23 October 2023

Tiger Stripes (2023) dan Menemui Suara Rimba Jiwa



Ulasan ini sedikit compang atas pemotongan yang dihadapi oleh filem ini. Selalunya aku (atau kita, yang sudah biasa dengan filem yang dipotong-potong oleh LPF, separuh dekad lamanya) menulis juga dengan memberikan penilaian sepenuhnya. Tetapi untuk Tiger Stripes, khususnya pada babak paling penting untuk aku fahami, "hilang" pada bahagian peleraian/akhir filem ini. Ia timbul seperti beberapa syot, seperti syot disambung-sambung dalam filem Persona (1966) Bergman pada muqadimah filem tersebut. Jadi agak susah untuk aku mengatakan aku "mengalami" filem ini sepenuhnya, atau "puas" menontonnya, jadi filem ini ditulis dengan sangkaan dan soalan-soalan yang tidak berjawab.

Premisnya sebenarnya mudah, malah seperti yang dinyatakan oleh Syed Zulkifli dalam pos Facebooknya, Tiger Stripes mempunyai semangat harimau (malah ini mengingatkan kita dengan semangat harimau jadian dalam filem Apichatpong Weerasethakul yang lebih jelas, Tropical Malady) yang diikat cantik dengan latar hijau gelap dan lebat hutan (latar filem ini di pedalaman, mendekati hutan). Sah-sah, semangat ini menampilkan maksud kebebasan jiwa atau "suara rimba jiwa" yang ada dalam setiap id diri kita (dalam hal ini, diri perempuan) yang mahu menguasai tahap sedar ego kita. Kebebasan ini (atau memilih istilah yang paling berdosa zaman ini, liberal), mengikat dengan pemberontakan angst anak muda terhadap konvensi sosial, dan paling jelas terhadap plot transformasi bentuk badan dan tindak balas subjeknya dengan hutan, dan suasana hutan itu tersendiri, jauh daripada komuniti kampung manusia yang dipaparkan. Hal ini juga boleh dikiaskan sebagai penemuan diri sendiri (dengan jalannya sendiri), yang sudah tentu, terikat pula dengan pencarian makna diri untuk berekspresi. 

Maka, kisah perjalanan mencari diri sendiri ini (yang sebenarnya, mencari makna diri yang tidak diperangkap atau dipengaruhi oleh tekanan sosial persekitaran, dalam hal ini, tekanan budaya kampung orang Melayu) menjadi kisah yang terikat antara pejalanan kedewasaan (coming-of-age) si anak perempuan mendatangi haid ("Kau dah kotor," kata sang ibu kepada anaknya), yang kita pernah temui dalam Carrie dan Ginger Snaps, dengan kisah body horror, kisah berlakunya transformasi fizikal tubuh badan, yang biasa kita tonton dalam filem-filem Croenberg. Tapi pengarah dan penulis filem ini, Amanda Nell Eu, mengambil (atau merujuk secara intertekstual) citra yang jauh lebih tradisi atau lama, khusus dalam budaya purba orang Melayu, khususnya dalam hal magis dan mistik, iaitu harimau jadian (yang amat terkenal dalam bangsa Minang dan Rejang). 

Mengapakah kita terasa macam kisah lama ini, yang sebenarnya pernah dibuat dengan murahan dalam filem lama kita, Si Tora Harimau Jadian (1964) atau secara cult dalam Kala Malam Bulan Mengambang (2007) tabu apabila disentuh pada watak seorang perempuan?

Inilah menariknya Tiger Stripes, apabila semangat alamiah, berontak, emosi, jiwa, dan ekspresi perempuan, dalam hal ini, seorang anak 12 tahun(?) Zaffan (Zafreen Zairizal) yang didatangi haid, akil baligh (kedewasaan orang Islam ditandai dengan fenomena ini), mula merubah, bukan sahaja secara emosionalnya (tidak ada sudut spiritual langsung, jadi hal tauhid usah dikhuatiri), seksualnya, tetapi fizikalnya. Di sini mungkin, bagi penonton yang mahukan "jawapan" akan terasa teraba-raba. Tidak dinyatakan (kerana jika kita tonton mana-mana filem seram Melayu, pasti kisah asal usul muasal suatu "hinggapan/gangguan" diceritakan) dari manakah Zaffan mendapat semangat harimau jadian tersebut, adakah daripada keturunannya, lepak-lepak lamanya di hutan, atau terkena kelibat Ina, sang penunggu-harimau jadian yang selalu menengok-nengok orang di dalam hutan. Ketidakketahuan ini menimbulkan suatu persoalan yang absurd terhadap Zaffan, yang menambahkan lagi ketidakharuan masyarakat (juga penonton) dengan suara-suara waswas yang makin membingit, dan mula menuduh-nuduh, menghakimi, seperti watak kawan baik Zaffan, Farah (Deena Ezral) secara mikro dan kemudian Dr. Rahim (Saheizy Sam) secara makro. Lalu, berlakulah hal chaos, dari sekolah ke orang kampung, hal yang sama ditemui dalam ruang filem Lelaki Harapan Dunia (2014) dan Waris Jari Hantu (2007).



Hal ini kerana, subjek yang melalui hal ini ialah seorang anak gadis, seorang perempuan remaja (yang memberontak). Apatah lagi, banyak hal-hal pengalaman haid ini, pertama kali dilihat oleh penonton kita secara cukup teliti, reaksi persekitarannya, rakan-rakan sebayanya, sekolahnya, keluarganya, sosialnya, dipaparkan sepenuhnya dan sejujurnya kepada penonton, fasa demi fasa. Aku yang kurang mengenal dan memahami alam ini (adakah benar si anak perempuan itu diejek "busuk", dipulaukan?) aku bertanya kepada sahabat perempuanku, Dr. Hani Salwah Yaakup yang juga ahli dalam budaya Melayu yang dihubung kait dengan filem. Beliau menyatakan, paparan yang ditampilkan memang benar, mengikut kesesuaian umur, peringkat, latar belakang keremajaan Zaffan yang ditampilkan. 

Jika benar, maka hal ini menarik untuk meneliti sisi prejudis sosial dan emosional yang dikenakan terhadap seorang Zaffan, anak perempuan sekolah yang "pertama" dapat haid di sekolahnya. Hal ini terikat pula dengan fenomena buli kalangan rakan sebaya yang dipamerkan terhadapnya, yang menjawab: mana-mana usia dan golongan, perkara yang mereka tak dapat faham dan berubah di hadapan mereka, mereka akan momokkan dan menyerang, seperti kalangan cybertroopers terhadap suatu isu politik.

Oleh sebab banyak perkara yang tersekat-sekat dan disjointed, aku mungkin tak mampu melihat naratif filem ini secara penuh. Tapi aku masih dapat meneliti beberapa perkara penting, seperti lakonan, yang aku kira, teraju utamanya, Zafreen Zairizal dapat sampaikan dengan penuh bulat dan cukup cantik, termasuk sisi-sisi komedinya. Ya, ini sebenarnya filem komedi gelap campur fantasi, seakan-akan realisme magis kita yang tersendiri. Dan Zafreen amat dinamik dan tampil menyerlah, dibantu dengan natural oleh Deena Ezral (wataknya merupakan watak ekstrem anak Rozie Rashid dalam Mukhsin tu) dan Piqa sebagai Mariam. Kita juga tercuit dengan Saheizy Sam, si "penunggang agama" taraf narsisisme yang cuba mengubat histeria yang berlaku di sekolah Zaffan (histeria menurut filem ini merupakan suatu "aksi" pemberontakan sosial sang wanita, yang terikat kuat dengan suara rimba jiwa wanita Zaffan yang baru ditemuinya, yang ingin mengekspresikan diri atas selama ini ditekan oleh institusi sosial atau tekanan patriarki). Aku juga suka dengan skor lagu Gabber Modus Operandi yang cukup menyampaikan suara memberontak ini, di latar hutan, sekolah mahupun rumah. Sinematografi pegun tapi cukup bergerak dengan transformasi Zaffan oleh Jimmy Gimferrer cukup memikat (namun susah hendak melawan atmosferik latar filem Roh), dengan beberapa babak malam yang cukup menyampaikan misteri dan keindahan (babak-babak malamnya mengingatkan aku pada babak malam dalam filem Dendam dari Pusara). Aku tidak berapa gemar dengan efek stop-motion dan solekan yang sedikit murahan, mengunjur kepada semangat filem-B, tetapi hal ini mengungkit homaj pada filem-filem seram lama kita yang memang buruk efek khasnya, seperti Gergasi (1958) dan Anak Pontianak (1958).

Antara filem wanita campuran pelbagai genre yang menarik untuk ditonton.

Klasifikasi 16 - Babak-babak ganas (kepala terpotong) dan hal keperempuanan yang mungkin sesuai untuk penonton matang.

10 October 2023

Melodrama Perang dalam Pagari Bulan (2023)



Nampaknya, kita sudah boleh membaca tanda tekstur wayang Raja Mukriz. Inilah dia gaya sinema Raja Mukriz R. Ahmad Kamaruddin dan dia tidak akan mengubahnya. Dia menyukai babak-babak syot luas, gerakan syot kiri-kanan atau atas-bawah yang perlahan, sambil ada suara (voice over) bertutur sebagai latar dan penyampai (maksud) imej yang bergerak. Gaya ini, yang paling dekat yang aku boleh terbayangkan ialah filem-filem Terrence Malick. Satu lagi ialah dialog dan monolog (voice over). Selain menampilkan jalinan imej-kata, Mukriz hendak menegaskan: kekuatan atau keindahan budaya/pandangan alam Melayu ialah kata-katanya. Mahu tak mahu, dia mahukan jalinan kata-kata, luaran atau dalaman, terjalin dalam gambar bergeraknya agar "Melayu"nya yang indah berlagu dengan kata-kata yang tersampai.

Dan dalam filem ini, secara tidak sengaja atau tidak, pilihan kata-kata itu, kebanyakannya, dalam dialek Kelantan, yang memang terkenal mempunyai nada "lagu"nya yang tersendiri.

Filem ini menampilkan passion Mukriz terhadap hal di atas. Dengan bijak, kata-kata yang kita dengar (suara Nazeera Sardi sebagai Bulan) merupakan warkah yang diwasiatkan oleh Bulan kepada orang terdahulu (ibu bapanya) dan orang terkemudian (anak dan cucunya). Kita "menonton" warkah Bulan. 

Oleh itu, aku terpaksa memaklumkan, ada perkara yang mungkin tampak "tidak logik" dari segi fakta dan realisme (siapa yang bercakap berminit-minit di bawah hujan?), iaitu babak hujan yang begitu panjang (walaupun pada hujung tahun, negeri Kelantan memang terkenal untuk musim bahnya, waktu hujannya yang amat panjang) tetapi ia bukan membawa logik keadaan, tetapi lebih bersifat ekspresionis (satu cara gaya yang mengubah hakikat realiti dunia dengan luahan untuk menyampaikan suara dalaman, pemikiran, emosi, dan rasa pengarahnya). Dalam filem ini, latar hujan ialah misteri, bencana dan ujian. Semua ini membawa derita, ketidak keruan dan tak senang duduk.

Hujan turun dan turun pada act 1 filem ini. Apakah bencana yang bakal datang ke tanah tumpah Cik Siti Wan Kembang ini? Bala tentera Jepun, yang sampai ke Pantai Sabak untuk menjajah Tanah Melayu.

Bermula di sini, pada babak yang begitu baik dibangunkan, apabila Bulan diminta oleh ibunya mencari Kasih, dan pada masa sama, Sui Lui (Trisha Ooi) terpaksa mengikut ayahnya untuk ambil sesuatu di rumah kedai mereka, tentera Jepun memerangkap mereka.

Bermulalah kisah pilu dan sengsara anak jati Tanah Melayu, dipaksa dijadikan wanita simpanan untuk kepuasan nafsu serakah tentera Jepun. Kita menemui Momosan (Chelsia Ng yang amat menjadi lakonannya), ibu ayam mereka yang ada lembut dan kerasnya menjadikan anak-anak di bawahnya ikut katanya; Kuzawa (Alvin Wong) yang tinggi nafsu serakah dan kejam; Leftenan Azu (Andy Teh) yang juga kejam dan memandang rendah pada orang tempatan; dan Leftenan Miura (Aniq Durar) berdarah orang Okinawa yang baik hati terhadap orang tempatan. Seperti Leftenan Koishi terhadap Embun, begitulah Miura terhadap Bulan, apabila pertama kali dia melihatnya.

Walaupun terdapat babak aksi dan perlawanan, keseluruhan filem ini, atas disampaikan pun oleh seorang perempuan, merupakan suatu sisi pandangan kisah seorang perempuan; jadi kisah ini, seperti sebuah novel Melayu tulisan wanita, ialah sebuah melodrama pada era dunia sedang berperang. Babak-babak menghayat hatinya, khususnya terhadap kaum wanita, dikuatkan lagi dengan skor muzik Midin Kautsar (jika didengar betul-betul, Kautsar mengambil semangat lagu Wau Bulan dan Engkau Laksana Bulan).  

Ada sesuatu yang aku temui dalam babak-babak ini, dalam kata-kata latar yang panjang oleh Bulan. Bulan sedang bercakap tentang perseverance, tentang tahan sabar/diri atau ketabahan anak watan terhadap apa-apa musibah/mehnah/bala/ujian yang melanda diri-keluarga-negaranya. Banyak benda yang terpaksa disimpan, ditahan, baik dendam atau geram, dan menunggu masa dan tempatnya. Ketahanan ini dapat disampaikan dengan baik oleh watak Bulan dan watak Sui Lui, dua arc yang jelas dimainkan oleh Raja Mukriz. 

Aku hanya mempunyai dua komplen. Satu, aku merasakan act 2 filem ini longgar, berkemungkinan sangat Mukriz dengan sengaja mengeluarkan banyak babak di tengah. Banyak yang berlaku tiba-tiba tanpa motif yang kuat merangsangnya. Jadi, contohnya, kita tak dapat merasakan proses wanita yang dikurung, khususnya Sui Lui dan Bulan digroom untuk menjadi seorang pelayan. Keadaan berlaku terlalu cepat. Contoh kedua, kita memerlukan masa lagi untuk "menemui" Bulan betul-betul jatuh cinta dengan Miura, agar kita dapat mempercayai, wanita yang sekuat dan semaruah Bulan sanggup memberikan "jiwa raga"nya kepada Miura.

Komplen kedua, oleh sebab filem melodrama perang ini banyak disampaikan dengan gaya ekspresionis, yang tiba-tiba alam dan latarnya menjadi simbol-simbol psikologi wataknya yang tertentu (bulan penuh, hujan, pepohon, buluh panjang, pelanduk dan anak), aku ingin menemui bagaimana simbol-simbol ini boleh disusun menjadi simbol yang seksual, sensual atau berahi cinta. Hal ini untuk menguatkan maksud Bulan menulis warkah itu (konfesi), dan apa yang dia pilih dan buat dalam keadaan itu, agar tercipta suatu maksud yang lebih puitis. Namun, hal ini tidak ada.

Namun begitu, atas kekuatan lakonan, filem ini "sampai" maksudnya. Kesemua para pelakon cukup kental dan komited, termasuk pelakon-pelakon baharu, khususnya Nazeera Sardi, Aniq Durar dan Trisha Ooi, yang nampaknya menunjukkan lakonan yang amat menjanjikan. Pujian juga harus diberikan kepada sinematografi Muhamad Nazir Ahmad yang mampu mengawal babak panjang dan syot tertentu yang payah. Suntingan Nik Johan yang baik, tata seni yang cukup sampai menghidupkan alam era 1940-an Yusaini Suib.

Sebuah melodrama ekspresionis yang menjanjikan sesuatu, dengan latar kisah wanita simpanan perang dan landasan maut era Penjajahan Jepun. Lakon layar oleh Siti Jasmina Ibrahim, daripada cerita asal Ellyna Ahmad dan Raja Mukriz.

Klasifikasi P13 - Sesuai untuk penonton 13 ke atas, ada adegan ganas, darah, keganasan, dan perilaku ganas terhadap kaum perempuan yang mungkin memerlukan bimbingan untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah.