03 September 2018

Munafik 2 (2018)


Kupasan ini ada spoiler.

Ada dua imej yang menarik dibawa dalam sambungan filem pecah panggung karya Syamsul Yusof kali ini.

Pertama ialah pilihan set "yang disengajakan" oleh Syamsul, mengembalikan koda ekspresionisme Argento (menurut Argento: filem adalah suatu catan yang mementingkan ekspresi-rasa-emosi pembikinnya daripada logik dan plot cerita). Jika kita teliti betul-betul, semua babak "tempat tinggal hantu", bermula babak awal filem (berakhir babak puncak Munafik asal) ini, hingga ke akhir, semuanya rumah tinggal tidak berpenghuni dengan bumbung langit dan tingkap kosong, ATAU di dalam hutan/paya (bila hantu itu timbul mengacau Syamsul di dalam perahu, aku memanggil hantu itu "hantu bibik"). Imej ini menarik kerana ruang, selain gelap dan bayang dimainkan, tiada usaha penutupan dari lantai ke bilik, hanya ruang-ruang ini berongga. Syamsul bijak dalam hal ini kerana dua perkara. Selain (1) memberi pedoman terhadap siri filem pertamanya, yakni mengapa set rumah tinggal itu dipilih (mitosnya, semua ruang ini tempat tinggal syaitan/jin/hantu, yang mana hantu bibik itu menepek bersama Syamsul/Ustaz Adam hingga ke rumahnya), (2) menguatkan teknik efek seram dalam perbandingan yang disengajakan, yakni ruang berongga (tempat "asal" hantu) lawan ruang tertutup (rumah berpenghuni, di sini, rumah Sakinah/Maya Karin dan rumah Adam):

Ada dua rumah yang berlaku pengacauan. Pertama rumah Adam dan kedua rumah Sakinah. Dari segi susun efek seram, babak seram di dalam rumah Sakinah, khususnya sewaktu ayah Sakinah "bangun" sangat efektif (babak ini efektif, tetapi runut efek bunyi yang terlalu melampau digunakan oleh Syamsul telah melemahkan mood seram filem ini, aku kurang tutup telinga untuk Munafik 2 kali ini jika dibandingkan dengan yang pertama). Lihat, dengan menarik, bukan sahaja Syamsul bermain dengan kegelapan, bayang-bayang dan ruang lohong yang gelap, Syamsul "memerangkap" wataknya sehingga watak yang diganggu itu dipaksa untuk berundur ke sudut ruang rumah itu, atau menyorok (anak Sakinah menyorok di bawah selimut). Perangkap ialah kata kuncinya.

Kemudian, sebagai pertentangan imej ruang, pada satu babak, Ustaz Adam diperangkapkan dalam sebuah keranda kayu, di dalam sebuah rumah tinggal di mana Abuja (Nasir Bilal Khan) menyimpan hantu-hantu dan mayat korbannya. Babak Adam di dalam keranda itu sangat-sangat efektif. Selain menjadi metafora besar filem ini (perangkap maut/syaitan terhadap keimanan manusia yang berjuang untuk mengenali Allah), ia juga menjadi imej yang berkesan dari segi sebab-akibat watak Adam, yang menjadi perbandingan besar terhadap Abuja. Di sini, kita lihat keranda kayu itu, yang tertutup, tertinggal di sebuah ruang rumah tinggal yang kosong, berongga lohong: terdapat perasaan serba sunyi, pathetik dan merusuh di sini, jejak jiwa psikologi seseorang yang murung, sendiri, tertutup, dan tiada sejalur rasa pun adanya Tuhan sebegai cahaya penolong. Inilah dia rumah jiwa syaitan. Imej keranda di rumah tinggal ini juga berfungsi sebagai penunjuk peranan syaitan/iblis adalah untuk memerangkap dan mereka beredar di merata-rata tanpa sekatan (dan sesiapa yang sudah terperangkap/munafik/hilang iman menjadi keranda tidak bergerak lagi, kaku). 

Sebagai perlawanan imej itu, manusia yang bertamadun dan mempunyai tatacara, mengadakan rumah; meletakkan ruang dengan penutupnya, yang tetap dapat diselinap masuk oleh entiti yang sentiasa datang menyelinap untuk meruntuhkan tamadun jiwanya. Membuang logos, rumah (yang sengaja dikelamkan) Adam ialah jiwa Adam sebenarnya, walaupun tampak "beriman", tetapi terganggu, dan sedang digoda-kacau oleh entiti yang menemuinya sedari kematian Nabila Huda daripada filem pertama. Rumah Sakinah ialah jiwa Sakinah pula, yang penuh kecamuk iman dan gelut rasa mencari dan meraba-raba hidayah, yang juga telah diperangkap oleh syaitan.

Hal ini amat menarik dalam sekuel Syamsul kali ini, tetapi diruntuhkan tiba-tiba, atas kedegilan Syamsul menggunakan satu lagi ruang set: gua.

Gua ialah kecundang filem ini.

Aku faham bahawa gua merupakan set homaj Syamsul (yang juga mungkin menyindir para orang Melayu yang duduk beruzlah di gua-gua untuk menguatkan iman) terhadap filem lama kita seperti Perjanjian Syaitan atau Ahmad Albab yang memaparkan hantu/jin tinggal di situ, tetapi ia juga menjadi set "ketiga" dalam efek seram filem ini, semacam transisi dari rumah berpenghuni ke rumah tinggal. Gua sememangnya kita tahu, bukan sahaja ruang berongga (seperti rumah tinggal) tetapi ruang tempat manusia dahulu tinggal sebelum menemui tamadun (dan berjaya membina rumah). Namun ruang itu sangat berisiko jika tidak digunakan dengan betul. Dalam satu babak, Sakinah meninggalkan rumahnya (rumahnya sudah diduduki iblis) bersama anaknya lalu tinggal di gua. Ini semacam memberi lambang kekolotan dan kedunguan Sakinah yang cuba lari dari iblis Abuja dan orang Abuja. Tapi efeknya begitu mengarut untuk melihat ada estetika makna terhadapnya. Malah, imejnya langsung runtuh kerana tidak ada lagi makna betul terhadapnya, baik dari konteks ekspresionisme atau dari konteks cerita-plot. Ini adalah kerana ia melanggar kedua-dua set yang telah disusun dengan syarat dan makna seramnya tadi: gua terbuka untuk hantu tiba/Abuja tiba, gua mudah untuk memerangkap sesiapa, gua ialah ruang tanpa pedoman.

Kehilangan pedoman ini yang disesalkan timbul dalam filem sekuel Abuya ini. Walaupun ini sebuah filem yang mementingkan ekspresionisme, namun kita tidak dapat lari daripada menjerit: Wei, kau dah tahu ada ajaran sesat, afasal kau tak telefon JAKIM? Malah pada satu babak yang sungguh membingitkan, aku terpaksa mengaku ia mencapai tahap kebiolan kelas pertama: apabila Mawi memberitahu "ramai orang kena bunuh oleh Abuja", aku terus meloncat dari kerusi pawagam aku apabila watak-watak dalam filem lepas diberikan kenyataan itu, masih lagi selamba merenung sungai tanpa rasa bersalah. Aku bayangkan, tentu kampung tempat duduk Abuja (yang orang kampungnya hanya dalam 20 orang) ini terlalu terpencil sehingga menjadi sarang komunis dulu-dulu menyorok dari polis dan tentera. Efektifnya tempat ini sampai berbulan-bulan ada mayat bertompok-tompok (missing person you olls!) pun sedara, sepupu sepapat, nenek, kawan sekolah dan jiran sebelah rumah tak pergi cari. Syamsul sayang, orang kampung Melayu tak macam orang Melayu di bandar tau. Tahukan ada peribahasa "Telur sebiji riuh sekampung"? Pergilah baca mana-mana karya Shahnon Ahmad dan Syamsul akan faham betapa terikatnya komuniti kampung sesama sendiri, sehingga cerita "kampung sebelah" pun mereka tahu apa jadi semalam. Kalau tak percaya, tanyalah Mamat Khalid. 

Tak selesai kebiolan itu, timbul lagi satu babak "Haa?" apabila setelah Ustaz Adam selesai "membuang" hantu daripada ayah Sakinah, ditinggalkannya Sakinah, anaknya, BERSENDIRIAN di rumah sorang-sorang dengan mayat ayah Sakinah dan balik naik bot! Setelah segala yang diberikan kepada kita pada babak sebelumnya?! Serius, aku baru nak puji Syamsul, lebih-lebih lagi babak ayah Sakinah mengacau itu merupakan babak "impian" yang aku ingin lihat setelah membaca novel seram saka Suangi HM Tuah Iskandar dan siri-siri Bercakap Dengan Jin Tamar Jalis dahulu. Realisasinya berjaya diungkapkan dalam imej, suatu seram Melayu yang tulen. Tapi, setelah itu, Sakinah dibiarkan sebatang kara menunggu mayat ayahnya di rumah? Mana kawan-kawan Mawi yang turut membaca Quran pada awal-awal cerita? Serius, menangis kecewalah pembikin filem seram Cathay Keris bila menonton babak ini.

Watak Sakinah ni satu hal lagi. Ramai orang yang tidak faham mengapa Sakinah ni tinggal terperuk (dekat) kampung Abuja membuat kerja sesatnya. It is fine jika Sakinah mengaku "Kita takde duit nak bawa ayah ke mana-mana, tunggulah ayah sihat nanti". Tetapi bayangkan bila babak anak Sakinah bertanya kepada ibunya, "Kenapa kita tinggal di sini mak, jauh dari orang?" (jadi ini bukan rumah ASAL mereka??) Sakinah jawab selamba, "Sabarlah, nak. Ada sesuatu yang akan tiba untuk kita." Aku mati-mati ingatkan Sakinah ini akan (1) menerima rezeki berkepok-kepok kerana menunggu, atau (2) menerima keramat Allah kerana itu kemudian dia tidak lari dari tempat itu dan masuk ke gua. Rupa-rupanya lebih muslihat daripada itu yakni, dia menunggu-nunggu untuk nikmat tongkat Abuja dan para pengikutnya! Astaghfirullah!

Filem bersalur misogini (ada dua wanita dalam filem ini ditusuk dengan kejamnya ... kejamnya kamu wahai Syamsul! Kejam, kau sungguh kejam! Oh!) ini juga menaburkan ayat-ayat al-Quran dan tengking-tengking dakwah yang kita pernah tonton dan gagal menambat hati aku seperti dalam telefilem Faisal Tehrani, drama siri dakwah Erma Fatima dan rancangan-rancangan Persembahan Evangelis di midwest Amerika. Masalah bentuk ini, selain menonyoh-nonyoh ayat-ayat itu ke dalam telinga kita berkali-kali seperti satu drama radio (cuba tutup mata dan biarkan telinga anda apabila menonton filem ini, anda akan sedar poin aku) dua jam, citra dakwah yang disampaikan oleh Syamsul dan geng menghampiri takfiri ("Kalau kau tak ikut, kau tak ada iman, kaulah fasik, munafik, kafir!" Kini sedang ada fenomena penonton tempatan yang mentakfiri pula penonton yang mengkritik filem ini, nauzubillah!) kerana saling lawan berlawan "tarbiah sentap", malah tidak ada sejalur bebenang tasawuf pun yang dapat kita lihat dalam percubaan dakwah Adam-Abuja ini (atau kekeliruan Syamsul dan orang awam akan ilmu tasawuf?), yang bagaimana halusnya dan ada caranya untuk bercakap (seorang yang belajar sufi tidak akan menjawab sepatah apa pun apabila Abuja mengherdik dengan kata-kata sesat "menunggang agama"nya itu, dia akan terus berlalu dan mendoakan agar Abuja mendapat hidayah .. dan selepas itu telefon JAKIM!) kepada kalangan yang sudah tersesat jalannya.

Seperti filem Abuya yang orang-orang kampung jirannya tidak peduli pun untuk telefon JAKIM, membiarkan tok guru yang saling bertukar pasangan perempuannya terus menjalankan dakwahnya, Munafik 2 kali ini diakhirkan dengan babak puncak yang begitu biblical sekali, langit meludah guruh kilat dan bumi bergoncang, mengulang sama penyeleraian yang pernah disusun buat oleh filem asal, dengan bajet yang lebih mahal (tolak dinding batu ke tanah, mahal tu!) tetapi hilang keberkesanan dues ex machinenya. Pelampauan ini tidak dibantu oleh lakonan para pelakon yang mencuba, termasuk Maya Karin yang benar-benar hilang arah (selepas dia merasai tongkat orgi Abuja, dia akur berfitnah: Sakinah, you harlot, you Jezebel!) dan Nasir Bilal Khan yang satu dimensi. Hal ini kerana ditandai oleh lakon layar yang lemah, yang tidak memberikan nafas kepada watak lain untuk berkembang baik dan hanya menumpukan pergolakan jiwa penuh kristal dan syahdu Adam/Syamsul yang cepat amat terasa tetapi tetap mahu menunjukkan bagaimana dia menerima hidayah walau ditohmah macam-macam.



Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas, seram, termasuk misogini dan imaginasi rogol orgi yang sangat tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 17.

DITONTON DI GSC, MyTown.

No comments: