Showing posts with label Khir Rahman. Show all posts
Showing posts with label Khir Rahman. Show all posts

30 January 2015

Bangunan(2015)

"Ada orang hanya mahu mempercayai benda yang mereka boleh lihat dengan mata" - Khir Rahman



Kenyataan Khir Rahman pada awal pembukan filem dokumentari (dinyatakan, para pembikin tidak membuat-buat rakaman yang dilakukan, tiada lakonan, mereka mengaku, semuanya dirakam dan diselidik ala gerila dan rasmi, tanpa skrip, kecuali monolog awal Khir itu dan beberapa tulisan atas layar) ini merumuskan segala-galanya. Mungkin secara tidak sedar, ini suatu lagi hentakan kepada Dr. M yang amat melecehkan filem seram, walaupun memang, dalam keadaan Khir dan Sein menyusun fotaj yang diambil, sudah tentu Khir dan Sein juga mempunyai keinginan untuk filem ini "untung" (kerana itu subjek ini diambil), dan sebagai seorang peminat filem seram, bagi aku projek kecil mereka ini berbaloi.

Dokumentari ini mengambil tradisi siasatan dan rakaman tempat yang dimaksudkan, yang sudah menjalar lama pada era rancangan dokumentari TV pemburu hantu (ghost hunter) sedari 1970-an, dan kemudian amat popular di Britain kini dengan rancangan sofistikated (dan mengada-ngada), Most Haunted, yang mana dalam beberapa rakaman Malaysia, kita ada beberapa rakan penerbit Cina (anak gadis dipakaikan baju seksi ya amat dan dicampak di tengah rumah hantu dalam gelap), Uncle Seekers dan beberapa pemburu hantu bebas melakukannya. Dalam dunia filem tempatan, hal ini bermula dengan Penunggu Istana (2011) dan kemudian beberapa lagi.

Filem ini "berbeza" kerana pembikinannya tidak disengajakan. Para produksi sebenarnya hendak membikin sebuah filem genre berbeza, "Garang", yang entah bagaimana, dalam penyelidikan tentang lokasi penggambaran, mereka mendapat kelulusan untuk menjenguk misteri terhadap sebuah bangunan ini di pinggir(?) ibu kota (bentuk rekaannya Islamis, aku syak bangunan ini berkenaan pejabat agama atau pusat latihan). 

Bagusnya Khir dan Sein dalam perjalanan penggambaran ini, mereka melakukan kerja ini sehadapan mungkin (secara literal, Sein melakukan ini dalam suatu perbincangan di pejabat), sejujur mungkin, sampai tidak terasa hal ini dibuat-buat atau dilakonkan (amat berbeza jika kita bandingkan dengan filem sebegini dengan Paranormal Activity, contohnya). Mereka menemui "pakar" yang juga kawan, Yusran yang tinggal di Bukit Damansara (rasanya Jalan Setiajasa? Haha, alah rumah teman dekat Damansara gak). Berlaku satu dialog antara Khir dengan Yusran, "Nak bawak pulut ke?" Yusran selamba jawab, "Bawak pulut aku makanlah." Keadaan ini amat "normal" malah terdapat kelucuan.

Tetapi subjek yang hendak diteliti dan dirakam memang tidak melucukan. Aku susah hendak menyampaikan dalam kata-kata (aku percaya, mereka mungkin telah menemui lintasan, persimpangan, atau jalan masuk kota makhluk ghaib). Memang, apa yang diambil itu hanya "merakamkan" dan manusia yang merakam hanya bertindak balas. Jika inilah pembikinan "filem" permburu hantu yang sebenar, filem ini melangkaui beberapa filem dengan tujuan yang sama. Hal ini diiuji lagi dengan satu keputusan Sein bahawa "rakaman tidak boleh diteruskan" atas nasihat Yusran. Jika "karya" ini jatuh dalam tangan orang Barat, aku gerenti, atas nama "seni" dan "mencari kebenaran", sang pembikin akan meneruskan, walaupun membahayakan nyawa mereka, seperti yang ditunjukkan oleh adik-beradik Vicious secara fiksyen dalam Grave Encounters. Hal ini menambahkan lagi sikap bahaya dan tres dangereux pembikinan ini.

Peliknya, filem ini terpecah kepada dua bahagian, segmen keduanya pula, seperti Villa Nabila, suatu lakonan semula sebuah kes yang mereka dapat (daripada beberapa wawancara yang mereka buat) tentang seorang wanita bisu di dalam rumah seorang diri. Walaupun ya, filpen itu agak seram, dengan penggayaan menarik dalam penggunaan bunyi, suntingan, dan bayang-bayang untuk menaikkan keseraman, segmen ini langsung tidak ada kena mengena dengan segmen dokumentari awal. Walaupun ya, segmen ini menghiburkan (kalaulah Khir dan Sein menggunakan lagi imaginasi susunan bunyi dalam kefahaman subjek yang bisu dan hanya dapat mendengar) tetapi semacam melonggarkan keseluruhan filem, menyebabkan 80 minit awal yang kita tonton itu mula kita persoalkan "kebenaran"nya.

Namun dalam senarai filem seram tempatan, filem ini menarik untuk ditonton kerana memberikan suatu pengalaman yang mungkin tidak akan kita rasai lagi selepas ini.

Klasifikasi Bangunan: P13, terdapat babak ganas, tahyul dan seram yang tidak sesuai disampaikan kepada kanak-kanak.
DITONTON DI GSC, NU Sentral.

27 October 2013

Balada Pencinta (2013): Khir Rahman Feeling-Feeling


"Kau dah nak main besi pulak?" - Faizal Hussein

Dalam detik lamunan sedang menonton filem ini, aku menganggap macam-macam. Aku menganggap: (1) Khir Rahman pun perlukan duit (2) Khir Rahman cuba memahami pasaran/perasaan penontonnya. 

Aku selalu menyoal diri aku, "Mereka yang boleh bikin filem kat Malaysia ni, tidak bolehkah mereka buat filem yang tulus?"

Perkara itu, sedikit demi sedikit aku abaikan, dan aku mula memahami untuk "melayan" filem yang sedang Khir tayangkan kepada aku. Hal ini dengan jelas disampaikan pada babak awal, pemergian Johan As'ari daripada kelab malam, meninggalkan brader Faizal Hussein yang cool gila dalam keadaan dekaden yang lalok. Alam kelab malam separa dreamlike itu jelas sikap dorman Khir yang melepaskan dirinya untuk "mencari jalan baharu" dalam perfileman, dan dibayangkan dengan jelas filem jenis apa yang dia cari (poster filem menjadi klu jelas). Lalu Johan yang tiba-tiba bergitar, berdendang pada pukul tiga pagi di hadapan pentas kosong di Pasar Seni. Dan soalannya sekarang: Tengok, aku si penyair dah sanggup berubah, kau mau tengok aku tak?

Hal-hal ini dengan jelas lagi berlaku dalam beberapa babak. Mula-mula (dengan konflik yang hendak bermula yang terlalu amatlah lama) apabila Azhan Rani dan tunangnya ingin membantu Johan (apabila Sein Hussein mendepani Johan). Azhan Rani membuat lawak apabila dengan sengaja melakonkan sikap "seorang pelakon" yang terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Johan: "Saja je, nak buat macam drama dalam TV tu."

Di titik inilah, kita akan menilik, jika kita benar-benar ingin mengikuti perjalanan seterusnya filem ini, yang kemudiannya menyampikan berapa banyak sedutan dan gaya yang biasa berlaku dalam drama siri (to top this off, they have Jalaluddin Hassan to play the "Datuk") kita setiap malam di TV3. Jika ya, anda akan selamat, kerana segala perangkap drama siri yang wujud akan berlaku, termasuk suntikan runut bunyi yang dibunyikan dengan kuat, MTV, jeritan bakal ibu mertua yang berprasangka, fade out dan babak-babak kebetulan (yang sangat jelas berlaku apabila Johan terjumpa Azhan yang terdampar di tepi jalan dengan cara menyorot kamera sahaja). Ditambahkan dengan itu, dengan mengikut "pasaran sekarang", Khir menghidangkan, bukan sahaja cinta, tetapi derita sakit jiwa cinta melodrama antara dua darjat yang berlaku dalam drama siri dan novel popular kita, babak-babak samseng, dan babak-babak aksi.

Menariknya, dunia "kacau" ini dimiliki dan disungguhi oleh sekumpulan para pelakon yang benar-benar berlakon, Azhan Rani, Siti Saleha, Ady Putra, Sein Hussein, Jalaluddin Hassan, dan sudah tentulah, Faizal Hussein, semacam "Tuhan" yang bergerak bebas dalam filem ini (deus ex machine anyone?) sekali lagi menyampaikan dialog yang paling berkesan.

Ya, ia kelihatan berselerak (muddled) namun dapat dinikmati pada tahap eskapis, dan aku terhibur dengannya tanpa terasa tersinggung. Ini jelas lagi kerana bantuan kuat Johan sendiri sebagai pendukung tulang belakang filem ini, yang dari tadi membawa kita keluar dari bilik kelab malam dan masuk ke alam malam dan kita terus percaya dan bersimpati dengannya, walaupun dia memakai janggut yang palsu. Ada babak-babak, malah, air mata teruna aku jatuh membasahi pipi aku, yeap, feeling habis. 

Ada suatu lagi hal yang memburukkan filem ini. Dengan jelas, suara eskapis Johan itu, sewaktu nyanyiannya disampaikan oleh pengarahnya tersendiri, lalu ini mencacatkan ilusi yang diciptakan oleh Khir. Ya, lagu-lagu baskin yang dibawa oleh Johan adalah nyanyian Khir. Kita mahukan suatu feel seperti dalam muzikal Once, tapi hal ini tidak berlaku, aku tidak tahu mengapa Khir melakukan hal ini.

Namun sebagai percubaan Khir menyentuh pasaran penonton alam Melayu kotemporari, hal ini bolehlah dipuji, walaupun hanya mengemaskini suatu jalan cerita dan genre yang sudah biasa dilakukan oleh kawanan penerbit "gatal-gatal masuk wayang" era 90-an dengan menyampaikan filem berlatar "cinta" dan "aksi" secukup rasa lakonan Awie, Eizlan, ataupun Rita Rudaini.

Klasifikasi Balada Pencinta: P13, Babak ganas dan perilaku dan gaya hidup samseng yang tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Berjaya Time Square.

29 March 2013

Dua Filpen buat Adam Azfar


Adam Azfar anak Jimadie Shah, sedang sakit tenat. Jika mau menyumbangkan untuk membantu anak kecil yang perlu diberi harapan untuk membesar melihat dunia dan cinta, rujuk: 


Semalam ditayangkan dua filpen buat Adam Azfar.

Adiwira | Penulis/Pengarah: Shazrol Suhaime 

Filpen mudah dan mengangkat semangat bahasa baku.

Shazrol mempunyai banyak kekurangan. Selain daripada semangatnya yang berkobar-kobar untuk menampilkan kekuatan jati diri, teknik komik memasuki filem, silat dan cita-cita, filem ini banyak tergelongsor dalam perangkap detik, aksi dan plot yang lemah. Aku memikirkan dua medium yang dipaparkan dan sangat menyinggung. Kita dipertunjukkan seorang budak kecil yang leka bermain permainan video (Street Fighter) lalu diminta ibunya dengan senyuman untuk tidur. Si budak kecil itu rupa-rupanya tidak dapat berjalan, atas kerusi roda (imej ini menarik: si dia yang tidak dapat bergerak itu menentukan pergerakan di balik skrin mainan video, ini suatu metafora menarik berkenaan kita yang tidak mampu "berubah" dan hanya terleka dengan apa-apa yang melekakan kita). Dia duduk membaca komik (tak tidur). Dan paginya, ibunya marah, meneliti satu-satu komik itu sebagai "barang haram". Ini membingungkan. Bukankah jelas sifat ganas, seksual dan telanjang permainan video lebih "ganas" daripada huruf dan jati komik (yang sekurang-kurangnya menampilkan perjuangan)? Mungkin Shazrol hendak menyindir masyarakatnya bahawa si matriach akan sanggup anaknya mendepani dumb box berbanding mendepani karya teks. Mungkin.

Cerita bergerak dengan si budak menemui (jeng jeng jeng) komik sebalik poster yang mungkin diletakkan oleh arwah ayahnya (isu takde simbol ayah/patriach ok!), lalu kita seakan-akan masuk ke alam Neverending Story apabila watak-watak dalam komik HIDUP di layar pentas.

Ada Pekin Ibrahim. Titik.

Tiba-tiba si budak, membaca tulisan di balik halaman (bayangkan Fadilah Kamsah berbicara motivasi pagi) berkenaan "diri sendiri" lalu, tiba-tiba, hendak bangun. Hello????

Pertama, si pengarah tak tunjukkan pun kepada kita lesu putus asa si budak untuk "bangun".

Dan apakah kaitan pukul-memukul dua jantan sambil berbicara sastera ada kena-mengena dengan seorang budak hendak berdiri (walaupun aku faham simbolisnya agar kita cuba berdiri sendiri dan menyedari kemampuan kita untuk mengubah sesuatu)?


Pesona ..Ter | Penulis: Khir Rahman/Siti Jasmina Ibrahim Pengarah: Khir Rahman

Kadang-kadang aku nak menangis menonton filem-filem Khir. Imej-imejnya, ya Tuhan, cantik! Bahasa filemnya, subhanallah, berlapis-lapis.

Ambil sahaja runut bunyi (dan aku tak masuk lagi ceritanya!) filpen ini. Bunyinya macam hentakan sesuatu. Oh, ia membawa minda aku menerawang tiga bayangan: goncangan dan asap kilang lantas dunia industrial di hadapan aku (bermaksud ini berkenaan dunia sekarang, dunia yg semuanya cepat dan keluar produk dan kita makan produk itu, dan ...), termasuk bunyi gerak perlahan bot nelayan yang mahu mencari ikan di perairan (latar filem) itu (ini berkenaan mencari rezeki yang paling asal), dan terakhir, suara desakan cota dna perisai dan kawat si polis mendepani massa perusuh.

Imejan kompang pula mengikat hal ini, suatu medium "mencanang-canangkan" yakni, lihat: kita di alam apa sekarang? Ya, sosial kita: Facebook dan Twitter, bukankah dicanang-canangkan? Kemudian terisi watak-watak klise Melayu Rahim Razali, ah, ini bersangkut dalam alamiah ekonomi, politik dan sosial anak bumi dan sakit dan betulnya.

Apa yang sakit dan apa yang betul?

Khir dan Jasmina hanya menyindir dan kadang-kadang berdakwah secara tersirat. Paling jelas, kita yang hidup dalam alam demokratik ini harus menyedari sendiri dan merenungi sendiri alam, suasana dan bahasanya, baik politik, ekonomi dan sosial. Ya, ini asasi yang paling terasas dihidangkan kepada penonton. Penonton yang "terasa" bilamana menontonnya itu menunjukkan, satu-satu watak itu pernah mewakili penonton itu sendiri (usah bohong, aku juga terasa)!

Jadi, di mana kita mau meletak diri kita di alam ini?

Ah, ada beberapa unsur homoerotis yang menarik, juga menimbulkan persoalan: adakah mainan dunia ini hanya mainan lelaki (dan wanita dalam filpen ini disenyapkan)? 

Ada beberapa babak yang aku kurang minat. Pertama babak klimaks apabila seorang watak "terjatuh" bilamana seorang watak lagi "menolak". Menolaknya begitu lembut. Kalaulah ada bunyi "krak!" (jadi kita seakan membayangkan si watak jatuh lubang kerana ditolak sedikit) maka kepercayaan menjadi. Aku menyedari, filem kita masih miskin aksi yang kuat (perdana mahupun bebas) dan boleh dipercayai.

Kedua, sifat kebangsawanan yang dimasukkan. Ya, aku faham latar dan harapan selingan itu memaut sebanyak mampu penonton tiada minda (tapi aku percaya penonton kita ada minda filem, oh mungkin aku salah?), aku faham Greek Chorus yang dilakukan. Namun aku lebih seronok jika suasana tiba-tiba itu dilakukan terus atas layar/pentas sok serius kampung nelayan itu (ruang bangsawan bukankah begitu rupa,  menggunakan ruang pentas yang sama, kecuali jika anda Takashi Miike melakukan selingan berkuasa macam dalam Big Bang Love, Juvenile A [2006])  Hal itu nampak renyeh (sengaja), silly (sengaja) dan manja-manja (sengaja). Mungkin itu selera masing-masing.

06 April 2011

... Dalam Botol(2011) ialah Filem Bulan Ini


Aku mengaku, aku mempunyai perasaan yang berbaur berkenaan filem ini. Tetapi setiap kali orang bertanya kepada aku jika mereka patut menonton filem ini, aku kata, "Pergi tonton!" Ya, pergi tonton. Begini, aku percaya, filem, bagaimana murah atau mahal pembikinannya, diciptakan untuk melalui proses tontonan. (Tujuan kita mencipta filem adalah untuk ditonton, dari segi berapa saiz penonton seperti video seks Rambi Thambi Chik kepada komersial Disney sememangnya ditentukan oleh pendirian status, pengalaman dan peluang)

Pengalaman menonton ini membawa kepada suatu yang dipanggil "perbincangan", atau wacana. Terus-terang, aku tidak pernah dengar dalam filem kita di mana penonton biasanya melewati perbincangan yang biasa seperti "terhibur - best - tak faham" kepada sesuatu yang berlaku terhadap filem art house seperti filem ini.

Bila suatu filem diperkatakan, itu bermakna filem itu hidup. Walaupun suara yang diperkatakan itu negatif, atau suara yang diperkatakan itu positif, maka berlaku pertikaian (yang sihat) atau sesuatu yang pergi lebih lunak dari itu.

Dan filem ini "hidup", dan "membesar". Itu sesuatu yang amat baik untuk latar apresisasi filem kita.

Di sini ada beberapa yang menarik yang aku jumpa:
Ulasan sekumpulan pengulas homoseksual
Ulasan Amir Muhammad (bagi aku, ini kupasan yang terbaik, walaupun aku tidak mengakui beberapa pendapatnya dalam beberapa bahagian, tetapi itulah wacana)
Ulasan BinFilem (juga antara yang terbaik, yang juga disusuli dengan beberapa lagi berkenaan filem ini)
Ulasan Hassan Muthalib, Sejarawan Filem Malaysia
Ulasan Si Naganaga yang heteroseksual
Ulasan Sinefela

ps: Ada suatu perkara yang aku kurang setuju. Mengapa filem ini ditayangkan tanpa sarikata apabila tayangan filem di FINAS bersarikata?

10 November 2010

... Dalam Botol (2011): Kecelaruan Yang Indah dan Hodoh Sekali Gus

Terima kasih JAS Production dan Amy Ikram Ismail (Finas) kerana menjemput aku menonton filem kontreversial ini tadi.

Pertama sekali, nama filem ni ANU DALAM BOTOL, there, get use to it people!

Tadi, aku entah kenapa berani, GATALnya mulut Ajami Hashim, memohon aku diinterbiu oleh pihak BBC lantas bertanya akan filem ni.. Aku nak lari-lari pun tak boleh dah, Nazim Masnawi siap ambush aku kat tengah jalan. Habis berterabur speaking London aku tadi...

Tapi aku dengan berani menyatakan begini, Anu Dalam Botol ialah sebuah filem anti-gay (mungkin sebuah subgenre atau subversif genre dalam Queer Cinema?) Filem ini mungkin tidak "menghukum" para homoseksual secara terus, khusus transgender terhadap "pilihan" mereka, tetapi memberi satu tanggapan yang amat negatif terhadap mereka, bahawa golongan ini celaru dan keliru (dan hal ini dipaparkan dengan baik oleh Arja Lee). Ini benar-benar mencela golongan ini di akar tunjangnya, menyatakan dunia dan diri mereka "tiada roh" (tonton babak sewaktu Ruby buka peti ais yang kosong dan hanya dua biji telur yang ada), tidak ada identiti (rujuk bagaimana celaru dan gelapnya paparan dunia Arja-Wan Raja dan bagaimana tidak ada rujukan, personafikasi atau identifikasi terhadap mana-mana tokoh atau imej, mereka hanya "terpinggir" dan "sesiapa" dalam dunia urban serba moden), dan paling teruk, tidak ada signifikasi (dalam Malaysia). Begitulah yang dinyatakan, digarap dan dipaparkan secara penuh dan bulat.

Filem ini akan dipersoal dan mungkin akan dicerca oleh pemerhati antarabangsa, terutama peminat Queer Cinema.

Lebih-lebih lagi, "suara" Arja Lee (Ruby/Rubidin) di"mati"kan. Kita tidak tahu kenapa dia "bertukar" (hal ini samar) dan untuk apa dia berdiri (dia tidak berdiri untuk haknya), kenapa memilih mencintai Diana Danielle (walaupun hal ini "believable" dalam filem ini) dan kenapa dia memilih untuk melakukan klimaks di akhir cerita. Semua ini di"samar-samar"kan, disunyikan dengan sengaja. Apa yang kita rasa ialah "menipu" (deceptive), Kehadiran Arja Lee ialah "menipu."

Menipu ialah "ilusi" yang digerakkan oleh Khir Rahman dalam memahami Arja Lee. Hal ini sangat-sangat ditentang dalam dunia filem gay (kerana seorang watak yang tidak mahu menerima dirinya, atau menerima dirinya dengan cara yang amat negatif dan memalukan sekali).

Tetapi "ilusi" ini perlu, malah secara halus, "signifikan" dalam tata, aura dan jati filem Melayu.
Ini adalah kerana, mahu tidak mahu, filem ini "mengaku" akan hegemoni "Islam" dan adat "Melayu" kotemporari yang jelas-jelas menentang watak-watakl seperti Arja Lee dan Wan Raja.

Maka di sini, idea filem ini digerakkan. Aku terus-terang, ada ruang yang dimainkan dalam filem ini yang bagi aku, mencipta satu jalur yang indah. Paling utama, filem ini hanya "menunjuk" tidak pernah menghukum, Khir Rahman sebagai pengarah hanya merakam "dunia terpecah dua" Arja tanpa apa-apa campur tangan, malah kadang-kadang seakan menyatakan testimoni peribadi si Arja buat tatapan masyarakat (hal ini mengecilkan filem ini, dan menolak filem ini menjadi filem berlapis). Di sini, filem ini menjadi filem berlandas forum sosial, filem yang mana menjadi petanda untuk diperbincang dalam masyarakat berkenaan "benar" "salah" atau memahami pilihan-pilihan "celaru" Arja Lee itu. Ini yang menarik.

Secara teknikal, beberapa babak yang dibikin Khir agak celaru dan kelihatan janggal, serta beberapa babak tampak panjang. Tetapi Khir juga berjaya mencipta beberapa babak yang benar-benar memaut cantik. Lebih-lebih lagi dengan babak "kahwin" yang bagi aku dibikin dengan teratur dan lancar sekali, ditolong juga oleh Ogy Ahamad Daud dan Diana Danielle sebagai pemancar babak klimaks yang sungguh indah (pautan terakhir mereka sungguh indah, menjawab persoalan "sumpah" Diana yang awal, juga persoalan Ogy dan Diana yang ditinggalkan). Sememangnya, keseluruhan filem ini (dan sudah dapat ditangkap, kerana bagaimana watak utama dipaparkan kepala belakangnya) sebenarnya merupakan sebuah Tragedi Greek yang tersusun. Kerja Arja hanya "menyentuh" watak-watak yang mengelilinginya dengan pasif (kita tidak jumpa, satu pun babak yang mana dia betul-betul melakukan keputusan yang berjustifikasi atau berjaya, kecuali membayar hutangnya) dan watak-watak inilah, yang berkait dengannya yang akan bereaksi. Menariknya dalam hal ini, watak-watak yang dekat, dan disengajakan banyak berinteraksi dengan Arja merupakan watak PEREMPUAN, ibu Arja dan Diana Danielle. Hal ini menarik, kerana kita memahami, filem ini bukan sahaja hanya kerana Arja, tetapi orang-orang yang mengelilinginya. Ini merupakan filem berkenaan mereka yang "tidak memahami"nya (penonton majoritinya tidak akan memahami Arja).

Secara sayu juga, filem ini dengan "sengaja" tidak memberi kebahagiaan terhadap tiga wanita utama dalam filem ini. Adakah ini disengajakan? Hal kesayuan inilah yang mengherdik "masyarakat" untuk memahami "dunia lain" ini dan mengapa mereka berdiri di garisan "antara wanita" (dia wanita tetapi tidak diberi peranan menjadi wanita dalam dunia mereka). Hal ini sengaja mungkin, kerana "tragedi" sang wanita ini dipaparkan "terjadi" kerana menyentuh "tragedi besar" watak Arja Lee. Kehancuran tidak boleh membaiki kehancuran (nilai ini amat negatif). Pengkaji teori seks tentu akan mendapat makanan enak untuk menganalisa hal ini.

Suatu lagi hal yang menarik berkenaan filem ini ialah berkenaan ruang "kampung" dan "kota" yang dimainkan sekali lagi, tetapi bukan secara stereotaip. Di sini, ruang "kampung" disengajakan memberi personafikasi "penyucian" bagi watak Arja, atau normalisasi (tetapi kita tahu, ianya sesuatu yang sementera, lihat sahaja babak dalam dewan awam). Aku suka dengan babak "terasing" Arja yang "lupa" dengan hidup mudanya di kampung, menyatakan dia sudah "jauh songsang" atau "kotor" dalam arus kemodenan bandar (bandar selalunya personafikasi dunia berdosa). Hal ini menarik secara ironi (tetapi ingat, watak Arja dimusykilkan "kesahihan"nya, seperti mana pilihannya dalam erti kata pemahaman konsensus Islam-Melayu sebagai "palsu"), dengan memaparkan seseorang yang meninggalkan dunia "kota"nya untuk mendakap dengan penuh hati akan dunia "kampungnya" tetapi "melupainya".

Kehadiran Diana sebenarnya berperanan sebagai pembantu Arja untuk "mengenal kembali" atau "disucikan kembali" kepada dunia konsensus budaya dan agama Arja. Di sini, kita akan selidiki, jika benar-benar Arja akan "disucikan" atau menerima dunia "indah" itu secara hipokrit. Paling nyata, kehidupan kampung yang "indah" ini dipaparkan seteliti mungkin, malah memenuhi filem ini, melebihi dunia "kota" (yang kelam dan tragik). Kita sekaan mempercayai dunia kampung yang "hegemoni" mendominasi kesedaran kita dan "tentu" kesedaran Arja. Hal ini menjadi "turning point" filem ini.

Lakonan dalam filem ini baik, malah semuanya memiliki kekuatan yang sempurna. Aku amat menyukai runut bunyi filem ini, disusun pada detik dan babak tertentu dengan betul sekali sebagai filem, malah banyak membantu menyatakan hal berkenaan sesuatu babak.

Memang filem kecil ini mempunyai peranan untuk berilusi (watak Arja sendiri, terlalu misterius), dan dari ilusi ini, isu-isu "penipuan" itu dimainkan. Tetapi hal ini, walaupun indah, hanya dapat disanggupi dan difahami secara "jahat", dengan memahami kenapa "ilusi" itu dilakukan. Inilah kecelaruan yang indah yang dicipta Khir, sekali gus juga amat menghampakan.

fadz: baca reaksi aku terhadap reaksi Ajami terhadap ulasan aku. Jawapan anak seorang ustaz yang bagi aku agak adil mengulas filem ini. BTW, Lut, felem ni keluar 2011, bukan 2010. Ni lagi satu yang bagus daripada Nazim Masnawi. Jadi, Paan, ko wajib tonton!