20 August 2014

Jin(2014): Pierre Andre Seterusnya

Harga tiket yang tinggi sekarang masih terus mengecam tarikan penonton untuk menonton filem Melayu. Kita amat susah untuk belajar daripada peristiwa lampau. Dalam kemelut dan "kiamat kecil" terhadap industri perfileman kita, adakah kita masih berpeluk tubuh dan menyatakan, "Ini pun akan berlalu suatu hari nanti."

Datanglah Jin, suatu lagi percubaan seram daripada pencipta seram Jangan Pandang Belakang, Seru, dan Highland Towers, Pierre Andre. Apa lagi perkara yang baharu, inovatif, dan kreatif yang dapat disampaikan oleh putera seram ini dalam tema hantu-Melayu-Islam yang hanya dapat berlegar dalam tiga ruang ini sahaja (?): kena sampuk-kena sihir-hal saka.

Pedulikah kita?

Jin masih lagi mengulang hal yang sama, dengan debaran yang sama, dan cara takut yang sama, dengan banyak meminjam beberapa filem seram baik, gerakan kamera dalam filem Argento (menguakkan mood voyeur, tapi apa maksudnya dalam filem ini? Siapa yang melihat? Jin?), labah-labah Fulci, dan, tema main nyorok-nyorok dan rasuk ala The Conjuring James Wan. Untuk meningkatkan lagi segala "ilmu" hafalan pengarah itu, dia memasukkan pula (sekali lagi) seorang ustaz, kali ini, Imam Muda Naufal yang sungguhlah kacaknya sebagai tarikan utama (kau ingat Zul Ariffin sahaja yang seksi dalam filem ini?) untuk berseters dengan hantu.

Satu jam awal filem ini bergerak statik, tanpa apa-apa yang berlaku, melantun hal-hal "things that bump in the night" sebagai prakata sebelum plot sebenar berlaku dengan kehadiran Imam Muda Naufal dengan pembuangan hantu ala Islam tulen (yang kita dapat tonton ditayangkan di TV3 atau dalam youtube). Gaya yang digunakan menarik (bagi penonton luar yang kononnya ingin melihat realiti ritual exorcist dalam Islam), yakni menyampaikan cara pembersihan itu ala dokumentari (ya, dengan kamera goyang segala). Namun begitu, dengan hal ini juga masih menampilkan sebuah cerita yang amat mudah tanpa perangkap dan debaran yang tulen. Apakah konklusi yang kita dapatkan, setelah Imam Muda berjaya (seperti biasa) akhirnya melakukan pembersihan? Dibukalah, sekali lagi, analogi ini: Malaysia yang progresif material dan kelas (berpindah ke rumah besar) memperalatkan agama sebagai mekanisme untuk terus bergerak maju dalam maksud kapitalisme bebas. Sekali lagi, kisah "mitos" KLIA diulang, yakni tempat yang keras (ada banyak jin) perlu dihalau dan kemudian diperdindingkan dengan ritual agama agar manusia dapat hidup aman sentosa dan terus marak maju dengan pembangunan negara. Agama hanyalah alat (dalam filem seram kita) sekular untuk mengimbangi ketidaksiuman kita menghadapi kekayaan dan kemajuan melimpah. Agama menjadi dadah konsumerisme sekarang. Ringkas, mudah, dan selapis.

Skrip juga tidak membantu, sekurang-kurangnya memberi perungkaian yang sedikit menyeronokkan, memberi latar sejarah atau riwayat terhadap Zul Ariffin dan Mon Ryanti yang jelas-jelas boleh berlakon (kenapa mereka memilih tempat itu, kenapa membelinya, kenapa berpindah?). Plot filem hanya menjunam seperti jet turun ke landasan, selamba dan bosan. Namun memang terdapat momen seram yang menarik, dan kejutan yang menakutkan (namun tipikal untuk penonton seram biasa), khususnya pada bahagian Mon Ryanti ditinggalkan seorang. Terdapat juga babak wajah Mon yang agak menakutkan, mengimbaukan wajah "jin", namun aku punya kerisauan jika penonton Barat yang menontonnya, akan menyamakan wajah itu dengan karikatur The Scream Edvard Munch. Hal ini menarik sebenarnya, tapi, alas, kita tidak dapat pelajari dengan lebih mendalam tentang watak Mon Ryanti daripada skrip untuk mengiakan visual The Scream ini dihuraikan.

Pada bahagian tertentu, runut bunyinya menjengkelkan, pada bahagian tertentu pula, ruang runut bunyi ini baik dalam sisi gendang dan efek khas burung layang-layang dalam guanya.

Formula yang sama dan menjengkelkan kadang-kadang, lembap, terasa panjang untuk sesuatu "berlaku", namun mempunyai momen yang tersendiri tetapi tidak dapat menyelamatkan keseluruhan cerita. Suatu lagi yang menjengkelkan bagi aku ialah penggunaan teks Quran di hadapan filem, dan kali ini, penggunaan Iblis si Jin yang tidak mahu tunduk kepada Adam. OK, sudah. Teks Quran itu sendiri besar gagasannya, bermaksud lebih luas untuk dihurai dan ditekuni (tidak mungkin Jin/Syaitan dalam filem ini hanya mencubit orang, membuka pintu, memasang TV, dan merasuk untuk menghancurkan umat manusia?!), tetapi mensisipkannya pada awal filem ini menambahkan kesombongan filem ini sedangkan ceritanya mudah. Mungkin ini suatu petanda, penulis skrip kita bukan sahaja perlu berhati-hati selepas ini, tetapi mencari kesatuan maksud dan teks yang lebih padu dan menyelirat daripada penggayaan struktur yang sama dan tidak menjanjikan apa-apa.

Klasifikasi: P-13, beberapa babak seram yang mungkin tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak. 
MENONTON DI GSC Pavilion.  

2 comments:

Anonymous said...

Aku tgk muka pierre andre ni kan... gempal/berlemak... tapi badan sekeping je. tak tau la boroi tu die ikat ke tak. penah buat liposuction ke?

Anonymous said...

Pengarah wannabe dah mulakan tugas.. Kritik lah selagi boleh kritik.. Kalau boleh mengarah sekali.. Nak juga tgk hasil kau