Showing posts with label Woo Ming Jin. Show all posts
Showing posts with label Woo Ming Jin. Show all posts

29 August 2013

KL Zombi(2013):

Aku tak mahu tulis panjang-panjang.

Aku menganggap bahawa filem ini dibikin dengan sikap suka-suka dan enjoi tak hengat. Aku menganggap, kerana duit pun ciput, perkara yang kita nak buat pun tak sampai. Aku menganggap ini bukan filem seram. Aku menangis dalam hati menontonnya, menyedari pelbagai "kesusahan" yang ia perlu lalui. Entahlah, aku dah malas nak salahkan sesiapa. Aku tahu LPF punya fasal dan mungkin orang-orang tertentu yang menyebabkannya.

Sekurang-kurangnya aku nampak beberapa hal:

Ada darah (bukam macam Zombi Kampung Pisang)

Zombi datang gigit (bukam macam Zombi Kampung Pisang)

dan

Mata putih kematian (bukam macam Zombi Kampung Pisang).


Filem ini diadaptasi daripada skrip Adib Zaini dan Woo Ming Jin (dia meletakkan kredit namanya sebagai MJ Woo dan aku syak ini "Alan Smithee"nya) daripada novel Adib Zaini dengan cerita asal Woo Ming Jin, Zombijaya. Aku tak kata novelnya hebat tapi dunia apokalips yang mereka cipta menarik. Paling seronok ialah dialog-dialog celaka dalam novel itu. Kiranya, separuh daripada jalan cerita dan dialog celaka itu tersembul juga dalam KL Zombi. Di sini (spoiler) ada yang berlaku penyimpangan, terdapat suatu penyimpangan yang maha besar dan buat aku, sindiran sinikal sosial Adib terhadap MLM (berkait dengan kapitalisme cepat kaya dan struktur proses perniagaan yang juga berkait dengan pembiakan zombi) menjadi punah dan punah dan punah (aku tidak punya masalah dalam bentuk apa-apa pun suatu bahan hendak diadaptasi, menjauhi karya asal pun aku tidak ada masalah, tetapi logos dan rohnya kena betul dengan karya asalnya). Semacam, separuh awal plot yang penuh sinikal dan "hah, ambik kau Malaysia!" menjadi taman hiburan dan taman hiburan fun fair (runut bunyi filem pun macam satu sarkas yang tak tahu bila nak berhenti) yang akhirnya tidak dapat diselamatkan lagi. Pada babak apabila sang polis Azman melaung, "Aku dah dapat ubatnya, ubat dari turunan datuk nenek aku nak baikkan zombi." Aku hilang maksud. Dan aku menyedari, benda macam ni hanya boleh berlaku dalam filem Malaysia.

Namun begitu, raikanlah lakonan dan watak gila-gila Nipis lakonan Zizan Razak. Raikan dialog gila-gila yang di tut-tut-tut atas dasar "tontonan umum". Raikan Iedil Putra (entah, aku minat mamat ni). Raikan Izara berubah jadi zombi. Raikan mainan lawan-lawan mat rempit. Raikan imejan kiut ambil nombor ekor tapi keluar zombi (that one was seriously hilarious). Raikan banyak awek Melayu yang hot dalam filem ni. Sekurang-kurangnya wajah tidak ada tepung gomak dan menjerit, "Otaaak, otaaaak, otaaaak!"

Klasifikasi: U, tetapi perkara ini dipersoal dalam beberapa isu ganas dan moral buruk dalam filem ini. 

MENONTON DI GSC Berjaya Time Square.

05 May 2011

Seru(2011): Redux & Showdown 2011


Semalam aku tonton lagi filem ini di pawagam, kali ni di GSC Mid Valley. Ha ha. Saje, sebab aku mahu meniti balik "perasaan" yang aku jumpa (serta meneliti pandangan Ridhwan Saidi bahawa filem ni suck), serta beberapa misteri yang aku mahu "buka". Ok, secara benar, filem ini memang boleh membuat korang pening, yang aku rasakan, memang, cara gerak kameranya "telah menyebabkan" hal ini (aku tak tahu jika [Rec] menyebabkan hal yang sama kerana aku hanya menontonnya dengan DVD). Kawan yang aku bawa banyak kali membingit kerana pening dan mahu muntah. Ya, dia tidak terhibur (dia tidak suka filem-filem sebegini).

Ini yang aku temui (ada banyak spoiler, jadi yang belum tonton tak usah baca):
1. OK, aku mengaku sound system merupakan antara penyebab utama kenapa sesebuah filem seram menjadi, dan ini amat penting bagi filem-filem moden sekarang (yang memerlukan kesan ini untuk mengejutkan - ini sebenarnya kesan yang menipu kerana sepatutnya, sebuah filem seram sepatutnya seram dengan hanya imej dan paparannya sahaja, sepertimana Nosferatu berjaya bangkitkan 70 tahun yang lepas).. Aku tak tahu mengapa, bila aku menonton dengan adik aku di GSC Pavilion "feel" filem ini "melitar" aku dan adik aku "seakan-akan" kita benar-benar di tengah hutan. Dengan kesan suara yang "bagus", aku menutup telinga (rahsia filem seram yang baik, khusus yang moden ialah suaranya, kerana suara yang sebenarnya menakutkan kita, bukan imej lagi dalam dunai pascamoden ini). Untuk tayangan Mid Valley semalam, aku langsung tak tutup telinga! Aku terpaksa melaporkan, sistem suara pawagam tu agak "suck", sebab "suara" yang aku dengar hanya "di hadapan layar" dan bukan kiri kanan dewan. Aku memerhati bahagian tempat duduk belakang, ramai penonton yang bingit dan kecoh, kerana suara "tidak jelas", malah ada yang komen "kenapa mereka tak letak subtitle?" Aku perhati, penonton di barisan tengah dan ke hadapan lebih "feel" kerana setiap kali berlaku "serangan hantu", sekumpulan budak perempuan menjerit habis, diam dan "meneliti" filemnya.

2. Kalau tak silap aku, ada 9 "orang" yang di"tangkap" hantu, termasuk Lina, termasuk dibunuh oleh mangsa perasuk. Sebenarnya, ada lebih kurang 6 orang, termasuk pelakon "utama" yang "berjaya" balik dengan kereta meninggalkan tempat penggambaran. "Pembunuhan" hanya berlaku bila bomoh orang asli itu mula "meletakkan sesuatu" ke dalam Sari (mengaktifkan hantu?) Bomoh sudah "merencanakan" segalanya dan tahu, "selebihnya" akan datang ke rumahnya selepas adegan pembunuhan. Oleh sebab itu, mereka yang sampai dihendap dan di"tatu". Antara empat yang ditatu, seorang menjadi "pengikut" - Azman (muntah-muntah dan pening setiap kali keluar suara mantera, tetapi ada teori yang menyatakan Azman kemungkinan sudah merencanakan hal ini dari awal, tetapi hal ini mungkin kontra dengan pilihan si pengarah yang sebenarnya memilih lokasi penggambaran, malah memarahi Azman kerana "tidak cari orang untuk pagar" - hal ini amat disukai oleh adik aku kerana "ini memaparkan budaya filem ni yang tidak ada dalam filem luar lain").

3. Ada yang mengatakan kegeraman sebab para kamera (si pemegang kamera) tidak berbuat apa-apa tetapi "merakam". Ini salah. Dua kali sang kamera sebenarnya melakukan keganasan, dengan kamera atau menerjang Sari yang dirasuk. Pertama oleh Budi, kedua oleh Tony (Tony gari Sari). Malah oleh sebab ini, kamera yang dipegang Budi mula "rosak", yang kemudian terdampar berdekatan rumah bomoh.

4. Mangsa yang dibunuh hanya boleh dibunuh oleh manusia yang dirasuk hantu, atau bomoh (bomoh mahu mengkelar Jeff pada waktu akhir), mereka tidak boleh dibunuh oleh "hantu" itu sendiri secara zahir. Ini dipaparkan bila Tony dan Sham masuk hutan dan dikacau oleh "hantu anak bomoh seakan Julie". Tony dibiarkan terjerut atas pokok, menunggu untuk si bomoh "mengutip"nya untuk sembelihan (di sini poin Ridhwan menarik, kenapa bila sampai sungai, tiba-tiba Tony dan Sham dapat "terus" kembali ke pusat krew,? Tetapi aku ambil undang-undang Blair Witch, serta Evil Dead yang mana, dalam dunia "hutan berhantu", perjalanan engkau membuat kau berpusing ke tempat yang dekat atau jauh (dan psikologi kamu waktu tu sudah menyasar). Ya, ini suatu rasionalisasi yang tidak ramai digemari penonton kerana mempunyai "jalan keluar" yang amat menyenangkan pengarah). Kita sedari, apabila "Sari" dibunuh oleh Jeff (ya, dibunuh), hanya kemudian, Azman muncul "dihipnotasi" (aku tak rasa dirasuk). Poin ini untuk menjawab kenapa mereka semua "tak boleh mati terus semua dalam satu masa, habis cerita". Poin kenapa Sari dipilih untuk melakukan hal ini (kenapa tak ambil saja seseorang yang lebih lelaki, besar dan gagah) masih samar, tetapi hal yang menarik ialah ia diambil kerana memberi klise wanita secara zahirnya lemah semangat, maka senang dimasuki, dan si lemah tiba-tiba boleh bersikap agresif. Itu yang menarik.

5. Kemungkinan filem ini sengaja dibikin sebagai "dendam" Pierre terhadap Idham. Pertama, Sam yang "buat filem seram untuk duit" dan "sudah banyak buat filem hantu" dibunuh, malah "penggambarannya" dimatikan. Siapa yang dirasuk? Penolong pengarahnya. Malah, penolong pengarah di sini yang "melenyapkan" krew-krew pilihan pengarah (ini berkait dengan poin "kelahiran semula", Pierre dan Ming Jin seakan-akan menyatakan, filem seram klise Melayu perlu dibersihkan dan dipakaikan baju baharu - kebangkitan "anak bomoh" di akhir cerita). Mungkin ini yang membuatkan Ridhwan menyatakan filem ini pretentious.

6. Aku tetap menyukai babak-babak jerit, serangan dan halunisasi kehadiran hantu dalam filem ini. Ya, ia boleh pergi jauh dari itu, tetapi setakat ini, dengan tidak mempedulikan "lagu" di tengah cerita, bagi aku sudah berjaya menimbulkan sesuatu yang baharu (sekali lagi, suara...)

7. Ada satu sahaja yang aku tidak berapa suka, terganggu mungkin. Aku mempunyai teori, bahawa pada akhir filem, bila "anak bomoh" dibangunkan, ia telah mengamuk dan "membunuh" ibu bapanya (kerana ia bukan roh manusia tetapi syaitan/jin, yang kita sudah sedari, diaktifkan untuk membunuh, klu ini berlaku bila jasad Julie yang dibangunkan itu mendengus, suatu yang bukan manusia). Azman tidak dibunuh kerana ia dibawah "hipnotasi". Manusia yang "sedar" tidak akan dikacau hantu (aku bayangkan Adam tidak sebenar-benar mati, mungkin dialah sole survivor filem ni). Aku bayangkan, Azman akan sedar pada pagi itu dan melihat semua orang sudah mati. Azman akan bawa pita rakaman itu kepada pihak berkuasa. Tetapi persoalan ini tampak "samar" bila ada satu babak yang sedikit dipersoalkan. Mengapa si bomoh, menyuruh Azman membawa kamera itu untuk merakam kebangkitan anaknya? Untuk apa? Malah ini membuatkan babak ini menyatakan Azman "sedar" dan mungkin telah merancang segalanya dengan bomoh itu (tetapi untuk apa?) Sudah dinyatakan, "kamera" itu terakam untuk bukti. Jadi mengapa, pita rakaman itu tidak dirosakkan jika hal ini mahu disimpan sebagai rahsia? Adakah Adam (yang kemungkinan melihat segala ini di suatu titik jauh) yang kemudiannya menjadi hero lantas membawa pita rakaman kepada pengetahuan awam?

Bagi aku, persoalan 7 itu sahaja yang mencacatkan filem ini yang terlancar begitu sempurna, kemungkinan sebagai "pembuka sekual" (Oh no!) Aku mengaku, [Rec] kiranya lebih berjaya dalam babak kalustofobik, dinding tutup, dan si syaitan yang menjelma lalu menarik si wanita (memerlukan kamera untuk cahaya) ke oblivion. Sedang filem ini, bermula gelap-gelap dan kemudian bercahaya terang dan terang (dari elektrik yang dimatikan, diubah kepada api yang primitif dan dari "zaman dahulu" yang amat terang). Sekurang-kurangnya, jalan dan gaya filem ini "betul" dan semahu-mahu aku (ok, jangan guna teknik hand held pun takpe) gaya sebeginilah filem seram kita sepatutnya, tidak buang masa, suspens membina, syot kejutan yang tiba-tiba tanpa amaran, tiada runut bunyi yang mengada-ngada, suara efek yang mengganggu, psikologi pelakon yang betul. Ini satu permulaan yang sepatutnya berkembang, seperti mana cahaya api yang kelam dalam rumah bomoh, menjadi bara besar di tempat pemujaan di akhir filem ini.

Showdown Cun!

Lepas pening-pening semalam aku balik. Aku cubalah tonton apa-apa di TV. Tuhan, aku tonton AF (ulangan di saluran 15), dan betapa tergamamnya aku menonton, betapa tidak menariknya program itu sekarang. Ini bukan sahaja atas persembahan (peserta yang entah yang mana, menyanyi lagu Latin, dengan tarian yang amat buruk sekali) tetapi termasuk cara program itu dilakukan, termasuk Aznil pun! Ada satu babak, Aznil membaca komen-komen FB, dan Aznil (kerana kita tahu perangainya) membaca tentang komen FB menyuruh peserta itu membuka baju. Saat itu aku terus geleng kepala dan tukar siaran (Aznil, serendah ini program itu sudah sujud?)

Kemudian, aku tertonton Showdown 2011. Wow, ini baru satu pertandingan yang benar-benar menarik. Ada semangat, ada kreativiti (daripada peserta), malah ada drama! Aku terpaut dan seronok menonton bagaiman gerak, bagaimana berlaku kitar "Battle" dan semangat peserta membuat tarian. OK, aku bias sikit, aku amat amat gemar dengan Panic (there I've said it) walaupun mereka guna latar muzik yang aku tak suka (Lady Gaga). Itu buat aku suatu perkara yang bagus (lagu yang tak sedap jadi best bila persembahan mantap!) Alamak, nampaknya, Rabu malam aku akan dipenuhi oleh Showdown, serta Jumaat dengan Maharaja Lawak (aku sangat-sangat suka lawak Nabil). Erk! Kematian sinema!

Baca lagi: Ulasan awal.

29 April 2011

Seru(2011): True Horror Menggegar Malaysia



"Siapa yang bengap pilih lokasi ni?" - Sam.

Aku baru balik dari menonton filem ini. Nazim Masnawi mengatakan filem ni bagus (kerana dia kata bagus aku berkobar nak tonton), seorang kawan aku pula MUNTAH selepas menonton filem ni (i kid u not! Ingat The Exorcist sewaktu kemunculannya pada 1979?) Selepas aku menonton filem ni, memang kepala aku agak miring, kemungkinan kerana gerak kameranya (dan secara prasedar ia lebih mengganggu daripada Cloverfield), suara khasnya, atau kemungkinan kerana filem itu sendiri.

Filem ini, dengan sejujurnya, menakutkan.

Aku memang pesimis dan sinikal terhadap filem seram Malaysia. Aku percaya, tidak ada satu yang berjaya "menakutkan", paling kurang "menghiburkan". Apabila Penunggu Istana muncul, aku menyetujui penggunaan "pelakon amatur yang tidak dikenali" sebagai "feel" filem "realisme". Apabila aku teliti para pelakon filem ini, aku melecehkannya kerana sekumpulan pelakon terkenal, serta pelakon filem bebas yang berlakon di dalamnya, aku sedari, mengurangkan rasa feel "seram benar" atau true horror filem ni, menyatakan, ia hanyalah satu "lakonan". Satu lagi filem seram "main-main hantu" kata aku dalam hati.

Betapa salahnya aku ,,,

Awal-awal lagi, kita dimaklumkan bahawa, filem ini simpanan "pita rakaman" Jeff, "mangsa terselamat terakhir" yang menyatakan "kejadian semua orang terbunuh". "Gimik" ini kelihatan "sudah memancing". Ia juga menerangkan, kita, penonton, akan sama-sama melihat "pita sepenuhnya" (mempercayai bahawa pita ini sudah jatuh pada tangan yang siuman untuk dipertontonkan - mata kita akan bersama-sama dengan lensa sebagai pemerhati, kuasa vouyer paling ampuh kerana diberi pengalaman sepenuhnya untuk "menonton"), memastikan siapa "pembunuh" dalam filem ini. Ingat, kematian selalunya "mengakhiri nyawa" filem (beginilah filem sebegini diselesaikan, rujuk [Rec]), dan kematian "kamera" filem juga menandakan filem ini akan berakhir. Jarang, filem dimulakan dengan cerita akan kematian. Selalunya, filem sebegitu membawa suara "kelahiran semula" atau "peluang kedua" (rujuk All About My Mother, Volver, Cinema Paradiso, Ordinary People, The Player). Beginilah filem ini kemudiannya dimulakan.

Filem ini seterusnya dibuka dengan "membuka" sebuah filem (dalam filem) pembikinan, Awal, Pierre dan Nora Danish, dengan runut bunyi tipikal seram murahan, dan babak panjang. Mereka "masuk ke hutan" untuk menanam mayat. Tiba-tiba, penolong pengarah meracau dan tersembam jatuh. Cahaya hilang. Seorang lagi jatuh, dan berjalan. Kita tidak lagi menonton filem tersebut (filem mainan tadi), tetap rakaman di "set" oleh para krew tentang huru-hara yang sedang berlaku. Ada penanda yang kuat di sini (spoiler!) Mayat yang ditanam merupakan seorang pelakon tambahan, Adam. Mayatnya hilang (spoiler: dan langsung tidak diketahui hidup atau tidak). Satu penanda baharu, suatu "kelahiran semula" sedang berlaku, baik dalam pembikinan seram oleh anak muda, juga klu kepada suatu "kelahiran semula" (bolehkah kita rujuk sebagai peluang dan kelahiran semula genre seram kita yang mula klise?), juga klu kepada suatu "pengorbanan" yang diperlukan untuk membuka sesuatu "di balik dunia lain". Kita, penonton yang memilih untuk "melihat di balik tabir", dunia lain yang kita mohon, untuk kita ditakutkan. Mayat itu hilang. Habislah kita...

Babak terkemudiannya terpecah dua, satu krew (2 orang, yang dipenuhi humor tetapi perjalanan mereka tetap menakutkan) mengejar seorang (Julie) yang dirasuk kemudian hilang di balik hutan, satu krew lagi tinggal bersama Sari yang dirasuk. Setiap satu memegang kamera, merakam.

Berlaku perubahan beberapa kali POV antara dua kru ini, tetapi dibikin dengan jelas dan mengalun indah sekali oleh penyunting Akashdeep Singh. Di sini, kemuncak debar makin meninggi dan makin meninggi sepertimana makin "terperusuk sesat" ke dalam hutan (latar hutan ini sengaja berkait sebagai simbolisme perfileman/cerita/emosi takut). Yang humor, yang spontan menjadi "dread" secara tiba-tiba, menjadi rumah sesat luas yang tidak membenarkan lagi watak (serta kita) untuk keluar daripada ruang dan masa yang ditentukan oleh Pierre dan Ming Jin selaku penulis dan pengarah (sekali gus mengikat penonton dengan filem seram "fiksyen" yang sengaja diberikan judul "Jangan Bernafas").

Satu perkara yang aku hormati filem ini ialah, ia merupakan satu kepingan filem yang bijaksana, jika ia membohong sekali pun, ia menyatakan alasannya dengan baik. Kenapa filem ini "dibikin"? Kerana menjadi "bukti buat polis" (menarik untuk dikaitkan dengan apa yang sedang berlaku dengan Ketua PR sekarang), kenapa diteruskan, kerana "penerbit eksekutif"nya yang mahukan sebagai gimik promosi. Pada awalnya sebuah dokumentari, menjadi sebuah perjalanan. Yang "biasa" menjadi "luar biasa" dan "makin luar biasa", tetapi logik dunianya masih terpasung segak di bumi.

Perkara kedua yang aku suka, pengarahnya tidak membuang masa kita dengan masa relatif yang panjang (yang biasa buat filem ini sebagai feel real, seperti Blair Witch Project, yang sememangnya mempunyai kelasnya yang tersendiri). Misteri demi misteri terungkap secara episodik, ditanam dengan kemas, malah logiknya benar dan ditentukan dengan ruang masa yang betul (dalam masa yang sama, misteri demi misteri baharu wujud dan mengganggu). Berlaku babak "penyiasatan" di man kita, penonton diberi peluang untuk "lihat sama" kebenaran. Ini merupakan antara babak-babak paling menakutkan dalam filem ini (mengenali kebenaran adalah detik yang paling menakutkan). Malah penandanya sudah jelas, contohnya kelipan cahaya; yang membawa maksud chaos (kelipan cahaya tersebut berkait dengan cahaya berkelip lampu lintang, yang mana merupakan homaj kuat terhadap Twin Peaks bila mana dunia "black lodge"nya tersingkap buka atau wujud di alam realiti, walaupun di bilik mayat). Ini sememangnya sebuah panggung chaotic (chaotic cinema) yang jauh mendalam.

Aku juga menjumpai (dan jarang-jarang berlaku dalam filem seram) suatu rasa pilu tentang manusia, baik manusia yang mencari survival, kepada manusia "gelap" yang melakukan ritual untuk mengikat dirinya dengan alam lain. Filem ini ada perasaan itu. Penanda paling kuat merupakan imej sepotong tangan yang longlai tergantung dek rantai besi. Ada dua emosi yang berjaya dibuakkan. Pertama akan satu perasaan "terjah ekstrem" sang hantu untuk menembus masuk ke alam nyata manusia, kedua akan persaan berbaur, sedih, terkejut, mual si pemerhati (kita) yang menyedari ketidaktentuan mempunyai wajah gelap yang kita tidak sanggup untuk hadapi. Pada tahap ini, filem ini berjaya memahami pemahaman "takut" dalam sudut jiwa manusia.

Terlalu banyak babak-babak seram, gelap dan creepy yang berjaya dilakukan, termasuk kejutan dan mualan setaraf mana-mana filem seram Hollywood. Aku juga menyukai semangat tangkapan yang betul, walaupun hand held, sudut, gerakan panning, samar dan fokusnya diaplikasi dengan betul. Aku juga mengangkat tangan buat runut bunyi Azman Abu Hassan yang pertama dalam sejarah, atmospherically brilliant, serta kesan bunyi yang cukup membantu (ada satu babak pukul yang kedengaran sedikit animasi). Paling mengunggul, para pelakon yang benar-benar "membelakangi kamera" dan membiarkan kamera menangkap "yang sebenar". Mereka tidak lagi membiarkan kamera bergerak atas nama "perogol imej" tetapi "perakam untuk merakam". Watak-watak mereka bulat. Siksa mereka hadapi, bulat. Walaupun jeritan dan reaksi mereka "canggung", ia benar kepada tahap surreal yang mereka perlu hadapi (dasar yang mereka hadapi, iaitu mute witness dipergunakan secara baik). (nota spoiler: suatu trivia yang menarik, watak yang paling cengeng dan celupar untuk kita bunuh, tidak diberi peluang oleh pengarah untuk kita lihat dimatikan).

Ada mereka yang tidak menyukai pengakhirannya. Bagi aku, ia merupakan antara pengakhiran yang brilliant dalam filem-filem sebegini (klu: teliti siapa dirasuk, dan teliti apa hantu itu buat bila merasuk tubuh) yang jelas melontarkan persoalan untuk didebatkan dan diintepretasikan (soalan: bagaimana pita rakaman ini boleh jatuh ke tangan kita), juga sebagai francais kedua untuk dilanjutkan (aku harap tidak, aku tak suka sekuel, selalunya sekuel menghampakan). Apa yang aku mahu kata, aku bangga melihat bagaimana Pierre dan Ming Jin menjalin baik subgenre slasher, alam mistik, hantu, rasuk, dan mokumentari kepada suatu panggung seram yang enak dan menusuk masuk ke dalam sanubari penontonnya, memberikan mereka suatu "ultimate experience" untuk terperangkap dalam hutan yang serba menakutkan. Sejarah sedang dibuat, tuan-tuan, puan-puan. Untuk pertama kalinya, saya mengesyorkan mati-matian kepada semua peminat filem seram untuk menonton filem yang menakutkan ini.

Ya, inilah filem seram Malaysia yang terbaik, setakat ini.

Baca lagi: Reduksi Seru.

ps: Pertama kali aku tonton filem Malaysia yang mana aku tutup telinga dan pandang bawah. Adik aku yang tonton sama, yang hanya layan filem barat, mengatakan filem ini lebih baik daripada Blair Witch Project ataupun Paranormal Activity. Dia meloncat atas kerusinya secara literal, enam kali!