16 June 2014

Adaptasi dan Pinewood


Dalam minggu lepas, terdapat dua peristiwa "bersejarah" yang berlaku buat industri ("Jangan sebut industri!" - Charlie Kauffman dalam Adaptation) perfileman kita. Pertamanya ialah perasmian Pinewood Iskandar yang berada di Iskandar, Johor Bahru, keduanya ialah Seminar Hak Cipta 2014: Dari Novel ke Skrin yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Beberapa isu, sekali lagi, diutarakan dan menjadi perdebatan dan perbualan kalangan pembikin filem berkenaan hal ini. Peliknya, kebanyakan penulis buku TIDAK PEDULI sangat dengan seminar di DBP itu sedangkan di situlah persoalan besar dan terus yang perlu sangat mereka sedar dan tahu (malah pernah diutarakan mereka mahu pertemuan sebegitu berlaku dengan kalangan pembikin filem) yang tidak pula dihadiri oleh mereka. Jika hal ini berlaku, rasanya susahlah titik temu penulis-pembikin hendak berlaku kerana ketiadapedulian penulis untuk menyedari karya mereka itu yang akan diangkat oleh para pembikin. Jika nanti para pembikin akan fuck up karya mereka, aku rasa mereka perlu berani menghadapinya kerana sikap mereka yang sendiri sudah fucked up atas ketiadapedulian.  

Maka dengan itu, hal yang penting (yakni royalti, hak cipta penulis asal) aku tidak mau suarakan di sini, padan muka koranglah sebab tak pergi dan cari sendiri maklumatnya (boleh rujuk Web TV DBP dalam beberapa minggu, mungkin), korang semua dah besar panjang. Yang aku tertarik nak suarakan di sini ialah beberapa isu yang timbul, yang ditimbulkan oleh Amir Muhammad dan Kamal Ishak sebagai ahli panel seminar.

Dari sisi adaptasi dan penulis, rasanya eloklah penulis dan khalayak sedari, seperti mana yang dinyatakan oleh Kamal Ishak bahawa sastera yang diadaptasi sebenarnya membuka intepretasi baharu yang "dibaca" oleh pengarah/penulis skripnya, seperti mana karya yang sudah dibikin bila sampai ke tangan penonton, menjadi milik intepretasi penontonnya pula. Pandangan ini meletakkan dengan beraninya kefahaman bahawa dalam tangan orang lain, konsep asal seorang penulis akan berubah pada konsep lain, yang baharu dan mungkin lagi segar daripada teks asal (walaupun dengan klise kita mendengar imej tidak akan dapat menandingi teks asal). Hal utama di sini ialah "konsep baharu" yang melarikan diri atau melampaui ruang teks asal. Memang Kamal menyatakan "the gist" atau inti pati utama novel itu tetap dinyalakan dalam adaptasi, yang sememangnya bagus, tapi buat aku, jika seorang pengarah dapat mengeluarkan sesuatu yang berlainan daripada pandangan majoriti pembaca menyelami sesebuah novel itu jauh lebih menarik dan sepatutnya diraikan, malah tiada apa-apa yang pelik dengan hal ini dalam dunia Hollywood dan Britain yang sudah berpuluh kali melakukan adaptasi karya. Mungkin ya, kadangkala kita akan mendengar istilah "diinspirasi daripada ..." daripada "diadaptasi daripada" yang bagi aku masih tidak salah dan memberi peluang terhadap perkembangan ruang kreatif (seperti yang sudah dilakukan dalam beberapa filem adaptasi kita). Kerana itulah, walaupun ramai sasterawan dan kritikus yang suka membandingkan The Rice People dengan Ranjau Sepanjang Jalan Jamil Sulong, yang bagi aku, walaupun mungkin secara estetik dan mis en scenenya lari daripada karya asal Shahnon Ahmad itu, ia tetapi suatu intepretasi Jamil Sulong yang harus dihormati atas karya Jamil mengadaptasi karya Shahnon, dan kalau aku Jamil Sulong, aku dah lama bagi jari tengah kepada pengkritik sastera yang bodoh kerana sibuk-sibuk hendak menilai habis-habisan dari sisi itu dan tidak melihat BAGAIMANA Jamil melihat karya Shahnon itu dari sisi Jamil.

Kerana itu aku tidak setuju dengan pandangan seorang panel yang menyatakan bagaimana meluatnya dia mendengar seorang penerbit itu yang mahu mengadaptasi sebuah karya bermileu 1960-an dengan tatacara abad ke-21 (memang alasannya murah: sebab isteri saya tak suka tengok cerita orang lama, duh!), poinnya: BIARLAH! Serius! Tidak mati karya asal itu dirobek dalam suasana alam moden. Inilah mana kreativiti mengambil tempat (dan kita boleh lihat sepandai atau sebodoh mana si penulis skrip menggunakan kreativitinya mengolah teks asal) dan seharusnya diperjanakan, dan bukan, seperti yang Kamal Ishak terangkan, "disalin halaman demi halaman"! (walaupun filem Rosemary's Baby sebuah filem adaptasi yang memang mengadaptasi halaman demi halaman yang berjaya, tetapi seperti Amir kata, adaptasi ini amat sesuai untuk novel picisan/popular).

Mentaliti inilah yang perlu kita perangi, mentaliti orang lama yang sudah terperangkap dalam tempurung kelapa sendiri. Jika kita lihat fenomenanya pun, kalangan pembikin tua akan hanya melihat/mengadaptasi karya lama, jarang-jarang yang baharu (namun hipotesis ini tidak dapat dipakai sangat kerana adaptasi karya sastera memang terlalu kurang). Pembikin baharu pula selalunya mengasingkan diri daripada karya ataupun pengarang lama (atas sebab berpendirian pengarang lama ini diva tidak menentu dan susah hendak dibawa berbual). Seeloknya, haruslah yang lama meneliti yang baharu (dan tidak memberi alasan nostalgik: yang lama tetap lebih baik daripada yang baharu) dan yang baharu juga meneliti yang lama. Yang lama perlu tahu perkembangan yang baharu dengan inti dan pemikiran baharu. Melihat karya baharu itu penting kerana itulah yang sedang membuak di tengah-tengah masyarakat sekarang. Kerana itulah kita mendapat tanggapan bahawa "sastera kita mati", tertinggal zaman, dan hanya penuh dunia kekampungan dan pelacur, kerana sesiapa yang aku jumpa, berbolak-balik nak buat adaptasi dua karya ini sahaja, Ranjau Sepanjang Jalan dan Salina, dua itu sajalah yang diulang-ulang sampai kiamat. Sedangkan, Shahnon dan A. Samad Said sendiri sudah berkembang maju dengan pelbagai sisi dan kandungan lain, karya lain, yang lebih kental dan hebat tetapi tidak disedari oleh orang biasa ini.

Kerana itulah, waktu Amir Muhammad (yang ramai, sekali lagi salah sangka kepadanya hari itu) membawa kita cuba melihat ruang mengadaptasi bahan yang tidak pernah terfikir untuk diadaptasi (karya yang berat atau bukan fiksyen, dan ditambah oleh Kamal: sajak juga boleh diadaptasi) yang mana membawa pada pemikiran yang lebih mendasar, yakni, adakah kita mempunyai para penulis skrip yang boleh mengadaptasi karya? Bagaimanakah kita mengadaptasi? Berapa bentuk yang pernah kita pelajari? Jika Kamal sendiri menyatakan, kebanyakan penulis yang masuk dalam bengkel adaptasinya masih KURANG asas penulisan skrip, bagaimana hendak bergerak ke arah mengadaptasi? Seperti yang Amir katakan tentang adaptasi novel picisan, beliau ambil daripada kata Hitchcock bahawa mengadaptasi sastera melecehkan tapi mengadaptasi karya picisan senang, atas kerana banyak kerumitan yang ada dalam teks divisualkan dengan lebih baik dalam filem. Kreativiti sebegini memerlukan keterbukaan yang baik. Hal ini berbalik pada persoalan, adakah kita mempunyai artikel atau buku bukan fiksyen yang bagus untuk diadaptasi? Mengenali sifat ketimuran kita (jika dibandingkan dengan Indonesia) kita menyedari kita kekurangan keterbukaan dalam masyarakat dari sisi menyatakan apa yang nyata. Kita tidak mempunyai "media bebas" yang benar-benar membuka cerita-cerita yang sepatutnya tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku disekeliling kita (contoh jelas, tragedi Kampung Chubadak, entah siapa yang menulis tentangnya). Banyak hal yang perlu diutarakan kita tidak utarakan atas dasar menjaga aib/malu, lantas penulisan bukan fiksyen kita jadi "terarah" dan "terpilih". Tragedi filem Dukun merupakan analogi yang paling jelas mengena tentang hal ini, hanya kerana kita mempraktis "menjaga perasaan segolongan manusia". Kreativiti, jelas mempunyai pantang-larang dan benua sempadan yang tidak sepatutnya bagi mana-mana pembikin. Sebab itulah, jika aku bertanya mana-mana penerbit filem, mereka jadi takut apabila aku menyuarakan Interlok patut difilemkan. Mereka terus jadi kecut.

Mengadaptasi sastera juga bukan bermakna kita membikin filem yang lembab (slow moving), yang penuh dengan monolog-monolog panjang dan segala-galanya hendak dimasukkan. Pembikin hanya perlu membawa ke hadapan simbol atau metafor (seperti yang Hassan Muthalib selalu gunakan: tanda dan petanda) baharu dan ikat dan gunakan secara keseluruhan dalam kraf itu (seperti mana U-Wei dengan bijak menggunakan objek pistol/senapang dan laga lembu/lembu dalam Jogho). Kita juga seeloknya (idealis aku) untuk lari daripada pembikinan gaya melodrama/sentimental/weepies yang tipikal dalam filem kita dan angkat filem adaptasi itu dengan gaya yang berlainan dan lebih bersesuaian dengan jiwa sinema sekarang (bila kau cakap sekarang bukan bermakna mainan CGI yang bukan-bukan, itu nak rasa penampar aku bolehlah).

Kehadiran Pinewood itu juga bagus, yang mungkin sedikit demi sedikit akan membuka peluang modal insan daripada orang kita sendiri, dan sepatutnya Pinewood ke arah itu (dengan proses mentor-mentee). Mungkin sekarang kita terdengar orang kita memperkatakan betapa anak tempatan hanya "orang tambahan" di tempat itu, yang sedikit demi sedikit, jika Pinewood tidak tolol, akan memberi peluang pekerjaan kepada orang tempatan atas dasar menjaga kos, insya-Allah. Suatu lagi sudah tentu bahan kita yang sesuai dibikin di studio itu, dan pergunakan kemudahan itu (dan bukan seperti apa yang berlaku di studio suara Cyberjaya), yang eloklah para penerbit, FINAS (jika mereka buat kerja), dan tokoh pembikin kita (daripada orang persatuan?) bincangkan bersama dengan Pinewood. Yang bagi aku eloklah, dengan jiwa yang bersih, memilih sebuah karya yang paling sesuai, yang menerima gran khas, yang dipilih sebagai yang terpenting untuk dibikin (dan bukan seperti sesuatu yang mengangkat nama, seperti filem Wayang itu yang mengecewakan), yang bagi aku, sudah tentu berbentuk sejarah, epik dan periodik. Pihak Pinewood pula, atas dasar membuka ruang di sini (rujuk di Australia jika mereka juga memberi peluang ini) perlu melihat jika mereka boleh memberikan subsidi/diskaun khas terhadap para pembikin tempatan. Hanya filem atau drama tertentu sahaja dibenarkan, dan dipastikan patut dipilih dengan kekuatan keseluruhan kumpulan (dan bukan seperti Tanda Putera yang menyedihkan). Mungkin, kita akan lihat para pembikin Singapura datang dengan dolar besarnya membikin filem di studio ini. Rugilah jika anak watan kita sendiri tidak dapat berlatih dan bersama-sama dalam ruang antarabangsa ini dan satu hari, dapat membikin filem di sini. Inilah yang elok Sultan titahkan dan Menteri Besar Johor usulkan suatu hari nanti.

Buat setakat ini, kepada yang beria mau jadi penulis skrip yang baik, elok-eloklah cari Kamal Ishak dan bergurulah dengannya.

1 comment:

indraputra said...

Assalam Fadz. Terima kasih. Artikel yang bagus. Saya masih menanti tayangan "HANYUT" ... katanya 2015 tapi entahlah...lama-lama peram, tak elok juga.