku dalam Nixon, cerita tentang George W. Bush Jr. (lakonan kuat Josh Brolin), cara beliau "naik" dan kemudian "merundum" oleh sebab Bush adalah Bush. Menariknya, Stone melihat Bush dengan intim. Kita (para Islam) yang membencinya pun akan memahami Bush dan pilihan serta perilakunya atas lapisan kemanusian. Stone berjaya "memanusiakan" Bush dan ini amat menarik setelah kita tonton pelbagai henyakan yang dilakukan media terhadapnya (terutamanya oleh Micheal Moore). Filem ini sebenarnya sebuah filem yang menampilkan bagaimana untuk mendapatkan seks yang terbaik tetapi gagal mencapai klimaksnya. Menarik.
lihat: http://www.imdb.com/title/tt1175491/
Up(2009)
Adakah Pixar dan Disney ke arah membikin filem-filem berseni? Selepas Wall-E, filem ini menjadi contoh yang terbaik bahawa pihak di Pixar seperti Peter Docter sedang ke arah itu. Aku tidak tahu jika kanak-kanak yang biasa menonton He-Man atau Spongebob akan sanggup menerima filem seseni ini. Tetapi Docter sebagai pengarah memberi ruang filem ini untuk difahami penonton muda dengan watak Russel yang gemuk. Pixar sememangnya sedang berani menyaingi Studio Gibli. Filem ini berat atas sebab temanya yang bergerak atas makna impian dan semangat kita untuk mencapai impian itu. Dalam pencapaian impian itu, apa yang boleh dan tidak dibolehkan dari segi moral? Ini yang menarik dikupas oleh Pixar.
lihat: http://www.imdb.com/title/tt1049413/
Laskar Pelangi(2008)
Entah berapa kali kita mahu kalah dengan pembikin Indonesia? Ini sebuah lagi filem yang menunjukkan masyarakat Indonesia lebih banyak membaca daripada kita: ada pembikin filem yang mengadaptasi novel terkenal kepada filem, ada peminat kepada novel yang menunggu untuk menonton filem ini dan membicarakan tentangnya.
Filem arahan Riri Riza dengan penulis skrip Ayat-ayat Cinta ini secara umum berjaya mengangkat satu kecantikan tentang semangat anak muda miskin di Pulau Belitong yang mahu belajar dan bagaimana kerana persekitarannya, mereka terpaksa berusaha lebih lagi untuk mencapai impian seperti orang lain, malah memaparkan yang penting itu: peluang memberikan pelajaran buat anak-anak.
Ada satu babak yang membuat aku tersedu menangis oleh sebab simplicitynya yang jujur. Cikgu Muslimah baru mengangkut sebuah almari kaca terpakai ke dalam kelasnya untuk meletakkan trofi yang dimenangi oleh anak-anak muridnya. Almari yang asyik terbuka pintunya dipandang dengan bangga dan seronok (amat childlike) oleh Cikgu Muslimah, lalu kita lihat syot anak-anak muridnya yang melihat trofi dalam almari kaca itu dengan wonderment yang asyik, seakan mereka sedang melihat "satu dunia" di trofi dan almari itu. Tangkapan itu satu magis dalam filem ini, menyentak pelbagai emosi serta makna, satu yang paling jelas adalah kenaifan anak-anak ini yang berjaya ditangkap, memberi pendapat (walaupun mereka tidak merintih, hal yang tentu berlaku dalam telefilem Malaysia) bahawa kemiskinan mereka itu bukan penghalang untuk mereka melihat dunia dalam cara mereka sendiri.
Maka inilah sebenarnya yang ingin dibawa oleh Riri Riza, bagaimana menghubungkan dunia secluded kepada penonton bertamadun, walaupun buat penduduk Indonesia. Rentas-rentas cerita, wajah dan rasa inilah yang penting, dan buat aku, atmospheric feel yang dicipta oleh Riza, seakan fairylike kepada tempat yang (sebenarnya miskin) buat anak-anak yang tidak kenal dunia ini seakan satu gula-gula mata, ditolongi dengan kecantikan fotografi filem (hanya Cinta dan PGL kita yang mencapai taraf cantik ini) yang amat tekun dan teliti.
Flem ini tidaklah sesempurna filem yang baik sebenarnya. Babak awal sewaktu anak-anak miskin ingin disekolahkan di Muhamadiyah itu, terasa ambiguiti oleh sebab kita tidak tahu siapa dan siapa (tangkapan hanya tangkapan muat, tanpa ada cerita buat setiap pelajar). Malah apabila watak si budak (yang memenuhi kuota murid untuk meneruskan kelas, aku teringatkan Not One Less) besar (kita faham, dia tulu tetapi mahu belajar oleh sebab tuanya dia dari murid-murid yang lain) dengan stokin merah panjang sampai, ada sense of relief berlaku. Tetapi selepas itu, kita tidak kenal lagi dengan anak besar dengan stokin merah itu, hanya disisipkan dengan subplot-subplot lain (yang tidak kurang menarik) menyebabkan keimbangan cerita filem ini sedikit cacat. Hanya tiga watak anak-anak yang dipedulikan, dan yang paling mengesankan adalah anak miskin yang pandai itu (babak-babak ambiguiti dia dengan buaya itu terjawab di akhir cerita). Hal ini tidak ditolong dengan syarahan Cikgu Muslimah (lakonan Cut Mini Theo, pelakon yang paling lemah dalam filem ini, tetapi mempunyai beberapa babak intimasi yang menarik sewaktu Ketua Gurunya meninggal) tentang kepentingan belajar (amat didaktik dan melewah). Babak-babak itu sangat melemaskan.
Oleh sebab itu, dengan keberadaan anak-anak ini dengan cerita mereka, dengan semangat mereka untuk belajar (buat mereka, pengalaman belajar itu satu dunia yang sangat nikmat - kaitan terhadap trofi dalam almari tadi) menjadi pelangsung filem ini diingati dan beremosi. Aku teringat sebuah buku Jepun yang sebenarnya jauh lebih baik daripada novel Andrea ini, Totto-Chan: The Little Girl at the Window dari segi kenikmatan pembelajaran dan hidup anak-anak (Laskar Pelangi banyak yang tidak menafsir teks ke imej dengan baik, membawa kita "mengidolakan" imejnya atas sebab maknanya, termasuk satu babak pelangi yang tidak membawa makna apa-apa), tetapi buat satu filem yang memperkenalkan realiti zamna dahulu anak-anak miskin Pulau Belintong serta "dunia cantik di sekolah" yang mereka kecapi lantas melupai kemiskinan mereka adalah satu rahmat dalam filem ini.
lihat: http://www.imdb.com/title/tt1301264/
Manhattan(1979)
Pembukaan filem (lihat di bawah) dengan runut bunyi spetakular Rhapsody in Blues Gershwin, dengan naratif Woody Allen yang cantik dan sempurna tentang ketidaktentuannya, neurosisnya terhadap New York yang diulang-ulang, dijuktoposisikan dengan kepelbagaian, budaya, cantik, romantik dan perayaan agung terhadap New York menyebabkan kata-kata jadi "kosong" untuk menggambarkan New York. Hanya imej sahaja yang penting: hanya sinema sahaja yang penting. Ini adalah filem terbaik Woody Allen.
Ceritanya tipikal Woody Allen; Allen bercinta dengan Mariel Hemingway (yang sangat sempurna dan tulus lakonannya) sedang Micheal Murphy yang berselingkuh dengan Diane Keaton di belakang isterinya membuatkan Allen terfikir dua kali tentang perhubungannya dengan Hemingway. Kompleksiti perhubungan "orang-orang budaya tinggi" (yang secara mencuitkan, menampakkan kebodohan dan kejahilan mereka) ini dilatarkan oleh romantisme dan hiruk pikuk kota New York. Ya, Allen tidak sedar, Mariel Hemingway merupakan "simbolisme" kenapa beliau mencintai New York, romantisme ("Just love me," kata Hemingway) lwn. kekalutan manusia kerdil. Di sini, New York sendiri adalah sebuah watak - hanya Woody Allen yang berjaya memberi nafas satu bandar sebagai satu watak yang benar-benar bulat. Aku tidak pernah jumpa sebuah filem yang menampilkan bandarnya sebagai watak sesempurna ini.
Ini disempurnakan dengan apa yang Woody Allen (walaupun lebih terhadap kaca mata Allen terhadap apa yang beliau suka tentang New York, menolak jiwa-jiwa lain New York seperti Greenwich Village, Harlem, yang buat aku, drama siri Sex and the City mencapai penyeluruhan ini) lakukan dengan menyelitkan plot penceritaan dengan lokasi-lokasi sebenar di New York serta majlis-majlis yang berlaku (tayangan filem, pameran lukisan, teater), membuatkan filem ini "hidup" dan mengorganikkan New York (Cinta sudah separuh sempurna dalam hal ini, tetapi tidak mencapai organik yang dibuat seperti filem ini). Allen berjaya mengikonikkan beberapa lokasi New York, menyebabkan filem ini sendiri menjadi "nostalgia" kepada sesiapa yang menontonnya.
Rata-rata, lakonan filem ini memberangsangkan, termasuk watak-watak kecil seperti anak Woody Allen, termasuk lakonan pertama Meryl Streep sebagai bekas isteri Allen yang lesbian. Semuanya sempurna dalam filem ini, termasuk suntingan dan fotografi. Hitam putih filem ini benar kepada jiwa New York Allen (sekali lagi, makna nostalgia itu). Pengkahirannya juga satu pengkahiran yang indah, ketidaktentuan Allen (untuk percaya terhadap janji Hemingway) adalah rumusan yang melengkapkan bagaimana Allen membuka filem ini. Yang penting, beliau harus "percaya" dan "sayang" walaupun mungkin Hemingway akan meninggalkannya. Satu filem untuk dirayakan. Antara filem kegemaran peribadi aku.