"Kak, lagi-lagi dia asyik perhatikan kakak, langsung tak henti-henti, kakak sedar tak?" - adik Hasnah
"Kalau kau kalah kepada kelemahan Yusof, kau akan kalah akhirnya." - Hasnah
Selalunya kita tidak pernah menyedari bahawa usaha seni wanita kadangkala memberikan kita suatu "penglihatan" yang lain. Baru kali ini aku dapat menonton air tangan wanita (bolehkah dikatakan yang pertama dalam sejarah perfileman kita?) yang baik, iaitu Seniwati Saadiah (semoga Allah mencucurkan Rahmat kepadanya) dalam keseluruhannya (terima kasih buat Mubi.com).
Awalnya, aku cuba membaca filem ini melalui tatapan wanita (female gaze), yakni melihat cara tatap Saadiah, melalui kaca mata anaknya, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) sebagai teraju utama, iaitu Hasnah dalam filem ini. Ya, memang aku menemui sesuatu, malah ada sikap yang elegan dan moden (untuk zamannya, bandingkan citra dan mata lihat Saadiah melalui Ogy jika dibandingkan dengan citra wanita dalam filem Jins Shamsuddin dan Yassin Salleh) dari kaca matanya, tetapi aku menemui juga beberapa perkara yang jauh lebih menarik.
Awal sebelum kita bergulat dengan seronok tentang filem ini, terdapat beberapa perkara tentang filem ini yang sudah lusuh dengan zaman. Pertama, cara letak watak di dalam bingkai, kedua dialog, dan ketiga, babak muzikalnya.
Aku tidak menafikan sinematografi Kunimasa Oshima cantik, diserlahkan dengan sifat seakan-akan meniru landskap dan suasana kampung garapan catan Hoessein Enas (menarik, paparan kredit awal jika aku tidak silap, menampilkan catan batik Ismail Mat Hussin yang sungguh indah). Hal ini boleh dikaitkan dengan imej lukisan terkenal Hoessein, Memetik Daun Tembakau di Kelantan dengan imej Hasnah, ibu dan adiknya berpakaian kurung dan membanting tenaga di sawah bendang (imej ini jauh lebih awal daripada wanita bendang Ranjau Sepanjang Jalan Jamil Sulong dan Dia Ibuku Yassin Salleh). Imej-imej di kampung, selain kecantikannya, jelas-jelas meromantikkan (romanticized) imej latar kampung, sungai pokok, jalan tanah dan sawah bendangnya. Hal itu pun bukan masalah sebenarnya, jika terikat dengan konteks realiti (malah menzahirkan puisi, seperti filem-filem Abbas Kiarostami atau Apichatpong Weerasethakul). Namun, terdapat babak-babak yang "melanggar" logos susun letak, hanya kerana penggayaan (stylized), untuk "tampak cantik" (walaupun mempunyai makna bahasa filemnya).
Paparan ini jelas boleh dilihat pada babak seperti berikut:
Yusof (Meor Hashim Manap) menyampaikan hasrat tidak mahu bertemu Hasnah lagi kerana dipukul oleh Malek dan kawan-kawannya. |
Aku tidak nafikan yang imej seperti di atas cantik (dilihat), tetapi bagi aku, penyampaiannya terlalu melampau, untuk memenuhi stail estetik tertentu semata, yang aku percaya dipinjam oleh Saadiah daripada garapan Studio Jalan Ampas. Namun imej di atas sebenarnya fungsional terhadap menyampaikan makna Yusof dengan Hasnah (dan ini kebaikan tatapan Saadiah), apatah ditampilkan jati diri dan pendirian Hasnah kuat, malah seperti menyambung indah pokoh bunga yang menjadi latar (selain sebagai simbol bunga kampung yang mekar belum dipetik). Yusof pula, dengan permintaannya yang feeble, kelihatan kecil, malah "dimakan" oleh kehijauan latar.
Kedua, dialog. Pada bahagian di atas sahaja, berlangsung dialog yang panjang. Separuh dari diri aku menyukai sikap Saadiah, seorang daripada penulis lakon layarnya (bersama Nozomu Yanase, dengan cerita asal oleh penerbit [disebut pengeluar] filem ini, Achmed Abdullah) yang menampilkan bahasa penuh (baku). Inilah yang dibuat oleh Jins, dan inilah tradisi yang diikuti oleh Yusof Haslam dalam filemnya. Namun penggunaan dialog panjang-panjang begini sudah kelihatan longgar dalam paparan mata telinga moden. Aku anggap ini sebuah "gaya", yang juga terpinjam daripada era lama Jalan Ampas, yang sememangnya tidak ada salah, hanya mungkin ini pilihan cita rasa. Namun, hal ini tetap memerangkap filem ini daripada membuahkan kata bual dan pameran yang lebih natural dan terpasak pada bumi. Hal ini, jika kalian tetap suka (dan tiada masalah pun jika suka), tonton babak Saadiah isteri Datin yang bergaduh dengan suaminya, kerana suaminya hendak berkahwin lain. Dialog panjang babak itu, yang sebenarnya menjadi penampilan bintang Saadiah kembali ke layar (setelah berapa lama tidak di depan kamera?), hanya terasa janggal sebagai sebuah babak lapuk (outdated) yang terperangkap dalam era wayang gambar lama.
Latar muziknya pun aku suka sebenarnya, apatah lagu yang dinyanyikan sendiri oleh Ogy, Ceritaku, Ceritamu yang sangat anggun, ciptaan ayahnya, Ahmad Daud (semoga Allah mencucurkan Rahmat kepadanya). Malah, tampilan rakaman muzik June van Huizen dan susunan Ramli Salleh amat membantu mendorong emosi dan nafas gerakan filem ini. Namun, eh, kejap, apa lagu dentuman pada babak-babak tegang bila Malek mengacau dan menggatal dengan Hasnah? Macam aku pernah dengar, bukankah macam runut John Barry dari entah filem James Bonda entah mana? Ditambah pula, dengan sebuah babak, yang tiba-tiba, selain nak tampilkan aura bintang Ogy, mereka bernyanyi ala Hindustan di lumpur tanah sawah. Aku teringat dengan Mother India tiba-tiba.
Masalah "koleksi lagu untuk digunakan" dan sedutan watak tiba-tiba loncat menyanyi ala bangsawan ini memang masalah filem era 70-an dan 80-an kita, yang aku kira, bolehlah untuk mereka yang ingin bernostalgia, namun perkara-perkara ini tidak menafikan kekuatan Saadiah sebagai pencerita imej, yang bagi aku agak terkilan kerana dilupakan (selain sedih, tidak ada siapakah yang mendekatinya untuk bikin filem selepas filem ini?), kerana filem dengan sengaja paparan kampung lwn. kota filem ini merupakan antara yang menarik dalam sejarah perfileman kita.
Aku tidak berapa setuju dengan Daniyal Kadir apabila beliau menyatakan sisi suci kampung lwn. dosa kota filem ini (tentang kota penuh dosa, tidak ada mana-mana filem kita mampu menandingi Maynila Brocka dalam hal ini, maaf ya) paparan filem ini (menurut kata akhir di kredit akhir filem), kerana persoalan kebendaan, nilai moral, kelas sosial dan impian (boleh dipanggil Impian Malaya, menyerupai American Dream) terserlah muncul buat kedua-dua latar. Kedua-duanya "indah" dan tampil sebagai fungsi latar manusianya menggunakannya (kampung - agraria, kota - pusat ekonomi), malah kedua-duanya ada dosa dan baiknya. Tempat hanya tempat dari kaca mata Saadiah. Yang jauh lebih penting ialah jati diri, akal budi, pegangan kepercayaan dan kebijaksanaan. Aku kata begitu kerana ada rasa yang menarik pada satu babak.
Awal di kampung, selain konflik dengan Malek, kita ditambah dengan konflik ayah Hasnah yang sakit (awal-awal lagi ditampilkan). Di situ sahaja, aku sudah mendapati, Saadiah sengaja "melemahkan" susuk patriaki rumah keluarga Hasnah (ayah sakit, abang hilang). Hasnah tetap kental (tidak terbabas dari jalan betul mengikut norma agama-sosialnya). Jadi, kita percaya (dan berharap) Hasnah akan selamat apabila tiba di kota. Menariknya, pada bahagian alur pertama cerita di kampung, banyak babak dramatik berlaku, runut bunyi debar dan mendayu. Ketawa dan tangis air mata. Kematian juga akhirnya berlaku. Banyak "cerita" orang kita kata. Kemudian, kita ditampilkan, Hasnah untuk pertama kali meninggalkan kampung halamannya. Dia menaiki bas. Dia menangis, terasa sangat berat, memerhati ibu, adik dan bosnya. Apa yang berlaku setelah itu ialah keajaiban. Skor muzik mendayu telah hilang. Mata Hasnah terbeliak, terpempan seperti jakun melihat pertama kali Kuala Lumpur. Kita hanya mendengar bunyi bising kereta, hon, manusia sibuknya, bangunan tinggi (waktu itu) dan jalan sibuk dan habuk. Mata Hasnah melihat semahu-mahunya.
Di sini, kita diberikan paparan, kota tidak mencengkam, tidak menyesatkan. Ia mungkin besar, menggergasi dan sibuk. Tetapi jika kita tahu jalan, kita boleh menaklukinya, seperti Hasnah yang dapat menemui Kedai Butik Annie di Asia Jaya (cuba cari di mana sekarang). Kota ialah hamparan rezeki untuk Hasnah ambil dan pakai dengan bijaksana.
Di sinilah yang menarik: Saadiah tidak menghakimi kota lwn. kampung (walaupun dia memberi amaran, seperti bos kedai jahit Hasnah yang memberitahu Hasnah tentang kawannya yang sudah "berubah") tetapi menetapkan ceritanya berlangsung sepertimana "takdir" yang menentukan, episod-episod yang hadir dalam kehidupan, ketentuan Allah, yang menggerakkan manusia itu dengan pilihan dan gerak perjalanan.
Jadi, Saadiah tidak menetapkan dan memerangkap (seperti mungkin pengarah lelaki yang lain) Hasnah atas pilihan-pilihannya, tetapi memberitahu: ini hanya pilihan yang dipilih atas ketentuan takdir di hadapan. Menariknya, setiap pilihan yang diambil oleh Hasnah ini dibuat dengan kesedaran yang tinggi, kedalaman renung fikir dan tidak melanggar adab budi yang diajarkan kepadanya. Kita boleh lihat, contohnya, bagaimana indahnya budi Hasnah menahan dirinya daripada mengejar cita-citanya ke kota kerana tidak mahu meninggalkan keluarganya (kerana abangnya sudah hilang ke kota). Lalu ayahnya telah meminta Tuk Imam untuk menasihatinya untuk pergilah merantau ke kota (betapa halusnya riak budi ini!)
Satu lagi episod menarik, kita sudah kenal yang Hasnah tidak dengan rela menyerahkan dirinya untuk sesiapa, pandai menjaga diri, bersama kekasihnya Yusof mahupun apabila diancam oleh Malek. Jadi, pilihan Hasnah untuk merelakan hati (dan tubuhnya: Adam, seorang sahabat Twitter memanggilnya Lolita, kerana Ogy waktu itu masih di bawah umur!) untuk dijamah oleh Dato' kaya yang melihat Hasnah tidak tumpah macam gadis pertama yang dicintainya, atas pilihan Hasnah untuk menyelamatkan abangnya, sememangnya suatu pilihan yang amat menarik. Ini bukan sahaja tampilan realiti era itu. Era Dasar Ekonomi Baru, yang orang Melayu berkejar ke kota untuk mencari rezeki, untuk memenuhi impian dan cita-cita. Tetapi juga perubahan budaya, cita rasa, amalan, dan mungkin juga pemikiran.
Aku suka yang Saadiah tidak meletakkan penghakiman moral terhadap Hasnah dan pilihannya ini. Hasnah ialah wanita seperti mana-mana wanita lain di dunia ini, yang mendapat peluang bekerja/mengubah hidup di kota. Kata Saadiah dengan optimis: Jika manusia memang sifatnya berubah, bukankah dia juga boleh melentur ubah untuk menemui fitrahnya?
Jadi, Saadiah di sini tidak mahu kita melihat dosa secara permukaan (jika dalam filem biasa, jika orang berzina, seperti filem Langit Tidak Selalu Cerah, dia mesti terkena penyakit kelamin, mukanya jadi hodoh dengan tompok hitam) tetapi pilihan keluhuran manusia untuk kembali pada fitrahnya. Hal ini tidak terasa dibuat-buat, disusun dengan bersahaja dan natural oleh Saadiah. Jadi, selama kita menonton ini, yang penting ialah, kita melihat bagaimana hidup Hasnah si wanita di kampung ini berubah. Kita mengikuti "cerita"nya, perkembangan dan kematangannya. Dan kita mampu merasainya. Saadiah sungguh positif terhadap penampilan wanita ini, yang bijak, berani dan berakar jati diri mendepani dunia. Ya, dia mungkin berubah fesyen, dia mungkin membawa sesuatu dari kota (kasut tumit tinggi sebagai contoh!) tetapi dia sudah melihat dunia dan merasai perbezaan dan kematangan. Inilah perjalanan yang dilaluinya (passage of time).
Bercakap tentang masa, gerakan masa filem ini (atau gerak transisi) ditandai oleh dua benda. Jalan (lorong) dan aliran air. Malah, beberapa babak dramatik berlangsung di tengah jalan. Sungai atau aliran (tiga babak jelas, pertama Hasnah melalui titi di atas sungai, menandakan filem ini tentang dia, kemudian Hasnah menangkap ikan dan bersuka-sukaan dengan Yusof di sungai, penandaan persahabatan Hasnah-Yusof mula intim, dan babak akhir, Hasnah bergerak balik ke rumah, melalui parit air di depan rumah, penanda pertukaran/metamorfosis diri Hasnah) pula seperti perjalanan masa yang "lama", menandakan datang dari kampung/era belum terusik pembangunan. Jalan ialah peredaran masa moden, yang tampil lebih jelas apabila Hasnah meninggalkan kampung dan menemui kota. Jalan, selain mengikat antara kampung dengan kota, juga menampilkan kesan ekonomi dan sosial yang berbeza antara kampung (tidak terusik) dengan kota (yang sibuk berkereta, malah berlaku kemalangan).
Dan bercakap tentang jalan, kita perhatikan beberapa babak yang berlaku di tengah jalan sewaktu Hasnah di kampung, dan Hasnah kembali ke kampung:
Pra kota. Malek mengganggu Hasnah di tengah jalan. Keadaan babak ini tegang. Hasnah dan Malek berjarak dan saling mengawal ruang. |
Pra kota. Yusof yang menemui Hasnah di tengah jalan menumpangkan Hasnah pergi balik dari rumahnya ke kedai jahit. Jarak Hasnah dan Malek sangat dekat dan saling tampil "romantik". |
Fauziah Ahmad Daud berlakon dengan baik dan bersahaja dalam filem ini, menampilkan, walaupun perlu berusaha bercakap dan menghilangkan rasa takutnya di depan kamera (ini bukan filem sulungnya jika aku tak silap aku pernah melihatnya dalam filem Jamil Sulong, Permintaan Terakhir sebagai seorang kanak-kanak) dia sememangnya sudah dilahirkan sebagai seorang seniwati yang besar. Pelakon-pelakon lain turut membantu, walaupun tidaklah tampil cemerlang, hanya sederhana, sesuai dengan bentuk filemnya.
Filem ini disunting dengan bersahaja oleh Hashim Hamzah. Filem ini juga, secara menariknya, dibantu arah oleh seorang Jepun, Kenji Ouichi.
Sebuah filem yang sesuai dirujuk kembali untuk meneliti perjalanan wanita melalui masa, dengan pandangan yang segar tentang pengejaran cita-cita dan peluang wanita pada era Dasar Ekonomi Baru berjalan, dan keluhuran baik manusia untuk kembali pada fitrah.
No comments:
Post a Comment