04 June 2014

Abang Long Fadil (2014): Syafiq Jadi Jerry Zucker

"Saya berharap untuk melahirkan gangster beriman .." - Abang Long Fadil.

Syafiq, pengarah muda yang amat mengujakan kerana filem sulungnya, SAM (2012), membuktikan sekali lagi, bahawa dia boleh mengarah. Syafiq ialah contoh anak muda yang perlu disiramkan dengan bajet tinggi, agar dia dapat membikin filem popular yang menyamai kehebatan Hollywood. Syafiq mempunyai semangat itu.

Kali ini, Syafiq memilih untuk menjadi Jerry Zucker, antara pengarah filem spoof Hollywood yang terkenal dengan meminjam dan memberi kesinambungan terhadap filem abangnya, KL Gangster. Syafiq amat mengidolakan Shamsul Yusof (fakta ini dapat dibaca dalam tweetnya) dan mahu jadi sehebat abangnya. Menariknya, Syafiq "meminjam" abangnya dalam filem ini sebagai pelakon (lantas melakukan kesinambungan watak filem gangster itu) dan perujuk, malah beberapa watak daripada beberapa filem abangnya turut termuat di tengah-tengah filem secara sengaja (dalam keadaan mimpi Zizan).

Babak pembukaan filem ini membuka maksud sebenar Syafiq, bahawa dia seorang pengarah dan dia mempunyai "cinta" terhadap filem (sampai termimpi-mimpi) dan dia ingin bikin filem. Zizan sebagai Fadil ialah bayangan suara Syafiq, sebagai alterego yang menyuarakan hasratnya. Filem dibuka dengan satu babak klise si pemuda membantu si gadis daripada kumpulan penjahat. Beberapa sengatan aksi dan komedi dipertaruhkan. Berlaku sesuatu. Ngeri. Zizan terbangun (babak ini berlaku selepas KL Gangster 2 dan filem ini berakhir sebelum KL Gangster 1, pening kan? Ha ha ha) daripada tidur. Dia bercakap dalam monolog (filem ini banyak monolog Zizan/Syafiq) tentang "hasrat" dan "cinta"nya terhadap filem. Di sekelilingnya, poster filem Hollywood, khususnya filem-filem Micheal Bay jelas terpampang. Itu idola sebenarnya. Syafiq/Zizan dalam suara kecilnya, ingin melihat Malaysia/dia membikin filem setaraf Micheal Bay itu. Syafiq sedang bertanya kepada penontonnya, rakyat yang menonton filem Melayu, "Bentuk filem apakah yang kalian mahu?" Dengan prasedar, hal ini terjawab (dengan mimpi yang amat besar) dengan Syafiq mengkiblatkan diri kepada filem bikinan Micheal Bay/Hollywood yang tinggi aksi, suspens, dan terkini, CGI canggih, juga cerita yang bagus. Peliknya, Syafiq menggunapakai gaya Stephen Chow, yang kita lihat dalam mimpinya, tercerna dalam realiti dan ilusi dalam keadaan realiti watak Zizan nanti (dengan watak arkataip gangster baik Malik sebagai imejan sifu bayangannya). Memang, ini sedikit menarik, memandangkan filem ini spin-off KL Gangster yang memfokuskan watak Zizan, lantas perwatakan dan gaya lawak rempit Zizan diangkat menyeluruhi latar dan gerakan filem. Yang menarik lagi, angan-angan Zizan ini akan mengacaunya sekali lagi, dalam bentuk CGI import Hollywood. Zizan mendapat igauan bayangan ini selalunya waktu Zizan cemas atau "terdesak". Malik akan datang "membantunya". Babak Transformer itu dilakukan dengan harapan tinggi Zizan yang "suka berangan". Namun ia juga membawa satu persoalan paradoks- adakah Syafiq yang menyedari keadaan cemas/terdesak filem Melayu sekarang hanya dapat dijawab oleh import cara/gaya Hollywood dalam pembikinan filem kita, atau dengan seorang lelaki dipandang tinggi yang sednag meringkuk dalam penjara?

Dalam hal itu, Syafiq tetap memberikan ton suspens dengan cabaran yang dihadapi oleh Zizan daripada Shark (Shamsul Yusof). Di sini, Syafiq mengambil ruang politik semasa apabila Kampung Berani (dengan jelasnya, Kampung Baru KL) menjadi tempat "penguasaan" baharu Shark melalui percubaan Zizan untuk menguasainya. Terdapat beberapa kritikan politik yang benar-benar merakamkan ulangan mata Melayu yang buta sejarah, bahawa kesepaduan orang Melayu berpecah apabila terdiri nilai korup dan tamak, dan hal ini disusun elok oleh Syafiq dengan senda gurau gaya melodrama dan penyiasatan/jenayah yang sederhana baik. Dengan berani, jika diteliti, Syafiq mengkritik "orang atasan" atau ahli politik sebagai "gangster sebenar" yang bakal meranapkan tradisi dan kehidupan rakyat biasa jika kuasa dalam tangan mereka digunakan untuk "bergangster". Didaktik Syafiq menarik kerana hal ini menjadi penyeliaan dan pemerhatian seorang mamat gangster, Zizan. Adakah Zizan/Syafiq/kita akan "belajar" daripada pengajaran ini? Kita tidak tahu (dengan jelas, Zizan terus terperangkap dengan jalan hidup dan tragedi itu). Tapi dengan jelas, perwira sebenar filem ini (kau ingat ini filem Zizan sahaja?) ialah Kamal Adli yang membantu Zizan untuk mengembalikan Kampung Berani. Kamal Adli merupakan anak muda yang bertradisikan asas jati maksud perjuangan orang Melayu. Dengan sikap sejagat, Kamal menolak kepincangan, kezaliman dan ketidakadilan. Kamal sebenarnya lebih berkobar daripada Zizan (Zizan terperangkap dalam sikap lemah jati diri dan kononnya cuba untuk membuat yang terbaik untuk kampungnya) dan maksud perjuangannya lebih jujur. Di sini, Syafiq mengendalikan "kritikan" terhadap filem abangnya dengan enak sekali, melawan maksud apa itu perjuangan dan melindung yang sebenar, dan secara lembut, menemukan kembali maksud "pendekar" dalam jati diri orang Melayu yang hidup zaman berzaman. Hal ini menjadi persoalan penyimpangan terhadap nilai pascamoden sekarang yang mula melepaskan nilai absolut dan nilai asasi yang sedia ada, yang jelas diwakili oleh watak seperti Zizan dan Shark.

Keseluruhan filem sebenarnya kelihatan biasa, biasa bagi sebuah filem komedi dan komersial, tidak ada pembaharuan dari segi cerita, namun bentuknya dipenuhi dan diikat elok. Logik filemnya memenuhi hasrat igauan/angan-angan Zizan. Secara ironi, Syafiq "memenuhi" semua kriteria imbauan "ini yang penonton Melayu mahu" zaman sekarang. Lakonan Zizan baik seperti biasa, dibantu oleh semua pelakon termasuk Shamsul, Aaron dan Sofi yang baik. Beberapa pelakon bantuan juga baik. Kamal Adli dalam filem ini menunjukkan bahawa kebanyakan para pelakon MiG sememangnya berbakat namun selalu disalah arah oleh para pengarah MiG. Kamal dalam filem ini membayangkan hero Malaya aksi yang ditunggu-tunggu. Kita tunggu jika selepas ini Kamal mendapat sentuhan arahan yang sebaik Gareth Evans oleh para pengarah genre aksi kita. 

Filem ini tetap ada kelemahannya. Pertamanya daripada runut suara yang jelas dubbing. Namun syot dan gerakan laju filem ini menyamarkan kelemahan itu, termasuk dengan runut bunyinya. Kemudian, ini tetap filem komedi spoof, walaupun baik, dengan pameran dan persoalan nilai yang menarik, berlegar dalam keadaan hiburan dan dialog kotor/lucah. Hal ini bukan masalah, hanya ia tidaklah dapat menandingi maksud sesebah filem yang berjiwa besar. Jelas, memang, Syafiq membikin filem komersial, itu matlamat utamanya. Menariknya, Syafiq menggunapakai alatan ini, filem, sebagai ruang undian sebenarnya, ujian pasaran tentang keadaan dan kemampuan intelek penontonnya. Spoof Syafiq kadang-kadang menjadi dan memang mempunyai keadaan yang amat komikal (aku rasa aku seorang sahaja yang ketawa berdekah babak Malik di penjara. Penonton Pulau Pinang di sebelah aku siap menyoal, "Eh, kenapa eh?", tidak memahami cakap "berkias"nya), namun Syafiq juga dengan jelas, dapat membikin filem dengan soalan-soalan yang mula menyentuh hal-hal yang penting. Ini suatu hal yang amat dipuji.

Klasifikasi: 18, beberapa aksi ganas dan kata kesat yang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak. 
MENONTON DI Mega Cineplex Megamall Pinang. 

3 comments:

Muhammad Za'im Mohamad Yusoff said...

Jemput juga ulasan saya di : http://www.zaimterbang.blogspot.com/2014/06/abang-long-padil-2014-membedil-strata.html

Cuplikan -

Namun, Haronlah satu-satunya insan dalam kalangan golongan veteran, meskipun lemah tetapi dia menggagahkan diri dengan sedaya upaya membeliakkan mata masyarakatnya terhadap hak mereka yang dirampas jerung-jerung kapitalis merangkap politikus yang menikus di belakang samseng-samseng umpama pucuk leban gading gajah, bekerja segan makannya gagah.

Tamsilan Kampung Berani ternyata berjaya mewakili nasib malang bukan sekadar Kampung Baru tetapi juga Kampung Chubadak, Kampung Bandar Dalam, Kampung Hj Abdullah Hukum dan Kampung Padang Balang di ibu kota selain Kampung Batu Uban dan Kampung Tanjong Tokong di Pulau Mutiara - yang menerima nasib yang serupa dalam lipatan sejarah tanah air.

Hal ini mengingatkan aku pada larik-larik Bonda Zurinah Hassan, menerusi puisi "Cerita Rumah Kami" dalam Antalogi Cerita Dalam Cerita pada rintik rayu akhir yang bernada melankolik sambil menjentik-jentik kita -

.....

Dan ketika aku dewasa
semua kediaman berbatu bata
dengan penyaman udara
banglo besar, deret atau berkembar
tetapi semestinya lebih selesa
dari generasi ke generasi
manusia mendaki ke taraf tinggi
kata Darwin dalam teori evolusi
sepatutnya begitu selepas aku
tetapi anakku
naik ke apartmen bertingkat-tingkat
cucu-cicitku bagaimana pula
bila harga rumah terus meningkat
dan tanah sudah terhad?

Maka kami pun berdoa,
Ya Allah kurniakan kami
pemerintah yang berhemah
agar bangsaku tidak menjadi
bangsa tidak berumah.

M/S 3-4, Cerita Dalam Cerita, Zurinah Hassan (2014), ITBM

D'zunnur said...

🔞 PL la bang oi....

D'zunnur said...

🔞 PL LA BANG OI...