27 October 2013

Balada Pencinta (2013): Khir Rahman Feeling-Feeling


"Kau dah nak main besi pulak?" - Faizal Hussein

Dalam detik lamunan sedang menonton filem ini, aku menganggap macam-macam. Aku menganggap: (1) Khir Rahman pun perlukan duit (2) Khir Rahman cuba memahami pasaran/perasaan penontonnya. 

Aku selalu menyoal diri aku, "Mereka yang boleh bikin filem kat Malaysia ni, tidak bolehkah mereka buat filem yang tulus?"

Perkara itu, sedikit demi sedikit aku abaikan, dan aku mula memahami untuk "melayan" filem yang sedang Khir tayangkan kepada aku. Hal ini dengan jelas disampaikan pada babak awal, pemergian Johan As'ari daripada kelab malam, meninggalkan brader Faizal Hussein yang cool gila dalam keadaan dekaden yang lalok. Alam kelab malam separa dreamlike itu jelas sikap dorman Khir yang melepaskan dirinya untuk "mencari jalan baharu" dalam perfileman, dan dibayangkan dengan jelas filem jenis apa yang dia cari (poster filem menjadi klu jelas). Lalu Johan yang tiba-tiba bergitar, berdendang pada pukul tiga pagi di hadapan pentas kosong di Pasar Seni. Dan soalannya sekarang: Tengok, aku si penyair dah sanggup berubah, kau mau tengok aku tak?

Hal-hal ini dengan jelas lagi berlaku dalam beberapa babak. Mula-mula (dengan konflik yang hendak bermula yang terlalu amatlah lama) apabila Azhan Rani dan tunangnya ingin membantu Johan (apabila Sein Hussein mendepani Johan). Azhan Rani membuat lawak apabila dengan sengaja melakonkan sikap "seorang pelakon" yang terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Johan: "Saja je, nak buat macam drama dalam TV tu."

Di titik inilah, kita akan menilik, jika kita benar-benar ingin mengikuti perjalanan seterusnya filem ini, yang kemudiannya menyampikan berapa banyak sedutan dan gaya yang biasa berlaku dalam drama siri (to top this off, they have Jalaluddin Hassan to play the "Datuk") kita setiap malam di TV3. Jika ya, anda akan selamat, kerana segala perangkap drama siri yang wujud akan berlaku, termasuk suntikan runut bunyi yang dibunyikan dengan kuat, MTV, jeritan bakal ibu mertua yang berprasangka, fade out dan babak-babak kebetulan (yang sangat jelas berlaku apabila Johan terjumpa Azhan yang terdampar di tepi jalan dengan cara menyorot kamera sahaja). Ditambahkan dengan itu, dengan mengikut "pasaran sekarang", Khir menghidangkan, bukan sahaja cinta, tetapi derita sakit jiwa cinta melodrama antara dua darjat yang berlaku dalam drama siri dan novel popular kita, babak-babak samseng, dan babak-babak aksi.

Menariknya, dunia "kacau" ini dimiliki dan disungguhi oleh sekumpulan para pelakon yang benar-benar berlakon, Azhan Rani, Siti Saleha, Ady Putra, Sein Hussein, Jalaluddin Hassan, dan sudah tentulah, Faizal Hussein, semacam "Tuhan" yang bergerak bebas dalam filem ini (deus ex machine anyone?) sekali lagi menyampaikan dialog yang paling berkesan.

Ya, ia kelihatan berselerak (muddled) namun dapat dinikmati pada tahap eskapis, dan aku terhibur dengannya tanpa terasa tersinggung. Ini jelas lagi kerana bantuan kuat Johan sendiri sebagai pendukung tulang belakang filem ini, yang dari tadi membawa kita keluar dari bilik kelab malam dan masuk ke alam malam dan kita terus percaya dan bersimpati dengannya, walaupun dia memakai janggut yang palsu. Ada babak-babak, malah, air mata teruna aku jatuh membasahi pipi aku, yeap, feeling habis. 

Ada suatu lagi hal yang memburukkan filem ini. Dengan jelas, suara eskapis Johan itu, sewaktu nyanyiannya disampaikan oleh pengarahnya tersendiri, lalu ini mencacatkan ilusi yang diciptakan oleh Khir. Ya, lagu-lagu baskin yang dibawa oleh Johan adalah nyanyian Khir. Kita mahukan suatu feel seperti dalam muzikal Once, tapi hal ini tidak berlaku, aku tidak tahu mengapa Khir melakukan hal ini.

Namun sebagai percubaan Khir menyentuh pasaran penonton alam Melayu kotemporari, hal ini bolehlah dipuji, walaupun hanya mengemaskini suatu jalan cerita dan genre yang sudah biasa dilakukan oleh kawanan penerbit "gatal-gatal masuk wayang" era 90-an dengan menyampaikan filem berlatar "cinta" dan "aksi" secukup rasa lakonan Awie, Eizlan, ataupun Rita Rudaini.

Klasifikasi Balada Pencinta: P13, Babak ganas dan perilaku dan gaya hidup samseng yang tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Berjaya Time Square.

No comments: