Aku terasa malu kerana terlepas tahu dengan pengarah muda yang satu itu, Wan Afzam Wan Daud. Perjalanan Wan Afzam dalam pembikinan karya televisyen (di RTM) sudah mungkin menjangkau lima-enam tahun, dan pernah bersama-sama merealisasikan skrip sasterawan-pengarang drama Siti Jasmina Ibrahim. Aku menonton telefilem ini (di RTM, mereka memanggil karya "cerekarama" mereka sebagai Panggung RTM - ini mempunyai tanggungjawab berat terhadap memikul pengertian sinema) untuk dua kali, sekali sewaktu raw cut dipertontonkan di mini auditorium di RTM (sewaktu aku mula-mula mengenali pengarah dari Melaka ini) dan sekali lagi (dalam potongan akhir) di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (selaku pihak yang bekerjasama dengan Unit Drama RTM). Ada beberapa persoalan yang aku kira teknikal, seperti pemilihan lagu yang agak tidak sesuai untuk aku nyatakan di sini, memandangkan Wan Afzam sendiri mengaku, versi (jika-jika, insya-Allah) untuk tayangan di festival filem antarabangsa (ingat Rabun? Kaki Bakar? Min?) akan jadi berlainan, khususnya daripada susunan runut bunyinya juga kepada ritma gerak dan durasi syot panjangnya. Versi akhir yang dipertontonkan adalah versi sesuai untuk masyarakat televisyen, mak-mak dan adik abang yang sedang memotong bawang di depan TV atau berleka-leka melayan fon bimbit.
Namun apa yang dijamu di DBP pagi itu, rasa, atmosfera sinematik dan dunia ciptaan Wan Afzam masih tetap teguh dan menyampai.
Panggung ini diadaptasi daripada cerpen Allahyarham Azizi Haji Abdullah, nama pengarang yang cukup besar dari utara. Dengan latar Wan Afzam dari Melaka, beliau menarik kisah arwah Cikgu Azizi ini ke ruang selatannya dan menterjemahkannya dalam ruang lingkup pengalamannya di Melaka; menjadikannya peribadi (beberapa nama adik-beradik pada si Ayah/Haji Tamim adalah nama-nama adik beradik saudara Wan Afzam). Ini yang menjadi menarik: Jika adaptasi ini tumpah pada seorang pembikin bendul, mungkin cerpen itu hanya menjadi telefilem yang telefilem semata-mata, sejalur tujuannya. Tetapi dalam tangan Wan Afzam dan tenaga produksinya, cerpen Azizi menjadi sebuah "filem" (baca: panggung), yang bukan sahaja bercerita secara mikro tentang sesebuah keluarga Melayu di Melaka, dengan fiil riuh, bertepuk tampar serta "mesej" (yikes!) pengorbanan ibu dan bapa untuk anak-anak; tetapi kepada sesiapa yang bijak merenung dan berfikir, telefilem ini akan berkata-kata kepadanya, mengikut keperibadian dan cita rasanya. Dan itulah, semahu-mahunya, hakikat sesebuah filem.
Sesungguhnya Pendoa yang Ikhlas merupakan sebuah contoh naskhah yang memahami maksud budaya tempatan (baik nafas budaya kampung Melayu, amalan sebagai Muslim Melayu - dalam hal ini, era 1980-an) yang ditampilkannya, menyelaminya seteliti mungkin, dan boleh bercerita dengan amat baik. Selalunya, apabila kita menonton sesebuah filem Barat, kita mendapati bahawa selalunya filem-filem Barat "memastikan" awal-akhir sesebuah filem menyerupai sebuah perayaan kehidupan. Bagi mereka, sebuah filem yang berawal dan berakhir adalah sesebuah alamiah penghidupan, mendekati maksud c'est la vie, yakni "itulah kehidupan" dan slogan moden "live life to the fullest", kerana seperti filem, hidup adalah "sekejap" dan sekejap atau kesementaraan itu akan berakhir. Seperti mana paparan skrin yang hitam (sebelum wujud) kemudian bercahaya-warna (kehidupan) dan kembali hitam (mati). Secara kefahaman modenis Barat: tiadanya hidup lagi; setelah mati, tidak ada makna, segalanya dan semuanya hitam belaka. Dalam makna-erti Melayu Islam, kehidupan ini semestinya sementara dan yang kekal nanti adalah akhirat (yang kita tidak dapat mengagak bagaimana). Semua hal yang mengelilingi kita sekarang dalam warna kehidupan, suami, isteri, pekerjaan, harta, anak-anak, keluarga - dipinjamkan oleh Tuhan. Kerana (hidup) ini bukan kekal, dan hidup ini diberi "amanah" untuk dijaga, dalam alamiah penghidupan itu, setiap kita itu ada "kerja", dan kerja yang paling susah adalah untuk memastikan diri sendiri sentiasa menerima keredaan-Nya. Oleh sebab kita tidak sedar dan tahu setiap gerak geri itu disuka/benci Tuhan, kita meminta dan meminta: doa yang tak putus-putus untuk keampunan-Nya. Pendoa yang Ikhlas amat menyedari hakikat itu, malah telefilem ini adalah sebuah telefilem yang secara sedarnya meraikan hidup, warna-warnanya, sebelum, satu per satu, seperti Ayah/Haji Tamim (Bohari Ibrahim) menyedari, yang dipinjamkan oleh Tuhan itu akan ditarik, satu per satu, sehingga tiada lagi untuk dirinya selain tinggal dia dan bagi Tuhannya.
Hakikat peminjaman dan mengalami kehidupan dan hal sekelilingnya itu disampaikan dalam filem ini dalam tiga bentuk kefahamn, ibu-isteri, kerja (dalam hal ini, seorang ahli politik) dan iman masjid (agama, Haji Tamim ialah jurunikah masjid yang bersebelahan dengan rumahnya). Di sini kebijaksanaan Wan Afzam bermain dengan subliminasi. Sesiapa yang ingin melihat sudut politik akan menemui sudut politik (isu politik yang disampaikan amat-amat sesuai dan relevan pada keadaan politik sekarang), sesiapa yang melihat dari sudut psikologi keluarga akan menemui dinamis keluarga Haji Tamim, sesiapa yang melihat dari sudut agama akan menemui dinamis kaitan sosiomasyarakat dengan agama (dan jika kita hendak menontonnya sebagai sebuah melodrama keluarga, kita akan mendapat juga melodrama sebuah keluarga). Hal ini digerakkan dengan susun letak naratif yang bermain dengan jalinan dan turutan babak sekarang dan imbas kembali yang amat mudah tetapi berkesan (setiap babak imbas kembali diberikan syot panoramik ala palang hitam ditebalkan). Wan Afzam dengan bantuan suntingan Izhar Masuri (yang juga selaku pengadun suara) juga menyusun gerakan naratif ini dengan pecahan bab demi bab (dengan kapsyen kata puitis), seperti sebuah novel berpecah tiga bab (hal ini amat bijak dalam hal "pinjaman" kesusasteraannya), memudahkan penonton meneliti naratifnya, seperti satu aliran air yang mengalir bersahaja, dari atas bukit hingga ke kuala; tidak menyedari bahawa susun letak ini sebenarnya kompleks dan payah (apatah lagi jika dibandingkan dengan cara Azizi menyusun teks naratif cerpen ini).
Satu lagi, Wan Afzam dan sinematografinya, Junaimeramfizal Rahmat dan Mohd Adzam Jamaluddin bijak bermain dengan ruang, memaparkan isi hati (yang paling dalam) dalam hal jiwa Haji Tamim, juga dinamis antara hubungannya dengan anak-isterinya. Perhatikan syot awal "rumah di dalam rumah", kemudian syot anjung, syot rumah ibu/ruang tamu, syot dapur dan syot luar. Setiap pilihan syot dibuat amat teliti untuk memahami sejauh dan sedalam mana anak-anak Haji Tamim mengetahui (atau ingin mengetahui) isi hati sebenar Haji Tamim. Mengetahui isi rumah dan isi masjid dalam telefilem ini juga sebenarnya mengenali isi hati/rumah Haji Tamim. Sedikit demi sedikit, kita mendekatinya, dikupas dan dibuka (seperti mana kita membuka pintu dan tingkap rumah). Dan pada syot akhir, kita juga akan berteleku, jeda, dan memahami sedalam-dalamnya isi hati, bukan sahaja Haji Tamim, tetapi erti kehidupan dan tujuannya.
Kekuatan jelas Pendoa yang Ikhlas, selain lakon layar telitinya (yang diasuh sebaik-baiknya daripada cerpen Cikgu Azizi) adalah barisan pelakonnya. Aku begitu kagum dengan lakonan senyap, mendengus dan emosional Bohari Ibrahim sebagai Haji Tamim. Bohari seakan-akan "menghidupkan" tokoh-tokoh patriaki tua yang keras dan degil yang selalu aku baca dalam karya-karya Azizi, yang mengimbau simbol patriaki yang memegang utuh pada prinsip dan tradisi yang difaham dan diamalkannya. Dalam cerpen asalnya, watak ibu hanya sisipan, tetapi Wan Afzam memunculkan watak Mak dengan bulat dan baik sekali dalam sosok lakonan Fatimah Abu Bakar yang tenang, tersusun kata dan lembut, setenang dan sehalus kasih seorang ibu, isteri dan nenek. Malah Mak ialah "tiang" Haji Tamim dan anak-anaknya, wadah mengadu kasih dan sayu. Kekuatan juga jelas dalam Zahiril Adzim sebagai anak bongsu Haji Tamim. Setiap nuansa dan gerak gerinya tersampai, dalam gerun, pesona dan manjanya yang berpada terhadap ibu dan ayahnya. Begitu juga lakonan Adibah Noor yang menyayat, serius dan kelakar - memaparkan Adibah sebenarnya versatil dan mampu menyampaikan peran yang cemerlang jika diberikan peluang oleh pembikin yang bijak mengenali bakatnya. Anak-anak lelaki Haji Tamim yang lain, Che Kem dan Azman Hassan juga cukup membantu memberikan dinamisme yang cukup baik, merealisasikan seisi keluarga Haji Tamim yang benar-benar hidup, seperti sebuah keluarga yang kita kenal dan ada.
Pengarahan seninya oleh Nurul Syahirin Mohd Ali Bakar serta bantuan pengurus produksi oleh Buvaneswary Narayanan yang sederhana dan mencukupi untuk "period drama", mengikut kesesuaian mileu 1980-an juga dapat membangkitkan sedikit rasa era itu. Pendoa yang Ikhlas bagi aku ialah sebuah karya yang berjaya diambil dengan cermat dan disampaikan dengan cermat, dan bersungguh-sungguh dalam menyampaikan makna adapatasi yang paling penting: mengambil sesuatu karya dan menjalin-suaikannya untuk menyampaikan suaranya yang tersendiri.
DITONTON DI RTM, 27 Oktober 2019, TV1, 9:00mlm.
Klasifikasi: U, Sesuai untuk seisi keluarga.
DITONTON DI RTM, 27 Oktober 2019, TV1, 9:00mlm.
No comments:
Post a Comment